14 May 2014

Drama Siri Kekasihku Seru: Menyeru Kembali

"Ke mari, Mas!" - Waris

Yeap, kalau kalian yang mengikuti blog aku, kau tahu betapa frantiknya aku dengan drama siri ini (aku lagi suka panggil istilah drama siri daripada drama rantaian), yang juga telah memenangi "drama rantaian terbaik" pada malam Anugerah Skrin 2009.

Minggu lepas, aku terjumpa dengan DVDnya di Speedys dan aku tak ambil masa untuk terus mencekup dan membelinya. Segila itu (walaupun ada kawan dah tolong muat turun dan salinkan dalam CD). Memang sedikit kecewa apabila mendapat tahu DVD ini tidak memotong bahagian awal (maklumat teknikal episod), tidak membubuh sari kata, dan tiadanya "bikin drama" francais ini seperti dalam versi DVD Singapura (jika aku tidak silap). Tapi cukuplah mengujakan apabila aku dapat kembali menonton drama pasangan Kabir-Mira yang baik ini. Aku juga mendapati, beberapa episod telah ditulis dengan baik oleh Nik Naemah Najad (aku harus ikuti penulis ini) dan episod terakhir musim ini (drama siri ini mempunyai dua musim, keduanya dijudulkan sebagai Waris, yang aku tunggu juga DVDnya) turut ditulis oleh Kabir sendiri.

Memang biasa, terdapat beberapa kekurangan jika ditonton beberapa kali, terdapat suntingan yang keras, runut bunyi yang terlalu, suara yang pudar, pencahayaan yang kadang-kadnag samar dan terlalu gelap, namun secara keseluruhan, produksi dan pembawaan drama siri ini merupakan antara yang terbaik, dan seperti yang aku kata, berjaya melanggar beberapa garis panduan yang pernah dinyatakan oleh Lembaga Penapis Filem Negara, dan aku gembira mereka menutup sebelah mata kerana ini. Terdapat yang jelas: hantu keluar dari kubur dan penggunaan azimat/tangkal pemberian ustaz. Kemudian ada yang samar-samar tapi sangat intrig dalam hal agama: orang alim agama meminta nasihat bomoh ilmu hitam untuk mencari cara menyelesaikan masalah saka, penggunaan jawi dalam penglibatan ilmu hitam (!), perlakuan watak yang jelas tidak solat dalam adegan, hantu (roh?) tidak tenteram yang mengganggu. Namun inilah kehebatan drama siri ini, melengkuk dan menyusur masuk ke dalam beberapa ruang tabu dan menjadikannya "perdana" tanpa disedari penonton/KDN. Dan ini dilakukan dengan amat kreatif dan kena sekali oleh penciptanya.

Penggambaran oleh Mohd. Nor Kassim juga jelas memperlihatkan percubaan yang bersungguh dalam mengulit gerak arah Kabir dan pancacerita Mira Mustaffa. Segalanya mempunyai maksud dan segalanya menyampaikan cerita dan debaran.

Ceritanya tidak sahaja sebuah cerita saka yang biasa (seperti yang terdapat dalam beberapa slot Seram lain yang entah apa-apa kadang-kadang) tetapi mempunyai perkara lain yang menjadikannya sesuatu yang amat elok dikupas dan dinilai dalam beberapa disiplin, malah dapat dilakukan suatu kajian, dan bagi aku, inilah kekuatan Kekasihku Seru


(yeap, aku buat sendiri, meneliti pertalian dua keluarga, satu yang disumpah dengan saka, satu yang menjaganya)

Jelas, kisah Marisa yang mencari "asal usul"nya mempunyai pertinjauan panjang dengan maksud "asal usul" dalam kebiasaan kisah dan sastera orang Melayu, malah asal usul merupakan antara citra jati diri penting (dan oleh sebab hal ini juga berkaitan dengan maksud bumiputera dan tanah tumpah asal) yang membayangkan suatu sejarah yang panjang dalam keperibadian orang Melayu terhadap tanahnya. Asal usul ini pula amat berkaitan dengan hal keturunan yang juga dalam hal ini, berkenaan sumpahan, atau dalam maksud drama sini ini, saka. Saka itu sendiri suatu "diwariskan turun temurun", yakni suatu kuasa ghaib yang terikat dengan perjanjian hitam keluarga itu, dalam kira melindungi dan memberikan apa yang diperlukan oleh keluarga itu. Marissa membuka kotak, membaca buku peninggalan Mas Suri, membuka sejarah dan sekali gus "asal usul"nya (Marissa mulanya hanya mahu mengenali siapa ibu sebenarnya sahaja) sebagai suatu rentetan peristiwa yang panjang dalam hal "kepunyaan" (Waris memegang pada janji bahawa kekasihnya, Mastura miliknya sampai mati/kiamat, alegori ini menyerupai perjanjian setan ala filem Barat atau "contract with the devil"), melepaskan (keturunan Marissa banyak menonjolkan sikap melepaskan ini, yang bukan sahaja membayangkan harta, tetapi nyawa dan kasih sayang, yakni terhadap anak) dan pengorbanan (arkataip Mas Suri yang dilakonkan dengan sungguh berkesan sekali oleh Umie Aida melakukan pengorbanan tertinggi dalam strata keluarganya atas beberapa sisi yang amat menarik dan menyoal ruang lingkup feminismenya).

Memang, dalam segala permulaan, seperti Adam dan Hawa, ia bermula dengan selembar kain putih (innocence), dan drama siri ini dengan sejarah panjang keturunan Marissa juga begitu. Mastura (moyang tertua Marissa yang memulakan sumpahan Waris) tanpa dia sedari, menayangkan campuran sikap nafsunya dalam maksud yang dia fikirkan "cinta"nya kepada Waris. Atas dasar nafsu dia membunuh ayahnya (adakah juga atas dasar cinta hal ini?). Apakah maksud dan ruang lingkup cinta dan bagaimana bila ia bercampur nafsu? Mira dan Nik Naemah berjaya menayangkan hal ini dengan teliti dan halus mengikut pemahaman Islam, yakni cinta sebenar terkawal dan menyeluruhi sesuatu yang tidak membelakangkan Tuhan/Rasul/Agama/Ibu bapa, sedangkan apabila termasuknya nafsu, segala batasan dan halangan daripada agama/institusi sosial akan dilanggar. Marissa membunuh ayahnya kerana itu demi menjadikan mayat ayahnya sebagai galang ganti jelmaan Waris si kekasihnya. Tidak mengetahui, jelmaan itu hanya jelmaan, bukan kekasih manusianya yang sebenar (sesungguhnya roh itu milik Allah jua). Ayahnya, Mas Sohor juga mengungkapkan, "Ayah sudah silap membesarkan kamu dengan kemanjaan, ini rupanya balasan Mas
kepada ayah," sebagai maksud halangan itu yang dilanggar oleh Marissa atas dasar cinta/nafsu. Ini menarik dari segi suatu lagi lingkungan, yakni perbezaan sosial.

Dengan jelas, drama ini mendefinisikan perbezaan sosial yang jelas pada awal masa Mastura-Waris. Ayah Mastura melihat "buruk"nya Waris kerana status sosialnya. Waris anak kepada seorang alim yang miskin - ulama pada masa itu merupakan suatu status yang tidak dipandang jika tiada harta atau tiada berkedudukan bersama raja/pembesar, maka boleh disedari, zaman itu dikonsepkan oleh Mira/Kabir bahawa masyarakat melihat harta dan kedudukan sebagai berstatus, bukan orang berilmu. Mengikut sejarah, hal ini sedikit demi sedikit berubah jika dilihat pada cara siapa anak cucu Mastura berkahwin. Namun paling jelas, setiapnya masih menjaga "nama baik", seperti bagaimana Mas Juita (lakonan berkuasa Betty Benafe) yang berkahwin dengan seorang pemimpin/pejuang politik kampung itu, Syed Ali pada waktu itu (era 1930-an) yang mana golongan itu merupakan golongan yang "terhormat". Hal ini disamarkan pada era Mas Suri (Mas Suri melakukannya atas dasar yang lain, bukan kerana cinta) dan dengan lebih jelas pada masa Marissa yang mengahwini Rashad, cicit piut Waris. Keadaan moden ini menunjukkan bagaimana maksud "status" tadi sudah berubah dari zaman ke zaman, malah bukan lagi maksud ilmu/harta/kedudukan dilihat tetapi pengisian emosi untuk kepuasan/ketenangan watak wanitanya. Dengan menarik lagi, pada zaman moden pula, status kedudukan/harta keluarga Mas Suri dibentak sebagai "buruk" kerana ketiadamahu keluarga itu bercampur dengan orang kampung. Agama menjadi dasar yang menambahkan lagi kesamaran identiti keluarga Mas Suri: lebih-lebih adegan tragedi dan kematian di kampung dilihat sebagai petanda "sial" dan "ilmu hitam" keluarga Mas Suri. Malah berlaku beberapa kali (lebih-lebih lagi watak Murad) yang menerpa masuk dan mengacau ruang Highland Estate keluarga Mas Suri. Sistem zaman itu diikat dengan undang-undang (seperti yang dijelaskan oleh si polis), tetapi dengan selamba dihentak oleh Murad dan orang kampung. Kedudukan dan harta sudah menjadi persoalan kedua (peralihan era feudal ke era demokrasi moden).

Hal ini dengan lebih menarik jika kita renungi maksud feminisme dengan citra watak wanita beberapa keturunan Marissa, yang kesemuanya secara tidak sengaja menonjokan watak-watak wanita yang kuat, yang bermula dengan Mastura yang jelas melanggar "adat" zaman itu dengan "berkahwin lari" dengan Waris. Sifat menyampaikan emansipasi dan keinginan wanita ini jelas dalam Mastura, walaupun tindakannya negatif. Masita (lakonan mengagumkan daripada Dira Abu Zahar), anak Mastura juga menampilkan watak wanita yang kuat walaupun terlingkup dalam pengaruh negatif Waris. Mas Juita merupakan antara watak yang terkuat kerana pada masa dialah, pencarian cara membunuh Waris diteliti. Mas Juita menonjolkan bukan sahaja pendirian yang dapat menentang lelaki (Waris) tetapi terikat dengan maksud agama. Anak Mas Juita, Mas Dahlia (Raja Ilya) pula jelas sebagai seorang feminis (tidak memerlukan lelaki) yang mementingkan harta sebagai maksud status wanita yang sebenar. Dia sanggup berkahwin hanya kerana memenuhi syarat Waris (untuk kekalkan milikan harta) malah Mas Dahlialah yang telah membelanjakan harta pusaka ibunya dan membesarkan empayar ekonominya dengan membina Highland Estate. Dan sudah tentu, citra Mas Suri merupakan watak srikandi yang diidam-idamkan, mendekati suatu gambaran watak wanita Melayu yang sempurna dalam segala maksud agama, adab, dan bijak. Marissa mengambil kebanyakan nilai ibu kandungnya dalam dirinya.     

Dalam persoalan besar cinta dan nafsu, drama siri ini dapat membayangkan maksud ini dengan subtle yang indah sekali, yakni perubahan dan sikap wanita terhadap lelaki dan perlakuan ini berubah apabila terdapat konotasi "anak". Di sinilah persoalan feminisme tadi dimasukkan. Watak seperti Mas Lela dan Mas Ayu pula ialah contoh yang menyerupai sedikit seperti Mastura dan kemudian, Masita (yang benar-benar mencintai Waris sampai mati), mereka diperlakukan sebagai watak yang lemah kerana mudah dipengaruhi Waris, malah menyatakan dengan jelas beberapa sikap nafsu yang melampaui batas agama (hedonis, zina, membunuh).

Dengan sendirinya, drama siri ini sudah membentuk suatu bulatan analogi tentang maksud feminis kuat yang merangkul nilai cinta yang sebenar dan pencampuran, atau kekeruhan suatu maksud cinta itu apabila dilempiaskan dengan nafsu. Menariknya, Kabir tidak menyalahkan, contohnya, mengapa Mastura atau Masita melakukan apa yang mereka lakukan kerana nafsu, tetapi menjelaskannya kerana mereka manusia, dan ini membuatkan gambaran watak mereka kuat dan membumi.

Menariknya, Mira dan Naemah menyentuh hal-hal yang tersalut diam dalam budaya, sastera, falsafah, dan cara hidup Melayu dengan begitu berkesan sekali, lebih-lebih lagi dengan ruang samar antara realiti dengan ghaib (kita tidak gunakan maksud fantasi kerana dalam ilmu Melayu, hal ghaib ini benar, sepertimana dalam Islam yang mewajibkan kita mempercayai fenomena ghaib), malah di sinilah kekuatan drama siri ini berbanding dengan slot drama seram yang lain (mungkin kecuali Tower 13 yang mempunyai kekuatannya yang tersendiri). Persoalan seperti "tujuh keturunan" terselit indah dalam maksud tujuh keturunan Marissa (sebab itu wujud sekuel drama ini, Waris, jika dilihat bila sumpahan saka itu bermula), yang kepercayaan Melayu bahawa dalam keturunan ketujuhlah di mana suatu perkitaran akan berubah atau sumpahan hilang atau diminta kekal semua (contohnya, dalam sumpahan Mahsuri yang berakhir pada keturunan ketujuh). Kemudian, terdapat banyak lingkungan mainan budi yang dimainkan, suatu maksud adab yang lembut dan halus dalam falsafah Melayu, dengan keadaan ruang lingkup dan ruang tempat yang jelas berlaku antara Mas Suri dengan Marissa. Dengan jelas, konsep kurang ajar banyak kali dimainkan, yakni antitesis terhadap kurang adab. Adab merupakan suatu "ketertiban" yang sudah tersua dalam falsafah Melayu yang diikuti (jika tidak diikuti, padah), dan ia terpancar dalam muamalat, niat, pekerjaan, ilmu dan pelbagai hal bangun tidur orang Mekayu. Dengan jelas, Mira bermain dengan maksud adab yang dikacau seawal Mastura mengacau maksud adab dengan kelakuan melampau batas. Adab inilah yang dijaga dengan begitu teliti oleh Mas Suri dari sisi keluarganya, agama, ilmu, dan masyarakat (walaupun watak ini dengan sengaja dibayangkan hitam pada awal filem: semacam ahli sihir). Ini membuka persoalan menarik yang jelas dalam perumpamaan Melayu: lagi dikenal lagi cinta, yang membuka ruang humanis dalam adab Melayu yang berhati-hati dalam menilai seseorang tanpa usul periksa yang menyeluruh.

Memanglah, dalam mana-mana kisah hikayat pun, cerita yang baik lawan jahat akan berkumandang, dan dalam drama siri ini juga, walaupun terdapat sisi-sisi kelabu yang bagus, ruangnya tetap antara perlawanan ilmu Allah (Ustaz Abdul Qodir) dengan ilmu syaitan (Waris). Pertelingkahan ini tidak akan berubah selagi, seperti yang Mira jelaskan, manusia yang bersifat kelabu masih terpaut dalam maksud nafsu, tidak dapat mencari jalan yang telah disusun elok oleh agama dan adab. Dan sebab itu, hal ini dimainkan dalam sambungannya (terletak pada pendirian Maisara yang kecil) dengan cabaran yang lebih memeritkan: bagaimanakah seorang anak kecil menilai sesuatu itu baik dan jahat? 

Drama siri inilah yang membuatkan aku terpesona dengan Emelda Rosmila. Aku masih teringat sewaktu 2008, menontonnya pada awal itu membuat aku tertanya-tanya siapa wanita muda ini yang berjaya memaut hati aku untuk meneruskan odisinya dalam dunia pelik Mas Ayu (kepelikan dan misteri alam Highland Estatelah yang mencipta ruang dunia yang tersendiri dan unik). Aku juga kagum dengan Fizz Fairuz (ini sebelum Nur Kasih) dan deretan pelakon wanitanya yang hebar-hebat, khususnya Rose Iskandar (yang sangat berkuasa dalam perwatakannya), pelakon memegang watak Cik Wan (aku tak tahu namanya), dan Tengku Sariza (Kuza). Namun memang, drama siri ini bertiangkan Umie Aida dalam pelbagai pesona yang dia bawa. Dan sudah tentu Hairie Othman sebagai Waris yang mencengkam.

Suatu drama siri yang sememangnya diraikan dan seeloknya dijadikan rujukan pada masa-masa hadapan.

4 comments:

AbduL QaDir said...

Yeaahh, masih siri tv melayu yg paling berkuasa hingga kini :-)

Jumiee Capitan said...

Assalamualaikum. Saya pun masih tonton drama ni di Youtube berulang kali sehingga kini (28/6/17). One of the best! Nak tonton sambungannya (Waris) tapi tak jumpa di internet. Jika anda tahu di mana saya boleb dapatkan DVD nya, sila tinggalkan komen.

Sukaporno said...

Cerita sampah

Unknown said...

Download iflix. Ada dua²