17 September 2019

Dua Filem Merdeka 2019

nota fadz: Menariknya, seperti sudah disusun, kelihatan pola tayangan filem kita saban tahun tampak beransur galak bermula Ogos dan seterusnya September (dan tayangan filem musim raya sudah pun pupus), dan jelas, banyak filem yang sengaja jatuh pada Ogos dan September itu pula (selain fasal cuti sekolah) bersikap patriotik, semacam, kita baru terbangun daripada lena dan baru menemui bahawa kita boleh pun membikin filem-filem kenegaraan (yang harapnya laku).

Tiga filem September tahun ini disusun baik oleh Wajib Tayang tahun ini apabila Suatu Ketika, versi "kecil" Ola Bola, kemudian dokumentari ala Micheal Moore tentang perlumbaan Tun M mendapatkan kembali Malaysia, M for Malaysia, dan rempah tambahan, filem pontianak, Dendam Pontianak/Revenge of Pontianak, yang sengaja ditayang pada bulan ini dengan mengambil semangat filem tersebut merupakan "filem merdeka" era 1950-an (filem ini mendapat sambutan hebat era itu).

Bagi entri ini, aku menyentuh M for Malaysia dan Suatu Ketika, dua filem daripada anak muda Malaysia yang membawa dinamis segar dalam pembikinan filem.

M for Malaysia (2019)



"Pilihan raya kali ini luar biasa." - Tun Dr. Mahathir

Walaupun mungkin dokumentari ini perlu, lebih-lebih lagi dalam menangkap momen bersejarah Malaysia apabila, seperti yang diucapkan sendiri oleh Marina Mahathir, anak Tun Mahathir (Perdana Menteri kita yang ketujuh) pada klimaks dokumentari ini, "Setelah 61 tahun kita menunggu", keadaan ia hadir pada waktu Pakatan Harapan baru sahaja setahun beberapa bulan, niatnya seperti terburu-buru dan menagih populariti rakyat, walaupun kita tahu itu bukan tujuan sebenar kedua-dua pengarahnya, Dian Lee dan Ineza Roussille. 

Hal ini kerana, seperti mana Dian Lee dan Ineza Roussille (anak dara Marina Mahathir) menangkap "panas" keadaan politik masa itu, hal seperti "harga barang serta kos hidup naik dan GST" dan "takkan ada Putera Arab nak derma Najib" sudah kelihatan sedikit janggal dan basi sekarang, apatah lagi dengan isu-isu perkauman yang kurang ditenangkan oleh kerajaan pasca Tragedi Adib berlaku. Namun, kedesakan Ineza dan Dian, dengan menangkap secara gerila sekali gus manja-manja akan pasangan negarawan yang cuba hendak "menyelamatkan Malaysia"-kemudian pembangkang-kemudian berjaya menjadi pentadbir negara, mengingatkan kita mengapa Micheal Moore membikin dokumentari. Detik-detik ini ditangkap, dengan beberapa sedutan medsos dan berita, bercampur beberapa rakaman gerila pihak-pihak tertentu dan kru pembikin dokumentari ini sendiri, memberikan kita suatu suara "gerila" yang kemudiannya menjadi sebuah "filem negara" yang dramatik dan memberi rasa "terlibat langsung dalam sejarah negara". Hal ini ditangkap manis pada bahagian akhir, apabila paparan Tun Mahathir mengangkat sumpah di dalam Istana Negara, terpapar daripada skrin fon pintar seseorang, di luar Istana Negara, pada 10 malam "masa nyata".

Memang sebenarnya kita inginkan suara yang lebih jujur daripada Ineza (dengan duit daripada ibunya, ini sebuah filem doku "rakaman oleh pihak dalaman" yang jika ditonton oleh pihak pembangkang, tentu akan menggelarnya sebuah "filem kroni") sebagai perakam doku untuk menekan dan mengorek sisi-sisi gelap datuknya. Malah, Ineza sedikit cuba menjadi adil apabila menarik perhatian kita dengan kes Operasi Lalang (beberapa pemimpin DAP ditangkap dengan kuat kuasa ISA masa itu) serta pelucutan dan ISA Dato' Seri Anwar Ibrahim sewaktu era datuknya memerintah. Dalam hal ini, kita sebenarnya mengharapkan agar Ineza serta Dian dapat lebih kritis dan mendepani citra dan perwatakan Tun Dr. Mahathir, membongkar dan menelanjangkan jiwa dan pergelutan sebenar Mahathir pada masa itu, dan kemudian apa yang membuatkannya melangkah ke perhimpunan dua hari Bersih. Jawapan Mahathir yang dirakam di sini terlalu bersih, terkawal dan terlalu "sedar" dia di depan kamera. Ia menjadi jawapan yang skema.

Namun, Dian dan Ineza berjaya menangkap beberapa momen peribadi yang mahal, lebih-lebih lagi bagaimana penting dan jelasnya pautan dan sokongan Tun Dr. Siti Hasmah terhadap suaminya. Beberapa nama lain juga menarik, seperti konfesi Lim Guan Eng terhadap pemberian maafnya kepada Mahathir. Namun, wawancara paling mahal tentulah sewaktu Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Wan Azizah menceritakan, saat demi saat, kejolak jiwa dan penyeksaan emosional yang dilaluinya sewaktu Dato' Seri Anwar ditangkap pada tahun 1998. Babak itu sungguh sayu, menyakitkan dan menakutkan, malah babak konfensional paling jujur yang pernah dirakam daripada Timbalan Perdana Menteri kita.

Susunan footaj Dian dan Ineza cukup dramatik, dibantu oleh suntingan Sebastian Ng yang memberi apa yang perlu. Runut bunyi Rendra Zawawi cukup rempah dalam memberikan drama dan emosi yang perlu (tolonglah sesiapa, ambillah mamat ni bekerja untuk skor filem korang). Rendisi skor Rendra yang mendekonstruksi lagu Negaraku menjadi mekanisme runtunan jiwa bagi babak di "bilik perang" pada babak klimaks filem. Secara propaganda pula, Dian dan Ineza cukup berjaya memomokkan Najib sebagai Darth Vedar negara. Paparan beberapa tokoh sebagai subjek wawancara sedikit kekok bagi penonton antarabangsa kerana mereka tidak tahu latar dan motivasi mengapa tokoh-tokoh tersebut dipilih sebagai subjek wawancara. Dokumentari ini akhirnya merupakan sebuah filem kecil tentang detik-detik menggerunkan dan penuh dramatik akan pilihan raya terkini yang paling "luar biasa" di Malaysia.

Suatu Ketika (2019)



Walaupun mungkin Suatu Ketika mengembalikan pengalaman kita menonton Ola Bola, filem ini juga cuba mengembalikan kita pada nostalgia era sewaktu Tanah Melayu di ambang mendapat kemerdekaan. Begitulah tujuan sebenar filem ini, filem berkenaan perjuangan untuk menangkap impian (dalam hal ini merdeka, boleh juga cita-cita mengubah hidup) dan bagaimana, melalui alusi bola sepak, "bersatu teguh, bercerai roboh" ialah mesej jelas dan mudah filem ini yang ceritanya serba ringkas tetapi dibuat dengan produksi yang baik untuk sebuah filem Malaysia.

Walaupun aku suka akan filem sulung Prakash Murugiah ini (juga tulisannya, terdapat tiga nama penulis skrip membantunya tetapi kredit akhir filem terlalu laju aku tak sempat menghafalnya), aku menyoal: apa dan mengapakah Panjang (Ahmas) menjadi "pencerita" pada pembukaan monolog filem ini, dan kemudian kehadiran suaranya hilang langsung (sebagai pencerita) dan kisahnya timbul balik, hanya pada klimaks filem ini sewaktu tim Sekolah Ujung Pasir melawan tim Sekolah St. Peter. Keadaan ini merupakan masalah terbesar filem ini, yang juga jelas dilakukan terhadap perkembangan ceritanya apabila pada babak-babak pertengahan. Walaupun hal ini tidak merosakkan jalan ceritanya, hal ini melompang-lompangkan beberapa bahagian sebab akibat dan tumpuan watak. Kita diberikan secara seadanya (hal ini sama dilakukan dalam Adiwiraku) dan sekadarnya, dan memberi tumpuan terhadap beberapa watak kanak-kanak, khususnya Syukri (Danial Akmal Fariz, yang susuknya seakan-akan terpinjam dari Pulau Belitung Laskar Pelangi) dan Atan (Farez Iqmal). Setiap watak kanak-kanak ini cuba diselami dengan simpati dan jujur, menangkap suka dan gelak ketawa mereka, juga gerun marah dan hiba mereka. Hal ini baik dan mencukupi, lebih-lebih lagi dengan lakonan bersahaja pada kanak-kanak ini.

Para pelakon dewasanya pula tidak perlu memberi lebih kerana mereka tahu, yang diterajui dalam filem ini ialah pelakon kanak-kanaknya. Ini filem mereka. Namun terdapat juga momen dan lakonan yang dipuji daripada watak dewasa, seperti Dintamam sebagai Selamat, ayah Syukri yang cukup jelas susuk ayah Melayu yang ingin menjaga kebajikan dan keselamatan anak-anaknya.

Mungkin kita kucar-kacir sedikit menonton babak-babak pertarungan awal bola pada pertengahan filem ini, namun babak klimaksnya, perlawanan Sekolah Ujung Pasir dengan sekolah Inggeris, St. Peter menjadi alasan jelas mengapa filem ini ditonton. Malah babak akhir ini membaiki lompong-lompong dan ketidakpuasan kita pada awal-tengah filem, membawa kesemua unsur untuk bersatu menampilkan semangat "Malaysia Boleh" yang jujur. Hal ini dibantu juga oleh sinematografi Nurhanisham Muhammad yang sempat menangkap babak-babak lawan dan babak-babak perlahan dengan cukup baik, juga bantuan Loaeswaran Mahalinggam, Johan Bahar dan Adilan Azemi melajukan atau memberi nafas pada penyuntingan filem, membantu mengimbangkan ritma antara drama dengan aksi. Skor lagu Daniel Veerapan juga indah dan cukup fungsional. Hal ini dibantu juga dengan runut tema filem ini nyanyian Zainal Abidin dengan gubahan lagu oleh Micheal Veerapan yang cukup meruntum jiwa.

Filem ini mudah, dan ringkas. Tujuannya mudah. Cita-citanya tertumpu pada permukaan yang jelas. Sebuah filem jenis feel good yang tipikal menjadi kegemaran di Malaysia. Tetapi atas ketulusannya memberi, menangkap era Malaya yang baru hendak merasa ambangnya, kita dibuai-buai dalam satu utopia, satu impian yang murni (kita tahu penciptaan filem ini sahaja satu impian, kerana ia melanggar beberapa realiti sosiobudaya era itu). Malah, kita diberi butang "reset", agar kita dapat kembali, melihat ke sisi, berpegang tangan, pelbagai bahasa, budaya dan agama, bertutur "Bersatu teguh, bercerai roboh." 

No comments: