18 September 2019

Revenge of the Pontianak (2019)


Spoiler banyak (alah, korang bukan tonton pun, peduli apa aku)

Filem pontianak datang lagi, namun kali ini, ditulis dan diarahkan secara usahasama oleh pengarah filem-teater Glen Goei (yang pernah membawa filem Forever Fever, antara filem Singapura lewat 90-an yang menembusi pasaran antarabangsa. Sama era dengan Eric Khoo, beliau antara peneraju angkatan pembikin baharu Singapura waktu itu) dan pengarah-pelakon muda teater Gavin Yap (pernah mengadaptasi karya teaternya sendiri kepada filem, Take Me to Dinner, 2014).

Ini bukanlah kali pertama orang bukan Melayu menyentuh tradisi kisah seram orang-orang Melayu Semenanjung (di Indonesia, lebih popular dengan kuntilanak dan sundel bolong). Karya asal pada pemuka merdeka 1957, Pontianak versi Maria Menado diarahkan oleh BN Rao (penulis skripnya ialah Abdul Razak). Filem tersebut menerima sambutan hebat (bayangkan, ini filem merdeka waktu itu) dan disukai termasuk bukan Melayu (terdapat paparan iklan poster filem ini dalam akhbar Cina dan Inggeris di Singapura), lantas meneruskan beberapa sekuel siri pontianak. Kesemua filem ini, mengikut kemampuan kos dan keupayaan pembikin era itu, mempunyai feel sebuah B-movie (filem murahan). Hal ini cuba diubah waktu Suhaimi Baba memperkenalkan kembali trend filem seram dan pontianak dalam Pontianak Harum Sundal Malam (dan mengganggu status quo penapis filem era itu untuk mengembalikan populariti filem seram setelah diperas pada era 90-an), dengan bajet lebih tinggi dan produksi yang sedikit baik.

Dalam tangan Glen dan Gavin pula, usaha ini mengambil sikap yang mungkin dekat pada pendirian dan latar budaya mereka. Mungkin, pontianak dalam dendam (patutlah penerbit beria-ia menekan judul Inggerisnya dan bukan bahasa Melayunya) tidak disukai oleh purist tradisi, apatah lagi yang amat kenal dan kental dengan mitologi pontianak. Kita boleh menangkap hal ini apabila dengan janggal sekali nama watak Pontianak filem ini ialah Mina (Nur Fazura. Nama ini berkemungkinan dipinjam daripada watak Mina dalam novel klasik Dracula Stoker, memautkan kedua-dua karya ini). Mina, seorang perempuan joget pula mempunyai anak dengan Khalid (Remy Ishak) bernama Nik (Nik Harraz Danish). Penggunaan nama Nik ini sendiri sudah janggal (Nik di sini berkemungkinan mendekati nama Inggeris, Nick, yang juga nama samaran bagi iblis dalam tradisi slanga Inggeris) kerana kita tidak tampak pun apa-apa bukti Khalid berketurunan Nik (yang selalunya di Pantai Timur dan Utara Semenanjung). Kejanggalan ini ditambah dengan beberapa perlakuan bilazim, seperti aksi kungtau Mina dan Mina merasuk Reza (Hisyam Hamid) berwatakan perempuan (dalam bahasa mudah, jadi nyah/pondan). 

Bilazim-bilazim ini semacam disengajakan bagi pihak Glen dan Gavin (tanda bilazim paling jelas ialah lagu Getaran Jiwa dicipta pada tahun 1960, tetapi dipaparkan didendang pada tahun 1956 pada satu babak imbas kembali). Dalam bahasa konservatif Melayu, orang akan bersuara sebegini, "Apakah mereka tidak sensitif dengan budaya Melayu?" GITUUU. Namun, kita nampak bahawa kesengajaan Glen dan Gavin di sini lebih nakal, lebih mengocak hal yang biasa atas "menyampaikan sesuatu" (Oh ohhh, mesej!). 

Dengan sengaja sekali lagi, dalam segala kesuperfisialannya (hal ini sekali lagi disengajakan, menokok tambah dan menghomaj duduk status siri Pontianak itu sendiri serta jelma semula B-movie filem seram Melayu era 50-an. Kalau tak caya tengok ni), filem ini dilatarkan pada era 1965 (era Singapura diputuskan dari Malaya) serta era 1956-57. Terdapat dua "agenda jahat" Glen dan Gavin di sini, memahami bahawa genre seram adalah mainan kritik sosial. Pontianak yang melepaskan dendamnya, di sini, ialah Singapura (tahun 1965), yang dibuang oleh Malaya (baru merdeka 1957, tahun yang sama Mina dibunuh) setelah "dipergunakan semahunya" (dah nama pun pelacur, kata orang). Di sinilah pontianak itu menuntut dendam kerana terasa "maruah diinjak-injak" apabila diperlakukan sebegitu rupa. Dalam dendam itu, pontianak juga menyedari dia mempunyai anak, Nik, simbol generasi muda yang lahir daripada penyatuan Malaya-Singapura, dan dengan kesedaran yang akur, pontianak itu mengharapkan impian yang lebih baik buat Nik dan generasinya, dengan kandungan pekerti dan kemanusiaan diteruskan oleh generasi muda ini.

Penulisan semula sejarah dari kaca mata Glen dan Gavin ini (walaupun hal ini lebih kompleks dalam realiti sosiopolitik masa itu) seakan-akan mengimbaukan penyatuan Malaysia-Singapura baharu (bukan penyatuan ummah ya nyah) atau konsekuen-konsekuen ke arah itu (dibayangkan dengan jelas, orang kampung, simbolisme orang Malaya sebagai kalangan kelompok yang cepat menuduh, prasangka dan terlalu percaya pada tahayul, ini seakan-akan mengkritik dengan jelas akal fikir orang Melayu Malaysia dalam kefahaman politik negara). Jika dikupas-kupas lagi, selain isu emansipasi wanita (penekanan feminisme lebih jelas dalam Pontianak Harum Sundal Malam), kita juga nampak dengan agenda Glen Goei yang bangga gay, menyatakan bilazim dalam alusi watak pontianak (yang selalu dipergunakan dalam isu politik dan agama) melalui imej ponti yang jelas (isitlah "ponti" digunakan pada satu babak, pontianak berjalan ala catwalk ke rumah jantannya, adik [adik-adik] Khalid yakni Reza dirasuk sebagai ponti/pondan) lantas menjalankan operasi "the gay strikes back" terhadap kalangan konservatif-majoriti masyarakat.

Semua ini menarik tetapi dihampakan oleh tiga hal yang menghampakan hala tuju filem ini untuk memecah monopoli kekuatan filem seram Indonesia sekarang. Tiga hal berikut ialah (1) kelesuan lakon layar Glen dan Gavin untuk memberi perkembangan yang lebih besar, naratif yang lebih besar daripada yang disusun di sini, walaupun kita memahami sikap mereka untuk memberi homaj pada siri filem seram ini; (2) kelesuan lakonan Nur Fazura yang jelas-jelas tidak cukup diva dan tidak cukup ponti untuk memberi satu perwatakan yang baik (ini salah skrip dua manusia itu juga), malah lakonan Fazura dalam Kami Histeria sebagai ala-ala cik ponti bernama Cik Lang jauh lebih memikat dan membara uollz! daripada filem ini (dan dia teraju utama dalam filem ini, what a waste nyah!); dan (3) kelesuan pelaksanaan aksi dan unsur seram yang tidak begitu menjadi, atas kesedaran jelas bahawa Glen dan Gavin bukan adi dalam hal-hal seram. Gavin dan Glen sebenarnya sudah dibantu dengan suntingan yang memahami, sekurang-kurangnya dalam tempo (lihat cara susunan aura dan gerak babak pada babak awal Rais/Tony Eusoff di dalam kereta) tetapi tidak dapat memberikan impak seram yang dinantikan.

Singkap dan tangkapan sinematografi filem ini oleh Jon Keng baik (dengan nasihat Christopher Doyle), dengan seni pengarahan yang mencukupi (dan sekurang-kurangnya jauh lebih baik daripada siri ponti Maria Menado). Para pelakonnya cukup biasa dan selamba, diterajui oleh Remy Ishak dan Hisyam Hamid. Malah, kisah pendek ringkas Khaled-Reza-Rais ini merupakan sebuah kisah gothik seram yang tipikal dalam cerita orang puteh, dengan kejelasan rasa sesal pada dosa yang lebih menyerupai dosa sesal Kristian (siap ada babak konfesi dosa depan bomoh kemudian depan orang kampung nyah!). Shenty Feliziana, pelakon Singapura, boleh pergi jauh dan mempunyai potensi. Begitu juga dengan Nik Harraz Danish. Skor lagu oleh Paul Searles merupakan antara kekuatan filem ini, membina mood filem dengan tona dan nada gothik seramnya dengan indah sekali. Skrip filem yang asalnya berbahasa Inggeris telah diterjemahkan oleh Alfian Sa'at dan Fasyali Fadzly (kalau korang rasa dialog Melayu filem ni cringe, sila marah kat dua orang ni).

Klasifikasi: 18, Beberapa babak ganas, berdarah dan perangai tidak senonoh yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.

DITONTON DI GSC, MyTown.

No comments: