27 May 2014

Janji Joni(2005): Antara Yang Terbaik Tahun 2005

Ulasan ini merupakan ulasan "yang hilang" dan tidak sempat dimasukkan dalam buku tontonfilem aku terbitan RA Fine Arts (koleksi Suarasuara). Nasib baik, pujangga rock, Kamal, yang menjaga arkib terpenting Malaysia, filemkita.com telah menyimpannya sebelum blog lama aku, blog-city ditutup oleh pihak penguasa khidmatnya.

Meneliti balik ulasan ini, aku tersengih sendiri, tersengih, sebab, aku terasa sekejap, bagaimana masa berlalu dan (mungkin) aku dah tua. Ulasan ini juga antara yang membuka ruang aku bertemu dengan teman baharu, serta beberapa musuh lama. Ulasan ini tidak sempat dimasukkan dalam buku itu kerana aku tidak tersedar, antara semua bahan yang aku simpan, ulasan ini "tertinggal". Ada yang kata, ulasan ini bukan ulasan, tetapi dengan lebih jelas lagi, suatu kupasan atau analisis filem tentang filem bagus Joko Anwar ini (Joko kini sudah beberapa filem yang terus mewarnakan kehebatan sinema Indonesia) yang biasanya, mungkin berkumandang dalam pita komentari sesebuah DVD. Aku boleh tersenyum segila itu aku pergi.

Aku tidak mahu kawan pembaca aku tunggu, jadi di sini, aku berikan:

"Saya sukakan S-E-X, SEX! N-E-X-T, NEXT!"
Jawapan sutradara gemar bikin filem seks, selepas dipersoal kenapa dia suka buat filem begitu. (it's like asking Yusof Haslam, "Why You like to do this kind of films?", tak bodoh ke kita?)



"Inilah filem, kau akan bercakap dan bercakap selepas menontonnya.."
Azwan pada aku sebelum aku tonton Janji Joni.


Ini adalah sambungan filem generasi baru Indonesia. Ini adalah filem untuk pencinta filem, jadi jika kau mengaku seorang pencinta filem dan kau belum tonton filem ini, kau kena persoalkan diri kau jika kau benar seorang pencinta filem.

Janji Joni adalah filem tentang filem, menyambung warisan Cinema Paradiso dari Itali, Good Bye Dragon Inn dari Taiwan, The Dreamers dari Peranchis (walaupun pengarahnya Itali), Paper Airplane dari Iran, Jhonny Bikin Filem dari Malaysia, dan Seniman Bujang Lapuk dari P. Ramlee.

Filem ini adalah satu perjalanan persendirian pengarah serta penulisnya Joko Anwar (yang terkenal dengan tulisan filem Arisan! tahun lepas), tentang nostalgia filem zaman lepas, isu zaman kini dan harapan zaman hadapan. Ia adalah filem yang dibuat untuk penonton filem (di sini, penonton Indonesia) dan juga pembikin filem. Joni sendiri adalah alter-ego Joko, yang juga telah membuat sebuah filem pendek dari hidupnya dan pemikirannya dalam Joni Be Brave (2003). Watak Joni dalam filem ini (filem sebelumnya adalah graduan muda yang mengalami krisis kepercayaan pada masyarakatnya) adalah si pembawa filem, maka dia adalah si penyambung pada si pembikin dan si penonton yang sebenarnya (sama seperti Toto dalam Cinema Paradiso). Dalam filem ini, kita akan lihat seorang idealis (Joko atau alter-egonya Joni) bercakap tentang dua belah bentuk entiti filem: pembikin dan penonton dan bagaimana harapan Joni bahawa kedua-dua ini akan sentiasa memberi harapan pada orang sepertinya. Dalam babak-babak filem ini juga, terletak persoalan-persoalan dan isu yang melanda filem Indonesia, dan ditayangkan dengan hati yang girang tanpa perlu 'pusing-pusing'.

Memang, ia juga menghiburkan!

Bila menonton filem ini, kaki aku tak habis bergoyang-goyang kerana mengikut tempo lagu latar filem ini. Ada satu babak, waktu Joni (lakonan sangat bersahaja dan matang oleh Nicholas Saputra, menunjukkan pemuda ini sudah pergi jauh dari watak 'rebel'nya) memberitahu 10 jenis penonton dalam bioskop. Aku mengaku, aku yang pertama, yang suka buat 'picnic' (lihat bagaimana Joko menyindir para pengkritik, dengan buku nota mereka di tangan dengan monolog: "Mereka dalam dunia mereka sendiri yang kita pun takkan faham apa-apa yang mereka tulis"). Sebenarnya, secara sindir (kalau penonton dapat tangkap di akhir cerita), penonton filem ada 11 jenis, dan terakhir adalah penonton sabar 'setia', yang tahu, hanya mahu menonton untuk BERHIBUR, dan sedihnya, hanya 'tiga' sahaja penonton yang begitu di Indonesia (atau serata dunia?).


Sesungguhnya Joko benar dalam itu. Filem, satu-satunya bentuk seni yang laju dan murah adalah bentuk hiburan yang paling dekat pada kita (terutamanya dia). Maka filem ini adalah rakaman perjalanan filem 'road movie' tentang filem. Di sini Joko rakamkan, mungkin untuk berpuluh tahun dia sebagai penonton, pengkritik dan kini pembikin tentang apa itu filem Indonesia. Ia setentunya satu rakaman manis yang dapat sama-sama menghiburkan juga memberi nostalgia, lebih-lebih pada aku yang kenal filem Indonesia dari kecil lagi.

Untuk menjadikan filem ini posmoden (dan cult sesungguhnya!), punya 'reference' pada filem lain, lihat babak 'Arisan!' dalam filem ini (mempamerkan semangat 'perubahan' filem Indonesia. Note: The 'in' joke of this scene is, even love can happen in the most oddest place, and not just sex you know!), juga babak Pak Ucop dengan Joni, yang bukan saja memberi 'reference' pada Cinema Paradiso, juga Apa Ada Dengan Cinta kerana Pak Ucop (Gita Rolles) adalah pemilik toko buku yang menyuruh Rangga kejar Cinta. Dalam filem ini, Pak Ucop yang memainkan peranan 'ayah' Joni, tetap juga seorang pak falsafah (seperti dalam AADC) yang menyuruh Joni 'kejar cita-citanya'.


Joko mainkan 'reference' ini lagi pada beberapa babak waktu Joni mengejar filemnya. Babak pertama adalah perjumpaan dengan pemandu teksi (ingat filem Taksi?) Jaka.S (nota: "Jack Ass, get it?"- Azwan) yang dilakonkan oleh Barry Prima. Di sini Joko mahu membawa penonton mengingati seniman hebat ini juga waktu filem aksi Indonesia hangat di pasaran, si Arnold Schwazenager Indonesia yang popular sebagai Jaka Sembung, juga sejarah filem Indonesia kerana filem-filem aksinya memang mendapat sambutan hangat waktu (Jaka.S) 80-an. Bila isteri Jaka.S mahu melahirkan anak, Jaka.S mahukan nama Joni. Babak ini menonjolkan 'kelahiran' filem (pra-produksi) serta ideanya dan juga bermulanya perjalanan Joni.


Kemudian Joni bertemu sutradara filem seks yang dilakonkan oleh Ria Irawan, membawa kita sekali lagi pada satu zaman 'filem-filem seks' yang melanda Indonesia dengan ampuh (yang paling banyak dibuat waktu filem indonesia mula menurun kehebatannya bermula zaman 90-an. Imuda dan Nia Zlkarnain pernah berganding dalam filem sebegitu). Babak ini juga punya 'reference' pada pelakon dan kru filem, rencah pertama dalam pembikinan filem, atau dipanggil 'produksi'.

Kemudian Joni bertemu dengan budak-budak jalanan, membawa kita pada sebuah lagi zaman filem Indonesia, zaman filem-filem penghayatan kelas bawah (lihat Kemelut Hidup, Bernafas Dalam Lumpur, Bibir Mer, Taksi, dan setentunya Daun Di Atas Bantal). Di sini, Joni bersama si pencuri bermain kugiran underground untuk seketika, 'reference' pembikinan filem dalam 'lagu latar' (filem ini, secara sengaja membawa kita latar lagu-lagu soundtrack underground pemuzik Indonesia).

Selepas itu, Joni bertemu dengan seorang ahli mistik (lakonan hebat Sujiwo Tejo dari Kafir), yang juga seorang yang menyoal Joni dalam pembagai mantik falsafah, sebelum pita filemnya perlu dibakar. Di sini, Joko membawa kita pada zaman filem-filem 'supernatural' Indonesia (kalau dilihat, filem Indonesia dan Malaysia tidak perlu konsep realisme magik, kerana secara zahirnya, perkara roh dan alam adalah satu dalam budaya kita, maka kita punyai filem 'supernatural' atau 'spiritual' yang tidak perlu didefinasikan sebagai 'tahyul' atau 'fantasi', dna kita kena bangga dengan itu), termasuklah bomoh-bomoh, hantu-hantu dan wali-wali (Dari Dukun Lintah hingga ke Jelangkung). Ia juga, seperti kata Azwan, secara falsafahnya menyindir filem-filem seni (kerana lelaki ini menyimpan barang untuk pameran seni) yang dibuat oleh pembikin filem Indonesia (kerana Joni terpaksa menjawab dengan betul jika tidak mahu filemnya dibakar- secara halusnya, filem yang kita lihat ini dibakar!). Ia juga memberi 'reference' pada waktu 'menyunting', di mana pengarahnya (di sini Joko dan si ahli mistik, juga simbolisme pada Tuhan filem ini, yang Menentukan apa yang perlu dan apa yang tidak perlu untuk 'anak-anak'nya) dan penyuntingnya akan lihat mana bahagian filem yang perlu dipotong dan mana yang perlu dibiarkan.

Dan akhirnya, Joni bertemu dengan seorang produser yang sedang sakit, nazak kerana salah membuat penilaian (reference pada rencah terakhir pembikinan filem, si pemberi wang untuk belanja membuat filem) tentang sebuah filem yang sedang di pawagam.

Ada lagi 3 reference secara 'luaran' yang dibuat, menunjukkan bagaimana filem-filem Indonesia terpengaruh pada tiga gergasi industri filem ini: Hollywood (lihat pada awal kata fikir si pejalan kaki), Bollywood (gelung-gelung filem yang bernilai 12) dan Hong Kong (lihat latar tulisan Cina waktu Joni mahu bertumbuk dengan si pencopet).

Maka dengan segala nostalgia lamanya (filem aksi, seks, realiti, komedi dan 'supernatural') serta rencah-rencah untuk pembikinan filem (idea, pelakon, pengarah, kru filem, soundtrack, suntingan, produser), Joni, dengan sepenuh hati, berlari dan berlari untuk memberi 'janji'nya pada kita (penonton, jenisnya sudah dinyatakankan), juga semangat optimis tapi debar Joko sendiri sebagai pencinta filemnya, bahawa filem-filem bangsanya tetap akan diingati, tetapi juga akan berevolusi dan disayangi.

Semua lakonan pelakon filem ini sangat mengejutkan, kerana gaya yang sungguh biasa dan bersemangat. Mariana Renata, sebagai 'sang puteri yang ditunggu-tunggu' juga sungguh hebat walaupun tidak perlu berkata banyak. Begitu juga Rachel Sayidina, memberi sedikit pathos pada filem ini yang tak mungkin romantis tetapi romantis juga kerananya. Paling licik adalah si adik Dwiki Riza yang mempamerkan 'bukan semua yang kecil itu begok' (Daun Di Atas Bantal adalah sebuah filem berbajet 'kecil', sebuah filem indie).

Menonton filem ini, aku sedar, sudah betapa jauh filem Indonesia meninggalkan kita (tetapi aku masih beroptimis bila menonton Gol & Gincu baru-baru ini). Malah, ini adalah 'movie of the year' untuk aku. Joko sudah memenuhi janjinya. Kita bagaimana? 

No comments: