Showing posts with label Z. Lokman. Show all posts
Showing posts with label Z. Lokman. Show all posts

02 December 2014

Bas Konduktor(1986)

"Jadi, kau masih daralah? Seronoknya!" - Mydin

Aku sempat menonton filem ini di Astro Prima. 

Filem ini dibikin dan ditayangkan pada era kejatuhan filem Melayu.

Aku jadi tertarik menonton filem ini kerana ada Rose Iskandar, aku peminatnya setelah menonton Kekasihku Seru. Aku teringat bagaimana filem ini pernah dikritik kerana memaparkan hal seks Melayu (bukan aksinya tetapi nuansa dan cakapan) yang berlebihan, seperti dialog di atas. Aku tidak menipu, memang benar, filem ini agak "moden" dalam keadaan serba "lama" era 1980-an, mungkin bukan dari segi Jins Shamsudin menayangkan si dara bodoh diubat lalu ditiduri dari disko, tetapi keberanian para gadisnya era ini menghadapi persoalan seks dengan begitu terbuka kepada pasangan berlawanannya, sesuatu yang mungkin baharu pada masa itu.

Tapi filem yang buruk plot dan naratif bersegmen-segmen ini (tiba-tiba seorang bintang terkenal rosak kereta di tengah jalan, cameo tentunya seperti Mokhtar Dahari dalam Mekanik), cukup jelas dengan beberapa situasi bodoh yang kita sedar wujud dalam filem trash John Waters, mempunyai, peliknya suatu penelitian realiti yang menarik (dan ini sahaja yang aku jumpa), yakni pada era ini, pencarian kekayaan atau materi tidak lagi berlaku di Kuala Lumpur, kota besar yang menjanjikan, tetapi kota kecil, dan di sini, Z. Lokman memilih Seremban, contoh sebuah kota transit yang (seperti yang ditunjukkan dalam filem) menjadi ruang transit ke kota besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Hal ini menarik sebagai suatu penelitian bagaimana hidup anak kota kecil daripada ruang kota yang lebih besar, yang selalunya sudah tentu akan mengaitkannya dengan suatu santun yang lebih baik. Hal ini diterbalikkan, mungkin ini yang dimarahi penonton waktu itu, apabila dipaparkan anak kota Seremban, muda mudinya, sama seperti anak kota Kuala Lumpur, berpeleseran malam-malam, ke disko, melepak, dan bersikap terbuka.

Filem ini entah sengaja atau tidak, juga CUBA memaparkan acara ngorat-mengorat dalam dua kelas, yakni cara orang kaya (yang ditampilkan oleh tauke bas dan tuan rumah, selalunya lelaki, berumur) dan orang kolar biru (kawan konduktor dan pemandu bas). Dalam suasana ini, ditampilkan pula (dan ini yang menarik) golongan gadis kampung yang datang ke kota kecil mencari rezeki, tinggal di rumah sewa, dan (ini mengejutkan!) membawa bas! Filem ini dengan sengaja menunjukkan, pada era ini, bermulalah, bukan sahaja para wanita memasuki alam profesional yang biasanya lelaki (walaupun para wanita kebanyakannya masih suri rumah) tetapi alam kolar biru yang lasak, yang biasanya dijalankan oleh lelaki untuk sejemput rezeki. Dengan keadaan berani ini, sikap, pemakaian (sengaja kelihatan macho walaupun berbaju kurung), pendirian dan psikologi seksnya pun berubah, namun menjaga "tatasusila" (dipaparkan bilik sewa bujang wanita trang tang tang itu diharamkan dimasuki lelaki, hal yang mana sekarang tidak lagi diendahkan) maruah/martabat mereka sebagai wanita.

Dalam hal menarik ini, tetap, seperti biasanya Z. Lokman, kebodohan berlaku, dalam bentuk sktesa-sketsa, dan kita pun menyedari, di mana Razak Mohaideen dan Mamat Khalid mendapat inspirasinya. Namun ada juga sketsa yang menarik, seperti bagaimana dengan suntingan laju-gila ala Goddard, si pengejar pencuri yang mulanya mengejar dalam keadaan hutan batu kota lama-kelamaan dipenuhi pokok, rumput, dan akhirnya taman memenuhi mis-en-scene, menunjukkan "kemekaran" jiwa si pengejar itu melakukan hal yang murni dalam era orang mengejar duit. Kemudian, satu lagi, si lelaki yang melakukan kerja bodoh, membawa kambing ke kota, melepaskan ketidakpuas hatinya kepada pegawai kaunter tiket bas (seorang gadis) lalu menyampaikan pesan, "Kambing saya pun dah lari, tinggal tali aje." Si perempuan dengan kurang ajar dan selamba menjawab, "Ambik tali tu, ikat ke leher." Aku ketawa berdahak. Ya, ia tampak bodoh, tetapi jelas percanggahan orang kampung-kota, muda-tua, moden-ke belakang, sedang berlaku, walaupun keras, ia on your face dan sangat berani tanpa selindung lagi.   

Suatu lagi yang menarik ialah, terdapat watak mak nyah bernama Mimi yang mempunyai jalan ceritanya yang tersendiri. Dan ini yang mengejutkan (sungguh liberalnya orang zaman tu ya!) apabila dipaparkan (bagi aku hal ini hanya fantasi pengarahnya) si mak nyah ini, berserta dengan si perempuan muda dalam rumah sewa itu. Hanya yang sedar saja tau dia mak nyah kerana dengan biasanya, dia lepak, makan minum bersama, bercampur dan dijelmakan seperti seadanya wanita lain dalam rumah itu tanpa apa-apa konflik atau ketengangan perbezaan. Sampailah pada satu babak sewaktu si kaya "tidak menyedari" (lelaki dalam filem ini semuanya bodoh, semuanya tidak menyedari perubahan nyata dunia moden ini, sampailah kepada jantian manusia yang melata) yang dingoratnya mak nyah, si Mimi ini mula membuka identitinya kepada penonton. Si Mimi ini juga diberikan jalan cerita bercinta dengan mamat kacak pemandu teksi untuk satu durasi tertentu, tapi diakhirkan dengan sedih (seperti semua mak nyah hendaknya tidak akan mencapai cinta) apabila si lelaki "baru" menyedari Mimi mak nyah apabila terlanggar batu (slapstik yang keterlaluan) dan mengeluarkan suara "Adoi!" Lalu, dengan menjengkelkan lagi, Mimilah yang mengakhirkan babak, seperti sebuah filem Perancis buruk, meronta-ronta dalam laut (tiba-tiba lemas) lalu dikeluarkan (tapi tidak mati). Begitulah filem percubaan Z. Lokman meneliti semangat anak muda, khususnya gadis pada era 1980-an di bandar kecil Seremban.

07 June 2011

Toyol Nakal(2011)

Toyol Nakal(2011): Perangkap Bikinan Filem Z. Lokman dengan unsur makanan, seks(!) dan kencing/berak, setentunya unsur alamiah yang mana-mana manusia tak boleh lari punya! - Gaya Z Lokman!



"Dia makan ayam bengkok, udang bengkok dan sotong pancut." - Pelayan Kedai tepi pantai KK



"Anak aku tu memang toyol, kepala botak takde bulu!" - Tuan Ali Shahbana




Jangan terkejut, kalau aku cakap, dalam dunia serba kompetetif, Cyberjaya dan pascaPPSMI ini, masyarakat kita secara dasar masih terikat dengan tradisi lucah Melayu dan lawak kekampungan (hal ini bukan suatu kejian). Ini dapat kita lihat dalam minat kita terhadap mainan lawak "mak cik-mak cik kampung mengumpat" dan "bini nak lahir anak" di kampung yang dibawa oleh Sepah dalam Maharaja Lawak, melebihi sofistikasi dan lawak intelektual yang ada dalam lawak solo Nabil tentang bahasa rangkaian sosial dan teknologi (orang tak faham sindiran Nabil terhadap penonton kita yang menonton Kardishian wa cakap lu!) Ini lumrah. Kadang-kala, ada unsur dalam diri kita yang tidak akan berevolusi. Ini namanya budaya.



Z. Lokman dikenali sebagai pemutar bahasa imej lucah (atau seks ala Melayu) di dalam filemnya. Gayanya bad taste, punya semangat antara terang-terangan John Waters dan bikinan filem main tangkap muat murahan Ed Wood. Jika Razak Mohaideen merupakan "sofistikasi" terhadap lucah-kampung masyarakat Melayu, Z. Lokman ialah versi "poor man"nya. Ya, hal ini pun, walaupun aku tidak suka, aku terpaksa mengakui kelegendaannya (sebenarnya, Z. Lokman pernah membikin sebuah filem yang bagus dan mendapat pujian pengkritik, filem pertamanya!)



Suatu hal tentang pengarah, mereka selalunya berkembang dan menjadi lebih baik, lebih sofistikated, atau lebih "gelap" (tetapi ada juga yang makin bebal, contohnya Spielberg di era sekarang). Lihat sahaja John Waters dengan filem-filemnya sekarang yang tetap keras dengan impak mesej sosialnya, hanya "pembikinan" khusus teknikalnya yang "jauh lebih baik". Kini, penonton agak susah bila menonton filem Waters dan menggelarnya "trash".



Hal ini tidak berlaku dengan Lokman. Contohnya, filem ini. Ini sesuatu yang, aku fikir, unik untuk Z. Lokman untuk memerangkap dirinya dalam mileunya (80-an: rujuk babak Julie Ziegler dan kakanya bersolek ala 80-an di pasar raya!!!) dan "ciptaan cult" (tapi siapa je yang layan filem Z. Lokman?) yang dilakukannya. Segalanya yang anda benci terhadap filem Melayu 80-an ada dalam filem Z. Lokman ini; paparan kamera tak bermaya, suntingan lari (tapi sampai sekarang pun ada kan?), suara rakaman, tata suara lari habis(!), lakonan hancur, pelakon berdiri tanpa apa-apa makna, orang lalu-lalang tengok kamera, dan babak-babak lagu yang tiba-tiba. Pendek kata, filem ni nampak sangat murahannya.



Paling mengejutkan (atau menakutkan), berlaku beberapa babak kencing yang tidak pernah dibikin pembikin kita sedar zaman Senario Lagi (alah, babak Yasin minum "macam pernah aku rasa air ini.." tu). Anda sudah diberi amaran: Anda akan melihat, si toyol kencing (gila!), wanita gemuk pegi kencing (dan ada orang nak skodeng tanpa apa-apa maksud kecuali kehendak seks!), Joey Exist yang kita ingat mimpi basah tapi kena kencing toyol(!), seorang lelaki kencing macam anjing (babak ini setakat ini merupakan babak "trash" John Waters kita yang paling menakjubkan!) dan akhirnya, Z. Lokman sendiri kencing dalam seluar!!! Ok, aku serius ni, paparan imej dalam filem ini, melainkan ianya memang "main-main" atau ada kaitan dengan bomoh kencing (yang berkait juga dengan pembikinan filem? Filemkan buat cerita "kencing", yang bermakna "menipu") atau subplot si Joey dan Toyol yang bekerja sebagai pencuci kereta (atas sebab itu ada main pancut-pancut air). Apa-apa pun, dengan sedar atau tidak, Z. Lokman sudah menyatakan, filem ini sebuah filem "kencing".



Ada yang mengatakan, filem ini lebih hancur daripada 2Alam. Beb, filem tu memang filem laknat (arahan anak Z. Lokman, yang juga bersongkol bikin filem ini) tetapi mengaku "besar" dan penuh permata. Filem ini, sekurang-kurangnya dah maklum kepada penonton, "Weh, aku trash, kau nak sama-sama kencing tak?" (kalau filem John Waters ia akan berkata: "Nak makan tahi anjing sama-sama aku tak?") Awal-awal lagi, Z. Lokman sudah beri amaran ini dengan paparan babak awal: kita ditemukan dengan watak Joey Exist dan Toyol (aku tak ingat nama budak celaka tu) di dalam bot pelancong yang sedang mengelilingi Kota Kinabalu. Tiba-tiba (dengan lakonan yang amat lemah) pembesar suara si pegawai pelancong rosak. Kita "dimatikan" suara si pegawai (orang berautoriti). Kita faham, menonton filem ini tanpa suara (poin: filem bisu, yang mana kita faham berkait dengan slapstik, atau tidak ada maknanya pemberian "mesej"). Kita tidak perlu berfikir! Sekali lagi poin ini dibawa (dengan babak tengah-tengah yang tiba-tiba! Sangat John Waters era awal!) apabila sekumpulan pembikin filem (murahan: kita tahu, ini penanda pembikinnya) yang tangkap muat, sedang bikin filem di tepi jalan! Si pengarah suruh watak dalam kameranya "berlaga". Pembaca skripnya kata, "salah, manusia bertarung, haiwan berlaga." Si pengarah menjawab: "Dalam filem, apa-apa bahasa pun boleh guna asal orang faham maksud yang sama." Serius! Inilah falsafah Z. Lokman yang berani: kau buat filem kencing murahan macam celaka pun, ia tetap filem.



Malah filem ini juga tidak lari dari imej makanan, seks dan buangan isi badan. Jika anda hendak baca "seks" berlaku dalam filem ini, rujuk saja babak "tarian" dan "lagu". Ya, inilah contoh betapa "dated"nya filem ini (tetapi anda pernah tanya, kenapa tarian dan lagu dikaitkan dengan persona seks?) Menariknya, itulah unsur-unsur "asas" jika kita belajar falsafah, yang mana "memenuhi keinginan hawa nafsu manusia" yang asas. Jika kita teliti betul-betul filem ini, kita akan lihat bagaimana Z. Lokman hendak ber"cerita" bahawa strata kaya atau miskin, unsur-unsur itu "tidak lari" daripada memerangkap pengalaman manusia seadanya, hanya bagaimana perspektif dan kelainan sikap manusia melihatnya "membezakannya" (seorang boleh saja kencing tepi jalan sebagai tanda dia "merdeka diri", seperti watak Toyol dalam filem ini, tetapi orang berakal, seperti Joey yang merlihat ini merasakan orang yang kencing tepi jalan "tidak ada sivik"). Aku terpaksa akur, ada "pemahaman dalam" untuk Z. Lokman berbuat begitu walaupun dalam kecelaruan dan kelihatan "out dated".



Dan berbeza dengan 2Alam, sekurang-kurangnya ia mempunyai cerita! Kau boleh bayangkan kisah hikayat lama, bercampur kisah sosial (pertarungan pelbagai kelas yang Amir Muhammad selalu idam-idamkan!) yang pernah ditulis oleh penulis Peranchis! Si Toyol merupakan anak orang kaya, yang mana atuknya merupakan bomoh kencing yang baru ditangkap polis kerana merogol isteri orang (kelas menengah). Toyol membenci ayahnya (sebab itu dia sentiasa larikan diri) sejak ibunya mati, dan mempunyai sikap kebencian seks yang kuat terhadap ayahnya. Peliknya, sikap ini AMAT homoseksual (Toyol memerlukan watak lelaki tua untuk bersamanya, kerana dia tidak ada ayah, dia bertemu dengan Joey dan "tidur" bersamanya. Toyol juga disengajakan "botak" kerana atuknya suka, dan seperti kata ayahnya: botak takde bulu yang sebenarnya dibaca sebagai simbol kote. Maka Toyol merupakan "the walking penis" dalam masyarakat). Pada malam pertama si ayah dengan isteri mudanya, Toyol jadi "tidak keruan" dan "cemburu", lantas melarikan rumah sekali lagi dan hidup seperti gelendangan. Toyol ketemu Joey dan bersahabat dengannya (Joey yang membenci sikap Toyol yang suka mengacaunya tetap menyayanginya). Homoseksual Toyol ini boleh dibaca lagi apabila setiap kali Joey bertemu dengan penanda Yoni agungnya, Julia Ziegler yang buta, Toyol akan "kacau" dengan baling bola terhadap Joey. Suatu hari (setelah entah apa-apa pengembaraan yang "dua hero" ini lalui di dunia kelas marhaen), untuk membalas budi Joey, Toyol telah membawa Joey ke rumahnya, lantas Toyol masuk ke dalam rumahnya dan mencuri harta ayahnya! Tetapi Toyol ditangkap oleh ayahnya (apabila ayahnya tanya kenapa dia curi, dia jawab: Kan ayah nak saya jadi toyol, dan sekarang saya dah jadi toyol betullah!) sedang duit itu sempat dibawa lari oleh Joey. Joey memberi duit itu pula ke Julia Ziegler agar dia dapat mengubati butanya.



Lihatlah fantasi "pemberian sang kaya kepada si miskin" yang berlaku di atas!



Ya. Aku terus-terang (kecuali dengan babak toyol betul dalam filem ini, yang itu just plain ridiculous), jika filem ini lebih dikawal, lebih dibikin dengan betul, diikatkan dengan logik yang mapan terhadap suasana dan filem, dengan membuang babak-babak tidak perlu dan melewah, diangkat dengan teknik yang kena pada belanjanya, filem ini akan menjadi lebih baik. Malah ia sudah dekat mahu mendekati beberapa filem Peranchis yang aku tonton tentang kecelaruan strata sosial.



Lihat sahaja antara babak terakhir filem ini. Kita sudah kenal, dengan paparan awal, kita dipertunjukkan dengan keindahan alam Kota Kinabalu dengan gunung-ganangnya. Di babak akhir, tiga orang buta (rujuk puisi Three Blind Mice sebagai paparan absudisme dalam hidup yang tidak dapat kita sangkakan) saling berpegang akan sampai ke tebing sebuah pantai di K.K. Mereka sedang "menghirup keindahan alam" seakan-akan celik, seabsurd puisi Three Blind Mice. tetapi, sudah tentu, hal seindah dan pilu ini, akan hilang dalam imej kata, kerana cara Z. Lokman, yang masih terperangkap dalam mileunya, tidak mahu melarikan diri daripada tatapan suara lemah, aksi entah apa-apa, lakonan hancur, babak tiba-tiba, slapstik lucah dan bikinan main-main murahan. Estetika yang dibawa jadi sia-sia sahaja.