29 April 2011

Seru(2011): True Horror Menggegar Malaysia



"Siapa yang bengap pilih lokasi ni?" - Sam.

Aku baru balik dari menonton filem ini. Nazim Masnawi mengatakan filem ni bagus (kerana dia kata bagus aku berkobar nak tonton), seorang kawan aku pula MUNTAH selepas menonton filem ni (i kid u not! Ingat The Exorcist sewaktu kemunculannya pada 1979?) Selepas aku menonton filem ni, memang kepala aku agak miring, kemungkinan kerana gerak kameranya (dan secara prasedar ia lebih mengganggu daripada Cloverfield), suara khasnya, atau kemungkinan kerana filem itu sendiri.

Filem ini, dengan sejujurnya, menakutkan.

Aku memang pesimis dan sinikal terhadap filem seram Malaysia. Aku percaya, tidak ada satu yang berjaya "menakutkan", paling kurang "menghiburkan". Apabila Penunggu Istana muncul, aku menyetujui penggunaan "pelakon amatur yang tidak dikenali" sebagai "feel" filem "realisme". Apabila aku teliti para pelakon filem ini, aku melecehkannya kerana sekumpulan pelakon terkenal, serta pelakon filem bebas yang berlakon di dalamnya, aku sedari, mengurangkan rasa feel "seram benar" atau true horror filem ni, menyatakan, ia hanyalah satu "lakonan". Satu lagi filem seram "main-main hantu" kata aku dalam hati.

Betapa salahnya aku ,,,

Awal-awal lagi, kita dimaklumkan bahawa, filem ini simpanan "pita rakaman" Jeff, "mangsa terselamat terakhir" yang menyatakan "kejadian semua orang terbunuh". "Gimik" ini kelihatan "sudah memancing". Ia juga menerangkan, kita, penonton, akan sama-sama melihat "pita sepenuhnya" (mempercayai bahawa pita ini sudah jatuh pada tangan yang siuman untuk dipertontonkan - mata kita akan bersama-sama dengan lensa sebagai pemerhati, kuasa vouyer paling ampuh kerana diberi pengalaman sepenuhnya untuk "menonton"), memastikan siapa "pembunuh" dalam filem ini. Ingat, kematian selalunya "mengakhiri nyawa" filem (beginilah filem sebegini diselesaikan, rujuk [Rec]), dan kematian "kamera" filem juga menandakan filem ini akan berakhir. Jarang, filem dimulakan dengan cerita akan kematian. Selalunya, filem sebegitu membawa suara "kelahiran semula" atau "peluang kedua" (rujuk All About My Mother, Volver, Cinema Paradiso, Ordinary People, The Player). Beginilah filem ini kemudiannya dimulakan.

Filem ini seterusnya dibuka dengan "membuka" sebuah filem (dalam filem) pembikinan, Awal, Pierre dan Nora Danish, dengan runut bunyi tipikal seram murahan, dan babak panjang. Mereka "masuk ke hutan" untuk menanam mayat. Tiba-tiba, penolong pengarah meracau dan tersembam jatuh. Cahaya hilang. Seorang lagi jatuh, dan berjalan. Kita tidak lagi menonton filem tersebut (filem mainan tadi), tetap rakaman di "set" oleh para krew tentang huru-hara yang sedang berlaku. Ada penanda yang kuat di sini (spoiler!) Mayat yang ditanam merupakan seorang pelakon tambahan, Adam. Mayatnya hilang (spoiler: dan langsung tidak diketahui hidup atau tidak). Satu penanda baharu, suatu "kelahiran semula" sedang berlaku, baik dalam pembikinan seram oleh anak muda, juga klu kepada suatu "kelahiran semula" (bolehkah kita rujuk sebagai peluang dan kelahiran semula genre seram kita yang mula klise?), juga klu kepada suatu "pengorbanan" yang diperlukan untuk membuka sesuatu "di balik dunia lain". Kita, penonton yang memilih untuk "melihat di balik tabir", dunia lain yang kita mohon, untuk kita ditakutkan. Mayat itu hilang. Habislah kita...

Babak terkemudiannya terpecah dua, satu krew (2 orang, yang dipenuhi humor tetapi perjalanan mereka tetap menakutkan) mengejar seorang (Julie) yang dirasuk kemudian hilang di balik hutan, satu krew lagi tinggal bersama Sari yang dirasuk. Setiap satu memegang kamera, merakam.

Berlaku perubahan beberapa kali POV antara dua kru ini, tetapi dibikin dengan jelas dan mengalun indah sekali oleh penyunting Akashdeep Singh. Di sini, kemuncak debar makin meninggi dan makin meninggi sepertimana makin "terperusuk sesat" ke dalam hutan (latar hutan ini sengaja berkait sebagai simbolisme perfileman/cerita/emosi takut). Yang humor, yang spontan menjadi "dread" secara tiba-tiba, menjadi rumah sesat luas yang tidak membenarkan lagi watak (serta kita) untuk keluar daripada ruang dan masa yang ditentukan oleh Pierre dan Ming Jin selaku penulis dan pengarah (sekali gus mengikat penonton dengan filem seram "fiksyen" yang sengaja diberikan judul "Jangan Bernafas").

Satu perkara yang aku hormati filem ini ialah, ia merupakan satu kepingan filem yang bijaksana, jika ia membohong sekali pun, ia menyatakan alasannya dengan baik. Kenapa filem ini "dibikin"? Kerana menjadi "bukti buat polis" (menarik untuk dikaitkan dengan apa yang sedang berlaku dengan Ketua PR sekarang), kenapa diteruskan, kerana "penerbit eksekutif"nya yang mahukan sebagai gimik promosi. Pada awalnya sebuah dokumentari, menjadi sebuah perjalanan. Yang "biasa" menjadi "luar biasa" dan "makin luar biasa", tetapi logik dunianya masih terpasung segak di bumi.

Perkara kedua yang aku suka, pengarahnya tidak membuang masa kita dengan masa relatif yang panjang (yang biasa buat filem ini sebagai feel real, seperti Blair Witch Project, yang sememangnya mempunyai kelasnya yang tersendiri). Misteri demi misteri terungkap secara episodik, ditanam dengan kemas, malah logiknya benar dan ditentukan dengan ruang masa yang betul (dalam masa yang sama, misteri demi misteri baharu wujud dan mengganggu). Berlaku babak "penyiasatan" di man kita, penonton diberi peluang untuk "lihat sama" kebenaran. Ini merupakan antara babak-babak paling menakutkan dalam filem ini (mengenali kebenaran adalah detik yang paling menakutkan). Malah penandanya sudah jelas, contohnya kelipan cahaya; yang membawa maksud chaos (kelipan cahaya tersebut berkait dengan cahaya berkelip lampu lintang, yang mana merupakan homaj kuat terhadap Twin Peaks bila mana dunia "black lodge"nya tersingkap buka atau wujud di alam realiti, walaupun di bilik mayat). Ini sememangnya sebuah panggung chaotic (chaotic cinema) yang jauh mendalam.

Aku juga menjumpai (dan jarang-jarang berlaku dalam filem seram) suatu rasa pilu tentang manusia, baik manusia yang mencari survival, kepada manusia "gelap" yang melakukan ritual untuk mengikat dirinya dengan alam lain. Filem ini ada perasaan itu. Penanda paling kuat merupakan imej sepotong tangan yang longlai tergantung dek rantai besi. Ada dua emosi yang berjaya dibuakkan. Pertama akan satu perasaan "terjah ekstrem" sang hantu untuk menembus masuk ke alam nyata manusia, kedua akan persaan berbaur, sedih, terkejut, mual si pemerhati (kita) yang menyedari ketidaktentuan mempunyai wajah gelap yang kita tidak sanggup untuk hadapi. Pada tahap ini, filem ini berjaya memahami pemahaman "takut" dalam sudut jiwa manusia.

Terlalu banyak babak-babak seram, gelap dan creepy yang berjaya dilakukan, termasuk kejutan dan mualan setaraf mana-mana filem seram Hollywood. Aku juga menyukai semangat tangkapan yang betul, walaupun hand held, sudut, gerakan panning, samar dan fokusnya diaplikasi dengan betul. Aku juga mengangkat tangan buat runut bunyi Azman Abu Hassan yang pertama dalam sejarah, atmospherically brilliant, serta kesan bunyi yang cukup membantu (ada satu babak pukul yang kedengaran sedikit animasi). Paling mengunggul, para pelakon yang benar-benar "membelakangi kamera" dan membiarkan kamera menangkap "yang sebenar". Mereka tidak lagi membiarkan kamera bergerak atas nama "perogol imej" tetapi "perakam untuk merakam". Watak-watak mereka bulat. Siksa mereka hadapi, bulat. Walaupun jeritan dan reaksi mereka "canggung", ia benar kepada tahap surreal yang mereka perlu hadapi (dasar yang mereka hadapi, iaitu mute witness dipergunakan secara baik). (nota spoiler: suatu trivia yang menarik, watak yang paling cengeng dan celupar untuk kita bunuh, tidak diberi peluang oleh pengarah untuk kita lihat dimatikan).

Ada mereka yang tidak menyukai pengakhirannya. Bagi aku, ia merupakan antara pengakhiran yang brilliant dalam filem-filem sebegini (klu: teliti siapa dirasuk, dan teliti apa hantu itu buat bila merasuk tubuh) yang jelas melontarkan persoalan untuk didebatkan dan diintepretasikan (soalan: bagaimana pita rakaman ini boleh jatuh ke tangan kita), juga sebagai francais kedua untuk dilanjutkan (aku harap tidak, aku tak suka sekuel, selalunya sekuel menghampakan). Apa yang aku mahu kata, aku bangga melihat bagaimana Pierre dan Ming Jin menjalin baik subgenre slasher, alam mistik, hantu, rasuk, dan mokumentari kepada suatu panggung seram yang enak dan menusuk masuk ke dalam sanubari penontonnya, memberikan mereka suatu "ultimate experience" untuk terperangkap dalam hutan yang serba menakutkan. Sejarah sedang dibuat, tuan-tuan, puan-puan. Untuk pertama kalinya, saya mengesyorkan mati-matian kepada semua peminat filem seram untuk menonton filem yang menakutkan ini.

Ya, inilah filem seram Malaysia yang terbaik, setakat ini.

Baca lagi: Reduksi Seru.

ps: Pertama kali aku tonton filem Malaysia yang mana aku tutup telinga dan pandang bawah. Adik aku yang tonton sama, yang hanya layan filem barat, mengatakan filem ini lebih baik daripada Blair Witch Project ataupun Paranormal Activity. Dia meloncat atas kerusinya secara literal, enam kali!












22 April 2011

Penunggu Istana(2011): Aktiviti Paranormal Melayu


Inilah "mokumentari" pertama (lepas ni, Seru) kita yang cuba mengikut subgenre yang dibawakan Blair Witch Project serta filem seram yang kembali kepada subgenre "rumah berhantu" (awal-awal lagi kita tahu dokumentari ini PALSU apabila melihat poster filem yang memaparkan kelima-lima pelajar berdiri macam artis). Ia berlatar tentang sekumpulan lima pelajar siswa yang menjalankan projek kelas untuk mengkaji kehadiran "paranormal" secara saintifik, dibantu oleh Uncle Seekers dan dua pembantunya. Pada awalnya, kita ditemukan dengan "Istana Billah" (tetapi latar sejarah istana itu tidak diberikan, walaupun secara fiksyen) di Perak, dengan beberapa syot yang mengambil sisi estetika seni bina rumah lama tersebut. Pada awal, secara lewa dan baik, kita diperkenalkan dengan perilaku pelajar tersebut, termasuk desakan klise tetapi perlu Uncle untuk para siswa tersebut "menjaga tingkah laku". Kita tahu, kerana sikap "nakal" budak-budak ni, mereka akan "kena" satu per satu.

Ada sesuatu yang hendak disampaikan oleh filem ini. Satu perkara yang pasti, walaupun ada beberapa babak yang tidak berkesan, kesemua "watak" pendokumentari tampak "real" atau benar kepada realiti, dengan main-main dan sikap suka anak remaja, jauh kita lihat anak-anak muda bertutur dialog skrip atau terkinja-kinja (hanya ada satu babak aku lihat ini berlaku) yang biasa kita tonton dalam filem seram Razak Mohaideen. Dalam satu babak, Mus, ketua kumpulan tersebut, merasakan, mereka perlu "menipu", untuk memaparkan "kesan khas" yang lebih memeranjatkan penonton (kita) bila dipaparkan nanti waktu persembahan. Sinikal prasedar ini menarik, tetapi adakah pembikin berjaya menangkap/menipu sesuatu yang "menakutkan" atau ianya hanya sebuah "cheap thrill"?

Aku mengaku, konsep ini mempunyai pertimbangan 50/50 untuk berjaya. Jika kita tonton filem ini secara maksud "dokumentari", memang, babak-babak awal filem ini "tulen" apabila dalam durasi 15 minit, "tidak ada apa-apa pun berlaku". Semua kamera statik senyap menangkap ruang dalam istana. Hinggalah Uncle Seekers meminta mereka membakar kemenyan untuk "membawa hantu keluar". Tetapi, jika anda mencari hiburan, hal sebegini amat memenatkan. Oleh sebab itu, ianya amat menarik apabila Mus, secara tiba-tiba membuat pilihan untuk "menghiburkan" penonton dengan perilaku "guna kesan khas". Kononnya, kerana pilihan ini, mereka benar-benar menaikkan kemarahan "penunggu istana".

Aku suka beberapa kesan statik dan paparan kuat, ruang istana, dalam dan luar diambil Secara prasedar, paparan imej ini diterima "creepy". Ya, masa aku balik lepas tonton filem ni, ada perasaan "takut" bila aku masuk ke dalam rumah aku semalam yang sunyi dan gelap. Secara prasedar, sikap vouyeur aku terisi, sepertimana yang dikehendaki oleh filem-filem sebegini (Paranormal Activity merupakan yang paling dekat).

Apa yang membuat "mokumentari" ini lemah ialah, cara logik ia mengikat "lima pelajar" itu untuk meneruskan "projek" mereka tanpa pemerhatian Uncle Seekers. Ya, adalah beberapa kesan khas yang "biasa" yang berjaya buat kita terkejut, tetapi logik akalnya untuk tunggu dan merakamnya difikirkan amat janggal. Persoalan utama di sini ialah: diorang ni tak pernah tengok citer hantu ke? Bohonglah kalau tak! Sikap para pelajar, khusus Mus, Amar dan Sara untuk meneruskan penggambaran walaupun melihat perkara-perkara yang pelik di dalam istana tersebut "mencurigakan". Kauingat Blair Witch? Dalam filem itu, kita sedari, tiga siswa tersebut "mahu keluar" dari hutan yang "memerangkap" mereka kerana mereka menyedari mereka "tersesat" dan sesuatu yang "pelik" mengancam mereka. Di dalam filem ini, jelas-jelas, beberapa perkara pelik sedang "menegur" mereka, maka kenapa, setelah satu simbol yang sangat "terang", berlaku, watak itu tetap "lepak", termasuk waktu malam! Malah, ada satu babak yang aku kira, sudah sampai tahap ridiculous, apabila seorang watak berjaya melihat suatu "hantu" yang menakutkan, dia TETAP mahu masuk ke dalam istana itu mencari kawan-kawannya (serius, babak awal kita dah ditunjukkan, istana itu berdekatan dengan perumahan, kenapa tidak ada babak mereka pergi mencari jiran-jiran tersebut, sekurang-kurangnya?? Serius, kalau aku, aku dah cabut ke balai polis yang terdekat KALAU KAWAN AKU HILANG dalam tempat tu!)

Inilah yang menyebabkan filem seram ini tidak efektif dalam memberi penontonnya kebenaran seram, mengganggu rasionalisasi penontonnya.

Pun begitu, ada sebuah babak yang boleh dikira menakutkan, apabila Mus dan Sara, masuk ke sebuah bilik, lantas kelihatan sebuah "kelibat". Hal subliminal sebegini hanya berlaku sekali-sekala dalam sebuah filem seram. Hal ini boleh dipuji.

Tetap, buat aku, Wan Hasliza boleh pergi jauh lagi, dengan memberi sedikit-sebanyak latar sejarah (atau dia nak tunjuk, para pelajar kita hanya tahu nak thrill, dan tak suka sejarah?) untuk mengisi latar "rasa" yang seram, juga pembukaan misteri tentang setiap BILIK serta sejarahnya, serta penggunaan "bilik berkunci" yang tidak ada apa-apa erti dalam filem ini, selain daripada menjadi ruang terpekik lolong para pelajar ini dengan kedunguan mereka, langsung tidak membawa apa-apa suspens yang dramatik dan surreal yang sepatutnya berlaku pada 10 minit terakhir filem ini.


20 April 2011

Senjakala(2011): Siksanya Menanti Senja


Aku merasakan, atas sebab Ahmad Idham ni sudah tahap prolifik, dia bolehlah buat filem sesuka hatinya dengan kepakaran dan pengetahuan yang dia ada. Dalam filem ini sahaja, babak-babak kamera terbang (kalau terbang masuk dalam rumah terus lagi menarik) terisi banyak dalam filem ini. Tetapi berbaloikah untuk dia bermain-main dengan teknologi dan teknik jika dia ada sesuatu untuk diceritakan?

Kalau Gus Van Sant dah meletup, dia buat filem apa, dia pegi buat bikinan semula Psycho (yang hancur). Kalau Ahmad Idham? Dia buat Senjakala.

Aku merasakan, sampai sekarang, filem seram Malaysia agak susah hendak mencapai pencapaian yang memberangsangkan dari segi keseraman. Sudah berkali-kali genre yang mula mengalami kitar semula ini diputarkan dengan hal yang sama. Sebenarnya, hal yang diputarkan boleh sahaja menarik (rujuk kepelbagaian filem francais Dracula milik Bela Lugosi zaman keemasan Hollywood) jika susunan elemen dan penceritaan yang betul, tetapi ini tidak berlaku khususnya terhadap filem-filem seram Ahmad Idham. Aku rasa, ini percubaan kali kelimanya mungkin, masih terikat dengan unsur saka - bomoh - rumah berhantu - nenek hantu - rasuk. Aku lagi tergamam bila ada yang menyatakan kepada aku, bahawa "latar besar" filem ini (kononnya, inilah twistnya) merupakan kisah percintaan Zahiril Adzim dan Liyana Jasmay. Tetapi bagaimanakah kita MAHU mempercayai mereka bercinta apabila pengarah hanya memberi kesempatan kita melihat satu babak MTV jelingan mata Liyana dan Zahiril seakan Dracula bertemu Mina, dan kemudian satu babak melodrama tiba-tiba di tengah-tengah ribut dan hujan dengan dialog, "Saya sangat sayangkan awak" tanpa apa-apa sebab yang munasabah!

Keutuhan iman, tuan-tuan dan puan-puan, terhadap kebenaran jalan cerita filem ini amat-amat dipersoalankan.

Malah ceritanya amat mudah, dan kiranya pernah dibikin (yang sebenarnya boleh membuak banyak persoalan seks dan feminisme yang menarik), malah amat dekat dengan konsep Chermin, sebuah filem yang jauh lebih baik dari segi pemahaman kuasa wanitanya dalam dunia patriaki lelaki.

Di sini, kaulihat pembukaan filem ni. Ia bermula dengan mimpi dalam mimpi, yang aku kira menarik, dan sengaja dibikin pada awal untuk menyesatkan kita memasuki dimensi surreal Idham. Aku serius, merasakan konon mungkin, Idham sudah mula "keluar kotak". Babak awal itu (kujur mayat - Liyana), kemudian babak kemalangan kereta, memberi pandangan "kematian seks" Liyana (Liyana tidak sanggup keluar-keluar rumah, tidak mahu ketemu orang, anti sosial). Liyana tidak ada arah TUJUAN. Kita dibawa pula babak Liyana bertemu Faezah Elai di tengah tasik Titiwangsa (berlatar tasik yang luas, simbol kesuburan wanita. Rujuk hal ini apabila ada satu babak "positif" memperlihatkan perhubungan Zahiril dan Liyana mula "baik" berlatarkan tasik, latar yang serupa pada waktu tunang Zahiril ditarik hantu air) dan suatu TUJUAN tercipta (walaupun kita persoalkan, untuk apa). Apa yang kita lihat secara tidak sedar, si gadis (Liyana) yang hilang kuasa hidupnya (kerana trauma kematian kekasih) ingin mendapatkan kembali dengan mencari balik rumpunnya, dan secara tidak sengaja bertemu dengan figura kuat, iaitu opahnya, Opah Maimun (lakonan Ruminah Sidek) yang secara tidak sengaja adalah perempuan.

Serius, jika Ahmad Idham benar-benar memahami "getaran seks", perbalahan kuasa antara jantina dan intrig politik yang boleh berlaku antara watak-watak ini, kita akan nampak suatu jalur keindahan gothik ala Melayu berkenaan kemunculan seorang wanita moden di tengah-tengah sistem kuasa konvensional dunia lelaki (rujuk pemahaman ini dengan filem berkesan, Tsu Feh Sofiah yang pergi lebih jauh daripada itu). Tetapi hal yang aku ingatkan, seperti yang berlaku dalam Chermin tidak menjadi. Lebih teruk dari itu, aku tidak tahu jika watak Liyana itu sepatutnya 20-an atau belasan tahun (walaupun dia sudah boleh memandu). Jika dia 20-an tahun, kenapa pendiriannya cukup rapuh seakan gadis bawah umur yang begitu naif? Terlalu banyak lubang yang disengajakan dan ini amat mencacatkan pergerakan cerita. Aku menunggu untuk babak-babak yang dapat, sekurang-kurangnya memberi gula-gula, kerana "ciptaan" latar, dengan sikap kehadiran Liyana ke kampungnya menjadi buah mulut orang, dan wujud seperti dunia Twin Peaks terhadap kepelikan rakyat kampungnya agak menarik sebenarnya. Malah, dengan pendedahan "gadis muda sudah kahwin muda" (simbol dunia anak gadis kampung itu terikat dengan sistem patriaki lelaki yang utuh. Rujuk juga babak bekas tunang Zahiril yang berani melanggar perintah ayahnya, sebagai memaparkan penentangan terhadap kuasa lelaki, dibalas dengan jawapan didaktik), mengiyakan lagi sikap kontra Liyana untuk berasimilasi dengan penduduk kampung.

Tetapi, OHHHH, hanya kerana ada babak-babak Zahiril Adzim membuka bajunya dengan memaparkan keseksian tubuh keringnya, kita diberikan satu kepercayaan "palsu" bahawa Liyana yang berpendirian kota ini akan "ditundukkan" oleh kuasa seorang lelaki kampung, dengan hanya kata-kata "Kerana aku sangat menyayangi kamu!" Duh!

Serius, datar dan mendatarlah yang memenuhi 50 minit filem ini seterusnya apabila Liyana dan Zahiril bertentang mata pertama kali (kerana Zahiril sibuk menarik telinga kirinya, dan kalau tak pun, menjerit terpekik kepada Liyana). Ke manakah intrig seksualnya, ke manakah manis-manisan debar melihat, ke manakah rasa racau tidak keruan bila berada di sebelah "dia"? Takde romantik langsung.

Ada dua perkara yang amat boleh dipuji dalam filem ini, dan dua ini sahaja. Pertama, penggunaan suntingan suara dan efek khas suara dari studio Finas memaparkan, studio kita pun setaraf dengan studio antarabangsa, walaupun beberapa kesan suara tidak dikaji dengan bersungguh oleh kru filem ini untuk penggunaan posproduksi. Kedua, penggunaan runut bunyi dengan alat muzik tradisional, rebab umpamanya, dalam menaikkan latar emosi filem. Walaupun ianya satu "eksperimen" yang aku kira gagal (kerana emosinya agak susah untuk disampaikan dengan mainan muzik yang terlalu bercelaru), ianya satu percubaan yang menarik.

Akhirnya, filem ini memaparkan sekali lagi, tidak ada seramnya dalam filem bikinan Malaysia.


19 April 2011

Scre4m(2011) dan telurmata.com


Orang takkan faham, tapi kemasukan Scream 4 ke pawagam Malaysia, buat kami para peminat seram merupakan suatu detik menunggu yang amat memikat (walaupun pihak LPF telah menyirat-nyirat felemnya, aku rasa, perlu ada pembunuh psiko pergi bunuh orang-orang LPFlah supaya mereka rasa sedap tak menakik filem orang). Korang tahu tak bila Scream keluar (yang diperkenalkan oleh kakak sedara aku kat aku, zaman VCD cetak rompak), akulah orang pertama yang tergamam dan naik syok menontonnya (bukan Cik Lyn, aku tahu), dan terpaksa ikut secara bawah tanah untuk sambungan kedua dan ketiga kemudiannya (zaman tu aku tak berduit nak pegi Singapura yang jauh dan mahal tu)? Samalah seperti sekarang, kita hanya dapat merasai Saw pertama dan terlepas tonton sampai ke tujuh (dan mereka masih lagi persoalkan mengapa cetak rompak boleh berleluasa, biol ke apa?) Jadi kehadiran francais ni, walaupun terlambat (dan tiba-tiba ramai pulak yang nak menengoknya) kira berbaloilah, lagi-lagi buat peminat Wes Craven.

Secara lahiriah, filem ni tidak patut dibikin, malah Kevin Williamson mengiyakan hal ini bila Neve Campbell sendiri menyatakan, "Don't f*** with the original" (baca: ironi!) dalam klimaks filem ini. Aku kira, Craven dan penerbit dahagakan duit, dan peminat filem ni memang ramai (okay-okay, aku mengaku, aku generasi anak muda 90-an!), jadi satu "saduran" atau "kitar semula" perlu dilakukan (literal dan secara mengejutkan, spoof! erk!) Memang, ada beberapa babak dalam filem ni, aku menjerit, Bro, Craven, apa dah jadi bro?? Serius ini merupakan bahagian paling lemah (baca: kalau dah buat trilogi, jangan sesekali cuba buat keempat, ini sumpahan, melainkan kau sekuat francais Star Trek, OK-OK, aku bias dari segi tu sebab aku peminat Trekkie) dalam siri trilogi Scream sebelum ni, malah ia banyak kali, dijeritkan oleh Williamson dalam dialognya, "Weh, apasal kita nak sambung lagi citer ni weh?" Ya ya, aku suka watak Sidney yang keluar dari sikap "mangsa diva"nya (ok, aku SUKA watak dia ok?!) lantas berdepan dengan pembunuh topeng hantu tu dan bagi karate, hiyaak! Aku juga suka dengan pengakhiran ala-ala soap sengaja tetapi dengan twist tembakan ke anu (masa babak ni, semua penonton lelaki secara literal menjerit, "rasa siot" pada saat yang sama, aku tak bohong!) dan cucuk mencucuk ala-ala Macbeth, tetapi semua ini semacam dirasakan "formulaik" dan "ulang cetak", dan aku sedar wajah Craven dan Williamson pun tahu ni, jadi itulah, soalan sekali lagi, kenapa gatal nak buat?

Jadi kiranya, aku maafkan sebab ni je filem francais seram yang dapat masuk pawagam kita (dan aku harap mereka berhenti dan cari cerita lain, Stab contohnya, hahaha), dan melihat Gale Weathers dengan mulut cabainya, Sidney dengan gayanya tragiknya, Dewey dengan bodo-bodo lembu dia, kira seronoklah juga.

Tapi itulah, ia terhenti di situ saja. Malah, selalunya pembukaan semua Scream yang sebelum, memang tip top, menyakitkan (menghiburkan bagi yang sakit otak) dan panjang. Kali ini, walaupun kauletak Anna Paquin dan Kristen Bell, ia tidak membawa apa-apa walaupun cuba bermain dengan wit "filem dalam filem dalam/luar filem" (pembukaan filem pertama dengan Drew Barrymore itu yang terbaik, walaupun aku suka juga babak pembukaan sekuel yang berlanskap luas dan memberi mesej politikal, dan ketiga yang mengingatkan kita kepada Psycho). Dan selalunya, dalam kesemua filem Scream, ada sesuatu yang menjadi X-Factor, sesuatu yang menarik untuk disingkap dalam "filem dalam filem". Yang pertama, banyak, khusus kepada kejutan-kejutan dan aksi-aksi ligatnya (Neve Campbell jatuh bumbung contohnya, lantas berlari dan berlari, sebaik babak berlari Texas Chainsaw Massacre itu!), kedua sudah tentu dengan pembunuhan yang tiba-tiba (aku masih boleh ingat babak van dan kematian watak geek filem seram disayangi, Randy Meeks) serta pendebatan undang-undang dan perbezaan filem sekual, ketiga sudah tentu babak Sidney secara surreal, memasuki rumah buatan yang menyerupai rumah sebenarnya di Woodsbrow di studio, serta permainan "ciptaan" dalam pemahaman orang Hollywood (dan dapat lihat Princess Leia yang sober), dan akhirnya, pintu yang terbiar dibuka pada babak akhir. Yang keempat? Entah, kalau nak dikaitkan dengan fbook, twitter, kamera lintas langsung (Haloween H20 aku rasa yang lebih awal memulakan), ada sesuatu berkenaan media, tentang selebriti dan hidup yang diperlihat orang, tetapi entah kenapa itu yang aku tak ingat tetapi kuih lemon si Judy Hicks tu yang aku ingat.

Tapi, oh ya, aku suka suka suka dengan watak Hayden Panittiere sebagai Kirby. Dia babe yang kenal filem seram, sape yang tak suka?!! Huhu! Dan babak akhir tu bila dia jawab dengan pandai daripada pembunuh, itu priceless!

Tetapi itulah filem Scream 4, yang kini mengambil pendekatan sinikal terhadap francaisnya sendiri, sebelum orang kata "perlu ke?", dia dah maklumkan "perlu ke?" awal-awal, seakan menyatakan, kalau nak buat filem keempat, beginilah caranya - berani perlekehkan diri sendiri sebelum orang buat kepada kita (Hey, ini analogi terhadap media dan penciptaan mitos orang yang membangun keranaya!)

***

OK, ada satu portal baharu, www.telurmata.com yang aku kira bakal menggegarkan ruang wacana filem kita. Selepas filemkita.com (ini papa arkib filem Melayu ya!), kemudian sinemamalaysia (arkib komprehensif kepunyaan Finas), kini satu lagi, yang aku rasa, lebih tepat buat kita semua pengikut filem Malaysia dalam talian. Ini kira macam Rotten Tomatoes Malaysialah! Cayalah!

18 April 2011

Dilarang Masuk(2011): Diperlukan Cerita

Ada satu babak yang menarik dan sekali gus mencuitkan dalam filem ini, dilakonkan oleh Muniff Isa. Ianya berlaku sewaktu kedengaran bunyi dentuman dan orang berjalan. Muniff waktu itu sedang makan mi segera dalam cawan. Untuk sesekali dalam layar filem subgenre sebegini, ada "kecilikan" yang berlaku, sengaja diletakkan untuk "mencuit" proses formula yang sudah dikitar semula berkali-kali oleh Hollywood dan juga popular dalam pembikin filem Nusantara. Dalam detik babak ini, jika ianya mengikut konvensi, Muniff akan berhenti makan, lantas satu syot memaparkan Muniff bergerak mencari suara tersebut (hal inilah yang klise). Dalam filem ini, lebih bergetar bunyi tersebut, dengan perlahan, dan kemudian laju, Muniff menghirup minya. Ia sekaligus membuak perasaan "thrill" dan kelakar, yang sepatutnya wujud dalam filem ini - sebuah slasher/rumah berhantu yang menghiburkan - tetapi tak.


Ini mungkin kerana, walaupun ada beberapa unsur kimia yang digerakkan oleh cerita dan teknik Chiang, seorang lagi pengarah baharu kita (dan aku bersyukur tidak terjerumus dalam perangkap Bjarne Wong), ada pelbagai perkara yang Chiang perlu pelajar dalam membikin filem sejenis ini.

Tetapi biarlah aku khabarkan yang baik-baik dahulu, pertama, lakonan dan beberapa dialog awal filem ini mencuitkan, kiranya agak segar melihat watak-watak yang menarik dan tidak dua dimensi (tetapi ini sebuah filem gaya Scooby-Doo dan Friday The 13th, maka hal ini tidak peduli sangat), malah dialog yang bersahaja (walaupun pada pertengahan dan akhirnya, melewah ruah). Kemudian aku suka dengan garapan penggambarannya yang teliti dan indah, dibikin dan disyot dengan baik, serta suntingan mantap, serta suara efek dan suntingan yang teliti, amat teliti, dan paling aku sukai, runut bunyinya kali ini merupakan runut bunyi yang BENAR terhadap genrenya (aku tahu ini sebuah filem ngeri, tetapi sikapnya mengambil jalan semangat gothik cukup dipuji, atas makna "gothik" itu sendiri dalam pengertian sastera), perasaan dan latar yang diimbaukan BENAR untuk filem sebegini.

Ada dua perkara yang aku risaukan dan hal ini memerangkap Chiang untuk membikin sebuah filem yang aku perlu puji. Pertama, terlalu banyak babak yang terisi memberi "kejutan-kejutan palsu", terlalu banyak, terisi dalam 3/4 durasi filem, tanpa memberi kita "third act" yang boleh menguja kita untuk menonton seterusnya. Kepalsuan demi kepalsuan diisi untuk membuka "ruang rahsia" rumah buruk (kerana ini aku setuju dengan lagu gothik tadi, ini merupakan rujukan dan penghormatan bagi cerita gothik yang bermain dengan pengembara sesat, rumah buruk yang agam, laluan rahsia, dan kebenaran menakutkan yang disimpan pada akhir babak), tanpa benar-benar "menyesat"kan penonton untuk mempercayai sesuatu yang lebih berimpak. Dalam 3/4 ini, kita diberikan satu demi satu "episod" pembukaan rahsia rumah tersebut, yang bagi aku agak mundane dan pernah dibikin, malah biasa dalam novel-novel kanak-kanak/remaja DBP zaman 70-an yang mengikut gaya Hardy Boys dan Secret Seven.

Hal kedua terletak kepada dua babak cakap yang terlalu panjang, satu antara Shiqin Kamal dan Isma Hanum, dan kedua (yang lebih membosankan) ialah antara Shiqin Kamal dan Esma Daniel. Aku merasakan, semacam, "Hello, ini filem seram abad ke-21, tak perlulah korang berbicara panjang-panjang mengalahkan tragedi Shakespeare". Aku seakan merasakan sangat, Esma sengaja diberi ruang ini (sebagai psiko) seakan-akan dijadikan babak "menang anugerah"nya untuk FFM tahun ini (simpang malaikat 44).

Iyelah, inikan filem produksinya dan dia perlukan satu babak "bintang gemerlapan" waktu usia akhirnya dalam industri ini.

Sebab itu, filem ini jadi "suka" dan "tak suka" dalam jiwa aku, ya ada beberapa konvensi yang ia berjaya naikkan dalam filem sebegini, tetapi ada juga yang terperangkap. Malah aku tidak berapa menyukai subgenre kitar semula ini, yang sudah berkali-kali dimainkan oleh Razak Mohaideen (rumah-hutan-rumah, dan sekarang, pulau!) serta beberapa pengarah lain. Ya, aku faham konteks sosial dan ertinya, di mana kita memberi ruang para watak untuk menjumpai sesuatu yang asing (asing menyebabkan kita rasa takut) yang akan "mengacau" tahap psikologi atau sosial\humanisme kita, dan selalunya filem sebegini akan bermain dengan kad moral (rujuk Friday the 13th), yang mana, seperti yang aku sangka, dilakukan, walaupun tanpa seks (kali ini, ia berkaitan material dan hak). Dan apabila sampai ke babak WTF terakhir (rujuk Carnival of Souls), kebanyakan penonton aku rasa sudah rasa jaded dengan 3/4 babak awal maka sudah malas untuk memahami babak akhir itu walaupun bagi aku, agak impresif dan mempunyai sikap kultus (cult) yang menarik (tetapi dirosakkan sekali lagi dengan satu himpunan penerangan moralis tentang organ transplan yang tidak perlu, seakan-akan mengangguk dengan tujuan LPF untuk membikin filem ini "bermesej"). Ia seakan-akan merasa mi segera yang terlebih masak, walaupun sedap dihirup akhirnya, tetapi terlalu lambat untuk kita mengatakan ia memuaskan.


***


OK, ini pula untuk ruangan Siti Jarum 17/4/2011 dalam Utusan yang melalut berkenaan pembikin filem bukan Melayu yang nak mempergunakan kreativiti orang Melayu untuk keuntungan peribadi mereka. Aku nak cakap sesuatulah pada Siti, wei betina, bukak matalah, ni bukan zaman pramerdeka lagi, ni zaman pembikin semuanya orang TEMPATAN, bukan zaman orang luar datang ke tanah air ni nak kaut untung lepas tu blah, ni zaman anak darah tanah air ni sendiri nak cari rezeki isi sama-sama, kembang sama-sama untuk perkembangan filem tempatan. Aku tahu Siti bengkek dengan MiG production (aku tak defend David Teoh tapi aku tengok secara luas) yang bagi bonus beribu kat anak buahnya yang berjaya kaut keuntungan. Serius mak cik, cakap-cakap macam ni kira perkauman tau tak? Kau tahu ke berapa percubaan David cuba naikkan anak Sarimah (Momok, yang aku tak berapa gemar), Tarmini and Danny x-Factor, Raja Azmi untuk dapat sebuah pelantar tayangan? Aku tahu hasil terbitan filem dia kalut, tapi kalau takde orang macam David, kauingat senang-senang ke pembikin nak dapat duit, buat filem, lepas tu tayang (rujuk 2 Alam dan entah apa-apa lagi masalah yang perlu Dr. Rozmey lalui kerana tak tahu kaedahnya)? Tengok potensi yang sedang dan akan berlaku dalam pembikinan filem sekarang. Pembikin baru macam Jeffrey Chiang pun nak masuk, Esma Daniel, dan beberapa lagi kerana potensi pasaran dan penonton yang mula bangkit. Ini semua bukan dibuat atas dasar peribadi aku rasa, ni sebab nak tengok perkembangan, walaupun mereka bermula dengan filem tahap cipan. Dan Siti Jarum sedar tak, pembikinan bukan sahaja dari penerbit, FINAS dan bank, tetapi ada juga geran luar yang boleh didapati di festival filem antarabangsa dan badan-badan antarabangsa, dan diorang tu bukan pun kaum Melayu tapi reti juga nak tolong kalau idea orang tempatan bernas, Siti faham ke semua ni?

Aku rasa Siti Jarum ni kadang-kadang melatah tak tentu hala, tak boleh bezakan Shaw Brothers (yang takde ikatan kenegaraan apa-apa pun dengan Tanah Melayu) dengan Da Huang, MiG, Jeffrey dan termasuk juga Bjarne Wong tu. Serius, korang punya Polanski Syndrome yang buat perspektif korang terbantut, tak tengok luas, tahu nak melagakan orang je, serius mak cik, bukak mata dan jenguklah sikit apa yang sebenarnya berlaku dalam industri, dan bukan bagi generalisasi "penyapu" tahap Melayu duduk tempurung macam ni.

11 April 2011

OK, mintak buat SURVEI sedikit

Ni ha, ada kawan yang masih belajar, nak minta bantuan korang untuk jawab surveynya DI SINI untuk kajian tempatan (hahaha) sarjana muda di universitinya. Korang tolong tengok-tengokkan, oh ya, blog aku pun disebut.. eee, malu!

06 April 2011

... Dalam Botol(2011) ialah Filem Bulan Ini


Aku mengaku, aku mempunyai perasaan yang berbaur berkenaan filem ini. Tetapi setiap kali orang bertanya kepada aku jika mereka patut menonton filem ini, aku kata, "Pergi tonton!" Ya, pergi tonton. Begini, aku percaya, filem, bagaimana murah atau mahal pembikinannya, diciptakan untuk melalui proses tontonan. (Tujuan kita mencipta filem adalah untuk ditonton, dari segi berapa saiz penonton seperti video seks Rambi Thambi Chik kepada komersial Disney sememangnya ditentukan oleh pendirian status, pengalaman dan peluang)

Pengalaman menonton ini membawa kepada suatu yang dipanggil "perbincangan", atau wacana. Terus-terang, aku tidak pernah dengar dalam filem kita di mana penonton biasanya melewati perbincangan yang biasa seperti "terhibur - best - tak faham" kepada sesuatu yang berlaku terhadap filem art house seperti filem ini.

Bila suatu filem diperkatakan, itu bermakna filem itu hidup. Walaupun suara yang diperkatakan itu negatif, atau suara yang diperkatakan itu positif, maka berlaku pertikaian (yang sihat) atau sesuatu yang pergi lebih lunak dari itu.

Dan filem ini "hidup", dan "membesar". Itu sesuatu yang amat baik untuk latar apresisasi filem kita.

Di sini ada beberapa yang menarik yang aku jumpa:
Ulasan sekumpulan pengulas homoseksual
Ulasan Amir Muhammad (bagi aku, ini kupasan yang terbaik, walaupun aku tidak mengakui beberapa pendapatnya dalam beberapa bahagian, tetapi itulah wacana)
Ulasan BinFilem (juga antara yang terbaik, yang juga disusuli dengan beberapa lagi berkenaan filem ini)
Ulasan Hassan Muthalib, Sejarawan Filem Malaysia
Ulasan Si Naganaga yang heteroseksual
Ulasan Sinefela

ps: Ada suatu perkara yang aku kurang setuju. Mengapa filem ini ditayangkan tanpa sarikata apabila tayangan filem di FINAS bersarikata?