Dengan kehadiran wajah baharu yang lebih muda dan amat dikenali dalam FINAS yang kita benci-benci sayang, Hans Isaac dan Ahmad Idham, seakan-akan memberi harapan baharu kepada gerak liuk perkembangan industri kecil-sederhana perfileman kita. Menariknya, tahun ini sahaja sudah ada beberapa filem sulung arahan anak muda yang mula melangkah masuk ke medan serba tidak tentu penuh kontroversi tapi glamor la sangat ini - Tiada Tajuk, Fly by Night, Bu - dan untuk ini, kita melapang tangan dan mengucapkan, "Selamat datang dan selamat mewarnakan filem kita wajah kita dengan warna-wana yang indah."
Di sini, aku cuba menyentuh beberapa filem yang sedang sibuk ditayang dengan ringkas:
Tiada Tajuk (2019)
Mawi (Asmawi Ani) jika orang masih ingat dengan francais lagha terhebat Malaysia 10(?) tahun dahulu merupakan sebuah fenomena yang menjadi suatu suara naluri orang Melayu pada suatu masa dahulu. Suatu masa dahulu, dan orang dah move on, bekasnya dah kahwin dan dia dah kahwin dan beranak dan masuk AJL dan jadi DJ radio dan berlakon dan bernyanyi dalam filem Skop. Dan tiba-tiba, aku dapat tahu, Mawi mengarah felem.
Filem ini dikatakan berdasarkan sebuah filem TV yang Mawi bikin buat Astro. Premisnya biasa tetapi menjadi luar biasa dengan cara Mawi menggarapnya: tiga budak kampung, Hazama-Along Cham-Joey Daud yang menyukai muzik (dalam hal ini, rock dalam pelbagai genrenya) dibawa ke kota lalu tersadai kerana pengurusnya "lesap" (kita macam pernah dengar cerita ini bukan?) - namun disuntik dengan seorang watak alim lakonan Hazama yang menjalani "kembara seniman jalanan" di kota dengan bekalan ilmu agama dan rohaniah, lebih-lebih dengan kata-kata falsafah "nak kenal erti hidup perlu kenal makna diri".
"Mengenal diri" inilah hakikat yang Mawi kenalkan untuk "mengenali" dan merenungi kelemahan dan kesilapan dirinya sendiri dari pengalaman kariernya serta persekitaran dan masyarakat yang direnunginya selama ini. Menarik, falsafah ini disampaikan pula dengan bersahaja dalam bentuk sketsa-sketsa ala Gila-gila berlatar kampung budak rock bertiga, dan juga latar Kuala Lumpur (yang serba menipu). Sketsa-sketsa ini mengingatkan aku dengan hentakan-hentakan ketawa absurd tapi pedas dalam siri filem Monty Phyton, yang dalam hal ini (seperti Monty Phyton's Life of Brian) diikat dalam suatu stukrtur cerita yang penuh dengan tiga prinsip watak yang diikuti ceritanya.
Namun aku terasa terganggu dengan keamaturan produksi dan cara Mawi mengarah filem ini; tampak jelas dengan syot kamera yang terlalu terfokus dengan terlalu dekat pada watak berkali-kali, runut suaranya yang bermasalah dan perkembangan tipa watak yang tidak jelas. Malah, mungkin kerana tapisan, terdapat beberapa babak yang berlaku tiba-tiba dan berakhir tiba-tiba, seperti angin. Paling menghampakan, statut kuat yang Mawi laungkan pada awal filem (melalui sang naratif yang buta) tentang "mengenal diri" untuk memahami hidup dan mengenal Tuhan menjadi terabai dan tidak dirumuskan dengan sepatutnya - melemahkan tujuan murni filem ini dibikin. Lakonan Mawi sebagai antagonis juga sangat buruk dan amatur. Apa yang menyelamatkannya adalah lakonan bersahaja watak-watak utamanya serta sketsa geli hati tetapi pedas dan bijak Mawi untuk beberapa babak, khususnya pada awal filem. Malah aku agak tersentuh dengan adegan mak nyah yang masuk solat subuh di surau: pemaparannya menyentuh, menyindir, geli hati, mempunyai cebis pemikiran dan sekali gus menginsafkan - untuk menyepadukan elemen-rasa ini dalam suatu bentuk aksi-lakon bukanlah hal yang mudah dan hal ini dapat disampaikan dengan baik sekali dalam babak filem ini: Inilah kekuatan Mawi yang sebenarnya. Jika "ilmu" humor Mawi ini mampu dikawal, dikembang-susun untuk mencapai maksudnya buat filem-filemnya yang seterusnya, Mawi mungkin menjadi pengarah filem komedi pakar resam (manners) dan pensatira moden yang kita tunggu-tunggu.
Klasifikasi: P13, Beberapa babak bernada seks, seram dan aksi tidak bermoral yang memerlukan bimbingan ibu bapa atau penjaga.
DITONTON DI MM Cineplex, eCurve.
DITONTON DI MM Cineplex, eCurve.
Fly by Night (2018)
Zahir Omar ialah seorang nama yang perlu kita ingati pada masa-masa hadapan, kerana untuk filem sulungnya ini sahaja, Zahir sudah menampakkan gaya yang begitu segar sekali dalam mewarnakan neonoir Kuala Lumpur yang menelan warganya, tidak melepaskan mereka (untuk melakukan kerja-kerja untuk hidup "senang" di tengah kota) pergi sehingga mereka rebah menurut nafsu sehingga tidak sedar akan menanam hidup-hidup keluarga sendiri.
Petanda renungan sebelum meniti ke penghancuran itu dapat dilihat dalam tiga segmen babak yang berturut-turut yang jelas berkata tentang hidup-mati: awal kita dipaparkan keluarga Tailo (lakonan senyap Sunny Phang) yang menyatu di meja makan bulat sebelum upacara "menyampai 'doa selamat' kepada mendiang nenek-moyang", kemudian Tailo serta adiknya Sailo (Fabian Loo) dan "keluarga"nya bersedia untuk upacara itu. Kali ini, tempat upcara itu sebuah tong bulat (dibanding dengan meja bulat tadi) yang kemudian cepat-cepat dibakar oleh Sailo sebelum abangnya sempat menahan untuk "menurut adab upacara". Sewaktu kertas sembahyang dan pemberian dibakar, kita dipaparkan, untuk kali terakhir, Tailo menasihati adiknya agar "tidak melampaui batas". Sewaktu hal ini berlaku, kita saling dinampakkan syot di antara wajah Sailo dengan wajah Tailo berserta ibu dan kawan baiknya. Pada masa itu juga, api membara di bawah, memekar merah wajah Tailo dan di depan Sailo (bukan sahaja seperti hantu tetapi wajah "nenek moyang pujangga dahulu"). Petanda-amaran-doa harapan terikat di sini, meramalkan seterusnya tentang garisan hidup-mati yang akan terjadi. Tragedi dengan ramalan petanda-petanda berat ini menimbulkan suatu cautionary tale terhadap penontonnya, menjadikan neonoir ini suatu perenung moral moden yang meratap sekali gus mengharap.
Sikap pesimis filem ini juga merupakan sebuah filem jenayah yang sudah lama tidak dihidangkan. Mungkin paling akhir aku teringat dengan filem Heat (1995) yang menampilkan rancangan muslihat-jejak siasatan dua figura kuat dalam kumpulannya masing-masing, si perompak dan si polis. Zahir dan penulis skripnya yang lain, Ivan Yeo dan Frederick Bailey, membina premis yang sama namun dengan plot berbeza dan rencah garapan yang jauh lebih gelap, menakutkan dan sinikal. Ceritanya bermuslihat demi bermuslihat, dan dengan sedikit demi sedikit membuka rahsia naratif filemnya, selapis demi selapis, sehingga membuatkan kita langsung terperangkap dalam lorong sesak pesimismenya tanpa apa-apa belas kasihan.
Mungkin Zahir terlalu sadis dan kejam terhadap kemanusiaan, namun dilakukan untuk menghadirkan kenyataan politik yang jelas hendak dimain-sindirkan. Dan aku bayangkan, hal ini "timbul" daripada filem pertama yang dibantu arah oleh Zahir buat arwah Kak Min, Sepet(2005) pada babak di belakang-belakang lorong rumah kedai KL, dengan ucapan si pemasak mi tentang "ikan bilis" dan "ikan besar".
Filem ini dibantu dengan lakonan berkesan oleh himpunan para pelakon muda dan veteran yang berwibawa. Dengan beberapa watak yang berselerak tapi penting untuk diikuti ini, mungkin akan menjemukan penonton antarabangsa untuk mengikuti setiap cerita watak-wataknya, ditambah dengan suntingan Dom Heng yang mencabar untuk menusuk imbas kembali dan jukstaposisi antara dua babak bertindan pada satu turutan waktu, namun hal itu yang menjadi metafora struktur filem ini: satu jalinan hidup dan manusia di KL yang berselirat, kompleks, renyah, susah dan penuh masalah.
Skor blues Zane menjadi pada babak-babak tertentu, mengambil pandangan bahawa kita tonton filem ini dengan sedikit refleksi humor dan keselambaan. Sinematografi Low Soon Keong pula tidak berkomprimi dan sentiasa menyentak, mengambil perspektif ruang hidup manusia kotanya dengan mainan yang sangat terkawal untuk menimbulkan kekelaman dan percik kehancuran warganya. Hal ini dibantu dengan sorotan seni yang baik dan bermakna (lihat ketelitian duduk letak objek dalam ruang hidup-rumah Taiko dengan ruang kosong malah void ruang duduk posisi Inspektor Kamal). Hanya mungkin, terdapat kekurangan dari segi garapan aksi-syot yang Zahir dan kumpulannya tidak begitu mahu bersedia untuk "bercerita" dengan teratur, melambakkan terus imej-dialog dengan babak demi babak dengan cepat. Contohnya, kita diberikan ruang yang begitu terhad untuk perkembangan babak perempuan simpanan dengan suami orang itu, dan hanya kedengaran dialog demi dialog diutarakan (menjalankan tugas eksposisi) tanpa memikirkan manusianya di dalam bingkai. Begitu juga dengan garapan aksi kejar-mengejar pada babak puncak. Tidak ada "sebuah cerita" dalam pemaparan ini dan terasa Zahir hanya mahu "terus papar" tanpa benar-benar memikirkan "rasa" dalam babak itu. Hal ini boleh dibandingkan dengan rasa dan alur penceritaan yang begitu jelas hadir dan bernafas dalam filem Steve McQueen, Widows (2018) yang turut menggunakan suntingan imbas kembali, babak bertindan selari dan himpunan penjalinan cerita-cerita watak yang kompleks.
Adunan suara juga sedikit canggung apabila aku dapat mendengar banyak dengung (kerana suara ditangkap secara langsung, dan rasanya tidak ada terapan dubbing) dan hingar gema, mengingatkan aku pada filem-filem era 90-an Melayu yang "bising udara".
Namun ini masih filem sulung Zahir. Yang jelas kelihatan, Zahir memang bukan calang-calang. Semangat dan keseriusan krafnya jelas. Dan aku fikir, ini bukan kali terakhir dia akan mengejutkan kita dengan sinemanya.
Klasifikasi: P13, Beberapa babak ganas dan tidak bermoral yang memerlukan bimbingan ibu bapa atau penjaga.
DITONTON DI GSC MyTown.
DITONTON DI GSC MyTown.
No comments:
Post a Comment