19 May 2015

Pilot Cafe(2015)

"Mama tak mau ada penzina dalam rumah mama!"- Mak Ameer



Sudah ke manakah kita dengan genre sedu-sedan yang pernah digilang-gemilangkan oleh Jins Shamsudin? Adakah kita hanya dapat mengulang-ulang dengan kitaran, dialog, perbuatan, plot, dan aksi yang sama, dengan cerita moral yang sama agar, kononnya, penonton kita akan insaf apabila keluar panggung, atau sebenarnya kita menginsafi penonton kita agar menjauhi daripada menonton sebuah lagi filem sedu-sedan Melayu?

Aku sudah sejengkal tahap insaf daripada menonton filem Melayu yang bodoh dan kosong (setelah beberapa barisan filem tahun ini), tidak lagi. Ini pun aku tonton atas desakan kawan, desakan isteri yang ingin menonton "sebuah adaptasi novel Ahadiat Akashah" dan kerana "Remy Ishak dan Fahrin Ahmad". OK, aku ada dua pilihan baik, pertama ini filem Osman Ali, dan Osman serta Pryanto yang tidak silap aku, mengadaptasi novel Ombak Rindu, mungkin akan memberikan suatu kelainan (Osman pernah mengaku ingin mengadaptasi beberapa novel agung kita dan filem ini menjadi filem pembukaan AIFFA di Kuching), kemudian, kita ada Neelofa yang mula aku teliti setelah Lemak Kampung Santan dan Azura. OK, aku beri peluang kali ini. Kafe "Pilot Cafe" yang dibina menarik, dan kostum seragam syarikat penerbangan pun bagus, tapi semua itu hanya kulit yang mencantikkan permukaan filem.

Alas, apakah bencana yang menimpa aku kerana sanggup menonton sebuah lagi hasil entah apa-apa yang mengulang, sekali lagi sebuah inti yang tidak diharap sangat dapat mengubah apa-apa pengalaman manis menonton "wayang" dan mencari imej yang dapat kita bawa balik dan simpan? Ceritanya amat mendatar, tidak ada cengkaman dramatik (Ombak Rindu sekurang-kurangnya ada), awal tanpa hala tuju yang baik, dan "cerita" benar-benar bermula atau menarik apabila Fahrin ingin "berlakon" sebagai suami Izara balik kampung.

Apakah kehebatan imej si wanita kampung (yang jelas lakonan Izara sangat kelam-kabut dan tersalah pilih) yang "disunting" lelaki kota, yang kembung perutnya, dilatar sebuah "penthouse" di tepi anjung yang serba kaya, dengan solek muka yang sungguh sempurna dan perut memboyot, mengelamun di latar luar Kuala Lumpur serba moden dan mencakar langit suatu pagi? Ia tidak memberi aku apa-apa makna.

Ya, aku tahu novel-filem ini ke arah pengucapan didaktik, memberi suatu cerita moral terhadap Farhin Ahmad (yang baik lakonannya, begitu juga Neelofa) setelah berapa banyak wanita yang dibuntingkannya (lalu dimintanya untuk digugurkan). Fahrin atau Ameer, wataknya dalam filem ini, menyampaikan wajah lelaki "pendosa" yang bergelumang dalam dunia serba materialis (orang Melayu maju dan kaya) atas kekayaannya lantas menghadapi para wanita seperti barangan yang boleh dimiliki dan dibuang. Sepenuhnya, filem ini adalah tentang perjalanan penebusan dosa (redemption)  Fahrin untuk "menemui kembali" fitrah dirinya, untuk apa menjadi lelaki, dan untuk apa menjadi wanita. Masalahnya, dilemahkan oleh premis yang memang sedia lemah, hal ini dipertayangkan dengan beberapa imbas kembali (khususnya watak Neelofa yang terlepas daripada tangannya atas ketidaktanggungjawabnya) dan sudah tentu, kehadiran Izara yang agak janggal pada suatu malam di tepi tangga kafenya dalam basah hujan (ini sangat mengingatkan aku kepada Ombak Rindu). 

Untuk apa semua ini? Adakah dengan menonton ini, para lelaki yang rakus nafsunya, yang sedang meramas tetek aweknya di sebelah tempat duduknya dalam pawagam akan berhenti meramas tetek aweknya, bertafakur lalu mengucap dua kalimah syahadah, beristighfar, menghala tangan ke langit dan bermunajat? Adakah si gadis yang cuba atau memang sedang menikmati keadaan teteknya diramas itu akan tiba-tiba menyedari, dia sedang diperlakukan apa yang Remy atau Fahrin sudah perlakukan lalu dia kena cepat-cepat insaf, sebelum dia terpaksa terjunam di tengah-tengah kota KL dengan kepala botak Redzuan Hashim yang tampak bernafsu untuk meramas teteknya pula, lalu terpaksalah dia melarikan diri di tepi tangga seorang anak muda Melayu kaya supaya dia dapat masak lauk-pauk sedap dari kampung di restorannya.

Ketidaktentuan Osman dalam filem ini dengan jelas, memaparkan ketidaktentuan filem Melayu kita dan masa hadapannya. Dain Said pun sudah tidak mempercayai keajaibannya dengan menamakan judul filem terbaharunya dengan judul bahasa Inggeris. Dan kita masih meraba-raba mencari yang dapat kita teruskan sebagai pengalaman yang manis, yang setakat ini, hanya dapat disandarkan pada beberapa filem blokbuster Hollywood, Hong Kong, dan Hindustan, Sungguh mendukacitakan.

Klasifikasi Pilot Cafe: P13, terdapat babak ganas dan seks yang mungkin tidak sesuai disampaikan kepada kanak-kanak.
DITONTON DI MBO, KL Festival City.

3 comments:

Anonymous said...

Filem ini tdk sepatutny diklasifikasi sbg p3 sbb mmg tdk ada adegan panas maupun ganas...langsung tdk ada...

Mungkin filmny bkn yg terbaik tp lebih baik dr film hantu,mat rempit & lawak bodoh yg dah memonopoli cinema tempatan..10 thun? 20 thun mungkin.

Bg saya filem yg di sanjung oleh msian spt kl gangster adalah diantara film yg pling menyedihkan...kelemahan 90%..kekuatan cuma 10% iaitu sokongan Penonton yg msih memandang heronya tp bkn naskah & seni ny..film ini jauh lebih baik dr kl gangster & vikingdom yg entah apa2

indraputra said...

Wow.Sungguh mendukacitakan. Saya setuju dengan coretan fadz. 30 minit pertama memang siksa nak tgk...nasib baik saya tgk sbb nak tgk fahrin yang dah lama tak jadi hero filem. Apsal tarantella punya filem semacam sepesen jer...mcm tukar tajuk jer...isi perut dah bley agak. Osman Ali mungkin ada sebabnya filem ini jadi mcm ni. Rasanya, kalau ditangan org lain pun filem ni akan jadi mcm ni juga, saya rasa ada gangguan kreatof pada osman ali, entahkah...

fadz said...

Apa yang Anon di atas itu menyatakan ialah KUANTITI dalam GENRE, bukan KUALITI dalam penceritaan dan isi kandungan. Itu lagi menyedihkan.