30 January 2012

Jalan Ke Oscar III 2012: Moneyball, The Artist

Moneyball(2011)
Filem ini adalah antara sebuah filem yang tidak menjemukan seorang yang tidak suka dengan sukan untuk menyukai sukan. Sukan filem ini adalah bola lisut. Brad Pitt mengambil tampuk watak yang dibiografikan, seorang perengus (Brad Pitt), mulut celupar (Brad Pitt) dan susah hendak dikawal (Brad Pitt, kecuali Angie Jolie saja yang dapat mengawalnya) yang mempunyai rancangan dan wawasan tersendiri (serta falsafah) tentang bola lisut dan bagaimana untuk mengurusnya (Brad Pitt, tetapi sudut filem, aku tak tipu). Inilah dunia jatuh bangun Billy Beane yang "lari" daripada sifat "komikal" buku yang diadaptasi Steve Zallian dan Aaron Sorkin, mewarnakannya dengan hakikat drama, getir, tragedi dan sifat kehidupan yang sepatutnya berkenaan seorang pemain bola lisut profesional yang gagal dan kemudian cuba mengurus sebuah pasukan liga bola lisut yang gagal, yang kemudiannya, cuba membawa "makna" lain terhadap permainannya tersendiri.

Filem ini menyumbangkan semangat kelelakian yang benar, jauh daripada sofistikasi Jerry McGuirre yang mengarah ke romantisme, filem ini lebih geitr dan individualistik dalam melakarkan watak Brad Pitt dan "rakan bantu"nya Jonah Hill dalam menyelesaikan "matematik" kegagalan mereka untuk mencapai kecemerlangan pengurusan pasukannya untuk menang.

Semuanya sempurna dalam filem ini, khusus suntingan mantap dan paparan kamera yang meyakinkan dan penceritaan yang bagus dan dramatik, digunakan oleh pengarah seboleh-bolehnya, walaupun klise, dalam memberikan momen-momen perlahan yang menguja dan mendebarkan, detik "jadi tak jadi" apabila kita menonton sebuah siaran langsung sukan. Secara rumusan, filem ini juga adalah mesin bintang Brad Bitt untuk menandingi (sebelum ini, Tom Cruise yang mula kembali dengan filem-filem aksi) George Clooney yang kini hendak mencapai tahap Robert Redford (tapi belum lagi Clint Eastwood). Menontonnya, kita terlihat sisi wajah Robert Redford yang mula berumur, dan Brad matang dengan selesa dan kelas dalam filem ini. Antara filem terbaik tahun lepas.

The Artist(2011)
Ah, sebuah filem untuk sinema. Hanya mereka yang meraikan "sinema" dan apa "sinema" berikan dapat melayani filem ini sepenuhnya, arahan Michel Hazanavicius. Filem ini jika diberikan kepada orang biasa, mereka akan kata filem ini menghiburkan, menarik dan mengapa perlu buat filem bisu lagi.

Filem ini sebetul-betulnya cuba mengembalikan rasa dan semangat Hollywood lama. Jika kalian sedar, Oscar tahun ini banyak meneliti kembali Hollywood "emas" atau lama, filem ini, filem Woody Allen (kembali ke dunia keemasannya), filem Hugo (juga berkenaan keemasan filem bisu dan perayaan sinema), Warhorse (menggunapakai unsur epik Hollywood dan western 50-an), The Help (Hollywood 60-an) dan Terrence Mallick (sinema Fantasia Walt Disney). Sebagai melihat hal itu, filem ini dan Hugo jauh ke hadapan dalam benar-benar merealisasi semangat dan dunia Hollywood tersebut, menarik lagi kerana pembikin, pelakon filem ini adalah Peranchis (rujuk beberapa pembikin Amerika yang bikin filem bisu sekarang, yang kebanyakannya tidak diendahkan) dan sememangnya suatu perayaan sinema yang meyakinkan.

Kisahnya senang dan selalu kita turuti, tetapi mempunyai dua tema gelap yang menarik. Satunya adalah sikap melihat "perubahan", khusus dalam seni sinema apabila filem bisu diubah kepada bercakap (filem ini tidak memenangkan yang mana-mana tetapi berunsur mesin nostalgia, ini wujud dan difahami apabila ada suara yang berlaku pada akhir filem), yang mana kita tahu filem ini amat merujuk Singin' In the Rain (watak Jean Dujardin amat mendekati Grace Kelly dan manerisme Rudolph Valentino), Sunset Blvd, dan termasuk Silent Movie arahan Mel Brooks! Menarik untuk diperkatakan di sini, Silent Movie merupakan filem yang jauh memahami cenderung "jatuh" Hollywood sekarang (kerana semua cerita sudah diceritakan) lantas mengambil sikap radikal membisukan filem. Ini seakan reaksi terhadap kemandulan Hollywood untuk progresif dan mencernakan karya-karya kilang (Midnight In Paris turut menyatakan hal ini).

Justeru dengan ini, filem ini tampak gah sebagai suatu pusat perayaan filem itu filem. Malah segalanya berkenaan filem dirayakan dalam filem ini, sehingga ke massa dan medianya, sehingga ke peminat dan kegelapan hidup "artis" (seniman). Babak gelap merupakan suatu tema menarik yang diangkat, runut bunyi Vertigo digunakan, misteri dan babak ngeri kejutan disusun berkenaan si watak bintang lelaki mendepani kebenaran "untuk bercakap". Metafora keseluruhan filem ini adalah sifat keterbukaan untuk menerima pembaharuan yang secara sinikalnya dialanskap dalam hitam putih serba kebisuan.

Arahan, cerita, lakonan dan suntingan adalah kuasanya, serta seni pengarahan yang benar-benar membawa kembali Hollywood yang kita kenal pada awal 30-an. Jean Dujardin mungkin menjadi pelakon bisu pertama moden yang memenangi Oscar dan hal itu sendiri begitu pelik tetapi menarik. Berenice Bejo juga menakjubkan. Kehadiran John Goodman, James Cromwell dan Malcolm McDowell lebih membawa makna jungkal balik pascamoden berkenaan "homaj" dan tersisip indah di dalam filem ini. Uggie si anjing comel turut mengambil tempat, seperti mana-mana haiwan Hollywood yang pernah menempa nama.

Filem ini kemungkinan ada sekuelnya, dalam bentuk dan hala yang lain pula. Antara filem terbaik tahun lepas.

29 January 2012

Sumpahan Kum Kum(2012): Cermin Diri


Ah, ini suatu perubahan buat MiG.

Ulasan yang aku mahu tulis ini pendek. Pertamanya, aku sangat-sangat mahu mengucapkan syabas kepada Meor Shariman dan Bob kerana menulis skrip yang dibuat oleh produksi besar ini dengan elok, seperti yang aku nyatakan dalam Cik Sik aku, "it's a descent effort, well constructed".

Ada satu babak mengejutkan yang baik oleh Bob. Juga kerana suntingan yang mencuba dengan baik. Ini berkaitan dengan babak ambil telefon bimbit di tengah malam jalan raya. Secara keseluruhan, pengarahan yang sederhana oleh Bob.

Lakonan kesemuanya biasa, tetapi aku suka babak (spoiler) "rasuk" Fezrul. Maimon Mutalib menarik, tanpa perlu banyak berbicara, gerakan dan mimiknya cukup memberi makna kepada apa yang perlu diucap. Lydiawati sangat cantik dalam filem ini, memberi "nilai" kepada babak-babak "peristiwa sebelum" yang menarik. Aku memang menunggu pelakon yang selalu tidak diperlihatkan ini untuk berperanan utama dalam sebuah filem yang sesuai untuknya. Dia antara pelakon yang mempunyai pesona tersendiri.

Filem ini menarik dalam memperlihat kembali legenda 80-an berkenaan "hantu kum kum" yang waktu itu aku amat kecil dan cerita "hantu urban" ini diceritakan supaya anak sekolah, khusus perempuan untuk tidak "lepak di longkang atau masih di sekolah lepas habis sekolah". Filem ini memberi "riwayat legenda" tersendiri bagaimana "Kum kum" ini wujud dan menghantui kampung tempat duduk watak-watak filem ini (hanya ia berfokus kepada era 90-an ke alaf 21, bukan 80-an, hanya aku rasa pelik mendengar satu babak di mana Nurul menyatakan dia menunggu balaknya ke "Ziana Zain Live at Fun Fair" kalau aku tak silap). Kajian dan cara ia susun membuka misteri "ilmu hitam" dan kaitannya dengan "Kum kum" itu bagi aku menarik. Suatu perkara lagi adalah cara ia memberi debaran terhadap gaya montaj dalam beberapa babak (babak klimaks) serta bagaimana logika "Seram" itu dibawa, dari kampung ke kota.

Paling menarik adalah metafora cermin yang digerakkan dalam filem ini sebagai objek filem ini. Secara umum, cermin ini dikaitkan dengan pantang larang ilmu hitam untuk "memanis" atau susuk yang digunakan, tidak boleh seseorang itu melihat dirinya dalam masa 44 hari di cermin bila mengambil rawatan. Ada empat watak wanita yang sengaja melihat diri di cermin, seorang (budak kecik) sahaja yang tidak betul-betul memerhatikan, walaupun ada satu syot dia di depan cermin. Di sini sahaja kita sudah tahu fungsi cermin di sini sebagai "refleksi" watak. Satu lagi yang tampak, ketiga-tiga watak "mencantikkan wajah" sebelum bertemu dengan "kekasih hati". Wajah yang sempurna merupakan "pengisian estetika" yang dibuat dan diperlukan oleh watak wanita itu untuk di"sukai" oleh sama dan beza jantina (tetapi lebih khusus si lelaki, beza jantinanya). Masing-masing melihat hal "wajah perlu sempurna" ini perlu dicapai, entah mengapa aku melihat ini menandakan wanita-wanita ini sanggup "menurut" perciptaan sistem patriaki atau kelelakian yang ditentukan (seorang wanita yang tidak sempurna fizikal boleh sahaja membuat apa yang dia mahu jika dia percaya dia boleh). Ini menampakkan sifat kritikan Meor dan Bob terhadap kelemahan dan kedangkalan wanita. Ini satu kritikan sosial yang agak menarik dalam perkaitannya dengan ilmu hitam Melayu (mereka yang menduakan Tuhan dengan penggunaan ilmu sebenarnya tidak mempercayai diri sendiri, inilah sebenarnya).

Runut bunyi filem ini mencuba, dengan banyak bermain gendang dan rebana sepertimana Keramat. Solekan hantu yang menarik dan pernah dibuat. Fotografi filem ini lemah dan tidak berdaya benar-benar menangkap latar dan rasa filem, walaupun beberapa syot jauh dan sudut yang cantik dan terjaga. Rumah si keluarga itu adalah rumah sama aku kira untuk filem seram Azhari Zain, dan juga Ahmad Idham. Mereka tak malu pilih rumah yang sama buat semua filem seram mereka?

Kalau MiG meneruskan pembikinan sebegini, bolehlah MiG menjadi jaguh kilang seram sebaik Hammer Horror UK suatu hari dulu.

klasifikasi: PG-13, dengan beberapa babak seram dan kejutan yang tidak sesuai bagi kanak-kanak, serta babak tahyul yang perlu dimaklumkan dahulu kepada kanak-kanak, sebuah babak tulang mayat dan cacing makan mayat yang mungkin tidak sesuai bagi mereka yang takutkan mayat dan pereputan mayat.

26 January 2012

Kak Nab Mimpi Aaron dan Oscar

Assalamualaikum semua,

Semalam Kak Nab mimpi sedap sangat. Itu yang Kak Nab terus nak feeling-feeling tulis bak Nur Fazura naik kapal dalam Pisau Cukur. Kalian nak tahu? Ya, Kak Nab berjaya mimpikan Aaron Aziz berdua-duaan sahaja dengan Kak Nab tanpa inter-frame suami Kak Nab dalam mimpi kat tepi pantai Carribean. Eh, jangan main tau, Aaron Aziz tu kekar. Tolonglah, Kak Nab tahu, banyak kaum-kaum hawa yang ikut pergi tengok filem KL Gangster tu sebab nak tengok kalau-kalau Aaron nanti ada babak bukak baju. Itu yang filem tu sampai 11 juta tu. Ombak Rindu pun, air mata, Maya dan telor Lisa bukannya main attraction filem tu, taaak. Aaron Azizlah jawapannya kenapa kita kaum hawa berduyun-duyun pegi tengok, walaupun Aaron jantan tak
malu, rogol anak dara, Aaron jugaklah yang kita tunggu-tunggu masuk kamar tidur, bilik air dan kolam (tapi ramai yang geram sebab yang terjun sungai pelakon lain). Ada seorang kawan lelaki Kak Nab ni, Ya Allah tuhan, Kak Nab tak bohong berkat hari Jumaat ya, dia kata dia tonton Ombak Rindu semata-mata kerana Aaron, dia kata mula-mula dia nampak Maya Karin, tapi bila Aaron keluar, terus patah selera dengan Maya!

Kak Nab tak nak lah tanya lagi jika kawan Kak Nab ni boleh masuk ujian sukarelawan Skala Kinsey. Tetapi kita kaum hawa pun memang terpukul kiri kanan melihat pandangan mata seksi Aaron yang bulat-bulat kartun Simpson, hidung mancung dan dada bidangnya. Ya Allah, jangan nak tipulah, cubalah uji demografik di KL saja, berapa ramai kaum perempuan macam dalam filem Sepet, simpan gambar lelaki di balik pintu almarinya. Itu kalau wanita kilang bujang ya. Yang dah berkahwin, geladahlah beg tangan mereka, purse mereka, Blackberry mereka dan Galaxy Tab mereka, kalian akan jumpa gambar Aaron terselit kat celah-celah mana. Kawan Kak Nab sorang ni, Maezah lagi daring, dia simpan semua gambar zaman-zaman awal Aaron masih muda dan berlakon di Singapura (orang Singapura berani-berani OK), Aaron tak ada seurat benang, hanya otot dada, paha dan tangannya yang terketar ditutup cawat putih, tersengih. Ni semua bini dan mak orang ni! Memang masa tayangan Ombak Rindu tu, sebab Kak Nab tahu Maezah ni gila sangat dengan Aaron, Kak Nab bawaklah dia, belanja. Masa Aaron keluar saja, mulalah dia mengeluh, resah, "Eronn, Eronn, Eronn ..." Sumpah Kak Nab tak bawak dia menonton lepas tu.

Itulah dia penangan Aaron, yang orang-orang Hollywood dulu dah kaji yang menatang namanya, mesin seks atau ikon seks ke apa tu (sedari zaman Rudy Valentino lagi). Orang puteh memang, tang celah kangkang pun nak dikajinya. Tapi benar pun, tak boleh lari, kita Yusni ke Mashitah ke, mahu tak mahu jiwa kita tetap meruntum bila tengok sesuatu yang kita mahu tapi malu. Tetapi itulah, takat itu sajalah wayang kita berjaya setakat ini, tak adalah yang boleh dikata-kata lagi.

Sebab itulah Kak Nab dan suami Kak Nab (syyy, korang yang kenal Kak Nab, jangan bagitau suami Kak Nab fasal mimpi Kak Nab tu, merajuk dia nanti, dahlah katil ni baru aje tukar ikut reka hias katil Maya dan Aaron dalam Ombak Rindu tu) tengah seronok tunggu Academy Awards dekat Astro Movies. Suami Kak Nab yang tak langgan Astro Movies pun teruslah langgan sebulan semata-mata Oscar. Kak Nab fikir kadang-kadang pelik juga suami Kak Nab ni, iyelah, jarang sangatlah lelaki sejati yang Kak Nab tahu melayan Oscar ni. Kak Nab sendiri banyak kawan-kawan lembut yang memang peminat Oscar ni saban tahun. Lepas tu tak habis-habis nakkan Meryl Streep menang, Meryl Meryl Meryl macam dah tak ada pelakon wanita lain.
Itulah kalau jenis adik-adik tak kenal kultur filem tapi berlagak tahu, dalam era-era mana pun, memang biasalah, akan ada satu "diva" yang mereka julung sampai kiamat. Dulu adik-adik menangkan Bette Davis, lepas tu Joan Crowford, Elizabeth Taylor, dan zaman ni, zaman Meryl lah.

Tetapi fanatik macam ni kiranya dah biasalah dengan Oscar. Macam Kak Nab sendiri, Kak Nab suka sangat tunggu pemberian anugerah untuk skrip adaptasi dan skrip asal terbaik, bagi Kak Nablah, itulah sahaja kemenangan yang betul-betul "laku" dan berharga yang keluar dari Oscar.

Tak, Kak Nab taklah sindir Oscar. Kak Nab suka benar dengan persembahan malam Oscar, babak menyanyinya, babak persembahan filem-filem lamanya, itulah yang Kak Nab paling suka. Paling seronok dah tentu tengok reaksi para pelakon yang naik pentas. Macam yang hos Golden Globe katalah, Golden Globe tu Kim Kardashian, Oscar tu Kate Middleton.

Tapi ada kawan Kak Nab ni tak berapa nak tengok Oscar pun. Kak Nab pernah bertekak-tekak manja dengannya, menyatakan pengundian Academy Awardslah yang terbaik seantero dunia kerana setiap kategori itu dipilih oleh mereka yang duduk di tempatnya. Di sini kawan Kak Nab kata Kak Nab salah. Dulu kawan Kak Nab ni pernah dating dengan Omar Shariff (ha-ah, taraf Aaron Mesir lah tu). Masa dia dok disuap-suap dengan roti Arab oleh Omar, dia tanyalah, siapa yang cik Omar undi untuk Academy masa tu. Cik Omar tu selamba saje kata "sipolan-sipolan", bila kawan Kak Nab tenung dan kata, "Kenapa dia?" Cik Omar boleh jawab, "Sebab dia sorang saja yang saya kawan dan kenal dalam senarai tu, yang lain-lain tu saya tak tahu siapa." Tergolek biji mata Kak Nab dengar tu. Maknanya, entah cik peon ke, cik lijah ke, cek muib ke, kalau dia ramai kawan, lagi senanglah dia nak menang. Fasal itulah Academy Awards, dari dulu lagi sangat-sangat bergerak dengan kaedah "melobi", alah, macam dunia politik lobi Yahudi Amerika di Kongres jugalah (bukan Yahudinya, tapi strategi dan kaedah lobi tu, kalian jangan tiba-tiba meloncat jihad pula). Sebab itu kawan Kak Nab kata, kaedah penjurian masihlah yang terbaik. Patutlah Abang Hassan Muthalib pernah cerita kat Kak Nab suruh Kak Nab jangan tonton Oscar. Alah, Kak Nab nak tengok juga bang Hassan, nak tengok macam mana Brad Pitt pegang dan pimpin Angelina dan apa Michelle Williams pakai kali ni. Kak Nab dah sedia iphone dah nak catit, macam tahun lepas, mesti beli/tiru: subang Penelope Cruz, rantai Madonna, gaun Natalie Portman, kasut Jessica Parker. Oh, mimpi-mimpi indah!

yang ikhlas,
Kak Nab

23 January 2012

Jalan Ke Oscar II 2012: The Ides of March, Midnight In Paris



The Ides of March(2011)
Aku tak berapa suka dengan filem politik yang kelihatan "terkini" dan "semasa" oleh George Clooney ini. Filem ini filem yang senang berkenaan pengkhianatan dan salah guna moral, bagaimana sekecil-kecil pilihan manusia yang menyebabkan satu-satu dinding Jerusalem boleh roboh. Filem ini buat Ryan Gosling, dan beliau mengangkat cerita filem ini dengan baik dan lancar, seorang pengurus gabenor yang kemungkinan ke arah kerusi Presiden Amerika Syarikat (lakonan George Clooney yang baik). Tragedi berlaku, dan kuasa beralih. Ia seakan dirasakan seperti satu tragedi Shakespeare moden yang tidak banyak darahnya, hanya perebutan kuasa. Pun begitu, Clooney mempunyai kuasa indah dalam menangkap detik-detik sinema yang banyaknya kelihatan diambil daripada pemerian Francis Ford Cappola. Babak Phillip Seymour Hoffman bergerak masuk ke dalam kereta lantas hanya runut bunyi sahaja yang bergerak, kamera statik mengingatkan kita kepada gaya Cappola. Penceritaan filem ini baik dan memahami keseluruhannya, tetapi tidak ada cetusan yang membuatnya diingati.

Midnight In Paris(2011)
Ah, sebagai seorang penonton Woody Allen, sudah lama benar aku menunggu Allen untuk kembali sepertimana yang aku kenal dia pada zaman keemasannya. Dan mungkinkah aku boleh bersyukur dia mula kembali (bukanlah aku menolak filem-filem progresif dan melanggar tradisinya, mungkin aku seorang romantis, seperti watak utama filem ini yang dilakonkan oleh Owen Wilson). Mungkin juga kalau diperbandingkan, ia tak mungkin sebaik filem-filem
adikaryanya yang kita sedia tahu. Tetapi dengan fontaip permulaan kredit, suara mainan Jazz kesukaan Allen, dan cara filem ini dibuka dengan gaya Manhattan, ah, betapa indah dan seronoknya.

Filem ini mengingatkan aku kepada dua filem Allen terdahulu, Manhattan yang mana sebuah cerita yang menyelubungi kita untuk jatuh cinta terhadap kota latarnya (adakah punya kemungkinan Allen sudah muak dengan New Yorknya? Tidak mungkin, tetapi aku tahu peminat Peranchisnya mengetahui mengapa filem ini dibuat), yang turut berlaku kepada aku bila menonton filem ini (aku bukanlah seorang yang mencintai Paris, lebih senang dengan Bangkok, KL, Oxford, New York, San Fransisco, Casablanca dan kemungkinan Barcelona dan Madrid) serta The Purple Rose of Cairo yang mana si protagonis turut membawa dirinya masuk ke alam eskapis "romantis" terhadap ketidaktentuan realiti sebenarnya. Di dalam filem ini, watak Owen akan menjumpai tokoh-tokoh seni besar Barat lantas mengetahui apa yang membuat mereka tercetus pemikiran seni, emosi yang mereka lalui dan hidup Paris yang mereka raikan. Filem beginilah yang aku mahu lihat berlaku dalam filem kita, sepertimana aku boleh jatuh cinta dengan Cole Porter sekarang hanya dengan beberapa babak filem ini dan bagaimana suaranya memenuhi filem ini. Inilah perayaan budaya dan ini difahami oleh Allen dengan baik sekali dalam filem (rujuk bagaimana Allen mengutuk jenis penonton Amerika dan filem yang Hollywood keluarkan sekarang, bodoh dan formulaik hiburan, anda tak terasa persamaannya?)

Di dalam filem ini, rasa, emosi, warna, asap dan suara Paris, baik sekarang (yang dipenuhi dengan kaum Amerika yang lantang, selapis dan kapitalis) 1020-an dan 1890-an menjadi hidup dan dilalui oleh Owen Wilson, seorang penulis yang mencari suara, inspirasi dan cinta sebenarnya. Filem ini juga aku tahu amat dekat dengan Allen dalam hal "nostalgia" (inilah kuasa filem-filem Allen, ia kelihatan lama tetapi tidak pernah purba, rujuk cara syot filem ini terhadap dua subjek, tipikal yang pernah pembikin kita bikin, tetapi lihat dinamis dialog yang berlaku) dan yang berkaitan dengan "romantik" (romantik sebenarnya bermakna optimis, hidup dalam impian yang tinggi). Filem ini meletakkan definisi yang betul. Inilah bagi aku filem romantik 2011 aku, jauh lebih baik (dan lama aku tunggu) sejak Eternal Sunshine of the Spotless Mind (aku tidak menyukai 500 Days of Summer) melawati kita. Kita akan ketawa, menangis dan mengikuti sifat liberal dan lapang dada tapi "merepek" Woody Allen yang diistilahkan oleh Owen Wilson, meneliti dunia fantasi (sejarah) menghinggapi realitinya, lantas terinspirasi, tersentuh dan jatuh cinta.

The Skin I Live In(2011): Lubuk Hitam Almodóvar


Aku rasa sedikit pelik apabila ramai pengkritik yang menonton filem terbaharu Almodovar ini menyatakan Almodovar yang mereka kenali tidak ada lagi dan lebih bersongkol terhadap idea fiksyen pula atau filem seram bajet rendah dalam pengalaman sinema terbaharunya. Aku tak faham, kerana bukankah hal itu yang terbiasa dalam dunia sinema Almodovar dahulu yang kita kenal dalam romantik gelap Matador atau gilanya dunia glamour Kiki dan obsesi seksual dalam Tie Me Up, Tie Me Down?

Tulisan pendek ini mungkin bukan mempertahankan Almodovar memandang aku peminatnya, tetapi melihat Almodovar secara objektif dalam pengalaman dan rasa aku sebagai penonton.

Dua perkara yang berlaku sewaktu aku menonton filem ini, yang mungkin boleh dibuat kajian mendalam. Filem ini secara dasar (dan tidaklah begitu susah hendak ditilik) SPOILER menceritakan seorang doktor pakar bedah plastik yang menyimpan sebuah "eksperimen" di dalam rumahnya, seorang "lelaki" yang dituduh merogol anaknya (yang sudah tidak siuman) yang ditukar jantinanya menjadi "wanita" bernama Vera, yang kini menyerupai mendiang isterinya (hal ini amat berpaut dengan tema noir serta tema obsesi kepada mangsa mati dan kembar seiras dalam filem Hitchcock). Dua emosi berlaku;

(1)
Walaupun proses rekonstruksi vagina itu tidaklah ditunjukkan secara eksplisit seperti filem-filem seram yang aku tonton (ingat Anti-Christ?), tetapi perjalanan "menyedari" hal itu akan berlaku dan menyelami hal itu membuat aku tidak senang duduk, "disturbed" kata orang puteh, tetapi hal ini agak "seronok" buat isteri aku.

(2)
Apabila babak "rahsia Vera" dibuka, dan kita faham saat itu kenapa Vera mencari jalan untuk membunuh diri dan mengapa watak doktor Antonio Banderas menyimpannya seperti burung dalam sangkar, dan saat babak ketiga di mana Antonio dan Vera "bersatu", setiap saat dan babak mereka bersama, dengan mata di pistol, ketidakkepercayaan dan lakonan "topeng" Vera menaikkan adrenalin aku, suspens yang mencengkam tanpa perlu memaparkan aksi mengejutkan, sudah lama sinema ngeri tidak melakukan hal ini, sebaik Hitchcock.

Filem ini, walaupun aku merasa pelik, seakan-akan sebuah filem paling moralis oleh Almodovar (dan ini berkemungkinan membuatkan ramai yang kata Almodovar meninggalkan krafnya) dengan penghukuman tipikal (dan ini kaitan amat dekat dengan filem seram bajet rendah) balasan jahat kepada jahat, masih menyimpan kesempurnaan manusiawi. Almodovar seakan memilih. Di sini, dia menyampaikan simpatinya terhadap Vera/Vicente (selalunya, sifat manusia ini lebih luas, khusus kepada watak-watak utama) yang akan dibawa masuk dalam dunia istana gothik moden yang menakutkannya. Tema yang dikaitkan dengan reaksi emosi ini adalah sifat kejantinaan dan bagaimana kita menghadapi perubahan (mahu atau tidak mahu, berkait juga dengan pendekatan Almodovar kepada Mak Nyah dalam mana-mana filemnya). Jika dalam Talk To Her Almodovar membisukan suara wanitanya dan memberi suara feminiti dan manusiawi watak lelakinya, filem ini khusus mewanitakan suara lelakinya (Vicente) dalam suatu plot yang hanya berlaku dalam dunia seram.

Apabila hal ini berlaku, Almodovar bukan sahaja menyelami dunia seksualiti dan pemahaman jati diri, tetapi (secara mengejut) pengkritikan kelas yang jelas tampak. Vicente diwakili dunia kelas mengengah bawah dan Antonio dunia kelas atasan (tetapi dirinya sendiri asasnya bawah, ini sindiran sosialis Almodovar). Dunia Antonio hancur dan dekaden (juga dekat dengan tema gothik, pengakhiran dunia bangsawan), isterinya yang berselingkuh mati apabila melihat wajah "hantu"nya, anaknya dirogol kerana hidup dalam ketidaksiuman selepas melihat ibunya meloncat dari tingkap. Antonia yang "sudah hilang segalanya" mencari "moral" sendiri dengan penguasaan dirinya terhadap "golongan rendah", si Vicente yang "agak bersalah tetapi tidak sedar apa yang dibuatnya", menyimpannya, dan mengubahnya sedikit demi sedikit. Rujukan paling dekat filem ini adalah filem seram ala kisah pari-pari, Eyes Without Faces.

Kondisi mengawal ini menarik. Secara estetika dan pemahaman sastera, Almodovar menyatakan bagaimana kita boleh mengawal karya kita, tetapi bukan rohnya (di sini bersamaan dengan pemahaman penulis mati apabila karyanya sampai kepada pembaca, hanya suara pembaca yang hidup, ini berkait dengan karya filem yang mana pengarah mati dan penonton hidup). Rohnya hidup sendiri, dalam suatu ruang yang si pengkarya pun tidak tahu, walaupun selalu memerhatikannya di CCTV (voyeur), seperti Tuhan melihat ciptaannya. Sekali gus, perkaitan ini juga memberi makna pengkajian sosial: si penguasa, walaupun bagaimana berkuasanya dia ke atas mangsanya (pihak bawahan), tidak akan dapat mengawal "jiwa" mereka. Jiwa itu sentiasa "merdeka". Khusus anak-anak golongan bawahan (ini dapat dibandingkan dengan jiwa terperangkap dan menuju kemusnahan golongan atasan, sifat dekaden yang jelas).

Seperti biasa, semua tentang imej adalah indah dalam filem Almodovar. Runut bunyinya juga menyerlah, dengan beberapa tempo rock dan tekno yang memikat. Semua lakonan menarik, khusus anak muda Elena Anaya (sebagai Vera) dan Ana Mena (sebagai Norma, anak Antonio). Antonio Banderas menyeronokkan, seorang watak "jahat" yang boleh kita senangi (tetapi watak psikonya dalam Law of Desires bagi aku lebih kompleks dan kuat, simpatiknya lebih terasa, di sini dia lebih seperti mesin yang kehilangan jiwa dan cinta, dan cuba mencarinya dalam Vera, suatu transisi yang kurang berimpak). Ada satu babak "seram" sewaktu lampu merah mengena wajah Antonio bertopeng menangkap Vicente (Jan Cornet). Ah, Marisa Peredes si wanita Joan Crowford Sepanyol itu amat sempurna dalam filem ini. Kemudian beberapa pelakon biasa dalam dunia Almodovar seperti Jose Gomez. Er, dan bukankah seorang daripada orang gaji itu Pedro sendiri? (jika benar, lebih kuatnya pendirian aku bahawa filem ini mengkritik sosial kerana Hitchcock tidak pernah menampilkan imej dirinya "kelas bawahan" dalam filem-filemnya).

Suatu jiwa gelap Pedro yang amat menarik dan wajib disimpan.


17 January 2012

Keramat(2012): Lihat Regan Berak!!

"Ada benda yang tak kena ni?!" - Zul Handyblack

Memang terkena batang hidung bila Zul Handyblack bertanya dialog di atas seperti seorang yang tersesat dalam sebuah filem komedi di pertengahan filem ini. Aku tak tahu macam mana lagi aku nak paksa Azhari dan MiG untuk berhenti buat filem seram yang entah apa-apa, serius, filem ini dah masuk tahap aku mengaku kawan dengan Dr. M lagi baik. Lagi-lagi jika anda pernah menonton filem-filem seram besar, anda akan sedar sekali lagi dan sekali lagi mesin klise The Exorcist dimainkan, dan kini berserta Evil Dead (babak melukis atas kertas, babak wanita tiba-tiba dirasuk), The Omen (petanda hitam yang seorang watak ni asyik dikacau sejak membuka sejarah syaitan) dan The Beyond serta tradisi Mario Bava (sumpahan suatu barang puaka yang membawa kepuakaan kepada mereka yang mencarinya). OK, secara umum, sebenarnya anak murid UiTM si Azhari yang tulis skrip filem ni ada "bakat" dan sesuatu yang hendak ditunjuk, dan ini buat aku, menarik, dalam tahap memperlihatkan kepercayaan tahyul dan penyelidikan psikologi (filem ini ingin menyatakan bahawa segala yang berlaku khusus pada babak akhir adalah desakan psikologi watak yang amat terganggu). Tetapi hal ini sudah dilakukan dengan lebih baik lagi oleh Histeria wahai Azhari, pergilah tonton filem itu dan lihat bagaimana James Lee memahami subteks tahyul dan psikologi.

Malah itu bukan punca besar aku mengamuk sebenarnya, punca sebenar adalah entah apa-apa lakonan watak dalam filem (khusus watak doktor pensyarah yang tak macam doktor yang "umph" "umph" tak tentu fasal) ni serta bagaimana Azhari tidak dapat memecahkan babak-babaknya dalam satu mis-en-scene yang meyakinkan. Lihat sahaja babak bila kereta mereka sampai ke "lembah tebu" dengan satu tangkapan (one take) sahaja, Azhari "cuba" menonjolkan "pelbagai hal berlaku" watak yang hilang matlamat dan tujuannya (ada satu babak muncul budak belajar pondok berserban yang kawan aku kata ni mesti budak bunian, tapi ada satu babak budak pondok ni boleh tunggang motor pulak). Hello Azhari, kamu bukan Robert Altman dan kamu bukan Suhaimi Baba yang betul-betul faham mana datang dulu dan mana datang kemudian dalam satu "one take", lainkali, mohon buatlah pecahan-pecahan tangkapan dan suntinglah (ni mesti fasal malas menyunting).

Dan segala "highlight" filem ini sudah tentu babak (klise) rasukan yang entah berapa kali dalam filem Melayu, dan kali ini, untuk meloncat ke tempat teratas melawan Regan Mac Neil yang original, kita ditunjukkan si Rebecca (yang sebenarnya boleh berlakon tetapi tidak diberi peluang betul-betul berlakon) dirasuk, kangkang lalu berak atas lantai, pewww!

Aku menonton filem ni bersama kawan, Kahar, dan kami "berseronok" dengan sedutan yang kami panggil "ahh, kita tunggu kejutan" yang mana kita akan kata, "itu kejut cipan" atau lagi tinggi "ahh, tu kejut babi". Aku kira, ada 15 cipan dan 7 babi kesemuanya (kejut tikus tak masuk). Satu rekod tersendiri dalam filem seram Melayu.

Oh ya, dalam filem ni, aku tersedar, betapa sebenarnya filem ini dibikin untuk suatu produksi filem lucah, tetapi mungkin skripnya terduduk atas meja MiG lantas sebuah filem seram MiG-Disney dibikin. Serius, kau tengoklah betul-betul, ada babak lelaki pegang tongkat dan kata "aku rasa berkuasa pegang tongkat ni" (tongkat simbol phallus) sehingga babak "Habib, habib, ni Mastura" dengan babak skodeng dan berselingkuh dalam bilik air, babak "aku tahu bini kau di mana, biar aku ambil dia", babak Adey Syafrien bau-bau tebu (phallus!) sambil kata "batangnya manis, pangkalnya pahit!", Mon Ryanti main tiang (unfortunately not strip dancing) dan babak "orgi" pada klimaks filem. Dua babak menyatakan hal ni, bila mereka, entah kenapa, sanggup tidur di pondok tengah hutan, lantas Mon Ryanti meronta-ronta (uh uh..) lalu Zul Black nak pegi tengok (skodeng), aku terus cakap kat kawan aku memimik dialog Rebecca yang masa tu 24 jam cemas: "Tak payah la pegi bang, mereka tengah main tu suami isteri..eksotik." Atau bayangkanlah babak Mastura yang tunduk-tunduk depan Habib (foreplay?), serius aku ingat Mastura (yang tak dapat tengok wajah Habib) nak tengok tongkat dalam seluar Habib!

Hanya ada satu babak "kool" iaitu makhluk halus yang mendekati Adey sewaktu dia sedang menuntut. Itu sahaja yang membuat aku tergamam suka (khusus peminat HP Lovecraft).

klasifikasi: PG-13 yang banyak darah (menstruasi dan kelar), babak seks tak melampau, tahyul melampau dan hantu. Buat aku filem ini sememangnya tak sesuai untuk tontonan kanak-kanak, kecualilah engkau seorang tua yang tak tahu nak taubat daripada berilmu syirik yang ingat dengan menonton filem sebegini dapat melenyapkan dosa syirik engkau hantar hantu kat orang lain dan untuk menambah syok kesesatan engkau, kau siap ajak cucu kau tonton sama filem macam ni untuk buat dia takut.

12 January 2012

Jalan Ke Oscar 2012 I: The Help, Drive

Aku sedang cari senarai filem yang dicalonkan dalam SAG, BAFTA dan Golden Globes 2012, yang mana menjadi penanda untuk memasuki Academy Awards (walaupun betapa ramai pengkritik tidak bersetuju dengan majlis anugerah ini). Buat masa ini hingga Oscar, aku cuba tonton kesemua yang aku jumpa.

The Help(2011)
Panggillah aku "not edgy" tetapi filem ini, setakat ini apabila menontonnya merupakan pemilihan aku untuk menang filem terbaik pada malam Oscar nanti. Filem ini mengikut penggayaan yang pernah dibikin dengan dasar drama-komedi yang enak berkenaan orang gaji kulit hitam di Jacksonville pada zaman Martin Luther King Jr. sedang perjuangkan hak kebebasan orang kulit hitam di Amerika Syarikat. Dua kehidupan diambil, lakonan Viola Davis yang mengancam (siapa kata Meryll seorang sahaja boleh menang?) dan yang aku suka, Octavia Spencer sebagai kawannya. Mereka ditemukan dengan Emma Stone (ok, aku tonton filem ini kerana Emma awalnya) yang ingin menulis tentang riwayat hidup mereka. Maka segala konflik dan kesusahan, serta keindahan yang mereka lalui diperturunkan kepada Emma. Mereka yang tidak bersuara akhirnya dapat bersuara. Kisah ini bukan kisah benar, walaupun kemungkinan kisah ornag kulit hitam dan fakta peristiwa yang berlaku adalah benar. Secara keseluruhan, filem ini amat "well cast" dengan sebuah cerita yang anggun berkenaan orang-orang kecil yang tertindas dan kelemahan sosial yang melanda Amerika waktu itu. Roh emosi yang mengaitkan hal ini ialah Emma yang memerlukan "perhubungan cerita" ini atas hal yang amat peribadi buatnya. Dan ini membawa kepada satu perjuangan. Walaupun nampak "pernah buat", ini sebuah sinema melodrama wanita yang penuh air mata yang cukup manis buat aku (kalau dibandingkan dengan Ombak Rindu), ia masih melingkar persoalan keadilan perkauman putih-hitam To Kill A Mocking Bird dengan sentuhan ala Desperate "Maid" Housewives dan bumbu "self teraphy" (khusus babak-babak penceritaan, inilah bumbu terindah filem ini) yang memberi kita satu ketenangan dan kemenangan seperti mana yang pernah Ordinary People (antara filem peribadi terbaik buat aku) pernah lakukan buat aku. Sangat mengkagumkan.

Drive(2011)
Kalau kalian pernah menonton Le Samourai yang dilakonkan oleh ikon seks Alain Delon, inilah contoh filem bergaya itu dengan semangat abad ke-21. Yep, aku nasranikan filem ini sebagai The Samurai abad ke-21. Pengarahnya, Nicolas menyatakan filem ini ditujukan kepada Sang Pujangga Cult Alejandro Jodorowsky, tetapi secara menariknya, filem ini turut mengimbau penggayaan indah dalam imej keganasan yang wujud sedari Sam Peckinpah lagi (yang mana turut mempengaruh kebanyakan pembikin yang mementingkan gaya dalam filem mereka). Aku suka, bila setiap detik yang lembut, perlahan, senyap dan kadang-kadang tidak disedari ditemukan dengan imej atau aksi yang melantun hiperbola emosi (macam lah hal ini tidak pernah dibikin), membuak ganas dan kadang-kala, mengimbau keganasan secara sedak. Babak-babak ini (khusus babak lif) termasuk dengan pencahayaan sengaja neo-noir dan amat Lynchian. Walaupun filem ini mempunyai kandungan - pentingnya ialah penggayaan, melodinya yang dimainkan, wujud dalam metafora pemanduan laju itu sendiri. Malah inilah yang dipaparkan betapa "sunyi"nya jiwa si Ryan Gosling tetapi betapa fahamnya dia akan "sebab akibat" sekeliling - dia merupakan antara watak psiko paling menarik yang pernah dipaparkan dalam sinema. Seperti filem (dan mengambil semangat Sam, pembawa "kuda", koboi yang melalui dataran ke dataran lain), keseluruhan filem seperti suatu perjalanan, laju atau lembap, menghala ke suatu titik. Ryan mengintepretasi gaya itu dalam pemanduan dan perwatakannya, dan cerita dihidangkan dalam filem ini, hanya untuk melembapkan perjalannya atau mengujanya untuk memecut. Antara filem Amerika terbaik tahun ini.

11 January 2012

Bunohan Masuk Rotterdam 2012


BUNOHAN’s European Premiere at Rotterdam International Film Festival
Malaysian action-drama BUNOHAN has been invited to have its European premiere at the prestigious International Film Festival Rotterdam (IFFR) held from 25th Jan to 5th February. Rotterdam is one of the world’s largest audience driven film festivals, attracting 340,000 visitors in 2011.

BUNOHAN had its world premiere at the Toronto International Film Festival in September 2011, and picked up the NETPAC Award at the Taipei Golden Horse Film Festival in October 2011. It is currently screening at the Palm Springs International Film Festival (January 5-16 2012).

This highly anticipated film hits Malaysia cinemas on 8th March 2012.

Laman kunjungan: www.bunohan.com

03 January 2012

Relationship Status: Muka Buku Urban Love Actually


Filem ini ada sesuatu. Pertama sekali, filem ini sememangnya sesuai buat mak cik dan pak cik dan kakak dan adik dan couple-couple yang mahu menonton sebuah filem drama-komedi romantik berkenaan perhubungan, yeap, filem-filem yang kini dan selalu kita jumpa hanya wujud dalam dunia Hollywood, anak-anak indie Sundance 90-an dan Ashton Kutcher akhir-akhir ini.

Filem ini filem bebas kedua pengarahnya (yang turut menulis dan menyuntingnya) selepas Ciplak, sebuah filem yang amat-amat disanjung oleh Hassan Muthalib di mana-mana beliau bercakap dan berjalan. Aku boleh kata, filem ini lebih "mainstream" daripada filem pertama beliau, khususnya kerana tema yang dipilih. Ada sebuah filem Indonesia dua tahun lepas (ya, Indonesia sangat maju tapi tak semestinya baik), I Know What You Did On Facebook yang mempunyai tema sama, perhubungan, seks dan perselingkuhan di Facebook. Tetapi filem itu terlalu melibatkan dirinya dengan melodrama dan over acting yang tidak sudah-sudah tentang kehidupan bernafsu muda-mudi Jakarta. Filem ini semacam kawan sampingannya yang lebih beradab, bertudung Yuna (maknanya moden dan terbuka tapi sopan!) dan sok-sek sok-sek hal-hal yang panas di sebuah kedai kopi serba hawa dingin, tetapi masih membawa isi(weight) dan inti.

Filem ini turut menjurus penggayaan himpunan pelakon Hollywood 50-an yang dipopularkan kembali oleh Richard Curtis (all-star cast itew) dengan penelitian perhubungan Fred Schepisi dan gaya tangkapan "realiti" Steven Soderbergh, semuanya shaky-shaky camera dan warna ton bumi dan pencahayaan matahari dan lampu dalam kereta. Semua ni OK, jika ceritanya OK.

OK, ceritanya OK. Aku suka cara filem ini diperkembangkan dan cara ia diakhiri lantas amat menghormati jujukan kotemporarinya (seperti yang dinyatakan di atas) yang ditunjangi oleh semangat penceritaan yang bercakap tentang emosi-emosi penting yang tidak biasa kita tonton dalam filem Melayu (fasal tu ada nanti mamat minah Kongsi dan Ombak Rindu akan blur dan tidak sepatutnya) tetapi wujud dalam dunia lanskap realiti kita (di sini, khusus realiti lanskap mamat minah urban). Pun begitu, aku tidak suka dengan awalnya yang disengajakan bergerak mundane dan banyak persoalan dan tali-tali yang tidak terikat. Hal ini perlulah Khairil ambil fokus, khusus dalam mendramatasikan satu gerakan yang padu dalam penangkapan latarnya. Apabila Gavin Yap memasuki bilik bosnya yang dilakonkan oleh Susan Lancanster, babak itu terasa seperti satu babak panjang Televisyen Pendidikan subjek Bahasa Inggeris yang aku selalu tonton di RTM2 (orang sekarang panggil TV2). Kemudian "bang" secara tiba-tiba bila Susan dengan muka selamba memberi petikan kata-kata Gavin yang mempersendanya di dalam blog. Ini menunjukkan, skripnya sudah begitu pasti menyeronokkan, bijak dan tahu ia hendak ke mana, hanya pelakon dan sedikit keupayaan pengarahan memerlukannya untuk menongkah daripada terperangkap dalam situasi amatur.

Kerana sedikit sebanyak, terdapat beberapa momen yang indah yang berjaya diungkap oleh filem ini berkenaan emosi manusia dan bagaimana manusia menghadapinya, yang buat aku menjauhi melodrama hindustani ala Cinta dan menangkap kesanggupan sepenuhnya untuk menunjukkan "apa yang benar-benar terjadi di depan muka". Kita tidak banyak filem sejujur dan berusaha sebegini. Hal ini amat aku puji.

Ya, dunia ini satu dunia manusia yang kompleks, dipenuhi dengan manusia yang susah hendak diagak. Facebook yang merupakan tema utama filem ini (lantas membuat punggung Mark Zuckenberg lebih besar kerana setakat ini, media sosial sarwajagatnya sudah berjaya dibikinkan filem oleh kebanyakan pembikin filem dunia termasuk sebuah negara kecil di Eropah) merupakan kosmetik dan kadang-kala "satu lagi isu" untuk diperkatakan oleh manusia ini. Semangat manusia tetap manusia tampak begitu optimis dan begitu diraikan. Aku tidak berapa suka dengan pengakhiran filem ini menjelaskan "kerja rumahnya" kepada penonton dengan tidak banyak hal-hal yang ruwet, tetapi perjalanan yang diberikan, emosi-emosi yang dinamis, hal-hal kecil yang kita jumpa dalam watak-watak dengan pilihan dan reaksi mereka, itulah yang membuat "isi" filem ini jauh lebih berharga, kompleks dan mendalam daripada tesis "tugas pertama" Gavin Yap untuk bosnya (sebuah artikel tentang media sosial). Dan hal inilah yang amat-amat aku sanjungi.

Tontonlah lakonan pelakon filem ini, yang walaupun sudah diketahui tidak akan memenangi anugerah pelakon terbaik FFM kerana kuatnya Akmal Abdullah dan Dr. Naim menjaganya, inilah contoh baik untuk melihat lakonan yang tidak dibuat-buat dalam dunia sehari-hari. Aku menyukai Gavin Yap, Davina Goh, Tony Eusoff, Baki Zainal, Ruzana Ibrahim, dan Benji Lim. Aku agak kecewa dengan pelakon yang pernah memenangi FFM, Susan kerana beliau boleh buat "lebih dari itu" tetapi semacam beliau amat mengawali lakonannya untuk benar-benar mengeluarkan jiwanya. Daphne Iking adalah contoh pemenang FFM yang berwibawa dan membawa "nilai" dalam filem ini.

Ada beberapa babak dalam filem ini kita tidak dapat mendengar kata-kata wataknya kerana teknikal suara yang agak lemah, yang aku agak adalah semangat realisme yang hendak dibawa oleh pengarahnya (dan pernah dilakukan dengan lebih ekstrem dalam Heaven's Gate). Runut bunyinya menarik dan membantu mood, khusus pemilihan lagu babak Daphne Iking mendepani bekas suaminya.

Sebuah filem bebas yang baik kerana usahanya dan perlu ditonton kerana sejarahnya (filem pertama Facebook kita!) Bodohlah korang kalau korang tak mahu menontonnya (haha, ini kali pertama aku IKLAN dan PROMO sebuah filem tempatan, yang selalunya aku tak buat), hanya kerana kebanyakan wataknya bercakap Inggeris (jangan libatkan PPSMI dalam hal ini sudah) dan penggayaannya yang lari daripada menyucuk setiap babaknya dengan lagu-lagu-lagu seperti yang dibuat oleh Metrowealth, KRU dan Skop Productions. Sebab percayalah, Khairil M. Bahar adalah antara pengarah muda yang perlu diikuti dan akan disegani pada masa-masa depan nanti.

klasifikasi: PG-13 dan sepatutnya kerana beberapa kata kesat yang tidak melampau, bicara seks dan memaparkan gaya hidup "luar nikah" yang tidak sesuai bagi orang Islam/ketimuran.

nota fadz: filem ini akan mula ditayangkan pada 5 Januari 2011 di TGV yang terpilih serata Malaysia (5 tak silap aku).