04 April 2019

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal (2019)



Seusai tayangan animasi francais disukai ramai ini, penonton, yang kebanyakannya ibu bapa berserta anak-anak, menepuk tangan dengan galak. Anak aku yang aku bawa pun suka, diulas positif oleh abangnya yang menonton dahulu. Kiranya, filem animasi Upin & Ipin kali ini berjaya merentas umur, menghiburkan dan tidak lokek lawak bertatah nilai murni. Kali ini, Upin dan kembar piatunya Ipin  (berserta kawan-kawan lain termasuk Susanti untuk menarik pasaran serantau) dicampak masuk ke alam fantasi Inderaloka (alam kayangan dalam hikayat lama, yang juga bermaksud "kerajaan/dunia dewa/angkasa") kerana menyentuh keris sakti Siamang Tunggal simpanan Atuk. Di dalam Inderaloka, mereka menemui beberapa karakter yang hidup dalam kesedaran hikayat dan dongeng lama Melayu; Mat Jenin, Nakhoda Ragam, Bawang Merah dan Putih, Si Tanggang, Nujum Pak Belalang dan Raja Bersiong. Selamat datang ke alam Oz dan Wonderland versi Melayu, dengan misi Upin dan Ipan dan kawan-kawan sambil menyanyi dan melawak, demi merungkai misteri Keris Siamang Tunggal agar dapat mencari jalan kembali ke dunia kartun TV mereka untuk musim seterusnya.

Sekali imbas, kita seakan-akan menonton Magika(2010) sembilan tahun yang lalu, filem yang pernah memenangi Filem Terbaik Festival Filem Malaysia itu. Namun bagusnya filem ini berbanding filem KRU itu, dengan jelas lagi kita dapat melihat naratif yang jelas, motivasi dan arah tujuan watak-watak hikayat dan dongeng, tidak lagi terasa ditempel-tempel untuk pertunjukan (dan nyanyian) bagi Upin, Ipin dan kita. Kali ini juga, gerak ceritanya laju dan tidak membuang masa - gerak liku penceritaan yang amat sesuai dengan mata-rasa kanak-kanak yang cepat bosan (selalunya aku tidak dapat mengawal anak aku kerana dia cepat berasa bosan, walaupun sebuah animasi Pixar-Disney) namun sedikit mengganggu bagi penonton dewasa seperti aku yang dipaksa-paksa untuk percepatkan serapan sebelum adegan baharu bermula. Kekuatan jelas filem ini, seperti yang dijelaskan dengan baik oleh Za'im Yusof'f ialah dekonstruksi dalam intertekstualiti peristiwa dan watak hikayat dan dongeng Melayu, juga dialog dan pembentukan perwatakan watak, juga ceritanya "yang selesai" dan aksi demi aksi (ada satu bahagian puncak filem, penonton bersorak dan bertepuk tangan) yang jitu.

Namun, oleh sebeb kecepatan filem ini hendak merangkum semua, gerak, suara-visual dan cerita dalam ruang masa 100 minit, kita dihalangi untuk melihat "keindahan sinema" - adakah terdapat momen atau syot yang sinematik kali ini? Gerak dan tangkapan bingkai kali ini lebih berbentuk rangkuman format televisyen daripada wayang, namun aku akur, hal ini tidaklah merosakkan pengalaman tontonan, hanya mengurangkan kuasanya. Filem ini juga, hanya sesuai untuk pengikut francais ini dan penontonan serantau (untuk sudut dekonstruksi hikayat dan dongeng itu) dan mungkin agak susah hendak menangkap minat antarabangsa. Hal ini adalah kerana limpahan watak yang tidak dapat diimbangi/ikuti jika ditonton oleh penonton antarabangsa, walaupun kita sedar benar, yang ditumpukan ialah Upin-Ipin dan Mat Jenin-Raja Bersiong. Bagi penonton yang tidak mengenali Upin & Ipin, mereka akan termangu-mangu dengan babak tiba-tiba Upin dan Ipin teringat akan Opah dan Kak Ros (babak tiba-tiba yang sama berlaku dalam Magika apabila ditayangkan imbas kembali Ogy yang sakit) tanpa pengenalan watak pada awal filem (kita hanya ditemukan dengan Atuk). Ditambah lagi dengan watak-watak baharu dengan peristiwa yang berlaku. Tipa wataknya tidak jelas untuk direnungi oleh penonton antarabangsa. Paling mengganggu ialah babak serangan todak secara tiba-tiba (pada bahagian tengah ini, terdapat kekeliruan yang jelas dengan watak Upin/Ipin yang keluar/masuk ruang pelabuhan itu - lebih-lebih lagi dalam persoalan di pangkalan itu baru diserang ikan todak, lalu kemudian malamnya terdapat pesta tarian, turutannya tidak organik dan duduk letak pelan tempatnya tidak jelas/logos) yang tidak dipacu oleh sebab-akibat yang mantap. 



Selalunya, dalam sebuah animasi tipikal yang baik, Pinnochio(1940) contohnya, seorang watak mempunyai tipa watak yang lengkap: Pinnochio/kita akan mempelajari sesuatu setelah melalui satu pengembaraan. Siri filem Toy Story mempunyai banyak watak dengan tipa watak yang jelas dan baik (masing-masing mempelajari sesuatu dan masing-masing mempunyai perkembangan ceritanya sendiri). Ya, aku kurang menemui hal itu ada dalam filem ini kerana gerakan cerita filem (1) mengandaikan kita sudah sedia kenal dengan Upin dan Ipin dan (2) mengguna pakai struktur kembara sebagai pemaparan watak/citra moral untuk direnungi oleh hero utama, seperti yang dilakukan dalam Alice in Wonderland(1951) dan The Princess Bride(1987). Keris Siamang Tunggal melakukan hal itu dengan begitu subtle sekali, tidak dinyatakan dengan dialog (khusus buat Upin dan Ipin); yakni untuk anak-anak generasi sekarang memahami perpaduan dan kepentingan pertautan sahabat dan persaudaraan (lihat bagaimana keris itu "diseru semula"). Secara tersirat, filem ini menampilkan kuasa pertautan "membina keluarga" yang sekali gus "membina negara". Malah, dengan pertautan dan perpaduanlah, setiap cabaran dan dugaan yang dilalui oleh Upin, Ipin dan kawan-kawan diselesaikan (namun, aku sedikit kecewa, pertautan ini tidak "diuji" dalam filem ini. Kebanyakan watak utama tidak berkonflik atau melalui satu konflik yang besar antara satu sama lain dalam erti kata ini).

Secara tersirat lagi pula, Upin, Ipin dan kawan-kawan dicampak masuk ke alam Inderaloka bagi merenungi kebijaksanaan sejarah/cerita lama dan budaya tradisi (keris, tulisan jawi, ilmu silat, kuih kampung, dll.) tanah airnya. Bagaimana, cerita-cerita itu "dapat dipelajari", khususnya akibat (di sini, mendengar sisi pandang Ibu Tanggang itu menjadi menarik) suatu pilihan. Semua watak hikayat/dongeng dalam filem ini mempunyai pilihan (atau misi), dari pemilihan ini menimbulkan renungan moral terhadap baik/buruk suatu pilihan. Penulis skrip dan pengarah filem ini hendak melakukan rekayasa terhadap wayang kulit kita yang jelas suatu pentas kelir yang menampilkan dorongan paparan dan telingkah "yang baik" dengan "yang jahat" kepada penonton untuk dipelajari. Filem ini menghidupkan tujuan dalang wayang itu sekali lagi dengan penambahan konsekuen dalam pemilihan satu-satu watak hikayat itu memilih baik/buruk pemilihannya. Renungan konsekuen ini "disedarkan" oleh Upin atau Ipin (selaku seorang pengulas atau dilihat seperti seorang penglipur lara yang memberi ulasan/pandangan sewaktu bercerita) yang suka bertanya dan menyampuk, menyebabkan watak-watak dongeng ini merenung. Setelah memahami inti pemilihan tersebut, watak itu memahami tujuan hidupnya dan menampilkan peri laku yang betul dengan fitrahnya.

Runut bunyi filem ini cukup baik menceritakan emosi filem. Terdapat dua buah lagu selingan yang menjadi klu latar cerita dan sekali lagi, merekayasa tujuan penglipur lara zaman dahulu selain menyampaikan latar belakang cerita. Lantunan suara setiap watak animasi sangat baik dan menghidupkan watak. Dan dengan jelas, susunan cerita dengan kejutan, tujuan dan singkapan "pintu rahsia" menjadikan animasi fantasi kembara Upin dan Ipin kali ini penuh sakti, warna-warni, menyeronokkan dan menghiburkan.

Klasifikasi: U.

DITONTON DI TGV Sunway Velocity.

No comments: