Sebenarnya, percubaan idea dan tulisan Dato' Athy (juga penerbit filem ini) dengan pengarahan Loganathan (atau Logan) mempunyai titik tema yang menarik, yakni (1) kisah semasa para wanita kelas estet (kelas pekerja) yang cuba mendapatkan setitis nikmat hidup dan (2) kegiatan keldai dadah. Caranya juga berani kerana mengambil kisah realiti sosial semasa yang sedang berlaku dalam suatu golongan kelas India Malaysia (yang selalunya diperjuangkan oleh para pembikin sinema Tamil baharu tempatan) dengan gaya dan formula Kollywood; yakni jalan cerita yang meliuk-liuk penuh dramatik dan pendebaran, bercampur runut bunyi ala Kollywood dengan gesekan biola setiap babak dramatik oleh Jey Raggaveindra (yang boleh dipuji kerana mengikut tempo standard mana-mana filem Tamil biasa); dengan dua persembahan muzikal ala romantis yang memperagakan beberapa lokasi cantik Malaysia; dan mainan emosi antara emosional, marah, getir, sayu, kelakar, ngeri, seronok, romantis, sedih, seram yang berubah-ubah seperti gemulan ombak di setiap tiga minit jalan cerita bergerak.
Kiranya, filem ini "mungkin" boleh dijual di Tamil Naidu kerana percubaan penggayaan yang diikuti ini (walaupun terdapat suara yang menyatakan filem ini menyerupai drama Tamil tempatan di RTM).
Ada dua perkara yang aku suka dibuat oleh Athy dan Logan. Pertama, jelas dalam dialog antara pelakonnya, terdapat bentuk dan penyampaian yang lunak, yang menimbulkan bentuk gaya Kollywood dengan perisa tempatan antara beberapa ucapan dan antara-dialog watak. Kedua adalah kesengajaan pemilihan Latha sebagai teraju wanita filem ini (dengan hero[?]nya Saresh D7). Kehadiran Latha yang cantik, bermata galak dengan kulit gelap adalah suatu kesegaran daripada barisan bintang-bintang pelakon wanita India Selatan yang semakin lama semakin cerah sejak beberapa dekad akhir ini. Dengan mengikut realiti tempat kemunculan watak Latha sebagai gadis "sial" Ananthi, kehadirannya juga menyucuk Kollywood dengan penentangan klise yang ditunggu-tunggu, malah jujur terhadap keberadaan realiti dan keberanian kecantikan semula jadi orangnya.
Secara cerita pula, aku tidaklah kata filem cukup kental dengan melodramanya ini "buruk" (yang tipikal dalam filem-filem Kollywood), malah sebenarnya ada sesuatu "yang hendak dicakapkan" oleh Athy dan Logan. Hanya filem ini tidak berani (setelah berani memperagakan Latha) dengan percubaan yang sepatutnya (walaupun ada penonton yang akan terkejut dengan liuk kejutan yang akan berlaku pada detik 3/4 menuju klimaks filem ini). Poin yang aku ingin nyatakan adalah keberanian untuk menembus daripada perangkap filem ini menjadi sebuah "mesej khidmat sosial" yang jelas-jelas terpampang (ada satu babak Dato' Athy sendiri memaparkan kehadirannya sebagai penyelamat gadis muda kota). Kedua, adalah keberanian untuk pergi lebih jauh lagi daripada plot "dedah dan hukum" berkenaan sindiket keldai dadah yang dipaparkan, malah pengakhirannya begitu didaktik dan menghukum sekali (sambil bersorak-sorak pada kehadiran polis di saat-saat akhir).
Secara gaya, Logan masih memerlukan rentak dan susunan. Pengarahannya masih terburu-buru, menggerakkan cerita seadanya tanpa benar-benar menggunakan unsur sekitar dan bahasa filem yang mampu menguatkan krafnya. Logan seperti mengarah filem ini dengan seronok-seronok, walaupun pada bahagian-bahagian serius dan dramatik. Penggunaan wajah Latha yang kekampungan-gadis desa, kepada transformasi gadis kota dengan rambut serba lurus itu sebenarnya mampu menjadi satu metafora yang menarik sekali dan menimbulkan falsafah. Ini adalah kerana terdapat pandangan yang menarik diutarakan oleh kakak Ananthi apabila cuba menghalau balik adiknya kembali ke estet (kerana keadaan hidup di kota yang sebenarnya penuh ujian berat) - dia bercakap fasal penghormatan, budaya dan maruah yang ada di estet/desa berbanding di kota - terdapat ironi berganda di sini apabila kita menyelami keadaan estet yang tidak menjanjikan kehidupan baik terhadap kota yang sepatutnya memberikan peluang yang indah. Hal ini dicengkam pula dengan percubaan studi terhadap para wanita India tempatan yang terperangkap dalam dunia patriaki yang cukup tahayul (abang kandungnya menganggapnya "sial" kerana lahir pada masa sama dengan anaknya), menindas (Latha dalam beberapa adegan langsung tidak dapat bersuara akan kemahuan sebenarnya) dan memperguna. Jadi, kehadiran wajah Latha yang kekampungan kepada kemodenan, memberi beberapa perspektif yang boleh diterokai terhadap hal tadi, lebih-lebih lagi dengan persoalan wanita yang dipergunakan, menjadi objek fizikal/seksual bagi lelaki dan objek (dan bukan manusia) untuk dipergunakan.
Semua ini boleh digali dan digerakkan lagi sebenarnya, membina watak Ananthi yang cukup tragis dan besar; namun filem ini tidak memberikan peluang dan ruang itu terhadapnya. Namun cukup, untuk sebuah filem sulung penerbit dan pengarah ini untuk memberi sekelumit kesegaran dari sudut tema, khususnya percubaan meneroka realiti hidup yang sedang dihadapi oleh segelintir wanita India di selit-selit sesak manusia kota sekarang.
TONTON DI GSC Nu Sentral.
No comments:
Post a Comment