08 October 2013

KL Gangster 2(2013): Sori Lengcai!

"Ni dah jadi drama Latin ni, boring la macam ni .." - Fadil

"Sori lengcai, lu punya ending tarak cantik, ma!" - Shark

Sebelum aku mengulas, aku ingin ucapakan simpati aku dengan Shamsul Yusof. Hal ini mungkin kelihatan enteng buat kalian, namun cuba faham hal ini, DVD cetak rompak filem prekuel KL Gangster terjual SEBELUM apa-apa tayangan (termasuk tayangan perdana), suatu kes yang amat eksklusif. Ada orang tidak endah jika filem mereka dilanunkan (cth., arwah Yasmin) namun ada yang tersinggung. Mana-mana pengkarya tentu ada maruah, aku faham itu sebab aku juga pengkarya (bayangkan kalau mansukrip novel aku yang belum terbit diciplak). Kita harus menghormati pendirian itu (kita nak jadi orang minda kelas pertama kan? Kita patut kenal adab kan?) dan kita perlu telusuri kembali maksud menghormati karya orang. Sebab itu walaupun heboh CD cetak rompak pengarah pemenang FFM ini dijual, aku tidak akan beli (aku hanya beli filem luar yang susah nak dapat dan filem Hollywood sebab mereka dah kaya pun) dan menunggu di pawagam. Aku tonton semalam. Itu penghormatan aku buat pengkarya tempatan.

Filem "prekuel" ini mengambil tindakan seperti Infernal Affairs yang memusing "ke belakang". Ah, ini menarik dan penting; mengapa Shamsul tidak mahu "teruskan" kisah pasca Malik keluar penjara (setelah membunuh Shark dalam KL Gangster) dan memusing kisah bagaimana Malik masuk ke kancah samseng kumpulan King-Shark? Maksudnya, tentu (mungkin) hidup Malik selepas itu sebagai eskapisme bertih jagung mungkin membosankan, maka eloklah kita pusing balik melihat epilog kisah Malik dan adiknya, Jai. Hal ini ada risikonya kerana kita sudah membina suatu imaginasi wayang tentang latar sejarah filem ini daripada beberapa dialog eksposisi yang disampaikan dalam filem asal. Kita menyedari tragedi Yunani yang sudah pun berlaku. OK, kita berkeyakinan bahawa tragedi pecah-belah keluarga Malik akan dipaparkan dengan berkesan dalam filem prekuel ini.

Betapa salahnya aku.

Babak awal filem mengingatkan aku pada Young & Dangerous tanpa aku ingat apa-apa imej pun daripada filem itu. Impak dan aksi lawannya tinggi, kareograf dari satu babak ke satu babak tersusun kuat dan getir, semacam suatu muzikal rock yang faham erti lagunya. Namun kali ini, Shamsul terlupa untuk menyampaikan sebuah "cerita" yang penuh. Babak awal ini sahaja, peperangan maha besar dua kumpulan besar, Tailong (Rosyam Nor) dengan King (Ridzuan Hashim) seakan-akan menyimpulkan hal itu: kali ini, dalam semangat sekuel tapi sebenarnya prekuel, Shamsul buat lagi besar, garang, lantang dan berdarah. Semuanya dipaparkan dengan jauh lebih keras, dengan banyak lagi babak pukul-memukul (kali ini berpistol bagai), kereta terbalik (kritikan sinis Shamsul terhadap samseng Bersih yang menterbalikkan kereta polis), dan kontena melayang dari langit. Untuk apa semua ini jika yang paling penting untuk Shamsul titik-beratkan ialah manusia dan persoalan kemanusiaan?

Ya, orang akan persoalkan, "Eh, jelas filem ini menitik beratkan kekeluargaan." Hal inilah yang salah kira oleh Shamsul, secara teknik mahupun kesatuan filem sebagai sebuah judul. Pertama, rujuk garis perkembangan cerita yang amat menarik bagaimana Malik diperkenalkan kembali dengan ibu, kemudian adik perempuannya dan kemudian adik lelakinya, menyedari keluarganya sudah hancur. Dalam bayangan itu, kita diberikan satu babak yang mana diperlihatkan bagaimana sang musuh datang menghentak ibu Malik. 

OK, sekarang kita tonton KL Gangster 2.  Terdapat babak-babak drama radio self explanatory yang tidak perlu, diulang-ulang antara Zati (Sheera Iskandar) dengan ibu Malik, berdakwah tentang "hidup" dan moral anak. Kemudian berlaku, bukannya satu, tetapi dua babak rumah ibu Malik dipecah masuk. OK! Rujuk balik filem asal, bam, benda ni pernah kita tonton! Bam! Dua-dua filem dicantumkan, kau nampak tak kejanggalannya? Kalau Malik dah SEDAR mak dialah orang cari kalau dia atau adik dia buat hal, afasal dia TAK JAGA rumahnya ala dunia mafia? Kita maafkan pada filem asal kerana kita sedar logik dan ketidakkuasa Malik menyedari kejahatan adiknya dengan Shark. Namun rupanya hal ini pernah terjadi. Jadi kita tertanya, bodohkah Malik ni (adakah Shamsul ingin menerangkan samseng Malaysia memang bodoh?) atau memang ini kitaran iblis rakyat mental kelas ketiga? Lagi-lagi apabila Malik sudah naik pangkat jadi "abang besar", bro, lu tak mau mak lu selamat ka? OK, fine orang akan kata, "nanti mak dia tahu." Helo, kau tahu kan ada maksud "pengintip" dalam dunia samseng sekurang-kurangnya?

Hal ini bukan sahaja menghancurkan imaginasi logik yang kita sudah bina dalam buana filem asal tetapi turut menghancurkan imaginasi realiti yang kita kaitkan dengan filem ini.

Hal ini ditambah lagi dengan peleraian yang bagi aku sungguh lemah, berkait dengan dialog yang diutarakan sendiri oleh Shamsul. Begini. Kau bayangkan betapa hancurnya dunia keluarga Malik (angkaranya, kononnya) dalam filem asal, dan pandangan klimaks filem prekuel ini tidak membayangkan hal itu. Resolusi disampaikan atas nama resolusi moral. Semua keluarga bersama-sama bersimpati terhadap sang ibu yang tenat. Oh! Shamsul sepatutnya dengan lebih berani memporak-perandakan keluarga Malik sehancur-hancurnya, Zati dalam satu sudut, Jai dalam satu sudut dan ibunya terkapai di hospital. Dan pada masa itu sahaja, Malik sanggup mengambil segala-gala dosa adiknya dan menembus dosanya terhadap adik perempuannya, ini baru membayangkan kekuatan "hukuman" yang sanggup diambil oleh Malik daripada tangan polis.

Polis lagi satu hal. Kau tahu tak masalah terbesar filem samseng kita tak nampak real adalah kerana dengan jelas, polis hanya sebagai ruang penghukum yang datang pada masa yang salah, yang jelas kononnya mereka tidak terlibat dalam dunia gelap ini. Hal itu susah untuk kita percaya kerana samseng bermaharajalela di mana-mana. Aku maafkan dalam beberapa filem termasuk filem asal ini kerana tampak polis seakan-akan tidak sempat atau ada terbayang "kena beli", namun dalam filem yang ini, entahlah.

Lakonan. Ini yang paling crucial. Rosyam Nor. Ya Tuhan. Dia hebat dalam beberapa babak, menyampaikan perangai dan kepandaiannya, namun aku tidak dapat tahan dia asyik-asyik menjilat pedang, bibir, keringat dan darah mangsa lelakinya(!) Biseksual habis! Aku faham watak antogonis ini dibayangkan sebagai setan sesetan setannya, tapi aku rasa bai, setan pun lagi lembut muslihatnya, dan bila dia nak bagi, dia bagi betul-betul.

Kemudian Zizan. Mengapa Shamsul sengaja memberikan terlalu banyak exposure terhadap watak Zizan yang jelas-jelas merupakan pelawak istana tempelan yang tidak membawa apa-apa maksud kecuali sebuah karpet merah untuk Zizan menampilkan hadiah kepada semua peminat yang mengundinya untuk Anugerah Bintang Popular?

Sofii Jikan hilang sengatnya dengan percubaannya berseloka ala samseng Cina. Aku kasihankannya kerana Shamsul secara awal perlu faham kuantiti berapa dialog dan aksi, dan bukan mainan berpantun sebelum bersilat yang menyalak hampir setiap babak tanpa henti.

Semua ini agak mendukakan harapan suatu filem tempatan yang amat ditunggu-tunggu pada tahun ini. Nasib baik terdapat beberapa babak kuat, seperti sikap Malik menunjukkan kuasa jantannya dengan menjatuhkan sebuah kereta dari tempat letak kereta bertingkat seorang taiko serta satu babak penanda jelas sikap anti-hero Jai (Ady Putra) di belakang tanda jalan "Hang Jebat", menyampaikan maksud Qabil kepada Habil Malik yang berkait.

Namun filem ini tersasar walaupun lebih banyak letupan, lebih banyak darah, dan lebih banyak tembakan. Hal ini suatu yang sedikit memberi sesalan pada aspirasi dan bakat Shamsul yang berkobar-kobar.

Klasifikasi KL Gangster 2: 13(?) Klasifikasi yang salah kerana filemnya lebih sesuai bagi usia 17 ke atas kerana terdapat adegan ganas, darah, carut, dadah, dan kejadian seks yang amat tidak sesuai untuk kanak-kanak.
DITONTON DI Cineleisure@Curve.

11 comments:

Suhaila Mohamed said...

Intonasi dan cara pengucapan dialog gangster2 dalam filem ni seakan memegang satu format yang sama..seperti berpantun dan seloka...kalau satu 2 tak apa..kalau sepanjang cerita begitu..alahai bosan juga...macam 2 ke gangster...namun kl gangster filem aksi yang bagus juga setakat ini

Anonymous said...

I belum tgk cerita ni. I perlukan ulasan yg kuat utk i heret diri i pegi menonton cerita ni di pawagam. Well, i guess i got it from u. I'll try to content myself to watch it walopon i benci sangat2 dgn dialognya yg porak-peranda dan adegan melampau yang bersepah dari mula cerita hingga akhir cerita.

Anonymous said...

LPF, Penerbit dan Pengarah Filem KL Gangster 2

SAH dan telah terbukti semua orang dari LPF, Penerbit dan Pengarah Filem KL Gangster 2 yang terlibat KEJI dan mentalnya "SICK". Kenapa saya kata begitu?

Satu Scene yang tidak dapat dimaa'fkan bila bila, Ada orang perasan tak dalam movie ini yang mana satu scene? (Memenag banyak scene tetapi scene yang specific yang saya mohon perhatian anda semua)

From Foreign Movies:

Filem Hollywood dan Bollywood atau pun di mana mana negara yang lain, memang mereka tunjuk character antagonist terlalu keji dan zalim, tetapi mereka tak akan atau tak pernah tunjuk sekeji-keji adegan yang Adik Kandung dirogol depan mata Abang Kandung sendiri(atau pun any other blood related). (Contoh : Law Abiding Citizen, mereka sembunyikan unsur begini tetapi cara gambaran penonton akan faham faham aje lah yang apa berlaku, tetapi tidak tunjuk langusng isterinya dan anaknya di rogol).

Malaysian Movie:

Sebaliknya di Malaysia (Negara Islam dan bertamadun, perkara sebegini dapat lepas tanpa edit oleh LPF).

Padan muka kalau filem ini kena bocor sebelum tayangan. Tuhan pun marah kalau adegan sebegini dapat lulus. Ambil perkara ini sebagai satu Amaran dari Allah (S.W.T.)

Betapa banyak duit di sogok kepada LPF untuk dapatkan PG13 dimana satu adegan amat keji di rakam dan ditayang dalam khalyak ramai iatu "Adik Kandung di rogol depan mata abang kandungnya sendiri", bukan rogol sahaja tetapi enjoying face of rosyam nor wah wah wah ...

Kalau bebetul benda/peristiwa itu berlaku pasti Abang kandung akan hembuskan nafasnya kerana tidak dapat tahan kesedihan dan kekejaman begini.

Tapi Si Syamsul dan Ayahnya yang bergelar Datuk (Patut moralnya tinggi) tidak dapat merasa sedikit kesal mahu pun malu mengenai Scene kejam begini rakam dan tayangkan kepada bebudak umur 13 keatas oleh mereka.

Kalau kami teliti secara dalaman, Point of View bebduak yang sudah atau akan tonton Movie ini akan belajar perkara sebigini akan ambil sebagai teladan, kalau macam itu jangan salahkan mereka kalau di sekolah sekolah di Malaysia dimana adegan ini mungkin akan berlaku dan akan jadi satu reality.

Siapa akan di salahkan kalau berlaku perkara/peristiwa begini?

Saya mohon kepada semua warga Malaysia tak kira kaum dan agama bantah movie ini dan mintak LPF, Penerbit dan Pengarah Filem KL Gangster 2 mohon Maa'f secara buka tanpa prejudice kepada Rakyat Malaysia.

Harap harap suara saya akan sampai kepada LPF, Penerbit dan Pengarah Filem KL Gangster 2, dan mereka berinsaaf. Ameen.

U/P: GAFIM

Anonymous said...

Bukan ke pantun2 tu semua utk tunjukkan kemelayuan cerita ni. Sbb syamsul yusof byk tunjukkan perihal sebegitu lam cerita ni. Contohnya, gangster ade smua kaum melayu, cina dan india and diorang byk gunakan bahasa masing2 tp masih difahami n turut digunakan oleh gangster bangsa lain. Tu usaha dia utk menunjukkan yg Malaysia ni brbilang kaum m brsatu, bukan?

fadz said...

Anon ttg pantun:

Itu alasan paling kelakar aku pernah dgr. Tapi serius, aku suka malah aku pun puji sikap seronok ini, tapi apabila dilakukan dengan EXCESSIVE ia hilang magik. Rujuk balik KL Gangster asal, dialog Soffi tak terlalu dan cukup-cukup pada satu-satu babak, dlm filem ini, setiap babak, setiap babak dia nak berseloka (gaya ini namanya seloka, bukan pantun, makluman saya ttg berpantun adalah berkenaan org dulu yg berpantun sebelum bersilat, rujuk filem Melayu lama, orang panggil bersilat lidah) sampai ada yg diulang-ulang benda sama, ini yang disakiti: tepu.

fadz said...

Anon kat atas tu ttg babak sakit itu:

mmg babak tu sick, dan sebenarnya filem ini memerlukan 18, bukan sampai tahap McCarthy witch hunt yang anda syorkan.

Takut saya kalau awak jadi menteri, mau ada kepala kena penggal tiap2 hari.

fadz said...

Anon kedua: errr, u faham kan ulasan i yg sebenar ni?

indraputra said...

Saya suka aksi pertarungan yang di pertontonkan... Kadang-kadang menghampiri maksud sadis dan kejam...kadang-kadang jer... dan boleh dipertingkatkan...cuma gerakan aksi pertarungan macam sama jer semua watak..syamsul kene beri tafsiran baru atau tukar penasihat aksi...hurmm so far, pada saya filem ni OK..tak membosankan...gelombangnya ada. Cuma rasa mual n tak leh blah ngan iklan penghargaan dari Produksi dan Pelakon2..beberapa minit plak tu...kalau Datuk saja yg beri penghargaan pun dah ok...30 second ke..tp ni dah mcm clip behind the scene plak... adegan rogol zati tu sangat mengganggu...entahlah... atau memang itu kejayaan produksi? berjaya menghidangkan adegan yang mengganggu? kadang-kadang produksi n pengkritik filem marah sbb LPF tak lepas adegan itu ini..bila dia dah lepaskan satu adegan yang sebegini...mcm mana plak bunyinya.
Pengarah buat. LPF lepas. Penonton tengok...harap2 tiada adegan rogol zati dalam siara ASTRO First...sekian.

fadz said...

Inderaputra, aku tak rasa babak rogol tu salah tapi klasifikasi filem tu yg salah.

Ash Edugawa said...

Bagi aku fioem macam ni tak patut untuk tontonan umu bahasa yg kasar seolah melayu tak beradab. Lagi sedih bila pihak yang buat filem lebih pentungkan keuntungan dari kesan kepada rakyat.

Anonymous said...

Bodoh .bru video mw mgomen itu ini .alalala