Aku ke JB tempoh hari untuk #JBWRF, juga tayangan Maskara Shorties. Tempatnya? Whoah, Bukit Timbalan, yakni medan istana Maharaja Abu Bakar! Ruang cantik untuk filem yang syiok!
Aku jumpa Ridhwan Saidi, tapi sedih, Ridhwan balik awal. Ada sebuah gem besar dalam banyak-banyak filpen malam tu, diarahkan oleh seorang amatur, tidak ditontonnya.
Filem itu:
Merentas Dunia Artik (2013) arahan/karya Zahariz Khuzaimah.
Kadang-kadnag kita jadi penat menonton felem apabila diundang dan diundang dengan filem yang longgar. Lagi-lagi jika kita sudah banyak menonton filem. Jadi aku tidak salahkan kumpulan filem yang ditayangkan malam itu di JB kerana ini memang ruang para pembikin yang mau cuba-cuba bikin filem. Sedikit demi sedikit penonton berkurang dan meninggalkan panggung berbumbung putih, malam makin larut. Sampai Dean Sham terpaksa merayu, "Kalau korang pergi siapa nak tengok filem aku?"
Apabila filem Zahariz tertayang (sebelum itu, ada sebuah filem doku tentang kembara juga di Himalaya), aku skeptik dalam hati, "Oh, seorang lagi anak DEB ingin melihat dunia orang lain." Betapa salahnya aku. Zahariz, sekurang-kurangnya memahami bentuk, dan Zahariz memahami maksud dan tujuan naratif. Walaupun kerja dan pekerjaan Zahariz "mengembara", dia menjumpai suatu ketakjuban (miracle) dan ketakjuban itu diberi peluang pengalaman para penonton untuk dikongsi.
Indah. Kita menonton sebuah penghidupan seorang kembara mencari diri. Hal ini nampak superfisial atas tulisan begini, tapi ini, seperti hasil kerja Ron Fricke atau Robert J. Flaherty perlu ditonton untuk memahami maksud yang aku sampaikan, kerana filpen ini tidak dapat disampaikan dalam teks sinopsis tetapi imejan dan gerakan imejan, itu sendiri merupakan suatu pujian.
Zahariz merupakan seorang kembara dari KL yang berbasikal seorang diri untuk ke artik. Dalam perjalanan dia bermonolog, dia dan akhirnya kita pun, melakukan apa-apa yang dilakukan oleh sang pencari agama: mencari diri, mencari Tuhan. Kisah survival yang mula-mula kelihatan renyeh (mengapa kembara ini dilakukan), menjadi penting dan simpatatik, lalu rasa manusia terbaur, kemudian yang paling menjadi: penemuan spiritual. Semua ini digerakkan dengan berkesan dalam campuran media syot-warna alam-suntingan-suara-runut yang jelas membenamkan filpen yang lain (alasan jelas penganjurnya mengapa filem ini diletakkan pada bahagian terakhir tayangan malam itu, "Supaya penonton tak lari awal," kata mereka - juga alasan untuk kita jika menonton Maskara Shorties, elok tunggu sampai habis, walaupun permintaan ini memaksa). Malah pada satu babak "klimaks" yang dinyatakan oleh Zahariz secara monolog (dan penceritaannya juga menguatkan naratif doku kembara ini, yang mula-mula kelihatan Jejak Rasul, namun kemudian perkara ini lenyap, menjadi lirikan kata berpuitis dan menangkap) yang turut memberi pendebaran, telah memberi suatu "hadiah" kepada penonton yang sanggup bertahan itu suatu hadiah sinema yang amat berharga. Dan secara pelik, seperti sentuhan magis juga, semua orang dalam panggung malam itu, pada detik itu, menepuk tangan!
Apa yang lebih baik daripada itu, filpen yang kelihatan mudah (namun Tuhan sahaja tahu betapa susah) ini menghampiri perkara-perkara manusia yang jarang-jarang kita dapati dalam sesebuah filpen. Inspirasi merupakan antaranya, dan terasa semacam kita, penonton juga, pada masa itu, boleh lakukan apa-apa sahaja jika kita mempunyai tekad dan niat. Malah falsafah alam, dan bahawa sinema juga merupakan suatu pengembaraan, disampaikan dengan jelas dan kena oleh pengarah, menjadikan antara doku tempatan yang paling puas aku tonton.
Babak-babak ini pun sebenarnya simpanan beribu-ribu fotaj yang Zahariz ambil dalam perjalanannya "menemui Tuhan". Aku terbayangkan Baraka kita, Samsara kita yang tersendiri, boleh dicernakan oleh pengarah ini kerana betapa syot dan caranya, begitu ikhlas sekali, menyentuh jiwa kita. Sebuah filem yang menang dan memenangkan jiwa.
Jalan Pintas(2012)
Filem yang aku beli di gerai Merpati Jingga di #JBWRF dengan tandatangan pengarahnya (jangan jeles!). Filem bebas terkini arahan Namron, dengan skrip Ayam Fared. Filem ini ditulis oleh Ayam sebelum kolaborasi mereka dalam Psiko Pencuri Hati.
Ah, sekarang aku faham kuasa Ayam Fared (dengan kesal, filem ini terlepas untuk memasuki nominasi Anugerah Majlis Pengkritik Filem KL 2012).
Filem ini tentang Bakar Najib (tapi kredit akhir ditulis Najib Razak) lakonan Auf Razak yang lewat untuk temuduga. Kita dibawa untuk melanggar ruang-masa, filem diberi kebebasan untuk imbas balik ataupun imbas muka, berkali-kali (dengan tiga struktur utama) secara bukan linear tentang seorang pemuda dari kampung yang mengejar cita-cita di kota, namun cita-cita itu (yang tercipta pula sikap intrig dan thrill kerana dia perlu melunaskan hutang dan membayar ibunya di kampung untuk adiknya) kelihatan akan terlepas daripada jari-jemarinya. Penyelesaian filem ini tidak mudah: tidak ada jalan pintas untuk sesiapa, there are no shortcuts. Maksud realiti hidup ini menyakitkan. Ini sebuah wayang yang akan menggannggu kegembiraan kita dalam masa 70 minit. Sama seperti sikap neo-realismenya, semangat ini menyerupai Daun di Atas Bantal mahupun Salaam Bombay dalam realiti dan tangkapan mimesis yang jelas lebih urban Malaysia.
Aku sudah lama tidak dituang dengan filem-filem tidak senang duduk, kerana filem-filem jenis ini (seperti di atas) selalunya mengganggu aku, buat aku depress, buat aku down (dan aku selalu sahaja mengelak). Filem ini berjaya melakukan itu. Ini kekuatan Ayam Fared dan Nam Ron.
Sebenarnya struktur pilihan, tindakan, dan ruang qada dan qadar ini pernah dicubai dalam wayang Run Lola Run (1998), yang juga berkali-kali pernah digunakan dalam beberapa filem fiksyen sains (About Time tahun ini sebuah contoh, zaman aku lagi best: Groundhog Day). Namun tujuan Ayam dan kemudian, Nam Ron berlainan daripada filem "seronok-happy ending" tersebut, seperti yang aku katakan, filem ini menyampaikan maksud sosialis yang menyakitkan akan dunia kapitalis yang dikuasai oleh orang-orang kaya yang salah, yang dengan jelas menindas dan memerah jiwa Bakar (penonton) sehingga kering. Dunia orang makan orang yang jelas ini semacam suatu mimpi ngeri tanpa jalan keluar. Lorong dan pilihan yang diberikan tidak bermakna apa-apa kerana "Akhirnya kau akan kena." Walaupun ada babak-babak seakan sketsa dan episodik (dengan pelbagai jenis manusia melingkar Bakar berkenaan duit) yang dituju kepada Bakar, menyampaikan sinikal Ayam tentang realiti sosial kotemporari (babak paling jelas ialah pekedai Indonesia itu), ianya tetap menggerutu dan menyampaikan timbangan maksud untuk menyakiti Bakar (kita) dengan suatu perjalanan satu hari yang serba tidak kena. Mimpi siang menyakitkan seorang penganggur di latar kapitalis zalim.
Kita diminta duduk dalam igauan buruk ini, berfikir, berasa: buat sesuatu. Ayam dengan jelas mahu masyarakatnya berubah. Peka. Ini sifat kemanusiaan yang tidak dibuat-buat dan memohon. Pada bahagian akhir filem, Auf melihat kita, sedikit tersenyum. Indah. Aku teringat akan wajah budak dalam 400 Blows dan memahami imejan "melihat penonton" itu. Kemudian, awan putih dan langit biru. Tenang. Aku rasa hendak menangis. Suatu renungan.
Memahami hidup Bakar sendiri menyakitkan (dan penting). Semua ini dilakukan sedikit demi sedikit, seperti kita mengupas bawang, yang menampilkan lagi dan lagi isi manusia dalam diri Bakar (yang akhirnya, jika kita sedar, watak itu menjadi kita, dengan poin babak terakhir yang jelas).
Secara politikal, Namron dan Ayam dengan jelas melakukan kritikan terhadap dasar-dasar kerajaan sekarang yang jelas jauh daripada kemahuan masyarakat yang sebenar. Nepotisme dan korupsi terus berlaku (walaupun dengan jelas, Bakar yang ditindas dibumbungi iklan yang kini disindir superfisial: "Rakyat Didahulukan"), yang kaya terus kaya dan miskin terus miskin. Ada suara yang akan mengatakan filem ini terlalu kritikal terhadap tindakan polisi Perdana Menteri sekarang, Dato' Seri Najib. Dengan jelas hal ini apabila nama Bakar Najib digunakan (Burn Najib, tulis sarikatanya, namun lagi sekali, rujuk kredit akhir), namun aku melihat perkara ini sebagai kemahuan yang lebih murni kerana nama watak itu sendiri: Bakar Najib/Najib Razak gerakan Auf. "Najib" dimasukkan (dibakarkan) dalam seorang watak lelaki tipikal Melayu yang mencari sesuap nasi. Ini dengan jelas, menjadi ruang mimpi Nam Ron untuk "Najib" diisi. Roh, (soul)nya dibakar agar "melihat" status realiti sosial sebenar sekarang (dan tidaklah para menterinya memberi komen-komen tidak masuk akal seperti bayangan kelas pertengahan Melayu yang memiliki Mercedes Benz dan banglo), bahawa aspirasi sistem pemerintahan tidak semestinya menyampaikan aspirasi rakyat dengan realiti hidup rakyat yang tercipta daripada sistem. Pemerintah mungkin melakukan yang terbaik, namun ada yang tidak kena dan perlu "dibakar", seperti bayangan menggerutu filem ini.
Suntingan Azhar Rudin penting dalam membawa maksud dan naratif, mengikat dan mengikat kesakitan wayang kita. Sinematografi oleh Tayanithi juga indah dalam sikap filem bebas, antara yang terbaik dalam filem bebas. Runut bunyi minimalis Indra Zaaba juga menyampaikan maksud dan emosi yang cukup dalam cakupan neo-realis. Lakonan semuanya baik, dengan beberapa bintang besar bergerak melanggar kebiasaan lakonan mereka. Beto Kusyairi di sini terbaik, juga Bront Palarae. Hal ini disengajakan atas seorang pelakon baharu, Auf Razak yang tidak dikenali, seperti mana kita merungkil misteri kisah dan realiti, kita merungkil perwatakannya yang misterius dan dibenci pada awalnya (rujuk beg yang digalas Auf sendiri dalam setiap babak berkenaannya), kemudian menjadi tujuan utama kita menonton dan memohon sedikit kasihan Tuhan kepadanya, hingga habis.
Filem ini sememangnya sebuah filem yang tidak akan memberikan kita ruang suka dan tenang, malah jauh lebih kelam daripada Songlap dan Bunohan (dan Chow Kit seharusnya mengikut jejak filem ini). Tiada harapan langsung. Pesimis. Malah fatalis! Salaam Bombay dan Blackboards akhirnya menemui seorang kawan dari Malaysia. Antara filem terbaik Malaysia tahun lepas.
p.s.: Aku suka pengakhiran wajah Auf, entah mengapa, mungkin intepretasi orang berlainan, tetapi aku menemui dia menyampaikan maksud "berserah" pada takdir yang dialaminya, jawapan yang kita tahu apa yang akan benar-benar dia pilih (dan kita, mungkin) dengan reda.
1 comment:
mane ek nak cari ato tgk filpen hujan panas?
Post a Comment