22 December 2014

Ophilia(2014)


Dalam penelitian Perhimpunan Penulis Muda beberapa tahun yang lepas, Faisal Tehrani dalam kertas kerjanya ada menyatakan, bagaimana, dalam keadaan sastera perdana dalam keadaan mencari suatu kesegaran atau ketokohan baharu sebagai suara wakil alam, dunia alaf baharu sekarang seakan-akan memberi ruang dan laluan untuk sebilangan minoriti atau kumpulan yang terpinggir menggegarkan pentas hegemoni arus perdana (dalam hal ini, Faisal agak benar dalam menujumkan kehadiran karya indie, yang turut mengganggu-gugat pelantar karya popular, bukan sahaja sastera), malah dengan berani, menyatakan akan mengambil tempat pentas arus perdana itu.

Menariknya, dalam filem, hal pembikinan filem indie dan pembikin filem dengan tema golongan terpinggir (untuk filem ini, kita golongkan dalam subbudaya) sudah bergerak awal, sedari adaptasi teater adaptasi drama Shakespeare, Julius Caesar dalam karya Nam Ron, Gedebe yang kemudiannya difilemkan (memasuki ulasan buku aku, tontonfilem) pada tahun 2001. Ramai yang tidak menyedari, Wan Azli Jusoh dengan Budak Kelantan juga membawa tema kumpulan pinggiran (anak samseng dari Kelantan) dalam ruang wayang, dan dengan sedikit "didaktik", Badar Azmi dan Ahmad Idham dengan alam Mat Rempitnya, yang sebenarnya bersangkutan dengan percubaan yang pernah dilakukan oleh beberapa pengarah 1980-an dan 1990-an secara lalu. 

Dalam Ophilia, filem "sulung" (filem sulung sebenarnya ialah Tu7juh, tetapi hal ini sudah berubah atas dasar penerbitan/tayangan) Raja Mukriz dengan penulisan lakon layar oleh Ellyna Ahmad, alam subbudaya terpinggir yang mula dicuba awal tahun 2000 itu, dengan penelitian yang adil tanpa menghakimi, dikembalikan, dicaknakan, diraikan dengan sebaiknya setakat ini.

Ophilia sememangnya sangat jujur dalam memperkatakan kisah anak yang terganggu budaya, kalangan dari menengah atas sampai ke rendah (di sini, Melayu), yang berdiri, membesar, hidup dalam keadaan persekitaran yang tidak sekata dengan jiwa mereka, lantas, (walaupun sejauh mana skinhead tulen hendak menolak takrif, isi falsafah itu tetap ada, walaupun sebutir garam) mereka "melanggar kebiasaan" atau melanggar autoriti atau ketertiban sedia tersusun dalam sistem itu. Dalam hal skinhead, hal ini ada berkaitan sedikit dengan ras dan kekuatan etnosentrisime. Cebikan dan cetusan bijak skrip menampilkan hal ini dengan bersahaja dan subtle, boleh sahaja mengganas, tetapi sengaja disediakan dalam bentuk humor tetapi tidak membodohkan, dan paling penting, tetap lantang dengan penyampaian sinisnya. Pada awal lagi, si narator mencebik kita dengan lidahnya, sedari usia tujuh tahun, hal ini sahaja kita sudah dapat mengagak tempo dan emosi gerakan filem ini (walaupun sebenarnya isunya agak serius jika diteliti dengan betul) dan apa yang akan ia bawa.

Tiga watak utama diperkenalkan, dua daripada pelakon yang sudah teruji kekuatannya, Que Haidar dan Pekin Ibrahim (sebagai narator), kemudian kehadiran sidekick yang menjanjikan Kodi Rasheed, yang mengimbangi tiga "saudara sedarah" ini dan perjalanan mereka sebagai remaja yang dipandang serong oleh masyarakat umum. Menariknya di sini, Ellyna menggunapakai gaya monolog panjang, disampaikan oleh Pekin, dan ini membayangkan gaya Martin Scrosese. Ucapan monolognya menggetar, kelakar dan menusuk, dengan menggetar menyampaikan suara jiwa dalam keadaan genting, sekali gus seakan-akan membayangkan nostalgia, seperti Scorsese. Raja Mukriz menyampaikan monolog ini dengan gaya pecahan babak yang baik, walaupun terdapat beberapa yang kelihatan dipentaskan, namun ada beberapa yang menimbulkan kesan sinematik yang baik. Gaya ini sebenarnya "menyelamatkan" 30 minit awal filem ini yang sebenarnya suatu tapestri panjang akan tiga saudara ini sebagai latar (yang sememangnya agak panjang dan kadangkala melewah) sebelum plot mula-mula bermula pada titik tengah, apabila suatu kematian "secara jujur, mati kojol" (di sini, ada suatu babak ironi yang dipermainkan, yang kelakar sekali gus serius dan mendabrak isu sensitif jika ada yang cerdik melihat, tetapi itulah filem, melancarkan hal thought provoking untuk dibicarakan bukan diharamkan, yakni si terpinggir yang terlalu terpinggir dek terpinggir yang bertelur dan pengaruh, haha) berlaku. Mula dari sini, filem ini terus menyimpang dalam gear ngeri dan kemudiannya tragedi, yang tak patut aku sampaikan di sini.

Kisahnya sebenarnya mudah, bergaris lurus, premisnya kecil dalam hal masalah remaja dan persaudaraan (dan bagaimana persaudaraan itu diuji). Tetapi aku menyukai premis ini lebih baik daripada premis Radit dan Jani, filem berkenaan remaja terpinggir alam punk yang indah bentuk dan imej tetapi hodoh cerita dan penyampaian. Dalam Radit dan Jani, plot tiba-tiba masuk gear melodrama sedu-sedan tangis hiba entah apa-apa pada satu pasangan (kedua-duanya menang Piala Citra) yang melihat "moral" perit hidup dalam dadah dan ketiadaan bantuan sokongan ibu bapa. Ophilia mungkin bukanlah "the the skinhead story". Pada babak pertengahan sehingga ke akhir, sudah mula terdapat beberapa perkara yang longgar dan merunsingkan (adakah remaja kita terlalu naif? Dalam pertimbangan keputusan tidak adakah sedikit kebijaksanaan penceritaan sebagai penyimpangan gerakan? Tak nak jual kereta? Bagaimana dengan dabrak penyimpangan aksi untuk mengganggu garisan plot yang sedang menurun ke neraka?). Klimaksnya paling melemaukan, seakan-akan dipentaskan, malah boleh menggunakan kebijaksanaan suntingan laju, gerakan, atau samar (rujuk klimaks Bonnie and Clyde, Breathless, Butch Cassidy and the Sundance Kid). Dramatik yang membina tersungkur di tahap ini. Namun begitu, sekurang-kurangnya, dengan sengaja, alam pemainnya, yakni watak remajanya ialah alam dan semangat yang tidak dihakimi dan diurus oleh tuding teguran ibu bapa (malah dengan benarnya diperlihatkan ketiadaan ibu bapa membina alam Pekin, contohnya, dengan penilitian yang lebih sains sosial daripada tudingan moral), ia bergerak, hidup, berdikari dengan kaki sendiri, jatuh dengan kaki sendiri, kerana maksud perhubungan institusi keluarganya yang jauh lebih kompleks (dalam hal ini, latar Kodi menjadi suatu penelitian sosial yang menarik dan lebih jauh kompleks daripada hanya hendak menyalahkan kurang kasih-sayang dan agama). Drama yang dicipta (ya, filem ini ada drama) juga drama yang mengikut sebab-akibat kalangannya, bukan dibuat-buat, melihat perbandingan jelas, antara keluarga lahiriah dengan keluarga "darah". 

Di sinilah kekuatan Ophilia. Lebih-lebih lagi, Que Haidar yang menggerakkan cerita dan keterujaan, melepaskan kemarahan suara remajanya yang menaikkan bulu roma (ada babak-babak pergaduhan dia dengan ayah tirinya, aku gigit tangan menontonnya, gila budak ni, gila). Que Haidar kelihatannya satu-satu pelakon yang mempunyai karisma dan emosi yang melangkau kebiasaan, penjiwaannya menakutkan dan memerlukan tirai yang khusus, dan kasut Dr.Martin yang dipakainya dalam wayang ini kelihatan cukup sempurna. Beliau, sememangnya suatu fenomena. Pekin juga baik, dengan perwatakan yang lebih terkawal (datang dari keluarga yang berada) dan mempunyai prinsip. Dinamisme ini terpancar baik dalam lakonan ketiga-tiga pelakon ini dalam satu ruang, menampakkan mereka sebenarnya saling memerlukan dan camping jika seorang meninggalkan. Mereka sempat juga menyampaikan pengertian untuk hidup tersekat dalam keadaan orang melihat mereka seperti sampah (dan olahan pandangan ini lebih baik daripada Radit dan Jani).

Sinematografinya baik, walaupun terdapat syot yang membosankan. Tangkapan dengan dunia gelap dan samar, ton sefia yang kadangkala cukup untuk menyampaikan bentuk, dengan suntingan yang sedikit tidak terkawal (malah terdapat babak yang lewah). Aku membayangkan gaya yang biasa diguna pakai oleh pembikin bajet rendah Bruce LaBruce yang cukup kuat bermain dengan warna merah dan putih terang (yang juga membiarkan pelakonnya berimprovisi tanpa kawalan). Seni pengarahannya baik (skinhead pakai kasut mesti kilat ya? baiklah, tumpang lalu) dan menyampaikan aspek dunia berbeza (rumah lwn. skinhead lwn. dunia gelap samseng) yang sepatutnya dicontohi oleh David Teo dan Yusof Haslam. Penataan dan suntingan bunyinya agak amatur. Kadangkala, agak susah kita hendak mengunyah dialog kata wataknya walaupun hal ini diraikan sebagai "raw" dan menampilkan kebenaran mis en scene. Senang cerita, aku tak dengar apa yang mereka bebelkan di skrin. 

Runut bunyinya yang paling celaka dan laknat, serius. Bagi aku, terdapat babak-babak yang sungguh baik dramatiknya, sudah cukup dibiarkan tanpa runut bunyinya. Runut bunyi yang dibuat oleh Cat Farish seperti burung tiung yang berjoget di hadapan awan mendung, tiada ketertiban dari segi tempo, mood, dan rasa. Seeloknya, ambil sahaja turutan lagu skinhead tempatan (seperti yang dibuat Bruce LaBruce) dan susun pada babak-babak tertentu, lebih baik. Pembikin muzik yang berdosa dalam wayang seeloknya dibunuh (atau panggil skinhead ramai-ramai kasi pukul). 

Sebuah filem yang kecil tetapi berjiwa besar. Ya, mempunyai kesilapan yang biasa bagi pembikin baharu (pernah tonton filem sulung Peter Jackson?), tetapi contoh naskhah pembikin yang kita alu-alukan dalam wayang kita yang sudah nazak dengan seram bodoh dan samseng. 

Klasifikasi Ophilia: P13, Dengan jujur, filem ini amat tidak sesuai untuk penonton bawah 18 tahun kerana dengan jelas, terdapat babak ganas, isu sumbang mahram, homoseks, dan banyak dialog kata kesat dan maki yang tidak wajar disampaikan kepada kanak-kanak.
DITONTON DI MBO, KL Festival City. 

19 December 2014

Manisnya Cinta di Cappadocia(2014)



Sekali lagi, Rafidah Abdullah bersama-sama pengarah Bernard Chauly membikin sebuah lagi filem chic flick (kini, istilah rom com atau komedi romantik sudah dikenalkan semula) dan kali ini, berusaha membalas taubat novel romantik Alaf 21 yang dimarahi sangat oleh golongan feminis dan liberal moden, Ombak Rindu, dengan mengadaptasi novel sederhana modenis (wataiyyah katanyer) berbau luar negara-antarabangsa (lagi sekali ke Turki), yakni novel Anis Ayuni, Manisnya Cinta.

Sebagai suatu percubaan adaptasi, sememangnya Rafidah agak berjaya menyalurkan kepentingan babak dan peristiwa penting yang dramatik dan perlu dijaga, tersedia dalam lakon layar dan terpapar cukup sesuai dalam layar. Mengikut premisnya, filem ini mewacanakan sikap wanita moden Melayu sekarang (lebih-lebih lagi daripada kelas atasan) yang mengharungi dunia perdagangan antarabangsa. Perniagaan mereka kelihatan "homely" dan keperempuanan (mereka penghias dalaman) tetapi profesional dan sofistikated. Yang lebih menarik, semarak Islam sederhana mereka yang berkait dengan Islam moderat di Turki, dan hal ini dijana oleh kalangan sofistikated Melayu (orang Melayu alaf baharu adalah pengguna Islam komersial). Persoalan materialisme, jiwa individual, pendirian wanita, dan tuntutan agama berbaur elok dalam suatu penyesuaian yang moden dan selesa dalam keadaan progresif alaf 21. Hal ini jelas, sehinggakan, seperti Saloma dalam Ahmad Albab, sang wanita anggun kaya dan bujang, Nur Fazura, menjelaskan kepada kawannya (Rafidah Abdullah!) bahawa dia sanggup berlakikan pemandu bas kerana yang lebih penting aialah kekuatan iman dan keteguhan jiwa si lelaki itu.

Ah, di sini kita memasuki dunia pengujian jika persoalan iman dan jiwa sang lelaki, dimainkan oleh Saheizy Sam teruji untuk memaut cinta Fazura. Rafidah dan Bernard dengan selesa memberikan kita babak demi babak, sehingga terdapat satu imbasan lampau yang panjang berkenaan perkahwinan gagal kakaknya (Eja dengan Faizal Hussein) dan alasan untuk memerah air mata. Suatu perbandingan pasif dan dominan wanita Melayu disengajakan tersingkap di sini, dan di sini, Fazura melakukan taakulnya untuk menerima atau menolak Saheizy.

Kelihatan, semuanya indah. Namun terdapat persoalan yang mungkin sengaja dibiarkan terlepas oleh Rafidah dan mungkin tiada dalam novel Anis, yakni pengujian kekuatan iman agama Saheizy, yang di sini, langsung tidak teruji. Bernard seakan-akan mencipta suatu ilusi "cinta Islami" dalam filem ini, dengan latar yang sedemikian (lihat sahaja babak Erma sebagai datin Islami progresif dan materialis) tetapi dengan sengaja tidak menguatkan sikap Islaminya kerana meraikan "kesederhanaan" dalam Islam, walaupun hal ini semacam membawa persoalan pula pada watak Fazura yang "kononnya" memegang kepada "lelaki itu mesti kuat agama" yang mana tidak dilihatkan ada dalam Saheizy. Hanya komedi salah sangka menjadi penyimpangan untuk suatu pengakhiran menarik, yang tempo dramatiknya dijaga baik oleh Bernard dengan pertolongan baik pengarah sinematografi, Harris Hue Abdullah dan penyuntingnya.

Semua lakonan baik, khususnya Nur Fazura yang seperti biasa menyelami watak dengan penuh maksud dan emosinya. Terdapat suatu garapan emosi akan Fazura tentang anak kakaknya, dan Fazura menyampaikan hal ini dengan baik tanpa perlu menjerit dan melonjak tidak betul. Isteri aku pun memanggil Fazura Reese Witherspoon Malaysia. Kita juga tentu seronok dengan beberapa penampilan pelakon hebat, seperti Ogy Ahamd Daud, Erma Fatima, Faizal Hussein, yang berjaya memaut jiwa penonton.

Latar lagunya juga baik dan tidak menyesakkan, cukup untuk sebuah komedi romantik.

Hanya aku fikirkan, jikalah Rafidah mula mencabar dirinya, mencabar dengan berkarya atau mengadaptasi novel yang benar-benar mencabar dan membuka persoalan wanita kini yang lebih mendalam isunya, yang mencabar tempat selesanya, alangkah bagus?    

Klasifikasi Manisnya Cinta di Cappadocia: U, Terdapat babak ganas dalam keluarga yang mungkin memerlukan bimbingan oleh penjaga.
DITONTON DI MBO, KL Festival City. 

15 December 2014

Mamaikmal Mengulas Ophilia(2014)

Ah, aku berbesar hati untuk memberikan laluan kepada seorang blogger otai yang sudah laaaamaaaa tidak menulis tetapi sanggup bersemangat menulis ulasan filem (dan beliau memilih teratak sederhana aku, yey!) kerana pratonton yang dihadirinya baru-baru ini, ya, Ophilia, filem "sulung" Raja Mukriz, tulisan Elyna Ahmad. Zack (nama manjanya dalam blog dan dikenali ramai sebegitu rupa) ini seorang penggemar filem Barat dan luar negara dan jarang-jarang sekali tercuit untuk menonton filem Malaysia, jadi ini suatu penghormatan, bukan sahaja kepada lebaran blog dengan kehadirannya, tetapi setentunya pengulasan filem kerana kehadirannya untuk memilih dan bercakap akan sesebuah filem:



Ulasan filem Zack Mamaikmal untuk Ophilia(2014)

[saya menulis sebagai alter-ego yang sudah lama dorman, atas permintaan seseorang]

*SPOILER ALERT*

1. 2014. Tahun yang banyak pengalaman pertama bagiku. Pertama kali kena jet-lag selepas penerbangan 13 jam dari London (bad). Pertama kali terpaksa pakai kasut bertumit tinggi di karpet merah (badder). Pertama kali berjumpa Nazim Masnawi in the flesh selepas lebih 8 tahun kenal di alam maya (baddest).

OK, aku bergurau part terakhir tu.

2. Lyn (penulis skrip) menjemput aku ke tayangan perdana Ophilia dua hari lepas. Sesuatu yang aku tak pernah buat sebelum ini - attend movie premier dan keluar malam seorang diri.

It was refreshing! Seronok dapat berjumpa semula geng-geng blogger lama. Fadz dan Edd yang aku kenal sejak mereka bujang, hinggalah masing-masing dah ada 2 putera. Abang Ajami yang pernah gelakkan aku masa aku eksaited gila kaunter blog aku reach 50k. Dan of course, Lyn dan Imran yang selama ini aku cuma kenal di alam maya.

So, berpegang pada pesanan tuan badan untuk tidak sugarcoat reviu setelah sekian lama aku tak tulis reviu filem, here's my dua sen.

3. Dinobatkan sebagai filem skinhead pertama di Malaysia, aku rasa berdebar jugalah menonton filem ini. No, no, bukan sebab Lyn letak seating aku sebelah Nadia Khan (OMG, OMG, sabarlah duhai hati).

Perhaps sebab penulis skripnya seorang wanita? Maksud aku, kalau aku tak tau siapa di belakang ayat-ayat power dalam filem ni, mesti aku ingatkan lelaki. Macam that one time selepas aku nonton Punisher War Zone. I was like, bapak punya ganas! Siapa sangka pengarahnya wanita? ;) So yes! Go girl power!

4. Satu-satunya filem bertemakan skinhead yang pernah aku tonton sebelum ini cuma Romper Stomper*, jadi sedikit sebanyak, aku tak dapat tidak membayangkan dua watak yang kontra pada dua antihero filem ini. Watak Hando dalam Ozi Gandum (Russel Crowe kepala angin nak mampus) dan Davey dalam Uji, sahabat baiknya yang lebih level headed.

5. Pertama sekali, aku jarang menonton filem Melayu. Serius. Jadi, dengan watak Uji, aku rasa seperti satu redemption buat Pekin selepas menonton watak beliau yang entah apa-apa dalam Lagenda Budak Hostel (anak aku paksa beli DVD sebab nak tengok babak pocong tu).

Aku suka lakonan beliau sebagai narrator merangkap watak utama. Mungkin sebab aku baru tonton sekali atau aku miss out something, aku tak berapa tangkap tentang watak Uji. Dia habis belajar tak? Kerja ke tidak? Ke memang dia full-time skinhead? Perhaps aku kena study lebih lanjut tentang subculture ni sebelum menulis reviu.

6. Totoi (Kodi Rasheed) yang lebih muda mengingatkan aku kepada Private penguin junior daripada Penguins of Madagascar yang lebih berperanan sebagai sidekick adik kepada dua protagonis utama. Kehadiran Totoi pada mulanya aku anggap sebagai sekadar penyuntik elemen humor dalam filem ini tetapi dalam babak terakhir (babak perbualan telefon dengan ibunya yang bakal berangkat ke Mekah), man, that tears me up. I mean, I'm a mum. Kau rasa kalau anak kau leads a double life, kau dapat tahu tak?

7. Ozi Ozi Ozi, where do I start? Aku macam boleh rasa pent-up rage dalam jiwanya namun mungkin sebab ini filem Malaysia (aku suka patches bendera Malaysia pada lengan mereka!) dan mungkin seperti juga Uji, dia juga menghayati prinsip Rukun Negara kelima - Kesopanan dan Kesusilaan. Dia masih ada sekelumit rasa hormat terhadap ibu dan bapanya. Otherwise, aku rasa memang hancur bapa dia dikerjakan. Baru nak tengok Zizan Nin kena bantai macam dalam Inglorious Bastards. Cis.

And Oh, babak DVD Rock Oo! tu memang makan dalam.



8. Yang aku kurang suka:

Babak bersalin. Bukan dalam filem ini sahaja tapi dalam semua filem. Kecuali siri Call the Midwife. Kau ingat beranak tu sedap? Macam main?

The fact that the boys berani minta tolong dengan Faktab. Tak dapat aku bayangkan wataknya menjadi douche ex machina yang menjadi penyelamat keadaan.

Watak Johan Ashaari mungkin gelandangan paling ridiculously good looking, ha ha!

Selain merompak, takkan tiada pilihan lain untuk mereka? Uji tiada wang simpanan ke? Atau perhaps boleh let go kereta mewah mereka tu yang menjadi idaman mak aku selama ini? Hmmm... desperate times call for desperate measures.

Zack bagi: 6.5/10.

*OK, aku masih belum lagi menonton American History X, satu lagi filem skinhead yang agak mainstream, so sue me.

11 December 2014

Terbaik dari Langit(2014)

"OK guys, director dah berenti berangan" - Ali


Filem jalanan (road movie) secara sedarnya dikatakan antara genre filem Amerika yang sebenar. Latar luas Amerika dijadikan peta besar yang memulakan perjalanan fizikal dan kendiri sang pelaku, yang pada awalnya "mencari" atau "melepaskan" sesuatu, akan menjumpai atau mendapat ganti sesuatu yang berbeza. Menariknya, filem genre sebegini, yang amat popular sedari 1970-an dengan kemunculan Easy Rider(1969) dan Bonnie and Clyde(1967) selalunya berhaluan pencarian spiritual atau melalui perjalanan taubat/insaf diri atas dosa atau keserongan diri/bangsa. Yang paling jelas, dosa bangsa terhadap pribumi Red Indian yang melatari dunia Amerika (yakni menjadi antitesis filem koboi yang memerangi mereka sebagai antogonis Amerika era penghijrahan wilayah). Tidak perlulah aku nyatakan di sini beberapa filem jalanan yang jelas ikon Amerika yang sudah kira jelas dalam sejarah filem mana-mana tontonan kerana kita kini membicarakan persoalan, bagaimana pula dengan pendirian Malaysia yang berbudaya Melayu menggunapakai genre ini?

Kita tidaklah perlu gusar, kerana dalam persuratan kita sedari ratusan tahun pun, perjalanan yang sedari awal mengambil latar Hindu dengan gerakan Rama mencari Sita di benua Rawana dalam saduran Ramayana sudah lama wujud, baik dalam wayang kulit, bangsawan, mahupun tulisan. Dan, hal ini juga turut terjelma, ratusan mungkin ribuan tahun juga dengan cerita lipur lara yang berjaya didokumentasikan, seperti kisah besar Awang Sulung Merah Muda dan sekitarnya, yang disampaikan dengan lisan, zaman berzaman, yang juga wujud dalam kisah makyung dan selain itu sedari awal dunia Langkasuka dan Sriwijaya. Kemudian dalam perkenalan alam Islam, segala kisah perjalanan kita dari era Hindu-Buddha turut dijelmakan dalam kitab-kitab "hikayat" yang turut menerima bentuk perjalanan dunia Arab dan Parsi sebagai dokumentasi bangsa era transisi Hindu-Buddha ke Islam. Segala ini mencapai, kemungkinan epitom tertinggi, dalam perjalanan Hang Tuah "mencari hakikat diri" dalam Hikayat Hang Tuah, sebuah epik Melayu yang besar dan penting bagi bangsa ini.

Yang lebih menarik lagi, dunia jelmaan dan pencarian (selalunya objek khusus untuk menyelesaikan masalah atau menyeleraikan kekusutan, yang selalunya berakhir dengan perkahwinan, yang secara tersiratnya ialah maksud peluasan atau penaklukan wilayah atau asimilasi gagasan kerana kelainan budaya-bangsa) alam Melayu ini mendapat sentuhan moden dengan Pelayaran Abdullah dan Hikayat Abdullah nukilan Munsyi Abdullah yang melakukan suatu perjalanan kritikan sosial yang lebih bersikap individual terhadap bangsanya Melayu pada era itu. Tiada lagi pencarian bunga sakti atau sarang garuda atau istana Rawana. Hanya suatu perjalanan (bolehkah kita nyatakan, suatu perjalanan sekular?) yang menyelami keadaan dan realiti sosiomasyarakatnya secara tampak dan sedar. Dari sini, perkara ini menarik dalam suatu hal, yang kisah Munsyi ini sebenarnya suatu diari panjang si pengarang, yang melalui pengalaman pelayaran dan memasuki alam budaya (dan mengkritiknya) tempat kelananya, lantas menitipkan (merekodkan) hal itu dalam tulisan. Hal sedar ini berlaku juga dalam Terbaik dari Langit.

Namun, Terbaik dari Langit juga mengambil tradisi era klasik persuratan Melayu dengan mengerakkan odisinya dengan suatu matlamat yang kurang nyata (sebagai metafora impian tersebut), yakni tujuan Berg (Bront Palarae) mencari dan merakam piring terbang. Berg merancang dan memohon, semacam suatu majlis perjumpaan (reunion), tiga daripada kawannya untuk melakukan perjalanan itu bersamanya, yang sudah tentu, "rakan keempat"nya dalam filem itu, ialah kita (selain Sofea Jane lakonan Nadiya Nisaa). Kita akan teringat sesuatu, ah, ya, Dari Jemapoh (dikatakan sebagai filem jalanan pertama Malaysia) pun mengambil maksud suatu perjalanan ke suatu destinasi yang tidak mungkin dapat pergi dalam akal rasional, Manchester, menggunakan hanya kereta (namun menariknya, Hishamuddin Rais mempunyai pegangan yang tinggi terhadap cita-cita mencapai impian).



Lalu kisah ini memang berdiri dalam lingkungan kefahaman dan alam anak muda, namun bercita-cita besar (sambil berenang minum air), yakni Berg yang memohon Ijam, Ali, dan Toyu bersama-sama dengannya membikin filem eksperimental. Filem "eksperimental" ini mempunyai pendirian yang sedikit sentimental, dan ini suara hati Nik Amir, juga kemungkinan Tuan Faisal dan Redza Minhat. Dengan sengaja juga, Berg (secara mencuit, Berg mendekati nama Spielberg, pengarah yang tentu sewaktu Berg kecil mengimpikan menjadi sebesar pengarah itu) dilakarkan sebagai seorang karyawan tunas yang loser, malah tidak dipandang (Dain Said dalam penampilan khas sebagai pengkritik menyelar Berg pada awal cerita, "Ini yang kau panggil filem?"). Dunia Berg ialah dunia para karyawan yang gagal dan kurang difahami karyanya, dan ini amat berkait dengan keadaan karyawan kita sekarang (masyarakat tidak peduli dengan filem kita sekarang), juga generasi Amir Muhammad, yang selalunya, filem pelik mereka dicela dan dipandang hina oleh majoriti (walaupun penat Hassan Muthalib mengangkat mereka).

Perjalanan ini diambil atas hal itu: adakah kita sanggup merenungi apa yang kita sudah buat dan akan buat setelah hidup kita begini dalam keadaan kecamuk dan tidak tentu, adakah kita sanggup menyelami apa yang kita tidak sanggup selami selama ini?

Nik dan Redza bukan sahaja melakukan hal itu dari segi alami fizikal watak (yang sudah tentu sepatutnya mendapat sesuatu dalam perjalanan ini) tetapi alam esoterik wayang Malaysia yang sudah melalui lima dasawarsa. Berg dan rakan-rakan bukan sahaja mengangkut bagasi dosa dan masalah hidup mereka dan mendepaninya, tetapi bagasi dosa dan masalah filem kita sekarang. Hal ini ditimbulkan dalam babak tertentu (rakaman statik) dan episod tertentu (diolog Mamat Khalid sebagai pak cik lori angkut), menitipkan homaj yang pernah dilakukan oleh dunia filem kita sedari percubaan kebangkitan tahun 2000.

Kehadiran Sofia Jane (yang cerdik, matang dan berjiwa bebas) secara tiba-tiba sebagai pelakon wanita filem bikinan Berg juga menarik dari sisi kehadiran Sofia Jane sekarang yang secara tiba-tiba tampil dalam industri kita yang selama ini menyepi tanpanya. Sofia Jane hanya di situ sebagai kawan dan penyokong, tak mungkin menjawab persoalan masalah empat rakan ini yang perlu dihadapi oleh mereka sendiri, tetapi memiliki kekuatan untuk "membuka mata" setidak-tidaknya apa yang mereka alpakan atau tidak sedari.

Latarnya menarik, walaupun mungkin episodik dan manipulatif. Dan adakah Nik dan Redza secara tidak sengaja melakukan hal ini? Memang Redza dan Nik sengaja tidak membesarkan keadaan agama (kita tidak lihat mana-mana watak beribadat), tetapi mengikut tradisi sastera kita, keadaan empat watak ini sentiasa terimbau dengan alam, malah alam mempesonakan dan menenangkan mereka menjadi kaitan metafizik alam Melayu yang indah, juga agama yang memberi maksud hidup. Babak awal, yakni tanah, yang memberikan pautan tumbuhan yang memberikan manusia hasil rezeki telah disampaikan sebagai ruang jeda yang menenangkan empat watak. Ijam (yang paling "mangkuk" psikologinya) masih tidak memilih alam ini kerana sikapnya yang menolak (ini berkenaan rasa/taste seseorang), maka tanah, jelas, alam paling lemah untuk menyentuh jiwa manusia. Kemudian, dua kali, air (sekali dari langit, sekali terhampar di tanah) menjadi katarsis watak ini meraikan diri manusia, juga bersyukur atasnya (fahamlah kita di sini maksud air sebagai penyucian, juga air sebagai mekanisme wuduk sebelum kita bertemu dengan Yang Khalik). Hal ini dilakukan secara episodik (dan ini menampilkan sedikit kepalsuan tetapi tidak membingitkan) dan dihilangkan dialog watak, hanya imej dan runut bunyi. Mulai ini, aku sudah mulai sedari, cerita ini membawa pada suatu kefahaman lain (yang biasa, kita akan bercakap bahawa filem ini bercakap fasal kuasa perhubungan dan persahabatan dan bagaimana hal ini diuji dan melalui penyelamatan/redemption) kerana Berg kembali ke kampungnya! Ha, kini semua makin lama makin jelas. Empat rakan ini, dan sudah tentu Berg, khususnya, sedang melalui keadaan "jalan pulang", mereka sedang mencari "titik asal". Mereka sedang mencari diri.

Dalam keadaan sastera, renungan diri (baik menginsafi mahupun mencari hakikatnya) berlaku dengan dua maksud, merenung alam dan ciptaannya, dan merenung kampung halaman atau titik asal. Berg menyerap hal ini apabila tiba di kampung, melalui bendang sawah tempat bumi dipijaknya. Menemui asal dan diri akan menemukan kita dengan Tuhan. Inilah yang sudah beratus tahun sehingga sekarang, dilakukan oleh para sasterawan kita, diimbaukan dalam bentuk yang begitu mudah tetapi terkesan oleh Nik Amir dan Redza. Mencari diri kita yang hilang sebenarnya dan seharusnya mencari titik alam tradisi yang sudah lama terbentang, baik sastera lama kita, juga agama yang disusunkan sedari abadi, dan alam yang sudah ditetapkan tiada lagi kegoyangan hakikatnya. Hakikat ini menemukan (sepatutnya) kepada suatu kefahaman "siapa diri kita" dan sepatutnya, apa yang patut kita perlu bawa seterusnya.

Untuk mengatakan secara akhir, mereka mencapainya (apa yang patut kita perlu bawa seterusnya) merupakan suatu persoalan yang dibiarkan bersamar, malah dipaparkan dalam tayangan filem Berg sebagai suatu yang gagal. Apa yang lebih penting daripada itu? Sekurang-kurangnya mereka sudah melakukan perjalanan itu, dan merakamkannya, dan kini menyampaikannya kepada mereka yang sudi menontonnya atau membacanya (adakah ini suatu enigma?). Segala yang kita sudah tonton, sedari awal, yakni cebisan rakaman video, kemudian rakaman filem, kemudian cebisan imbauan, semuanya tersusun dan termungkinkan kembali, ditayang, pada satu ruang temu, di balik pintu panggung dengan tanda isyarat "Now Showing" (gerakan ini mengikuti struktur Saving Mr. Banks). Ya, "kini". Kini yang memerlukan renungan (tontonan) dan kemudiannya suatu penyedaran segar, yang hanya kita, penonton sahaja yang dapat menjawabnya sendiri.

Skrip filem sulung Redza Minhat merupakan antara skrip yang menarik berlaku dalam filem kita tahun ini. Padat, bergerak tanpa buang masa, menyeluruh dan sekurang-kurangnya memberikan gambaran watak yang mempunyai cerita, dengan saat yang sama menyampaikan banyak dialog yang ditunggu-tunggu oleh penonton kita yang cukup menunggu dialog-dialog tidak keras yang rangup, cathcy, mudah, dan sudah lama tidak mengunjungi wayang kita. Mungkin ya, satu dua ruang dalam cetusan dramatik dan motif pilihan mungkin dipersoalkan, tetapi hal itu tidak begitu menonjol dan memberikan suatu persoalan untuk dibicarakan. Beberapa bahagian juga mungkin menggunakan mainan kebetulan, namun hal itu diminimumkan. Tebaran alam Redza dalam dunia pengkaryaan sudah bermula dan beliau memang mempunyai bakat yang sungguh menarik.

Suntingan filem oleh Rewan Ishak juga amat baik, tersusun dan bergerak dalam tempo yang tahu membina sebuah cerita yang sampai pada makna.

Aku amat tidak menggemari CGI secara peribadi. Untuk filem ini juga, masih, walaupun sengaja tampak komik, CGInya masih belum memberikan aku kepuasan memenyanggupi alamiahnya, walaupun secara umum sudah menyampaikan maksud kehadirannya. Hal ini termasuklah sebuah objek tidak dikenal pasti itu, sekurang-kurangnya mengimbau zaman XXRay aku.



Runut bunyi filem ini indah dan cukup serba-serbinya. Pitahati tahu menyampaikan tika perlu disampaikan, kuak mood dan rasa yang perlu dan menjadi, walaupun mungkin bukan teragung. Suatu kehadiran sulung yang baik dalam latar skor filem kita.

Aku juga gembira dengan sinematografi Jordan Chiam yang tidak mengada-ngada, cukup menangkap, bergerak dengan cerita, dan berjaya menangkap alam Malaysia kita dalam suatu ruang yang jarang-jarang kita dapat rasai. Aku selalu berasa cemburu bagaimana bersih mengilaunya sinematografi filem Indonesia. Jordan Chiam telah menjejakkan kaki untuk menyatakan peranan gerak cerita dan tangkapan latar yang sesuai dengan zaman ini sebaik sinematografi terbaik filem Indonesia, juga beberapa rakannya seperti Teoh Gay Hian, Eric Yeong, Mohd Helmi dan Raja Mukriz.

Lakonan kesemua pelakonnya baik dan memuaskan. Aku menyukai lakonan Amerul Affendi sebagai Toyu, yang jika jatuh dalam paha seorang pelawak, akan menampilkan kebodohan untuk menuangkan ketawa, tetapi Amerul memberikannya wajah manusia, lantas seorang Pak Dogol (fool) bukan lagi Pak Dogol dalam erti katanya. Pak Dogol sebenar filem ini ialah Ijam, dan bagi aku, Iedil Putra menyampaikannya dengan baik, watak yang menyinga kita, ingat bagus, muka bertalam. Aidil menyampaikan dengan perlunya dan menariknya, terdapat beberapa psikologi seksual yang menarik telah dibawanya. Bront, seperti biasa, juga baik, dan terdapat ruang yang berjaya ditampakkannya meluahkan keadaan seorang loser pelik dan outsider yang amat memerlukan sokongan, yang aku percaya merupakan harapan Nik kepada "kawan keempatnya". Nadiya Nisaa ialah suatu keindahan, walaupun misterius (disengajakan, seperti turunnya bidadari, seperti hadirnya dewi ratu) dapat membawa wataknya dengan lengkap sekali tanpa banyak perlu menyampai. Terdapat babak mana Nadiya "bertekak" dengan seorang watak, jika dalam tangan pelakon lain atau arahan pengarah lain, sudah tentu watak wanita klise Melayu itu menaik suara, tetapi Sofia/Nadia tidak, dia hanya watak yang tenang dan matang dalam keadaan yang begitu tegang. Mungkin ini cuitan Nik bahawa "pelakon" sebegini takkan dan tidak pernah akan ada dalam filem kita, atau mungkin sahaja aku salah. Peranannya sendiri (dan hal ini perlulah diraikan) baik sebagai watak wanita yang tidak terjerat dalam keadaan "mengsa" dalam dunia lelaki, tetapi dalam lembut, tetap berpendirian, keras dalam caranya dan berdiri sama penting dengan watak lelakinya (malah dengan mengejek, yang paling matang kalangan watak lelakinya). Pelakon lain menyampaikan dengan sederhana dan baik, yang menyampaikan keadaan watak bantu yang perlu, dan kadangkala menampil untuk tampilan, termasuk Sharifah Amani dan Siti Saleha.

Memang tidak mungkin mana-mana filem itu sempurna. Namun aku tetap tersentuh dengan jiwa Nik Amir kali ini, walaupun dalam keadaan serba kiamat ini, dia duduk, bekerja, bikin filem, dan bikin filem yang dia kata, dengan jiwanya dan mengikut kata hatinya. Biarlah apa orang nak kata, dia tetap akan tersenyum di tepi tangga dan membiarkan orang lalu mengutuk filemnya. Era keemasan filem Melayu sedang berlalu, diam-diam, dalam sedu hitam putih, melalui pintu di mana Aziz Sattar menunggu tersenyum kali terakhir. Aziz Sattar juga telah meninggalkan kita. Berapa lagi yang akan pergi, era Jalan Ampas itu? Tetapi Nik dan rakan-rakannya, dalam serba keadaan tidak sempurna mereka, terus sahaja, bergerak, berharap pada masa hadapan yang tidak tenteram, melalui satu lagi perjalanan untuk suatu lagi pengalaman, lantas dirakam, dicantumkan, dan pada satu masa lagi, disampaikan untuk "kini".

Nota Pendek Jalinan Menarik antara Terbaik dari Langit dengan Interstate 60: Episodes of the Road(2002)

Apabila menonton filem ini (tayangan perdana), aku begitu tercuit dengan beberapa persamaan unsur dan tema yang ada dalam filem Nik Amir Mustapha ini dengan filem Bob Gale tahun 2002 yang tidak ramai yang mengetahui, tetapi merupakan antara filem kegemaran peribadi aku tahun itu. Menariknya, kedua-dua filem itu sebuah filem jalanan dengan jalinan komedi dan menyampaikan persoalan metafizik. Dalam Interstate, heronya (lakonan James Marsden yang amat baik) seorang pecinta Spielberg, dan dia mempunyai falsafah yang tersendiri tentang filem Close Encounters of the Third Kind (juga filem kegemaran abadi aku) yang berkaitan dengan pencarian UFO oleh Berg dalam filem Nik Amir. Yang menarik di sini, James menyatakan, dalam keadaannya, dia antara manusia yang akan memilih untuk memasuki UFO tersebut. Interstate 60 ialah matlamat tempat yang tidak wujud tetapi perlu dicari oleh James, sepertimana Berg bermatlamat untuk merakam UFO yang tidak wujud. Watak James juga ada berkaitan akan pencarian pasangan sehidup semati yang betul, dan hal ini sedikit sebanyak berkait dengan watak Iedil. Perkaitan ini membuatkan apresiasi filem ini lebih menyeronokkan.

Klasifikasi Terbaik dari Langit: P13, Terdapat babak ganas dan penggunaan dadah yang memerlukan bimbingan dan kefahaman oleh penjaga.
DITONTON DI Cathay Cineleisure, eCruve. [Tayangan Bermula: 25 Disember 2014] 

02 December 2014

Bas Konduktor(1986)

"Jadi, kau masih daralah? Seronoknya!" - Mydin

Aku sempat menonton filem ini di Astro Prima. 

Filem ini dibikin dan ditayangkan pada era kejatuhan filem Melayu.

Aku jadi tertarik menonton filem ini kerana ada Rose Iskandar, aku peminatnya setelah menonton Kekasihku Seru. Aku teringat bagaimana filem ini pernah dikritik kerana memaparkan hal seks Melayu (bukan aksinya tetapi nuansa dan cakapan) yang berlebihan, seperti dialog di atas. Aku tidak menipu, memang benar, filem ini agak "moden" dalam keadaan serba "lama" era 1980-an, mungkin bukan dari segi Jins Shamsudin menayangkan si dara bodoh diubat lalu ditiduri dari disko, tetapi keberanian para gadisnya era ini menghadapi persoalan seks dengan begitu terbuka kepada pasangan berlawanannya, sesuatu yang mungkin baharu pada masa itu.

Tapi filem yang buruk plot dan naratif bersegmen-segmen ini (tiba-tiba seorang bintang terkenal rosak kereta di tengah jalan, cameo tentunya seperti Mokhtar Dahari dalam Mekanik), cukup jelas dengan beberapa situasi bodoh yang kita sedar wujud dalam filem trash John Waters, mempunyai, peliknya suatu penelitian realiti yang menarik (dan ini sahaja yang aku jumpa), yakni pada era ini, pencarian kekayaan atau materi tidak lagi berlaku di Kuala Lumpur, kota besar yang menjanjikan, tetapi kota kecil, dan di sini, Z. Lokman memilih Seremban, contoh sebuah kota transit yang (seperti yang ditunjukkan dalam filem) menjadi ruang transit ke kota besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Hal ini menarik sebagai suatu penelitian bagaimana hidup anak kota kecil daripada ruang kota yang lebih besar, yang selalunya sudah tentu akan mengaitkannya dengan suatu santun yang lebih baik. Hal ini diterbalikkan, mungkin ini yang dimarahi penonton waktu itu, apabila dipaparkan anak kota Seremban, muda mudinya, sama seperti anak kota Kuala Lumpur, berpeleseran malam-malam, ke disko, melepak, dan bersikap terbuka.

Filem ini entah sengaja atau tidak, juga CUBA memaparkan acara ngorat-mengorat dalam dua kelas, yakni cara orang kaya (yang ditampilkan oleh tauke bas dan tuan rumah, selalunya lelaki, berumur) dan orang kolar biru (kawan konduktor dan pemandu bas). Dalam suasana ini, ditampilkan pula (dan ini yang menarik) golongan gadis kampung yang datang ke kota kecil mencari rezeki, tinggal di rumah sewa, dan (ini mengejutkan!) membawa bas! Filem ini dengan sengaja menunjukkan, pada era ini, bermulalah, bukan sahaja para wanita memasuki alam profesional yang biasanya lelaki (walaupun para wanita kebanyakannya masih suri rumah) tetapi alam kolar biru yang lasak, yang biasanya dijalankan oleh lelaki untuk sejemput rezeki. Dengan keadaan berani ini, sikap, pemakaian (sengaja kelihatan macho walaupun berbaju kurung), pendirian dan psikologi seksnya pun berubah, namun menjaga "tatasusila" (dipaparkan bilik sewa bujang wanita trang tang tang itu diharamkan dimasuki lelaki, hal yang mana sekarang tidak lagi diendahkan) maruah/martabat mereka sebagai wanita.

Dalam hal menarik ini, tetap, seperti biasanya Z. Lokman, kebodohan berlaku, dalam bentuk sktesa-sketsa, dan kita pun menyedari, di mana Razak Mohaideen dan Mamat Khalid mendapat inspirasinya. Namun ada juga sketsa yang menarik, seperti bagaimana dengan suntingan laju-gila ala Goddard, si pengejar pencuri yang mulanya mengejar dalam keadaan hutan batu kota lama-kelamaan dipenuhi pokok, rumput, dan akhirnya taman memenuhi mis-en-scene, menunjukkan "kemekaran" jiwa si pengejar itu melakukan hal yang murni dalam era orang mengejar duit. Kemudian, satu lagi, si lelaki yang melakukan kerja bodoh, membawa kambing ke kota, melepaskan ketidakpuas hatinya kepada pegawai kaunter tiket bas (seorang gadis) lalu menyampaikan pesan, "Kambing saya pun dah lari, tinggal tali aje." Si perempuan dengan kurang ajar dan selamba menjawab, "Ambik tali tu, ikat ke leher." Aku ketawa berdahak. Ya, ia tampak bodoh, tetapi jelas percanggahan orang kampung-kota, muda-tua, moden-ke belakang, sedang berlaku, walaupun keras, ia on your face dan sangat berani tanpa selindung lagi.   

Suatu lagi yang menarik ialah, terdapat watak mak nyah bernama Mimi yang mempunyai jalan ceritanya yang tersendiri. Dan ini yang mengejutkan (sungguh liberalnya orang zaman tu ya!) apabila dipaparkan (bagi aku hal ini hanya fantasi pengarahnya) si mak nyah ini, berserta dengan si perempuan muda dalam rumah sewa itu. Hanya yang sedar saja tau dia mak nyah kerana dengan biasanya, dia lepak, makan minum bersama, bercampur dan dijelmakan seperti seadanya wanita lain dalam rumah itu tanpa apa-apa konflik atau ketengangan perbezaan. Sampailah pada satu babak sewaktu si kaya "tidak menyedari" (lelaki dalam filem ini semuanya bodoh, semuanya tidak menyedari perubahan nyata dunia moden ini, sampailah kepada jantian manusia yang melata) yang dingoratnya mak nyah, si Mimi ini mula membuka identitinya kepada penonton. Si Mimi ini juga diberikan jalan cerita bercinta dengan mamat kacak pemandu teksi untuk satu durasi tertentu, tapi diakhirkan dengan sedih (seperti semua mak nyah hendaknya tidak akan mencapai cinta) apabila si lelaki "baru" menyedari Mimi mak nyah apabila terlanggar batu (slapstik yang keterlaluan) dan mengeluarkan suara "Adoi!" Lalu, dengan menjengkelkan lagi, Mimilah yang mengakhirkan babak, seperti sebuah filem Perancis buruk, meronta-ronta dalam laut (tiba-tiba lemas) lalu dikeluarkan (tapi tidak mati). Begitulah filem percubaan Z. Lokman meneliti semangat anak muda, khususnya gadis pada era 1980-an di bandar kecil Seremban.