Mula-mulanya, aku ingin menzahirkan kemaafan atas kesilapan aku kerana mewartakan filem Toyol Nakal (2011) sebagai sebuah karya arahan Z Lokman (hal ini merujuk twitter Filemkita). Entah bagaimana, sewaktu aku menonton filem ini di pawagam dan membaca kredit awal (dikatakan filem ini diarahkan oleh anak Z Lokman, yang juga mengarah filem paling hancur abad ini, 2 Alam (2010) filem ini, atau membaca keratan akhbar atau laman web yang menguaruarkan kelibat filem ini sebagai karya terbaharu Z Lokman, atau aku memang tertidur.
Pengenalan aku dengan filem Z Lokman sebenarnya hadir daripada pembacaan kritikan filem yang saban tahun (bermula 1990-an) ditulis oleh A. Wahab Hamzah dalam Dewan Budaya dan Utusan Malaysia. Dan kata-kata Pak Wahab tidak semuanya manis. Tidak silap aku, antara filem yang diulas ialah Boss, sebuah filem ala Charlie's Angels yang dibintangi oleh Raja Ema. Perspektif aku, atas bacaan aku terhadap tulisan Pak Wahab, juga kemudian Hizairi Othman dalam majalah Massa yang cukup kental menghentam filem Z Lokman, adalah Z Lokman selalunya bikin filem sampah. Namun, dalam sampahnya Z Lokman, Pak Wahab tidak silap aku, ada menulis suatu esei tentang filem-filem 80-an atau era sebelum "kemerosotan filem Melayu" pertengahan 1980-an, dan filem Cikgu Sayang (1983) yang diangkat sebagai sebuah filem sosial bercampur tangkapan desa yang realistik dan dipuji, dengan nuansa seks Melayunya yang jujur (itulah satu-satunya filem Z Lokman yang dipuji oleh pengkritik dalam pembacaan aku era itu). Ia sudah menjadi semacam suatu cita-cita spiritual untuk aku menjejaki filem tersebut. Aku sempat menemui Bus Konduktor (antara filem laku Z Lokman) dalam bentuk VHS (tentulah ayah aku yang belikan masa tu), namun Cikgu Sayang tidak pernah ditemui, menambahkan bayangan sebagai sebuah filem cult, sebuah filem lagenda yang hilang mengikut zaman.
Oleh sebab itu, dalam kelam sejarah perfileman kita yang tidak ada dokumentasinya oleh pihak berwajib, dokumentari Dari A ke Z Lokman yang berkemungkinan datang daripada idea geliga tauke Kuman Pictures, Amir Muhammad, dengan bantuan beberapa nama lain (aku malas nak rujuk balik, tapi jika aku tidak silap, antaranya adalah Amir Hafizi) merupakan sebuah karangan karya yang ditunggu-tunggu dan diraikan.
Dokumentari ini, seperti mana dokumentari pengarah sampah pengarah Amerika, John Waters yang diraikan, Divine Trash (1998), memfokuskan terhadap subjeknya, pengarah Z Lokman, secara teliti dan satu-satunya, membuka riwayat hidup, bagaimana beliau berkecimpung dalam kancah kewayangan, filem pertama beliau, dan liku-liku hidup yang beliau lalui, termasuk deretan-deretan filem beliau yang beliau ingati, dan falsafah filem yang beliau pegang.
Kita boleh sahaja menonton dokumentari selamba mat rock ni sebagai bahan hiburan ala bertih jagung (mendengar Z Lokman berceloteh sendiri pun seperti menonton seorang penglipur lara moden yang membuka riwayat tentang seorang wira moden tidak didendang) yang pembikin dokumentari ini selang-selikan antara footaj wawancara Z Lokman dengan sedutan-sedutan beberapa filemnya. Jika ada yang mahu mengambil rakaman dokumentari ini secara kritikal, kita akan menemui kecuitan para pembikinnya, melakukan silang cerminan terhadap kata-kata Z Lokman dengan imej sedutan filem yang dipaparkan (contohnya, apabila Z Lokman bercerita tentang kemunculan Yusof Haslam dalam filemnya, Yusof Haslam tiba-tiba muncul, sebegai seorang antagonis, dalam sebuah sedutan filemnya, Jauh di Sudut Hati, tidak silap aku). Ia mungkin suatu metod tipikal dalam dokumentari sebegini, tetapi dengan cetusan humor, pembikin juga melakukan cubit-cubitan nakal dengan menyampaikan jukstaposisi mengikat antara kata-kata Z Lokman yang lelucon dengan "realiti" imej babak tayangan. Antara yang aku suka dan mudah ketawa adalah dua daripada sedutan awal, apabila Z Lokman berbicara tentang "Drama Seksi Tentera" dan bagaimana pihak tentera membuat persembahan "bangsawan" kepada orang ramai untuk merekrut anggota baharu (baca: masuk tentera tu seksi/cool), kita dipaparkan dengan babak filem Raja Laut, filem terawal Z Lokman, dengan Ed Osmera yang tidak berbaju (seksi!) mula merangkul isterinya di atas ranjang! Terbahak aku. Kemudian satu lagi, ialah Z Lokman ada menyentuh tentang lawak seks Melayu yang memang, absahnya, adalah makanan ruji Z Lokman (kita dibayanngkan di sini, daripada paparan dokumentari, bahawa S Kadarisman dari Singapura dan era filem Melayu lama yang menjadi mentor Z Lokman pada awal penglibatannya yang menyokong agar Z Lokman berkarya dalam acuan ini, sesuatu yang dekat dan difahami oleh psyche peribadi dan persekitaran Z Lokman), kita kemudian dipaparkan dengan babak seorang wanita suri rumah sedang membelek-belek terung di pasar, di hadapan tauke sayurnya yang menyampaikan cuitan seksual ala Melayu.
Hal ini secara mudahnya adalah manipulasi imej (seperti yang selalu dijaguhkan oleh Micheal Moore untuk memenuhi tujuan politiknya) yang dimain-mainkan oleh pembikin dokumentari ini, menambahkan rempah keseronokan, sekali gus penghadaman minda bagaimana Z Lokman, bukan sahaja walk the talk dalam perjuangan sinemanya, tetapi menyatakan bahawa tanggapan dan sesuatu yang dinyatakan (benar) merupakan inti dan refleksi pengkaryaan.
Sejauh mana, kita akan tanya dengan itu, pengkaryaan Z Lokman ini, yang true to its word, menonjol sebagai suatu kebenaran, suatu estetika yang seharusnya dijulang, suatu karya yang perlu dihadam dalam-dalam. Di sini, sekali lagi, Z Lokman menjadi jujur, bahawa filem hanyalah suatu karya libur main-main (kita perlu menghormati ini, walaupun kita mungkin memilih untuk tidak menyukainya), malah dengan jelas, Z Lokman menyatakan, "Semua filem tu sampah je." Walaupun ini nampak pandir, tetapi ada maksudnya jika diperhatikan secara mendalam. Bagi Z Lokman, jika kita teliti dokumentari ini, hidup ialah suatu laluan sementara, dan filem, ialah satu manifestasi kesementaraan tersebut (sampah), yang dibikin cukup-cukup (50 gelung pita filem pun cukup) makan, yang ditayang dan kemudian dilupakan, dipakai buang, seperti hidup ini - ia suatu cerminan terhadap kesementaraan kehidupan. Bagi Z Lokman lagi, apa yang penting dalam filem ialah "alunan" filem itu, naik turun emosinya, seperti hidup, dalam satu dua jam, yang kita tonton - yakni filem mencetuskan pengalaman hidup - walau sedramatik, tidak masuk akal, bodoh, mengarut dan murahan ia disampaikan.
Kita boleh ambil watak Z Lokman ini, sebagai seorang yang genius (dan memulakan pengkaryaan berbajet murah, disiapkan laju, indie; suatu legasi yang kita temui, selepas itu, oleh beberapa pengarah yang mengikutinya, termasuk anak muridnya, Sabree Fadzil, dan paling kita murungi, (Prof.) Razak Mohaideen - dan kita jangan lupa bahawa arwah Yasmin Ahmad juga mengambil ruang cerita yang kecil, bajet yang murah dan masa penggambaran yang pendek [7 hari, contohnya], menjadikan arwah, cerminan yang sofistikated terhadap "Kaedah Z Lokman") dan boleh sahaja dicerca, tapi aku rasa, Z Lokman doesn't mind. Seperti katanya, dia sudah beradu di gelanggang (kita akan menyedari, Z Lokman mengutuk, kemungkinan Mansor Puteh [bikin filem tapi tak dapat tayang], dan kemungkinan seorang pensyarah filem yang belajar dari UK) dan dia sudah tunjukkan kehandalannya.
Teknikal filem, dalam kesederhanaannya, cukup fungsional terhadap pembikinannya, lebih-lebih lagi dengan subjek yang difokuskan, dari awal hingga akhir. Namun, sebagai seorang peminat filem Melayu, apatah pada era yang tidak didendang (era 80-an Z Lokman, walaupun terdapat beberapa filem klasik yang keluar daripadanya [seperti Kami, seperti filem-filem Rahim Razali dan Kamarul Ariffin], jika diteliti tulisan wartawan era itu, rata-ratanya menggelarkan era itu era filem Melayu merosot, ditambah dengan kontroversi kemenangan filem Oh Fatimah! Badul di FFM pada pertengahan 80-an. Rata-ratanya para wartawan dan pengkritik menzahirkan kenyataan bahawa era kemerosotan filem Melayu 80-an berakhir dengan kehadiran filem Fenomena (1990) arahan Aziz M. Osman dengan bikinan dan bimbingan Zain Mahmood), filem ini menjadi sebuah gem atas kupasannya. Namun malang, durasi filem ini terlalu pendek buat aku, 59 minit sahaja, yang mana, kita mengharapkan lebih sejam atau 30 minit lagi untuk Z Lokman berceloteh, dengan lebih teliti, satu per satu filemnya, dengan lebih banyak sedutan filem-filemnya dipaparkan sekali (peliknya, kita kurang mendengar Z Lokman bercerita tentang pelakon-pelakon wanitanya, dan selalu sahaja melebihkan pelakon-pelakon lelakinya, yang sudah tentunya, seperti citra Ed Osmera, adalah cerminan "hero" dirinya).
Namun sebagai peminat filem, yang ingin tahu akan rentak dan gerak filem kita 30 tahun dahulu, dan garisan persoalan yang sentiasa menjadi perbincangan antara orang filem kita dan pengkritik, yakni persoalan komersial dan karya seni, filem ini menjadi juadah yang dinikmati.
No comments:
Post a Comment