Dalam penelitian Perhimpunan Penulis Muda beberapa tahun yang lepas, Faisal Tehrani dalam kertas kerjanya ada menyatakan, bagaimana, dalam keadaan sastera perdana dalam keadaan mencari suatu kesegaran atau ketokohan baharu sebagai suara wakil alam, dunia alaf baharu sekarang seakan-akan memberi ruang dan laluan untuk sebilangan minoriti atau kumpulan yang terpinggir menggegarkan pentas hegemoni arus perdana (dalam hal ini, Faisal agak benar dalam menujumkan kehadiran karya indie, yang turut mengganggu-gugat pelantar karya popular, bukan sahaja sastera), malah dengan berani, menyatakan akan mengambil tempat pentas arus perdana itu.
Menariknya, dalam filem, hal pembikinan filem indie dan pembikin filem dengan tema golongan terpinggir (untuk filem ini, kita golongkan dalam subbudaya) sudah bergerak awal, sedari adaptasi teater adaptasi drama Shakespeare, Julius Caesar dalam karya Nam Ron, Gedebe yang kemudiannya difilemkan (memasuki ulasan buku aku, tontonfilem) pada tahun 2001. Ramai yang tidak menyedari, Wan Azli Jusoh dengan Budak Kelantan juga membawa tema kumpulan pinggiran (anak samseng dari Kelantan) dalam ruang wayang, dan dengan sedikit "didaktik", Badar Azmi dan Ahmad Idham dengan alam Mat Rempitnya, yang sebenarnya bersangkutan dengan percubaan yang pernah dilakukan oleh beberapa pengarah 1980-an dan 1990-an secara lalu.
Dalam Ophilia, filem "sulung" (filem sulung sebenarnya ialah Tu7juh, tetapi hal ini sudah berubah atas dasar penerbitan/tayangan) Raja Mukriz dengan penulisan lakon layar oleh Ellyna Ahmad, alam subbudaya terpinggir yang mula dicuba awal tahun 2000 itu, dengan penelitian yang adil tanpa menghakimi, dikembalikan, dicaknakan, diraikan dengan sebaiknya setakat ini.
Ophilia sememangnya sangat jujur dalam memperkatakan kisah anak yang terganggu budaya, kalangan dari menengah atas sampai ke rendah (di sini, Melayu), yang berdiri, membesar, hidup dalam keadaan persekitaran yang tidak sekata dengan jiwa mereka, lantas, (walaupun sejauh mana skinhead tulen hendak menolak takrif, isi falsafah itu tetap ada, walaupun sebutir garam) mereka "melanggar kebiasaan" atau melanggar autoriti atau ketertiban sedia tersusun dalam sistem itu. Dalam hal skinhead, hal ini ada berkaitan sedikit dengan ras dan kekuatan etnosentrisime. Cebikan dan cetusan bijak skrip menampilkan hal ini dengan bersahaja dan subtle, boleh sahaja mengganas, tetapi sengaja disediakan dalam bentuk humor tetapi tidak membodohkan, dan paling penting, tetap lantang dengan penyampaian sinisnya. Pada awal lagi, si narator mencebik kita dengan lidahnya, sedari usia tujuh tahun, hal ini sahaja kita sudah dapat mengagak tempo dan emosi gerakan filem ini (walaupun sebenarnya isunya agak serius jika diteliti dengan betul) dan apa yang akan ia bawa.
Tiga watak utama diperkenalkan, dua daripada pelakon yang sudah teruji kekuatannya, Que Haidar dan Pekin Ibrahim (sebagai narator), kemudian kehadiran sidekick yang menjanjikan Kodi Rasheed, yang mengimbangi tiga "saudara sedarah" ini dan perjalanan mereka sebagai remaja yang dipandang serong oleh masyarakat umum. Menariknya di sini, Ellyna menggunapakai gaya monolog panjang, disampaikan oleh Pekin, dan ini membayangkan gaya Martin Scrosese. Ucapan monolognya menggetar, kelakar dan menusuk, dengan menggetar menyampaikan suara jiwa dalam keadaan genting, sekali gus seakan-akan membayangkan nostalgia, seperti Scorsese. Raja Mukriz menyampaikan monolog ini dengan gaya pecahan babak yang baik, walaupun terdapat beberapa yang kelihatan dipentaskan, namun ada beberapa yang menimbulkan kesan sinematik yang baik. Gaya ini sebenarnya "menyelamatkan" 30 minit awal filem ini yang sebenarnya suatu tapestri panjang akan tiga saudara ini sebagai latar (yang sememangnya agak panjang dan kadangkala melewah) sebelum plot mula-mula bermula pada titik tengah, apabila suatu kematian "secara jujur, mati kojol" (di sini, ada suatu babak ironi yang dipermainkan, yang kelakar sekali gus serius dan mendabrak isu sensitif jika ada yang cerdik melihat, tetapi itulah filem, melancarkan hal thought provoking untuk dibicarakan bukan diharamkan, yakni si terpinggir yang terlalu terpinggir dek terpinggir yang bertelur dan pengaruh, haha) berlaku. Mula dari sini, filem ini terus menyimpang dalam gear ngeri dan kemudiannya tragedi, yang tak patut aku sampaikan di sini.
Kisahnya sebenarnya mudah, bergaris lurus, premisnya kecil dalam hal masalah remaja dan persaudaraan (dan bagaimana persaudaraan itu diuji). Tetapi aku menyukai premis ini lebih baik daripada premis Radit dan Jani, filem berkenaan remaja terpinggir alam punk yang indah bentuk dan imej tetapi hodoh cerita dan penyampaian. Dalam Radit dan Jani, plot tiba-tiba masuk gear melodrama sedu-sedan tangis hiba entah apa-apa pada satu pasangan (kedua-duanya menang Piala Citra) yang melihat "moral" perit hidup dalam dadah dan ketiadaan bantuan sokongan ibu bapa. Ophilia mungkin bukanlah "the the skinhead story". Pada babak pertengahan sehingga ke akhir, sudah mula terdapat beberapa perkara yang longgar dan merunsingkan (adakah remaja kita terlalu naif? Dalam pertimbangan keputusan tidak adakah sedikit kebijaksanaan penceritaan sebagai penyimpangan gerakan? Tak nak jual kereta? Bagaimana dengan dabrak penyimpangan aksi untuk mengganggu garisan plot yang sedang menurun ke neraka?). Klimaksnya paling melemaukan, seakan-akan dipentaskan, malah boleh menggunakan kebijaksanaan suntingan laju, gerakan, atau samar (rujuk klimaks Bonnie and Clyde, Breathless, Butch Cassidy and the Sundance Kid). Dramatik yang membina tersungkur di tahap ini. Namun begitu, sekurang-kurangnya, dengan sengaja, alam pemainnya, yakni watak remajanya ialah alam dan semangat yang tidak dihakimi dan diurus oleh tuding teguran ibu bapa (malah dengan benarnya diperlihatkan ketiadaan ibu bapa membina alam Pekin, contohnya, dengan penilitian yang lebih sains sosial daripada tudingan moral), ia bergerak, hidup, berdikari dengan kaki sendiri, jatuh dengan kaki sendiri, kerana maksud perhubungan institusi keluarganya yang jauh lebih kompleks (dalam hal ini, latar Kodi menjadi suatu penelitian sosial yang menarik dan lebih jauh kompleks daripada hanya hendak menyalahkan kurang kasih-sayang dan agama). Drama yang dicipta (ya, filem ini ada drama) juga drama yang mengikut sebab-akibat kalangannya, bukan dibuat-buat, melihat perbandingan jelas, antara keluarga lahiriah dengan keluarga "darah".
Di sinilah kekuatan Ophilia. Lebih-lebih lagi, Que Haidar yang menggerakkan cerita dan keterujaan, melepaskan kemarahan suara remajanya yang menaikkan bulu roma (ada babak-babak pergaduhan dia dengan ayah tirinya, aku gigit tangan menontonnya, gila budak ni, gila). Que Haidar kelihatannya satu-satu pelakon yang mempunyai karisma dan emosi yang melangkau kebiasaan, penjiwaannya menakutkan dan memerlukan tirai yang khusus, dan kasut Dr.Martin yang dipakainya dalam wayang ini kelihatan cukup sempurna. Beliau, sememangnya suatu fenomena. Pekin juga baik, dengan perwatakan yang lebih terkawal (datang dari keluarga yang berada) dan mempunyai prinsip. Dinamisme ini terpancar baik dalam lakonan ketiga-tiga pelakon ini dalam satu ruang, menampakkan mereka sebenarnya saling memerlukan dan camping jika seorang meninggalkan. Mereka sempat juga menyampaikan pengertian untuk hidup tersekat dalam keadaan orang melihat mereka seperti sampah (dan olahan pandangan ini lebih baik daripada Radit dan Jani).
Sinematografinya baik, walaupun terdapat syot yang membosankan. Tangkapan dengan dunia gelap dan samar, ton sefia yang kadangkala cukup untuk menyampaikan bentuk, dengan suntingan yang sedikit tidak terkawal (malah terdapat babak yang lewah). Aku membayangkan gaya yang biasa diguna pakai oleh pembikin bajet rendah Bruce LaBruce yang cukup kuat bermain dengan warna merah dan putih terang (yang juga membiarkan pelakonnya berimprovisi tanpa kawalan). Seni pengarahannya baik (skinhead pakai kasut mesti kilat ya? baiklah, tumpang lalu) dan menyampaikan aspek dunia berbeza (rumah lwn. skinhead lwn. dunia gelap samseng) yang sepatutnya dicontohi oleh David Teo dan Yusof Haslam. Penataan dan suntingan bunyinya agak amatur. Kadangkala, agak susah kita hendak mengunyah dialog kata wataknya walaupun hal ini diraikan sebagai "raw" dan menampilkan kebenaran mis en scene. Senang cerita, aku tak dengar apa yang mereka bebelkan di skrin.
Runut bunyinya yang paling celaka dan laknat, serius. Bagi aku, terdapat babak-babak yang sungguh baik dramatiknya, sudah cukup dibiarkan tanpa runut bunyinya. Runut bunyi yang dibuat oleh Cat Farish seperti burung tiung yang berjoget di hadapan awan mendung, tiada ketertiban dari segi tempo, mood, dan rasa. Seeloknya, ambil sahaja turutan lagu skinhead tempatan (seperti yang dibuat Bruce LaBruce) dan susun pada babak-babak tertentu, lebih baik. Pembikin muzik yang berdosa dalam wayang seeloknya dibunuh (atau panggil skinhead ramai-ramai kasi pukul).
Sebuah filem yang kecil tetapi berjiwa besar. Ya, mempunyai kesilapan yang biasa bagi pembikin baharu (pernah tonton filem sulung Peter Jackson?), tetapi contoh naskhah pembikin yang kita alu-alukan dalam wayang kita yang sudah nazak dengan seram bodoh dan samseng.
Klasifikasi Ophilia: P13, Dengan jujur, filem ini amat tidak sesuai untuk penonton bawah 18 tahun kerana dengan jelas, terdapat babak ganas, isu sumbang mahram, homoseks, dan banyak dialog kata kesat dan maki yang tidak wajar disampaikan kepada kanak-kanak.
DITONTON DI MBO, KL Festival City.
No comments:
Post a Comment