Ah, menonton Hantu Kak Limah Balik Rumah tahun lepas adalah suatu fasa fenomena filem Malaysia. Aku menyedari sesuatu yang menarik, yang menjadikan filem-filem Mamat Khalid ini sesuatu yang bukan boleh ditonton secara lalu tetapi seharusnya diambil, sebabak demi sebabak seperti penonton menganalisa filem mendiang Stanley Kubrik, setiap satu babak dan imejannya bermaksud, menyampaikan maksud-maksud tertentu yang dapat dikod kepada pelbagai intepretasi. Perkara ini menjadikan seseorang pengarah itu intelektual dan filemnya cerdik. Hal ini ada dalam filem-filem Allahyarham P. Ramlee.
Sedihnya, kita kini dalam fasa majoriti penonton filem Melayu yang hanya inginkan "cheap tricks" (ini pengakuan David Teo dan Razak Mohaideen dan mengapa filem-filem sebegini yang terus dibikin oleh mereka) dan hiburan murahan ("Kita berikan apa penonton nak," kata kedua-dua tokoh itu). Hantu Kak Limah dibikin dengan gaya "B-film", sebuah filem dalam erti kata pengkritik Barat sebagai "trash". Aku sendiri mengaku, filem Hantu Kak Limah "is a good trash", seantaro John Walters. Malah "mesej utama" filem itu sebenarnya adalah menyindir penonton yang terlalu disuap-suapkan dengan filem hantu (Mamat sendiri mengaku, beliau tidak percaya dengan tahyul). Apa yang mamat hendak katakan ialah, "Eh, macam ni kau nak terhibur?" Lalu terhiburlah kita, mengikut, malah meletup filem itu. Tetapi, adakah "subtle message" itu sampai (yakni menyuruh penonton biasa ini mencerdikkan minda mencari makna sebalik dan mencari filem yang lebih baik)? Apakah kita tersedar? Apakah kita peduli?
Yang aku tahu, pembikin kita yang terikat dengan syaitan besar bernama kapitalisme menjadi buta, lalu terkeluarlah filem-filem salinan Hantu Kak Limah, berlambak-lambak yang diakhiri dengan tahun ini dengan Ponti vs. Orang Minyak (2012). Semuanya mengikut "kita berikan apa yang penonton nak" sedangkan dengan jelas, Hantu Kak Limah menyatakan sebaliknya.
Aku tahu hal ini apabila aku tidak lagti skeptikal menonton filem "ketiga" trilogi Kampung Pisang ini, aku sedar bahawa filem Mamat ini tidak akan menyampaikan "lawak bodoh" tiada isi yang biasa diterbitkan oleh penerbit lain.
Benar, itulah yang aku dapat. Kali ini, aku terfikir, adakah Mamat hendak "menjentik" hal yang sama kepada penonton? Suatu perkara yang amat mengejutkan, dan "bahaya" buat aku, menunjukkan betapa berani dan jujurnya Mamat sebagai penggerak seni adalah dengan menyuntik hal politik semasa yang bagi aku kali ini AMAT JELAS dan amat sesuai sebelum kehadiran Pilihanraya. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, pandangan Mamat jujut dan tulus tentang "ambang kiamat" yang "orang Melayu" akan hadapi pada PRU kali ini. Aku tidak akan menyatakan apa-apa, hanya ada pemaknaan jelas tentang dua parti politik besar yang dimainkan dalam filem ini (serta dua tokohnya), satunya yang kini memang dipinggirkan oleh orang Melayu, satu lagi dibayangkan sebagai "bersih" tetapi membawa kepada jalan menuju "sistem Singapura".
Dan masyarakat (penanda: orang kampung) terus sahaja dibutakan oleh "media" dan "kata-mengata", mengangguk kepada setiap cakap dan cerita. Husin (Awie) yang menjadi simbol (jati diri) dipersisihkan. Ini nampak melankolik, semangat (kata-kata tulus Mamat) yang "benar" akan dipinggirkan. Ini suatu zaman baharu, zaman "apakolips" buat Mamat bagi bangsanyta.
Aku akan berikan sedikit sahaja klu, Dr. Shamsudin (Rashidi Ishak) ada kaitan dengan nama "Jins Shamsudin". Untuk mengetahui dengan lebih jauh tentang perkaitan ini, penonton (yang tak nampak) haruslah membaca sejarah Jins Shamsudin dan perkaitannya dalam sejarah filem, khusus era Jalan Ampas. Hal ini dengan jelas menampilkan dengan "kuasa media" yang amat mencuit bagi aku apabila "Dr. Shamsudin" ini boleh "menampakkan yang benar" atau "di sebalik" (media) kepada orang kampung (yang sebenarnya ada maksud lain). Hal ini seperti menyatakan makna "lidah bercabang". Ini antara kekuatan Mamat Khalid.
Hal ini menarik, tetapi mendukakan, kali ini, kuasa dramatik dan tempo komedi Mamat tampak tersasar, jika Hantu Kak Limah, kita lihat semuanya disusun elok. Kali ini, mungkin kerana kematian Zami Ismail (yang amat hebat dalam filem ini) atau ketiadaan Johan, serta kemasukan beberapa watak baharu dan membesarkan beberapa watak cameo daripada Hantu Kak Limah (yang lemah dan cukup keluar sekali-sekala sahaja). Dinamisme lakonan yang aku temui dalam filem sebelum hilang atau "porak-peranda" dalam filem ini, diperlemahkan oleh beberapa pelakon yang bukan pelakon. Terdapat beberapa babak dan syot yang bagi aku juga hilang kekuatannya, serta tempo pergerakan motivasi. Ada pelbagai babak "teruja" yang sengaja menampilkan takut-seram yang sempurna dalam filem sebelum. Dalam filem ini, sepatutnya ada hal itu, tetapi kini tampak terbuat-buat dan tiada kawalan yang betul. Malah, lagu rock balada "video klip" Lamunan Terhenti sepatutnya seikonik Cinta Kristal. Tetapi hal itu tidak berlaku, ia kelihatan "diulang", penat dan tiada upaya. Hal ini (execution) yang menyebabkan terhilang sakti yang wujud dalam filem terdahulu. Ada CGI menarik berkiatan "jin pakai toncit" dan "hantu macam Dementor Harry Potter" tetapi masih tidak dapat membantu gegeran lemah yang sudah dilaksanakan oleh suntingan dan peredaran cerita.
Sekurang-kurangnya, filem ini, masih lebih senang ditonton jika aku tonton segala komedi-seram yang ditayang, yang hanya memberi "apa yang penonton nak" daripada memberi apa yang "sebenarnya penonton perlu".
Klasifikasi Untuk Tiga Hari: U, Beberapa babak separa seram yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak.
DITONTON DI GSC Ipoh Parade. [AKAN DITAYANG 7 FEBRUARI 2013]
9 comments:
rebiu malaysian shorts baru tda ker?
Aku suka perlambangan tentang dua parti politik tu
Salam Fad, bro orang ipoh ke?
"..tetapi seharusnya diambil, sebabak demi sebabak seperti penonton menganalisa filem mendiang Stanley Kubrik.." - KERJA GILER DAN SIA SIA.
anon palat, kerana tu ramai mcm engkorang hanya tahu hiburan sia2 dan bodoh sampai bila2
Kalau nak pengganti seniman p ramlee, inilah...mamat khalid walaupun tak sehebat seniman agung! Jgn nanti bila dah tak ada di alam fana ni baru sibuk nak ingat! Korang akan tengok filem mamat khalid berulang kali tanpa jemu mcm filem p ramlee!!! Filem yg sinis dlm tawa! Fikirkan!
Habis tonton filem ni gua terbayang-bayang quote dari che det. Better the devil you know than the angel you don't. Ada kaitan ke?
Aku baru tgk tadi, tak berapa best lah kalau aku nak compare dgn kak limah.
Setuju...Kak Limah 1 lebih bagus drp yg ini. But perlambangan yg dibawa oleh sang Pengarah kali ini lebih berat drp buah tangan sebelum ini. Perlu menghidupkan akal utk mencerap maksud tersirat yg disampaikan melalui Kak Limah 2.
Post a Comment