29 March 2013

Dua Filpen buat Adam Azfar


Adam Azfar anak Jimadie Shah, sedang sakit tenat. Jika mau menyumbangkan untuk membantu anak kecil yang perlu diberi harapan untuk membesar melihat dunia dan cinta, rujuk: 


Semalam ditayangkan dua filpen buat Adam Azfar.

Adiwira | Penulis/Pengarah: Shazrol Suhaime 

Filpen mudah dan mengangkat semangat bahasa baku.

Shazrol mempunyai banyak kekurangan. Selain daripada semangatnya yang berkobar-kobar untuk menampilkan kekuatan jati diri, teknik komik memasuki filem, silat dan cita-cita, filem ini banyak tergelongsor dalam perangkap detik, aksi dan plot yang lemah. Aku memikirkan dua medium yang dipaparkan dan sangat menyinggung. Kita dipertunjukkan seorang budak kecil yang leka bermain permainan video (Street Fighter) lalu diminta ibunya dengan senyuman untuk tidur. Si budak kecil itu rupa-rupanya tidak dapat berjalan, atas kerusi roda (imej ini menarik: si dia yang tidak dapat bergerak itu menentukan pergerakan di balik skrin mainan video, ini suatu metafora menarik berkenaan kita yang tidak mampu "berubah" dan hanya terleka dengan apa-apa yang melekakan kita). Dia duduk membaca komik (tak tidur). Dan paginya, ibunya marah, meneliti satu-satu komik itu sebagai "barang haram". Ini membingungkan. Bukankah jelas sifat ganas, seksual dan telanjang permainan video lebih "ganas" daripada huruf dan jati komik (yang sekurang-kurangnya menampilkan perjuangan)? Mungkin Shazrol hendak menyindir masyarakatnya bahawa si matriach akan sanggup anaknya mendepani dumb box berbanding mendepani karya teks. Mungkin.

Cerita bergerak dengan si budak menemui (jeng jeng jeng) komik sebalik poster yang mungkin diletakkan oleh arwah ayahnya (isu takde simbol ayah/patriach ok!), lalu kita seakan-akan masuk ke alam Neverending Story apabila watak-watak dalam komik HIDUP di layar pentas.

Ada Pekin Ibrahim. Titik.

Tiba-tiba si budak, membaca tulisan di balik halaman (bayangkan Fadilah Kamsah berbicara motivasi pagi) berkenaan "diri sendiri" lalu, tiba-tiba, hendak bangun. Hello????

Pertama, si pengarah tak tunjukkan pun kepada kita lesu putus asa si budak untuk "bangun".

Dan apakah kaitan pukul-memukul dua jantan sambil berbicara sastera ada kena-mengena dengan seorang budak hendak berdiri (walaupun aku faham simbolisnya agar kita cuba berdiri sendiri dan menyedari kemampuan kita untuk mengubah sesuatu)?


Pesona ..Ter | Penulis: Khir Rahman/Siti Jasmina Ibrahim Pengarah: Khir Rahman

Kadang-kadang aku nak menangis menonton filem-filem Khir. Imej-imejnya, ya Tuhan, cantik! Bahasa filemnya, subhanallah, berlapis-lapis.

Ambil sahaja runut bunyi (dan aku tak masuk lagi ceritanya!) filpen ini. Bunyinya macam hentakan sesuatu. Oh, ia membawa minda aku menerawang tiga bayangan: goncangan dan asap kilang lantas dunia industrial di hadapan aku (bermaksud ini berkenaan dunia sekarang, dunia yg semuanya cepat dan keluar produk dan kita makan produk itu, dan ...), termasuk bunyi gerak perlahan bot nelayan yang mahu mencari ikan di perairan (latar filem) itu (ini berkenaan mencari rezeki yang paling asal), dan terakhir, suara desakan cota dna perisai dan kawat si polis mendepani massa perusuh.

Imejan kompang pula mengikat hal ini, suatu medium "mencanang-canangkan" yakni, lihat: kita di alam apa sekarang? Ya, sosial kita: Facebook dan Twitter, bukankah dicanang-canangkan? Kemudian terisi watak-watak klise Melayu Rahim Razali, ah, ini bersangkut dalam alamiah ekonomi, politik dan sosial anak bumi dan sakit dan betulnya.

Apa yang sakit dan apa yang betul?

Khir dan Jasmina hanya menyindir dan kadang-kadang berdakwah secara tersirat. Paling jelas, kita yang hidup dalam alam demokratik ini harus menyedari sendiri dan merenungi sendiri alam, suasana dan bahasanya, baik politik, ekonomi dan sosial. Ya, ini asasi yang paling terasas dihidangkan kepada penonton. Penonton yang "terasa" bilamana menontonnya itu menunjukkan, satu-satu watak itu pernah mewakili penonton itu sendiri (usah bohong, aku juga terasa)!

Jadi, di mana kita mau meletak diri kita di alam ini?

Ah, ada beberapa unsur homoerotis yang menarik, juga menimbulkan persoalan: adakah mainan dunia ini hanya mainan lelaki (dan wanita dalam filpen ini disenyapkan)? 

Ada beberapa babak yang aku kurang minat. Pertama babak klimaks apabila seorang watak "terjatuh" bilamana seorang watak lagi "menolak". Menolaknya begitu lembut. Kalaulah ada bunyi "krak!" (jadi kita seakan membayangkan si watak jatuh lubang kerana ditolak sedikit) maka kepercayaan menjadi. Aku menyedari, filem kita masih miskin aksi yang kuat (perdana mahupun bebas) dan boleh dipercayai.

Kedua, sifat kebangsawanan yang dimasukkan. Ya, aku faham latar dan harapan selingan itu memaut sebanyak mampu penonton tiada minda (tapi aku percaya penonton kita ada minda filem, oh mungkin aku salah?), aku faham Greek Chorus yang dilakukan. Namun aku lebih seronok jika suasana tiba-tiba itu dilakukan terus atas layar/pentas sok serius kampung nelayan itu (ruang bangsawan bukankah begitu rupa,  menggunakan ruang pentas yang sama, kecuali jika anda Takashi Miike melakukan selingan berkuasa macam dalam Big Bang Love, Juvenile A [2006])  Hal itu nampak renyeh (sengaja), silly (sengaja) dan manja-manja (sengaja). Mungkin itu selera masing-masing.

22 March 2013

Mengapa Django Unchained(2012) Perlu Ditonton Kembali

Semalam aku tonton Django Unchained, sebuah filem yang masuk Oscar yang mana pihak LPF kita amat baik dengan tidak memotong apa-apa bahagian untuk keselesaan peminat Tarantino.

Terima kasih LPF!

Aku menonton hal itu kerana "sejarah tercipta" itu, juga mana-mana filem yang masuk Oscar tahun ini memang aku akan tonton di pawagam (kerana aku akan mendapat kenikmatan sinema yang lain daripada lain).

Filem ini, walaupun pada awalnya sudah aku tonton di DVD, dan aku tidak "menyangka" ianya boleh merangkul skrip terbaik dan pernah pengarah terbaik (Bafta?) yang mana aku tidak berapa bersetuju (kerana aku tidak suka filem-filem yang menghomaj dan merujuk, yakni tidak asli, menang) dan apabila menonton kembali di pawagam aku, aku terdiam, dan menyedari adikaryanya.

Walaupun ini sebuah "spaghetti western".

Menonton filem ini, sekurang-kurangnya kita perlu kenal idola bintang John Wayne berserta kejayaan John Ford membawakan filem-filem koboi yang berat dan berestetika tinggi. John Wayne pada zaman kegemilangannya merupakan arketaip keperwiraan, identiti dan justifikasi orang kulit putih Amerika menduduki Amerika (rujuk perselisihan "pendatang" Amerika dengan orang asli "Red Indian/Injun" Amerika). Romantisme (rujuk latar, pergerakan plot dan sifat keperwiraan Wayne) melatarkan dunia Wayne-Ford menjustifikasikan "mengapa latar kosong Amerika perlu dijarah". Ford akan sentiasa memainkan latar luas dunia padang tandus Amerika dengan sang perwira dengan pistol/senapang atas kuda. Lihat imejan "romantis" ini dengan persamaan latar romantisme sang perwira ksatria dengan pedang atas kuda sebalik gunung-ganang untuk menyembelih sang naga di balik gunung (kadang-kadang untuk menyelamatkan sang puteri, rujuk The Searchers).

Orang asli Amerika yang "sememangnya" orang "tanah tumpah" landskap itu, diperkecilkan, diperasingkan sebagai "orang luar" (the other). Hanya beberapa filem koboi yang memberi "suara" terhadap golongan paling diminoritikan dalam sejarah perfileman Hollywood ini, itupun sudah "ditamadunkan" dengan boleh berbahasa Inggeris dan memakai seperti mat salleh. Kecuali dengan anti-western Dances With Wolves dan beberapa lagi.

Dalam Django, semua ini dijungkingbalikkan.

Pertama, dengan kritis, Tarantino mencitrakan landskap Amerika di Selatan (southern, yakni Texas, Mississipi, Lousiana) tanpa pembabitan mana-mana ornag asli Amerika dengan sengaja. Ini bukan filem berkenaan konflik identiti/pencarian identiti/hak/pendudukan itu. Ini berkenaan mat salih/orang kulit hitam/penghambaan.

Dr. Shultz peran si pelakon hebat Christopher Waltz (dan sememangnya patut menang Oscar) merupakan "pendatang" dari Jerman, sang doktor gigi (budaya tinggi) berprofesyen pembunuh upahan (budaya rendah) di landskap Amerika sedari 5 tahun. Dia tidak pernah melupai jati diri bangsanya (apabila menemui si hamba boleh bertutur Jerman, walaupun ini sandiwaranya, dia menyatakan kedamain jiwa, juga beberapa rujukan legenda Jerman dan ketelitiannya terhadap komposer Bethoven, seorang tokoh Jerman yang hebat sebagai rujukan budaya tinggi Jerman). Dia, mendepani masyarakat orang kulit putih yang "melupai jati diri" atau "syok-syok" ikut "pandang ke Eropah" yang sia-sia atau PALSU (hal ini aku rujuk pengarang Henry James mengkritik masyarakat kulit putih Amerika era itu, terima kasih Wan Azriq buat ini, hal ini boleh rujuk bagaimana pada zaman ini, tokoh pengarang seperti Oscar Wilde dari Ireland/Britain dipanggil untuk memberi ceramah di serata pekan/bandar baharu dunia koboi untuk "menanamkan budaya tinggi" kalangan masyarakat Amerikanya. Ini menarik jika kita selidiki dasar "pandang ke Timur" era Mahathir).

Palsu di sini terdiri daripada beberapa individu watak dan pekan. Pekan koboi itu sendiri "palsu" seakan-akan "pakai siap" (rujuk bagaimana pekan-pekan ini boleh bangun dan kemudian mati menjadi pekan berhantu/ghost town). Ada watak yang konon lebih Perancis daripada Perancis (rujuk watak Leonardo) jika dibandingkan dengan jati diri kuat Dr. Shultz. Inilah yang di"benci" Dr. Shultz.

Dalam kesemua kepalsuan ini, muncul Django Freeman (Jamie Foxx), seorang hamba abdi kulit hitam yang dilepaskan Dr. Shultz. Ah, ini menarik. Konflik dan perbandingan kini berlaku terhadap si pendatang kulit putih yang "mengaku" tanah Amerika mereka punya, dan sang hitam Django yang "dipaksa" turun-temurun untuk bekerja di tanah itu.

Django, yang kita akan kenal identiti dan sejarahnya sedikit demi sedikit ("Hey, big problem maker..") sebenarnya sedang "dibina" oleh Tarantino secara licik sebagai "identiti sebenar" seorang AMERIKA! Django dipaparkan (tendang ke tepi John Wayne!) sang hero romantis untuk pergi menyelamatkan isterinya daripada sang naga (naratif ini diceritakan oleh Dr. Shultz sendiri daripada kisah epik/legenda lama Jerman berkenaan Brromhilda). Daripada pengalaman, kefahaman dan pembangunan kendiri Djangolah, identifikasi Amerika tercipta: penipuan, Kristinasi, kekejaman, mencari hak dan harapan individu, berdikari, penuh rasa kemerdekaan, kemanusiaan.

Tarantino turut membantai dua buah filem "bersejarah" Amerika, The Birth of Nation (1915) dan Gone With The Wind. Dalam babak filem ini, si tauke ladang yang ditipu rupa-rupanya tokoh besar Klu Klux Klan (rujuk persamaan fizikal tokoh dalam filem bisu DW Griffith tersebut dengan filem ini). Bukan sahaja Tarantino mempersendakan mereka, dalam suatu babak naik kuda (lihat, latarnya malam, yang mana Griffith romantikkan sebagai sang perwira Jerman lama ala Wagner/Valkyrie) dipasang runut bunyi lagu Wagner (yang kita fahami sebagai alat propaganda etnokuasa Jerman/Barat/Aryan/Fasis era Nazi/Fasisme dalam mengangkat kenegaraan/patriotisme "anak tanah tumpah", ya: bumiputera Jerman!). Hal ini dikonflikkan dengan individu "suci" Dr. Shultz dari Jerman! Sekali lagi: Klu Klux Klan membawa agenda palsu/salinan yang dibuat-buat, bukan asli.

Amerika ditandai dengan perkara yang bersalinan (fotokopi) dan meniru!

Inilah kekuatan spaghetti western ini! Ya, sebab genre ini juga merupakan "salinan" (pembikin Itali/Latin membikin filem ini di luar konteks tujuan meraikan kenegaraan) dan salinan ini bukan sahaja menghomaj tetapi mempersendakan genre/filem itu. Hal ini dipapar dengan licik sekali apabila Tarantino sendiri berlakon(!) pada babak stand off (babak ini amat terkenal dalam genre western mahupun filem-filem samurai Akira Kurosawa yang juga menyalin struktur genre koboi ini) sebagai pendatang British yang diperbodohkan oleh Django (si wira/antiwira mempersendakan budaya teringgi/pendatang "asli" si kolonial/padangan Amerika terhadap Britain sebagai "abang kandung"). Maka Django, yang mendapat "tunjuk ajar" terbaik seorang pendatang (Dr. Shultz) yang akhirnya menjadi identifikasi negara Amerika yang sebenar dan diraikan (perjalanan hamba abdi kepada kemerdekaan orang kulit hitam merupakan sejarah paling sah Amerika Syarikat bagi Tarantino).

Penyindiran Gone With The Wind juga menraik apabila meletakkan southern belle dalam landskap Candyland yang mana menjadi tempat "simpanan" isteri Django. Rujuk si wanita, kakak Leonardo dalam filem ini sebagai "si budaya tinggi" ala Scarlet O'Hara (pendatang Ireland) dan si hamba/nanny gemuk hitam menyerupai pemenang Oscar, Hattie McDaniel. Rujuk juga sang valet rumah filem itu dengan peran dipegang Samuel L. Jackson. Rujuk juga rupa bentuk rumahnya yang merupakan "Tara" si Leonardo dan kakaknya. Dua syot menarik berlaku. Si Django dan isteri bercium di balik remang senja, antara syot terkenal Gone With The Wind yang mana dijukstaposisikan dengan syot luas si kakak Leonardo mengebumikan adiknya yang juga syot rujukan filem lama itu (anak Scarlett terbunuh naik kuda). Malah dengan kritik, watak-watak pemikik rumah agam itu diberi "bayang-bayang" atas tanah. Kemudian showdown dengan api membara (rujuk syot pembakaran Atlanta). Tarantino "meranapkan" romantisme, kecekalan, hak untuk membangunkan tanah/kendiri/budaya selatan Gone With The Wind.

Ya, Tarantino wajar memenangi apa yang beliau menang tahun ini.

Sinematografinya cantik (dan memberi homaj beberapa filem besar John Ford), runut bunyinya sedap dan hebat. Dialognya pedas, pantas dan bermakna, punya beberapa lapisan dari segi rujukan filem, juga penggerak cerita. Suntingan kuat. Suatu sinema Tarantino yang indah. Pembikin kita perlu belajar daripada filem ini jika mahu membuat filem "homaj".

Ini suatu keberanian, dan perlu diraikan.

Antara filem terbaik tahun lepas.

Klasifikasi Django Unchained: 18, Babak ganas, telanjang dan kata kesat yang tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur 18.
DITONTON DI TGV, Wangsa Walk.

19 March 2013

Sembunyi(2013): Alam Angker Versi Melayu

Filem ini ada sesuatu.

Jangan lupa, filem ini genre fantasi seram. Dalam dunia penganugerahan, hal pembikinannya dipandang enteng (kecuali Stiges, Brussels dan beberapa festival antarabangsa). Malaysia dan Asia Tenggara masih bermain mimpi-mimpi ini kerana banyak lagi kisah (dongeng, legenda, mitos) kita yang belum diungkapkan, banyak lagi yang belum diselesaikan naratifnya atas layar.
 
Spoiler besar.
 
 
Filem ini bermain genre itu. Dua klu dalam dunia Barat: Rip Van Winkle dan Alice in Wonderland.
 
Sebenarnya, Afdlin Shauki sudah mula-mula melakukannya tahun lepas dengan Misteri Jalan Lama, tetapi aku meneliti dari segi struktur dan cerita, filem ini mempunyai edge yang lebih dan sesuatu yang menarik: ia mengganggu jiwa.
 
Dua plot penting sebagai kefahaman.
 
Plot pertama, Diana Danielle sebagai Aisyah, wanita yang nyaris-nyaris dirogol lantas (akan) dibunuh dek peperangan Jepun di Tanah Melayu. Latar ini menimbulkan makna: huru-hara. Realiti Diana dalam kecamuk, ketidaktentuan. Hidup mati bukan lagi untuk kita tentukan.
 
Plot kedua, Diana diselamatkan di sebuah kampung yang "jauh daripada pendudukan Jepun". Diana dikenalkan dengan watak Umie Aida sebagai Ibu Yani yang matriakh, wanita yang selalu menjadi pembelanya, dan seakan-akan "menjaga" spiritual dan jiwa kampung tersebut, kadang-kadang perujuk "adat". Kemudian Remy Ishak si anak penghulu yang akan menjadi penghulu jika berkahwin.
Watak ini watak "love interest", pelepas nafsu (Diana dan penonton) dan pengimbangan Diana untuk terikat dengan kampung aman sentosa itu.
 
Aman sentosa?
 
Di sinilah terletaknya ironi yang menarik dibawa oleh Alfie Palmero (penulis skrip) dan Kabir Bhatia selaku pengarah. Dalam dunia kampung Diana, realiti huru-hara membahayakan Diana. Dalam dunia kampung Remy-Umie, Diana lebih terjaga tetapi ada sesuatu yang sentiasa "mengacau" kampung itu (tetapi bukan Jepun, dan lebih menakutkan). Dalam kampung itu, Diana juga susah mahu mengingati apa yang sudah berlaku.
 
Alfie pandai di sini. Secara cerita, dia bermain dengan kefahaman dunia yang kita tidak tahu. Tetapi secara sinema/wayang, inilah pengolahan makna sinema pada titik yang tulen: eskapisme.
 
Eskapisme dalam tangan Alfie/Kabir ialah alat untuk mengganggu gugat emosi (tujuan genre ini), mencipta harapan (Diana dan Remy) dan ilusi (filem = ilusi). Inilah metafora besar filem ini.
 
Dalam ketidakingatan Diana, Diana mencari jawapan. Jawapan ini (menakutkan). Jawapan ini kebenaran.
 
Kebenaran membunuh ilusi.
 
Realiti hidup membunuh wayang (eskapisme).
 
Ya, aku terlopong bagaimana indahnya Alfie dan Kabir menyusun hal ini, dan sepatutnya begitulah gaya formalisme dinyatakan.
 
Ambil mana-mana filem. Filem "dijelma"kan untuk menangkap penonton "terpesona" dengannya. Jika penonton terpesona, mereka jadi "leka". Leka merupakan kata kunci terbesar dalam alam eskapisme Sembunyi. Leka juga berkenaan dengan eskapisme Alfie.
 
Sebenarnya, pembikin filem ini memohon kita bangun (dari leka), hadapi realiti dan kebenaran, tinggalkan ilusi!
 
Dalam "ilusi" ini, semua pendukung utamanya melakukan sesuatu yang menarik dan terkawal. Diana seorang pelakon yang boleh pergi jauh jika dia mahu. Hanya dia terlalu serius dalam filem ini, dia perlukan sedikit rentak, seperti yang aku kunyah baik dengan lakonan Emelda Rosmila dalam Kekasihku Seru. Umie Aida contoh terbaik dalam lakonan mempesonakan, berkarisma dan amat terkawal. Kita juga jumpa kekuatan dalam Remy Ishak dan Sharnaaz Ahmad, walaupun mereka sampingan terhadap gerakan utama Diana.
 
Runut bunyi filem ini sedap dan bersatu dengan mood, suatu pujian bagi Hafiz Hamidon. Sinematografinya kadang-kadang terlalu gelap tetapi beberapa bentuk sefianya cukup membawa semangat "kenangan lama" dan "kisah lalu", ini percubaan pertama membawa kisah purbakala dalam genre seram (seperti Sumpahan Orang Minyak) dan hal ini agak berjaya, khusus dalam latar busana dan reka letaknya. Kampungnya kelihatan hidup walaupun dicecah hujung taring bahaya (dekat dengan makhluk jahat bernama Azazil).
 
Hanya satu plot lubang yang amat besar yang aku tidak boleh terangkan di sini (nanti habis kalian tahu apa kisah filem ini), dan ini berlaku pada waktu peleraian filem ini. Tetapi memandangkan aku sudah menonton pelbagai filem David Lynch dan mengetahui semangat "mimpi" berkaitan "ilusi", seakan-akan apa yang kita lihat dalam sejam lebih itu suatu "mimpi yang panjang", aku maafkan.
 
Sebuah filem genre fantasi seram yang memuaskan.
 
Klasifikasi Sembunyi: U, Beberapa babak seram dan ganas  yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak, dan perlu bimbingan ibu bapa/penjaga.
DITONTON DI Cine Leisure, The Curve.

15 March 2013

Cerita Kita(2013): Klise Sedap

Yana Samsudin tak boleh berlakon.

Maksud aku, Yana, kalau digandingkan dengan pelakon deep dan power macam Pekin Ibrahim, ya Tuhan, macam langit dengan bumi.

Kenapa Pierre dan David berani menggandingkan mereka berdua?

Serius, kau tonton filem ni dan kau tengok lakonan Feroz Khan - Pekin - Yana, serius tahap Pekin amat-amat jauh (baca: method acting/lakonan metod), mendalam, rasa, dan kena dengan "semangat indie" yang filem ini nak sampaikan. Tapi tengok saja suara tak kena Yana yang tiba-tiba "mengilai" dan kononnya bergerak "jujur/lurus", Ya Allah, menyakitkan.
 
Filem ini senang, mudah, malah klise, cuba-cuba MiG untuk bergerak "bebas" dengan kononnya semangat anak muda kita. Laki dah lama jumpa perempuan tapi tak berani cakap dia syok kat perempuan, sampailah seorang lelaki kacau perempuan tu. OK, aku terima jalan cerita filem ini dengan plot sederhananya jauh memintas mana-mana filem komedi MiG, tetapi sebagai suatu jaguh dengan filem-filem drama romantik lain, ia sederhana dan "comel" tapi tak dapat pergi jauh.
 
Sinematografinya sepatutnya membantu, walaupun latar dan petanda yang ada mencukupi. Lagunya? Tuhan, cukup-cukuplah Brian Ng meng"hong kong"kan filem "bebas" ini, yang hanya dibantu pada akhir dengan beberapa runut bunyi rock yang memberi mood betul.
 
Pierre suka sangat bikin filem fasal seorang loser. Pierre bercakap tentang hal-hal yang pernah aku "dengar" dan memberi suatu "kejutan" yang menjengkelkan berkenaan seorang "kenalan". Filem ini boleh pergi jauh lagi (rujuk Relationship Status) jika Pierre mahu dan bertungkus-lumus memberi sesuatu yang lain daripada "perhubungan", harapan dan cita-cita.
 
Klasifikasi Cerita Kita: U, Beberapa kata kesat  yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak, dan perlu bimbingan ibu bapa/penjaga.
 
DITONTON DI GSC Berjaya Times Square.

12 March 2013

Lawak ke Der 2(2013): Fiesta Lelucon

Kadang-kadang aku menyoal kefahaman orang tua kita (kerana aku tahu Siti Jarum sudah tua).

Aku tahu, para komedi/pelawak mutakhir diselar "tidak kelakar", lantas aku terlihat beberapa penulisan pementasan teater Raja Lawak (yang original!) karya Zakaria Ariffin dikatakan lebih pandai/lawak daripada sketsa lawak-lawak yang dipersembahkan oleh pelawak kita sekarang.
 
Aku rasa ini anggapan yang salah dan tidak sezaman.
 
Telanlah, dunia ini selagi terbuka luas dan masyarakat kita diberi peluang merenung budaya luar, segala yang datang dari luar mahu tidak mahu menyelusup. Anak-anak sekarang lagi canggih dengan memuat turun entah apa-apa daripada arena internet. Sudah tentu pelbagai kandungan dan budaya itu sampai ke paha, dan sudah tentu anak-anak itu kena pandai "menyaring" elok dan baik untuk pegangan dan makna dirinya orang Timur.
 
Stand up comedy, sudah tentu antaranya, suatu budaya persembahan komedi bikinan kumpulan pelawak daripada Amerika, bermula dari New York(?) yang membawa intipati menyampaikan tema/makna kelakar dengan "one man show".
 
Budaya ini nampak canggung tetapi boleh dibuat (rujuk Jamali Shadat) di Malaysia, hanya beberapa yang boleh dan tahu. Dunia Melayu, selalunya komedi "rancak" apabila dua individu disatukan (rujuk tradisi Mak Yung, Wayang Kulit dengan Pak Dogo dan Wan Seman). Masyarakat sudah biasa melihat peperangan "mulut" antara dua pelawak (rujuk era bangsawan dan pentas opera). Kemunculan beberapa pelawak era 60-an di televisyen, kemudian Instant Theatre Cafe yang amat revolusioner, dan kemudian sekarang dengan pelbagai lawak stand up comedy, khususnya di Kuala Lumpur dan serata Lembah Klang, budaya komedi ini sudah pun "popular", khususnya penduduk urban yang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
 
Semangat program Raja Lawak, Lawak ke Der, Maharaja Lawak membawa semangat itu dalam konteks masyarakat berbahasa Melayu. Mula-mula canggung, tetapi lihatlah betapa jauh Harith Iskandar sudah bertahan, atau kini, Nabil yang aku kira, antara pelapis yang amat menyinar dalam kategori "susah nak buat ni".
Malah filem ini, yang mempunyai kaedah "rakam untuk filem" menyatakan kebenarannya.
 
 
Aku sebenarnya tidak suka sangat "filem" begini, hanya bila ia penting atau bersejarah ia dilakukan (seperti entah berapa banyak konsert bintang Amerika difilemkan), dan risiko yang diambil oleh Hans Isaac kiranya "berbaloi" untuk memperkenalkan "budaya baharu" ini kepada penonton biasa, suatu rakaman komedi yang dibuat di Istana Budaya.
 
Rakaman ini "sepatutnya" mudah kerana pementasan itu merupakan "arena" penggambaran pengarah. Secara teknikal, Hans dapatlah mencoret beberapa hal yang menarik dan tidak lari daripada menangkap lawak yang sedang digelakkan oleh penonton.
 
Namun terdapat banyak babak, yang aku fahami sebagai lucah/sensitif, telah "dihala ke penonton" agar penonton yang menonton di wayang terpaksa menggunakan "permainan teka-teki" untuk mengetahui betapa "berahi"nya hal yang berlaku di pentas. Ini suatu kesesalan.
 
Maka "penilaian" tidak dapat dibuat secara sempurna.
 
Apa-apa pun, ini suatu hiburan tahap maksima, dan aku amat syorkan untuk ditonton. Pelawak yang membarisi rakaman ini, Nabil, Harith Iskandar, Jozan (Johan & Zizan), dan Boboi (Afdlin Shauki & Harun Salim Bachik) memaparkan dunia komedi kita sudah matang, walaupun bergerak ke arah budaya "stand up comedy".
 
Lihat sahaja komedi individu Nabil (yang turut mengacara) menyampaikan lawak Umum, yang mana lawak-lawak itu dibina dengan pengulangan yang kemudian dimainkan dalam beberapa sketsa. Itulah lawak yang bagus. Hal ini termasuk Harith Iskandar yang menyampaikan perbezaan lelaki dengan wanita dari segi "peperangan seks" dengan seloroh sekali, berkait tema dengan mimik muka yang menggeli hati, Harith merupakan sifu pelawak yang masih kuat.
 
Aku amat menyukai kedua-dua sketsa Boboi. Jika penonton biasa menonton sketsa ini sambil lewa, mereka tidak akan dapat menangkap sindiran yang disampaikan oleh kedua-dua pelawak hebat ini. Yang pertama dengan mudah, berkenaan pontianak (Afdlin) menemui Datin yang boleh buang hantu (Harun). Lihat idea "hantu" yang disampaikan dengan sengaja (penonton/masyarakat kita kini suka dengan hiburan berkenaan hantu, masih terperangkap dalam dunia ketahyulan). Kini hantu itu melihat Datin dan menyedari Datin itu juga "menakutkan" macam hantu. Secara kritikal, ini menyindir "Datin" yang dituduh bersongkol dengan dunia tahyul dan kebomohan! Inilah pedang dua mata mereka! Kemudian, digerakkan kefahaman "masyarakat kita" senang terpedaya dengan dunia "tahyul". Fasal hisap darah (mengambil idea/semangat) itu juga lawak apabila si pontianak menyatakan dia tidak akan menghisap darah penonton muka poyo (sambil menunding skrin), kerana dia turut akan jadi "bodoh". Sekali lagi, pedang dua mata: si hantu mengejek penonton yang "gila hantu" (bodoh) dia sendiri tidak mahu menjadi seperti mereka! Aku tergamam dengan kegeniusan Afdlin dan Harun.
 
Begitu juga dengan sketsa kapal terbang yang mana dinaiki oleh beberapa penumpang termasuk Nabil. Kapal terbang itu sebenarnya identifikasi Afdlin/Harun terhadap "negara" sekarang yang bergerak, maju, tetapi banyak cacat cela (tidak ada kerusi dalam kapal terbang). Mereka menuju ke Korea (identiti negara maju dan berbudaya maju), ditambah dengan sindirian Melayu hilang jati diri dan suka menyalin budaya lain (Nabil yang gilakan Korea).  Nama kapal terbang itu Reda Airlines. Suatu nilai murni yang pasif tetapi mencuit berlaku di sini. Ya, negara kita rosak serba-serbi dengan korupsi dan rasuah (sampai kerusi tak ada), setakat ini, kita perlu "reda" dan teruskan perjalanan, malah terjun apabila diminta! Nuansa dan gerak yang dibikin Afdlin dan Harun cukup mencubit dan berjaya menyampaikan suatu makna pasif yang menarik untuk difikirkan.
 
Jozan pula amat kuat dari segi kekemasan cerita (kisahnya panjang dan ada three act structure), dengan beberapa kesan pentas yang dilakukan untuk "menghidupkan" watak Nazmida, seorang femme fatale yang cuba menipu Johan dan Zizan. Saya melihat kuasa teknik memang berada dalam tangan Jozan. Lawak mereka agak keterlaluan dalam beberapa segi, tetapi menarik dan melanggar tabu. Jiwa dalam sketsanya adalah sikap penonton kita yang gilakan melodrama (sinetron Indonesia turut dimuatkan, serta Hindustan) tempatan dan sifat "kepura-puraan" dalam penyampaian cerita dan perwatakan drama-drama tersebut. Dinamisme mereka juga amat teguh dan menyampaikan lawak seakan-akan "bersilat" di atas pentas.
 
Terdapat masalah "suara dengung" dan suara "bising" yang biasa dalam televisyen ke filem yang agak mengganggu. Beberapa suntingan boleh diperhalusi dan diteliti.Tetapi sikap penyunting melakukan suntingan pantas dalam sketsa Harith amat membantu menaikkan mood dengan kresendo terhadap kejutan lawaknya mengikut mimik mukanya. Ini suatu yang amat dipuji. Aku suka filem ini, walaupun ia tidaklah sebuah "filem". Tahniah Hans. Semoga penonton berketawa dan merenunginya. 

08 March 2013

5 Filpen Ikal Mayang (2013): Berani Bersinar

Salam Hari Wanita Sedunia buat semua para wanita, ibu, isteri dan anak (serta mereka yang berasa diri mereka wanita).
 
 
Tadi aku tersempat menonton sebuah projek 15 filpen yang meraikan wanita Malaysia dan sedunia. Aku teringat akan 15Malaysia, projek filpen yang digerakkan oleh Peter Teo. Kali ini, Ida Nerina (bawah produksi Big Eyes Entertainment), Garang Pictures dan WOMEN:girls telah melakar sejarah yang sekali lagi cukup manis buat tatapan penonton Malaysia, khususnya para srikandinya yang tidak pernah penat lelah membahagiakan manusia yang mengelilinginya.
 
Projek ini menarik, berjaya menghimpunkan pelbagai warna dan strata selebriti Malaysia untuk "bercerita" melalui layar kata, dan 15 yang berjaya melahirkan sesuatu: Ida Nerina, Sofia Jane, Nanu Baharudin, Sharifah Amani, Elaine Daly, Fauziah Nawi, Mislina Mustaffa, Vanidah Imran, Aida Fitri Buyong (ya, penerbit terkenal filem Suhaimi Baba itu!), Carmen Soo, Shamaine Othman, Junad Md. Nor, Dira Abu Zahar, Melissa Saila, dan Susan Lankester.   
 
Pratonton media pagi tadi (8 Mac), menampilkan lima daripada 15 yang akan ditayangkan. Kelima-lima filpen tersebut dimaklumkan "agak kontroversi" buat konsumsi penonton am (yakni yang boleh melopong bila terbaca poster: VAGINA MONOLOGUE). Aku tidak dapat menafikan bahawa kebanyakan wacana himpunan pengarah ini kemungkinan "liberal", malah sebab itu perkiraan ini diperlihat dan diwajarkan demi mencabut rambut daripada tepung. Okay, aku jeles 10 lagi tak dapatlah aku tonton sehinggalah pihak televisyen tempatan yang bijak akan menyiarkan 10 filpen tersebut. Namun aku bolehlah berlagak dengan korang bahawa aku berjaya menonton yang lima yang korang tak mungkin dapat tonton, kecuali sebuah DVD koleksi diterbitkan:
 
Hawa | Pengarah/Penulis Sharifah Amani
Antara yang aku suka pada pagi itu. Kisah seorang lesbian-alim, Hawa (Sharifah Amani) yang akan/sudah "melepaskan" Ayu, "kawan serumah"nya. Pertemuan Ayu-Adam-Hawa (rujuk drama Adam & Hawa sebagai lelucon mencuit) di sebuah kedai buku (Skoob) membawa pada "pertelingkahan-penjeremusan" peran dan hati wanita-lelaki terhadap perhubungan dan ikatan norma dan agama. Zahiril Adzim sebagai Adam mempunyai dialog terbaik apabila meluahkan "kebenaran tradisi-agama" terhadap Hawa, "Sebab aku boleh kahwin kan?"
 
Percubaan sinematografinya tidak terlalu tetapi tidak sampai melonggarkan bentuk dan jiwa cerita. Semuanya banyak dilakukan dengan faham simetri. Rujuk babak Hawa di belah katil kanan dan Hawa di belah kiri pelamin kosong. Ruang ini untuk penonton "renungi" jiwa Hawa yang cukup tinggi konfliknya (seorang lesbian yang menerima Tuhan, memahami selok-belok agama, dan cuba banyak berserah kepada-Nya). Keseimbangan ini cukup mencuit dengan gaya Amani menjukstaposisikan pecahan babak yang beralih selepas-sebelum-selepas, dilakukan dengan matang sekali, membaur puitis emosi (sisi mata) Hawa melihat/menelan segalanya yang berlaku. Runut bunyinya turut memahami semangat Hawa-Ayu yang cukup faham dengan perasaan "nyawa di hujung tanduk". Kata-kata "normal" menyakitkan dan ditelan. Institusi sosial yang cukup menyelubungi memberi jawapan. Hanya ada laungan azan pada akhir filem seakan terkeluar daripada konteks logik walaupun "menandakan sangat" kefahaman pertembungan emosi-desakan konsensus-Tuhan. Sebuah warkah untuk Tuhan yang mahu tidak mahu, jujur, relevan dan mencengkam. Untuk Amani, dalam usianya mengarah kerja seperti ini, aku mempunyai harapan bahawa Amani akan pergi jauh dan satu-satunya pengarah baharu wanita yang akan menggegar dunia. Arwah Yasmin Ahmad (yang amat aku kenali) tentu berbangga dengan anak emasnya ini yang sudah mendewasa.
 
Odah | Pengarah/Penulis Junad Md. Nor
Filpen yang telah meriuhkan panggung dengan gelak ketawa dan tepukan ria. Sebuah komedi yang berjaya. Siapakah Junad ini? I love her! Konsepnya segar dan melawan arus: Bayangkan persekitaran kampung dan kita punya imejan si perempuan dalam persimpangan "memilih" untuk potong rambut. Kelakar bukan? Si Odah, jika rambutnya pendek, "macam jantan". Lebih teruk lagi, dengan isu media tempatan hebohkan tentang "lesbian", Odah yang tom boy dituduh "nak jadi lesbian" ("Macamlah nak jadi lesbian tu macam nak cari kerja," luah hati Odah).
 
Filpen digerakkan dengan monolog (maka ini filem peribadi pengarah). Si ibunya merokok, seakan-akan mendominan keluarganya, dengan si ayahnya menepuk bedak putih di pipi. Ketawalah kau tetapi susunan absurd Junad ini menjadi, dengan kejutan dan dramatik yang terjalin rapi, menunggu punat "mencuit penonton". Bijak dan seronok dalam persekitaran kekampungan. Ada sebuah babak bilamana tiga jejaka kawan Odah (pada zaman itu, KRU dan Feminin ialah "ikon mesti ikut") menyampaikan "judul lagu" untuk mengajar Odah "erti kehidupan". Amat berkesan! Juga kefahaman homaj Feminin 1990-an yang cukup nostalgik dan kena, menyampaikan maksud filpen bahawa dalam zaman mana pun, kontradiksi budaya berlaku, dan sang wanita terus mengidentifikasi dan membentuk identitinya mengikut kemahuannya. Suatu komedi mesti tonton.
 
All About Deflowering | Pengarah/Penulis Mislina Mustaffa
Bakal mengikuti Ho Yuhang dan James Lee dalam merayakan Tsai Ming Liang. Mislina punya kekuatan tersendiri dengan sifat tangkapan statik "menangkap realiti" sang wanita yang dijadikan subjek. Lihat bagaimana "senang" dan "seronok" sang wanita berkerjaya melintasi hari-harinya (rujuk: subjek masak-membasuh ialah konsep wanita dahulu, yang mana mesin basuh-peti ais-dapur menjadi latar filem). Tetapi filem ini juga berbohong. MATA merupakan titik fokus filem ini. Sekarang, siapakah yang buta? (Siapakah yang menipu?) Sang wanita akhirnya mengucap kepada kamera/cermin/kita: "I'm ready for my close up!", rujukan Sunset Boulevard (1950). Ini suatu ironi yang menganggu aku (rujuk watak yang dipegang oleh Gloria Swanson). Adakah sang wanita "bersyukur" dan benar-benar meraikan "hidup"nya (di sini, seakan-akan sunyi, seorang) atau menyatakan kepada "kita" bahawa dia hidup "bahagia"? Pelanggaran dinding ketiga ini merusuhkan dan terasa amat mengganggu (disturbing). Jadi, apakah yang sang wanita hendakkan lagi?
 
Berat Sebelah | Pengarah/Penulis Melissa Saila
Judulnya mungkin menggelikan hati tetapi filpen ini merupakan antara yang tergelap pada pagi itu. Ria Irawan (!) berlakon sebagai pelayan yang buah dadanya "berat sebelah". Ya, Ria Irawan u olls! Sefia ton layar indah dengan kelamnya, memberi rasa yang betul, juga lakonan Ria yang boleh meledak bila-bila. Ini penting kerana kita hanya mengikuti mimik wajah Ria sebagai klu hal yang berlaku (terhadapnya). Hanya pengakhirannya, walaupun secara klise difahami (menyatakan suara hati dengan tahunnya, yakni kini, semua boleh berlaku dan dilakukan) agak menjanggalkan tempo yang sudah dibina getir. Aku suka pengadunan lagu lama dengan babak-babak ngeri yang dipaparkan, memberikan semangat noir yang pernah aku tonton dalam filem Joko Anwar.
 
SHE | Pengarah Ida Nerina Penulis Rachel Malai Ali
Filpen ini sebuah perayaan tentang "segalanya" dalam/luar wanita, seperti yang dikenali Ida dan Rachel. Gaya memasuki "majlis" secara POV dengan penglihatan-dengar pelbagai suara wanita dengan pelbagai emosi, dengan rahsia dan umpatannya, menyerlahkan acara seakan-akan suatu filem yang dibikin Truman Capote Melayu. Empat ruang dimainkan dengan berkesan, rumah-kereta-ruang majlis-dapur. Mungkin cara mainan "fantasi" mata Ida "melihat" imaginasinya gone wild sedikit celaru dan surreal, seakan-akan Terry Gilliam membisik kepadanya. Sifat fellinisque ini boleh dibaiki jika masa dan cerita betul-betul diluahkan panjang dan tidak tersorok dengan cetusan-cetusan luahan, walaupun wajah-wajah itu menarik untuk diperhatikan (walaupun mungkin, golongan luar bandar tidak menyetujuinya). Kaya, miskin, bahagia, duka, janda, seorang, isteri - semuanya wanita, semuanya menghirup nafas dan mencari sesuatu dalam hidup, sepertimana lelaki. Ida mempunyai kekuatan dalam pilihan runut bunyi dan gaya, filem ini amat berkuasa dalam tahap itu. Sesuatu untuk diraikan.
 
(kredit foto: Ikal Mayang)

05 March 2013

2 Wajah Yang Dinanti-nanti dalam Wayang Malaysia

Ada dua penemuan yang menarik minggu ini.

Aku dapati, laman sesawang Sinema Malaysia (atau Cinema Malaysia kini) sudah berubah rupa; tersusun, terurus dan lebih nyaman kepada mata (rujuk: http://cinemamalaysia.com.my/), walaupun aku menunggu untuk infonya lebih komprehensif menyatakan kredit pembikin (contohnya, dalam alam wayang Melayu, hanya filem kita sahaja yang ada pengiktirafan "cerita asal", maka kredit cerita asal ini bolehlah dimasukkan sebagai satu penonjolan nilai) sepertimana yang wujud dalam imdb. Tetapi setakat ini, selain filemkita.com (yang sudah jenuh berjuang, antara juara pusat sehenti separa kebangsaan berkenaan maklumat filem Malaysia), laman ini sudah banyak mengambil tempat sebagai "apa yang terkini" dalam filem kita dengan pandangan skoop menarik yang boleh dibaca melalui pautan berita. Aku menyokong pautan "kata kunci" yang ditempatkan di bawah setiap halaman, membawa pengguna yang rajin untuk meneliti apa-apa yang berkaitan dengan sesebuah filem itu berkait dengan pelbagai isu dan individu lain juga.

Begitulah dunia maya sepatutnya. Saling berhubung kait.

Sebuah lagi penemuan, majalah ini: SKRIP2SKRIN.

Ia bukanlah Sight & Sound dan jauh mendekati Empire, tetapi selain penggiat filem dan penggemarnya (macam aku) ingin melihat perkembangan yang berlaku dalam arena perfileman kita, tahun-tahun lalu kita hanya terpaksa melayan laporan dan liputan yang tersiar dalam akhbar, majalah dan program media di televisyen. Ataupun menelaah "buletin" Sinema Malaysia yang kadang-kadang wujud wawancara atau artikel yang bernas.

Maka kehadiran majalah ini (yang kita panggil pengapresasian industri) merancakkan lagi penglibatan perfileman di tanah air kita. Aku tak tipu. Aku tahu mastermind majalah ini merupakan Anwardi Jamil, dan beliau mempunyai wawasan yang separa aku setuju. Khusus, Anwardi membayangkan bagaimana dan apa sebenarnya "industri" dan bagaimana istilah ini boleh diguna pakai dalam "merealisasikan" realiti pembikinan filem di Malaysia sekarang (rujuk nota editor isu pertamanya dan juga siaran laporan/rencana dalam isu pertamanya). Ya, kebanyakan artikel lebih cenderung berkata tentang teknologi, kaedah dan gaya pembikinan, serta promosi (lebih kepada info) sesebuah filem daripada benar-benar menyelusuri falsafah dan jiwa sesuatu pembikinan, pengkaedahan atau karya, tetapi aku setuju juga dengan sikap Anwardi yakni memaparkan apa yang boleh "diperkembangkan" untuk menjadikan dunia pembikinan ini sebagai suatu "hasil ekonomi bernilai tinggi". Kandungan dan mutu dibaca dengan sifat-sifat ini. Mungkin artistik dan estetika akan berkumandang kemudian. Aku berharap.

Aku harap, pembikin filem, pelakon, kru filem dan semua nodul dalam dunia perfileman tempatan benar-benar menggunakan majalah ini sebagai batu loncatan dalam memperkembangkan pengetahuan dan pendedahan mereka terhadap dunia filem kita. Tiada lagilah kita mengulangi tema lapuk berkenaan filem yang hanya disampaikan sinopsis dan kecantikan pinggul pelakonnya. Aku tahu, dalam 90-an, terdapat majalah yang sudah melakukannya (sebuah majalah hiburan kalau aku tak silap, kelolaan Sani Boy[?]) dengan sifat membawa perbincangan fasal dunia hiburan dengan mata yang lebih kritikal, tetapi majalah itu mati di tengah jalan atas kerana sambutan kurang menyerlah pembaca (zaman Mangga meletup) dan mungkin kurang sokongan orang industri.

Aku harap hal itu tidak berlaku dengan majalah ini kerana mereka perlu sedar, majalah ini menjadi menifestasi bahawa industri mereka sedang hidup dan bergerak, diperbincangkan secara kritikal, lantas mungkin akan dirujuk oleh orang luar. Dokumentasi sebegini perlu. Ini bukan majalah main-main.

Namun aku tersinggung bahawa majalah ini, semacam senasib dengan majalah DBP, susah benar hendak dicari di kedai majalah dan buku (dimaklumkan boleh dicari di kedai MyNews, tapi MyNews yang mana kerana amat susah untuk menjumpainya, aku jumpa pun di kedai majalah mamak di KL Sentral, dan itu bari isu pertama, isu kedua belum terpamer lagi). Membaca borang langganannya (walaupun mahu dan ada diskaun buat pelanggan baharu) membuat aku malas juga kerana aku tidak pernah melakukan kiriman wang, dan malas hendak ke pejabat pos. Jadi ini mungkin menjadi masalah kecil yang sedikit demi sedikit boleh meranapkan perkembangan pengedaran majalah ini jika para penerbitnya tidak dapat mencari strategi terbaik untuk menjual majalah ini.

Jangan risau fasal harganya (RM10). Bagi peminat tegar filem seperti aku, lagi-lagi atas dasar kebangsaan tinggi (majalah ini dwibahasa, ya sepelik anda mendengarnya mereka telah melakukannya!) sudah tentu majalah sebegini akan dibeli. Kini, aku berharap ia meluas sahaja. Institusi filem celik harus berlaku. Dan ini mungkin antara jejak awalnya.

02 March 2013

Rock Oo!(2013): Pastisye Pathos

"Ghout boleh menyebabkan negara musnah!" - Jijo

"Dan aku tersentuh ..." - Amy


Filem ini berkenaan nostalgia, tentang apa yang sudah lepas dan apa yang tidak dapat diambil kembali. Hanya percikan keping kertas yang ditiup angin, lalu kita hanya menontonnya dari jauh.

Filem ini digerakkan oleh naratif (dan POV) Amy Mat Piah (Que Haidar) dan sesungguhnya berakhir dengannya (ingat yang pertama digerakkan oleh siapa?). Ada suatu babak yang menyayat dari sudut Amy. Zul Kapan (Soffi Jikan) mengambil tempatnya lalu menyanyi, dengan penuh rasa dan jiwa. Studio tempelan bekas telur bergegar. Lagunya berhantu. Jiwa Amy menggetar, lalu dia berlari-lari menangis. Kita tahu dua hal yang berlaku. Pertama, Amy sedar "kecil"nya dia di hadapan Zul, kedua, lagu itu sungguh "sempurna", Amy menyedari dia tidak sepatutnya di situ.

Sesak hati Amy tentang apa yang dia mahu dan dia takkan dapat merupakan metafora terbesar filem ini; tentang kumpulan Rock yang dikecam (sepertimana Hassan Muthalib menyindirnya) dan diperlekehkan, serta era yang "dilupakan".

Those were the good days, orang puteh akan berkata. Lenyap ditiup angin. Metafora itu diperkuatkan apabila AMy menyatakan bagaimana dengan fasa Menteri Penerangan memotong rambut para rockers mematikan era dan kesungguhan idealogi dunia itu. Apinya padam dan hanya berterusan dengan CD dan putaran YouTube.

Aku menyukai beberapa gaya penggambaran yang dibawa dalam filem ini, suatu pujian buat pengarah sinematografinya (walaupun ada yang terlalu malas), merujuk banyak dunia vintej lama 1980-an, dunia Rozana Cinta dan Kembara Seniman Jalanan. MTV yang disisipkan merupakan bukti utama. Anak-anak muda zaman ini di tengah-tengah kecamuk pengaruh rock dunia Barat dengan semangat jati anak Melayu (rujuk dialog petani moden Amy). Hal ini lebih menyedarkan aku bahawa, tanda yang Hassan Muthalib nyatakan bahawa rockers "hantu/kutu/penyangak" sebenarnya tersasar. Rockers sebenarnya disalah anggap. Dan "salah anggap" dan sifat "misfit" inilah yang dipermainkan dalam beberapa filem Mamat Khalid. Mereka ini "mangsa" bukan penjahat. Itu sentiman Mamat yang sebenar.

Babak Saiful Apek memeranjatkan, antara pemakluman dunia menyakitkan rockers ini yang cuba mencari laluan dalam dunia Kuala Lumpur serba kosong dan mencabar. Sekali lagi, impian anak-anak muda ini dipermainkan, diinjak-injak. Ini sebuah tragedi. Bukan komedi lagi.

Ada beberapa babak yang kurang berkuasa, kerana cara penggambarannya yang "jauh" dengan penonton, para pelakonnya diberi terlalu banyak ruang (mungkin penangkapan realiti) untuk bercakap dan kadang-kala tersasar. Terdapat luahan yang sumbang, gerak yang sumbang, ironinya, membawa makna terhadap imejan besar filem ini (sumbang yang tidak disengajakan). Suntingannya juga tidak banyak membantu (jika dibandingkan dengan filem asalnya yang lebih dinamis dan bertenaga) untuk memberi nafas, walaupun penataan reka seninya agak menarik dan asli.

Runut bunyi filem ini, sepertimana filem Mamat yang lain, sangat hebat dan berjaya membawa semangat nostalgia tersebut. Aku suka dengan sisipan lagu Ben Hur pada waktu Jijo dan rakan penyapu sampahnya menghampiri layar. Poin ini berkait dengan kefahaman (rujuk kredit akhir) bahawa rockers "pengaruh Yahudi", juga gah yang tidak ke mana-mana (they just come to show off). Kelakar dan menghibakan.

Ini masih bukan filem terbaik Mamat, walaupun terdapat beberapa tandatangan Mamat yang kita tunggu-tunggu, lebih-lebih lagi sebagai sekuel kesinambungan terhadap filem asalnya (yang jauh lebih menghiburkan). Ya, filem ini gelap, tetapi gelap yang tidak dikawali dengan kejutan sinematik yang sepatutnya, bergerak halus dan kadang-kadang tersasar. Pun begitu, ia sememangnya dibuat untuk peminat tegar rockers, melihat kembali dunia dan perjuangan mereka, serta pengiktirafan bahawa mereka juga dahulunya pejuang, dan mangsa sejarah.

Klasifikasi Rock Oo!: P13, Beberapa babak kiasan seks, gelap dan kurang bermoral yang  mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak, dan perlu bimbingan ibu bapa/penjaga.
DITONTON DI GSC Pavillion.

01 March 2013

Dekaden Oscar Fajar Baharu FFM

Ah, Oscar ke-85 sudah melabuhkan tirainya dan muncullah pula Festival Filem Malaysia kita yang ke-25.

Bercakap fasal Oscar. Aku teringat dengan ungkapan ini: "Mainlah kad anda dengan cermat."

Jika kalian menontonku dalam Astro Awani Gala TV Plus, aku melahirkan prapilihan aku pada filem yang patut menang, mengikut susur galur politik biasa Academy Awards itu. Ya, aku ada kegemaran peribadi (untuk menang), tetapi aku juga ada pencalonan yang wajar (menang). Tahun ini, aku sebenarnya memilih Zero Dark Thirty untuk menang (walaupun tahu tidak akan) dan menyedari filem Lincoln, Silver Linings Playbook dan Life of Pi akan mendapat banyak ruang. 

Aku terlupa bahawa Oscar dibumbui dengan aksi pelobian paling menakutkan dalam dunia penganugerahan.

Kini, aku benar-benar memahami mengapa Pak Hassan Muthalib menyatakan Oscar "anugerah longkang".

Hassan Muthalib pernah menyatakan "this award is a joke" dan menyatakan "janganlah mempedulikannya." 

Aku tidak faham dan mentah, masih menjulang Oscar sehingga kini.

Sampailah kejadian 25 Februari kelmarin apabila nyata-nyata kemenangan besar Life of Pi boleh dipintas dengan senangnya oleh Argo, dan bagi aku, KERANA SENTIMEN lobi yang dimainkan para media dan kalangan pembikin Hollywood bahawa nama Ben Affleck "terlepas pandang" dalam senarai nominasi pengarah terbaik.

Jika kita perhatikan peratusan "nilai" Metacritic, Rotten Tomatoes, kita akan menyedari peratus "cemerlang" beberapa filem lain melebihi Argo. Malah dalam IMDB (pun menilai Argo agak rendah daripada filem yang lain), filem Argo ditetak dan disindir oleh pengulas amatur. Malah banyak yang melihat "kekuatan realisme" dan ikatan aksi dan drama yang lebih matang dalam Zero Darik Thirty berbanding usaha Argo (rujuk kritikan Roger Ebert) berkenaan cara kerja pihak CIA.

Aku sendiri menyetujui Ebert apabila merasai seram, getir dan sakit filem Kathryn Bigelow itu berbanding dengan "tradisi Hollywood" Argo. Malah Argo mempunyai banyak masalah (sesiapa yang sudah menontonnya akan faham), dan ini pada dasar kekuatan pengarahan dan susunan penceritaan (dan ini membuat aku menyoal kemenangan skripnya).

Nasi sudah menjadi bubur pun.

Apakah rahsia Argo menang? 

Pertama. Tak ramai menonton Lincoln kerana kebosanan. Malah filem ini dirundang malang saat terakhir (selepas filem itu dimaklumkan pencalonan tertinggi praOscar tahun lepas) apabila Tony Kusher dalam sebuah wawancara menyelar Zionis Israel terhadap masyarakat Palestin. Hal ini sudah "menutup peluang" untuk filem ini menang, walaupun Steven Spielberg dan Kusher adalah Yahudi terkenal di Amerika. Filem itu antara filem terkuat tahun ini. Amor pula kerana ianya filem "Peranchis" (kebanyakan pemilih juri adalah rakyat Amerika, kena ingat, walaupun The Artist bikinan Peranchis, tetapi filem itu tentang Hollywood dan Amerika). Beast of Southern Wild antara filem terbaik tahun ini, tetapi publisitinya tidak cukup gah dan meluas, sepertimana nasib Winter's Bone. Weinstein pula akan berhabis-habisan melobi Django Unchained (dan sudah terbukti pun). Zero Dark Thirty pula membawa kontroversi terbesar yang menggugat filem itu, dikecam CIA kerana pemaparan mendera banduan dalam penjara (hal ini realiti dan sudah pun dipaparkan dalam beberapa dokumentari, khususnya drama-dokumentari baik, The Road to Guantanamo[2006]) serta mainan parti pembangkang membantai filem ini kerana "mempropaganda kewajaran Obama kembali ke White House". Filem Life of Pi, Les Misrables, Silver Linings Playbook adalah antara filem "selamat" yang berpeluang kerana tiada kontroversi (antara tiga itu, Silver Linings Playbook buat aku melihat ada kekuatan untuk menang). Sedangkan Argo dikecam (orang Iran), ia jelas-jelas sebuah filem "Hollywood", dan Hollywood amat mengambil berat "pejuang" mereka.

Maka, apa yang berlaku setelah Ben Affleck yang dimainkan media/orang dalaman "ditutup mata" oleh The Academy, menutup mata suatu karya yang merekomendasi kewajaran Hollywood pada dunia?

Dalam dunia ini, apabila suatu empayar atau kerajaan mencapai puncaknya, dan mula merundum (dipanggil tahap dekaden), berlakulah "angkat diri" dan memenangkan kalangan diri. Argo adalah satu contoh terbaik untuk itu, merayakan bukan sahaja unsur dan teknik Hollywood (dan kerana itu kaedahnya klise tanpa pembaharuan berbanding Life of Pi, Beast of the Southern Wild ataupun Zero Dark Thirty) tetapi gah menanda Hollywood sebagai "penyelamat dunia". Pelik, kedua-dua filem, tahun lepas dan tahun ini, menyatakan hal itu, seakan-akan Hollywood takut, filem-filemnya tidak relevan lagi apabila kemunculan beberapa sinema baharu yang merentap kewajaran mereka. Kini, dua buah industri perfileman selalu diperkatakan, yakni Iran dan Korea Selatan. Kalangan pembikin Hollywood pun merasa "gangguan"nya, termasuk pemerhati filem. New Zealand, Australia dan UK juga sedang menghadapi "pencerahan baharu". Ini yang ditakutkan Hollywood, malah anugerah dan filem keluaran Eropah juga sedang membara. Filem-filem Amerika Selatan, Sepanyol dan kumpulan Latin juga sedang menampakkan taring kerelevannya (rujuk berapa ramai pengarah Latin dibawa masuk Hollywood membikin filem di Amerika Utara). Sampai ada yang menyatakan: "Hollywood masih hidup kerana Pixar, itu sahaja."

Dunia sedang berkecamuk dan Hollywood perlu melakukan sesuatu.

Aku berani menyatakan hal ini, kerana jika diteliti Twitter, kebanyakan pengarah/kru filem memilih Argo, walaupun MEREKA TIDAK MENONTONNYA. Mengapa? Mainan sentimen yang dilobikan di atas. Hal ini benar dan jelas (kru filem, lebih-lebih lagi yang bekerja tidak akan ada masa untuk memilih pengundian dalam masa pendek, walaupun dalam talian).

Aku teringat, Seniman Bujang Lapok, "Eh, apa ini punya cincin?" tanya Samsudin pada cincin hikmat. Selepas ini, aku menyedari, tidak usahlah susah-susah menonton KESEMUA filem Oscar (kerana nominasi itu jelas hanya tujuan promosi untuk umum menonton, bukan penilaian prestij) tetapi teliti berita media dan cakap-cakap orang industri filem masuk Oscar, di situ kita boleh "mengagak" filem mana yang akan menang. Kerana dekaden tidak memilih nilai dan kandungan, tetapi hip, dalam berita dan belas kasihan.

Sinar Baharu untuk FFM

Walaupun murungnya Oscar, ada suatu sinar baharu untuk Festival Filem Malaysia ke-25 kali ini.

Aku tidak tahu, entah mekanisme apa yang pihak Finas dan kalangan penganjur guna untuk kaedah pengundian nominasi terakhir, tetapi senarai pencalonan akhir (nominasi) kali ini merupakan pencalonan paling sempurna, wajar dan mapan dalam sejarah FFM.

Lihat sahaja pencalonan "pelakon terbaik" yang mana dilihat kekuatan pelakon yang berlakon betul-betul, tidak ada lagi kerana desakan "populariti" (contohnya, nama Aaron Aziz tersingkir) ataupun perangkap genre (drama merupakan ruang paling jelas untuk menilai pelakon. Walaupun SAM sebuah genre ngeri, ia sebuah filem ngeri yang memerlukan lakonan penuh penghayatan para pelakonnya). Anugerah Cipta baru-baru ini turut memilih "yang sebenarnya" dan sepatut pun.

Kali ini, aku berbangga dengan senarai nominasinya. Jika Songlap, contohnya, mendapat pencalonan tertinggi, jumlah pencalonan itu bolehlah diletakkan atas DVD sebagai pengiktirafan berasas (yang selalu dibikin pengedar filem Barat, nominasi Oscar juga penting). Ini termasuklah buat beberapa filem-filem minor yang tercalon, bukan lagi seperti tahun dahulu yang mana kita hanya melihat pada "yang menang". Ini suatu institusi baharu.

Pencerahan baharu ini memberi aku rangsangan positif terhadap industri perfileman kita. Syabas Finas kerana perubahan yang membuka mata ini. Kali ini, anugerah FFM rasa "penting" dan perlu diperhatikan. Malah sememangnya acara kemuncak sebenar anugerah filem tempatan lain (Anugerah Skrin, Anugerah Blokbuster, Anugerah Oskar Malaysia).

Aku tidak ada masalah dengan kelewatan anugerah ini pada tahun ini (bukan tahun lepas). Rujuk sahaja Academy Awards pada setiap bulan Februari yang menjadi acara kemuncak kesemua anugerah filem dunia (kononnya!) Maka apabila FFM contohnya, dijalankan pada hujung Disember atau awal Januari (mungkin kerana mengejar pelobian Academy Awards, tak silap aku, Anugerah FFI pada Disember, termasuk anugerah Kinrara di Thailand, Disember), ia seakan-akan acara kemuncak yang "menutup" segala acara anugerah yang sudah berkumandang. Memasuki pencalonan FFM kali ini terasa nilai prestijnya, siapa yang tercalon (walaupun mungkin ada yang aku tidak bersetuju, biasalah) merasa "weight" kehadirannya dalam senarai itu.

Tahniah Finas. Tahniah para penggerak filem kita. 

Dengan harapan baharu ini, biarlah terbuka mata, filem bagaimanakah yang seharusnya kita gerakkan untuk bikinan kita, untuk kita raikan - dan tonton.