03 September 2019

Sangkar (2019)


"Kalau kau tak pandai, kau kena kuat. Kalau kau tak kuat, kau kena pandai" - Adam Abdullah

Kabir  yang amat dikenali dengan sentuhan melodrama manusianya, seperti Cinta (2006), Bisik pada Langit (2017), dan Pulang (2018),  memasuki gelanggang aksi (Kabir kiranya, pernah melakukannya dalam Gila Baby dan Setem, yang lebih berentak komedi). Paduan suami-isteri yang amat dikenali ini, kali ini, membawa Mira Mustapha untuk memperkenalkan watak-watak yang bergelumang dalam "sangkar" seni bela diri campuran (mixed martial arts), yang bukan sahaja kita diberi peluang untuk melihat jaguh-jaguh ini melipat dan menumbuk dengan peluh dan pelbagai syot penuh dan jauh pertarungan, tetapi juga jaguh-jaguh ini di luar gelanggang. Hal ini bukanlah sesuatu yang baharu (di luar negara), malah kita akan cepat teringatkan Raging Bull (1980), Million Dollar Baby (2004) dan The Fighter (2010). Apakah pendekatan yang diambil oleh Kabir, yang kita amat kenali sebagai seorang penggerak neo-Hindustani, yang filem-filemnya, walaupun kandungannya tidaklah menyerupai filem-filem generasi Masala Hindi (seperti Bajrangi Bhaijaan, Gully Boy atau 3 Idiots), tetapi mempunyai, semacam teknik yang serupa: syot indah yang kadangkala idealis dan romantis terhadap ruang landskap dan latar (menyerupai filem-filem David Lean dari segi skop latar), amat mementingkan syot-syot luas, babak dan lagu bergerak seiring (sebenarnya kebanyakan "filem kontemporari Melayu" begini) dengan lagu sebagai penggerak emosi kedua terhadap babak, dan suntingan yang lebih sofistikated, dengan adunan atau cantuman selang-seli dua-tiga atau lebih syot untuk menggerakkan/memainkan cerita, emosi atau rantaian sebab-akibat watak.

Untuk filem aksi ini, yang sebenarnya merupakan filem yang jelas melodramanya daripada sebuah aksi, Kabir bermain dengan bola jugel yang lebih mencabar. Kita diperkenalkan dengan watak lakonan Zul Ariffin (yang jelasnya sudah berjaya menempatkan dirinya sebagai Hero Malaya Baharu) yang dikenalkan sebagai bermasalah, tetapi, seperti bawang yang dikupas, sedikit demi sedikit kita mengenali sejarah hidupnya dan percubaan dirinya untuk menjadi insan yang lebih baik. Perjalanan Zul ini digandingkan dengan pertemuan/pertarungannya dengan (seorang lagi Hero Malaya) Remy Ishak, yang membawa pula Zul mengenali keluarga Remy, Mira Filzah dan Nik Adam Mika.

Memang, sudah disangka, cara Kabir menyentuh anak-anak watak dalam layarnya, memanipulasi emosi dan drama, serta membuahkan manusiawi - itulah kepakaran sebenar Kabir. Walaupun kelihatan jenuh dan mengambil masa, hasrat manipulatifnya berbaloi, dan berkesan secara dikdaktik, pada waktu Remy dan Zul bersama-sama di padang mainan. Babak itu merupakan titik segala-galanya yang ingin disampaikan (oh oh, ada mesej) oleh Kabir dan Mira; yakni kuasa taubat dan penebusan dosa jika kita benar-benar berniat akannya dengan sepenuh hati.

Mungkin sepenuh hati Kabir inilah, yang tidak tampak sangat dalam babak-babak aksinya. Apakah masalah filem ini dari segi ini? Bukannya aksi dan melodrama tidak pernah dijalinkan (sebenarnya, mahaguru sebenar zaman ini dalam adunan dua genre ini [malah Micheal Bay pun kalah, rujuk Pearl Habour (2001)] ialah James Cameron, dan banyak pengikutnya di Korea Selatan yang turut berjaya menghasilkan susun imbang genre sebegini, rujuk Taegukgi [2004]). Adakah masalahnya terletak pada skrip Mira yang selalunya selamat dan menjaminkan jalan cerita yang baik dan watak-watak yang disimpati?

Alamak, boleh nampaklah "lemak bayi" Bang Remy :O

Mungkin skrip, mungkin juga pengarahan. Kita dapat menangkap hal ini, seawal lagi sewaktu Kabir membikin Pulang, yang walaupun tidaklah bermasalah dari segi aksi, tetapi kita faham bahawa aksi hanyalah penyendal dalam naratif besar filem itu. Dalam Sangkar, aksi, lebih-lebih lagi, sepatutnya menjadi degup jantung, jika tidak pun, pencetus gerak dan bagaimana kita hendak menonton filem ini. Ia semacam seorang "penari" yang menawarkan tangannya kepada kita, jadi penari itu yang akan memulakan rentak kaki, pusingan badan dan letak tangannya, dan kita, sebagai penonton, penari kedua itu mengikut. Mengapa aku sibuk pula membuka "kelas menari" di sini? Ini adalah untuk memahami, mengapa Martin Scorsese memilih untuk memaparkan syot-syot aksi tinju dalam Raging Bull secara perlahan, sehingga setiap darah dan titik peluh "dirasai" kita - mengikat kuat dengan hidup "liar" dan brutal protagonisnya. Begitu juga dengan Million Dollar Baby karya Clint Eastwood, yang jelas dengan susun atur aksi dengan melodramanya: kita dapat menangkap bacaan monolog, gerak aksi dan momen-momen drama dengan jelas dan mempunyai alunan. Begitu juga dengan The Fighter (antara filem kegemaran peribadi aku) apabila jelas, David O. Russell lebih mementingkan "drama keluarga" yang berkecamuk dan penuh goyah si jaguh Micky Ward, dan dinamisme retak goyah keluarganya, dengan konflik tambahan daripada awek baharunya, jauh lebih intrig dan mendebarkan (selain drama dna menyentuh) daripada setiap detik perlawanan yang diharunginya.

Jadi mengapakah Sangkar yang mempadukan aksi dan drama kelihatan kekok?

Seperti yang aku tulis tentang "menari" di atas, aksi dan drama mempunyai rentak, atau kita panggil ritma (rima) yang berbeza (malah, bagi aku, Ola Bola Chiu dan Lee Chong Wei Teng Bee jauh lebih menangkap cara untuk mengadun dua genre yang berbeza ini). Cara filem ini dijalin amat mencabar dan renyah, atas cara ceritanya ditulis, kerana Kabir, kita lihat, kelihatan hendak mengadukan kelincahannya bermain dengan aksi di gelanggang MMA (terdapat juga babak kejar-mengejar dan pakour) dan pada masa yang sama, hendak mengawal drama manusianya. Kedua-duanya, seperti, tidak bertemu, seorang penari yang menari capoeira, dan seorang lagi balet. Ritma pada awal aksi filem kelihatan canggung. Sebenarnya, pada babak awal lagi kita lihat kecanggungan itu (dan ini kebiasaan Kabir untuk mempadukan dua-tiga adegan pada satu babak), apabila babak selang-seli aksi pertarungan Zul-Remy dengan hal yang sedang berlaku di rumah Remy antara Mira Filzah dan Nik Adam. 

Hal ini amat disesali kerana filem ini, menunjukkan bahawa Kabir mahu mencabar dirinya, mahu melakukan pembaharuan dalam senarai filem yang sudah diarahkan. Namun apakan daya. Ritma drama Kabir jauh lebih berpengaruh dalam menentukan rentak haluan aksinya.

Namun begitu, sebagai sebuah cerita (yang bermoral), Kabir dan Mira memberikan kita sebuah filem yang baik, malah aku tidak ada masalah untuk anak-anak aku menontonnya. Hal ini ditambah dengan kecemerlangan dua watak teraju filem ini, Remy Ishak dan Zul Ariffin. Aku malah dapat merasakan, Kabir (yang aku rasa bersikap demokratik dalam mengarah para pelakonnya) telah memberi ruang kepada Zul menjadi Zul, seorang artis yang punya humor "lawak selamba", dengan celoteh menggelikan hatinya pada setiap balasan dialog dan reaksi lakonan pasangan pelakonnya. Jika itu bukan "diri sebenar" Zul Ariffin, maka improvisi Zul sebagai watak anak yatim luar nikah yang kompleks, yang tahu halal dan haram tetapi memilih untuk bergelumang dengannya, berjaya dan menjadi.

Remy Ishak pula berperanan sebagai "abang long" yang benar-benar pada singkapan frasa itu. Yang awalnya membenci kudrat yang dihadapi serta orang yang menyebabkannya, tetapi lama-kelamaan menjadi seorang Obi Wan Kenobi yang dihormati, malah terdapat dimensi dan ruang yang diberi nafas oleh Remy terhadap wataknya.

Pelakon-pelakon lain membawa pada fungsi mereka, malah kelihatan hilang dengan susuk wibawa yang lebih jelas ada pada Zul dan Remy. Hal ini mendukakan kerana kita juga hendak melihat Mira Filzah dengan kedalamannya mengharungi wataknya, juga beberapa pelakon lain (Nik Adam, Niezam Zaidi, Aman Graseka) yang jelas hanya berperanan sampingan dan berfungi sebagai penggerak cerita Zul dan Remy.

Bunyi, warna dan sinematografi filem ini tampak sekata dan sesuai dengan tujuannya. Suntingannya mungkin bermasalah, dari segi merangkul dan menentukan jalinan aksi dan kemudian drama yang terbaik, namun ia tidaklah sehingga memburukkan perhubungan cerita watak Zul dan Remy, yang menjadi pokok utama filem ini. Skor lagu Luka Kucevic juga membantu seperti mana filem-filem Hindustan, yang berperanan sebagai "latar" sahaja, beralun selari dengan ekspresi emosi watak di layar, tanpa benar-benar memberikan suatu bunyi yang asli.

Filem ini mungkin dapat dijual di luar negara sebagai sebuah "filem aksi" bercampur melodrama, namun belum begitu benar-benar berani untuk berbaris dengan filem-filem seumpamanya dari segi inovasi, pengisian ataupun gaya.

No comments: