Showing posts with label Matthew Vaughn. Show all posts
Showing posts with label Matthew Vaughn. Show all posts

26 May 2010

Ulasan "Kick-Ass" Aku dalam Dewan Masyarakat Jun 2010




Yeah, ulasan Kick-Ass aku masuk dalam majalah bulan Jun 2010.

Hehehe, satu perkara yang amat menarik berlaku. "Ass" masuk dalam Dewan Masyarakat, muhahahahah... Aku akan mencuba lagi selepas ini jika ada lagi perkataan tabu seperti %^&* dan @#$% boleh menjenguk majalah berprestij ini.. muehehe (ketawa jahat)

Ini sedikit bahan yang tak dimasukkan dalam ulasan di majalah ini:

Riwayat Kisah Balas Dendam dalam Filem Hollywood
Kebanyakan filem “balas dendam” berbentuk vigilante Hollywood wujud semasa Amerika kalah dalam peperangan, khususnya Perang Vietnam yang berakhir pada tahun 1975. Sebenarnya, filem sebegini dibikin sebagai melempiaskan perasaan tidak puas hati rakyat Amerika terhadap kekalahan Amerika di mata pihak lawan atau kepincangan keputusan Presiden Amerika semasa peperangan berlaku. Filem Hollywood pertama yang dapat dirujuk mempunyai adegan vigilante ialah The Birth of a Nation(1915) arahan D.W. Griffith. Filem ini dikecam oleh para liberal kerana mendewakan alasan pembunuhan rasis Klu Klux Klan.
Filem Death Wish(1974) ditayangkan sewaktu Presiden Richard Nixon keluar dari Rumah Putih. Filem lakonan Charles Brosnan itu memaparkan semangat membalas dendam dengan melanggar undang-undang. Filem ini mendapat sambutan penonton Amerika. Secara umum, wujud sentimen masyarakat Amerika pada waktu itu yang memerlukan “wira rakyat” yang mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah jenayah di Amerika di tangan mereka sendiri. “Suara rakyat” ini berkembang kepada semangat mempertahankan hak feminisme dalam I Spit On Your Grave(1978), serta beberapa filem beracuan sama seperti The Hills Have Eyes(1977), Forced Vengence(1982), dan Vigilante(1983). “Suara rakyat” ini kemudiannya diterjemahkan secara politik di dalam beberapa filem vigilante yang “malu terhadap kekalahan Amerika” seperti First Blood(1982) yang amat dikenali sebagai Rambo lakonan Stylvester Stallone dan Missing In Action(1984) lakonan Chuck Norris.

Di bawah ini, tertera beberapa filem vigilante Hollywood yang dibikin selepas Tragedi 11 September dan sewaktu peperangan Amerika-Afghanistan dan Amerika-Iraq:

Kill Bill Vol. 1(2003) Filem aksi dua bahagian arahan Quentin Tarantino ini mengisahkan seorang pembunuh upahan (Uma Thruman) membalas dendam setelah majikan dan bekas kekasihnya membunuh bakal suaminya pada hari perkahwinannya. Sebelum Kick-Ass, Kill Bill Vol. 1 telah memulakan kaedah peminjaman dan rujukan filem bagi melaksanakan plot cerita dan perwatakan.

The Punisher(2004) Filem yang kurang mendapat sambutan kerana lakonan Thomas Jane yang tidak terkenal, The Punisher menyampaikan struktur cerita yang lurus tentang seorang lelaki yang membela kematian isteri dan anaknya. Filem ini juga diadaptasi daripada komik ciptaan Gerry Conway, merupakan antara perintis watak “antiwira” dalam komik Marvel.

The Brave One(2007) Filem lakonan Jodie Foster ini mengisahkan cerita seorang penyampai radio yang membela kematian teman lelakinya kerana pihak polis tidak dapat mencari pembunuhnya. Pada waktu malam, penyampai radio itu mengelilingi bandar New York dengan sepucuk pistol, menyiasat dan mencari sang pembunuh.

Shooter(2007) Filem ini lebih jelas pandangan politiknya apabila menyelar senator dan pegawai kerajaan Amerika yang mempergunakan askar Amerika sebagai catur dalam mainan peperangan mereka untuk keuntungan minyak. Mark Wahlberg adalah “perwira tunggal” yang mendepani sistem korup itu dengan membunuh mereka satu per satu.

Taken(2008) Filem yang membaur ketidakpuasan individu terhadap kerajaan dalam menangani jenayah dalam skop yang lebih global. Liam Neeson berlakon sebagai bekas CIA yang menggunakan kemahirannya untuk menjejak sindiket pelacuran yang telah menculik anak perempuannya. Filem ini bergerak seperti sebuah filem perisik, membawa Liam Neeson ke pelbagai sempadan Eropah. Filem ini juga menggambarkan “penjahat terbesar” yang akan didepani oleh Neeson ialah seorang jutawan Arab.

The Last House on the Left(2009) Filem pembikinan semula daripada filem seram Wes Craven pada tahun 1972, yang berdasarkan kepada sebuah filem Sweeden, The Virgin Spring(1960). Filem ini memaparkan kecekalan pasangan ayah dan ibu membalas dendam terhadap perogol dan pembunuh anak gadis mereka di sebuah perkampungan terpencil di Amerika.

Edge of Darkness(2010) Filem lakonan terbaru Mel Gibson ini memaparkan ketabahan seorang ayah menuntut bela atas kematian anaknya yang menjadi saksi kepada kepincangan sebuah syarikat multinasional. Filem ini diadaptasi daripada siri televisyen BBC pada tahun 1985.

24 April 2010

Kick-Ass(2010) & The Evil Dead(1981)

Kick-ass Kick Ass!







"And you wanna know what's wrong with me? Yeah, I'd rather die... so bring it on!"
-Dave Lizewski/Kick-Ass


Fuh! Tak pernah aku tonton sebuah filem sewaktu di pawagam, aku ketawa, tepuk tangan bersemangat bersama-sama penonton dan berseronok dengan adegan-adegan ganas seorang budak perempuan (rujuk Kill Bill Vol.1) kecil membunuh. OK, orang akan kata aku gila, tapi, begitulah eskapismenya bila menonton filem ini.

Daripada amatan aku pada penulisan pengkritik filem Barat, kebanyakan mereka tidak suka dengan Kick-Ass, lebih-lebih lagi dalam hal logik (segalanya tertumpu kepada Hit Girl) serta isu moral yang diketengahkan. Aku kata, screw it, kerana itulah hal yang jelas yang hendak dinyatakan dalam keseluruhan filem. Kita boleh rujuk babak-babaknya secara terperinci:

- Kita diperlihatkan manusia New York yang tidak prihatin, memandang ke lain (macam orang KL juga) apabila seseorang diragut/dipukul pada babak-babak awal.

- Kita diperlihatkan bagaimana (di sini, sisi gelap filem bermula) pemilihan protagonis, Dave berdepan dengan penjahat walaupun tahu betapa ganasnya atau akibatnya. Kita dibayangkan Dave seorang hero apabila mendepani penjahat, lalu Dave "berjaya" memukul mereka, sehingga si penjahat keluarkan pisau, menikam Dave. Apa yang menggelikan hati, menjadi aksi seram tiba-tiba.

Ada beberapa poin atau isu moral yang dipertengahkan, mungkin "simplisistik" buat penonton berfikir, tetapi tetap menarik untuk diperkatakan. Tetapi, jika kita rujuk, kerana kepincangan masyarakat yang tidak "peduli" dengan orang lain, manusia-manusia seperti Dave, seperti Hit Girl "perlu" tampil. Hal Dave juga menarik untuk dilihat jika kemunculannya benar-benar "hitam putih" atas "melawan jenayah" atau inginkan publisiti (dalam dunia serba laju ini). Di sini, Hit Girl (lakonan sensasi Chloe Moretz), menariknya seorang anak bawah umur yang jauh lebih "determind" daripada Dave. Hal ini yang menggusarkan pengkritik (kritikan pengarahnya jelas, jika orang dewasa tak ada telur nak betulkan masyarakat yang korup, mungkin anak bawah umur perlu buat sesuatu). Pelik, sebab dengan jelas, Matthew Vaughn, pengarahnya, Jane Goldman (serta pengarah) sebagai penulis skrip dan pencipta komik ini, Mark Millar sudah menyatakan "tujuan" komik ini: keganasan dan kejahatan di luar sana BENAR dan kadang-kadang mendepaninya mengambil usaha yang tidak kecil.

Kita juga diberi beberapa babak yang menyatakan hal gelap dalam filem ini secara jelas (maknanya, awal-awal lagi kita sudah diberi amaran), pertama, Marcus, kawan Damon (lakonan Nicholas Cage yang amat spot-on) yang menyoal Damon kenapa melibatkan anaknya dalam pembalasan dendam psiko itu, dan Damon menyatakan, dalam sistem kejahatan, jangan bunuh simptomnya, tetapi penyebabnya (hal ini isu yang sama dengan Batman) dengan dialog, "Jangan salahkan aku, salahkan D'Amico!"

Kemudian, pada awal-awal lagi kita diberi satu babak yang kelakar tetapi sebenarnya amat gelap. Seorang lelaki memakai kostum adiwira, dengan berani, terjun dari bangunan lalu junam mati di tanah. Ya, ia amat lucu, tapi ia mempunyai konteks keganasan yang "real": keganasan dan jenayah itu benar-benar wujud. Apa yang membuat pengkritik barat tidak cukup kerusi ialah, pengarah memberi kita, betul-betul pemahaman bahawa tidak semestinya imaginasi itu boleh direalisasikan, tidak semestinya jenayah (yang sudah menjadi hal natural masyarakat) boleh dibendung. Dan filem ini memaparkan bagaimana "real" jika tanggapan ini ditunggang terbalikkan.

Secara serius, aku suka filem ni. Filem ini satu filem mainan pascamoden, jika hebatnya Zombieland dan Shawn of the Dead lakukan terhadap filem zombi, menunggang terbalikkan genre itu, bermain dengan klisenya dan memberi pelbagai rujukan dan memperlekeh atau menghormati rujukan, itu filem ini melakukannya terhadap filem komik.

Aku menyukai benda-benda kecil yang dibawa oleh Vaughn, seperti membuat Chloe Moretz mempunyai rias muka seperti Drew Barrymore. Drew dahulu pelakon kanak-kanak yang terlalu cepat membesar, sama seperti watak Hit Girl, dipaksakan demi tugas, menyebabkan dia menagih dadah. Ironi di sini, Chloe "menentang" dadah bersama bapanya (yang menyebabkan ibunya mati). Ada rujukan filem Batman dan Spiderman, serta "mengutuk" Superman yang menyeronokkan. Ya, filem ini, separuhnya secara peribadi mengisi keinginan seorang "geek" seperti aku (ya, beberapa babak secara peribadi amat mengisi fantasi mimpi basah aku!), tetapi ia berjaya juga pergi lebih dari itu buat hiburan dan kepuasan penonton.

Aku rasa paparan ganas dalam filem ini tidak akan dibuat isu oleh penonton Asia, berikutan sejarah tontonan kita yang penuh ganas (kecik-kecik dah tengok Rambo, Terminator dan Brando). Malah, kita mungkin bengang dengan cara LPF potong babak kata lucah filem ini (yang keluar dari mulur Chloe). Tetapi aku percaya, filem ini, seperti aku menonton filem ini, akan disorak dan dihaburkan dengan kepujian kerana walaupun ia mengambil isu keganasan dan jenayah dengan serius, ia tetap memaparkan (dengan bodoh) tentang seseorang yang ingin merealisasikan fantasi walaupun ia tahu ia tak mampu melawannya. Hal itu sahaja sudah memenangkan filem ini. Ini adalah antara filem hiburan terbaik tahun ini!



The Evil Dead Masih Berkuasa!

"It's the woods themselves!"
-Shelly

Semalam, aku bukan sahaja tonton filem di atas, tetapi membeli dua DVD (aku hanya beli DVD tulen jika ia betul-betul untuk penyimpanan) lalu aku beli Bodyguard and the Assassin serta filem ini di Speedy Video Pavilion.
Aku terkejut bukan kepalang, walaupun DAH TAHU plot filem ini secara keseluruhan, aku masih tetap tutup muka, MENJERIT dan rasa GERUN! OK! INI membuat filem The Evil Dead MASIH filem seram terbaik abad ini, masih merupakan antara filem seram terbaik, masih sebuah "masterpiece" walaupun entah berapa filem seram yang menggerunkan sudah wujud.
Memang filem ini tidak mementingkan cerita, filem ini juga tampak sudah ketinggalan efek khasnya. Tetapi beberapa kekuatan yang masih merangkum kuat, menjadi rujukan pembikin filem seram sehingga sekarang. Pertamanya, suntingan, kedua, sinematografi dengan tangkapan sudut bawah, aras tanah, kemdian fokus wajah yang amat-amat menyesakkan (ini dibuat dengan bajet yang amat rendah), suara yang mengujakan (yang banyak dicuri oleh pembikin filem sekarang dengan tanpa kreativiti seperti hebatnya Raimi lakukan), dan akhirnya, runut bunyi yang menyeramkan oleh Joseph DoLuca. Kita diberi kuasa "violin" (violin, sepertimana kuasa Psycho memaparkan filem seram amat memerlukan violin!), mengembalikan seakan satu semangat gothik dunia Roger Corman dengan filem-filem lama Edgar Allan Poe. Kuasa alunannya menyengat dan memberi kita "sense of doom". Lihat sahaja kegeniusan "cue" yang dimainkan pada akhir babak sewaktu Bruce Campbell keluar dari kabin melihat matahari dinihari, kresendo lagunya meninggi kemudian "menjunam" pelik, kita tahu ada sesuatu yang belum selesai lagi. Sememangnya, menuruti filem ini adalah untuk pengalaman dan gaya seramnya, bukan untuk mengenal pelakonnya atau ceritanya. Dan filem ini merupakan satu simfoni seram yang grandeur!
Memang, jika kita lihat, dialog dalam filem ini sudah menjadi hal yang melawakkan, serta beberapa babak. Ini kita tahu, bukan sahaja "to poke fun on its genre" yang senyatanya Raimi (rujuk babak filem projektor yang bergerak sendiri, hal gerun berubah slapstik ini kemudiannya diteruskan dan diperkembangkan dalam sekuel kedua dan ketiganya) tetapi menyatakan "ini filem eskapis" yang dibuat untuk berhibur. Raimi berhibur dengan seram. Jelas, hal yang dipaparkan janganlah diambil serius. Ini tujuannya. Pun begitu, Raimi berjaya juga menaikkan tempo "poignant" dengan paparan Campbell tidak selesa untuk memotong aweknya (memotong atau membuang sesuatu yang kau cintai). Pemasalahan "jiwa" ini diperkembangkan dengan sempurna lagi dalam The Evil Dead II.
Memang, kita juga akan terjumpa bahawa Bruce Campbell menjadi "anti hero" seram paling terkenal antara semua filem seram (buat aku hanya Sigourney Weaver dan Linda Blair boleh menandingi Campbell), lalu legenda Evil Dead berterusan. Tetapi jauh dari semua itu ialah keberkesanan Sam Raimi memahami "dunia seram".. Di dalam The Evil Dead, segalanya berkemungkinan (ini yang paling penting) daripada segala slapstik dan surreal yang akan datang kemudian (dna diteruskan dalam sekuel-sekuelnya). Inilah kekuatan paling tinggi Raimi yang mana tidak ramai pengarah filem seram belajar.
Lihat sahaja satu babak panjang "rogol di hutan oleh hutan" dengan watak Shelly. Kita tahu sekarang bahawa "rumah kabin" dalam hutan "kononnya" selamat (mengikut teori Maslow). maka semua ruang dinding tertutup itu "selamat". Kemudian Raimi memberi sesuatu: tingak terbuka di luar HITAM, angin berderu dan Shelly di dalam kabin sedang melukis jam dinding. Jam tiba-tiba berhenti, seakan unsur "luar" itu berkomplot dengan jam. Lalu, secara prasedar, Shelly "melukis" Book of the Dead.
Kini kita tahu, antara kesemua watak itu, Shelly paling lemah. Dan di babak ini sudah dikemukakan, BILA watak seorang, ia akan senang diganggu.
Shelly melakukan yang paling berani dan BODOH apabila dia keluar dari kabin (kerana terdengar suara!) Kini, segala yang tidak nampak serba berkemungkinan. Dan sememangnya pun. Lihat cara Raimi gerakkan aksi dalam babak ini, secara bertahap dan tersusun kelihatannya, tetapi bukan untuk penonton yang menontonnya (Raimi mendahului penonton). Mula-mula kita diberi penjelasan bahawa ada "seseorang melihat" Shelly. Kemudian semacam mengejar Shelly. Kemudian, tidak terduga, ranting dan jalar hutan melilit Shelly. Kita kemdian dipaparkan Shelly "dirogol". Shelly kemudian lepas, tetapi ada "sesuatu" yang mengejar. Shelly berlari dan terjelupuk. Tiba-tiba, sebuah pokok tumbang. Lalu Shelly lari dan lari.
Dengan adegan di atas, kita sudah tahu "ke arah mana" filem ini akan membawa kita. Ianya, "seram dan hantu" ini bukan seperti hantu biasa, yang menakutkan bila ia perlu (convinient) sepertimana kebanyakan filem seram, dengan "cheap thrills". Di sini, filem ini membuka "pelbagai kemungkinan". Saat itu, kita tidak tahu apa yang akan berlaku, siapa yang akan terbunuh, siapa yang akan dicekup oleh hantu (ia sudah memaparkan dengan jelas, hantu ini tidak berwajah, dan akan berwajah bila ia merasuk dalam manusia). Kita hanya mahukan watak-watak itu "hidup" sehingga pagi.
Jadi sebab itulah, babak sewaktu di kabin. Kita menjadi menggerutu apabila ada watak yang dekat dengan tingkap yang mana di luarnya hanya HITAM. Kita jadi gelabah bila lihat watak yang masuk ke bilik melihat tingkap yang terbuka. Kita merasakan, tiba-tiba sahaja, hantu tanpa bentuk ini (yang kita dapat lihat semacam kabus dalam satu babak sewaktu Campbell tinggal seorang) boleh menusuk mana-mana tingkap atau atap jika ia mahu, ia hanya menunggu masa sahaja. Hal ini kerana Raimi dengan genius sudah memakarkan segala kemungkinan ini dengan teratur, maka elemen-elemen seterusnya akan kita ikuti dan kita lihat memerangkap watak dalam kabin, sedikit demi sedikit "menutup ruang selesa" watak sehingga TIDAK ADA YANG TERTINGGAL. Ini dilakukan oleh Raimi dalam babak di mana, bukan sahaja Campbell sudah diganggu atas, bawah dan luar, kini "fikirannya" secara ekspresionis (merujuk banyak filem seram Itali dalam hal ini, juga mencapai kekuasaan Lewton dan fantasi Jean Cocteau). Elemen-elemen di kelilingnya semacam HIDUP, mengejeknya. Segala mengacau mindanya. Di sini baharu kita sedar, kenapa hingga saat itu, Campbell masih tidak berubah jadi hantu dan kenapa Campbell "still survives", walaupun dia jauh lebih berani dan heroik daripada kawannya (yang sengaja berwajah dan fesyen rambut Han Solo).
Filem ini masih mempunyai relevannya dalam omnimbus filem seram dunia. Aku silap bahawa aku menafikan filem ini bila menonton entah berapa banyak filem, hanya kerana filem ini menjadi terlalu popular suatu masa dahulu. Bila aku menontonnya sekali lagi, aku sedar, filem ini masih berkuasa menyeramkan, dan itu amat-amat jarang jika dibandingkan dengan filem seram sekarang.

31 October 2007

Stardust- Filem Fantasi Mempesona

fadz: Saya menonton filem ini semalam bersama Azlina dengan tiket percuma pemberian Aliah. Terima kasih Aliah.


"You are the star? Oh, you are the star!"
Tristan terhadap 'Star girl'

Sebenarnya, pada mula-mulanya saya agak kurang pasti jika filem ini bagus. Menonton gezet filem ini di pawagam beberapa bulan lepas, saya ingat filem ini satu 'joke' Hollywood (gezetnya sangat murahan dengan memaparkan gaya Hollywood ala 80-an dengan ensemble cast besar, yang semacam mahu menyuntik para pelakon bintangnya kerana tahu, ia takde apa-apa). Oh, boy was I wrong! Inilah filem di mana filem tayangannya 100 kali lebih baik daripada filem gezetnya! Inilah sebuah filem fantasi yang sudah jarang-jarang dibikin Hollywood. Ya, mungkin pernah dan selalu dicuba tetapi tidak pernah menjadi (tahun ini, sebuah lagi, "Enchanted" dari Disney mungkin dalam sepatu yang sama). Antara filem yang seakan sama dengan filem ini ialah The Princess Bride(1987) yang punya semangat, kelajuan, keseronokan dan hiburan yang sama seperti filem ini (sebuah lagi, Labyrinth(1986) punya gaya ini, tetapi filem itu sedikit 'dark' dan agak mengambil dirinya serius dalam beberapa babak, yang memang saya mengaku, lebih sesuai dengan diri saya).

Tetapi buat saya, mungkin filem ini lebih baik, malah lebih menyeronokkan. Semua ini kerana kebagusan penulis skripnya, Jane Goldman dan Matthew Vaughn mengadaptasi sebuah novel fantasi (modern-adult fairy tale actually) Neil Gaiman dan mencampakkan segalanya yang kena, lawak, mendebarkan, formulaik dan mencuitkan, di mana Speilberg di dalam Hook gagal mencapainya. Saya mengaku, dari awal filem ini sehinggalah akhirnya, tidak ada satu saat pun saya menguap dan rasa penat dan bosan. Ia bergerak dan bergerak cepat, membina antisipasi penonton dan terus membawa kita terpesona dengan budaya, watak dan gila-gila dunianya.

Paling baik, kesemua pelakon dalam filem ini berjaya membawa eksentrik, kebiasaan dan keseronokan yang diingini oleh roh filem ini. Setiap watak adalah 'memorable' dan bukan dipacak main-main sahaja, walaupun mereka terpampang di skrin hanya untuk beberapa saat. Karisma mereka kuat, dan lakonan mereka, sekali masuk sahaja sudah memberi penampilan dan tarikan yang kuat. Ini juga dibantu dengan skrip yang pedas-sejuk yang sangat menyeronokkan (pendek kata, doesn't take the story seriously and all for the fun). Lihat sahaja pada awal cerita bila watak seperti raja yang gering lakonan Peter O' Toole atau putera bodoh seperti Rupert Evert. Watak mereka 'kecil' tetapi memberi warna terhadap latar dan keseluruhan filem ini. Ini sesuatu yang jarang-jarang boleh dibuat (Scrooged pernah melakukannya tetapi tidak sehebat yang ini di mana plot dan struktur cerita terjaga kemas) dalam sebuah filem 'kemasukan pelbagai pelakon'. Jangan ceritalah, seronoknya main-main Robert De Niro sebagai Kapten Shakespeare(!), Michelle Priffier sebagai ahli sihir, Ricky Gervais sebagai pemborong, Kate Magowan, Sienna Miller, Nathaniel Parker, Melanie Hill, Mark Strong dan lain-lain punya kegilaan dan semangat mereka sendiri membawa watak gila-gila mereka di skrin.

Tetapi semua itu sudah tentu tidak cukup dengan keserasian dan 'kemistri' yang sangat memikat di antara Charlie Cox sebagai 'si pemuda yang akan mengembara sebuah pengembaraan yang tidak boleh dilupakan' dengan si gadis Claire Danes yang jatuh dari langit. Ini adalah antara 'kemistri' cinta yang pendek, kena dan seronok pernah saya tonton untuk tahun ini. Dialog, mainan mata dan keserasian di antara watak ini semacam menjadi 'pusat' terhadap filem ini di mana, jika mereka gagal, seluruh filem ini gagal, dan filem ini memaparkan gandingan mereka adalah ciptaan syurga. Menyeronokkan sekali gus menyentuh perasaan. Saya hampir-hampir menangis bila Charlie meluahkan perasaanya dan mengatakan apa yang kapten lanun sudah membisiknya. Walaupun ia formulaik dan pernah dibikin banyak kali oleh Hollywood, mereka, Charlie dan Claire memaparkan 'magis' begini boleh berlaku lagi jika ia dibuat dengan betul, jujur dan penuh semangat cinta.

Saya suka pengarah seni dalam filem ini berserta pengarah fotografinya yang tidak segan-segan membesarkan 'lensa' dan dunia filem ini (ada beberapa babak mengikut gaya LOTR Peter Jackson iaitu melompat ke sebuah wilayah ke sebuah wilayah di atas angin dengan laju). Wajah filem ini kadang-kadang 'grand' dengan pengambilan lanskap yang luas (gaya ini penting dalam filem fantasi) tetapi tidak melupakan 'detail' sesebuah budaya 'gila-gila fusion' penduduk alam fantasinya. Pencipta muzik Ilan Eshkeri, walaupun kedengaran seperti campuran lagu-lagu Alan Silvestri dan Danny Elfman, telah berjaya mengimbangkan dan memberi suara tanah, angin serta rasa perasaan watak-wataknya.

Ya, memang filem ini tidak seserius The Neverending Story (kegemaran saya!), Narnia, Harry Potter, Dark Crystal, Pan's Labyrinth, LOTR, Krull dan pelbagai lagi filem fantasi, ia banyak sangat 'poking fun on a situation and moment' malah seakan sebuah filem Monthy Phyton yang sedikit jinak dengan plot. Tetapi itulah yang baik tentang Stardust, ia sangat 'charming' dan dipersembahkan dengan kemahuan yang tidak masuk akal tetapi sungguh mempesona (enchanting) dan dipercayai (believable), ia tidak perlu mendabik dadanya ia perlu serius dan diambil secara serius. Ia sebuah filem penuh hiburan yang sangat mencuit dan menyeronokkan. Semacam sebuah kartun Disney yang sedikit 'zany' tetapi dibuat untuk orang besar. Yang paling baik, ia tidak menyuap dalam engkau bahawa 'magic do exist' sepertimana beberapa filem fantasi sebelum ini tetapi 'magic exist, so?', satu penggayaan yang sememangnya segar dan 'about time', ia telah meletakkan dirinya sebagai sebuah filem yang unik dengan filem fantasi yang lain. Dengan itu sahaja, filem ini adalah antara filem yang memuaskan saya sepanjang tahun ini, dan boleh ditonton dengan banyak kali kerana keseronokan dan gila-gilanya.