16 December 2016

Perca Tiga Filem Lalu 2016

Dengan datangnya Rogue One (2016) atau Rogue One, sebuah Riwayat Perang Cakerawala, penonton wayang tegar Malaysia tidak perlulah terus terleka dengan filem seram indie Barat saban minggu dan filem-filem tempatan yang sudah terbiasa. Mungkin untuk aku, sudah tiba masanya aku melihat kembali tiga filem so-called filem Melayu (yang Allan Koay menyampah dengan istilah dan penerusan istilahnya), atau dua memang ya tapi satu ramai yang tertipu (filem Singapura disangka filem kita, begitulah benaknya rakyat kita).

Selepas Erma diam, mungkin selepas tidak ada projek sebaik Embun yang ditipu penulis skrip asalnya, tidak ada apa-apa yang dapat dibanggakan datang daripada Erma selain menghasilkan sebuah filem satira tentang busuk dan karat industri-media hiburan (Diva Popular), menjadi maskot rasmi "Filem Islam" di beberapa masjid dan dewan muzakarah PAS yang feel-feel nak terjerumus dalam alam budaya pop, dan menghasilkan fenomena Mak Cun yang ibu aku sendiri paksa aku menonton teaternya di Istana Budaya (dah tentu aku bangkang habis-habisan). Mungkin Erma kembali pada dunia kekampungan, dunia mudah, celoteh dan tonjolan produk Bumiputera dalam selitan cerita.

Lalu, datang KRU dan Les Copaque mengirim surat cinta kepada Erma untuk membikin sebuah filem pertama(?) menggunakan teknologi CGI-animasi terkini dengan pelakon nyata, yang hasilnya menjadi dan tidak, untuk mempopularkan lagi mitos-fenomena duta Malaysia ke Indonesia yang paling terkenal, Upin dan Ipin Jeng Jeng Jeng. Cerita ialah latar paling nipis atau jalang dalam filem ini apabila tujuan sebenar filem ini adalah untuk menunjukkan (1) kita sudah boleh buat filem macam Who Framed Roger Rabbit (1988) dan Space Jam (1996) yang lebih sofistikated daripada Mat Gelap (1990), (2) mencari cara untuk menjual lagu yang Awie baru cipta di depan mata kita dalam filem ini, (3) menjual produk makanan dan minuman yang ada di dalam kedai makanan Upin & Ipin, (4) menjual produk makanan kesihatan kawan-kawan yang turut memberi duit (5) membuat Puteri Balqis menangis dan meroyan sekian kalinya (kali ini sudah melampau), (6) kononnya, dengan sengaja, mengajar David Teo (yang berlakon dalam filem ini) makna sebenar seni, dan (7) satu iklan panjang untuk iklan yang betul-betul orang tunggu, pada akhir kredit, tayangan treler Upin dan Ipin The Movie!

Entah berapa kali aku mencebik dan menutup telinga, tidak tertahan dengan keadaan dan penonjolan wayang filem ini. Upin dan Ipin hanyalah "kawan imaginari" yang dibina seperti malaikat atau wali Allah yang hanya seorang anak yatim piatu sahaja yang dapat nampak (setiap kali mereka muncul, mereka kata "Jeng jeng jeng" ...), menambah satu lagi amalan mitos yang dicipta dalam sejarah filem di sebelah Santa Claus. Moral dan nilai murni yang kononnya dapat dikongsi seisi keluarga lebih sesuai dimamah oleh remaja dan dewasa daripada budak-budak (tapi melihat era Erma hidup, zaman 1980-an dan 1990-an, budak bawah umur pun dah tonton filem orang dewasa). Cukuplah untuk aku apabila anak-anak aku yang berumur 3-4 tahun boleh ketawa terkikih menonton watak kartun sukaannya di wayang lebar, walaupun mungkin dalam 8 tahun lagi aku akan tayang pada mereka sekali lagi, "Ini yang kamu semua terkikih ketawa tu?" Balasan kematangan hidup.


Syafiq Yusof nampaknya menghasilkan satu siri kesinambungan kepada SAM dengan Desolasi, mungkin ini ialah masukan "trilogi gerhana akal" Syafiq (mungkin yang ketiga akan menyusul) dan dalam filem ini, Syafiq nampaknya cuba menggunakan tipu muslihat CGI dan dakwah Islam untuk menyampaikan persoalan hidup manusia (Muslim) di dunia. Filem bermula dengan monolog yang sangat buruk dan tidak bermaya, kita terasa lemas. Walaupun jelas, Syafiq cuba "menghidupkan" watak lakonan abangnya sendiri, pengarah Syamsul Yusof. Masalah di sini ialah projeksi suara Syamsul yang sah-sah terlalu lantang, tidak ada jalur dan tidak mendalam, kita terasa dilecehkan. Syamsul ialah pelakon yang mempunyai imej dan ekspresi, bukan suara. Walaupun jelas Syamsul amat mencuba dalam filem ini, sebagai seorang anak-lelaki dewasa yang menyumpah nasibnya (isu ini meneruskan isu takdir kesengsaraan hidup ini amat lama dalam filem Melayu melodrama, seawal Nasib dan Neraca), kebanyakan pengisian hal itu tidak dapat dibawanya. Nasib baik timbul Jalaluddin Hassan sebagai ayahnya yang melakonkan gaya yang sememangnya berbeza daripada gaya klisenya, menyampaikan hati.

Konsep Syafiq dengan mencantum hal psikologi Islam (kita percaya dengan nafsu dan batasan yang jelas-jelas haram dan berdosa, bukan id, superego dan ego, walaupun hal itu dimunculkan dengan baik dalam filem ini) dengan fiksyen sains, mengembalikan nostalgia kita kepada filem ber-CGI buruk Aziz M. Osman, Seri Dewi Malam (2001). Babak-babak "alam maya" Syamsul menyeronokkan, diselang-seli pula dengan ruang kenyataan Jalaluddin. Hal ini menimbulkan kerancuan dan pembinaan misteri, walaupun tidak ada saspens. Berlaku siasatan dan peleraian realiti. Kebijakan Syafiq di sini ialah "menghentikan masa", walaupun detik filem bergerak (mengikut jejak watak), tetapi terdapat banyak ruang dan keadaan, watak (dan penonton) dipaksa merenung hidup. Suatu perkara yang menarik di sini ialah ketetapan polar realiti lwn. maya yang dipaparkan, menurut kefahaman Islam (persoalan nafsu dan imaginasi berlawanan dengan realiti dan kesengsaraan hidup), bukan Barat (dalam sains Barat, apa yang dilalui oleh Syamsul sudah pasti memasuki fasa kakotanik dan tidak mampu dibawa kembali, Syafiq dalam hal ini membawa persoalan mekanisme Islam dalam meneliti kerosakan akal, yang sebenarnya bagi Syafiq, merupakan kerosakan jiwa/rohani yang perlu dibaiki). Jika runut bunyinya lebih memahami mood diam dan ngeri, mengikut ruang, suntingan dan masa menghela nafas, filem ini boleh menjadi sesuatu. Namun, kerana desakan mengikut "kepala biasa penonton Melayu", dengan formulaik biasa anak-beranak Haslam, runut bunyinya, seperti filem Hindi, dimainkan dari awal hingga akhir tanpa henti, dicampur dengan tata bunyi melampau-lampau, membuang sikap debar yang dibina, hanya menambahkan melodrama dan menahan mata penonton agar tidak terkatup (kerana semua suara itu penting, jadi penonton terpaksa membukanya sehingga habis). Namun, roh filem ini jelas dan jujur, dan menarik.

Dalam diri Syafiq, tujuannya sangat jelas mengangkat kesitimewaan Islam mencari iman dan pemilihan reda dalam segala ujian mehnah hidup. Ya, dakwahnya terasa dihidang-hidang tetapi tidak terbingit sangat kerana semuanya digerakkan oleh aksi cerita, bukan ayat-ayat panjang oleh pelakon dalam Syukur 21 yang meraban. Hal ini ditambah dengan sikap optimis Syafiq terhadap usaha anak muda: bahawa anak muda, walaupun tersesat dan melakukan kesalahan hidup, mampu berdiri sendiri dan memilih caranya sendiri untuk merenungi kelemahan diri, sekali gus mencari makna keberadaan diri (juga Tuhan) di dunia. Hal ini jarang-jarang dihadapkan oleh karyawan kontemporari kita selepas Aziz M. Osman. Filem ini seperti kembar kepada filem dakwah Kristian yang amat popular di Amerika sekarang, memberikan jawapan yang sangat kanan dan pasifis terhadap kecelaruan dan ketidaktentuan ekonomi dan politik sekarang. Baik sebagai jawapan anak muda separa matang untuk tahun ini bersempena menghadapi GST dan kenaikan harga tiket wayang; tapi kaedah dan pelaksanaan teknik, usah diulang-pakai lagi.



Dari Singapura, datang Apprentice, filem yang awal-awal serius aku ingat propaganda Kerajaan Singapura untuk menunjukkan, bukan sahaja negara mereka cukup hebat mengurus ekonomi, pemecahan sosial dan pendidikannya, tetapi juga urusan penjaranya. Ini mungkin iklan panjang Singapura kepada pelancong Barat dan luar agar berjaga-jaga datang ke Singapura dengan dadah (mandatori membawa dadah masuk ialah hukuman gantung sampai mati). Hal ini ditunjukkan dengan selamba dan berkembang antara ruang pejabat urusan pegawai penjara dengan lokap. Namun, tidak. Filem ini juga antara filem drama terbaik Asia Tenggara daripada seorang pengarah muda, Boo Junfeng. Filem ini bukan sahaja menyokong ucapan Presiden Singapura pada Hari Merdeka mereka tempoh lalu akan kesentosaan ekonomi-sosial dan sumbangan jasa orang Melayu di Singapura, tetapi menampilkan beberapa sisi kritikal yang menarik akan keadaan hidup orang Melayu di Singapura, khususnya pada yang mencari pemaknaan hidup dan peluang kedua.

Keindahan dan kekuatan utama Junfeng ialah mainan ruangnya. Kita tidak diberikan ruang latar Singapura yang luas, dengan keadaan bumi pulaunya atau pencakar langitnya. Kita dipaksa menonton ruang pangsapuri yang berkos rendah dan terhimpit dengan dindingnya. Dinding ini menjadi metafora pada pekerjaan protagonis Aiman lakonan Fir Rahman (lakonan diam yang sangat mengagumkan) di penjara - memberi imej bahawa dia senang dengan ruang tertutup, baik di tempat pekerjaan juga rumah sendiri. Malah, dalam hal ini, melihat pada keadaan antisosial watak kompleks ini, dibawa satu babak Fir diingatkan oleh kakaknya tentang almari yang Fir suka sorokkan diri sewaktu kecil. Hal ini sahaja sudah membantu kita memahami hubungan kuat emosi dan psikologi Fir terhadap ayah kandung yang tidak pernah dapat ditemuinya, yang dia gantungkan kepada majikan baharunya, lakonan mantap Wan Hanafi Su. Wan Hanafi Su ialah Rahim, si algojo-petugas tali gantung yang turut "membunuh" ayahnya. Sikap Fir yang mengintai-intai, baik orang dan Rahim, memberikan satu ruang hubungan yang amat menyeramkan (eerie). Ini menarik kerana Junfeng menyengajakan jalinan kawan-ayah-anak Aiman-Rahim, yang terlihat, Aiman sangat ingin menjadi sebaik Rahim, ayah yang dia tidak pernah ada. Tebukan dan cara Aiman menuruti perhubungan ini sangat (homo)seksual, ciri-ciri biasa yang kita temui dalam sebuah filem noir dalam hal obsesi. Namun apabila syot terlerai, Aiman/Fir rupa-rupanya menjadi bulat: sudah lama ingin menjadi seperti ayah kandungnya: ingin menjadi Tuhan!

Syot filem oleh Benoit Soler cemerlang dan berlangsung indah, dengan syot berbalik dan fuingsional dengan latar rumah tipikal HDB mengembalikan semangat urban Eric Khoo (malah ini suatu homaj mungkin) yang sentiasa gelap dan suram berdinding warna lesu. Sehari-harian penjara Singapura (kebanyakannya diambil dari penjara di Australia), ruang sel jelnya, pejabat pegawai penjaranya, dan bilik hukuman gantungnya. Lihat: terdapat jukstaposisi rel gril penjara yang jelas dengan gril tingkap rumah pangsa HDB. Hal ini sengaja dan disengajakan, dengan kritikan yang jelas: rakyat Singapura sedang membina penjara mereka yang tersendiri lalu mencipta obsesi mereka tersendiri yang mungkin memerangkap mereka selama-lamanya tanpa sedar dan tanpa rasa bersalah (kini kita baru faham mengapa Rahim selalu memandu laju, dia sedang cuba melawan ruang gril yang memerangkap ini). Terdapat sifat klaustofobia yang damai, khususnya pada pandangan Fir, amat tenang, malah di situ saja dia dapat teruskan hidup. Hal ini menjadi satu kontradiksi menarik terhadap kakaknya yang lebih bebas liberal, berpakwe mat salleh (tipikal tradisi Sarung Party Girl meninggalkan agama dan resamnya), dan bercita-cita untuk meninggalkan Singapura, yang baginya, penuh hitam dan menyakitkan, tidak memberikan apa-apa lagi ketenangan jiwa. Sebuah filem baik yang penuh rencah bahaya yang elok diraikan.

1 comment:

farizghazali said...

Jeng, Jeng, Jeng ni jalan ceritanya agak sikit mengecewakan. Anak aku 9 tahun pun ragu-ragu nak cakap best. Walaupun dah pergi dengan sepupu-sepupunya, diberi pop corn dan dibenarkan minum pepsi.