Showing posts with label Effendee Mazlan. Show all posts
Showing posts with label Effendee Mazlan. Show all posts

19 December 2011

Songlap(2011): Cerita Tamat Kalau Ad Tengok "Uh-uh" Mak Dia

"Kota, kalau malam takde bintang"
-Razak

Ok, aku tonton filem ini dua kali sebelum boleh mengulas, hanya kerana ingin melalui satu pengalaman sinema yang jarang-jarang aku dapat rasa dalam sebuah filem Melayu. Aku risau juga kalau impak atau perasaan yang aku rasa mula-mula itu "menipu" lantas aku tonton sekali lagi. Hal sebegini, membuang duit aku semata-mata untung syarikat perfileman disebabkan aku melihat sebuah filem yang punya "cinematic feel" yang perlu aku lawati sekali lagi, hal ini jarang-jarang berlaku dan aku buat, hanya beberapa filem, termasuk beberapa filem Hollywood yang aku buat begini.

Filem ini adalah antaranya.

Filem ini dibuka dengan sikap "jauh melihat dalam" (long take), yep, kita, penonton, seakan "memerhati dari jauh". Kita sebenarnya sekali lagi dibawa masuk dalam suatu "realiti" visceral seperti mana yang ada dalam ... Dalam Botol. Kita merupakan "si pemerhati" yang mana memahami ini bukan filem "hiburan semata-mata" tetapi refleksi kebenaran hidup. Perhatikan betul-betul, mengapa latar bawah jambatan ini diambil. Pertama, kita lihat Ad (Syafie Naswip) dari belakang (atau memang mula-mula kita tidak tahu siapa dan mengapa dia di situ, membawa persoalan, sekali gus, memahami imej ini negatif) yang mendekati dua pasangan yang "gundah". Kemudian "pekerjaan memberi bayi haram" itu berlangsung.

Sedikit demi sedikit, kita nampak wajah Ad yang "kosong" melakukan kerjanya, memberi surat beranak (palsu) dan menerima habuan. Soalan: berapa kali dia melakukan kerja ini? Sanggup dia? Di sini, kita menemui satu lagi klu buat mereka yang ingin "menelaah" mengapa Eizlan dan Lisdawati di situ. Mereka memakai baju kelabu (sepertimana jambatan: penanda mereka tiada kena mengena dengan dunia Ad dan apa yang Ad akan tempuhi), dan kelihatan sungguh gembira bila mendapat "bayi". Cerita mereka berhenti di situ. Titik. Mereka adalah penonton dan segala jenis filem hiburan, cerekarama dan Metrowealth yang kita tonton (rujuk bagaimana tidak naturalnya dialog mereka, dan cara mereka yang canggung dan sangat keterasing daripada segala seterusnya filem ini). Titik. Ia berhenti di situ. Kita tidak mengikut mereka tetapi mengikut jejak Ad (masih hanya belakangnya). Ad sampai ke abangnya Am (Saheizy Sam) dalam kereta. Barang bertukar tangan, Am bagi duit tapi Ad bengang, pintu kereta ditampar. Kita sedari, dalam misteri, Ad, sedikit demi sedikit mula "membenci" kerjanya, dan di situ, dia mahu "memilih jalan lain".

Hal ini amat-amat menarik bagi aku. Satu perkara, aku sedari, selalunya, dalam nahu filem, apabila watak membelakangi kamera, suatu "sial" akan berlaku, kematian atau perangkap. Dalam filem ini, disengajakan, watak-wataknya membelakangkan kamera. Tetapi semua tempat "dibelakangkan" itu bukan penanda kematian buat mereka, tetapi penanda pilihan di persimpangan (watak akan buat pilihan) buat babak seterusnya atau bermakna "jalan cerita mereka panjang lagi". Hal ini sangat penting. Kita akan dipaparkan dengan beberapa "bahagian" filem ini yang memaparkan wataknya membelakangkan kamera. Banyak kali kita melihat Ad (kerana watak beliau yang paling banyak berkecamuk pilihan untuk membebaskan diri daripada konflik perangkap hidupnya) membelakang kamera, kemudian Ad dan Hawa (Hawa mengambil pilihan mengikut Ad) dan akhirnya(spoiler!:), Am pada akhirnya. Aku menyedari, ramai penonton Melayu yang "bebal" (dan sehingga kini masih berbicara) bagaimana tergantungnya pengakhiran filem ini. Babak akhir Am yang berlari dari belakang itu semacam bicara "habislah mamat ni", tetapi tak, ia penanda paling optimis buat Am, kerana "cerita" adiknya iaitu Ad "sudah selesai". Kamera merapatkan fokusnya kepada Ad, Ad mendepani kamera. Ceritanya sudah selesai (detik ini mengambil semangat filem-filem neo-realisme awal walaupun kita tidak tahu apa yang akan berlaku di Kuantan). Syot ini penting. Rujuk Midnight Cowboy. Pengakhiran filem itu dibuat dengan tangkapan "sisi" si pelacur lelaki dengan kawannya yang mati di sebelah, kemudian bas bergerak terus memasuki Florida. Dalam filem itu, ketidaktentuan akhirnya jelas, malah sedu kerana ironi "gol" yang dipaparkan. Dalam filem ini, pengakhirannya jelas optimis. Am mungkin masih tercari-cari pilihan hidupnya, tetapi Ad, sudah dewasa dan matang dan kini mendepani pilihan dan dirinya (mendepani kamera).

Ini sebenarnya sebuah filem yang senang ditonton, tetapi kerana isu yang diutarakan amat menyakitkan, malah dibikin dengan amat gelap, ini yang membuatkan penonton yang terbiasa dengan bumbu formulaik Disney-Hindustan melodrama Melayu (ini termasuk happy ending Ombak Rindu), menonton filem ini semacam mengeluarkan gigi berlubang dari gusi.

Bahkan inilah yang biasanya diagendakan oleh suami isteri Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak, yang pernah membawa sebuah filem remaja angst gelap, Kami. Malah isu yang diperkatakan dalam filem ini juga amat-amat menyakitkan, seperti mana dengan Anak Halal, yang mana persoalan anak gelendengan, pengambilan dadah, anak luar nikah, menjual bayi seludup, sindiket menyeludup wanita, sumbang mahram, pelacuran, dan buang anak. Bagi aku, inilah sepatutnya Anak Halal.

Aku suka kekuatan mereka yang mana, satu-satu babak itu boleh sahaja berlaku "pelbagai perkara" yang perlu ditonton dua kali untuk melihat "ketelitian" ini (rujuk kepelbagaian drama dan detik yang berlaku pada babak-babak tempat judi). Inilah kekuatan yang wujud dalam filem luar dan kini diguna pakai dengan baik dalam filem ini.

Berbalik kepada jambatan itu tadi, anda akan memahami hal "kecil" ini apabila menyedari mengapa Ad tiba-tiba marah (protes terhadap abangnya secara diam) selepas melakukan hal itu (kita faham di sini, Ad sudah serik berada di bawah jambatan itu). Dan sebab itu, "jambatan" itulah juga (yang berkemungkinan menjadi tempat mainan Ad dan Am masa kecil) menjadi tempat "terakhir" Ad mendepani Am (rujuk perubahan kata nama yang dipanggil oleh Ad terhadap abangnya). Hal-hal subtle sebeginilah yang melantun aku untuk menutup mata dan merasa betapa indahnya filem ini.

Bagi aku, babak Hawa (Sara Ali) yang dirogol oleh ayahnya lalu mengandung anak luar nikah adalah cerita yang paling berkesan dan emosional. Kita dititipkan hal ini satu per satu dengan paparan klu dialog dan imej sahaja. Apabila adik Hawa, Razak menyatakan kepada Ad berkenaan "Hawa macam kakak yang tak pernah ada", kita faham bahawa Hawa "selalu lari dari rumah". Mengapa? Klunya jelas, kerana Hawa "dinafsui" oleh ayahnya sendiri (Abdullah Omar). Kini, Hawa "disimpan" kerana mengandung. Kita akan menyedari lagi satu kesakitan yang paling menakutkan, ayah Hawa "tidak mahu" anak itu dan menyedari akan "membuangnya". Di sinilah mengapa Hawa perlu mendepani ayahnya (dan dia tidak suka mendepani hakikat) dan bertanya "Siapa anak ni ayah?"

Dengan cerita Hawa menyoal ayahnya, di sini ikatan yang turut disiarkan indah iaitu Ad dan ibunya seorang pelacur (Norma Damanhuri). Inilah kesengajaan dua pengarah ini menonjolkan bagaimana dunia kemiskinan dan penzinaan memecahkan "kasih-sayang" dengan suatu penelitian yang bukan senang. Kaitan terkuat ialah Ad apabila bertemu dengan ibunya, ibunya "tidak kenal" anaknya lantas sanggup memberi tubuh untuk anaknya main. Di sini perkaitan Ad untuk perlu bersama Hawa (kerana Hawa juga mencari ketenangan dalam segala kegilaan ini). Dan sebab itulah, Ad, yang melihat ibunya dari jauh, dan masih "berjauhan" walaupun bercakap dengan ibunya, memekik, "Ini akulah, ini aku!"

Menyedari siapa diri adalah maksud pertama filem ini. Dari titik itu, kita bertemu dengan satu lagi makna kemanusiaan filem ini, kekeluargaan. Inilah yang "diberikan" oleh dua pengarah ini (makna yang sama wujud dalam Anak Halal, penciptaan sebuah "keluarga baru" daripada keruntuhan keluarga biologi) apabila watak-wataknya menyedari siapa diri mereka sebenarnya dan yang mereka benar-benar mahukan daripada "hidup". Oleh sebab inilah aku menyatakan mengapa Ad pada akhirnya menjadi "matang" mendepani hidup (dia duduk tenang, tidak berganjak lagi, walaupun separuh dirinya hancur kerana kata-kata abangnya), sedang Am masih tercari-cari" makna sebenar untuk hidup di kota (dia memikirkan, duit adalah segalanya). Maka tersonglaplah jiwanya, inilah yang lebih menyakitkan daripada duitnya dikebas.

Lakonan dalam filem ini memberangsangkan. Semuanya aku suka malah Sarah Ali mengejutkan. Dia diam tetapi penuh memahami perwatakannya. Saheizy Sam mempunyai watak yang menarik, seorang "fallen fool" yang tidak menyedari kebenaran di depan mata, malah wataknya mempunyai "depth" yang menarik dan tidak pernah dibikinnya. Tetapi filem ini kepunyaan Syafie Naswip bagi aku. Dia mengangkat sakit, tuli, marah dan sayang Ad dengan suatu emosi minimalis yang amat-amat menakutkan tetapi turut menunjukkan vunerability. Babaknya dengan ibunya merupakan babak-babak paling terkesan dengan mood yang sungguh Wong Kar Wai. Para pelakon lain turut menunjukkan kehebatan walaupun watak sampingan, Abdullah Omar, Hasnul Rahmat, Fauzi Nawawi dan Norma Damanhuri.

Aku menyukai runut bunyi filem ini. Suntingan juga sangat ligat dan sinematografinya indah, walaupun ada beberapa yang sedikit bercelaru dari segi teknikal. Babak cemas kereta berkejaran juga dibuat dengan baik. Filem ini kenal apa ertinya membikin sebuah filem yang baik, dan sememangnya pun, antara filem terbaik Malaysia tahun ini.

nota fadz: Pengarah 80-an hebat Nasir Jani turut mengambil peranan cameo, sila lihat bahagian mana.

trivia: (spoiler) Jika anda sedari, Ad menukar beg duit abangnya dengan kertas, Soalan: adakah benar-benar Ad menyonglap kesemua duit abangnya? Hal ini menarik untuk diperdebatkan, melihat kepada tahap kemanusiaan yang anda dapat lihat terhadap watak Ad.

klasifikasi: 18, dan sepatutnya kerana mengandungi babak dialog lucah, tema seks, keganasan dan adegan darah yang sederhana, pembunuhan haiwan, dan adegan melancap yang samar.

03 August 2011

Akan Datang: Songlap(2011)

Selain daripada Bunohan dan Hanyut, nampaknya filem ini turut memasuki senarai MESTI TONTON aku serta kuasa menggegar senarai FFM yang biasa-biasa je tahun ini:

02 September 2008

Filem KAMI(2008) Datang Bulan Raya!


Ya tuan-tuan dan puan-puan, sebuah filem muda-mudi masa kini akan menemui anda pada pagi perayaan Aidilfitri nanti, saksikanlah kesegaran dan mulut celupar anak-anak muda kita beraksi - hidup ni memang palat tapi esok masih ada!


Aku rasa, kira bangga jugalah dengan filem ni, walaupun tangkapan filemnya amatur nak babi dengan shot-shot yang murah, kareografi aksi tahap cikai (Malaysia mempunyai masalah terbesar dalam hal ini, malah ramai yang terus mengikut shot aksi 'tup tap tiba-tiba' seperti filem Rabun) dan sistem suaranya adalah antara sistem suara terburuk yang engkau pernah dengar dan agak sedih buat filem yang bergerak dengan runut bunyi untuk bercerita (lihat Mean Streets), tetapi oleh sebab aku sudah biasa menonton filem Greg Araki dan aku suka Totally F***ed Up, gaya Kami mempunyai semangat filem-filem terdahulu Araki malah mempunyai penggayaan jujur tentang para remaja urban sekarang yang aku tak pernah jumpa dalam filem kita (Anak Halal boleh pergi mampus) malah melampaui apa yang telah dibuat oleh Dunia Baru beberapa bulan yang lepas (Dunia Baru ialah semacam kartun tadika kalau dibandingkan dengan Kami) tetapi tidaklah segila Hari Biru (tapi ni bukan fasal remaja per se kan?). Malah hari prebiu itu, aku telah membawa adik perempuan aku menontonnya. Adik aku seorang penonton anti filem Melayu tetapi menyukai Selubung dan Ringgit Kassorga. Filem Melayu yang terakhir yang ditontonnya ialah Mimpi Moon lalu dia terus hilang percayaanya kepada filem Melayu (generalisasi yang menyedihkan bukan?) walaupun aku memperkenalkan filem Khabir dan Yasmin sebagai 'filem komersial baru'. Dia menonton Kami dan aku agak takut juga kalau dia marah (seperti mana aku mengajaknya menonton The Strangers dan Babylon A.D. yang mana dia memang menyampah dan benci bagai nak rak), tetapi yang mengejutkan, dia suka! Malah dia mengatakan filem ini bagus kerana jujur dan berani memaparkan apa yang dia kenal (dia gadis bandar), memuji lakonan Nas-T malah mengambil kemeja-t yang diberi percuma oleh pihak pengedar. Dan kemeja itu sendiri sudah membuka mata mak aku bila melihat perkataan "P" itu di dada adik aku. Ya, esok masih ada buat filem Melayu.



Imej paling cult dalam filem ini: lima sekawan duduk bertenggek di tepi jalan (aku teringat sewaktu sekolah, budaya melepak dibayangkan sebagai amalan yang akan membuat aku masuk neraka oleh guru-guru dan pegawai kerajaan yang fascist waktu itu), saling memberi cupcakes lalu mengucap salam kepada orang berlalu-lalang - inilah imej yang akan sentiasa diingati dalam filem ini, bukan sahaja kerana kekuatan imej ritual ikut-ikutannya, tetapi membaur semangat baharu yang carefree-hepi-sosial terhadap generasi yang ditampilkan dalam filem ini. Ini sendiri membuat 'trademark' bahawa Kami ialah filem khas awal abad ke-21 tentang budak-budak muda abad ke-21, dan ia akan diingati selama-lamanya kerana itu.

Ya, filem ini akan berjaya membuak nostalgia dalam masa hadapan. Bayangkan semua gig, gila-gila remaja akan internet dan fesyen gaya sekarang yang akan berubah buat generasi akan datang, filem ini 'berjaya' kerana ia menangkap dengan jujurnya pada milieu yang tepat dengan tujuan yang tepat dan harapan yang tepat. Penggambaran ini sepenting pembikinan Easy Rider yang tidak mungkin dibuat pada zaman lain. Apabila kita membandingkan Kami dengan Dari Jemapoh Ke Manchestee, kita akan nampak superfisial tangkapan nostalgia Dari Jemapoh terhadap realisme Kami, kerana ini berlaku terhadap mana-mana filem 'period' yang cuba menangkap zaman (Gladiator, Jhonny Bikin Filem sebagai contoh) dengan seteliti dan sebenar mungkin. Kami kira bernasib baik kerana ia mempunyai keinginan memberontak dan riak risau para remaja yang universal seperti mana yang kita tonton dalam mana-mana filem remaja Hollywood tetapi mempunyai herba dan acuan Malaysianan urban sekarang.



Mengikut perjalanan cerita filem ini mungkin sedikit 'susah' buat penonton yang belum mengenali watak-wataknya di layar TV sewaktu ia disiarkan secara drama bersiri. Tetapi anda akan terkejut apabila sampai di pertengahan cerita, anda akan ada rasa selesa dengan watak-wataknya. Vovin pernah memberitahu aku bahawa Kami mungkin hebat apabila dalam drama TVnya mengfokuskan hanya satu-satu watak dalam satu episod dan para penulis/pengarahnya mungkin tidak akan berjaya menyelitkan kelima-lima watak dalam sebuah cerita yang panjang. Tanpa melihat beberapa kekacauan atau lubang plot yang tampak, Kami berjaya menyaring dan mengikat sebuah cerita yang impresif akan harapan dan seksa batin para muda-mudi kota yang inginkan sesuatu daripada hidup, malah disusun dengan efektif, malah mungkin terlalu sistematik, seperti kebiasaan sebuah filem Hollywood. Tetapi itulah berita baiknya. Malah, aku begitu teruja dengan watak-watak yang dicipta oleh Friza dan Effendee, watak-watak muda-mudi yang tidak superfisial, bulat dan mempunyai 'manusia'nya, masing-masingnya mempunyai rahsia, mempunyai kelemahan dan masing-masing mempunyai fungsi terhadap cerita dan sekali gus pemahaman dan kedalaman jiwa perwatakan.

Nas-T haruslah dipuji kerana tampak sangat bahawa dia ialah 'cover boy' terhadap filem ini, membawa satu watak yang komikal sekali gus pathos terhadap jiwa memberontak remaja (buat aku, kadang-kadang ia terlalu kerana Nas-T ialah simbol 'romantisme-hindustan' dalam filem ini, seorang pejuang tanpa apa-apa sejarah yang menghalang, tetapi adik aku suka banget dengan dia, well...), malah mengejutkan aku, mempunyai inti homoerotis yang separa sedar terhadap Syarul Ezani (ini satu keperluan sebagai tradisi filem dua lelaki atau 'buddies film' seperti yang kita lihat dalam filem Superbad atau Butch Cassidy and the Sundance Kid, ataupun Dari Jemapoh ...). Syarul Ezani lemah pada permulaannya tetapi mula membina dan membina perwatakannya dengan baik. Segala 'hitam'nya diperlihatkan dan dilakonkan dengan baik oleh Syarul. Antara ketiga-tiga teraju wanita, Liyana Jasmay disengajakan terserlah, dan memang, wataknya yang paling mencabar dan menarik untuk diangkat. Malah Liyana menjadi petanda dan penanda terhadap empat watak utama yang lain. Malah pseudonimnya, "Teka-teki" merupakan wit kecil yang dicelupkan oleh Fariza sebagai penanda ikatan utama terhadap cerita dan watak filem ini. Plot filem ini sebetul-betulnya 'bergerak' pun oleh sebab kehadirannya (ini disedari dibuat dengan sengaja).

Apa yang aku hendak sorak akan tim Effendee dan Fariza ini ialah, walaupun mereka tahu, cara untuk membuat penonton dekat dengan watak-wataknya ialah dengan menyeksa watak-wataknya agar ada sentimentaliti yang dapat menangkap perasaan penonton (efek melodrama seumpamanya). Effendee dan Fariza betul-betul menjaga dalam hal ini, tidak mahu membawa para penonton dalam 'melodrama zone' yang biasa kita lihat berada dalam filem-filem Melayu termasuk filem Khabir Bhatia (efek menggunakan runut bunyi mendayu-dayu dan skop zoom in dan masa tatapan yang terlalu mengambil masa), malah Effendee lari daripada memperlakukan filem ini semacam sebuah MTV. Ini harus dipuji. Seperti Yasmin Ahmad, semangat yang terbuak daripada watak-watak muda ini dibuat daalm kesedaran yang senyap-sunyi, walaupun kadang-kala tidak menjadi, berjaya memaparkan jiwa emosi yang jujur dan keluar dari hati, menyentuh para penonton.

Kami menjadi sebuah lagi batu loncatan buat filem Malaysia untuk dikenali bahawa filem kita sedang hidup dan bergerak ke arah pembikinan cerita dan idea yang berkualiti. Projek dari siri drama TV ke tayangan perdana memang bukan perkara baharu (Senario sudah melakukannya), tetapi kemasukan Kami dapat menggegarkan para pembikin filem agar melihat kepada sisi cerita dan wataknya dahulu sebelum memahami inti komersial dan kelebihannya yang dibawa bersama.