09 March 2023

Imaginur (2023) Sebuah Sinema Cinta

"Dalam hidup, kita kena sentiasa cari Nurr!" - Mat


Sudah lama kita tidak menonton sebuah sinema di pawagam. Paling akhir, aku mungkin teringatkan cahaya-gambar The Fablemans (2022). Oleh itu, aku menjadi over-joyed apabila menemui sinema yang begitu indah dalam filem ketiga arahan Nik Amir Mustapha, Imaginur.

Imaginur dibikin dalam keadaan yang amat sederhana, tetapi mempunyai jiwa yang sangat betul di tempatnya. Kita boleh bercakap pelbagai perkara, macam-macam tentangnya, macam-macam interpretasi: tentang sikap pascamoden Kaufman-Gondry terhadap perhubungan cinta dan kelupaan, tentang penglahiran semula sinema Abre los ojos (1997) Amenabar dalam usaha perjalanan romantik seorang lelaki versi Dante, tentang bagaimana jika Still Alice (2014) Julianne Moore direalisasikan semula dengan titi-titi sureal Maya Deren. Paling penting: Nik Amir Mustapha berserta penulisan Redza Minhat telah menjadikan karya ini, yang separa sai-fai (akhirnya, sebuah filem FS tempatan yang menjadi!), separa perjalanan separa sedar-surreal fantasi mencari maksud "nur", usaha menemui kesakitan dan keseronokan dalam nostalgia, dan bibit-bibit memori yang "funky" - sebuah karya yang tersendiri dan membangun jiwa.

Apa yang aku paling suka tentang Imaginur ialah rentaknya. Aku merasakan, selain Dain Said, Yasmin Ahmad, U-Wei dan beberapa lagi pengarah lokal, susah hendak ditemui sebuah filem tempatan yang memahami bahawa sebuah filem adalah seperti susunan sebuah persembahan simfoni okestra (imbaulah susun rentak Tar yang amat mencuit campur gelap mengganggu). Susunan imej, suara latar (ada pawagam yang tidak mempunyai sistem audio yang berpadu dengan runut bunyi filem ini, yang kadangkala mempunyai audio latar yang hingar; mungkin bajet yang kurang tidak memberikan keistimewaan ini), campuran imej dengan dialog dan perubahan syot, mod rentak satu babak ke satu babak, mempunyai kelajuan, momen jeda dan gerakan yang memahami, sinema apa yang sedang dipersembahkan kepada kita. Kuasa ini, selain ikatan kefahaman Nik Amir terhadap teks skrip yang kemudian direalisasikan dengan bantuan syot-syot sinematografi Idham Mad Din, dipilih dengan begitu teliti, seperti suatu susunan muzik yang harmoni, mengimbau nafas romantik dan perjalanan pencarian dalam sunyi oleh suntingan Johan Arif Mazlan. Filem tahu syot fokus, syot luas dan cara mendapatkan ruang imbauan dan spektakular. Semuanya tersusun dan membina warna dan lagu. Suatu simfoni yang syahdu.

Mungkin di sini ada maksud mengapa babak-babak tertentu diulang, dimain-mainkan, ditekankan kepada audiens. Susun letak "antara realiti dengan fantasi" ini bertujuan untuk kita masuk ke dalam minda(?) Zuhal (bagi aku, "minda" di sini ialah sinema, sinema Zuhal, kita diajak menontonnya seraya awal Dr. Ramli memukau kita di kredit awal) agar kita tidak menemui alfa dan omeganya (tiada maksud untuk memahami sebab-akibat dan sumber punca, namun kita yang menonton-mengalami sebagai seorang voyeur yang setia, akan dapat menemuinya, seperti tafsiran-tafsiran hebat para penonton biasa di Facebook yang berjaya menemui pelbagai interpretasi tentang Zuhal dan Nur), tetapi kita menemui titik-titik imbauan (diulang berkali-kali, sila rujuk berapa kali Zuhal muntah dan pada babak mana, misalnya) yang akan mengupas babak pembukaan dan khususnya, babak katarsis. Ini sebenarnya yang mahu Nik Amir berikan. Suatu okestra manipulatif pada emosi yang menggugah kita (menariknya, Nik Amir tidak berjalan mengikut jalan melodrama tipikal filem Melayu yang mendayu-dayu, tetapi membuat susunan imbau imej yang jauh lebih sofistikated dan jujur, ini suatu kematangan mengawal kraf yang tinggi). Pada waktu itu, kita semacam menyedari, seperti mana-mana filem romantik(!) yang baik, imej-runut bunyi-lagu latar-dialog seakan meraikan "sebuah momen sempurna". 

Momen sempurna inilah yang membuatkan kita menyatakan: terima kasih, Tuhan, untuk segala pengalaman yang saya lalui, memori yang saya "masih mampu" ingat, baik dan buruknya, yang membuatkan saya menjadi saya (ya, aku mengaku, apabila tiba momen katarsis itu, aku menangis sampai ke akhir kredit). Mencari "Nur" itu sendiri (yang akhirnya, menemui diri kita sebenarnya: jika kalian sedar, banyak sekali imej antara Zuhal dengan Nur ditampilkan secara refleksi latar depan dan cermin, Zuhal di syot latar depan dan Nur dalam ruang cermin/bingkai, dan sebaliknya) boleh sahaja kita temui secara psikologi, secara kefahaman diagnosis penyakit (dementia), secara rohaniah, secara sinema(!). Itu semua legit dan menguja. Tapi bagi aku, yang lebih penting (seperti mana kita sayangkan sinema  Kaufman-Gondry, Amenabar dan dua Dainel) ialah keadaan manusia (human condition) yang diraikan dalam filem ini. Inilah yang penting, inilah yang membuatkan sinema Nik Amir Mustapha kali ini sungguh bernafas.

Himpunan lakonan para pelakon juga mencapai keindahannya yang tersendiri. Sanjungan khusus boleh disampaikan kepada lakonan terjaga dan sangat subtle oleh Beto Kusyairy sebagai Zuhal, suatu paparan dinamis dan tidak mudah diagak. Dia manusia semanusianya dalam filem ini. Beliau turut dibantu dengan saksama dan lakonan yang amat terancang sekali oleh Diana Danielle sebagai Nur. Nur menjadi cerminan siluet yang membuka banyak sangka-prasangka psikologi Zuhal, juga naratif yang tersimpan, yang membongkar naratif besar Zuhal. Para pelakon sampingan juga baik, dalam barisan Nadiya Nisaa sebagai adik Zuhal, Isma, juga Afdlin Shauki yang timbul sebagai comic relief filem ini, serta Mior Hashim Manap dan Fatimah Abu Bakar. Keselambaan lakonan mereka juga dikuatkan oleh dialog skrip Redza dan Nik Amir (tak terbayang, hanya dengan lisan "ter" yang amat sederhana tapi jelas imbalan manusianya, boleh menjadi antara barisan dialog penting dalam sebuah sinema kita!), antara lakon layar terbaik filem kita setakat ini.

Imaginur sememangnya sebuah sinema untuk diraikan. Sebuah sinema yang syahdu, yang mampu mencuit jiwa kita untuk menyelami diri kita sebagai manusia dan pengertiannya untuk mengalami hidup, yang banyak fiil dan kekurangannya dalam perjalanan itu, tetapi masih kental dengan mimpi, impian, semangat, dan paling penting, kepercayaan. Antara filem terbaik Malaysia tahun ini.

Klasifikasi P-13: Ada babak matang yang memerlukan bimbingan penonton dewasa.

No comments: