17 October 2013

Longkai(2013): Longkang Longlai

"Kau jangan nak buat taik boleh tak?" - Along Eyzendy

Judul di atas tu bagi aku sudah cukup mengekspresikan makna filem ini. Tapi, OKlah, aku cuba tulis lagi.

Aku optimis dan percaya David Teo sudah bertaubat dan mula mencari jalan untuk mengimarahkan (chewah! Kalau David pun dah pandai guna istilah fitnah dan pelbagai lagi, takkan aku tak rasa tercabar bro!) nilai dalam filem-filemnya selepas aku menonton Paku Pontianak(2013) dan Lagenda Budak Hostel(2013). Aku lebih teruja apabila jutawan dermawan ini berjaya menarik masuk Faizal Hussein dan Erra Fazira untuk berlakon dalam filemnya, juga teruja dengan kehadiran Dira Abu Zahar (serius aku dah tangkap cinta dengan minah ni). Namun janji tinggal janji. David munafik rupanya dan aku ditipu bulat-bulat.

Filem ini jelas mengambil kerangka KL Gangster, KL Drift dan juga formulaik berjaya Rempit tajaan MiG (era Ahmad Idham cium-cium pipi David), yakni menarik semangat berpuak (clan) yang di sini diwakili golongan kolar biru (bayangkan, dalam pokok besar samseng tu, ni kira pucuk-pucuk dan daunnya) penarik kereta yang menjaga sistem tonto (longkai - apa punya istilah kolikual entah), kemudian berikan puak ini sebuah cerita latar melodrama (Oh, patutlah mereka perlukan Erra Fazira!) seperti dalam KL Gangster sebagai laluan "jalan pulang kalau tersesat" dan beberapa babak pecut lumba kereta dan belasah membelasah, wallah: Longkai!

Apa yang aku tak tahan dengan filem ini, sekali lagi dalam entah berapa banyak filem Melayu, terlalu banyak kebetulan kemunculan watak untuk menyenangkan peleraian plot. Eddie yang kena langgar tengah jalan tiba-tiba musuhnya, Mojo tiba mengejeknya di tepi jalan. Mojo yang sapu minyak di jalan KOSONG tanpa penghuni dengan tiba-tiba lori tonto Eddie boleh bergerak ke situ. Dan paling menjengkelkan, babak Wawa Zainal (Oh Tuhan, terima kasih kerana memberikan peluang melihat single strap blouse awek ini sebelum dia berkahwin dengan Aeril Zafril) yang ditampar oleh abangnya, Mojo tiba-tiba muncul balaknya, Eddie untuk ditampar kemudiannya kerana menipu. 

Filem ini besar dan terasa menjadi, hanya kerana Faizal Hussein. Faizal Hussein banyak membantu. Karismanya, oh Tuhan, kekuatannya. Dialog-dialognya dalam filem ini, Tuhan, macam Langit pada lumpur Longkai. Dan lakonannya, bara dan membara, memalukan Along Eyzendy, Mikail Andre, Pierre Andre, dan Niezam Zaidi. Filem ini seeloknya ditonton hanya kerana itu. 

Aku suka Erra Fazira dan Dira Abu Zahar dalam filem ini. Mereka merupakan antara penggerak watak yang dapat menggerakkan sesuatu yang kelihatan merangkak.

Penghancur filem ini ialah Zul Handyblack. Annoying. Dia serius macam dicampak di tengah-tengah filem kerana baru keluar dari sebuah lohong hitam dari dimensi lain.

Imejan filem ini, dengan gaya penyuntingannya, jelas 1980-an, melesukan lagi penontonan (bajet David terhadap filem ini), suaranya juga, jelas 1980-an. Zaim, kawan yang ikut menonton mencelah, "Rasa macam tonton Mekanik lah!" Itu mungkin pujian.

Hashim Rejab mendapat "cerita" ini daripada majlis "panel MiG" yang misterius (aku anggap mereka sekumpulan ahli Freemason gred tercorot) serta CT Loh(?) sebelum me"lakon layari"nya. Hashim kena faham suatu perkara (setelah banyak membikin filem), apabila membikin filem, kita perlu kenal dengan naratif besarnya. Filem ini, aku tercari-cari di mana naratifnya, mana kisah besarnya. Orang akan kata, penjalinan hubungan Faizal (Abe) dengan Eddie. OK, bagus, tapi adakah tulang belakang ini diteliti habis lompang-lompangnya? Jelas filem ini berkenaan seorang anak yang mencari (watak Niezam Zaidi), semacam mencari "pedoman" father figure kata orang putih yang jelas akan disampaikan (dilindungi) oleh Faizal. Hal ini jelas disampaikan pada babak akhir filem ini membayangkan "syurga" (aku teringat filem Bade Haji Azmi, Syaitan), namun entah salah apa, tiada petanda awal, tiada petanda menggerakkan, perkiraan ini tidak sampai, dan Hashim lebih sibuk hendak memaparkan kereta lumba, tudung cun Erra, dan Niezam Zaidi berpesta mandi minyak ramai-ramai.

Klasifikasi Longkai: P13, Babak ganas, kata kesat, dan gaya hidup yang tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI GSC, Pavillion.

2 comments:

indraputra said...

Fadz.

(1)bila result anugerah pengkritik
(2)review-lah filem Bencinta tu plak... :)
(3)ada maklumat tak kenapa kutipan filem di Malaysia ni 55% milik pawagam dan 45% milik produser. Mcm tak adil jer. Atau hanya terhad kepada skim wajib tayang?
(4)ada filem Balada Sang Pencinta karya Khir Rahman. :)

*klasifikasi Longkai..bukan Langgar.

wassam.

fadz said...

wow! sabar sabar!

1. ada ahli belum undi, kena selesaikan perbincangan besar.

2. Bencinta? hmmmmmmmmmmmmmmmmmmm

3. Persoalan ini diangkat, sebab tu tiket skrg mahal. dan sebab tu ada "cinema tax". Cinema tax ini akan disalurkan kembali kepada penerbit/pembikin.

4. ya, nantilah :)