23 September 2007

The Brave One - A Good One


fadz: I have to say, it's nice to go wathing movies on puasa time coz most Malays are very good Muslims. They dont go to cinemas on Ramadhan time, unlike some people. So the q's are shorter (at least in KLCC). Even the non-Malays felt there's something wrong when the Malays are not around. This is what I heard from a Chinese girl in Kino when Kino is so deserted (read: not lot of Malays): "My god, this is so unhappening..!"



Aku tonton filem ini dengan Kekure. Sedang adik aku menonton Skin Walker. Aku beritahu adik aku filem ni best. Adik aku kata Skin Walker oklah.

Aku seorang pembela wanita. Jadi engkau akan faham kenapa aku suka sangat dengan filem ini. Filem ini 'tampak' tidak masuk akal (bagaimana seorang perempuan sanggup menjadi pemburu malam ala Batman di kota New York?) tetapi ketidak masuk akal ini penting, untuk meromankan realiti masyarakat New York pada waktu itu yang serik dan terik dengan pengganas. Filem ini sebenarnya satu kajian tentang keganasan, dan apa yang akan berlaku jika keganasan itu dibalas dengan keadilan ala Robin Hood.

Setengah dari 'feel' filem ini tampak seperti sebuah Batman wanita. Aku berkata begini kerana aku 'setuju' dengan moral yang dipilih oleh Jodie Foster (mangsa yang jadi pemangsa dalam filem ini), setuju dengan semangat 'death wish' yang dia mahu lunaikan kepada orang-orang jahat di New York. Setengah dari filem ini tampak seperti satu neo-noir yang setaraf Taxi Driver dan French Connection apabila Jodie Foster melalui lorong-lorong gelap Big Apple, dengan matanya dan telinganya terbuka dengan godaan dan kebencian malam. Perasaan 'gelap' dan kelam itu melalui bandar yang paling banyak jenayah itu sangat mengujakan.

Neil Jordan (The Crying Game, Mona Lisa) sudah kembali setelah beberapa filem dalam 90-annya tidak jadi. Filem ini sangat penting kerana Jordan berjaya memaparkan kosmopolitan dan rencam New York yang sebenar (melawan warna-warni penuh glamour dan romantik Sex and the City) dengan pelbagai kaum dan bangsa datang ke metropolitan New York. Kita bukan lagi mahu mengenali sejarah New York di setiap lorong dan sudutnya, tetapi hati gelap New York yang penuh dengan penjenayah di setiap lorong dan sudutnya. Walaupun babak penemuan Jodie dengan beberapa penjenayah tampak sangat 'circumstantial' dan tidak logik, ia memenuhi idea bahawa perjalanan yang perlu Jodie lalui ini untuk memahami hati gelap bandarnya dan mengapa ia mengambil orang yang dia paling sayangi.

Ada beberapa tangkapan yang berjaya dibuat Neil Jordan. Pada beberapa babak awal, kita dapat lihat Jodie Foster di luar pintu dari dalam apartment. Kita tahu bahawa Jodie 'selamat' dengan persekitarannya. Kemudian itu, yang tidak sepatutnya berlaku, maka kita dapat lihat, kemudiannya bagaimana Jodie agak susah mahu keluar, melalui pintu itu yang pertama-tama kali kita menontonnya. Kemudian kita dipaparkan dengan Jodie mula MENDAPAT perspektif baharu tentang malam dan kota New York. Kita dapat rasa keinginan Jodie mencari. Malah kita turut hiba dan bersedih bahawa Jodie merasakan tempat paling selamat baginya (selain biliknya) ialah di tepi kubur mendiang bakal suaminya, di bawah langit New York yang biru kelam dan tren yang laju. Puitis. Filem ini memaparkan apa yang Crash tidak paparkan, keinginan manusia yang sudah mengalami keganasan untuk kembali kepada 'state' yang mereka kenali itu dan mereka tahu mereka tidak dapat. The Brave One adalah jawapan New York kepada Crash Los Angeles.

Kekuatan filem ini terletak pada Jodie Foster. Setiap gerak-gerinya, emosinya, ekspresinya adalah cukup untuk kita menonton filem ini. Filem ini sememangnya sebuah 'character driven film' yang disanggul dengan genre thriller dan penyiasatan. Tanpa Jodie, filem ini ranap, kerana dia membuatkan filem ini sedap ditontoni. Malah, ada beberapa babak yang kita faham dan tahu ianya 'homage' terhadap The Accused (babak menyelamatkan pelacur), Silence of the Lambs (babak Jodie mencari pembunuh mendiangnya. Perhati dia memegang pistol, kita akan teringat akan Clarice Starling) dan Taxi Driver (kali ini, Jodie bukan mangsa tetapi mangsa yang berubah menjadi pemangsa - filem yang juga memaparkan jenayah diselesaikan oleh orang biasa). Terence Howard juga bagus, dengan sentimentaliti dan simpanan kesedihannya. Kita akan terkejut dengan permintaan kahirnya pada akhir filem yang memang aku mahu-mahu sangat ia berlaku.

AKhir sekali kita selesai melihat New York, baik di sisi cahaya dan kelamnya (dalam dan luar), maka baharu kita, dengan anjing kita boleh berjalan pada waktu malam dan tahu akan apa sebenarnya New York kepada kita. Sebuah kesedihan yang tidak mahu pergi tetapi perlu diteruskan.

Lagu "The Answer" Sarah Maclachlan, tulang belakang filem ini akan menjadi cult pada suatu hari nanti.

No comments: