11 December 2014

Terbaik dari Langit(2014)

"OK guys, director dah berenti berangan" - Ali


Filem jalanan (road movie) secara sedarnya dikatakan antara genre filem Amerika yang sebenar. Latar luas Amerika dijadikan peta besar yang memulakan perjalanan fizikal dan kendiri sang pelaku, yang pada awalnya "mencari" atau "melepaskan" sesuatu, akan menjumpai atau mendapat ganti sesuatu yang berbeza. Menariknya, filem genre sebegini, yang amat popular sedari 1970-an dengan kemunculan Easy Rider(1969) dan Bonnie and Clyde(1967) selalunya berhaluan pencarian spiritual atau melalui perjalanan taubat/insaf diri atas dosa atau keserongan diri/bangsa. Yang paling jelas, dosa bangsa terhadap pribumi Red Indian yang melatari dunia Amerika (yakni menjadi antitesis filem koboi yang memerangi mereka sebagai antogonis Amerika era penghijrahan wilayah). Tidak perlulah aku nyatakan di sini beberapa filem jalanan yang jelas ikon Amerika yang sudah kira jelas dalam sejarah filem mana-mana tontonan kerana kita kini membicarakan persoalan, bagaimana pula dengan pendirian Malaysia yang berbudaya Melayu menggunapakai genre ini?

Kita tidaklah perlu gusar, kerana dalam persuratan kita sedari ratusan tahun pun, perjalanan yang sedari awal mengambil latar Hindu dengan gerakan Rama mencari Sita di benua Rawana dalam saduran Ramayana sudah lama wujud, baik dalam wayang kulit, bangsawan, mahupun tulisan. Dan, hal ini juga turut terjelma, ratusan mungkin ribuan tahun juga dengan cerita lipur lara yang berjaya didokumentasikan, seperti kisah besar Awang Sulung Merah Muda dan sekitarnya, yang disampaikan dengan lisan, zaman berzaman, yang juga wujud dalam kisah makyung dan selain itu sedari awal dunia Langkasuka dan Sriwijaya. Kemudian dalam perkenalan alam Islam, segala kisah perjalanan kita dari era Hindu-Buddha turut dijelmakan dalam kitab-kitab "hikayat" yang turut menerima bentuk perjalanan dunia Arab dan Parsi sebagai dokumentasi bangsa era transisi Hindu-Buddha ke Islam. Segala ini mencapai, kemungkinan epitom tertinggi, dalam perjalanan Hang Tuah "mencari hakikat diri" dalam Hikayat Hang Tuah, sebuah epik Melayu yang besar dan penting bagi bangsa ini.

Yang lebih menarik lagi, dunia jelmaan dan pencarian (selalunya objek khusus untuk menyelesaikan masalah atau menyeleraikan kekusutan, yang selalunya berakhir dengan perkahwinan, yang secara tersiratnya ialah maksud peluasan atau penaklukan wilayah atau asimilasi gagasan kerana kelainan budaya-bangsa) alam Melayu ini mendapat sentuhan moden dengan Pelayaran Abdullah dan Hikayat Abdullah nukilan Munsyi Abdullah yang melakukan suatu perjalanan kritikan sosial yang lebih bersikap individual terhadap bangsanya Melayu pada era itu. Tiada lagi pencarian bunga sakti atau sarang garuda atau istana Rawana. Hanya suatu perjalanan (bolehkah kita nyatakan, suatu perjalanan sekular?) yang menyelami keadaan dan realiti sosiomasyarakatnya secara tampak dan sedar. Dari sini, perkara ini menarik dalam suatu hal, yang kisah Munsyi ini sebenarnya suatu diari panjang si pengarang, yang melalui pengalaman pelayaran dan memasuki alam budaya (dan mengkritiknya) tempat kelananya, lantas menitipkan (merekodkan) hal itu dalam tulisan. Hal sedar ini berlaku juga dalam Terbaik dari Langit.

Namun, Terbaik dari Langit juga mengambil tradisi era klasik persuratan Melayu dengan mengerakkan odisinya dengan suatu matlamat yang kurang nyata (sebagai metafora impian tersebut), yakni tujuan Berg (Bront Palarae) mencari dan merakam piring terbang. Berg merancang dan memohon, semacam suatu majlis perjumpaan (reunion), tiga daripada kawannya untuk melakukan perjalanan itu bersamanya, yang sudah tentu, "rakan keempat"nya dalam filem itu, ialah kita (selain Sofea Jane lakonan Nadiya Nisaa). Kita akan teringat sesuatu, ah, ya, Dari Jemapoh (dikatakan sebagai filem jalanan pertama Malaysia) pun mengambil maksud suatu perjalanan ke suatu destinasi yang tidak mungkin dapat pergi dalam akal rasional, Manchester, menggunakan hanya kereta (namun menariknya, Hishamuddin Rais mempunyai pegangan yang tinggi terhadap cita-cita mencapai impian).



Lalu kisah ini memang berdiri dalam lingkungan kefahaman dan alam anak muda, namun bercita-cita besar (sambil berenang minum air), yakni Berg yang memohon Ijam, Ali, dan Toyu bersama-sama dengannya membikin filem eksperimental. Filem "eksperimental" ini mempunyai pendirian yang sedikit sentimental, dan ini suara hati Nik Amir, juga kemungkinan Tuan Faisal dan Redza Minhat. Dengan sengaja juga, Berg (secara mencuit, Berg mendekati nama Spielberg, pengarah yang tentu sewaktu Berg kecil mengimpikan menjadi sebesar pengarah itu) dilakarkan sebagai seorang karyawan tunas yang loser, malah tidak dipandang (Dain Said dalam penampilan khas sebagai pengkritik menyelar Berg pada awal cerita, "Ini yang kau panggil filem?"). Dunia Berg ialah dunia para karyawan yang gagal dan kurang difahami karyanya, dan ini amat berkait dengan keadaan karyawan kita sekarang (masyarakat tidak peduli dengan filem kita sekarang), juga generasi Amir Muhammad, yang selalunya, filem pelik mereka dicela dan dipandang hina oleh majoriti (walaupun penat Hassan Muthalib mengangkat mereka).

Perjalanan ini diambil atas hal itu: adakah kita sanggup merenungi apa yang kita sudah buat dan akan buat setelah hidup kita begini dalam keadaan kecamuk dan tidak tentu, adakah kita sanggup menyelami apa yang kita tidak sanggup selami selama ini?

Nik dan Redza bukan sahaja melakukan hal itu dari segi alami fizikal watak (yang sudah tentu sepatutnya mendapat sesuatu dalam perjalanan ini) tetapi alam esoterik wayang Malaysia yang sudah melalui lima dasawarsa. Berg dan rakan-rakan bukan sahaja mengangkut bagasi dosa dan masalah hidup mereka dan mendepaninya, tetapi bagasi dosa dan masalah filem kita sekarang. Hal ini ditimbulkan dalam babak tertentu (rakaman statik) dan episod tertentu (diolog Mamat Khalid sebagai pak cik lori angkut), menitipkan homaj yang pernah dilakukan oleh dunia filem kita sedari percubaan kebangkitan tahun 2000.

Kehadiran Sofia Jane (yang cerdik, matang dan berjiwa bebas) secara tiba-tiba sebagai pelakon wanita filem bikinan Berg juga menarik dari sisi kehadiran Sofia Jane sekarang yang secara tiba-tiba tampil dalam industri kita yang selama ini menyepi tanpanya. Sofia Jane hanya di situ sebagai kawan dan penyokong, tak mungkin menjawab persoalan masalah empat rakan ini yang perlu dihadapi oleh mereka sendiri, tetapi memiliki kekuatan untuk "membuka mata" setidak-tidaknya apa yang mereka alpakan atau tidak sedari.

Latarnya menarik, walaupun mungkin episodik dan manipulatif. Dan adakah Nik dan Redza secara tidak sengaja melakukan hal ini? Memang Redza dan Nik sengaja tidak membesarkan keadaan agama (kita tidak lihat mana-mana watak beribadat), tetapi mengikut tradisi sastera kita, keadaan empat watak ini sentiasa terimbau dengan alam, malah alam mempesonakan dan menenangkan mereka menjadi kaitan metafizik alam Melayu yang indah, juga agama yang memberi maksud hidup. Babak awal, yakni tanah, yang memberikan pautan tumbuhan yang memberikan manusia hasil rezeki telah disampaikan sebagai ruang jeda yang menenangkan empat watak. Ijam (yang paling "mangkuk" psikologinya) masih tidak memilih alam ini kerana sikapnya yang menolak (ini berkenaan rasa/taste seseorang), maka tanah, jelas, alam paling lemah untuk menyentuh jiwa manusia. Kemudian, dua kali, air (sekali dari langit, sekali terhampar di tanah) menjadi katarsis watak ini meraikan diri manusia, juga bersyukur atasnya (fahamlah kita di sini maksud air sebagai penyucian, juga air sebagai mekanisme wuduk sebelum kita bertemu dengan Yang Khalik). Hal ini dilakukan secara episodik (dan ini menampilkan sedikit kepalsuan tetapi tidak membingitkan) dan dihilangkan dialog watak, hanya imej dan runut bunyi. Mulai ini, aku sudah mulai sedari, cerita ini membawa pada suatu kefahaman lain (yang biasa, kita akan bercakap bahawa filem ini bercakap fasal kuasa perhubungan dan persahabatan dan bagaimana hal ini diuji dan melalui penyelamatan/redemption) kerana Berg kembali ke kampungnya! Ha, kini semua makin lama makin jelas. Empat rakan ini, dan sudah tentu Berg, khususnya, sedang melalui keadaan "jalan pulang", mereka sedang mencari "titik asal". Mereka sedang mencari diri.

Dalam keadaan sastera, renungan diri (baik menginsafi mahupun mencari hakikatnya) berlaku dengan dua maksud, merenung alam dan ciptaannya, dan merenung kampung halaman atau titik asal. Berg menyerap hal ini apabila tiba di kampung, melalui bendang sawah tempat bumi dipijaknya. Menemui asal dan diri akan menemukan kita dengan Tuhan. Inilah yang sudah beratus tahun sehingga sekarang, dilakukan oleh para sasterawan kita, diimbaukan dalam bentuk yang begitu mudah tetapi terkesan oleh Nik Amir dan Redza. Mencari diri kita yang hilang sebenarnya dan seharusnya mencari titik alam tradisi yang sudah lama terbentang, baik sastera lama kita, juga agama yang disusunkan sedari abadi, dan alam yang sudah ditetapkan tiada lagi kegoyangan hakikatnya. Hakikat ini menemukan (sepatutnya) kepada suatu kefahaman "siapa diri kita" dan sepatutnya, apa yang patut kita perlu bawa seterusnya.

Untuk mengatakan secara akhir, mereka mencapainya (apa yang patut kita perlu bawa seterusnya) merupakan suatu persoalan yang dibiarkan bersamar, malah dipaparkan dalam tayangan filem Berg sebagai suatu yang gagal. Apa yang lebih penting daripada itu? Sekurang-kurangnya mereka sudah melakukan perjalanan itu, dan merakamkannya, dan kini menyampaikannya kepada mereka yang sudi menontonnya atau membacanya (adakah ini suatu enigma?). Segala yang kita sudah tonton, sedari awal, yakni cebisan rakaman video, kemudian rakaman filem, kemudian cebisan imbauan, semuanya tersusun dan termungkinkan kembali, ditayang, pada satu ruang temu, di balik pintu panggung dengan tanda isyarat "Now Showing" (gerakan ini mengikuti struktur Saving Mr. Banks). Ya, "kini". Kini yang memerlukan renungan (tontonan) dan kemudiannya suatu penyedaran segar, yang hanya kita, penonton sahaja yang dapat menjawabnya sendiri.

Skrip filem sulung Redza Minhat merupakan antara skrip yang menarik berlaku dalam filem kita tahun ini. Padat, bergerak tanpa buang masa, menyeluruh dan sekurang-kurangnya memberikan gambaran watak yang mempunyai cerita, dengan saat yang sama menyampaikan banyak dialog yang ditunggu-tunggu oleh penonton kita yang cukup menunggu dialog-dialog tidak keras yang rangup, cathcy, mudah, dan sudah lama tidak mengunjungi wayang kita. Mungkin ya, satu dua ruang dalam cetusan dramatik dan motif pilihan mungkin dipersoalkan, tetapi hal itu tidak begitu menonjol dan memberikan suatu persoalan untuk dibicarakan. Beberapa bahagian juga mungkin menggunakan mainan kebetulan, namun hal itu diminimumkan. Tebaran alam Redza dalam dunia pengkaryaan sudah bermula dan beliau memang mempunyai bakat yang sungguh menarik.

Suntingan filem oleh Rewan Ishak juga amat baik, tersusun dan bergerak dalam tempo yang tahu membina sebuah cerita yang sampai pada makna.

Aku amat tidak menggemari CGI secara peribadi. Untuk filem ini juga, masih, walaupun sengaja tampak komik, CGInya masih belum memberikan aku kepuasan memenyanggupi alamiahnya, walaupun secara umum sudah menyampaikan maksud kehadirannya. Hal ini termasuklah sebuah objek tidak dikenal pasti itu, sekurang-kurangnya mengimbau zaman XXRay aku.



Runut bunyi filem ini indah dan cukup serba-serbinya. Pitahati tahu menyampaikan tika perlu disampaikan, kuak mood dan rasa yang perlu dan menjadi, walaupun mungkin bukan teragung. Suatu kehadiran sulung yang baik dalam latar skor filem kita.

Aku juga gembira dengan sinematografi Jordan Chiam yang tidak mengada-ngada, cukup menangkap, bergerak dengan cerita, dan berjaya menangkap alam Malaysia kita dalam suatu ruang yang jarang-jarang kita dapat rasai. Aku selalu berasa cemburu bagaimana bersih mengilaunya sinematografi filem Indonesia. Jordan Chiam telah menjejakkan kaki untuk menyatakan peranan gerak cerita dan tangkapan latar yang sesuai dengan zaman ini sebaik sinematografi terbaik filem Indonesia, juga beberapa rakannya seperti Teoh Gay Hian, Eric Yeong, Mohd Helmi dan Raja Mukriz.

Lakonan kesemua pelakonnya baik dan memuaskan. Aku menyukai lakonan Amerul Affendi sebagai Toyu, yang jika jatuh dalam paha seorang pelawak, akan menampilkan kebodohan untuk menuangkan ketawa, tetapi Amerul memberikannya wajah manusia, lantas seorang Pak Dogol (fool) bukan lagi Pak Dogol dalam erti katanya. Pak Dogol sebenar filem ini ialah Ijam, dan bagi aku, Iedil Putra menyampaikannya dengan baik, watak yang menyinga kita, ingat bagus, muka bertalam. Aidil menyampaikan dengan perlunya dan menariknya, terdapat beberapa psikologi seksual yang menarik telah dibawanya. Bront, seperti biasa, juga baik, dan terdapat ruang yang berjaya ditampakkannya meluahkan keadaan seorang loser pelik dan outsider yang amat memerlukan sokongan, yang aku percaya merupakan harapan Nik kepada "kawan keempatnya". Nadiya Nisaa ialah suatu keindahan, walaupun misterius (disengajakan, seperti turunnya bidadari, seperti hadirnya dewi ratu) dapat membawa wataknya dengan lengkap sekali tanpa banyak perlu menyampai. Terdapat babak mana Nadiya "bertekak" dengan seorang watak, jika dalam tangan pelakon lain atau arahan pengarah lain, sudah tentu watak wanita klise Melayu itu menaik suara, tetapi Sofia/Nadia tidak, dia hanya watak yang tenang dan matang dalam keadaan yang begitu tegang. Mungkin ini cuitan Nik bahawa "pelakon" sebegini takkan dan tidak pernah akan ada dalam filem kita, atau mungkin sahaja aku salah. Peranannya sendiri (dan hal ini perlulah diraikan) baik sebagai watak wanita yang tidak terjerat dalam keadaan "mengsa" dalam dunia lelaki, tetapi dalam lembut, tetap berpendirian, keras dalam caranya dan berdiri sama penting dengan watak lelakinya (malah dengan mengejek, yang paling matang kalangan watak lelakinya). Pelakon lain menyampaikan dengan sederhana dan baik, yang menyampaikan keadaan watak bantu yang perlu, dan kadangkala menampil untuk tampilan, termasuk Sharifah Amani dan Siti Saleha.

Memang tidak mungkin mana-mana filem itu sempurna. Namun aku tetap tersentuh dengan jiwa Nik Amir kali ini, walaupun dalam keadaan serba kiamat ini, dia duduk, bekerja, bikin filem, dan bikin filem yang dia kata, dengan jiwanya dan mengikut kata hatinya. Biarlah apa orang nak kata, dia tetap akan tersenyum di tepi tangga dan membiarkan orang lalu mengutuk filemnya. Era keemasan filem Melayu sedang berlalu, diam-diam, dalam sedu hitam putih, melalui pintu di mana Aziz Sattar menunggu tersenyum kali terakhir. Aziz Sattar juga telah meninggalkan kita. Berapa lagi yang akan pergi, era Jalan Ampas itu? Tetapi Nik dan rakan-rakannya, dalam serba keadaan tidak sempurna mereka, terus sahaja, bergerak, berharap pada masa hadapan yang tidak tenteram, melalui satu lagi perjalanan untuk suatu lagi pengalaman, lantas dirakam, dicantumkan, dan pada satu masa lagi, disampaikan untuk "kini".

Nota Pendek Jalinan Menarik antara Terbaik dari Langit dengan Interstate 60: Episodes of the Road(2002)

Apabila menonton filem ini (tayangan perdana), aku begitu tercuit dengan beberapa persamaan unsur dan tema yang ada dalam filem Nik Amir Mustapha ini dengan filem Bob Gale tahun 2002 yang tidak ramai yang mengetahui, tetapi merupakan antara filem kegemaran peribadi aku tahun itu. Menariknya, kedua-dua filem itu sebuah filem jalanan dengan jalinan komedi dan menyampaikan persoalan metafizik. Dalam Interstate, heronya (lakonan James Marsden yang amat baik) seorang pecinta Spielberg, dan dia mempunyai falsafah yang tersendiri tentang filem Close Encounters of the Third Kind (juga filem kegemaran abadi aku) yang berkaitan dengan pencarian UFO oleh Berg dalam filem Nik Amir. Yang menarik di sini, James menyatakan, dalam keadaannya, dia antara manusia yang akan memilih untuk memasuki UFO tersebut. Interstate 60 ialah matlamat tempat yang tidak wujud tetapi perlu dicari oleh James, sepertimana Berg bermatlamat untuk merakam UFO yang tidak wujud. Watak James juga ada berkaitan akan pencarian pasangan sehidup semati yang betul, dan hal ini sedikit sebanyak berkait dengan watak Iedil. Perkaitan ini membuatkan apresiasi filem ini lebih menyeronokkan.

Klasifikasi Terbaik dari Langit: P13, Terdapat babak ganas dan penggunaan dadah yang memerlukan bimbingan dan kefahaman oleh penjaga.
DITONTON DI Cathay Cineleisure, eCruve. [Tayangan Bermula: 25 Disember 2014] 

2 comments:

Fasyali Fadzly said...

Berg tu Bergson la... hehe

Ham said...

Berg tu Carls Berg.