Showing posts with label Bade Hj. Azmi. Show all posts
Showing posts with label Bade Hj. Azmi. Show all posts

21 March 2017

Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior (2017)


Ini mungkin kali terakhir Bade dapat membikin sebuah filem perang. Filem perang bukannya mudah. Selain mendapatkan bajet yang sesuai (dan selalunya tidak pernah cukup), lokasi tempat yang sangat mencabar (lokasi perang kita, khususnya era Darurat banyak berlaku di dalam hutan, dan hutan merupakan latar syot paling misteri dan menyusahkan, rujuk sahaja Proof of Life, Platoon atau The Thin Red Line), pembikin kita harus meyakini Angkatan Tentera Diraja Malaysia untuk meminjamkan perkakas dan kelengkapan mereka (dalam filem ini, sebuah helikopter askar digunakan, dan paling menakutkan, ramai askar dan peminat tentera membantai poster kerana penggunaan helikopter black hawk yang dikatakan tidak kena dengan sejarah), dan belum lagi dengan perunding dan pakar sejarah/askar yang memberikan input bagaimana-apa yang berlaku dari sudut sejarah. Karya perang memang meremehkan, apatah lagi apabila banyak mata, khususnya penonton Malaysia yang begitu kritis dalam hal-hal kecil seperti prop (ingat isu batu-bata dalam filem Puteri Gunung Ledang?)

Namun begitu, tekanan dna kerahan hanya boleh dilangsaikan jika pengarahnya sanggup mengambil cabarannya dan menggerakkan film perang ini seperti seorang jeneral. Setakat ini, kita hanya dapat melihat Aziz M. Osman dan (Allahyarham) Jins Shamsudin berjaya dalam landasan ini, dan boleh dikira P. Ramlee juga yang mengambil alih kerja Lamberto V. Avellana yang melarikan diri untuk Sergeant Hassan (1955). 

Apa yang Bade telah bikin dengan filem perang ini pula? Dalam filem ini, terdapat satu babak yang cukup baik dan terikat kukuh, mengikat dan menyampaikan pesona ketokohan Kanang yang molek dan sekali gus pengalaman betapa pahit dan menyakitkan kerja askar renjer ini memburu Komunis di dalam hutan (hal ini lebih jelas daripada Bravo V). Babak itu berlaku di pertengahan filem, sewaktu Kanang sudah berpangkat sarjen, menusuk di dalam hutan Perak (lokasinya mungkin tempat sebenar skuad Kanang bertempur). Babak itu sungguh senyap dan mendebarkan. Hijau menjadi pemandangan utama. Kita terlihat platun Kanang bergerak sedikit demi sedikit. Kanang, yang sangat superstitous (menurut ilmu "hilang" dalam hutan yang diwarisinya daripada datuknya) tahu ada musuh apabila kedengaran bunyi burung. Masing-masing mula mengambil posisi. Kanang paling depan, menuding dan mengarahkan prebet sebelahnya (dengan angkuh), "Jangan tembak sebelum aku tembak." Senyap. Tiba-tiba, kelihatan sebalik hijau-hijauan, sesuatu yang hijau dan hitam bergerak, seperti tompok di tepi lereng. Kanang lalu menembak.

Babak itu sahaja sudah begitu mengujakan. Kita bukan hanya dapat melihat perwatakan Kanang menyerlah, yakni beliau bukan sahaja berani buta, jantan, tampak bossy, tetapi ada sikap ingin melakukan suatu kerja itu dengan sempurna, seakan-akan seorang konduktor yang mengawal simfoninya. Ini dikuatkan pula dengan imejan sepenuhnya yang hijau dan pokok: misteri Khatulistiwa, yang menyimpan "pejuang-pejuang kiri" di sebalik buminya. Berlaku suatu gambaran "main nyorok-nyorok" di dalam hutan dan kejar-mengejar "1 2 jaga", namun ini bukan satu mainan. Dengan imej ini sahaja, kita dapat memahami mengapa ada "cadangan imej" Kanang yang belajar ilmu berjalan di dalam hutan, dan sebuah babak (walaupun tampak lesu) seorang pegawai tentera Inggeris ajak bermain nyorok-nyorok pada adegan awal filem ini bersama-sama Kanang yang tidak mahu masuk menjadi askar pada awalnya.

Semua ini sebenarnya bakal menghasilkan wayang yang menarik jika Asmira Suhadis, Zainal Fikri(?) dan Bade Hj. Azmi selaku penulis lakon layar betul-betul menyusun dengan baik dan dalam tangan Bade sendiri, mengetahui untuk menghasilkan imej bergerak dengan kemungkinan sebab-akibat yang baik. Setakat babak tadi yang baik, tidak ada babak atau adegan yang menarik atau menjadi petanda sesuatu yang baik daripada Kanang, wira kita, dalam filem ini lagi.  Tiada pemusatan yang baik. Aku tidak rasa pihak tentera ingin menolak kreativiti imaginasi dan interpretasi Bade, seperti yang Aziz pernah lakukan terhadap Leftenan Adnan. Contohnya, seperti Kanang yang kita lihat begitu bongkak pada awalnya, malah ada satu babak dia memukul seorang pegawai Inggeris. Kita sudah tonton semua ini, tetapi kita tidak diberikan dengan suatu latar sejarah hidupnya (the why) yang membina perwatakannya (dan jangan bagi aku alasan dia mahu melakukan semua ini "demi negara tercinta" come on! Menghumban political correctness ke mata telinga penonton amat membosankan!). Ada peluang yang disia-siakan oleh penulis skrip dan pengarah. Salah satunya ialah dinamisme peribumi melihat keperluan mereka datang ke Semenanjung untuk berjuang (takkan Kanang dengan rela selamba berpindah ke Semenanjung, tanpa ada apa-apa babak menarik, sekurang-kurangnya satu wacana akan hal ini? Contohnya satu dialog daripada orang tuanya kepadanya: "Jangan kau tukar agama dan cara hidup kau bila tiba di sana.")

Menampilkan bodohnya skrip ini adalah apabila dalam satu babak, seorang prebet (pelakon tambahan yang kita tidak peduli pun) mati di depan mata Kanang. Tiba-tiba, out of the blue (even literally!) Kanang mengimbau memori (cinta)nya dnegan prebet itu yang Kanang sanggup tumpangkan rumahnya jika mereka mahu. Betapa palsunya. Di dalam pawagam waktu itu, aku mencarut "P*** mak!"

Contohnya, babak Kanang berjalan di dalam hutan, diajar oleh atuknya, hanya satu jalan sahaja, tidak ada berlaku suatu momen pencerahan kepada penonton, yakni, bagaimana Kanang belajar melihat, menyorok, memburu dan menjumpai sesuatu di dalam misteri hutan (come onlah, Hunger Games pun ada apa). Hal ini patut dikembang dan dikembangkan sampai kita dapat lihat mengapa Kanang "ahli" dalam kerja memburu dan menyorok di dalam hutan, yang membawa dirinya maju dan terus maju dalam kehidupannya sebagai tentera. Aku lihat, hal ini disia-siakan oleh Bade dengan syot sambil lewa konon ikut skrip di atas kertas. Tidak ada percubaan interpretasi yang lebih baik. Malah, memang, skripnya terlalulah selamat dan penuh dengan inti anasir propaganda "selamatkan negara". Lagi satu, penggunaan mimpi. Mimpi ini sangat penting, dan sangat kuat jika unsur ini dapat disampaikan dalam filem (kerana bukan sahaja mimpi itu ibarat menonton filem). Kanang sendiri menyatakan bahawa mimpi itu (penerangannya menjadi suatu kenyataan bahawa mempercayai mimpi bukan tahayul tapi cara hidup dan selirat darah jati diri orang Iban: ini kuasa anak bumi berhadapan dengan hegemoni budaya utama Melayu) suatu pengalaman-jambatan dia dengan alam roh nenek moyang. Mimpi juga membawa alamat (foreshadow) seperti Kanang merenung diri apabila bermimpi akan ayam tidak boleh menyabung (ini petanda sial atau buruk). Mimpi jugalah, seperti yang dicadangkan oleh filem ini mungkin, Kanang mendapat ilmu hutannya. Namun begitu, Bade telah mengambil lewa dan renyeh akan unsur penting ini, malah mengarahkannya dengan begitu longlai sekali, tanpa maksud tanpa gerak dan tanpa motivasi apa-apa. 

Kalau kita baca dalam media sosial, orang asyik bercakap fasal lakonan hebat tiga watak Komunis yang dibawa oleh pelakon Cina (seorang lagi sebenarnya Melayu, Ruzana Ibrahim), menjunamkan kesemua lakonan watak lain khususnya tentera Malaysia termasuk Kanang. Sebenarnya, lakonan mereka terpuji, bukan hebat, tetapi kerana cara cerita mereka jelas ternampak struktur three-act itu, ternampak konflik dan peleraian, jadi penonton menganggap "ada lakonan". Hal ini tidak berlaku dengan Kanang dan isterinya (mereka kedua-duanya tampak watak utama filem ini), tidak ada perkembangan langsung. Mendatar. Dan ini bukan salah mereka kerana Langgi anak Kanang (lakonannya taklah buruk sangat, malah ada pesona Kanang yang menarik yang disampaikannya) dan Livonia Guing boleh berlakon (dia hanya diberikan beberapa watak merasai takut sewaktu keluar ke pekan dan meratap suaminya yang cedera, seperti mana-mana filem perang kita, sang wanita, itulah sahaja kerja mereka, duduk di rumah berharap dan menangis apabila suaminya cedera/mati - aku percaya wanita isteri tentera mempunyai dinamisme dan sudut yang lebih daripada itu). Tetapi skrip yang begitu selamat tidak memberikan mereka dinamis dramatik, tidak memberikan mereka drama untuk kita ikuti. 

Kelesuan-kelesuan inilah yang ditandai berkali-kali dalam filem ini, dijahanamkan oleh Bade (Bade juga tim penyunting filem ini). Hal ini sangatlah dikesali kerana kumpulan pelakonnya sebenarnya sudah memberikan yang terbaik (bayangkan, pertama kali aku tengok Zachery Francis X-Factor boleh berlakon). Malah, inilah filem (adakah ini filem sulung perdana peribumi Sarawak?) yang bebar-benar mengangkat landskap sisi peribumi dunia Sarawak! Siap dengan dialek Iban dan perkayaan dunia Ibannya. Malah, skor muzik filem ini merupakan runut bunyi terbaik yang keluar untuk filem tempatan tahun ini sekakat ini. Namun lihatlah bagaimana lemahnya Bade mengarahnya, runut bunyi yang baik juga kadangkala terpesong niatnya atas tampalan imej-babak yang salah dengan emosi lagu. Jadi apa yang kita boleh bawa balik setelah menonton peperangan lesu ini (aku menguap berkali-kali, bayangkan) selain hanya satu rekomendasi peribadi atas perasaan cintakan wayang Malaysia dan cintakan sejarah perjuangan tentera kita? Takkanlah kita hanya mahu tersandarkan dua hal itu sahaja apabila pembikin filem kita terus menempelakkan kita dengan makanan basi?

05 February 2012

Pelangi Ada Tujuh Warna

Sebelum aku bermula membedah (hahaha) filem pop paling ditunggu-tunggu ini, aku mahu membelah ini drama filem yang aku tiba-tiba tonton. Ya, aku telah menonton seperti 10 minit awal drama skrip yang ditulis Faisal Tehrani (role cue: Agghhh, I watched a Faisal Tehrani movie!) diarahkan Bade Azmi. Bila aku sedar ini drama mula membawa aku kepada "menguap", aku mula bertanya, adakah ini hasil orang besar itu yang pernah kutuk arwah Yasmin dahulu berkenaan "nilai moral"nya? Aku terus-terang, mamat Faisal ni "got balls". Baru-baru ni aku habis membaca novelnya yang ada berkenaan pembikinan filem era baharu Malaysia, yep, dan revolusi yang ingin dia bawa, bersama kupasan teorinya, bagi aku, menarik (atas kertas) malah mengangkat Dasar Kebudayaan Malaysia pada tempatnya, dalam dan luar. Tetapi menonton aktres pujaan aku, Lydiawati, dimomok dalam babak dialog berjela-jela dengan kawannya berkenaan itu jantan dan ini jantan (talk about unsexing everything about sex in ISLAM), mulut aku ternganga panjang. Kemudian, lepas babak itu, kita ditangkap dengan babak panjang MTV tanpa suara tapi lagu yang memaparkan Lydiawati terpegun tonton pelakon lelaki bermisai bercakap ala-ala MLM, kemudian tanda tangan dan kemudian, ugh apa lepas tu? Oh ya, Lydiawati dipaparkan membelakang kamera, siluet jauh, kemudian si pelakon lelaki bermisai datang, tunjuk diri. Dan aku tak tipu, kita dengar runut bunyi burung berkicauan, lantas dua orang tua ni bercakap benda-benda syariah komplien (yang membosankan), dan tiba-tiba, potong, bawa ke babak baru, tempat sama, suara burung kicau sama, dengan sudut tangkap lain, masih dua orang bercakap (yang membosankan). Aku mengutuk-ngutuk babak ini sampai tendang-tendang TV aku dan lepas tu urut-urut dada ingat Allah dan beristighfar (cewah!) Ya tuan-tuan dan puan-puan, itulah yang dinamakan DRAMA RADIO, dan bukan drama radio biasa tapi DRAMA RADIO RTM yang aku dengar zaman-zaman 80-an masa kecik nenek aku pasang (zaman sekarang drama radio RTM pun dah berubah betul).. Dan nama drama ni apa? Pelangi Ada Tujuh Warna? Oh, 70-annya, oh, oh, aku boleh anggap, betapa aku Noor Kumalasari menunggu matahari menjenguk wajahku dan memberi aku cahaya semula untuk mempercayai apa yang aku dengar dan tonton, ohhh Tuhan... Inilah pengajaran buat Faisal. Ya Faisal, tontonlah filem Iran, imej, potongan dan sudut bergerak, imejan bergerak, semua ini penting untuk "menggerakkan cerita" wahai Faisal, bukan main dialog-dialog-dialog saja. Janganlah dibandingkan dengan filem Iran hebat, 10 itu yang hanya kamera mengambil wanita dalam kereta dan bercakap kerana ISU dalam filem itu provokatif, bentuk awalnya sahaja menampakkan provokatif, maka jika bercakap panjang pun si wanita itu dan itu sajalah yang berlaku dalam filem tu (seakan berselindung daripada ditangkap) sudah meletakkan kewajaran sekali gus intrig yang sangat memikat.

Ah, setakat ini belumlah lagi tertunai revolusi Faisal atas kertasnya yang idealis itu. Aku harap dia cuba lagi yang terbaik lepas ni.

22 August 2009

Maut(2009): Ayam Belanda 2009


Semalam, aku tonton filem ini selepas terawih, diminta oleh seorang kawan lama, Cairel untuk menontonnya. "Ambil mood puasa," kata kawan aku. Aku pun mahu, sebab ini antara filem yang aku terlepas sewaktu aku di Kelantan.

Selepas selesai menontonnya, imej yang paling mengujakan (arresting) dalam filem ini merupakan imej seorang tua berkopiah yang tiba-tiba menjadi sebutir cahaya lalu menyinar terang lalu lesap di balik udara. Itulah sahaja imej yang benar-benar membuka mata dan mata hati aku daripada segala caca merba dan meraban tak tentu yang tersulam dalam filem berimaginasi bertatah didaktisme Islam ini.

Mohon maklum ya tuan-tuan dan puan-puan, ya, filem ini sebuah filem yang tiada hala tuju dan dibikin dengan sifar kepintaran oleh seorang pengarah yang bernama besar seperti Bade.

Sebenarnya, ia sangat menyakitkan hati aku untuk meneruskan pengulasan tentang filem ayam belanda (turkey) togel (bagi filem Bade ini, kita tambah "togel"nya kerana cita-cita besarnya) ni, tapi, hmph, aku terpaksa, bagi menyelesaikan nafsu amarah aku pada hari pertama puasa, nauzubillah. Maut atau (Malaikat Maut sebelum dicincang LPFN) merupaka 3 cerita yang polos ala cerita-cerita "kan ustaz dah cakap" majalah Mastika yang menjadi alat "yang sepatutnya" menggoncang jiwa sekular/moden/muda/meghenyam anda untuk bertaubat - tetapi akhirnya telah menyebabkan anda merasa loya nak muntah sehingga anda taubat tak nak tengok apa-apa filem Bade lagi.

Di antara yang tiga (Syaaban-Ramadan-Syawal), cerita terakhir (Syawal) yang diterajui Que Haidar sebagai mamat Black Metal yang mempunyai beberapa lakonan, nilai dan cerita yang sedikit menarik, walaupun sebenarnya tidak dapat menolong mengangkat filem ini walaupun daripada lakonan baik Haidar atau cerita yang "tersarat bermesej moral".

Ya, inilah sebuah contoh filem "didactism gone wrong", ia mahu memberi pengajaran (berdakwah) secara lembut/terang, tetapi penggayaan Takashi Miike (graphic exegeration)nya terkeluar carta. Sekurang-kurang Miike melakukan dan menjalankan gaya filemnya khas untuk itu (grafik-grafik-grafik) dalam memahami semangat gelap yang misterius dalam manusia. Filem ini, entah. Kalau dah nak grafik sangat, tunjuk je lah adegan cium dan senggama bulat-bulat, sekurang-kurangnya filem separa dakwah dengan agenda sesat ini dapatlah dinikmati oleh para voyeur untuk keaslian lucahnya.

Cerita pertama (Syaaban) berkenaan seorang gadis, Liyana Jasmay (Jasmay yang hebat pun, dibawah arahan Bade ini semacam menjadi seorang watak ambil barbiturat 24 jam, kesian Jasmay) yang mendapat "sentuhan" dari alam lain, membantu satu halangan dengan usaha bantuan yang ikhlas: paparan dalam hidup di dunia ini, dalam erti menjadi manusia, semuanya terletak dalam komunikasi atau interaksi, dan juga qada' dan qadar Tuhan itu tidak boleh diubah, hanya kita sebagai hambanya "mengikut" programnya, walaupun selepas "meninggal".

Cerita kedua (Ramadan) berkenaan seorang pramugari yang bertaubat: paparan dalam hidup di dunia ini, kita senantiasa diberi peluang kedua atas Rahman dan Rahim Allah.

Cerita ketiga (Syawal) berkenaan Que Haidar, seorang pemuda keliru yang mencari jalan sebenar tetapi ditutup atas sebab pembawaannya semasa kecil: paparan salah asuh anak dan akibatnya.

Sebenarnya, ketiga-tiga cerita filem ini (yang menampilkan orang-ornag kecil, manusia-manusia biasa) mempunyai alasan yang baik untuk disanjungi jika Bade tahu bagaimana mahu mengalirnya dan menggerakkan ceritanya pada jalur-jalur tertentu. Sebaliknya, ceritanya melewah-lewah, terapung tanpa tujuan, pensiratan atau motivasi, malah keseronokan sekali pun.

Malah, seperti yang aku maklum tadi, Bade seakan mahu mengambil semangat Miike dengan pemikiran, "Bagaimana jika aku cabar penonton dengan imej-imej buatan manusia yang mengganggu?" di mana kita akan dipaparkan, cerita demi cerita yang mana "kelakuan melampau batasnya" sepatutnya melampau lalu makin melampaui perspektif "sihat wal hadhari" kita (ini dipanggil, mind torture yang kini dipanggil porn torture sebab memandangkan ada juga jenis manusia yang mengambil nikmat melihat pelampauan batas yang dibuat/terbuat dek sesama manusia). Ya, Bade sebenarnya mahu mencabar penonton Malaysianya untuk menonton bagaimana sewelnya manusia Melayu Islam boleh jadi dalam membelakangi Tuhan (seperti menum arak, menari dengan rentak buruk bagi cerita kedua, berzina, tatu, black metal,(!) derhaka mak dan paling tak malu, marah orang tua tepi jalan yang tak bersalah(!)

Semua ini digeraakan tanpa mood, semangat atau penanda yang menarik perhatian. Contoh seperti satu babak "bosan" yang "terapung-apung" tanpa makna dengan syot TV "berita" kemudian wajah Raja Farah (yang sedia ada cun) kemudian Liyana yang terganggun dengan "sedutan berita" kemudian TV kembali - errr, ok? Apa tu? Ia sememangnya tidak memberi apa-apa, malah sedikit semangat "tersentuh" terhadap imej tangkapan pun (walaupun ditangkap jelas, rata dan cantik). Ada beberapa babak dengan bunyi efek "tring tring" lebih merimaskan.

Inilah filem Bade yang paling bercita-cita tinggi tetapi paling ranap sekali. Depiksi Pokok Kehidupan di Arasy (di dalam tradisi Islam, pokok ini dengan bilangan daunnya mewakili nyawa hayat manusia yang hidup di bumi. Aapabila 30-40 hari manusia itu sudah tertulis ajalnya, daun yang mewakili ornag itu akan gugur ke bumi lalu Malaikatul Maut akan membaca nama siapa di daun itu untuk mengambil rohnya) dan satu babak "kononnya menakutkan" pengalaman di neraka tidak bercampur gaul dengan elok terhadap latar besar cerita. Sesuatu tentangnya macam sangat salah.

Selesai menontonnya, dengan rasa jujur, aku tak rasa nak ke sejadah dan berkonversi pun dengan Tuhan. Jika anda mahu menonton satu filem dengan pendekatan kemanusiaan yang lebih mengancam dan kreatif tentang retorik kuasa, keseraman, kecantikan dan misteri maut - tontonilah filem pendek Afiqsays, "4 Peringkat Ajal(2009)", sebuah filem yang 100 kali lebih baik daripada ayam belanda togel ini.