11 October 2016

Suatu Wacana Interpretasi Filem (Siri 1)

Nota fadz: Suatu Wacana Interpretasi Filem ini, ditulis, sebelum aku tulis suatu esei panjang berkenaan wayang dan perhubungan kuatnya dengan bayang-bayang, yang juga memberikan makna bayangan dan mimpi (serta impian). Tulisan tersebut tersiar dalam Dewan Budaya November 2015. Tulisan ini didahului, untuk melihat dengan teliti, beberapa pengenalan dan kefahaman teori, sebelum esei itu dapat ditulis. Semuanya berlanjutan daripada suatu perbincangan tentang kefahaman interpretasi.  




Norman Yusoff, seorang cendekiawan filem yang saya kira kurang diperhatikan dalam dunia akademia kita. Kehadiran beliau terkongkong dalam bilik kuliah, walaupun penyampaian dan buah bicara yang pernah beliau tumpahkan tidak tersampai. Adalah, sekali-skala beliau diberi peluang bercakap di simposium kelolaan FINAS atau universiti luar, namun hal itu tergerak di situ, tidak ada lain.

Baiknya, orang seperti Norman agak ramah dan tampil sekali dalam mata anak muridnya, juga kalangan penulis filem yang beliau ikuti. Saya merupakan antara pengkritik filem yang beliau dekati. Suatu masa dahulu, Norman dan kalangan pascasiswanya ada menubuhkan suatu ruang perbincangan maya. Berlaku pelbagai pendebatan dan perbincangan isu, tetapi selalunya perbincangan daripada Normanlah yang ditunggu-tunggu. Dalam kolum ini, saya kongsikan penulisan baik Norman berkenaan interpretasi filem. Hal ini membincangkan secara luas dan holistik, secara pandangan yang lebih besar akan keadaan interpretasi dan pemecahan dan perkembangan, lantas membawa maksud suatu wacana yang terus-menerus akan mengalami perubahan kefahaman dan makna untuk memhami kraf dan ciptaan. Hal ini bukan sahaja dilihat mengupas sejarah dan titik wacana penginterpretasian filem sebagai wahana seni kemanusiaan, tetapi dapat melibatkan perbincangan interpretasi seni, kemungkinan kefahaman muzik, dan juga perkaitannya dengan wahana persuratan:

Dalam konteks disiplin pengajian filem (film studies), isu interpretasi telah menimbulkan polemik yang sangat besar sekali gus membawa anjakan paradigma bagi disiplin berkenaan. Kini, pengajian filem sedang dilanda arus perubahan yang besar. Dulunya, penekanan diberikan terhadap kaedah yang berteraskan “interpretasi” falsafah kebenuaan yang “Eurosentrik” sifatnya, yang telah mendominasi banyak teori filem sejak pengajian filem diinstitusikan secara akademik di universiti di Amerika Utara dan Britain sekitar lewat 1960-an.

Kemudian, interpretasi beralih pada pendekatan kognitivisme yang bebas daripada falsafah kebenuaan yang bersifat kedoktrinan dan “ideology driven”. Contohnya, gagasan yang diserap masuk ke dalam teori filem ialah psikoanalisis, marxisme, feminisme, dan pascamodenisme. Paling besar penularannya ialah psikoanalisis (yang asalnya dibawa oleh Freud dan dikembangkan oleh Lacan) hingga tercetusnya teori filem psikoanalisis – yang kemudiannya bukan monolitik atau tunggal tetapi bercabang-cabang dan beranak-pinak (malah kebanyakan teori filem tidak bersifat tunggal tetapi bercabang dan terus berkembang). Malah, ada juga teori filem psikoanalisis-feminisme (yang dibawa oleh Laura Mulvey, Elizabeth Cowie, Barbara Creed, dan beberapa lagi). Pengaruh kuat psikoanalisis terhadap teori filem disebabkan oleh tercetusnya wacana akademik yang subur yang dimulakan oleh jurnal akademik di Britain, Screen (Oxford) pada awal tahun 1970-an, sehingga tercetusnya “screen theory”.

Tradisi baharu kognitivisme pula dipelopori oleh David Bordwell (dari Universiti Wisconsin-Madison) berserta para pengikutnya, seperti Kristin Thompson (isterinya), Noel Carrol, Edward Branigan, Murray Smith, dan Gregory Currie. Kognitivisme ini lahir daripada rasa ketidakpuasan mereka terhadap aktiviti interpretasi ke atas filem yang berteraskan ilmu kemanusiaan yang sangat dipengaruhi tradisi kesusasteraan Amerika pada era 1940-an dan 1940-an, yakni New Criticism yang dibawa oleh T.S. Eliot dan rakan-rakannya.

Bordwell telah menulis dengan panjang lebar dalam sebuah buku yang lebih 300 halaman tebalnya, Making Meaning: Inference and Rhetoric in the Interpretation of Cinema (1989) tentang interpretasi filem. Buku ini telah menjadi sangat kontroversi dan dikritik hebat. Antara pengkritik paling tegar ialah Victor F. Perkins, pengkritik sarjana filem nombor satu di Britain (dari Universiti Warwick). Namun begitu, buku ini telah memberikan sumbangan yang besar dalam dunia kesarjanaan filem, yang akhirnya mermberikan anjakan baharu sehingga lahirnya tradisi kognitivisme tadi.

Dalam buku ini, Bordwell cuba menjawab persoalan “interpretasi” dengan membezakan “interpretation” (tafsiran) dengan “comprehension” (kefahaman). Menurut Brodwell, “comprehension” merupakan suatu konstruksi makna atau maksud yang nyata atau eksplisit, yang diambil keluar daripada teks secara literal, manakala “interpretation” pula merupakan konstruksi terhadap makna atau maksud yang tersembunyi. Dalam buku ini, Bordwell telah menyarankan kaedah “historical poetics” atau puitika yang berakar daripada tradisi formalis Rusia (dalam bidang kesusasteraan dan sinema) sebagai alternatif kepada interpretasi.

“Historical poetics” bukanlah suatu teori agung (“grand theory”, seperti yang digelar oleh Bordwell) tetapi hanya “piecemeal theorising” (yang melibatkan persoalan kajian berskala kecil), ataupun satu metodologi dalam pengajian filem untuk analisis dan kajian filem (seperti genre, authorship, sinema nasional, semiotik, dll.), Kaedah ini memberikan jawapan kepada cara kita melihat sinema tertentu (terutamanya yang bukan dari Barat) dengan lebih seimbang dan tidak berat sebelah, kerana kaedah ini cuba mendalami terlebih dahulu sesuatu budaya (sejarah, politik, dan sosialnya) sesuatu masyarakat itu, ataupun amalan dan wacana tentangnya (seperti amalan industri masyarakat tersebut) demi memahami filem tertentu atau kelompok filem tertentu dengan lebih baik, bukan sebaliknya (seperti yang biasa dibawa oleh teori filem yang dipengaruhi falsafah kebenuaan).

Hal ini dipanggil oleh Bordwell sebagai proses “bottom-up”, yakni dimulakan dengan hal “luaran” terlebih dahulu daripada teks dalaman. Sedangkan, tradisi lama (biasanya) melibatkan proses “top-down”, yakni kita ambil teks filem dan tafsirkan (dengan mengaitkannya dengan hal itu dan ini). Hal ini juga menjawab keresahan mereka yang cuba menolak teori filem ini atas dasar ia datang dari Barat dan bersifat “kebaratan”, yang dalam hujah mereka tidak sesuai untuk melihat filem-filem dari Timur. Bordwell menggunakan kaedah ini apabila menganalisis filem Jepun arahan Yasujiro Ozu dalam buku itu, “Ozu and the Poetics of Cinema”.

Bordwell menjawab, contohnya, pilihan stilistik Ozu (antaranya, gaya suntingannya yang melanggar 180 darjah garis paksi, dan cara Ozu meletakkan kameranya, ketinggian “eye-level” seperti paras orang Jepun duduk bersila di atas lantai) dengan meletakkan filem Ozu dalam konteks trend sinema Jepun ketika itu (dan amalan industri filem Jepun sebelum dan ketika itu), meneliti budaya masyarakat Jepun dan juga estetik kejepunan yang dikaitkan dengan falsafah Zen, dan juga meneroka latar belakang Ozu (termasuk analisis siri temu ramah yang dibuat ketika Ozu masih hidup). Barulah Bordwell tunjukkan pula peranan pilihan stilistik Ozu tadi dalam babak dan filem tertentu, serta efek yang dijanakan oleh aspek stilistik tadi kepada penontonan.


Sarjana lain yang menulis tentang Ozu (seperti Robin Wood, Donald Ritchie, dan Noel Bursch) mengambil pendekatan “top-down” yang mana teks terus ditafsirkan. Tradisi baharu kognitivisme ini juga membawa dasar “pandang ke falsafah analitis”, yakni gagasan yang terbit daripada dunia pertuturan bahasa Inggeris, atau dipanggil sebagai “Anglo-American philosophy”, atau juga dipanggil “analisis konseptual”. Contoh ahli falsafah analitis ialah Ludwig Wittgenstein dan Bertrand Russell. Falsafah analitis ini banyak mempengaruhi teori dalam bidang linguistik. 

Manusia dan Potensi Ciptaannya

Nota fadz: Tulisan berikut sebenarnya merupakan tulisan aku dalam pojok khas sewaktu Bront Palarae, tauke besar yang memegang laman berita-ulasan-pojok karyawan-seniman kontemporari, The Daily Seni, memohon untuk aku menulis. Ada beberapa tulisan aku, yang banyaknya menzahirkan hal kesusasteraan dan pemikiran (kononnya). Ada beberapa kali yang aku menyentuh filem (Bront tidka mahu aku mengulas filem), memandangkan jiwa raga aku memang di situ, mahu tidak mahu. Aku timbulkan kembali, dengan sengaja kerana aku dalam proses ingin menulis (tak tahu jadi atau tak) sebuah buku esei kajian filem, setelah didesak oleh seorang kawan. Jadi, aku perlukan maklumat dan buah fikiran ini untuk perjalanan itu. Jadi, di sini, aku kongsikan sekali lagi. 



La', jangan khuatir, ini bukan buah ceramah agama (dan sebenarnya, seeloknya, kita dapat mencari mutiara daripada agama kita sendiri untuk pengolahan butir isi penghasilan karya, walaupun berbentuk duniawi dan kemasyarakatan) yang tersampai selesa dari dalam masjid selepas maghrib. Malah, saya tiada autoriti untuk menyampaikan ilmu sebegitu. Perkara yang ingin saya kongsi di sini, seperti suatu pancaran tiba-tiba yang membuat saya mengetuk papan kekunci, menjadi pokok wacana setelah saya, dengan kerdil dan kebodohan diri, mengikuti Wacana Fikrah Ummah yang disampaikan sendiri oleh abang saya, Dato’ Dr. Afifi al-Akiti di Dewan Bahasa dan Pustaka pada pertengahan Disember 2014.

Dr. Afifi pula, meneruskan tradisi penyampaian ilmu kalangan cendekiawan Islam dengan menyampaikan apa yang beliau sudah “faham” (khatam), yakni wasiat enam ciri yang harus ada dalam diri manusia Islam oleh Imam Juwayni (1028-1085) yang diperturunkan kepada Hujjatul Islam, Imam Ghazali. Maksud wasiat ini adalah untuk mewajarkan bahawa jika keenam-enam ciri ini diperdalam dan diikuti oleh para mukmin, mereka akan berjaya dalam dunia dan akhirat. Menariknya, wasiat ini telah dicuplik dan digunakan oleh sarjana Barat pada era ke arah Rennaisance, malah enam cirinya telah ditulis dalam bentuk enam moto dalam Latin, dan menjadi tunjang kefahaman dan ikutan tamadun Barat Eropah sehingga sekarang.

Dr. Afifi hanya menyampaikan ciri yang pertama, namun hanya ciri yang pertama ini (yang diperbincangkan oleh Imam Ghazali dengan panjang lebar lagi), saya menyedari, mempunyai inti pati berguna dalam memahami kemampuan mencipta karya seni dan perkaitannya dengan maksud karya seni yang bermanfaat (dalam penciptaan dan juga mengikutinya) ataupun sebaliknya, dan hal inilah, diperkirakan, dapat dimaklumi semula (walaupun sebelum ini sudah banyak yang ditampilkan) dalam kefahaman yang mendasari “sastera Islam”, “seni Islam”, atau “filem Islam”, dengan lebih baik lagi.

Ciri pertama yang diwacanakan itu ialah zaka’un, yakni yang lebih dekat dalam terjemahan Inggeris ialah a quip mind” (pemikiran yang tajam?) atau boleh disampaikan sebagai manusia yang bijaksana atau bijak pandai, atau mempunyai “akal yang cerdas”.

Di sini sahaja, Imam Al Ghazali memecahkan akal ini kepada empat fasa fakulti (keupayaan semula jadi otak) atau empat tingkatan keupayaan yang mendasari manusia dan perkaitan perhubungannya dengan kemampuan otak haiwan.

Yang pertama, hissiyyun, yakni suatu fakulti yang berkenaan dengan rangsangan (stimulus) dalam deria yang paling asas. Rangsangan atau cerapan rangsangan ini boleh berbentuk sentuhan, cahaya, suara, dan rasa di lidah, lalu memberikan tindak balas fizikal. Imam Ghazali menyatakan, fakulti ini juga wujud dalam kelekatu, yang dengan automatiknya, terangsang dan terbang ke arah cahaya lampu atau pelita. Metaforanya di sini menarik. Apabila kelekatu menghampiri pelita, ia tetap pergi ke situ (walaupun tahu ia berbahaya) dan akan terbunuh apabila mendekatinya. Manusia yang hanya ghairah dalam gelora tingkatan ini akan terjejak dalam bahaya. Bagi saya, rangsangan deria ini paling mendekati hal yang berkaitan dengan nafsu dan emosi terbawah manusia. Kesan stimulusnya yang paling cepat tercerap. Ia berkaitan dengan, contohnya, kenapa manusia dalam bilik gelap, matanya akan terarah kepada layar putih yang ditembak dengan cahaya (wayang). Ia juga berkaitan dengan menyelami pengkaryaan erotik yang menyebabkan ereksi (oleh sebab itu, jika kita menonton filem lucah atau membaca novel lucah, kita berasa “stim”) kerana tindakan atau rangsangan yang begitu cepat dengan perlakuan seks, sesuatu yang paling asas dalam bikinan haiwan ataupun manusia untuk melata di bumi. Maka dengan jelas, hal yang berkaitan dengan deria ini, jika dihayati dengan bersungguh, seperti kita mengikuti suatu orgi Rom, dengan tubuh telanjang menjalankan kegiatan menusuk entah apa-apa di hadapan kita, dengan arak dan makanan yang tidak habis-habis di hadapan kita, dan lagu yang memukau, menusuk deria mata, bau telinga, dan rasa sekali gus, ini memerangkap kita dalam alam kenafsuan yang melampau. Barat mengangkat bahagian ini sebagai antara kaitan estetik (keindahan) dalam humanisme, dan sebab itu, kita dengar, si model akan dilukis (mimesis atau salinan tahap asas) telanjang bulat oleh anak murid pelukis (dan secara ekstrem, unsur ini diselami habis oleh Marques de Sade, maka sadisme, seks luar tabii, dan keganasan juga terlingkung dalam unsur yang berkait dengan fakulti ini). Dalam Islam, walaupun mungkin unsur ini timbul, ia tidak terpampang jelas malah dikurangkan, disamarkan, atau ditiadakan.

Yang kedua, khayaliyyah, yakni suatu fakulti yang berkenaan khayal atau imaginasi, yang membentuk daripada tiada kepada ada dalam minda. Fakulti ini juga berkenaan dengan memori, yang mewujudkan hal yang ada kemudian tiada kepada rangsangan dan kefahaman yang ada, misalnya anjing yang dilatih dengan kayu atau loceng (mengikut kajian Pavlov yang sebenarnya sudah diterangkan oleh Imam Ghazali sedari awalnya). Abang saya dengan mencemik, menyatakan penghayatan unsur inilah yang paling mendekati sastera, tetapi saya kurang bersetuju dengan hal itu. Ya, saya setuju, sastera telah menggunakan fakulti ini dalam teknik free writing, yakni menulis segala-galanya yang terasa perlu tanpa merancang dan berfikir dahulu, tetapi sastera memerlukan hal yang lebih daripada imaginasi semata. Dalam pengkaryaan seni, penghayatan surreal, absurd, fantasi dan arus kesedaran (stream of consciousness) melingkungi dasar tingkatan upaya ini.

Yang ketiga, wahmiyyah, atau waham (sangkaan atau dugaan), suatu fakulti yang mengikut naluri (instinct), yang bertindak sebelum diajar ataupun melalui suatu pengalaman. Imam Ghazali memberi contoh haiwan monyet atau kambing biri-biri. Apabila binatang ini dalam bahaya dengan kehadiran binatang buas, mereka sudah dapat mengagak-waham, lalu menjauhi tempat itu. Naluri ini seakan-akan berkaitan dengan survival dan kefahamannya untuk terus selamat. Keselamatan ini ada perkaitannya dengan suatu undang-undang semula jadi yang dicerap oleh haiwan mahupun manusia, suatu undang-undang halimunan yang diikuti secara sarwajagat. Bagi saya, naluri ini juga amat mendekati penghayatan rasa dan emosional manusia. Di sinilah, dalam pengkaryaan, hasil seni itu “dibentuk” daripada khayal atau imaginasi yang semberono. Bagi saya, sesiapa yang mengungguli tingkatan ini, mereka dapat menghasilkan karya berunsur romantik, seram, dan ngeri (thriller) yang terbaik, kerana ruang fakulti yang mencerap dan menghasilkannya bukan sahaja memerlukan imaginasi (mencipta suatu yang tiada) tetapi memahami dengan naluri hal yang tiada di situ. Perasaan takut (fear) juga amat berkaitan dengan waham ini, yang juga dapat dipecahkan dalam pelbagai tingkatan pula, dan sesiapa yang dapat memanipulasinya adalah seorang pengkarya yang baik. Hal ini bukan sahaja berkaitan dengan tingkatan takut tertinggi yang dinyatakan oleh Stephen King, yakni ditakutkan dengan sesuatu yang tidak ada (filem Babadook jelas mempunyai kekuatan ini, seperti filem Repulsion dan Session 9), tetapi ketakutan dalam menyampaikan suatu wacana kepada pembaca untuk terasa berjaga-jaga, berdebar dan teruja. Maka hal ini juga berkaitan dengan keupayaan penulis itu membina saspens dan keterujaan dalam penulisan. Fakulti naluri ini juga mengawal fakulti imaginasi kita (dengan mudah misalnya, naluri kita menyatakan jika idea imaginasi itu menarik atau tidak), lalu dengan itu menghadirkan tanda baca (di mana komanya, di mana noktahnya) dalam pengkaryaan kita.

Yang keempatlah, akal, atau akal manusia, kerana hanya manusia sahaja yang mempunyainya, seperti definisi jelas yang dinyatakan oleh Prof. Naguib al-Attas, satu-satunya makhluk hidup yang menggunakan bahasa (dan memanipulasikan bahasa) untuk memaknakan alamnya dan memahaminya. Dalam erti manfaat kehidupan manusia, sudah tentu akal digunakan untuk merancang, menilik masa hadapan (dengan premis atau bukti yang ada dalam pemerhatian), lalu mengatur tindakan. Dengan akal jugalah, manusia, dapat berkarya untuk manfaat dirinya (baik untuk tujuan duniawinya mahupun rohaninya), dan sudah tentu, masyarakatnya. Dengan akallah juga, manusia “menyusun kata-kata”. Di sinilah mimesis yang dicerap daripada alam akan disampaikan dengan kata-kata, yakni timbulan simbol bermakna agar berlaku suatu perbandingan yang sesuai dengan pengalaman dan kefahaman manusia itu, mengikut pembangunan tamadun dan ilmunya. Di sini juga berlaku suatu “strategi naratif” dan kefahaman gagasan yang sebenar dalam suatu penciptaan karya. Kesemua fakulti tadi, rangsangan deria, khayal-memori, dan naluri, digauli dalam akal, lalu berlaku pemilihan, penyusunan, dan penyampaian yang begitu kompleks tetapi terjaga sekali. Taraf “terjaga” atau tajam itulah, diteliti sebagai sejauh mana cerdas atau kuatnya akal manusia itu mendominasi fakulti otak manusia yang lain, dan di sini, kita dapat menyatakan dengan benar, suatu karya itu mencapai suatu manfaat yang berguna, suatu karya yang dinamakan seni tinggi atau sastera (karya yang indah).

[nota pendek: abang saya meneruskan sedikit, bahawa terdapat “akal kelima” yakni milik para Anbiya dan Rasul. Mereka yang memiliki akal inilah yang “mampu jalan di atas air”, dengan mengambil metafora jika manusia berakal yang terdampar di sebuah pulau untuk meneruskan kehidupan atau mencari jalan untuk manusia lain datang menyelamatkannya, para Nabi dan Rasul dapat bergerak dari satu pulau ke satu pulau ke satu pulau! Poin ini juga dengan jelas menyatakan, hanya dengan akal Nabi dan Rasul sahaja yang dapat menampung, memahami, dan menyampaikan wahyu Allah, dan dengan kefahaman itu kenapa al-Quran suatu susunan kata-kata paling sempurna tanpa dapat ditiru oleh manusia. Lantas mereka yang cuba melalui setitis percubaan akal ini, seperti kalangan ahli Sufi dan penerima ilmu laduni dapat mencecah sedikit daripada kefahaman ini, tetapi itu suatu hal yang lain.]

Dalam kefahaman inilah, kita menyedari, bagaimana cendekiawan Islam lama menjaga transisi karya sastera pra-Islam, yakni era Melayu kuno, kemudian purba (Benua Medang, Srivijaya, Langkasuka, Sri Darmaraja, Kedah Tua, Gangga Negara) dengan pegangan animisme dan Hindu-Buddha. Suatu perbandingan dan taakulan dilakukan, sebelum karya itu ditransisikan atau dilenyapkan dengan memahami manfaatnya untuk watan bangsanya. Contohnya, dalam hikayat Caya Langkara, bunga “sakti” yang dapat menyembuhkan ayahanda sultan, juga menaikkan “kuasa” sang hero ialah bunga za’faran, bunga yang diimbaukan sebagai “suci” dan “berkhasiat” dalam dunia Arab Islam, yang dengan jelas, kisah ini mempunyai bentuk kisah mendekati alam Buddha yang menggunakan bunga teratai (lotus/panava) sebagai simbol sucinya (kita dapat mengesan kembali bentuk Buddhanya apabila kita meneliti epik atau nirat teks tradisional Thailand yang menyalin banyak kisah tamadun awal Mon-Khmer dan Melayu dari Campa, Langkasuka dan Sri Damaraja). Samalah kiranya kita meneliti transisi hikayat dalam alam Parsi yang wujud sedari pra-Islam atau kisah dongeng pra-Islam alam Arab yang membawanya ke zaman selepas Islam kerana manfaatnya.

Dalam kefahaman “memanfaatkan manusianya, dalam dunia dan akhiratnya”, dapatlah kita telusur maksud sebenar karya yang berguna daripada manusia yang berguna ini. Terdapat suatu konsep yang tinggi, bermaksud, insan kamil (the best of creation) yang sebenarnya mencernakan konsep dan hakikat terbaik dalam pengkaryaan dari sisi aliran kita, dan mungkin inilah jawapan “sastera” yang sebenar, karya indah yang tertinggi yang perlu tersampai dalam apa-apa jua bentuk seni. Konsep ini mewajarkan penemuan kesempurnaan dan terbaik dalam fitrah manusia, menekuni bentuk, pengalaman, atau perjalanan manusia yang tersasar menghampirinya. Perjalanan kesedaran ini juga dapat ditimbulkan dalam suatu penceritaan, seperti Hikayat Hang Tuah, misalnya. Dalam penelitian teks moden, mungkin antara contoh terbaik yang cuba diterapkan dapat dilihat timbul dalam cerpen SM Zakir, Zainal Rashid Ahmad, Lutfi Ishak, dan Rebecca Ilham. Dalam teks drama, kita boleh temui hal ini dalam drama Sasterawan Negara Dato’ Nordin Hassan. Saya sendiri tidak dapat mencapai itu, kerana didikan saya Barat, saya membaca sedari kecil buku Barat dan menikmati segala-galanya yang Barat (lalu cuba mengamilisasi segala yang Barat itu dalam kefahaman estetika dan kepuasan pembacaan, penontonan dan penulisan saya). Saya sudah lama terperangkap.

Secara peribadi, saya terasa menyesal dan agak terlewat untuk menyanggupi dan menulis dalam taraf yang terbaik itu. Kadangkala, memang, khayal dan nafsu melampaui akal dan naluri saya. Saya tidak mungkin (dan mungkin tidak akan) berjaya menghasilkannya, baik teknik (menggauli setiap fakulti dengan padu) mahupun isi (karya yang mengunjur ke arah kefahaman fitrah dan insan kamil). Saya akan terus-terusan bernafsu, terus-terusan mengimbau alam-alam imaginatif yang kurang dikawal dengan akal dan naluri kerana kefahaman saya tentang konsep ini memang kurang dan tidak matang. Oleh sebab itu juga kita dapat mengesan beberapa karya yang menggelari karya mereka “Islam” dan “sufi” yang juga jelas tidak ada jiwanya, kerana tiadanya imbangan dan kegunaan akal yang tajam dalam menerapkan imbangan rasional dan imaginasi. Saya kira, memang pengarang dan pembikin yang tertentu sahaja yang dapat menerapkan karya yang sebegini (kerana sudah didedahkan sedari muda atau sekolah lagi). Hal inilah yang sebenarnya perlu diterapkan seawal sistem sekolah, agar generasi muda kita memahami selok-belok seni dan sastera, dan cara berfikir dalam seni dan sastera yang betul, dan tidak terawang-awang dengan keindahan estetik Barat yang sebenarnya berulang-ulang hal sama (dengan istilah yang berbeza) dan makin lama makin cuba melampaui batas fitrahnya.

Maka, di sini, saya hanya menyampaikan sesuatu yang tidak dapat saya lakukan sendiri.

Jika ditinjau polemik filem Islam dan sastera Islam itu sendiri, hal ini penting untuk dihayati. Bagi saya, dalam filem berunsur Islam, perkara yang hendak disampaikan juga bukanlah tentang menyampaikan (didaktik) moral, tetapi cerita yang menyampaikan wacana tentang nilai daripada pengalaman sejarah (hal yang lalu) atau semasa. Hal ini melampaui persoalan balasan buat baik dapat pahala atau jahat dapat dosa yang klise. Misalnya, memang terdapat kisah zina dan sumbang mahram dalam 1001 Malam, tetapi jika dilihat pada konteks naratif besarnya, kisah ini tentang seorang manusia yang menyampaikan cerita (sastera) untuk 1001 malam lamanya, untuk menjinakkan nafsu dan jiwa seorang penguasa yang sudah hilang pertimbangannya. Di sini sahaja, kita dapat meneliti maksud halus “manfaat” sastera dan seni yang memperhalus jiwa manusia untuk menemui cinta (emosi manusia yang paling dalam dan misteri, juga berkaitan dengan percubaan kita untuk berhubung dengan Tuhan) dan diri sendiri.