Ya, Sindiket Sol-jah telah melakukannya sekali lagi.
Kali ini dengan filem-filem pendek tempatan!
Ada satu integriti yang dari dahulu sampai sekarang aku respek akan kumpulan Sol-jah. Yang pertama ialah, dalam objektif setiap acara pembacaan karya mereka (yang akhir-akhir ini sudah lebih kepada acara persembahan seni, tetapi ini tidak menjadi masalah dangkal), mereka tidak mengamalkan mazhab pilih bulu. Maka dalam satu acara persembahan karya, mereka akan masukkan pelbagai rencam penyair/penulis/pembaca dengan mengikut isme, genre dan pegangan mereka. Yang bahaya dan sedikit provokatif akan berbahu-bahu dengan yang lemah-lembut dan pasif; yang kuat dan bernada ‘adikarya’ atau ‘karya yang akan diiktiraf agung pada masa depan’ akan bersebelahan dengan karya pop-kitsch dan picisan – ini sudah menjadi ‘tanda dagangan’ buat acara Maskara. Yang kedua ialah, selepas setiap ‘barisan karya rasmi’, akan disampaikan pula persembahan ‘eceran’ sekumpulan sasterawan dengan sukarela, menyebabkan acara melanjut sampai ke tengah malam. Pada malam Maskara Shorties, perkara ini berlaku lagi dengan tidak semena-menanya dengan beberapa bahan ‘segar dan baru’ disumbangtayangkan oleh beberapa pembikin filem yang seronok ‘turun padang’ yang pada mulanya hanya datang untuk memeriahkan malam itu. Jika Maskara Shorties boleh membawa pembikin/artis seperti Shofii Jikan menayangkan snipet filem sulungnya (yang belum selesai pascaproduksi), ini suatu pencapaian yang tidak boleh disangkal.
Dan oleh sebab ‘perangai’ selamba ini yang aku respek dan memberi tepuk tangan gemuruh kepada kumpulan Sol-jah. Apabila pelbagai bentuk dan ‘peel’ filem yang ditayangkan pada malam itu, daripada yang membuka mata dan telinga, sampai kepada yang naik menyampah melihatnya (itulah adat festival), serta bagaimana 5-6 filem bukan dalam jadual yang turut serta ditayangkan tanpa henti. Malam itu benar-benar malam yang meriah.
Penyediaan ruang tempat berlatar kawasan legar Planet PENA dengan tikar yang terbentang (buat yang tua-tua, ada disediakan kerusi), dengan ubat nyamuk lingkar, budak-budak menonton di tepi benteng, penonton yang berdiri serta kepulan asap rokok yang mengisi liang udara benar-benar membawa suasana ‘zaman dulu-dulu’ apabila atuk dan nenek kita dahulu mula-mula menonton wayang pacak ditaja syarikat tenusu atau kerajaan. Aku berseloroh dengan seorang kawan Cik Daun, “Ini macam mengembalikan nostalgia Cinema Paradiso”. Johan Jaafar tentu menyesal tak datang.
Malah, ada beberapa perkara yang para massa patut berkata terima kasih kepada Sindiket Sol-jah, terutamanya memberi bertih jagung percuma dengan air sekali. Bayangkan, mereka mengeluarkan duit untuk melakukan semua ini hanya untuk pengunjung, untuk pengunjung alias penonton terhibur dan balik dengan gembira tanpa mengeluarkan wang sesen pun.
Memang, ada masa kadang-kadang, kita terasa tayangan masa filem-filemnya terlalu panjang (dari 8.30 mlm – 12 mlm!) mencapai rekod filem-filem epik Hollywood zaman dahulu dan Bollywood. Ini yang sedikit melemaskan kerana bukan seperti Gone With the Wind atau
The Magnificent Ambersons yang mana filem-filem itu mengujakan, mempunyai kuasa efektif ‘terikat di tempat duduk’- Maskara Shorties mempunyai misi ‘melekatkan’ penonton untuk menonton 20 filem pendek pelbagai rempah rasa (ada yang tidak ditayangkan), sudah tentu ada yang akan melemaskan penonton dengan gaya separa art-deco atau ‘sinema seni’nya. Aku sendiri sudah terlalu lemas selepas menonton snipet filem Shoffi Jikan lalu tidak sempat menonton Traffic Light yang dikatakan sangat baik oleh kawan-kawan, saudara dan adik aku selepas itu (ya, stamina mereka lebih hebat dari aku; ya, mereka sama bangsa awek makhluk asing dalam filem Naz Annuar tu).
Pun begitu, sesi tayangan filem, termasuk sesi rehat, dan majlis pelancaran dibuat dengan lancar. Hanya tatateknik seperti suara dan runut tayangan tersekat mencipta garu kepala di kalangan penonton oleh sebab perbezaan medium dan teknologi buat penyediaan DVD akhir (lain kali guna VHS atau pita filem terus!). Buat aku, masalah suara itu mungkin perkara kedua kerana semua filem melepaskan kuasa mereka dengan imej (lagi-lagi ini tayangan filem-filem indi dan amatur), tetapi mahu tidak mahu, keperluan penyediaan alternatif buat penonton itu perlu. Mungkin selepas ini Sindiket Sol-jah perlu meminta para peserta Maskara Shorties akan datang agar memasukkan sari kata, oleh sebab suara adalah antara masalah besar dalam tayangan.
Teraju utama malam itu sudah tentu filem-filem yang ditayangkan (maafkan saya Mamat Khalid dan Pyan Habib, walaupun kehadiran anda pun sangat meletop). Dalam kesemua itu, aku tahu aku tidak akan dapat ‘kerja paling sempurna’ memandangkan berapa lama sidang Sol-jah perlu mencari pembikin filem sehingga pada saat-saat awal, mereka merasakan mereka akan melalui derita S.S. lalu para ahlinya terpaksa membikin sebuah filem secara terburu-buru. Maka aku terima pilihan filem yang ditayangkan secara adanya, malah aku agak terkejut kerana kebanyakannya sangat memuaskan, malah melepasi jangkaan aku. Pun begitu, memang ada beberapa filem yang agak memualkan (= adat). Malah ada yang lebih seakan sebuah MTV daripada sebuah filem yang filem (ia tetap filem tetapi aku sedikit memandang rendah kerana usaha yang kurang dalam penjelmaan hasil kerja). Malah ada yang terlalu mengada-ada (pretentious) aku mengamuk dan rasa nak muntah dan kalau boleh, mahu saja aku campak bertih jagung ke layar atau ambil gunting dalam beg aku lalu potong layar putih di depan aku waktu tu (sebab marah sangat). Tapi kalau aku buat macam tu, korang tak tonton filem dan aku masuk lokaplah malam tu kan?
Jadi biarlah aku pilih filem-filem yang aku suka dan sempat tonton malam tu (biarlah aku bias macam Fariz dalam blog Roman Kodian cakap, sebab aku mengamalkan sikap pilih bulu kalangan pembikin muda indi, nanti kalau dah
mainstream, lain cerita):
“Hantu Silap Mata” oleh Alif Firdaus AzisTradisi sambungan lawak senario tetapi dengan lebih kreativiti dan efek khas yang gempak (buat filem sekecil ini). Filem ini ada jiwa dan dibuat dengan seronok, sebab itu ia berjaya menawan 'perut lawak' penonton. Inilah filem ‘
feel good’ buat semua pada malam itu.
"5 Chairs" oleh Rozinor Razali
Aku rasa macam masuk filem Kill Bill versi hitam putih (walaupun pergerakan cerita sedikit klise - pernah dibuat orang terutamanya Tarantino). Gaya tinggi walaupun rasa aksi tembak tak
real. Tapi aku tak berani ulas panjang sebab suara latarnya satu hapak pun aku tak dengar, dan imej lelaki muka ganas yang bergerak dengan pistol/phalus tidak menolong. Aku serius kalau tiba-tiba para lelaki itu melakukan gang bang pada akhir cerita. Aku betul.
"10 Benda yang saya suka"(?)
Errrr ... Aku serius tak dengar apa. Ada cerita ni tapi tak dapat dengar. Ada beberapa babak menarik bila dialog macam "Lagi?" (semangat pencarian identiti individual muda zaman serba 'bergerak' ini) keluar. Awek cute.
“Ka Si Pe-cah” oleh Batsheeba Zalika Arsalan
OK, aku tahu ramai penonton yang tak suka dengan filem separa puisi bermontaj ini dengan suram noir dan bedak putih, tetapi filem ini ada gaya dan melepaskan gurindamnya dengan sejuk-suram lagu Sade tengah monyok. Mungkin subjeknya membosankan, malah ada beberapa bahagian ‘perlu ke’, tetapi aku suka dengan pencahayaan, mainan ruang serta suntingan yang meyakinkan. Rasa ‘dread’ itu berjaya dilunaskan walaupun sedikit ‘cold’ dan kaku.
“Adiwira - Prolog” oleh Shazrol Suhaimie
Jangan nak tipu, korang seronok bukan menonton filem pendek klitsch ni? Satu mesej awam daripada pekomik Malaysia mungkin (semuanya di Malaysia ni tentang mesej bukan?). Sebuah filem yang menghiburkan, malah kalah 90 minit Antoo Fighter.
“Melayu 501” oleh Sindiket Sol-jahOk, aku mengaku, aku sebenarnya tak suka filem ni yang meleret nak mati ingat pandai sangat bila memanjangkan babak dengan runut bunyi Unchained Melody dengan spoof babak filem Ghost. Tetapi mereka ada menyampaikan satu ‘
point’ yang ‘kurang ajar, potet!’ di akhir cerita tentang M-E-L-A-Y-U, yang sudah tentu ramai yang tak akan tangkap tapi marah sakan adalah. Sekurang-kurangnya filem MTV yang memuaskan hati pada malam tu.
“Hari ini Hari Bodoh Saya Cik!” oleh Benylita RamleeAku agak terkejut bahawa aku terjumpa seorang John Waters dalam barisan tayangan filem malam itu. Walaupun subjeknya nampak parah (seperti mana filem-filem awal John Waters sebelum Pink Flamingo), pemaparan subjek dan ‘
sense of pathethic’nya mewarnakan kemanusiaan filem ini dalam hal-hal hari sehari. Jika penonton sedar atau tidak, kesemua wataknya ‘gemuk’ dan, ehem, hodoh, malah heroin dalam filem ini seorang mak nyah tegap (mengambil homaj John Waters kepada Divine), malah kawannya yang juga mak nyah tapi kurus dan ‘jelita’ langsung tak dipandang oleh sang hero. Hidup macam sial hero dipaparkan dengan seslapstik mungkin dan kadang-kadang absurd walaupun kurang matang. Tetapi semangat ‘
rebel’ dalam keamaturannya menarik.
“Surat Seorang Ibu” oleh Saiful NangSatu lagi ‘
audience favourite’ malam itu oleh sebab produksi sinematografi dan perwatakan yang mantap, dengan tangkapan gambar imej yang sangat cantik serta runut bunyi yang sedia ada klise (Sudirman akan sedia melayan anda). Aku gerenti bajet filem ini menandingi bajet filem lain yang ditayangkan. Pun begitu, idea moralnya tampak untuk menginsafkan. Insaf tak korang? Ada telefon mak lepas tayangan?
“Lost Communication” oleh Fadzleena
Sebuah lagi filem moral yang sedikit lemah kalau mahu dibandingkan dengan Surat Seorang Ibu. Sebenarnya aku suka dengan filem ini, lebih-lebih lagi pada 8 minit awal dengan gaya budaya ‘mesin’ (serius, aku ingat ini sebuah filem sai-fai dunia distopia yang
kool) manusianya (manusia sudah seperti mesin) yang mengimbau suasana Modern Times hasil Charlie Chaplin ataupun Brazil hasil Terry Gilliam. Tetapi kesemua suasana ini dijawab dengan persoalan mikro yang didaktik. Ia tak salah, malah ada kecomelannya. Hanya mungkin kita mahukan suatu babak akhir yang mengujakan (bagi menyelesaikan imej statik mesin yang kita lihat pada awal – persoalan terbesar, kenapa realiti ‘filem bisu’ yang efektif menipu kita pada akhir filem apabila wataknya tiba-tiba secara ‘
miracle’ bercakap?) dan bukan mesej awam yang terang-terangan menyampaikan maksud.
“My Alien Girlfriend” oleh Naz Annuar
Naz Annuar ni cute. Aku rasa aku kenal pembikin filem ni (ni penulis tu kan?). Naz Annuar ialah antara pembikin yang tahu apa makna seronok dan tidak mengambil satu subjek itu dengan terlalu serius. Para pelakon dan kru akan suka dengan Naz. Mungkin juga Naz banyak ganja untuk dikongsi bersama. Dengan kaedah teknik yang betul-betul profesional serta garapan naratif yang kuat, Naz boleh mencapai hibrid Kevin Smith serta Danny Leiner. Meletakkan satu hal komedi di sisi hal kiamat adalah satu campuran yang mengujakan. Hanya “hum chaa” itu tidak perlu dileretkan.
“Song of the Sea” oleh Zainuddin Jamil
Aku suka Song of the Sea. Separuh dari aku boleh tenang melihat dan mendengarnya. Hitam dalam layar adalah ciptaan biru laut untuk aku. Hidup masih ada.
“Sebuah Karangan Bertajuk Kuala Lumpur” oleh Geng SifooGeng Sifoo mengejutkan. Inilah sebuah contoh filem yang akan terngiang-ngiang secara diam di dalam kepala kita selepas lima minit kita menontonnya. Pada awalnya kita ingatkan ia sebuah paparan ‘budak-budak’ yang mengajar kita akan KL. Kita akan salah. Filem yang terbelah dua ini sememangnya mempunyai kuasa
masterpiece yang tersendiri kerana berjaya melampirkan pelbagai lapisan rasa dan fikiran, daripada gaya komersial-tanda iklan pada dunia-superfisial yang dijuktaposisikan dengan jiwa yang kosong, ketiadaan komunikasi serta ketidaktentuan lalu menghasilkan sikap pesimis: KL (atau mana-mana bandar) ialah refleksi sangkar kosong bercahaya tanpa makna. Ianya anti urban dan sekali gus bermesej sosial yang kuat. Paling tampak: hijau dan keluarga sedang dalam ambang kepupusan kerana pembangunan. Lalu yang penting ialah pertalian ‘antara satu sama lain’, satu-satu perhubungan manusia untuk survival- simpanan humanisme yang kukuh dalam segala pergolakan cambah buatan manusia sendiri atas nama kemajuan.
"SMS" oleh Ajami HashimLagu sadur gempak. Semangat aku sama dengan
Spiral.
“Cekik” oleh Bin Filem (Ridwan Saidi)Hasil kerja Bin Filem bakal menggegar persada filem negara. Dan Cekik adalah antaranya.
Groundbreaking, sekurang-kurangnya dalam filem sureal di Malaysia. Sebuah filem eksperimental yang melunaskan konsep simbol (di sini dalam penggunaan ruang yang tertutup/sesak/terbuka dengan tangan dan kaki memainkan peranan) serta jalinan suntingan imej dan suara yang mantap dan teliti. Ramai kalangan kawan aku yang ‘
film buffs’ mengiktiraf Cekik sebagai filem terbaik malam itu, atau sekurang-kurangnya begini: “Siapa Bin Filem ni? Mana filem-filemnya yang lain?” Ideanya senang buat filem pendek (halunisasi/mimpi ngeri/keinginan kendiri/menjelmakan keinginan) tentang tangan yang mahu bebas ‘mengacau’ dan menghantui kaki dan kaki yang menggelupur ‘melihat’ tangan (kaki tidak sanggup dengan tangan tetapi ironinya, ia adalah satu anggota). Malah paranoia kaki menjadi-jadi apabila tangannya sendiri (cewek) melukiskan ‘tangan yang mencengkam’ – satu idea Freud yang anda akan terkejut, berlaku dalam Vertigo atau Psycho (penjelmaan apa yang kita tidak mahu tetapi kita hendak tahu). Anda akan terkejut, adanya persamaan ide ini dengan filem Land of the Dead hasil George A. Romero. Yang aku terkejut ialah, filem ini menyampaikan rasa ‘
sexual tension’ tanpa perlu menonjolkan kulit, semua ini hanya berlaku dengan aksi tangan, kaki, runut bunyi serta suntingan yang mantap, antara mainan sudut sedar dan tak sedar. Walaupun aku lebih menyukai Ah Long dalam barisan filem Bin Filem setakat ini, ini sebuah contoh filem yang membuka penonton terhadap dunia Ridhwan Saidi.
“Melayu 106” oleh Mamat Khalid
Mamat Khalid menyampaikan satu perbincangan, dan ia suatu perbincangan (
discourse) makalah yang benar-benar menjadi suatu dunia yang kompleks, melalui dekonstruksi teks yang memecah ruang moral, budaya, diri, psikologi, bahasa, malah sampai ke tunjang pegangan pun. Sebuah masterpiece secara pendek. Meligat dalam kekuatan baik makna subjek yang dibawa serta ketelitian teknik yang digunakan untuk menyampaikan ‘cerita yang dipersoalkan’. Tiga manusia (artis) dibawa dalam ‘perbicaraan’ tentang apa itu Melayu. Sikap dan pengalaman ‘tepat’, tersirat dan samar berjaya ditujahkan semacam persoalan itu tidak boleh dijawab oleh manusia Melayu sekarang. Kita tidak boleh memahami Melayu daripada teks, seakan-akan filem itu membicarakan, tetapi dengan ‘mengalaminya’, hidup di dalamnya. Dan itu pun bukan ruang yang senang untuk ditujahi. Sekali gus tinggi dalam isi perbincangan intelektualnya, tidak pernah membosankan malah memberi kuasa uja yang tinggi meniti subjkenya, serta emosi manusianya tampak dalam pelbagai bentuk nada dan rasa. Satu kejayaan buat Mamat Khalid.
Filem pendek Shafii Jikan
Gaya. Noir. Hujan. Si isteri yang mempunyai perhubungan sulit. Lelaki botak
'voyeur' suka nak mengendap. Kesimpulan: Aku nak tengok Vaneeda Imran main dengan Khir Rahman.
“RMN Broadway” oleh Dean ShamMTV seronok. Mungkin provokatif dari satu sisi tetapi tidak kesampaian sangat kerana para pelakon tidak diberikan fungsi yang benar-benar menampilkan ‘bergelumang dengan keseronokan’. Mungkin malu kot. Takpe, budak-budak kan? Apa-apa pun, menghiburkan dan cepat.
“Grip Phone” oleh Tok Rimau
Tok Rimau ialah kalangan penulis skrip/pembikin filem indi kita yang mempunyai banyak idea segar, disenangi kerana mencampur aduk hal-hal kontemporari yang konvensional serta sifat keJohoran dan keMelayuan yang seadanya dengan isu-isu semasa yang mutakhir dan secara politiknya, provokatif (cth: teroris, flat kos rendah yang dirobohkan hanya kerana memberi laluan projek kemajuan kerajaan yang kool). Pendek kata, Tok Rimau seperti Ron Howard tetapi punya ‘
political edge’. Kiri adalah hasil tulisan terbaik Tok Rimau setakat ini. Grip Phone menghiburkan – ia filem yang bergerak dalam manipulasi sebab-akibat (tipikal dalam filem ngeri). Di sini, apa yang dimainkan ialah satu ‘pembalasan dendam’ Mossad terhadap al-Qaeda – ambil filem terbaru Spielberg sebagai rujukan. Mungkin kerana Tok Rimau belum mempelajari ‘
establish shot’ – memberi signifikan lokasi (bagaimana surau dekat dengan padang besar? Mana orang lain? jauhkah padang dengan surau), maka logik lokasi dan ruang di dalam filemnya nampak bersegmentasi dan tak bersatu. Persoalan kenapa perempuan itu perlu dibunuh adalah perkara eceran kerana ini filem pendek. Tetapi pelaksanaan ke arah itu menarik, walaupun ada perkara yang kelam-kabut sedikit kerana sekali lagi, pelaksanaan shot buat pemahaman penonton tidak berlaku.
'Filek'* ayam disembelih oleh SinaganagaSatu pesanan sosial tentang seram makan ayam. Teknik-teknik-teknik. Semuanya akan hal itu dan tiada lain, kaitkan lagu, imej yang berlaku di skrin dan cantuman manipulasi erti yang dicapai. Pada awalnya ia mendapat 'tempat', tetapi kemudian ia menjadi sedikit leceh walaupun pengertiannya sampai pada akhir filem. Memang kerja main-main. Adegannya sangat tidak sesuai untuk budak-budak berumur 10 ke bawah. Anda mungkin muntah nak makan KFC selepas ini atau terngiang-ngiang lagu itu sewaktu menjamah ayam.
* Filek = Filem pendek.