Showing posts with label Ismail Bob Hashim. Show all posts
Showing posts with label Ismail Bob Hashim. Show all posts

29 August 2013

Paku Pontianak(2013): Jari Tengah Buat Anti-Tahyul

Tentu filem ini klise bagi peminat yang sudah menelusuri filem Thailand, Nang Nak (yang kemudian diberikan spoof yang baik, Pee Mak). Tetapi aku berharap hal itu tidak atas nama idea sebalik filem ini (yang juga berkaitan dengan Pontianak Harum Sundal Malam) yang cukup dekat dengan kefahaman tahyul-hantu nusantara.

Suatu yang menarik, nuansa dan "cara" keleteh dan gerak perilaku watak-watak kampung yang dikhuatiri di utara Perak (kerana watak Adam lakonan Pekin Ibrahim seorang usahawan industri kecil yang menghasilkan labu sayong) amat kemelayuan dan mengikut jejak-langkah dan sikap kekampungan. Sesiapa sahaja yang pernah membaca siri novel misteri-seram popular Bercakap Dengan Jin oleh Tamar Jalis (yang juga berdasarkan latar sekitar Perak) akan mendapati nuansa-nuansa ini ditimbulkan dalam filem ini dengan baik sekali. Sikap busuk hati dan keberanian, "tak manis orang nampak", dan tipikal "orang kampung dah mula bising" merupakan kebiasaan dalam dunia hal orang kampung. Hal ini penting dalam memahami, sekurang-kurangnya buat aku, mengapa filem ini, walaupun tidak mungkin memenangi apa-apa anugerah mempunyai kepentingan dalam leksologi sejarah filem seram Malaysia.

Memang alur dan jalur konvensional lelaki patriaki ke arah kelemahan wanita akan difahami daripada tujuan "memaku" pontianak, suatu bayangan yang kemungkinan amat menyinggung perasaan para feminis (wanita ditindas secara imej fizikal, bahawa untuk "menjinakkan" keliaran pontianak/wanita itu, paku yakni simbol lelaki ditusuk, lalu wanita itu menunduk dengan keinginan sang lelaki). Hal ini juga berkaitan dengan sikap pihak manusia yang ingin "mengamilasi" pihak hantu (yang dibuang/marginal!) memasuki komunitinya. Filem ini dengan plot senang, membina premis itu daripada pertemuan Adam dengan Melati di tengah-tengah jalan raya pada tengah malam (persis plot dalam kisah Tamar Jalis mahupun Tok Awang Ngah). 

Konflik berlaku apabila perhubungan Suraya (Adiba Yunus) dengan Adma kelihatan terlerai atas kemunculan Melati dalam hidup keluarga Fatimah (Ruminah Sidek), ibu Adam dan Farid. Kisah seorang wanita yang hilang ingatan dan dijumpai di tengah-tengah hutan membawa enigma. Enigma itulah yang merunsingkan orang kampung. Hal ini menarik. Kita tidak lihat imej "orang kampung bercakap-cakap" fasal kehadiran Melati dalam keluarga Fatimah. Kita hanya lihat Fatimah yang mula "runsing" dengan cakap-cakap orang kampung (dan hal ini juga membawa kehadiran Pak Leh, pak cik dan adik arwah ayah Adam dan Farid). Cakap-bercakap ini menjadi mesin sosial yang amat ampuh menentukan nilai sosial tertentu. Kehadiran Melati dianggap "risque" kerana bukan muhrim (walaupun yang tinggal bersama-sama Fatimah hanya Farid dan isterinya, Adam sekali-sekala menjenguk) terhadap Adam dan Farid. Hal kecil diperbesarkan dalam tetangga sebuah kampung Melayu.

Lihat dasar luas tempatan apabila kemunculan filem-filem seram yang sejak Pontianak Harum Sundal Malam cuba "berasimilasi" dalam kesedaran budaya wayang Melayu-Malaysia. Ada yang membincangkan hal estetika. Namun yang lebih jelas ialah omong-omongan "kerisauan" kehadiran filem tahyul ini "memendekkan akal orang Melayu", merosakkan nilai murni Melayu, mengurangkan daya intelektual Melayu dan bermacam-macam lagi lemparan, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir berkenaannya. Hal "takut" ini mencapai sikap fanatik apabila dapat dilihat dalam komen dan perbincangan yang dibuat dalam media sosial beberapa menteri secara umum.

Dalam keadaan "krisis" ini, dalam keadaan filem ini apabila Adam yang kemudian "mengikut" tekanan sosial, mengahwini Melati. Pada masa sama, Melati mula menunjukkan sifat pelik ala Kuntilanak (trilogi filem pontianak Indonesia menarik itu) dengan menari-nari dengan nyanyian pelik (aku gerenti suara nyanyian itu diambil daripada filem Indonesia tersebut!). Gayanya begitu misterius dan mengasyikkan. Suatu yang jelas: Melati/Pontianak tidak peduli pun tentang apa-apa yang diperkatakan oleh orang berkenaannya! Melati seakan-akan suatu enigma yang tetap berdiri dan hadir di situ tanpa memohon apa-apa. Hanya orang yang bercakap tentangnya, hanya orang yang takut-benci dengannya, sama seperti alegori filem seram yang hadir dalam realiti wayang kita sekarang.

Hal ini menjadi lebih menarik lagi apabila kita diberikan satu klimaks falasi (spoiler!) pada akhir filem apabilaMind f***! Di luar, pontianak berbuaian (rujuk Seru. Kini ciri buaian difahami, yakni "ruang hantu bermain-main". Filem seram MiG banyak menampilkan imej ini, dan jelas di sini menimbulkan simbolisme hantu itu sudah menyesuaikan diri dengan tempat tinggal manusia tersebut) Kini, mainan filem seram MiG naik satu tangga. Ismail Bob Hashim dan penulis skrip, Pierre Andre (serta entah sesiapa dalam panel skrip MiG) meletakkan jari tengah besar-besar kepada semua pencaci dan pembenci filem seram-tahyul: Hey, kami di sini dan kami tetap di sini! Malah ilusi paku itu dimusnahkan (dan undang-undang dilanggar). Segalanya berkemungkinan. Melati/hantu tidak dapat dijinak lagi. Melati yang memilih siapa yang dia inginkan, dan dia akan sentiasa bersama-sama orang yang dia sayang. Subversif dan sekali gus radikal.
kononnya, penyeleraian berlaku apabila Pak Leh membuka kisah sejarah "Melati" kepada Adam. Adam "membuka paku" di belakang tengkuk Melati. Melati berubah menjadi pontianak semula, dengan sayu meninggalkan Adam yang hiba. Filem seram (rupa-rupanya) tidak sesuai duduk bersama manusia Melayu, terbanglah, pergilah tinggalkan kami, usah ganggu kami lagi, kata Pak Leh. Adam hiba dan terus hiba. Kemudian: jeng jeng jeng, Adam terbangun daripada mimpi ngeri! Melati tetap di sisinya! Adam melihat tengkuk Melati dan tidak ada paku!

Pergerakan filem lemah-lembut dan kadang-kala terlalu lambat, sengaja dilengah-lengahkan oleh Ismail Bob Hashim dan penyunting. Hal ini kadang-kala memeritkan namun membawa semangat gaya lambat yang tipikal dalam filem seram Eropah era 1930-an (rujuk homaj yang dibikin Werner Herzog dalam Nosferatu the Vampyre). Runut bunyinya walaupun diketahui dicedok daripada beberapa filem seram lama, memberi impak menarik walaupun ada yang terlalu. Mainan muzik tradisionalnya tampak menarik dan misterius. Suntingannya buat aku baik dengan beberapa posisi penceritaan yang bergerak menarik, juga terdapat beberapa babak yang agak menyeramkan. Hal ini dibantu dengan sinematografi dan pencahayaan Mohd Shahreel Abu Bakar yang jelas amat baik dan melangkaui filem-filem buruk MiG yang sebelumnya. Terdapat satu babak kereta waktu malam pada awal filem yang berjaya menjelmakan semangat yang begitu jelas memahami ruang memomokkan (creepy), sesuatu yang tidak kelihatan berjaya dicipta oleh ramai pembikin filem tempatan. Babak itu, aku ingat, menunjukkan keadaan Pekin yang tidak keruan. Seakan-akan malam yang statik itu menyerangnya (walaupun tidak ada hantu yang perlu timbul). Suatu pujian. Hanya terdapat efek-efek suara yang melampau-lampau, walaupun ianya satu peningkatan (terdapat beberapa babak yang sunyi dan diam, bikinan yang menarik kerana dibuat dalam filem seram MiG yang selalunya bising dengan bunyi-bunyi).

Kebanyakan lakonan semua pelakon baik dan menarik, walaupun terdapat beberapa canggungan. Pekin kiranya agak menarik membawa seorang lelaki yang tidak tahu-menahu, "dipilih" oleh takdir untuk melalui suatu perjalanan yang mungkin akan mengganggu kesiumannya (dan secara menyindir, intelektualnya, hahaha!) dalam hidup. Yang lain-lain memberi sokongan yang termampu. Walaupun Uqasha Senrose ini baharu, dia mempunyai sesuatu. Ya, lakonannya mungkin tidak perlu mencabar dan tidak pun mencabar dalam filem ini (dia hanya perlu tersenyum dan berdiri masuk kamera kadang-kadang), namun wajah dan bentuknya, matanya cukup memberi pesona misteri yang diperlukan, menyampaikan maksud yang tidak akan disedari Adam.

Antara filem terbaik MiG setakat ini, walaupun mereka menggunakan asap klise pada waktu malam.

Klasifikasi Paku Pontianak: PG-13, terdapat beberapa adegan mengejut, seram dan sikap seksual yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah umur, memerlukan kawalan penjaga.
DITONTON DI GSC Berjaya Time Square.

03 March 2012

Adnan Sempit 2(2012)



Pendek kata:
Kenapa nak bikin sebuah lagi yang dulunya dah klasik dan kultus?

Kau ingat dunia pemasaran bebas ni bagai lembu betina bersusu gemuk yang senang kau picit putingnya tanpa cara dan rangka yang betul?

Aku menangis kerana wayang kita yang entah ke mana-mana.

Tolonglah para pembikin, berhenti jadi kapitalis, dan duduk berfikir untuk anak bangsa seketika.

Inilah kali terakhir aku tonton filem romcom Melayu sebegini.

Titik.

29 January 2012

Sumpahan Kum Kum(2012): Cermin Diri


Ah, ini suatu perubahan buat MiG.

Ulasan yang aku mahu tulis ini pendek. Pertamanya, aku sangat-sangat mahu mengucapkan syabas kepada Meor Shariman dan Bob kerana menulis skrip yang dibuat oleh produksi besar ini dengan elok, seperti yang aku nyatakan dalam Cik Sik aku, "it's a descent effort, well constructed".

Ada satu babak mengejutkan yang baik oleh Bob. Juga kerana suntingan yang mencuba dengan baik. Ini berkaitan dengan babak ambil telefon bimbit di tengah malam jalan raya. Secara keseluruhan, pengarahan yang sederhana oleh Bob.

Lakonan kesemuanya biasa, tetapi aku suka babak (spoiler) "rasuk" Fezrul. Maimon Mutalib menarik, tanpa perlu banyak berbicara, gerakan dan mimiknya cukup memberi makna kepada apa yang perlu diucap. Lydiawati sangat cantik dalam filem ini, memberi "nilai" kepada babak-babak "peristiwa sebelum" yang menarik. Aku memang menunggu pelakon yang selalu tidak diperlihatkan ini untuk berperanan utama dalam sebuah filem yang sesuai untuknya. Dia antara pelakon yang mempunyai pesona tersendiri.

Filem ini menarik dalam memperlihat kembali legenda 80-an berkenaan "hantu kum kum" yang waktu itu aku amat kecil dan cerita "hantu urban" ini diceritakan supaya anak sekolah, khusus perempuan untuk tidak "lepak di longkang atau masih di sekolah lepas habis sekolah". Filem ini memberi "riwayat legenda" tersendiri bagaimana "Kum kum" ini wujud dan menghantui kampung tempat duduk watak-watak filem ini (hanya ia berfokus kepada era 90-an ke alaf 21, bukan 80-an, hanya aku rasa pelik mendengar satu babak di mana Nurul menyatakan dia menunggu balaknya ke "Ziana Zain Live at Fun Fair" kalau aku tak silap). Kajian dan cara ia susun membuka misteri "ilmu hitam" dan kaitannya dengan "Kum kum" itu bagi aku menarik. Suatu perkara lagi adalah cara ia memberi debaran terhadap gaya montaj dalam beberapa babak (babak klimaks) serta bagaimana logika "Seram" itu dibawa, dari kampung ke kota.

Paling menarik adalah metafora cermin yang digerakkan dalam filem ini sebagai objek filem ini. Secara umum, cermin ini dikaitkan dengan pantang larang ilmu hitam untuk "memanis" atau susuk yang digunakan, tidak boleh seseorang itu melihat dirinya dalam masa 44 hari di cermin bila mengambil rawatan. Ada empat watak wanita yang sengaja melihat diri di cermin, seorang (budak kecik) sahaja yang tidak betul-betul memerhatikan, walaupun ada satu syot dia di depan cermin. Di sini sahaja kita sudah tahu fungsi cermin di sini sebagai "refleksi" watak. Satu lagi yang tampak, ketiga-tiga watak "mencantikkan wajah" sebelum bertemu dengan "kekasih hati". Wajah yang sempurna merupakan "pengisian estetika" yang dibuat dan diperlukan oleh watak wanita itu untuk di"sukai" oleh sama dan beza jantina (tetapi lebih khusus si lelaki, beza jantinanya). Masing-masing melihat hal "wajah perlu sempurna" ini perlu dicapai, entah mengapa aku melihat ini menandakan wanita-wanita ini sanggup "menurut" perciptaan sistem patriaki atau kelelakian yang ditentukan (seorang wanita yang tidak sempurna fizikal boleh sahaja membuat apa yang dia mahu jika dia percaya dia boleh). Ini menampakkan sifat kritikan Meor dan Bob terhadap kelemahan dan kedangkalan wanita. Ini satu kritikan sosial yang agak menarik dalam perkaitannya dengan ilmu hitam Melayu (mereka yang menduakan Tuhan dengan penggunaan ilmu sebenarnya tidak mempercayai diri sendiri, inilah sebenarnya).

Runut bunyi filem ini mencuba, dengan banyak bermain gendang dan rebana sepertimana Keramat. Solekan hantu yang menarik dan pernah dibuat. Fotografi filem ini lemah dan tidak berdaya benar-benar menangkap latar dan rasa filem, walaupun beberapa syot jauh dan sudut yang cantik dan terjaga. Rumah si keluarga itu adalah rumah sama aku kira untuk filem seram Azhari Zain, dan juga Ahmad Idham. Mereka tak malu pilih rumah yang sama buat semua filem seram mereka?

Kalau MiG meneruskan pembikinan sebegini, bolehlah MiG menjadi jaguh kilang seram sebaik Hammer Horror UK suatu hari dulu.

klasifikasi: PG-13, dengan beberapa babak seram dan kejutan yang tidak sesuai bagi kanak-kanak, serta babak tahyul yang perlu dimaklumkan dahulu kepada kanak-kanak, sebuah babak tulang mayat dan cacing makan mayat yang mungkin tidak sesuai bagi mereka yang takutkan mayat dan pereputan mayat.

08 December 2010

2 Felem Melayu Dekat-dekat Maal Hijrah

Pertama sekali, arwah Yasmin masih bolehlah terkekeh apabila festival filem Asia Pasifik (FFAP - buat kalangan pembikin filem, ni kiranya festival filem tahap nyamuk, walaupun dah lama bergerak) memberi beliau anugerah "Pengarah Terbaik" untuk Muallaf. Errmmm, tak faham kenapa Malaysia tak hantar Evolusi Kl Drift 2, bukankah pengarahnya menang baru-baru ni di FFM? Dan ya, Magika sebagai Filem Terbaik FFM tahun ni tak bawa balik apa-apa dari FFAP.

Hebat tak juri-juri kita?

Apa-apa pun, tahniahlah kepada filem-filem yang dipilih ke FFAP tahun ini.

Di bawah ini pula aku ringkaskan dua buah felem yang aku tonton dekat-dekat Awal Muharam yang mana aku boleh gerenti juga takkan boleh menang mana-mana festival. Oh ya, kita buat filem untuk untung kan, bukan untuk menang.

Saya Tak Bodoh(2010)

Boris Boo, kalian kenalkah? Yeap, aku pun tak kenal tapi aku rasa dia mesti mamat Singapura yang diberi peluang mengarah filem adaptasi I'm Not Stupid karya Jack Neo yang sangat terkenal di Singapura.

Premisnya sebenarnya menarik filem ni, malah adaptasi yang mencuba, dibikin oleh Hassan Muthalib nampak seimbang. Hanya pelaksanaan skrip ini ke filem yang tampak lemah. Banyak sangat babak yang kelihatan tidak disusun atau distruktur dengan baik, ditambah dengan kemalasan pengarah untuk menggunakan banyak suntingan laju dan sudut tangkap yang lebih menarik.

Tapi babak pendidikan seks dalam filem ini memang "priceless". Ini adalah kerana ia digerakkan dengan semangat anak-anak yang tidak memahami seks. Babak ini amat menarik.

Aku tak suka Amy Mastura dalam filem ni, dia sebenarnya tampak penyayang dan motherly, dan cara dia dibawa memarah dan meleter seakan-akan dibuat-buat walaupun dia mencuba (Amy pernah melanda watak yang lebih mencabar dan bagi aku, ini kekuatan Aziz M. Osman membimbingnya). Pelakon yang berlakon jadi Sudin tu boleh pergi jauh, kalau dia tahu pengarah dan skrip mana yang boleh membawanya jauh. Adibah Noor menyeronokkan dalam filem ini.

Tetapi aku tak tahu mengapa, didaktik tipikal Jack Neo tampak masih tidak sesuai sangat untuk filem ini, Hassan Muthalib. Mungkin kerana cara "pengajaran" yang berlaku dalam filem ini tampak "biasa" dalam Opera Cina, yang sebenarnya wujud dalam wayang kulit kita (watak Wak Dogol atau Wak Seman yang membaiki keadaan) tetapi di sini, cara ia tersusun tampak sedikit artifisial. Hal ini merupakan kretiviti Hassan dan Boris untuk memahami dengan mendalam lagi jenis tempat dan ruang yang boleh dimainkan, dan muka memasukkan kesemua watak dalam satu babak dalam satu tempat pada satu masa.

Ngangkung(2010)

Ada tiga dialog yang aku ingat dalam filem ini.

KTM - Kuda, Tutu, dan Mak-Nom!

"Ohh, beristighfar, Islam lagi rupanya!"

(yang ketiga, nanti ...)

Sebenarnya filem ni seronok dan ada babak seram-komedinya memang menjadi, malah poin didaktismanya bagus (jangan guna benda syirik untuk main judi yang haram), tetapi sekali lagi, cara pelaksanaannya boleh dibikin dengan lebih baik. Tetapi secara plot, filem ini memang ada plot.

Aku sebenarnya tak lah jumpa apa-apa daripada filem ini, selain aku menyedari, lawak, walaupun ia sejanggal dan sebodoh mana, ia boleh mengeluarkan ketawa, dan hal ini bukan selalu dan bukan senang dibikin. Ini dipanggil lawak "gags".

Contohnya, dalam filem Airplane!, banyak "gags" yang amat-amat menjadi dan lawak, yang diteruskan dalam mana-mana filem berbentuk rujukan. Gags menjadi dan hanya akan menjadi jika penonton yang dikaitkan mengetahui makna simbol yang dimainkan (selalunya merujuk kepada budaya popular setempat).

Dalam filem ini, sebuah babak memberinya dengan baik dan secara tiba-tiba. Pada waktu itu, si pelakon Senario Lan Pet-pet (melakonkan watak ini dengan baik sekali) masuk ke rumah si mangsa yang dikacau hantu, apabila dia mengheret hantu itu keluar rumah (dengan mencubit telinga hantu itu), si wanita jatuh pengsan. Si suami memangku isterinya di depan ruang tamu. Tiba-tiba Lan Pet-pet kembali dengan kamera digital di tangannya, lantas mengambil gambar, dengan dialog ketiga yang aku ingat: "Senyum semua, nak masuk Facebook..."

Si isteri yang pengsan tiba-tiba bangun dan tersenyum.

Yeap, babak ini sungguh hiperbola sebagai sebuah aksi yang logik, tetapi seluruh anggota dalam pawagam tergelak ribut kerana babak ini, kenapa? Yeap, kaitan budaya popular yang sungguh kuat terhadap situasi babak itu (cemas). Ini dikaitkan pula secara tidak sengaja dengan keriuhan masyarakat untuk "menangkap" aksi dan gambar cemas lantas dimasukkan dalam YouTube, Facebook atau media sosial baharu untuk dikongsi (sepertimana Uncle Seekers lakukan berkenaan Tuanku Aisyah). Persoalan ini menarik sebagai komentar sosial, yang mana filem ini serta filem atas cuba dan agak berjaya untuk nyatakan kepada masyarakat.

Tetapi pengakhiran filem ini, walaupun patut dan kena, seakan dilaksanakan kurang bermaya.

Bukan apa, ada yang beritahu aku, Ngangkung bakal lawan Adnan Semp-It yang bagi aku masih banyak babak-babak lawak yang genuine. Bagi aku, tak, filem ini masih tidak ada perencah lebih yang boleh mencapai tahap filem Saheizy Sam sebelum itu.