29 August 2011

Ya Allah, Merdeka dan Raya Jadi Bermakna Kerana ni...



Ramai yang bertanya, apa dah jadi dengan blog aku waktu Ramadan ni. Ni hari terakhir Ramadan(?) dan aku sebenarnya dah lama tak masuk tenet, iye, adalah, tapi takde masa, ya, beramal satu hal, tapi hal yang lagi teruk lagi ialah menangani buku teks dan buku aktiviti kementerian, yang memang, buat aku, adalah pas bunuh diri untuk mana-mana orang bernama PENULIS. Yeap..

Jadi aku terlalulah sibuk, walaupun adalah aku tonton filem, adalah beberapa, macam aku tonton Conan the Barbarian, yang sebenarnya OK khusus awalnya (sangat nak tiru LOTR, tapi seronok tengok ketelitiannya ikut komik asalnya, khusus dalam keluasan dunia, seks, kejam dan suara kasarnya) dengan satu bab aku terkekeh ketawa bila ada babak si Conan tu siap memekik, "Dey!" Wahh, Tamilwood kejap! Kemudian ada Arakhan lakonan Amitach Bachan yang sungguh kuat (dan ini sebuah filem yang aku tak faham mengapa golongan India dalam pawagam semua tak tepuk sedang aku serta beberapa penonton lain yang aku kira berkasta tinggi menepuk, woppsss), dan kemudian, sebuah filem Indonesia yang begitu indah aku tonton di rumah Azwan, tahun 1986 oleh Teguh Karya, Ibunda.

Ibunda, wah, sinema Teguh.. wah, wah.. aku rasa nak menangis tonton filem besar ni.. Ya, ianya sebuah drama yang serius, walaupun seakan menghala ke melodrama (tetapi tidak, benar!), sebuah filem "drama keluarga" yang sekuat Abang Rahim Razali, yang mana filemnya walaupun berintikan kekeluargaan, ia mempunyai pemaknaan dalam yang lebih menyerlah dan kritis terhadap masyarakat pada waktu itu.

Filem dimulakan dengan pengucapan seorang kakak tentang "perilaku" salah seorang pemuda Irian Jaya mengintip bunga menyunting adiknya, sedang ibunya (lakonan yang sungguh klasik dan kuat oleh Tuti Indra Malaon) memberi komentar-komentar sederhana dan agak "kontra" (golongan tua yang kelihatan lebih terbuka sedang anaknya, si golongan muda yang terlalu terikut "kelas" memperlekehkan si lelaki Irian Jaya) dengan anaknya.. Pada bahagian ini pun, dengan gerak kamera biasa tetapi luar biasa dalam penangkapan, kita melihat si ibu yang bergerak tegak dan tegas, walaupun tidak keruan, dalam skop mikro (dalam rumah), dengan ruang yang serba sempit tetapi selesa. Keselesaan dan keriuhan si ibu, kakak dan kemudian
kehadiran si adik (Ira Irawan) menampakkan lagi kebiasaan "realisme" dan dinamisme kekeluargaan. Aku menyedari, ini sebuah filem "biasa yang luar biasa".

Filemnya mempunyai satu poin kuat, bagaimana dengan kehadiran seorang wanita, ibu, menjadi tunggak "keluarga", mempunyai misi secara diam untuk mendapatkan keharmonian, perpaduan dan penerusan masa depan "keluarga"nya. Hal ini, secara dalam dasar, aku sedar, adalah semangat nasionalis Teguh terhadap negaranya. Si Ibu sebenarnya adalah seperti si Ibu dalam Mother India, simbol srikandi negara dalam memperjuangkan perpaduan hidup "anak-anaknya". Secara realiti masa, ia memaparkan bagaimana generasi muda anak-anak si ibu sudah lupa terus dengan perjuangan sebenar Indonesia (dan secara tersirat, makna pancasila) kerana materi dan perubahan moden masyarakat. Ini disimpul lagi dengan pemahaman kuat si anak pelakon berlakon dalam "Malim Kundang" moden, satu transliterasi legenda Si Tanggang kita. Si Ibu dipaparkan sebagai simbol suci yang "tiada berubah" dan memohon si anak agar "kembali ke pangkuan yang benar dan dikasihi", seperti itulah misi diam si Ibu moden dalam mendapatkan hak kebenaran dan jati diri anak-anak mereka agar menyedari apa yang penting dalam hidup (iaitu rahsia penerusan hidup).

Malah kita faham lagi, bila susuk si pemuda Irian Jaya itu merupakan "kunci" perpaduan keluarga (dan generalisasi dan salah tanggap) tersebut, seperti mana Irian Jaya pada waktu itu yang baru dimasukkan ke dalam republik tersebut(?)

Filem ini tetap lemah, dengan beberapa persoalan plot, sepertimana si kekasih malam Alex Komang yang secara bendul tidak mungkin tidak tahu Alex masih beristeri dan anak, serta beberapa suntingan babak yang kelihatan terlompat dan meloncat dari strata logik wayang.

Tetapi keseluruhannya ia merupakan sebuah filem kemenangan. Akhir babak, kita lihat si Ibu, dalam diam "menang" kerana berjaya "mensejahterakan" keluarganya, termasuk kehadiran si pemuda Irian Jaya tersebut ke dalam keluarga itu. Ini disimbolkan dengan gambar foto yang diambil di luar rumah, sebuah gambar foto yang kelihatan "ada cacat" tetapi "sempurna" kerana semuanya khusyuk melihat si penangkap gambar, wawasan dan impian si ibu dikecapi, pasti. Lantas, si ibu, tidak lagi diberi satu tangkapan skop mikro, tetapi luas, dengan perkarangan rumah dan rumahnya.. Dia berdiri sendiri sebagai seorang srikandi yang teguh, sepertimana Indonesia sepatutnya...

Begitulah hebat filem Teguh.. dan aku sungguh terpesona pada pagi ini juga, atas berita yang aku dengar berkenaan filem yang aku tunggu-tunggu iaitu BUNOHAN.. Inilah yang menyebabkan aku bangun bersemangat, walaupun penat berpuasa, untuk aku kongsi KEMENANGAN ini buat filem kita, bersama:

FILEM BUNOHAN BAKAL DILANCARKAN DI FESTIVAL FILEM ANTARABANGSA TORONTO; MENDAPAT UNIVERSAL PICTURES SEBAGAI PENGEDAR

Filem aksi-drama yang dinanti-nantikan, Bunohan akan ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto ke-36 (TIFF) sebagai tayangan perdana di peringkat antarabangsa. Bunohan dipilih secara rasmi untuk festival ini dalam seksyen Discovery yang memaparkan filem-filem daripada pembikin-pembikin filem yang meningkat naik dari seluruh dunia.

Menurut Giovanna Fulvi, programmer kepada TIFF:
"Sekali pandang, ianya realistik dan bergaya. Bunohan adalah filem yang mempunyai kuasanya tersendiri. Arahan Said yang mantap, menjamin persembahan yang kuat daripada barisan pelakonnya, yang hampir keseluruhannya lelaki. "

TIFF, festival yang paling berprestij di Amerika Utara akan berlangsung pada 8-18 September 2011, sementara Bunohan ialah satu-satunya filem yang mewakili Malaysia pada tahun ini.

Pembikin filem Dain Said mempunyai sebuah lagi alasan untuk berbangga bulan ini. Bunohan telah berjaya mendapat pengedaran antarabangsa bersama Universal Pictures untuk UK, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.

Bila dihubungi Bangkok di mana beliau sedang menyiapkan filemnya untuk dihantar ke Toronto, Dain berkata, "Ini adalah berita gembira. Saya benar-benar tidak mengharapkan apa-apa, tetapi sekarang ianya terjadi. Apa yang boleh saya katakan? Saya berasa teruja, terutamanya untuk semua tenaga produksi dan para pelakon yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjayakan filem ini. '

Filem ini dibintangi Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim, yang turut dibantu oleh Bront Palarae, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Sofi Jikan, Amerul Affendi, Hushairy Hussein dan Jimmy Lor. Selain mereka, kami juga berbangga mempunyai model tinggi lampai Tengku Azura dan pengarah indie Ho Yuhang.

Filem ini ditulis dan diarahkan oleh Dain Said, dan diterbitkan oleh Nandita Solomon. Tim Kwok dari Entertainment Convergence pula bertindak sebagai Penerbit Bersama. Bunohan dihasilkan oleh syarikat perfileman Apparat yang dimiliki oleh Dain sendiri dan diwakili di peringkat antarabangsa oleh Easternlight Films.

pautan penting:
http://tiff.net/filmsandschedules/tiff/2011/bunohan

03 August 2011

Akan Datang: Songlap(2011)

Selain daripada Bunohan dan Hanyut, nampaknya filem ini turut memasuki senarai MESTI TONTON aku serta kuasa menggegar senarai FFM yang biasa-biasa je tahun ini:

Perca-perca Filem Julai 2011

The Diving Bell and the Butterfly(2007)
Aku jatuh cinta dengan Schnabel selepas Before Night Falls, antara filem kegemaran peribadi aku. DVD ni aku beli kat Bangkok tahun lepas (tulen eh!) dan aku kira, dah lima kali aku cuba tonton filem ni. Setiap kali aku pasang, dalam masa 10 minit, aku dah rebah. Air liur tersembul sampai mata tutup. Jadi pada Syaaban lepas, semasa puasa, aku azamkan diri aku, aku kata, aku boleh, aku boleh, aku boleh habiskan tonton filem ni, ternyata, yey! Tetapi bukan itu sahaja, aku terkesima akan kecantikan wayangnya. Schnabel sekali lagi membawa puisi di dalam lekapan imej-imejnya (dan kali ini, imejnya begitu terjaga dengan pandangan mata pertama). Kali ini di "dalam" mata seorang pasca pesakit angin ahmar yang kronik. Kita diberi dua "ilusi", hendak "mematikan" si watak di mana kita "melihat melaluinya" dengan perspektif kita terhadapnya yang bukan-bukan (dengan itu, kita menjemput diri kita berlegar ke dasar laut dengan baju besi yang dipakai Mathieu Amairic) atau kita mahu meneruskan untuk Amairic sembuh. Di sini "harapan" filem ini memenuhi, pertamanya kenyataan hidup yang "hidup" berkenaan Amairic si pesakit Jean-Dominique Bauby editor Elle Peranchis waktu itu dengan pelbagai kaedah yang digunakan supaya dia dapat "berkomunikasi dengan dunia luar", kedua "mimpi" lampau-sekarang-masa depan Jean-Do, di satukan dalam satu benang yang elegan sekali gus bernyawa. Emosi setentunya memenuhi, lagi-lagi dengan sikap kekeluargaan yang diambil oleh filem ini. Tetapi, seperti kuatnya Schnabel, pemikiran tentang "imaginasi manusia" melihat sekelilingnya, imej-imej "dalam ingatan dan khayalan" yang membuatkan filem ini menjadi filem yang begitu indah, tersulam benar dengan makna percakapan "soliquy" Bauby tentang dirinya dan harapan. Memang, menonton filem ini, kita perlu merasai "nada" filemnya, bukan ceritanya. Akhirnya, kita sudah tahu "mendepani" kehabisan Bauby, tetapi kita menjumpai lebih dari itu, kita menjumpai kehidupan, yang membuat kita "hidup" di dunia.



Captain America:The First Avenger(2011)
Afasal dunia komik Marvel di filem makin lama makin berkuasa berbanding DC Comics yang hanya boleh bersandar atas Batman Christopher Nolan kali ni? Contohnya dunia "avenger" yang ini, arahan Joe Johnston, sebuah formula Hollywood yang cukup serba-serbi, khusus babak yang membuat semua wanita swoon bila CGI kurus keding Chris Evans berubah tubuh mampatnya. Filemnya paling senang tetapi juga menyeronokkan. Keseimbangannya cukup. Paling menarik, ia "cuba" membawa suatu harapan Amerikana yang sudah lama kita tidak kenali (pra Perang Dunia Kedua?), hidup atas perjuangan dan cinta yang betul (ini semestinya fantasi anak-anak). Satu soalan menarik: Adakah Captain America satu satira simbol "alat/diperalatkan" Kerajaan? Mesej seronok: seorang pejuang sebenar takkan ada masa untuk bersenggama atau mencapai libido impiannya.

Incendies(2010)
Filem dari Kanada (latar Timur Tengah, khusus Lebanon dan Palestin) yang sangat berkuasa. Filem sebegini mengembalikan aku kepada kenapa aku suka filem-filem seperti The Killing Fields dan Cry Freedom. Sahutannya jujur berkenaan seorang manusia yang sudah mengenali hidup pelbagai kaum/agama sebelum negara itu mengenalinya (atau tidak pernah mengenalinya). Perasaan yang cukup sedih, yang aku rasa sendiri bila di Oxford, kenapakah kita manusia, hanya dapat celik merasai kebenaran perpaduan dan negara apabila berada di negara orang lain? Cerita ini mengambil idea "keluarga" dengan asosiasi nasional, hidup bersama pelbagai agama, dan perang antara agama. Klimaks Melodrama kekeluargaannya dapat mengalahkan kejutan Darth Vader terhadap Luke. Sape kata Darth Vader tak sayang anak?

Ichi the Killer(2001)
Ahh, di sini rupanya Takashi Miike bermula berhadam dengan komik, ganas dan unsur seram (atau sebelum itu ada?) Antara bapak prono darah dan di sini, melakukan adikaryanya dengan seJepun mungkin, dengan hentakan ketawa setaraf (tetapi tidak seslapstik) Brain Dead Peter Jackson. Rupanya, darah juga boleh dibawa ke taraf seni ya? Pergerakan cerita dan kamera, begitu terkini aku kira untuk zamannya, walaupun secara dasar, filem ini konvensional genre jenayah dan keluarga yang kadangkadang terikat dengan logik filem prono. Tetapi "hati gelap" sebelum Audision Miike terhadap psikologi pembunuhan dan dendam, serta bagaimana filem ini "dihabiskan" merupakan antara hati gelap Jepun yang terbaik yang pernah di bawa ke layar.

Alangkah lucunya (negeri ini)(2010)
Arahan Deddy Mizwar tidak pernah gagal. Dan selalunya, ia mempunyai isi yang jauh dan selalu melawan mana-mana komedi Malaysia 90-an. Idea filem ini berat serta berpolemik menarik: bagaimana kita yang terpelajar mendidik pencopet duit menjadi baik tetapi dalam masa yang sama menerima duit si pencopet yang mencopet sebagai upah? Imej wayang dalam Mizwar kuat, dan ini ditampakkan dalam pembukaan filem ini, antara yang terbaik dalam sinema Indonesia. Pembukaan dialog "Kenapa kamu senang-senang mencopet sedang aku susah mahu cari duit?" "Dah, saya pencopet" terus mengikat kita, melihat liciknya "falsafah dalam lawak" orang Indonesia yang tipikal. Semuanya ada perlambangan, baik mengkritik kerajaan, masyarakat, individu yang menyeronokkan. Satu babak yang menggeli hati ya amat untuk orang Malaysia: babak bila pegawai buruh minta si penganggur ke Malaysia sambil si penganggur terkhayal dia dirotan imigresen kita! Tempo filem ini mula "bosan" apabila memerangkap dirinya dalam melodrama dan satu babak "runut bunyi" yang panjang sepertimana filem Melayu (bila tak tahu macam mana lagi caranya nak menceritakan mis-en-scennya kepada penonton). Tetapi pengakhiran yang "calang-calang simfoni sosial" serta kuat makna politikalnya tetap menyengat penonton dengan persoalan besar filem ini berkenaan kemiskinan orang Indonesia serta cara menanganinya (dan siapa yang sanggup mendepani keabsahannya). Sememangnya, orang Indonesia adalah jaguh filem-filem berfalsafah sosial (disiplin sosial, bukan komunis sepertimana yang dibaca bebal oleh orang kita).