20 May 2014

Perca Mei 2014: Hantu dan Cannes

Aku memulakan kembali tradisi "perca-perca" ini kerana beberapa sebab, selain daripada menyedari tidak ada apa-apa yang menarik lagi berlaku dalam wayang kita, namun sebab walidnya adalah kerana cadangan pengkritik filem tersohor, Nazim Masnawi, agar aku himpunkan apa-apa sahaja yang aku tonton dalam bulan Mei (atau sebelumnya) sebagai catitian dan perkembangan filem tempatan (atau sedikit dari luar). Aku menolak mengulas sangat filem Hollywood kerana sudah berjuta ulasan di luar sana yang ditulis oleh pengkritik pakar atau amatur dalam pelbagai bahasa, baik dalam bahasa kita ataupun luar, dan ia tetap gergasi (seperti Godzilla) yang walaupun bodoh, lemah, dna membosankan, mempunyai lebihan lemak dan "kondisioner makanan yang dibenarkan" dan terus ditunggu-tunggu dengan rakusnya oleh para penonton (aku tidak menolak ada yang bagus, aku suka Captain America II yang membantai Robert Redford lambang hero Amerika era konspirasi 1970-an). Hanya jika, ada filem tempatan/luar yang tampak jelas (aku sebenarnya mahu sangat menulis tentang filem terakhir Hayao Miyazaki, tapi sekarang sudah malas) perlu aku rekomendasikan untuk tontonan, akan adalah satu ruangan khas biasa untuk filem tersebut.


Judul filem "usahasama" pelakon Vietnam dan Adam AF arahan Yusof Kelana itu pun sudah aku lupai. Yang aku tidak dapat lupa ialah lakonan kaku, suara berdenting, dan ombak menghempas pantai yang membosankan, dan sebutir kalung berkilauan. Kemudian Kita ada Cara Mengundang Hantu(2014) yang diarahkan oleh pengarah yang kita amat berharap sebagai pengarah harapan negara tapi jadi hampa berkali-kali setelah kegagalan beliau mendekati kehebatan filem pertamanya, Pensel, M. Subash. Dalam filem ini, penyelamatnya hanya lakonan Mariani dan Ruminah Sidek yang dimasukkan untuk mereka bercakap tentang dunia muda sekarang yang hancur dan individualistik. Selain itu, kita disogokkan kembali dengan sikap Weird Tales dengan tebaran didaktik dan moralis yang mana, si hantulah petunjuk jalan/penghukum moral kepada kepincangan masyarakat sekarang, kononnya. M. Subash menarik hanya kerana satu perkara: kisah-kisah beliau, semuanya diambil daripada dunia marhaen, terpinggir, dan orang miskin kalangan luar dan dalam urban. Jika gerak M. Subash betul, dengan penulisan plot dan cerita yang teliti (dan berhenti menyuapkan dua tiga cerita dan memanjangkannya dengan alasan kononnya ini filem seni) M. Subash akan menjadi suara "sinema orang miskin" kita yang tersendiri, namun, alas, nama tinggal nama, sikap kritikan malah kemarahan Subash dalam filem ini (terhadap songsang sosial dan kelas atasan) dirasakan dibuat-buat dan membosankan, walaupun terdapat satu dua babak seram yang menarik dalam bajet rumah setinggan.



Metrowealth, aku rasa telah mencipta anak syarikat, Mangkin Prestij, kerana Ia Wujud(2014) jelas mempunyai kapasiti dan pembawaan "lahir" daripada rahim MiG. Mungkin penciptaan anak syarikat ini menarik, seperti Alaf21 dengan Buku Prima, atau Fixi dengan Lejen. Maka, mereka akan membikin filem "amatur" atau "bebas" (indie) yang lebih bersifat eksperimental dan terkeluar daripada cengkaman kapitalis MiG (harap-harapnya). Aku kirakan hal ini menarik. Memang, babak 10 minit awal filem ini menjanjikan hal itu, berpura-pura kepada kita bahawa "ini sebuah lagi filem kamera goncang" yang kelihatan amatur tetapi terasa babak "realis" yang hendak dibawa. Ada satu dua bahagian yang penting menunjukkan/menyatakan dengan sedar akan hal ini, seperti si Mat menjerit sambil kameranya zoom in, "Ha, kau nak sangat fokus, meh sini aku fokus .." yang menjadi in-joke filem ini sendiri (kerana mereka terkinja mahu melihat hantu). Kemudian terdapat lawak seks secara kias yang berlaku kerana tiadanya watak seks atau jantina wanita sebagai objek seks, maka si gay/pondan Anam berceloteh terhadap budak Sabah, Tom, "Dia nak bagi ikan terubuk masin kot .." pada satu babak, yang jelas, kod-kod seksual yang berterabur dalam filem ini (dan aku agak tak faham mengapa filem ini lepas P13). Ironinya, sikap found footage itu melepas hilang apabila di tengah-tengah filem kita hilang rasa peduli terhadap watak, yang pada waktu itu kita bermain teka-teki jika mereka hanya pelakon amatur atau benar-benar melalui hal ini (yang pada masa itu kita sudah pun tidak peduli). Terdapat tiga pekerjaan khurafat yang dilakukan oleh lima budak biol (5 idiots) untuk melihat hantu, cari fasal, dan kena rasuk (tau takpe). Sebenarnya, awal filem ini, dengan celoteh lima budak bodoh tanpa haluan hidup ini (membayangkan wayang kita sekarang) sungguh melucukan, mengingatkan aku pada layar Mystery Science Theatre 3000, dengan mencemuh perkara yang mereka buat dengan sendiri tanpa perlu bantuan penonton. Namun janji tinggal janji, filem ini tidaklah seseram mana, hanya kekuatan berlaku kerana suara kesan khas yang kuat dan tersusun tapi tanpa apa-apa maksud yang lain.

Awak Nak Kahwin dengan Saya? (2014) = Awak Nak Tengok Filem Saya? No!



Begitulah. Hanya mungkin, eloklah aku sentuh sedikit tentang The Wind Rises(2014), filem yang disalahertikan oleh kebanyakan pengkritik di Hollywood, sampaikan pelobian filem ini pada anugerah Oscar kalah dengan filem lembik seperti Frozen (Frozen menarik tapi bukan terbaik, dan lagu itu, menjengkelkan). Filem ini dengan jelas merupakan filem peribadi Miyazaki dan apa yang Miyazaki hendak jelaskan tentang animasi, lebih daripada filem. Jiro Horikoshi dalam filem ini (tokoh sejarah yang mencipta kapal terbang perang, Zero) merupakan ciptaan fiksyen Miyazaki dalam menyampaikan maksud bagaimana mimpi/imaginasi/angan-angan diciptakan menjadi suatu karya yang indah, dan ini menggolongkan bahawa karya ciptaan inilah citra jati diri estetika Jepun yang paling tinggi. Persoalan ini dapat ditangkap dalam bayangan bunga sakura yang dipandang sebagai "keindahan tertinggi" dalam budaya Jepun. Fenomena sakura, bunga yang mekar dan gugur pada musim bunga itu mempunyai jangka hidup yang amat pendek, jadi pemerhatian masa itu dianggap "bernilai" bagi orang Jepun untuk melihat karya alam yang tumbuh dan gugur dalam masa yang tertentu (yang dapat juga membawa nasib baik). Hal ini dibayangkan dalam tekal dan cita-cita Jiro, daripada inspirasi tokoh kapal terbang Barat, Caproni (kita juga tahu Miyazaki terpengaruh kuat dengan Disney) untuk mencipta kapal terbang perang Zero. Zero dicipta dalam keadaan yang begitu genting, sewaktu kekasih Jiro sendiri (dalam riwayat sebenar, isteri yang dikahwini tidak meninggal) sedang tenat sakit dan Jepun di ambang Perang Dunia Kedua. Zero yang dicipta memang begitu indah, bukan sahaja menjadi wadah kebanggaan orang Jepun dalam bidang kapal terbang/peperangan tetapi alusi kapal terbang itu merealisasikan "lakaran" Jiro kepada sesuatu yang sungguh indah, yang menyamai maksud animasi yang dilakarkan atas kertas yang kemudiannya dikembangkan dalam bentuk layar yang indah. Kemudian, dengan sedikit sombong, Miyazaki dengan jelas menyatakan hasil karya ini (dan sejarah filem animasinya) sememangnya suatu "seni" yang menyamai kekejapan masa sakura yang kembang lalu gugur dari pokoknya. Ini jelas apabila kita sedar Zero yang dicipta cantik benar itu menjadi luput (obsolete) selepas Perang Dunia Kedua, yang jelas disampaikan oleh Miyazaki pada babak akhir filem ini apabila Jiro memasuki semula alam mimpi bertemu Caproni untuk melihat Zeronya terbang kali terakhir setelah terkubur bersama-sama barang perang lain di suatu ruang dalam mimpi. Lalu Jiro menyatakan, "Saya berharap ini (Zero/karya ini) memuaskan .." lalu berlalu pergi, yang kita dengar, suara Miyazaki berkata, sebelum dia juga memasuki alam "mimpi"nya, bahawa segala yang dia sudah lakukan untuk Jepun/dunia, semoga ia memuaskan, dan alangkah terpuasnya kita akan detik seni yang diatur oleh sang animasi besar Jepun ini.

Selain daripada itu, aku menyedari bahawa kita di Malaysia kekurangan kuasa peranan pengkritik kerana pihak yang sepatutnya meraikan pengkritik tidak meraikannya, ini bukan fasal aku dan kawan-kawan. Aku menyedari ini apabila melihat kawan Thai aku, Kong Rithdee yang merupakan pengkritik filem tersohor dari Bangkok yang menulis dalam The Bangkok Post yang kadang-kadang diundang untuk menulis dalam beberapa projek khas himpunan ulasan filem, dan khususnya majalah terkemuka BFI, Sound and Sight. Kong pun bermula hanya sebagai wartawan yang diberikan ruang biasiswa bengkel kritikan filem dan kini, antara pengkritik filem tersohor dunia. Ini kerana The Bangkok Post memberikannya ruang, dan terdapat dana khas(?) yang melayangkan Kong ke Cannes, setiap tahun agar Kong membuat laporan berkenaan tayangan filem di sana. Apa-apa yang ditulis oleh Kong, setiap hari akan tersiar dalam web akhbar Inggeris milik Thailand itu. Kadangkala Kong akan rekomenkan filem asing untuk dibawa masuk ke Thailand, walaupun mungkin pihak pengedar/kerajaan tidak peduli pun untuk membawanya, Kong sudah pun menyatakan dua patah katanya. INIlah kerja pengkritik filem sebenar-benarnya. Aku tertanya-tanya, adakah pihak media massa kita melakukan hal yang sama? Adakah pihak tertentu mempunyai dana untuk menjalankan kerja sebegini, jika pun bukan Cannes, bagaimana pula dengan festival filem dalam rantau ini seperti yang dibuat dengan baik di Jogjakarta, Jakarta, Bangkok, kalau tidak pun, Singapura. Tapi jangan terkejut, apabila terdapat festival filem "antarabangsa" yang pernah dibikin di Malaysia Barat sendiri yang langsung ditutup sebelah mata oleh media massa perdana kita! Inilah masalah kita sekarang, kita benar-benar tidak memahami apakah itu peranan "pengkritik filem". Ya, bukan menghentam filem sesedap rasa, tetapi memilih beberapa judul filem dalam tahun itu, baik dalam himpunan tayangan (hanya di Hollywood dapat lakukan ini) untuk pengkritik ataupun dalam festival, buat pengkritik mengulas dan menyatakan haknya, filem apa yang dipilihnya dan filem apa yang dia minta "dijauhi". Inilah lempangan terbesar untuk Festival Filem Malaysia yang merupakan acara temasya besar-besaran yang kosong tanpa suatu tujuan menyemarakkannya untuk tontonan/pasaran luar. Di sinilah, kita fahami, mengapa artis Bollywood yang berbau dan hidung tinggi itu datang ke Genting, contohnya untuk suatu majlis "festival filem" Filmfare Awards, dan entah berapa negara lagi, sudah tentu agar merakyatkan filem mereka dan menyatakan "filem ini untuk anda juga". Tapi aku faham, berkatalah kita macam-macam untuk masa hadapan wayang kita, namun sosok seperti Jurey Latiff masih bergaduh tentang hak si penganjur dan merajuk kalau tidak dipujuk. Entah ke mana wayang kita dengan keadaan "nak jaga hati" kumpulan para pemain industri sebegini.

No comments: