
Mukadimah:
- Semalam, kami diberi peluang untuk menonton filem ini sempena pelancaran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-23. Ada satu kemenangan dalam FFM semalam (Anugerah Cipta, anugerah yang sedikit kecil sebelum anugerah Panca Delima untuk kategori-kategori yang lebih besar malam Ahad ini) yang buat aku mahu menonton sebuah filem yang aku terlepas, iaitu My Spy. Aku menyorak puas apabila mendapati Shashi Taran memenangi pelakon harapan lelaki terbaik semalam untuk Estet, dan Daphne Iking untuk Belukar.
- Adakah dengan kehadiran anugerah "filem komedi terbaik" dalam FFM ini akan konsisten, seakan membayangkan FFM kali ini semacam Golden Globe Awards? Adakah hal ini disengajakan untuk memaparkan "dinamisme" FFM yang tampak "mahu gah tapi s.s."?
- Amir Muhammad benar apabila menyatakan, hanya anugerah poster filem terbaik FFM merupakan anugerah yang paling penting, konsisten dan ditunggu-tunggu. Malah pilihan beliau mengena sasaran, Belukar menang poster terbaik (aku memilih V3, walaupun aku pun betul juga, Belukar mesti menang beberapa anugerah, ha ha ha).
- Tetap tersinggung atas nominasi filem kali ini di FFM. Ini bukan sahaja kerana Mualaf langsung tidak tersenarai tetapi cara penyenaraian filem (termasuk mengnominasi si wanita yang berlakon dalam 2 Alam) dilakukan. Tahun ini merupakan tahun terburuk buat FFM, dari segi filem bertanding serta senarai nominasi.
- OK, meh kita bedah filem "gah boleh dapat rm10-40 juta" yang sebenarnya aku tak sanggup nak bedah kerana risau ia benar-benar akan menggoncang reputasi produsernya ...
- Ulasan ini banyak SPOILER, so you've been warned.
Adam Dah Mati (1):
- Pertamanya: Aku tidak pernah semengamuk begini sewaktu keluar dari pawagam, mahu sahaja aku tumbuk si Dr., sang pengarah serta penulis skrip, kelar dan rejam mereka cukup-cukup.
- Inilah reaksi pertama aku sejak keluar lantas SMS kepada kawan-kawan:
"2 Alam is a filthy, disgusting, boring, aimless, puny of a f-i-l-m. A disgrace of the highest order!"
Amy Nak Mampus (1):
- Ini "filem" Dr. Rozmey. Yang lain sudah tidak relevan. Filemnya(?) senang, sang transgender bernama Amy/Adam bunuh diri lantas menunggu untuk dibela Tuhan dan keluarganya (ini filem dakwah, atau paling senang, transformasi teks ruangan Mastika). Soalan yang senang, adakah kita peduli? Inilah soalan terpenting untuk melalui filem ini.
Adam Dah Mati (2):
- Babak dan imej yang ternyata memberi rasa "sinema" atau "wayang" hanya berlaku dalam masa 4.7 saat dalam keseluruhan 86 minit klip panjang ini. Ini sahaja imej atau babak yang "betul", ini sewaktu keranda mayat Adam/Amy diusung masuk ke rumah ibu bapanya. Terdapat sentimen "pilu" dan "debar" yang susah hendak dinyatakan (mengikut imej-imej berbalik dari keranda- ibu bapa- si ustaz). Aku merasakan, "ahhhh ... indah", mereka mendapat gambaran ini bahawa dalam filem tentang "kematian" perlu dipaparkan kehidupan atau kepentingan "hidup". Tetapi hal itu hanya "berakhir" di situ seperti serpihan habuk yang mengikut angin.
Amy Nak Mampus (2):
- Ada perasaan teruja apabila mengetahui filem ini sebuah filem tentang "kematian". Tetapi juga satu "petanda" yang mencurigakan. Begini: Pertama, yang paling penting, filem tentang kematian sebenarnya sebuah filem yang "meraikan hidup". Ini jelas sebagai memahami fungsi "wayang" di mana semua wayang berakhir mengikut fitrahnya. Maka dengan menyatakan "kematian" (memahami pengakhiran sebuah filem), kita mencari sisi-sisi kehidupan yang boleh diraikan atau diinsafkan agar "meninggalkan dunia" itu "worth it" (di sinilah kita mencari semangat untuk berhibur, sedih, takut atau apa-apa perasaan mengikut genre yang ditetapkan). Rujuk mana-mana filem kematian yang bermutu seperti, Nasib si Labu-Labi, Those Who Love Me Can Take The Train, Le grand voyage, The Babarian Invasions (yang ini aku tak berapa suka, tetapi merupakan antara yang diraikan pengkritik antarabangsa) dan Jacob's Ladder. Kesemuanya memahami ekspresi ini. Secara menariknya, kita diberikan "sedikit" cahaya tentang hidup Adam/Amy, tetapi atas sebab kelurusan filem ini menuju ke arah dekaden Adam/Amy, tanpa memberi ruang dan peluang bagi "watak"nya untuk didimensikan dengan riwayatnya dan riwayat keluarga dan teman kampungnya, isi hatinya, sejarah kecilnya, kita diberi satu sisi sahaja ke arah "kehancuran" seakan ini sebuah filem DEKADEN yang dibikin Marquis de Sade yang alim fiqh. Simplisistik merupakan dosa besar filem ini. Tidak ada yang dapat diraikan kerana tidak ada satu "helai" benang hidup pun bagi watak-watak hidup untuk "hidup" walaupun beberapa watak cuba dihidupkan (watak gali kubur, watak isteri ustaz menenangkan ibu Adam, watak ustaz).
- Kedua, filem tentang kematian selalunya dibikin oleh para pengarah veteran yang sudah menuju ke akhir hayatnya (Madadayo, The Dead, Saraband), maka ianya semacam hadiah atau ekspresi terakhir buat dirinya (the last departure), keluarganya dan umat bumi (kerana kematian mengakhirkan semua). Ironi, Dr. Rozmey menandakan kerjaya filemnya dengan memulakannya dengan "kematian". Adakah ini satu sumpahan yang disengajakan?
Adam Dah Mati (3):
- 2 Alam kononnya ingin membawa sejenis "seni" atau "style over substance" atas kerana secara literal "2 alam" (hidup/mati, Amy/Adam, lelaki/wanita, dunia/akhirat, fantasi-wayang/realiti, benar/dusta) di sini dipecahkan kepada 2 "jalan cerita" yang mana penunjukan dalam babak itu terkait literal dengan jalan cerita yang satu lagi. Contoh, babak air disiram atas mayat turun ke lantai tanah, lalu dijukstaposisi dengan pancuran air dan Amy bermain buih. Ini mencari "puitis" mungkin. Tetapi The Masseur yang tahu menyusun iem-imej ini secara simbol berkait (juga filem tentang kematian!!) lebih memahami puitis susunan dalam penceritaan.
- Masalah terbesar, dalam dua jalan cerita yang saling ke depan belakang, kami penonton mencari "cerita". Aku berharap-harap benar ia berlaku pada babak Amy-Juan yang ditangkap di tengah malam, tetapi tidak, ia dijalankan secara amat simplisistik, kita semacam mahu mohon balik duit tiket kita.
Amy Nak Mampus (3):
- Ada satu babak yang benar-benar menimbulkan kemarahan pada tahap paling tinggi buatku. Ini sewaktu eksposisi Amy didedahkan (dengan zalimnya oleh lidah syaitan) adalah seorang lelaki yang dirogol (yeap, kes Saiful-Anwar orang akan tuding). Dalam sebuah babak "Yusof Haslam", dengan "bodoh"nya Juan (lakonan sia-sia Royady Madada) memutuskan perhubungan dengan Amy kerana Amy rupanya lelaki (?! - i kid u not). Kemudian dipaparkan satu babak Amy dan Juan berselisih dan kemudian masuk ke dalam kolam renang. Babak ini sungguh jengkel dan ta** kerana ia tidak pun "seni" dan tidak pun memberi apa-apa peranan. Adakah seluruh yang kita tonton selama ini adalah satu MTV yang panjang atau sebuah filpen eksperimental anak-anak pelajar yang merasakan filpen mereka boleh diperpanjangkan dengan babak-babak sebegini lemah?
Adam Dah Mati (4):
- Aku amat-amat merasakan filem ini sebenarnya berdasarkan persembahan pantomin "Selimut Putih" atau "Sakratulmaut" yang kita selalu tonton masa di sekolah sempena Israk Mikraj, Nuzul Quran atau mana-mana hari keagamaan. Aku percaya Dr. Rozmey mendapat inspirasi daripada itu. Aku "nyaris-nyaris" rasa "bertaubat" untuk menonton sebuah filem Melayu pada masa depan.
Amy Nak Mampus (4):
- Beberapa hal teknikal seperti imej "out of focus", runut bunyi dengan suara yang terlalu memekakkan telinga (aku terpaksa tutup telinga kerana desibel aku mencapai tahap kritikal), babak lewah panjang baca surat khabar, MTV MTV tak perlu melemaskan lagi filem ini, sepertimana Amy dan Juan yang menyelam ke dalam kolam.
Adam Dah Mati (5):
- Adakah filem ini dibikin sengaja untuk memperlihatkan penonton dari kampung tidak cukup cerdik untuk kenal Adam itu Amy dan Amy itu Adam dengan dialog terakhir "Mak, nama saya bukan Adam, saya Amy..?" atau menjerumus lagi ubat dakwah(?) yang sedia difahami secara awal? Maaf, ianya langsung tak berkesan.
Amy Nak Mampus (5):
- Apakah keperluan mendedahkan (secara janggal) hidup hedonistik Amy dengan Juan yang entah apa-apa, dengan cumbu-cumbuan yang "tak kena"? Filem ini semacam sebuah filem dakwah bersulam soft-porn yang tidak bernyawa. Cukuplah dengan Jalang dan Akhirat, kenapa filem ini mahu terjerumus dalam serkap yang sama?
Kesimpulan:
Serius, aku tidak ada masalah dengan para jutawan Malaysia yang berduit dan mahu menabur bakti mengangkat industri filem. Hal itu amat-amat digalakkan tetapi haruslah bertempat. Rujuk erti "adil", iaitu "meletakkan kepada tempat yang betul". Jangan membuat dosa, menzalimi industri dan isi kandungannya.
Ini merupakan muhasabah diri untuk aku, serta para produser agar memikirkan satu hal: ketepikan idea anda "Oh saya ada sebuah idea untuk filem!" tetapi sumbangkanlah duit anda kepada penulis skrip-pengarah yang mampu membawa idea besar, atau rujuk novel-novel yang mampu diadaptasi, atau cari skrip-skrip filem yang baik dan menunggu untuk dibikin, agar saluran "duit" yang betul akan tercapai kepada kumpulan kreatif yang betul dan memang memerlukannya. Aku akan maafkan dosa Dr. Rozmey melaknat industri, filem Malaysia serta penontonnya dengan menyumbangkan duitnya kepada penerbitan seperti Hanyut atau membantu mana-mana rancangan berkobar sang pengarah muda/veteran yang memang boleh buat kerja serta visinya memang mahu mengubah dunia filem kita. Sepatutnya, itulah "bayaran dam" yang perlu dilangsaikan atas mempalitkan kedurjanaan yang melimpah persada filem tempatan.
Bagi anda yang sudah membaca, anda sudah diberi amaran, tepuk dada, tanya jiwa.
ps: cara ulasan sengaja dibikin di atas untuk mengambil "semangat" filem ini yang juga berselang-seli tanpa erti dan rasa.
ps-2: Tak, aku tak menyesal tidak memilih Estet, kerana aku memang sudah berniat untuk keluar duit dan menontonnya di pawagam bila keluar nanti. Insya-Allah, lebih berkat.