15 March 2021

Ulasan: Capa Rengat Gulai Rawo (2021)


"Tempat kita adalah tempat kita bergembira bersama." - Rabiah/Ibu




Setelah telefilem Pendoa yang Ikhlas (2019), Wan Afzam dan Unit Drama RTM nampaknya mencabar diri dengan cuba mengadaptasi dua buah cerpen dan menjalinkannya menjadi sebuah telefilem baharu. Mencabar lagi, kali ini cerpen itu dihasilkan daripada seorang pengarang besar yang juga masih hidup. Hal ini menjadi kegusaran kerana kita tahu apa yang telah dan pernah berlaku terhadap filem-filem adaptasi (kali ini di layar TV) daripada nama-nama pengarang ternama apabila mereka, menontonnya. Adakah percubaan Wan Afzam dan RTM menjadi?

Secara ringkas dan lalu, ya. Malah percubaan Wan Afzam kali ini menjadi sehingga menampilkan sebuah karya yang jelas matang hasilnya. Dua cerpen itu terpisah dari segi teks tetapi sebenarnya terjalin dengan tema-tema sarwajagat yang sama, yakni perbezaan hidup (fitrah) kampung dan bandar. Tetapi kesimpulan Baharuddin Kahar jauh lebih memuaskan (sewaktu memberi pandangan pada sesi forum pratonton telefilem ini di DBP), iaitu suatu alamiah halus antara pancaroba modenisme dengan kemurniaan fitrah. Nilai itu begitu jelas, malah, nilai-nilai ini merupakan hal-hal biasa dalam filem Yasujiro Ozu, kisah-kisah sederhana (mundane) sehari-harian yang kelihatan open ended tetapi membawa jiwa dan rasa yang begitu kental dan cengkam mendalam (bentuk inilah juga yang mempengaruhi cara arwah Yasmin Ahmad membikin filem).

Kedua-dua kisah adaptasi menampilkan kisah tentang "kehilangan nilai", yang didesak oleh modenisasi, juga penemuan kembali nilai dengan hanya mampu dirasai apabila kita menjenguknya (dalam hal ini, suasana kampung). Jika kita tidak mampu memperlihat filem desa yang kental (antara yang paling kental rohnya ialah Abang, Sri Mersing dan Rabun) yang kita mahu kembali dan menemui "rasa"nya, telefilem ini mempunyai rencah ramuannya, malah, telefilem ini boleh menjadi, jika sepertimana It's a Wonderful Life (1946) menjadi filem rasmi Krismas di Amerika, telefilem ini mampu menjadi "filem Hari Raya" kita, malah filem "balik kampung" kita (unsur-unsur ini juga ada dalam filem Hirokazu Koreeda dan Hou Hsiao-Hsein yang juga dipengaruhi oleh karya Ozu). Menariknya di sini, kita juga akan melaksanakan tatapan desa atau village-gazing, yakni suatu penglihatan yang terkagum dengan bukan sahaja keindahan suasana kampung yang (jauh) berbeza dengan kebiasaan bandar kita, tetapi ingin menemui "sesuatu yang hilang" yang kita "bayang/impi"kan mampu ditemui kembali di kampung.

Adakah yang kita cari itu "fitrah" atau makna diri yang kita rasa kita sudah kehilangan kerana terperuk (sesat) lama di kota? Masing-masing mampu menemui hal masing-masing, seperti Abu (Harith Haziq) yang merasai sesuatu yang segar, riang dan menjanjikan advencer apabila tiba melihat kampung ibunya. Atau Agil (Fikhree Bakar) yang melihat kampung sebagai sesuatu yang "hilang", malah eksotik yang perlu ditatap lama-lama untuk mengembalikan rasanya. 

Ada pengajaran daripada "tatapan desa" ini. Apatah hal ini berkait dengan konteks modenisasi yang meluruhkan nilai, nostalgia, sejarah dan kisah lama. Dengan jukstaposisi juga, ada sesuatu yang mendalam apabila kita melihat dari kaca mata kanak-kanak (innocence) Abu yang teruja dan seronok melihat kampung halaman, dan "bebas merasai hidup" kepada kaca mata tatapan Agil yang melihat sempena melihat sahaja (untuk pengisian memori atau kemahuan diri) kampung halaman (kepunyaannya) tanpa apa-apa makna. Tatapan Abu ialah tatapan seorang pelajar (insan/hamba) yang ingin mengenali/merasai/mengalami (belajar) hidup (alam/ciptaan/fitrah/Tuhan), manakala tatapan Agil seperti tatapan seorang Orientalis yang melihat eksotik suasana kampung, memahami ada estetikanya, tetapi tidak memberi apa-apa kepada dirinya pada akhirnya. Di sinilah konteks "modenisasi" dan apa yang dibawanya telah meluruhkan sifat (sedia ada/fitrah) Agil, tetapi memberi suatu perspektif baharu kepada Abu. Perbezaan binari ini, dimainkan beberapa kali oleh Wan Afzam dan kebijaksanaan suntingannya melancarkan pertentangan binari ini dengan jayanya. Hal ini dapat dilihat bagaimana tangkapan, kelajuan dan mood yang tampil dalam babak-babak di bandar yang laju, kasar dan serba kelabu dan kosong, jika dibandingkan dengan babak-babak desa yang perlahan, syurgawi dan serba memberikan pelbagai erti (dan makanan-makanan yang amat lazat). Juga persoalan kepunyaan, identiti dan hak kepada keadaan kehilangan makna ruang, identiti dan sejarah. Hal-hal ini dimainkan, bagaimana kita mempunyai "jati diri" terhadap sesuatu tempat dan sejarah yang kita kenali tentang tempat itu, membentuk kita, dan bagaimana kita kena selalu kembali kepadanya, juga pada tempat yang sengaja kita hendak lupakan, lalu kita "berpindah" pergi - kita hendak melupakan. Persoalan-persoalan migrasi dan mengenal tempat diri kadangkala enteng, tetapi tampak serius dalam telefilem ini. Dan segala-galanya terikat dengan nilai kasih-sayang dan kekeluargaan, garis yang kita tidak mampu menidakkan hakikatnya.

Hal inilah juga suatu kelebihan telefilem ini apabila ia tidak perlu sangat "menyatakan" tetapi hanya memaparkan. Dari titik-titik itu, kita akan menemui pelbagai lagi rasa dan pengalaman yang sudah tentu cukup manis, yang mampu dibawa balik selepas tayangan, walaupun seketika. Hal ini diperkuat kerana barisan pelakonnya yang cukup berjaya menyampaikan lakonan mereka, khususnya Farah Ahmad, Harith Haziq, Mior Hashim Manap, Dewa Sapri dan Nadiya Nisaa. Apatah dengan bantuan syot dan imej yang cukup kental ditangkap oleh sinematografi Junaimefarizal Rahmat, mampu menguatkan imejan dan naratif cerita. Runut bunyi telefilem Wan Afzam juga kali ini "cukup kuah" dan bijak menimbulkan suasana dan emosi tertentu pada babak tertentu. Apatah tangan berjaga-jaga (dan amat setia) penulis lakon layarnya (atau pengadaptasi) yang begitu menimbulkan dialog dan cerita yang terasa hidupnya. Suatu telefilem untuk diraikan.

No comments: