29 August 2011

Ya Allah, Merdeka dan Raya Jadi Bermakna Kerana ni...



Ramai yang bertanya, apa dah jadi dengan blog aku waktu Ramadan ni. Ni hari terakhir Ramadan(?) dan aku sebenarnya dah lama tak masuk tenet, iye, adalah, tapi takde masa, ya, beramal satu hal, tapi hal yang lagi teruk lagi ialah menangani buku teks dan buku aktiviti kementerian, yang memang, buat aku, adalah pas bunuh diri untuk mana-mana orang bernama PENULIS. Yeap..

Jadi aku terlalulah sibuk, walaupun adalah aku tonton filem, adalah beberapa, macam aku tonton Conan the Barbarian, yang sebenarnya OK khusus awalnya (sangat nak tiru LOTR, tapi seronok tengok ketelitiannya ikut komik asalnya, khusus dalam keluasan dunia, seks, kejam dan suara kasarnya) dengan satu bab aku terkekeh ketawa bila ada babak si Conan tu siap memekik, "Dey!" Wahh, Tamilwood kejap! Kemudian ada Arakhan lakonan Amitach Bachan yang sungguh kuat (dan ini sebuah filem yang aku tak faham mengapa golongan India dalam pawagam semua tak tepuk sedang aku serta beberapa penonton lain yang aku kira berkasta tinggi menepuk, woppsss), dan kemudian, sebuah filem Indonesia yang begitu indah aku tonton di rumah Azwan, tahun 1986 oleh Teguh Karya, Ibunda.

Ibunda, wah, sinema Teguh.. wah, wah.. aku rasa nak menangis tonton filem besar ni.. Ya, ianya sebuah drama yang serius, walaupun seakan menghala ke melodrama (tetapi tidak, benar!), sebuah filem "drama keluarga" yang sekuat Abang Rahim Razali, yang mana filemnya walaupun berintikan kekeluargaan, ia mempunyai pemaknaan dalam yang lebih menyerlah dan kritis terhadap masyarakat pada waktu itu.

Filem dimulakan dengan pengucapan seorang kakak tentang "perilaku" salah seorang pemuda Irian Jaya mengintip bunga menyunting adiknya, sedang ibunya (lakonan yang sungguh klasik dan kuat oleh Tuti Indra Malaon) memberi komentar-komentar sederhana dan agak "kontra" (golongan tua yang kelihatan lebih terbuka sedang anaknya, si golongan muda yang terlalu terikut "kelas" memperlekehkan si lelaki Irian Jaya) dengan anaknya.. Pada bahagian ini pun, dengan gerak kamera biasa tetapi luar biasa dalam penangkapan, kita melihat si ibu yang bergerak tegak dan tegas, walaupun tidak keruan, dalam skop mikro (dalam rumah), dengan ruang yang serba sempit tetapi selesa. Keselesaan dan keriuhan si ibu, kakak dan kemudian
kehadiran si adik (Ira Irawan) menampakkan lagi kebiasaan "realisme" dan dinamisme kekeluargaan. Aku menyedari, ini sebuah filem "biasa yang luar biasa".

Filemnya mempunyai satu poin kuat, bagaimana dengan kehadiran seorang wanita, ibu, menjadi tunggak "keluarga", mempunyai misi secara diam untuk mendapatkan keharmonian, perpaduan dan penerusan masa depan "keluarga"nya. Hal ini, secara dalam dasar, aku sedar, adalah semangat nasionalis Teguh terhadap negaranya. Si Ibu sebenarnya adalah seperti si Ibu dalam Mother India, simbol srikandi negara dalam memperjuangkan perpaduan hidup "anak-anaknya". Secara realiti masa, ia memaparkan bagaimana generasi muda anak-anak si ibu sudah lupa terus dengan perjuangan sebenar Indonesia (dan secara tersirat, makna pancasila) kerana materi dan perubahan moden masyarakat. Ini disimpul lagi dengan pemahaman kuat si anak pelakon berlakon dalam "Malim Kundang" moden, satu transliterasi legenda Si Tanggang kita. Si Ibu dipaparkan sebagai simbol suci yang "tiada berubah" dan memohon si anak agar "kembali ke pangkuan yang benar dan dikasihi", seperti itulah misi diam si Ibu moden dalam mendapatkan hak kebenaran dan jati diri anak-anak mereka agar menyedari apa yang penting dalam hidup (iaitu rahsia penerusan hidup).

Malah kita faham lagi, bila susuk si pemuda Irian Jaya itu merupakan "kunci" perpaduan keluarga (dan generalisasi dan salah tanggap) tersebut, seperti mana Irian Jaya pada waktu itu yang baru dimasukkan ke dalam republik tersebut(?)

Filem ini tetap lemah, dengan beberapa persoalan plot, sepertimana si kekasih malam Alex Komang yang secara bendul tidak mungkin tidak tahu Alex masih beristeri dan anak, serta beberapa suntingan babak yang kelihatan terlompat dan meloncat dari strata logik wayang.

Tetapi keseluruhannya ia merupakan sebuah filem kemenangan. Akhir babak, kita lihat si Ibu, dalam diam "menang" kerana berjaya "mensejahterakan" keluarganya, termasuk kehadiran si pemuda Irian Jaya tersebut ke dalam keluarga itu. Ini disimbolkan dengan gambar foto yang diambil di luar rumah, sebuah gambar foto yang kelihatan "ada cacat" tetapi "sempurna" kerana semuanya khusyuk melihat si penangkap gambar, wawasan dan impian si ibu dikecapi, pasti. Lantas, si ibu, tidak lagi diberi satu tangkapan skop mikro, tetapi luas, dengan perkarangan rumah dan rumahnya.. Dia berdiri sendiri sebagai seorang srikandi yang teguh, sepertimana Indonesia sepatutnya...

Begitulah hebat filem Teguh.. dan aku sungguh terpesona pada pagi ini juga, atas berita yang aku dengar berkenaan filem yang aku tunggu-tunggu iaitu BUNOHAN.. Inilah yang menyebabkan aku bangun bersemangat, walaupun penat berpuasa, untuk aku kongsi KEMENANGAN ini buat filem kita, bersama:

FILEM BUNOHAN BAKAL DILANCARKAN DI FESTIVAL FILEM ANTARABANGSA TORONTO; MENDAPAT UNIVERSAL PICTURES SEBAGAI PENGEDAR

Filem aksi-drama yang dinanti-nantikan, Bunohan akan ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto ke-36 (TIFF) sebagai tayangan perdana di peringkat antarabangsa. Bunohan dipilih secara rasmi untuk festival ini dalam seksyen Discovery yang memaparkan filem-filem daripada pembikin-pembikin filem yang meningkat naik dari seluruh dunia.

Menurut Giovanna Fulvi, programmer kepada TIFF:
"Sekali pandang, ianya realistik dan bergaya. Bunohan adalah filem yang mempunyai kuasanya tersendiri. Arahan Said yang mantap, menjamin persembahan yang kuat daripada barisan pelakonnya, yang hampir keseluruhannya lelaki. "

TIFF, festival yang paling berprestij di Amerika Utara akan berlangsung pada 8-18 September 2011, sementara Bunohan ialah satu-satunya filem yang mewakili Malaysia pada tahun ini.

Pembikin filem Dain Said mempunyai sebuah lagi alasan untuk berbangga bulan ini. Bunohan telah berjaya mendapat pengedaran antarabangsa bersama Universal Pictures untuk UK, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.

Bila dihubungi Bangkok di mana beliau sedang menyiapkan filemnya untuk dihantar ke Toronto, Dain berkata, "Ini adalah berita gembira. Saya benar-benar tidak mengharapkan apa-apa, tetapi sekarang ianya terjadi. Apa yang boleh saya katakan? Saya berasa teruja, terutamanya untuk semua tenaga produksi dan para pelakon yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjayakan filem ini. '

Filem ini dibintangi Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim, yang turut dibantu oleh Bront Palarae, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Sofi Jikan, Amerul Affendi, Hushairy Hussein dan Jimmy Lor. Selain mereka, kami juga berbangga mempunyai model tinggi lampai Tengku Azura dan pengarah indie Ho Yuhang.

Filem ini ditulis dan diarahkan oleh Dain Said, dan diterbitkan oleh Nandita Solomon. Tim Kwok dari Entertainment Convergence pula bertindak sebagai Penerbit Bersama. Bunohan dihasilkan oleh syarikat perfileman Apparat yang dimiliki oleh Dain sendiri dan diwakili di peringkat antarabangsa oleh Easternlight Films.

pautan penting:
http://tiff.net/filmsandschedules/tiff/2011/bunohan

No comments: