(2011): Formula Pop-Malaysia Anak Gerak Khas Cukup Berjaya Kali Ini.
Tika ini, kiranya, kita sudah kenal dengan cara dan gaya pembikin anak Yusof Haslam ini. Runut bunyi cedokan, dialog penerangan lewah, suntingan laju, kesan khas bunyi melampau. Itu semua kita sudah tahu. Tetapi apa berlaku bila gaya dan cara ini diberikan sebuah cerita yang lazat?
Filem ini sebuah kejutan. Aku menggambarkan, atas sebab filem inilah, kemungkinan diketahui oleh kalangan pembikin filem dan wartawan, Shamsul diberikan anugerah Pengarah Terbaik FFM tahun lepas. Malah, tika ini yang sudah biasa dengan gaya Skop Production mencilok lagu orang, aku terpaksa mengaku, cilokan lagu dalam filem ini dengan tata ala Hindustaninya (setiap babak tanpa henti, mesti ada alunan lagu!) memilih lagu-lagu yang betul, khusus pembukaan filem ini supaya penonton mendapat "feel" untuk masuk ke dunia baharu Shamsul ini.
Gaya filem ini masih "Shamsul", masih ada "
feel" sebuah filem perdana yang khusus dibuat untuk komersial, dijual untuk penonton "berhibur" (aku mencadangkan budak kecik untuk tidak tonton filem ni), tidak ada estetika gaya yang "suave" atau merasai sebuah "wayang" benar - ia laju, padat, sampai ke poin, tetapi Shamsul memberi beberapa kejutan, yang aku sendiri "terhibur", aku sendiri menepuk tangan setuju.
Jika dicungkil filem ini dengan kritis, ada dua kesan kelemahan yang tampak. Pertama, kenapa setiap kali watak Shark (lakonan gila jahat Shamsul) ingin bantai Malek (Aaron Aziz), tiba-tiba je van King (Ridzuan Hashim) sampai sebagai menyelamat Malek. Elok jika Shamsul dan Rizal Ashraf memberi satu subplot berkenaan "informer" yang bersama Shark, yang mana sebelum"showdown" Shark dan King, Shark sudah membunuh "informer" tersebut. Kedua, adalah "feel" terakhir filem ini, yang aku kira, perasaan yang dibuatkan agak kaget setelah segala "blood bath" yang berjaya dibuat Shamsul. Ini Shamsul lakukan dalam bentuk monolog, memberi "moral justice" terhadap pelaku-pelaku dalam filem ini. Aku sebenarnya tidak menyalahkan Shamsul dalam hal ini. Aku dapat rasa, ada suatu rasa "berontak" dalam diri Shamsul untuk melepaskan sikap "maverick"nya, untuk melanggar segala undang-undang yang diikat kemas oleh ayahnya. Tetapi tampak sangat, tangan-tangan ghaib ayahnya mempengaruhinya untuk "menyuntik pengajaran" atau "moral" agar reputasi
Gerak-Gerak Khas ayahnya terjamin, yang aku tahu suatu hal sinonim buat pembikin filem tua, yang memang jenis ikut habis LPF dan Kerajaan.
Oleh sebab itu, tidak ada kelihatan "masuk campur" polis di dalam filem ini. Polis hanya imej pondan "pihak berkuasa" yang selalunya lewat sampai ke tempat jenayah, sepertimana yang berlaku dalam mana-mana filem raksasa atau slasher. Aku juga tak salahkan Shamsul menghancurkan semangat aku pada detik kredit akhir filem ini. Sekurang-kurangnya, 60 minit awal, Shamsul telah memberi aku lebih dari itu untuk aku "hibur"kan diri.
Ya, ini merupakan filem terbaik Shamsul Yusof setakat ini. Inilah satu-satunya filem Shamsul yang aku temui sebuah roh. Dan aku amat menyukainya.
Dalam nukilan Shamsul dan Rizal, dunia gangsterisme Malaysia, lain daripada yang kita kenal di dunia Hollywood. Jika dalam dunia mafia, kod merupakan suatu "bahasa sunyi" gangster yang paling dihormati. Dalam tangan pengarah ini, gangster Malaysia dilukis, dipegang oleh mereka yang tidak ada "kod", makan-memakan dan tikam-menikam berlaku di siang hari di depan sesiapa pun (golongan marhaen tidak dapat berbuat apa-apa). Gangster bermaharajalela, malah merupakan "pentadbir senyap" kota Kuala Lumpur. Anak boleh saja makan bapak, dan kawan boleh makan kawan dalam sesaat. Undang belantara berleluasa. Tidak ada startegi. Tidak ada ketakutan. Keberanian melebihi kepandaian.
Dalam segala kekalutan ini, muncul Malek, lakonan Aaron Aziz yang sudah bertaubat jadi gangster, ingin kembali menjadi insan, tetapi kerana darah sejarah, dia dipaksa untuk kembali ke padang mainan yang dia tinggalkan dulu. Di sinilah,
the plot thickens.
Filem ini boleh saja menjadi sebuah filem yang satu hala, boleh saja diselesaikan dengan paparan polis di akhir cerita, seperti mana
Anak Halal, untuk menyelesaikan "kemelut" dan "dendam berahi". Tetapi tidak. Pertama, kita diperlihatkan dengan budaya ganas, bahasa "gangster" dan mainan politik yang mereka mainkan. Segalanya "brawn over brain", segalanya "rasa tak puas hati". Panas itu merebak dan tak pernah ada akhir. Kita diperkenalkan dengan dunia taiko/ayahanda/abang long yang digeruni, kemudian "anjing" atau "barua" yang menjadi "anak buah" taiko tersebut. Bentuk nama sahaja kita tampak betapa "kurang adab" dan "celaka"nya dunia samseng ini, yang kita tahu "apa-apa akan berlaku" jika si ketua tidak mengikat diri mereka dengan "kehebatan".. Oleh sebab itu, Dragon (Adam Corrie) selalu menengking (konon menunjukkan autoritinya), yang kita tahu sebenarnya dia merupakan "ketua samseng" yang lemah, tetapi dibelakangi "abang" yang kuat (Jai dan Ajib). Abang ini pula, atau kiranya semacam "hulubalang" atau "pendekar" pula tidak ada semangat "loyalty", malah kadang-kadang lebih "menggerunkan" daripada si "ketua", malah boleh saja dibeli oleh ketua lain. Begitu bahaya dan tidak stabilnya dunia samseng KL!
Kemudian, kita dikenalkan pula dengan samseng yang jenis nak "pau semua". Ini samseng taraf "syaitan". Watak Shamsul sebagai Shark mewakili ini. Shamsul boleh saja memaksi filem ini kepada watak ini, dan memperlihatkan kezaliman watak ini berjaya (ya, watak-watak ini sungguh hidup dan berkesan), tetapi tak, Shamsul, dengan mengejutkan aku, memaparkan satu lagi unsur dalam dunia samseng ini, iaitu "brotherhood".. Persaudaraan ini dikatakan "lebih pekat dari darah saudara sendiri", diwakili oleh "abang-abang generasi lama", King, Malek, Ajib. Inilah pemahaman "brotherhood" yang kita jumpai dalam samseng Hong Kong, dalam filem-filem samseng Amerika, yang Shamsul sengaja paparkan, generasi mudanya sudah "lupa" (Shark dan Jai). Serius, semacam ada satu kritikan dunia politik yang sengaja Shamsul lakarkan seakan sama seperti perjuangan politik Melayu dan perbezaannya dengan dahulu dan sekarang. Aku agak kagum dengan Shamsul kerana ini.
Persaudaraan ini juga berkait pula dengan watak Malek dengan keluarga kandungnya. Ini mendalamkan lagi pemahaman dunia samseng filem ini, walaupun dalam beberapa ketika, bahagian ini menjadi alasan "superego" watak-watak "id" filem ini untuk mengimbang "ego" mereka. Sehinggalah, ada samseng yang mengacau keluarga Malek...
Filem ini kuat dengan bahasa samsengnya, dengan kod mereka dan cara mereka bekerja. Aku boleh bayangkan bahayanya dan mengapa hal ini berlaku dalam dunia golongan rendah di kota. Shamsul juga mengejutkan dengan menampilkan satu dua babak melodramatik, khusus babak Jai menyelimutkan dua budak tidur di tepi jalan. Ini humanis yang mengganggu dalam tengah-tengah keganasan yang mereka lakukan.
Aksi filem ini juga agak baik, malah dikareograf dengan baik. Inilah antara filem aksi yang aku "setuju" sebagai sebuah filem aksi, cukup faham dengan alam, latar dan pelakunya. Kali ini Shamsul memahami melodi "memukul" dan ini menarik, walaupun mungkin memerlukan kuasa penggambaran dan susun bunyi yang lebih baik. Babak berkejar dengan kaki, dengan Shark menjerit "Chow! Chow!" itupun cukup bergaya. Ini suatu permulaan yang baik.
Tetapi kuasa sebenar filem ini terletak kepada empat watak "peneraju" filem ini, yang benar-benar mengangkat filem ini. Pertamanya Zizan sebagai Fadil (nama aku!), kawan kamceng Malek. Zizan faham mengimbangi komedi dan faham "bahaya" yang dia tenterami di dalam filem ini. Memang, kita tahu, wujudnya wataknya hanya sebagai
comedy relief dan
sidekick bodoh Malek. Tapi ia menghiburkan.
Kemudian kita ada Soffi Jikan yang memahami kuasa persaudaraan tetapi juga licik dan faham strategi untuk hidup sebagai gangster. Pelakon "method actor" ini benar-benar berjaya membawa watak seorang yang kurus-kering tapi amat digeruni. Segalanya kerana "kepandaian" watak Sofii, yang tangkas bila memukul tetapi juga meletakkan ego yang tinggi, contoh bila berdepan dengan Shark. Babak-babaknya merupakan babak-babak klasik sejarah samseng KL.
Seorang lagi "method actor", Ady Putra sebagai Jai - menakutkan. Dia semacam hidup, hirup dan makan seperti samseng seadanya, watak yang paling kompleks dan paling gelap dalam filem ini. Hanya aku mahukan "lebih" dalm aksi pertarungan "Habil lawan Qabil" bersama abangnya. Tetapi ini sudah cukup mengujakan setakat ini.
Akhirnya, Aaron Aziz. Ya Tuhan... Kini, barulah aku bertemu dengan seorang pelakon aksi Malaysia! Beliau bukan sahaja boleh beraksi dengan baik, tetapi boleh berlakon. Wataknya yang paling mengujakan aku. Seorang watak yang "cool", memukul bila kena pada tempat, dan bila dia memukul, bang! Wataknya amat berdimensi, kuat, keras tetapi juga lembut dan penyayang, merasai "sakit" kerana perbuatannya, melihat keluarga kandungnya "porak peranda". Anda lihatlah, dalam babak-babak melodrama pun, Aaron tidak menangis, menunjukkan watak kejantanannya. Dia seperti seekor naga yang tidur. Dan ini disampaikan, dengan pelbagai emosi yang cukup berkesan dan tidak pernah berlebih-lebihan. "Kawalan" aktor ini dalam drama, aksi dan melodrama, mengujakan!
Empat aktor ini berjaya melunaskan semangat filem ini. Bandingkan sahaja babak lemah Zeti adik Malek dengan kawannya dengan babak-babak empat aktor ini. Malah, bila Sheera yang lemah lakonannya bertemu mata dengan mata dengan Aaron pada babak di rumah mereka, barulah "spark" Sheera muncul. Inilah yang kita mahu lihat berlaku lagi dalam filem-filem kita yang seterusnya.
Walaupun filem ini masih "Haslamik", masih mencampur aduk lawak-aksi-drama-melodrama dengan lagu mengikut genre, masih ada lubang plot, masih ada babak kekok, filem ini merupakan antara filem komersial Malaysia yang baik tahun ini, khusus dalam cuba menyelami dunia gelap samseng yang menjalar di belakang rumah kita tanpa kita ketahui, walaupun di Pasar Selayang sekali pun.
ps: Lihat, kalau aku ingat nama watak filem tu, itu maknanya aku "peduli" dengan watak tu, maknanya watak tu hidup.