Showing posts with label Jason Chong. Show all posts
Showing posts with label Jason Chong. Show all posts

15 September 2017

Tiga Perca Filem Tempatan untuk September

Ulasan-ulasan ini pendek-pendek sahaja.


Abang Long Fadil 2 (2017) 
Aku tak sedar bagaimana karya kitsch boleh berjaya di Malaysia. Mungkin, kerana ianya dibuat dengan produksi dan teknik yang baik, menyusun rujukan filem asalnya dengan terhormat (dalam filem ini, aku pasti ada KL Gangster, Gerak Khas, Bad Boy dan Kingsman) dan memberikan sedikit "tolakan" daripada yang biasa. Itulah formula yang dilakukan oleh Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010), sebuah kitsch yang sememangnya enak. Syafiq mengulangi hal ini sekali lagi dengan plot yang mudah tapi menyeronokkan, Abang Long Fadil terperangkap dalam mainan "salah identiti", lalu satu komedi Shakespeare yang suka berubah watak-peranan antara dua watak pun berlaku antara Fadil (yang baru selesai melacur) dengan seorang pembunuh upahan. Jelas Syafiq amat seronok dengan kumpulan pelakon dan gerak ceritanya kali ini, meluncur laju bila perlu menurut genre siasatannya; menghiburkan, saspens, aksi pukul memikat dan lakonan baik. Ini sebuah komedi yang sesuai dan ditunggu-tunggu oleh kumpulan penonton Mamat Khalid (tapi Mamat pun tahu tamakninahnya. Jika korang perasan, filem ini tidak pernah sekali berjeda, bersunyi dalam sesaat, terus-terusan menghentak penonton dengan imej gerak/berubah dan runut bingit sampai ke akhir). Tetapi bagaimana pula dengan premisnya? Mungkin filem asalnya lebih berani memperkatakan hal-hal yang penting, kali ini ada, tetapi mungkin wacananya lebih ringan dan bermain sorok-sorok. Dalam semua kegirangan ini, masih terdapat ayat lawak yang lemah (diisi untuk mendapatkan ketawa yang murah) dan momen komedi yang lebih bersifat slapstik, malah keanak-anakan (yang sememangnya tidak salah). Hal ini ditambah pula dengan keadaan "ayah makan anak makan ayah" yang sedikit melampau-lampau dan beberapa pelanggaran logik. Paling merisaukan ialah lawak lucahnya yang tampaknya menjadi-jadi. Kita sudah lama tidak menemui adik-beradik Farrelly, dan tampaknya Syafiq boleh mengisi ruang itu di sini. Hanya aku terganggu dengan ketawa anak-anak kecil belum baligh (filem ini untuk tontonan umum) apabila melihat Fadil di"paksa main" oleh seorang datin tua di atas katil di dalam bilik hotel(!). Pengumuman: jangan salahkan filem, salahkan ibu bapa. Sinematografinya baik malah berani melonjak pada gerak sudut yang mengejutkan, jarang-jarang dicuba oleh filem kita. Zizan Razak seperti biasa, Syamsul Yusof tampak bergaya, Tania Hudson membantu, Wak Doyok boleh berlakon, A. Galak ada pesona. Telinga dan kepalaku amat bingit dengan AC Mizal dan Achey Bochey yang terlalu melalak, tidak seperti Shuib yang jelas-jelas lebih berjaya menyampaikan peranan dan wataknya, berjaya mengawal nada komedi dan seriusnya dengan bersahaja sekali.


Kau Takdirku (2017)
Filem melodrama Jason Chong ini mengingatkan aku kepada Douglas Sirk. Sirk ialah raja melodrama Hollywood pada zaman Hollywood menyandang zaman keemasannya. Cerita-cerita Sirk sunggguh tipikal soap, yang sebenarnya kita warisi dalam banyak filem bermula pasca Esok Jins. Dalam hal ini, Jason (dan Azlina Pa'wan) menggunapakai plot menage a trois yang diselubungi dengan golden shower dan bondage (hamik kau!). Percayalah, dua unsur tersebut yang menjadi pantulan 360 darjah Ezzaty Abdullah untuk meminati kawan abang angkatnya, Bront Palarae. Terdapat beberapa kecelaruan kerana cakupan mis-en-scenenya tidak sampai, apatah lagi permulaannya yang kita tampak dengan kefahaman yang sedikit mengganggu; budak tu lemas ke apa, eh budak tu sedang bermain ke apa, eh budak tu berpaut ke apa, eh budak tu bawak dengan gembira ke bayi tu ... Sinematografi Jason mungkin inovatif dengan meluncur sama dengan POV, masuk dengan budak itu "melemas" dalam sungai. Tapi bagaimana dengan penghayatan riak muka dan emosi jelasnya untuk kita, penonton, sama-sama mengikut "lemas-takut-lega-simpati-syukur-seronok" apabila Kamar (Remy Ishak) menemui Ezzaty sewaktu bayi? Jason seakan-akan terlupa dengan fokus kemanusiannya, kerana manusia itu yang penting dalam filem, teknik kedua, apatah lagi filem yang memohon air mata dan getar emosi penonton di sini. Susun atur suis melodramanya sebenarnya lancar, sesuai benar dengan tempo dan tipikal resonans dramatik yang diminta dalam bentuk filem sebegini, tapi pelaksanaan Jason masih longgar. Hal ini lagi tidak dibantu oleh Ezzaty yang tidak berapa menyerlah lakonan dan kesungguhannya, jika dibandingkan dengan tekal Remy dan seronok-serius Bront. Peranan mesin filem ini hanya satu (walaupun isu bukan mahram itu boleh didalami lagi) yakni membuakkan tangisan. Aku menangis pada satu babak itu sahaja. Paling tidak tahan ialah klimaks (spoilerTitanic campur Casablancanya yang bila pula orang boleh mendayu bercinta melepas jiwa saat-saat bahaya di dalam air? Kalau Kate dan Jack tu lainlah sebab keadaan laut waktu itu kelam, tidak bergelora dan bahaya datang daripada kesejukan suhunya. Ini? Sebuah filem yang boleh "menjadi" jika diteliti dengan lebih teliti oleh pembikinnya,


Mrs. K (2017)
Entah mengapa, aku tak rasa filem ni "hebat". Ya, kita berilah 10/10 markah kepada Yuhang untuk kejayaannya menghomaj-mendekonstruksi filem spaghetti western (Melayu: koboi spageti?), gangster Hong Kong dan Scorsese. Kita beri markah juga kepadanya untuk susunan pelakon yang memang gempak, baik dari luar atau tempatan. Kita beri markah tinggi untuk runut bunyi Italia ala Leone-Morricone yang mengisi setiap detik filem ini. Mungkin masalah filem ini ialah kelesuan, lesu yang jelas-jelas tampak pada kelincahan kung fu Kara Hui (filem ini sengaja menyatakan dia sudah lama tidak berlawan. Filem ini mengingatkan aku kepada kemunculan semula Pam Grier dalam Jackie Brown), lesu dengan cara menghilangkan aksi ganas kerana menjaga tapisan, lesu dengan percubaan-percubaan yang sengaja mundane dan tidak menjadi. Filem ini semacam membayangi percubaan Irma Vep yang pernah dilakonkan oleh Maggie Cheung (Assayas cuba mendekonstruksi filem lama Perancis). Menolak hal itu, filem ini merupakan filem Yuhang yang paling mudah diikuti, malah ceritanya memang terlalu mudah. Lebih menarik lagi, filem ini menampilkan sebuah watak wanita yang begitu utuh, menandingi dunia yang jelas-jelas penuh lelaki (hal ini jelas mengambil sikap Kill Bill dengan twist sebuah keluarga bahagia). Lelakinya penuh muslihat, dan kekasih boleh menjadi pengkhianat. Wanita, di sini, Kara Hui terpaksa menjadi "lebih pintar" daripada lelaki (baik fizikal atau akal) untuk menentukan penerusan hidupnya, juga supaya impian tercapainya terjaga. Dia membuktikannya, dengan justifikasi Dain Said: "Wanita Asia jauh lebih panjang umurnya daripada lelaki." kepadanya agar terus-menerus "mengepalai" dunia lelaki Asia yang penuh huru-hara, dendam dan khianat. Pesona emansipasi wanita yang hebat ini (kita menyedutnya dengan amat segar tema ini pada 30 minit awal filem ini) menjadi sedikit cacat apabila kita tidak dapat melihat kepintaran dan panjang akal Kara Hui yang sebenar-benarnya, kita hanya diberikan penyandaran nasib dan peluang yang disusun dengan sengaja oleh Yuhang. Namun begitu, filem ini mempunyai momen-momen keindahannya yang tersendiri, lebih-lebih lagi dalam perhubungan emosi dendam yang begitu baik antara Kara-Simon-Wu Bai dan kedinamikan kekeluargaan dalam Wu Bai-Kara-Li Xuan Siow. Kara Hui yang diam, melakukan renungan panjang di dalam keretanya yang dicuci, jelas menampilkan jatuh hati dan pegangan Yuhang terhadap dunia filemnya (homaj pada Min) dan dunia filem luar yang dinikmatinya.

30 October 2014

Dendam Orang Mati(2014): Seram Wanita Melayu

Ada sesuatu yang menarik dibawakan oleh pengarah Jason Chong dan penulis skripnya, Nizam Zakaria berserta Jason dalam sebuah mesin ratu seram KRU, Lisa Surihani (ya, nampaknya sudah dua filem berturut-turut). Memang aku bingit dengan kesan bunyinya yang mengada-ngada, dengan betapa cepatnya gerakan cerita, tetapi keadaan pantas itu sengaja dibuat untuk penonton sasarannya yang ingin menonton sesuatu yang pantas, seperti pantasnya mereka makan, buat kerja, baca buku, bermain, dan melancap. Konsep komersial mengikut tuntutan khalayaknya mungkin susah untuk menarik pemerhatian penonton yang serius, apalagi serius dalam genre ini, lebih-lebih lagi dalam 90 minit filem ini berjalan, tidak ada satu babak seram pun yang aku tutup mata (sebenarnya hal ini pun sudah menular lama dalam seram Hollywood dan Thailand dan macam-macma lagi). Tetapi lebih baik daripada itu, ialah ceritanya.


Ya, dialog skrip dalam beberapa babak mungkin janggal, tetapi susunan gerakan cerita, plot dan cara filem ini mengambil masa untuk menceritakan satu per satu akan keadaan yang menjeghat (mengambil semangat lidah Lisa Surihani) protagonisnya, Lena, agak menarik, dengan sisi psikologi yang diselami penuh untuk sebuah filem tentang keruntuhan peribadi diri, realiti dan kesiuman.

Untuk penonton biasa, filem ini bergerak dalam sangkar plot gerakan Lisa Surihani sebagai Lena, wanita kompleks yang baru bangun daripada koma lalu ditempatkan dan tinggalkan oleh suami (Fizz Fairuz) yang kini beristeri dua. Lena ditinggalkan seorang diri dalam pangsapuri di tingkat 4 ("4 itu bermakna mati dalam Cina," kata seorang watak dalam filem). Plot ini macam pernah dengar bukan? Macam Repulsion? Ya, selamat datang ke dunia Robert Aldrich, pengarah filem yang banyak memerangkap wanita Amerika sebagai subjek dan mangsa pengkajiannya dalam maksud melawan kemurungan, keseorangan, dan perangkap status sebagai wanita dalam dunia patriaki. Filem Aldrich sudah beberapa merimaskan dan memperkosa penonton wanitanya yang ingin sesuatu "yang lebih dalam hidup ini", selalunya berkenaan kritikan sosial wanita yang terperangkap, khusus pada era moden pascaperang dunia apabila wanita tetap dipinta terperosok dalam bingkai stereotaip yang sudah ditentukan oleh golongan lelaki. Jadi apakah kesesuaian untuk Jason dan Nizam mengambil semangat ini ke dalam sebuah filem tempatan Melayu?

Lena asyik diganggu oleh lembaga ghaib, kadang-kadang (spoiler) anaknya yang sudah meninggal, kadang-kadang lembaga merangkak. Lena menyuarakan semua ini kepada suaminya tetapi suaminya tidak mempercayai (macam biasa). Dinding rumahnya hitam seperti abu, seakan-akan terbakar, di kamar tidur (ah, kenapa di kamar tidur? Ada kena-mengena dengan kelamin, suami isteri? jeng jeng jeng). Tingkat empat itu sendiri membawa kembali perasaan seperti Lena dalam ruang Silent Hill, kadang-kadang merah (terbakar), tapi tengok, lantainya asyik basah. Dan apabila Lena ikut tangga, ada sahaja titik air, seperti hujan, seperti bangunan itu sedang menangis, seperti bangunan itu, seperti roh Lena sendiri sedang ranap.

Kemudian, sedikit demi sedikit kita akan menyelami sejarah hidup Lena, dalam kehidupannya yang serba kaya bersama ayahnya, jatuh cintanya kepada seorang lelaki kutu tidak berada (Antara Dua Darjat?), dan pemberian anak patung daripada ayahnya, satu-satunya anak patung kesayangannya dna menjadi teman hidup abadinya.



Kita sedang menyelami riwayat seorang wanita yang sungguh murung, mungkin sudah pada tahap dementia, terganggu lagi dengan ketiadaan sokongan daripada suaminya. Kompleks watak Lena menarik, dan dibawa dengan cemerlang sekali oleh Lina Surihani, membuatkan filem yang berdaya B-filem ala pop ini kelihatan penting dan bermakna. Ini ditolong lagi dengan kebijaksanaan penulis skrip memberi ruang soal tanya di tengah dan klimaks cerita, bukan lagi tentang penjahat atau pembunuh, tetapi keadaan benar-salah dan realiti-fantasi yang dihadapi oleh Lena. Hal inilah yang membuka pada beberapa persoalan menarik dan boleh diintepretasi dalam pelbagai maksud. Kita melihat Lena bertongkat sewaktu dia bangun daripada koma. Kita sedar dia datang daripada sebuah keluarga kaya, dan manja. Adakah cerita ini sengaja dibuat kepada penontonnya (Bumiputera, yang dikaitkan dengan manja) yang mula menolak DEB, tongkat sakti yang diberikan oleh Kerajaan, seperti mana Lena "derhaka" dengan ayahnya dan sanggup kahwin lari? Adakah filem ini juga bersikap mengusik penonton wanita abad ke-21, yang terfana dengan dunia novel popular dan drama siri popular yang mana si miskin boleh bercinta dengan si kaya, si wanita penyendiri diselamatkan oleh si putera lalu meninggalkan istana durjananya? Lantas fantasi itu (yang dijelmakan dan diingini sangat oleh para wanita kita) terperangkap dalam realiti hidup yang mengutuk dirinya sendiri (ini seakan-akan mengherdik Antara Dua Darjat) dan segalanya dalam buku dan drama popular itu tidak berlaku. Atau dengan lebih radikal lagi, adakah filem ini membayangkan kekuatan rakyat marhaen bangun memakan dan membunuh golongan kaya dan bangsawan yang manja secara diam-diam kerana mereka sudah bijak? Persoalan-persoalan ini menarik kerana watak dalam filem ini, seperti watak dalam filem Robert Aldrich yang juga mempunyai ruang moral yang dikhuatiri. Semuanya seakan-akan bersalah dan berdosa, semuanya mempunyai motif dan alibi masing-masing, semuanya mempunyai keinginan yang menakutkan.

(Spoiler besar) Dengan menyentuh Aldrich, filem ini sudah tentu menyentuh tentang hal seksual, yang jelas, menjadi suatu lagi persoalan besar yang dapat diteliti dengan baik. Babak awal, kita melihat Lena tersembur darah, yang jelas berkemungkinan daripada kemaluannya. Ini menandakan suatu petanda tidak baik untuk wanita, kerosakan harganya seperti kerosakan maruahnya. Dan ini dikaitkan pula dengan warna merah yang memenuhi aras empat tempat Lena tinggal. Semua ini seakan-akan menyatakan, bukan lagi keinginan seksual Lena yang tidak terisi oleh suaminya, tetapi keruntuhan atau hapusnya seksual itu (atau hawa nafsu dna keinginan itu!) setelah Lena mengecapi alam perkahwinan (hal ini dengan jelas dapat dibaca apabila Lena tidak menjaga anaknya dan suaminya meronta tidak terasa bahagia seperti seorang suami). Hal ini juga merupakan kekunci mengapa ayahnya menyatakan dnegan jelas, "Lena, kau seorang yang sangat istimewa." Seks merosakkan Lena. Lena seperti anak patung tiada kemaluan, yang boleh bercinta tetapi tidak dapat disentuh melebihi maksud sebuah anak patung, menambahkan lagi kompleksiti psikologi Lena yang menarik sekali gus menghibakan.

Di sinilah kekuatan cerita ini, memerangkap penonton dalam suasana terperangkap dan kemurungan terhadap siksa batin wataknya. Menyakitkan lagi, mereka tidak dapat diselamatkan, dan pancaran realiti mereka hanyalah di sebalik pagar putih dan tingkap hitam yang tidak ada apa-apa lagi untuk dilihat, untuk dipandang. Ironinya, mereka akan memandangnya terus.

Filem ini, selepas Belukar, adalah percubaan Jason Chong yang menarik, dan mempunyai kepandaian susunan dan mainan psikologi, walaupun tangkas dan terlalu jelas. Hal ini dibantu dengan percubaan kesemua para pelakon untuk memberikan yang terbaik. Runut bunyinya mencuba tetapi tidak ada apa-apa yang diingati, walaupun lagu Wings pada akhir filem mengancam. Sinematografinya cukup walaupun boleh pergi lebih jauh. Terdapat detik melodrama yang aku rasa disengajakan, seperti gaya filem Robert Aldrich, yang sememangnya tampak seperti kepandaian Nizam dan Jason, dan ini disampaikan dalam beberapa babak yang sangat gelap dan mengejutkan. Dan Lisa Surihani, nampaknya hanya pelakon ini seorang yang boleh membawa watak dan bercakap dengan anak patung dengan hebat sekali tanpa memperlihatkan kekoknya. Lisa, seorang ratu seram yang diraikan.

Klasifikasi: P-12, beberapa babak seram, ganas, darah, dan salah moral yang memang tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak. 
MENONTON DI GSC Time Square.  

19 October 2010

Belukar(2010): Mungkin beberapa anugerah FFM di dalam Tangannya ...


OK, demam FFM sudah bermula, memanglah tak terasa sangat (sebab tak ada yang betul-betul boleh didiskusikan sebagai menarik untuk "berlumba", malah terkejut Mualaf langsung tidak tercalon, adakah kerana keInggerisan filem itu?) tapi kenalah jenguk-jenguk juga (benci dan suka kan?) Kali ini nampaknya filem kita dibanjiri filem seram (berongkos B), komedi dan satu dua aksi.

Sebenarnya aku dah lama simpan DVD Belukar ni, sebaik aku baca ulasan kawan aku Ajami, aku terus nak nonton, tapi jadi MALAS bila mendapati ada babak prebiu filem-filem (ini kerja MIG lah ni!) Melayu yang disiarkan, langsung aku tak leh ke Menu Utama atau "skip" dipaksanya aku tonton entah apa-apa perbiu filem yang aku tak mau tonton. Buat MIG, mohon sediakan aplikasi "skip" supaya aku tak keberatan beli DVD kalian lagi!

OK, balik pada filem..

Belukar memang ada sesuatu, tetapi lebih baiklah aku mula dengan mengutuknya dahulu.

Teknik Belukar macam c****.

There.

Aku belajar satu benda: untuk menampakkan "aksi" dalam filem aksi anda, sediakan babak DISKO dan babak-babak GADUH dalam disko (rujuk kesemua filem "aksi" Melayu yang anda pernah tonton).

Aku rasa aksi disko dan filem aksi dalam filem Melayu dah wujud macam adik-beradik. Aku pun tak faham mengapa tetapi inilah tanda tangan yang mereka titipkan kepada kita sang penonton. Maka aku buat penanda aras, kalau aksi DISKO dalam filem tu best, dan aksi GADUH dalam disko tu best, maka kesemua babak aksi dalam filem Melayu/Malaysia tu memang best. Kadang-kadang hal ni bersangkutan juga dengan drama (babak disko Layar Lara best). Dalam Belukar, babak diskonya tak best, babak gaduh dalam disko hambar. Keseluruhan babak aksi dalam Belukar: hambar.

Aku tak tahu dengan Malaysia tetapi ini bukan filem Malaysia pertama yang aku "cringe" untuk melihat suatu babak aksi berkareograf, berancang, bersusun, bersyot kemas, dan ber"aksi" yang baik. Sedari PGL dengan babak silat pendeknya itu, tidak pernah lagi aku jumpa sebuah filem yang benar-benar memberi tumpuan, MASA, dan semangat untuk betul-betul memberi kita "sebuah aksi". Afasal korang ni malas sangat ah, ha Jason Chong?

Ya, akan kembalilah dengan dua masalah BESAR yang menimpa mana-mana filem Melayu, iaitu kos belanja filem dan masa pembikinan... Aku tak tahu, nak kesiankan penonto kita, penerbit kita yang takat-takat bagi duit (di Malaysia, kita menganggap produser hanya sebagai penyalur duit je) atau pembikin filem kita yang mungkin berjiwa besar tapi tak punya daya yang tinggi atas faktor-faktor yang menyelubunginya. Belukar inilah contoh yang besar.

Contohnya, saduran dan suntingan SUARA dalam filem ini merupakan antara yang TERBURUK dalam 2010. Kadang-kadang aku tak DENGAR apa-apa entah yang dikumandangkan pelakon, malah merasakan suara dengung "nggggggggggggg" dalam filem ni macam era filem Melayu 80-an tanpa "uhhhhhh" dan "ummm"nya.

Kedua, syot filem ni HAMBAR, bosan, lewa, lewah, dan suntingan filem ni tidak kemas, ada beberapa yang mengambil masa yang begitu panjang untuk satu babak panning. Ini sesuatu yang NO NO dalam filem aksi/jenayah, tolonglah.. Dah lah filem ni senang, dibikin dalam satu lokasi (resort dan kawasan sekitar Sabah) luar, tidakkah pengarah dan sinematografer tak buat reiki dan papan cerita dahulu untuk dapatkan syot-syot yang menarik? Dan akhirnya, MUZIKNYA, lahabau! Aku dah kata aku tak suka runut bunyi yang main masuk-masuk je.. Malah ada satu babak ni, DENGAN SENGAJA bila Bront Palarae bertanya Daphne Iking, "Ke mana selepas ni" dan Daphne jawab, "ambik fresh air", lantas kereta pun bergerak dan terpasanglah satu lagu entah apa-apa yang panjang (memohon kita mendengar bait-bait cintanya dengan baik-baik, as if we care!), dan babak ini betapalah lewahnya, aku sudah boleh menyukai filem ini, tetapi kerana memerangkap dirinya ke dalam satu KONVENSI filem Melayu (di mana kita ada satu babak luas yang panjang dengan runut bunyi lagi pop yang kononnya menyatakan, "inilah tema lagu filem ini ya") membuat aku memukul-mukul sampul DVD ini ke lantai berkali-kali.

Aku katakan semua ini sebab Belukar sebenarnya sebuah filem yang ditulis dengan AMAT BAIK sekali.
Link
Serius, walaupun aku sudah TAHU apa yang akan berlaku (jika kau menonton banyak filem jenayah subgenre con/caper), tetapi aku TERHIBUR malah menyokong dan menepuk bahu watak-watak yang "bergerak akhirnya ke matahari terbenam". Ye tuan-tuan dan puan-puan, ini satu filem jenayah yang mempunyai plot twist yang menarik. Malah, tiga filem "con/caper" yang aku gemari (sampai sekarang), The Game (paling hebat dalam gaya, tetap lebih kepada "con" walaupun ada berkenaan "duit hilang"), The Usual Suspect, dan Wild Things mendapat seorang adik baru yang boleh ditimang-timang dari Malaysia. Sebenarnya, kebanyakan filem "con/caper" mempunyai sedikit-sebanyak unsur tiga filem tersebut (dan beberapa klasik zaman NOIR yang mempunyai tema yang sama), malah filem sai-fai Inception juga merujuk filem bergenre ini. Kenapa aku kaitkan Inception di sini? Kerana semua filem-filem ini, seperti mana filem yang kononnya filem caper terbaik, The Sting (walaupun aku tak berapa suka) mengambil idea yang paling dekat dengan sinema/wayang: the idea of lying is to make people believe that it is true; selagi penonton "tertipu" bahawa semua yang anda tonton itu benar (dan ada penggerak yang membohongnya), anda berjaya menipu (deceive) penonton, maka penipuan anda bukan lagi penipuan semata-mata, tetapi merupakan sebuah seni sesungguhnya.

Inilah cita-cita mana-mana pembikin filem dunia di luar sana, untuk menipu penonton bahawa segala yang kita tonton itu "benar". Maka ianya realiti/fantasi terlaksana untuk kita (penonton) dan pengiktirafan "seni" untuk pembikin.

Dan Belukar mempunyai kekuatan ini sekurang-kurangnya di dalam skripnya. Ya, skrip Jason Chong cukup rangup bak keropok Cheezels yang amat lazat sehingga menjilat jari itu, daripada penstrukturannya, watak-wataknya menyelami dinamismanya, serta kejutan demi kejutan yang diberikan.

Rujuk sahaja satu babak sewaktu Daphne Iking diminta "berdrama" yang bukan-bukan memukul Bront yang sakit, lantas memberi kita komedi tetapi pembinaan watak yang jelas dan baik (kita menyedari kerana Bront memberi badannya, dan hal ini bukan sahaja kerana Bront seorang sado-masochist dan Daphne masochist), segala erotis di sini dijaga (erotisme merupakan kekuatan filem ini, tetapi atas kerana filem ini dibikin di Malaysia, banyak hal yang terpaksa di"rendah"kan tensi seksualnya, langsung takde adegan ciuman, dan ini suatu kerugian besar buat filem ini, aku mengesyorkan filem ini dibikin kembali dan menolak ambil pelakon Islam atas sebab sensitivitinya atau usah buat filem-filem sebegini!) dan menyeronokkan tetapi tidak diluahkan sebaiknya (atas nama LPF, filem ini tak patut dibikin di sini, aku sekali lagi menyatakan: if u cant show the sex in a sexual filem, dont do it!). Ini menarik (SPOILER) dengan babak "penyeleraian" yang membongkar kebenaran Bront dan Daphne, maka "perhubungan" gila-gila yang kita tonton separa awal (yang tampak ketidakmungkin tetapi amat "believable") dijawab dalam projektori si Daphne "sengaja" menyusahkan Bront dalam lakonannya kemungkinan atas dasar "cinta"nya yang sebenar,

Ya, filem ini terpecah kepada tiga, perhubungan Bront-Daphne, babak rompakan, dan pembongkaran. Mungkin orang tak akan menyetujui Jason dalam memberi kita babak pembongkaran yang teramat panjang-melodramatik-nostalgik (dengan warna sephia, seakan menyatakan realiti yang anda lihat mungkin "bohong") tetapi aku menyukai bagaimana seronok dan berkaitnya ia terhadap segala "penipuan" (wayang yang dilakukan oleh Bront-Daphne dan kawan-kawan) yang kita lihat sebelum ini di antara Bront-Daphne dan kawan-kawannya. Penanda yang menentukan hal ini (dan sesuai dengan plot dan peranannya) merupakan rekod digital yang dipegang Bront. Ya, rekod itulah merupakan "simbol" kamera pengarah atau kertas penulis, kuasa untuk memberi/tidak memberi, rakam/tidak merakam. Aku suka dengan kecilikan Jason bermain dengan hal "penipuan" bagai kertas nipis ini, menentukan kemahuan kita (penonton) untuk ditipu untuk sedikit "kepuasan" atau memuaskan suatu bentuk libido kita, yang ditentukan oleh sebuah pita rakam/kamera filem.

Lakonan Bront amat-amat baik, walaupun aku lebih menyokong jika pengarah mengambil seorang yang lebih berbadan cantik daripada Bront (cukuplah aku katakan, antara kekuatan imej seks dalam filem ialah kecantikan para pelakunya), seperti apa yang kita tonton dalam Wild Things, tujuan pengarah memberi amat-amatlah murah hati. Daphne Iking mengejutkan aku. This girl can really act, and she got the legs to strut it off! Aku dapat merasakan hawa, nafsu, emosi dan ketenteraman Daphne yang lunak, malah babak-babak dia menangis juga kiut. Hanya ada beberapa babak dia kelihatan kekok tetapi aku salahkan Ramli Long yang tak pandai menangkap babe yang panas ni.

Ya, kemungkinan Jason boleh menang "lakon layar terbaik", Daphne pun, ataupun Bront, kerana tampak mereka "benar-benar" melakukannya untuk filem ini walaupun dalam kekangan yang mereka hadapi. Selepas ini, para prdouser, anda sudah lihat kebagusan Jason, maka berilah ia lebih banyak duit untuk dia buat sesuatu yang lebih baik daripada yang ini.