27 January 2010

November 1828(1979): Sebuah Filem Yang Besar

"Barang yang jatuh takkan aku terima lagi."
Jenny Rachman

Ini yang aku tonton malam semalam: Epikal.

Apa yang dapat aku ungkapkan bila menonton filem ini, Malaysia amat jauh untuk memahami dan bercerita akan subjek intrig, pengkhianatan, perjuangan, derita kemanusiaan di dalam peperangan dengan latar yang luas dan rumit (tidak mengambil kepura-puraan dan fantastikal Queen of Langkasuka sebagai contoh, tetapi filem sebesar Naresuan). Kita punya Puteri Gunung Ledang, tetapi PGL merupakan sebuah filem romantik atas latar intrig empayar dan raja, bukan epik peperangan. Kita punya Paloh, sebuah filem yang memerhati dengan mikro akan tiga peranan utama dalam perubahan dari penjajahan ke arah kemerdekaan, tetapi subjek periodnya mendatar ke arah hal-hal individu dengan penggayaan dekonstruksi sejarah yang bersifat menyoal. Lt. Adnan tampak kecil walaupun punya momen efektif. Embun menarik tetapi kecil dalam latar cinta entengnya. Mungkin 1957: Hati Malaya sepatutnya besar tetapi kecil atas sebab efek khas, pelakon tambahan serta perspektif modennya yang canggung. Apakah kita hanya punya Bukit Kepong yang sehalusnya hanya sebuah filem yang memaparkan "mempertahankan kedaulatan yang dikepung"? (rujuki Bukit Kepong dengan The Alamo, Zulu, Assault on Precinct 13, dan terkini, Legion).

Keduanya, Teguh Karya, dan sewajarnya, Indonesia jauh ke hadapan atas pemahaman pembikinan dan pembudayaan filem, jika kita lihat kepada perkembangan filem ini (1979) pada awal Teguh Karya diperkenalkan (1971). Aku begitu tersentuh apabila membandingkan dengan Rahim Razali, pengarah yang amat aku sanjungi yang bermula seawal 1981 dengan Abang (filem yang mendapat pengiktirafan pengkritik tetapi hampa dengan sambutan penonton, hal yang sama berlaku terhadap Teguh Karya dengan filem pertamanya, Wajah Seorang Laki-laki), yang mana, walaupun beliau cuba dan mencuba membikin filem, terkandas dengan Iman Alone (filem kutipan besarnya merupakan filem komersial, Abang '92 dan sebuah filem perjuangan-politik yang mencuba, Anak Sarawak). Tidak pernah sekali, baik Pemburu, Tsu Feh Sofiah, Matinya Seorang Patriot dan Puteri, filem-filem yang punya garapan dan semangat yang besar untuk diikuti oleh para penonton (hanyir sangatkah kita waktu itu?) Aku melihat perbandingan sebegini kerana Teguh Karya merupakan "bapak filem besar" yang datang daripada latar seni teater, membawa pembaharuan dan kandungan filem yang bernas dalam latar filem Indonesia (amat berpengaruh). Jins Shamsudin, yang dikenali sebagai pelakon-pengarah dan pernah juga berjinak dengan teater cuba membawa pembaharuan ini pada 70-an, tetapi bandingkan filem-filemnya dengan Teguh. Oleh sebab itu, "arus baharu" sebenar filem kita bermula amat lambat daripada Indonesia, tergerak pada awal gerakan dan semangat Rahim Razali ini (80-an) yang kemudiannya baharu kita dengar filem "segar" seperti Jasmin, Bila Hati Telah Retak, Kami dan Ranjau Sepanjang Jalan dibikin. Sedih, kerana Rahim juga seperti Teguh, bermula daripada teater lalu kemudian filem, tetapi tidak pernah diberi peluang oleh masyarakat untuk dihargai secara kotemporari.

Aats sebab ini filem-filem kita zaman itu (kini kita sedang cuba) tidak dapat menandingi filem-filem Indonesia.

Sepertimana filem ini. Aku gerenti, jika filem ini ditayangkan di sini, dengan budaya kita yang sayang kepada AF, komedi senang dan seram biasa, filem ini tidak akan dapat selesai ditayang dalam masa Wajib Tayang jadualkan.

Menariknya, dalam hal filem Teguh Karya ini, perjuangan, intrig drama dan hal-hal besar tentang kemanusiaan, pencerobohan dan kemerdekaan tidak dipaparkan dalam bentuk yang tinggi (bandingkan ini dengan filem propaganda Pengkhianatan G30 S/PKI) atau luas, mempamerkan tokoh-tokoh sejarah (yang menggerakkan pendulum sejarah) yang besar (dalam filem ini, hanya awalnya memaparkan sekumpulan jeneral Belanda yang cuba melakukan strategi untuk menangkap Diponegoro), tetapi cerita jerit, perih dan indah anak-anak penduduk kecil sebuah kampung yang dijaga oleh seorang panglima, Kapten van der Bost (lakonan intim dan getir Slamet Rahardjo), seorang Indo (anak Indonesia campuran Belanda), dengan cita-citanya untuk mendapatkan Diponegoro.

Filem ini terus sahaja jadi intrig dan drama antara peran penduduk kampungnya, baik yang membelakangi Kapten Bost, baik yang memeranginya, serta satu lagi kumpulan, para askar yang diupah (yang merupakan anak tanah Jawa juga, dengan campuran Indo). Setiap watak punya pendirian dan cita-cita. Paling menarik, perjuangannya tidak pernah romantik (sila bandingkan ini dengan Lt. Adnan ataupun Sajen Hasan) tetapi watak-watak yang berdarah, manusia, lemah tetapi berjiwa dan penuh ronta.

Ini digerakkan oleh peran Kapten Bost yang punya pemahaman sendiri tentang tanah Jawa (simbolisme Indonesia), bagaimana dia seorang Indo (darah campur) yang memerhatikan dirinya sebagai penjajah, terhadap Kapten van Aken (lakonan El Manik yang memberangsangkan), panglima berdarah Indo muda, lemah, tetapi lebih bersimpati terhadap anak-anak bumi. Kita juga diperkenalkan dengan watak yang ampu sekali, Kromoludiro (lakonan yang menggegarkan), malah merupakan "tunjang", roh, semangat keperwiraan dan juang anak bumi terhadap penjajahan (hanya dia saja yang berdakwah, tetapi retorik dakwahnya penuh drama tanpa untaian propaganda, dakwahnya kena dengan logik dan situasi gerakan filem). Hal Kromo ini nanti disimbolkan dengan tiang seri rumahnya, tempat di mana anak dan isterinya akan meratap (yang sebenarnya, juga melanjutkan pemahaman sumbangan kepada pertiwi). Antara watak yang aku terikut suka merupakan watak anak gadis Kromo (lakonan ayu Jenny Rachman) yang terperangkap dalam budaya dan norma wanitanya, terseksa dengan keadaan ayahnya, cintanya terhadap seorang pemuda pejuang dan pelawaan Kapten Bost untuk menyuntingnya.

Malah, hal-hal kecil, seperti drama kecil lakonan Jenny ini, atau anak kecil Kromo yang bertanya, "Mana ayahku?" atau bagaimana si perempuan Jawa menghalau askar Belanda yang memasuki rumahnya pada waktu malam (budaya Jaya yang halus didebak, dan buat ini orang Jawa menyatakan hal ini kurang ajar terhadap adatnya), atau bagaimana orang kampung bergerak secara senyap untuk "mengajar" para "kaum setengah Jawa" itu.

Sila dengari bunyi dalam filem ini baik-baik. Pertamanya kita dengar satu lagu campuran tradisi Jawa dan Belanda yang canggung (pemaknaan kedatangan askar dan panglima Indo ke kampung itu), yang bunyinya pelik. Kita faham, walaupun tanah tampak tenang, sawah tampak hijau, tetapi ketidaktentuan dalam jiwa masyarakatnya. Sedikit demi sedikit, kita dengar dengan minimalis, suara gamelan dan kadang-kadang bunyi drum Belanda, saling memberi pengaruh. Pada detik kedatangan seniman jalanan, yang akan membawa pesta kuda kepang ke para penduduk, kita dengar dengan penuh yakin, lagu tradisi Jawa yang kagum, folk (dasar latar filem ini) dan mistis. Kemudian kita lihat sendiri bagaimana lagu dan seni ini merupakan mesin singgkap untuk membutai pemerhatian Belanda terhadap perjuangan anak bumi, dengan si penari utama tanpa menunggu lagu klimaks berakhir, menembak ke arah Kapten-Kapten Belanda. Pada saat itu, kita sudah memahami, lagu "tradisi" ini sudah memberi kenyataan kuat dan lancar (walaupun mereka akan disembelih selepas itu). Dan hal ini mendapat kesinambungan yang sungguh mengujakan (semangat, aku sempat menggenggam tumbuk pada saat ini) apabila penduduk kampung "menyambung" bunyi perjuangan dengan hentakan tumbuk padi, yang kian lama memperkenalkan kedatangan Suntek, anak panglima Diponegoro dengan warna bajunya merah dan putih (warna bendera Indonesia yang disengajakan, beliau merupakan simbol Indonesia, menandakan idea "Indonesia" tidak akan datang, jika setiap jerih, perih, kesatuan, agama, seni, adat dan tadbir tidak bersama menghancurkan penjajahan).

Sila bandingkan juga dengan babak-babak awal dalam hal yang agak statik, pergerakan yang hanya dipengaruhi oleh kebanjiran askar Belanda, sabungan mereka merentas padang, dan gerakan kasut mereka ke dalam rumah adat. Malah separuh filem awal memaparkan kekuatan dan kepengaruhan Belanda yang sedikit demi sedikit didampakkan kelemahan serta "vunerabality" mereka. Separuh yang terakhir merupakan okestra Teguh untuk melancarkan "seige" terhadap kampung yang dibelenggu Kapten Bost yang mula "mengecil" falsafahnya (awalnya ia semacam satu dengan sistem Belanda, melandaskan kelancangan Belanda, dan akhirnya ia sebenarnya seorang individu yang mahu mementingkan diri dan mencari survival dirinya). Ini berlainan dengan Kapten Aken yang secara awalnya hanya memerhati hal-hal kecil di sekelilingnya, dan akhirnya "tenggelam" dalam falsafah dan "pengertian besar" yang dibawa oleh Diponegoro (yang diwakilkan dengan suara Kromoludiro), yang mana, jiwa ini disertai oleh kesemua penduduk kampung dan askar yang datang untuk membantu.

Malah bahagian "chaos" terakhir filem ini, sewaktu seniman dibunuh (peringatan: jangan bunuh sasterawan kita!) lalu penduduk menjadi tidak keruan (lihat pergerakan penduduk yang diam, lalu agresif, lalu membanting tanpa makna tetapi tertumpu) merupakan antara babak-babak paling berkuasa dalam filem ini, baik juga sebagai momen bersejarah. Malah buat aku, babak ini mengalahkan kesempurnaan dan cantik Ran apabila istana raja digempur askar di pertengahan filem. Kalau Akira lebih kepada tempo dan kesempurnaan kareografi untuk menghasilkan estetika dalam peperangan, Teguh punya kuasa "all hell break loose" di mana secara teliti, kita boleh lihat setiap tikaman, debrak asap, gerakan askar yang tiada arah tuju tetapi terkawal terhadap askar Belanda. Dalam gelimpangan askar yang jatuh atau menuju dan menyerang, kita melihat watak-watak penting menghabisi tempoh hidupnya (seperti si pengkhianat Jengwirono dengan begnya) di celah-celah kaos ini. Malah gerakan askar hitam Jawa terhadap biru Belanda di depan rumah adat amat cantik walaupun tampak kaotik. Ianya satu "rush" yang penuh tiada kawalan dan humanis (humanis, kerana peperangan manusia tidak tentu, seperti mana yang digarap dalam Alexander dan War & Peace) yang sebenarnya dikareograf dengan amat berkesan sekali oleh Teguh.

Akhirnya, ideal Teguh cukup jelas, perjuangan bergerak dan berjaya bukan atas strategi para tokohnya sebagai pemain catur, tetapi bagaimana watak-watak kecil, golongan marhaen yang mempercayainya, lalu memegang terhadapnya dengan utuh (idealisme perjuangan itu). Ini dipaparkan dengan baik dalam jiwa watak Kromo terhadap individu seperti Kapten Bost dan Kapten Aken. Perselisihan dan konflik jiwa-jiwa kecil ini yang meledak sejarah perjuangan epikal ini menjadi sesuatu yang besar, teguh dan mengasyikkan.

Sedikit bicara tentang Teguh Karya: http://sejakdoeloe.multiply.com/journal/item/7

23 January 2010

Paris, Texas(1984) dan A Streetcar Named Desire(1951)

Sebenarnya, ada beberapa filem yang sudah aku tonton, di pawagam dan di rumah, tetapi tak sempat nak letak dalam kata-kata, malas, walaupun nak tulis dalam perca-perca filem, tetapi untuk dua buah filem di bawah, dua perkara telah berlaku, aku menangis dengan tidak semahunya, tanpa henti, dan kedua, filem itu masih terngiang-ngiang dalam kepala. Itu petandanya, dua buah filem ini adalah filem yang amat baik, dari segi sejarah perfileman, juga sifat pengalaman peribadi aku menonton filem.

Paris, Texas(1984)









"All he wanted to do was... sleep. And for the first time, he wished he were far away. Lost in a deep, vast country where nobody knew him. Somewhere without language, or streets. He dreamed about this place without knowing its name. And when he woke up, he was on fire. There were blue flames burning the sheets of his bed. He ran through the flames toward the only two people he loved... but they were gone. His arms were burning, and he threw himself outside and rolled on the wet ground. Then he ran. He never looked back at the fire. He just ran. He ran until the sun came up and he couldn't run any further. And when the sun went down, he ran again. For five days he ran like this until every sign of man had disappeared."
Travis, Paris, Texas.

Fuh, baru lepas tonton filem ni.

Tak terkata aku dengan kuasanya.

Ceritanya dibuka dengan senang, samar-samar yang membawa kita mahu mengenal wataknya (Harry Dean Stanton sebagai Travis), dan kemudian adiknya, Walter (lakonan Dean Stockwell) yang membawanya balik ke anaknya, Hunter. Dalam samar, tiada kata (Travis membisu, kehilangan "komunikasi" dan "bahasa" - terasing, sedikit demi sedikit, Walter, membawanya kembali mengenal "manusia", "bahasa" dan "sosial". Hal ini, hal-hal "asas" ini membawanya ke pemahaman dan persoalan "keluarga", "tanggungjawab" dan "cinta", dan ini yang perlu didepani oleh Travis.

Dalam 70-an hingga 80-an, secara pelik, kebanyakan filem yang menggunakan latar Amerika (pengarah filem ini merupakan seorang bangsa Jerman), lebih-lebih lagi yang diketahui kuasanya, seperti The Conversation, Taxi Driver, Raging Bull, Five Easy Pieces, The Graduate, Blue Velvet, Ordinary People, Midnight Cowboy, Reds, dan pelbagai lagi cenderung menyentuh hal keterasingan. Adakah hal keterasingan ini berlaku sebaik peperangan Vietnam (tidak kenal dengan apa yang ingin Amerika lakukan terhadap masyarakatnya, identitinya atau mungkin sahaja arah tujunya?) Persoalan ini diangkat atas keadaan keterasingan yang akut wujud dalam filem-filem sebegini waktu itu, yang sememangnya secara jelas, sudah jarang berlaku dalam filem-filem Amerika sekarang (kini, filem dari Amerika selalu memaparkan keinginan watak yang lebih jelas [yang selalunya individualistik], ada destinasi yang hendak dituju, persoalan impian Amerika dalam acuan dan keinginan sendiri diperjelaskan dan kadang-kadang dipenuhi atau ditragikkan, contohnya seperti Benjamin Button, walaupun aku tak suka dengan filem itu).

Travis yang dilukiskan oleh Wim Wenders dan Harry Dean Stanton tidak sebegitu dan susah hendak dikaitkan dengan pascamoden era sekarang, seakan-akan halnya, "dia" hanya berlaku dalam filem, dalam nostalgia yang tersimpan. Pada awal aku menonton filem ini, aku semacam merasakan, Travis, si pejalan kaki tanpa arah tuju itu (dan survival yang membawanya kembali ke ketamadunan tanpa disedarinya) adalah "kesatuan" dengan lanskap yang dijalaninya. Keluasan padang pasir Texas tanpa kita ketahui jalan ke mana yang membawa kita ke destinasinya, dengan seluas-luas kemungkinan, membuka "persoalan" ini kepada perwatakan Travis. Ini merupakan hal berkuasa Wim Wenders dalam mengambil perhatian penonton untuk mengetahui akan "hidup dan sejarah" Travis (pada awalnya, kita cuba bersimpati dengannya). Sehingga adiknya sendiri merasakan Travis "dengan baju seluar awak tu, seakan awak bersongkol dengan 400 batu jalan di sini".

Kita sedar juga, Travis tidak suka terkongkong, dia akan selalu cuba "keluar". Dia tidak senang dengan ruang menutup. Dia biasa berjalan (ruang yang luas). Jadi oleh sebab itu, Travis tak sanggup naik kapal terbang (aku serius ingatkan Travis seorang jutawan pada awalnya, yang menolak hidup senang), dan pada awalnya menolak untuk ditumpang adiknya dalam kereta. Apabila sudah dengan konsisten, dia dipinta "duduk", dia terpaksa "duduk" dalam kereta. Sewaktu di rumah Walter pun, Travis banyak keluar dari rumah melihat jalan. Kita faham di sini, selain daripada keterasingan Travis, walaupun terhadap adiknya dan anaknya, dia tidak mahu terkongkong.

Dan ini memberi satu petanda lagi. Sewaktu Travis bertemu akhirnya dengan isterinya, isterinya dalam sebuah ruang kecil (isterinya bekerja sebagai pelayan lelaki/pelacur). Kita sedar ketidaktentuan dan kecamuknya Travis, mungkin kerana "pilihan" isterinya, tetapi dengan jelas kerana "ruang kecil" yang terpaksa dia duduk untuk melihat isterinya (pada awalnya, kita dapat lihat bagaimana canggung Travis cuba masuk ke dalam bilik-bilik kecil ini). Ini satu ironi lagi, kita dibuka dengan pemasalahan Travis dan isterinya (dimain dengan baik sekali oleh Natassja Kinski) yang mana dikatakan isterinya ingin "bebas" (escape), tetapi akhirnya diterap masuk dalam sebuah kamar kecil, melayan nafsu dan fantasi lelaki-lelaki asing. Ini yang memecahkan jiwa Travis.

Dialog dan monolog yang diberikan oleh Travis kepada isterinya merupakan babak paling penting dalam filem ini, juga babak paling bersejarah dalam filem Amerika, seakan, kita, para penonton, melihat susah-senang dan perit untuk mengenal dan sekali gus menyayangi ruang, lanskap, identiti, impian dan jiwa Amerika, dan juga orang yang kita sayangi, tetapi kita tidak boleh. Hal ini yang menjawab "keterasingan" Travis. Dan untuk itu, aku menangis tak tentu hala menontonnya detik ini.
Warna merupakan satu lagi petanda. Awalnya, kita melihat Travis berpakaian berlainan dengan anaknya (saling tidak bersepadan). Kemudian Travis memakai merah, anaknya memakai merah dan kereta isterinya berwarna merah. Hanya isterinya berwarna merah jambu (asosiasi belum terikat, walaupun punya hubungan). Kemudian, apabila Travis sudah menemui isterinya, Travis berwarna hitam, anaknya berwarna hitam dan isterinya juga. Kita tahu waktu itu, dengan pandangan awal kita yang wujudnya ketidaktentuan, kekosongan dan ketiada hala tuju, walaupun tiga pasangan ini akan bertemu (dalam ruang-ruang lain dan absurd), mereka tidak akan bersama (mungkin untuk seketika, ya). Tetapi kemungkinan persoalan ini berubah, pada imej akhir, dalam diam, Travis menangis dan tersenyum, kita tak lihat wajah depannya tapi kita tahu, dan cahaya merah merah merah menyeluruhi wajahnya. Akhirnya kita tahu, perasaan sebenarnya, dan kita optimis, bahawa walaupun mungkin Travis tidak mahu melihat isterinya lagi, isterinya sudah bersedia untuk bersama anaknya semula, dan mungkin dengan kehidupan yang baharu.

Kekuatan Wim Wenders terletak kepada dua perkara. Beliau tahu bagaimana mahu menangkap lanskap, alam merupakan kuasa yang terkuat dalam bercerita dalam filem-filemnya, malah secara menarik, alam yang diperlihatkan adalah benda-benda yang selalu kita lihat, tetapi dipercantikkan (seperti genre western John Ford) dengan syot-syot luas oleh Robby Muller. Suara ceritanya juga menjadi berhantu dengan petikan gitar Ry Cooder, dibantu dengan kuasa lembut tetapi yakin adaptasi LM Kit Carson terhadap karya seorang sasterawan berkuasa Amerika, Sam Shepard. Wim Wenders juga banyak ditolong oleh para pelakonnya, tetapi sudah tentu terutamanya Harry Dean Stanton yang menggerakkan filem ini dengan penuh keterujaan, membawa Travis yang terasing tidak terlalu "gelap" (walaupun wataknya sebegitu gelap secara skrip), dengan sentuhan alang-alang bodoh, kadang-kadang keanak-anakan, dan kemudiannya lelaki (akhirnya, dia seakan baharu kita kenal dirinya yang sebenar) yang sejati. Ini merupakan filem yang sangat kuat, kerana ia tidak sahaja menampilkan keterasingan individualisme dalam pencarian, tetapi penemuan dalam keterasingan itu, sebuah makna, dan makna yang terbaik sekali, iaitu kemanusiaan terhadap manusia.


A Streetcar Named Desire(1951)

"What you are talking about is desire - just brutal Desire. The name of that rattle-trap streetcar that bangs through the Quarter, up one old narrow street and down another."
Blance DuBois

"I have always depended on the kindness of strangers."
Blance DuBois



Kadang-kadang, ada sebuah filem yang tidak memerlukan sangat pemahaman dalam penangkapan babak, atau simbol atau pergerakan; ini selalunya berlaku dalam teater-teater (yang baik) diadaptasi ke filem. 12 Angry Men adalah contoh yang terbaik di mana polemik dan drama hanya berlaku di dalam sebuah bilik. Ya, syot (cara tangkapan) dan suntingan sahaja yang penting dalam memberi kesan terhadap mimik muka, pergerakan pelakon dan ekspresi drama yang diperlukan, tetapi hal ini boleh dilakukan dengan minima (ada juga filem adaptasi teater yang ambil syot panjang, sepertimana Boys in the Band dan The Bad Seed).

Boleh dikatakan, buat aku selama banyak menonton filem yang diadaptasi daripada teater, tidak pernah sekali aku menonton suatu yang ber"fenomena". Selalunya, filem yang diadaptasi daripada teater, tidak terlalu memerlukan kreativiti bentuk (form) untuk menggerakkan cerita atau semangat, lebih-lebih lagi jika teater itu sudah sempurnanya dikenali sebagai teater. Hal ini hanya berlaku (dengam amat kreatif sekali) dalam muzikal broadway, contoh paling meyakinkan sudah tentu Chicago yang amat-amat berani memecahkan beberapa dinding kebiasaan (jika dibandingkan dengan kelancaran dan konvensi The Sound of Music, Godspells atau West Side Story) pergerakan teater dalam filem, ataupun Cabaret. Rent adalah satu contoh teater ke filem yang tidak berjaya walaupun berbajet tinggi.

Apa yang menyebabkan filem yang dibawa ke layar tidak meyakinkan? Ini adalah kerana, SELALUNYA, satu latar atau ruang yang digunakan berkali-kali. Paling penting adalah hembusan dan luahan drama yang berinteraksi antara watak dalam teater itu yang ingin dibawa ke layar (ini amat menarik jika dibandingkan pula dengan minimalis dan dekonstruksi Lars Von Trier dalam Dogville). Interaksi dramatik dan hentakan-hentakan yang berkeyakinan memerlukan para pelakon yang berkuasa, kerana para pelakon yang penuh tumpuan dan kuasa drama perlu melancarkan dalam satu layar yang ditentukan (dalam filem, ditangkap oleh kamera), dengan pergerakannya yang sudah dikareograf (tipikal dalam mana-mana filem) dengan aksi dna dialog yang dapat diingati atau terngiang-ngiang.

Filem yang diperkatakan ini, dengan menakjubkan berjaya mencapai pelbagai lapisan yang tidak biasa disampaikan dalam mana-mana filem yang "staged", dan buat aku, tidak pernah lagi aku menonton sesuatu yang begini (dalam ruang yang kecil, statik). Beberapa tahun lepas, ada Bugs arahan William Friedkin (terjemahan daripada teater ke filem) dan Closer arahan Mike Nichols. Bugs amat susah dikunyah atas pergerakannya yang terlalu minimalis (walaupun efektif). Sedangkan Closer, tipikal Mike Nichols (membawa kita The Graduate) tidak mahu duduk dalam satu ruang sahaja. Bayangkan bagaimana A Streetcar Named Desire ini dapat mencapai, baik kreativiti para pelakonnya membawa intrig drama antara dua watak, dengan penggunaan ruang yang tidak menjemukan. Sila perhatikan sahaja paparan sedutan di atas, dan itu bukan pun dan belum babak yang terbaik dan secara peribadi bukan kegemaran aku.

Tetapi dengan babak itu sahaja, kita lihat dua perkara:

1. Elia Kazan, pengarah yang dibenci oleh sesetengah pelakon Hollywood (atas penglibatannya dalam menyokong senarai hitam para industri Hollywood yang kononnya komunis) telah membawa satu pembaharuan, sepertimana mengarah James Dean dalam East of Eden, iaitu pengarahan terhadap lakonan metod. Gaya pengarahan ini susah jika pengarah tidak tahu mengawal "emosi" dan "kebersamaan" antara pelakon (legenda James Dean yang melanggar skrip adalah contohnya terbaik serta subjek yang hendak dibawa. Jika kita lihat dalam babak di atas, kita akan sedar, cara pergerakan Stanley lakonan Marlon Brando yang "menjalar" (metafora kepada bentuknya, iaitu seekor ular, yang dinginkan oleh Tennese Williams) bergerak tanpa peduli terhadap kamera (kareografi dibuang, atau kareografi dicetus secara prasedar oleh pelakon yang berhubung rapat dengan wataknya). Kita seakan melihat kamera (KITA!) yang terpaksa mengikut pergerakan Stanley, dan bukan "persediaan" Stanley hendak bergerak ke ruang mana. Inilah kefahaman dan kebendaliran yang dibawa oleh Elia Kazan, yang membantu membuat filem ini sebuah filem klasik (memberi kepercayaan dan kebebasan penuh kepada pelakon).

2. Kuasa Pelakon. Aku kenal dengan lakonan Vivien Leigh. Kalau Marlon Brando aku sudah sedia kenal dengan lakonan metodnya, tetapi Vivien, bagaimana dengan Vivien? Vivien merupakan seorang sahaja pelakon dalam filem ini yang "menjaga" di mana dia perlu bergerak, untuk apa dan di mana kamera. Kita akan sedar ini apabila mendapati sinema filem ini banyak merakam wajahnya, pergerakannya dan pesonanya. Ini penting, kerana Elia memerlukan, dalam kegilaan para pelakonnya bergerak pelbagai arah, seorang yang dapat digunakan sebagai "tumpuan" dan tiang untuk dikelilingi. Buat aku, walaupun lakonan metod efektif, Vivien Leigh tetap memaparkan beliau boleh berlakon sebaik pelakon metod (ditambah nilai dengan jiwanya yang bipolar). Secara serius, dengan Vivien aku mengikuti filem ini sehingga ke akhir, kerana Vivien aku terpancar rasa marah, simpati dan jijik terhadapnya. Dan paling penting Vivien meneruskan, malah memberi kesinambungan terhadap "kepudaran bintang" Hollywood lama seperti yang diaparkan dengan berkuasa dalam Sunset Blvd oleh Norma Desmond (lakonan berkuasa Gloria Swanson).

Ini sebuah filem yang bukan ditonton untuk cerita atau rohnya semata-mata, tetapi lakonannya yang amat berkesan. Filem ini juga membuat aku memahami All About My Mother dalam sudut yang berbeza daripada sebelumnya.

21 January 2010

FACT Student Shorts (January 2010)

Kalau korang tak baca betul-betul di atas, korang akan ingat budak-budak anak didik Prof. Hatta ini sedang memperagakan shorts mereka tanpa baju dan seluar di depan orang ramai untuk dilihat, atau mereka sedang ramai-ramai menunjukkan fesyen terbaharu shorts budak-budak FACT atau mereka buat jualan garaj shorts.

Duh, dah tentulah tak! Januari merupakan masa FACT, dengan diketuai oleh En. Norman Yusof (rujuk http://skrinfilem.blogspot.com) memperagakan filem-filem pendek buatan anak didik FACT sebagai satu projek berkumpulan untuk ditayang, ditonton dan diperkatakan.

Aku suka program ini yang digerakkan oleh En. Norman, yang dipanggil Film Screenings, satu himpunan tayangan filem untuk sebulan. Malah brosur yang diberi mengingatkan aku dengan festival filem atau brosur yang selalu aku kutip di pawagam-pawagam art house di luar negara, memang kelas. Malah ada dua filem yang aku tunggu-tunggu untuk tonton (seleksi yang lain bagus juga tapi aku sibuk) iaitu Karaoke(2009) yang aku terlepas dan frust sampai sekarang, dan All About My Mother(1999) yang merupakan antara filem peribadi/terbaik kegemaran aku (aku nak tengok atas big screen walaupun tak mungkin dalam pawagam benar!)

Tapi, Ya Rabbi, nak ke UiTM Puncak Perdana ni memang seksa (lagi-lagi aku tak memandu) bagaikan memikat janda jelita beranak tiga yang mahukan lelaki kaya, lalu aku terpaksalah melacurkan diri untuk memohon keprihatinan daripada orang (kindness of strangers) di tepi jalan untuk mengangkut aku ke sana. Nasib baik orang itu merupakan Dr. Zul dan aweknya Pn. Rozina, dengan entah lahabau mana buat jalan ke Shah Alam macet hari itu termasuk jalan nak masuk Bukit Cahaya. Macam palat, sampai aku terlepas maghrib! (yang buat aku rasa macam tok seh nak ke Puncak Perdana lagi.) Entahlah, aku tak tahu macam mana aku nak ke sana untuk 27 dan 28 Januari nanti (Ajami, jom!)

Fuck u, im not going to learn to drive. Period.

Tetapi, dengan klise, hal ini terubat (terlepas Bantal Lengan, judulnya seksi babi!) dengan tayangan filem dalam dewan Panca Delima. Malah turutan dan pengurusan santai tapi bereaksi, baik daripada penyelia hingga pelajar FACT memang mengancam (Rozina sedikit terguris kerana tidak ada pengarah wanita daripada FACT malam itu, dan agak terganggu dengan beberapa kumpulan penonton pelajar wanita yang sibuk bercot-cet daripada menonton filem, there, I told you to behave!) Malah, aku suka dengan sikap dan telatah anak-anak muda (er, sebaya, hahahaha) yang datang ke hadapan dan tak takut dibelasah (you earn your art kan?) oleh para penonton yang termasuk para pensyarah mereka sendiri. Kalau malam tu aku takde mood, aku sure akan tanya soalan cilakak wartawan/media hiburan yang normal tanya kepada anak-anak ini (dan mungkin aku patut supaya mereka didedahkan dengan kebiasaan media hiburan kita di luar tu) seperti "Saya Azman dari Metro, uh, berapa bajet untuk filem ni, dan awak yakin boleh laku ke filem ni?" atau, kalau mulut tak tahan, "Benz Muaddid, awak ada keturunan separa Yahudi ke atau bapak awak sebuah kereta branded Jerman?"

Aku hanya bertanya kepada Amer Zaman buat Ronamaya kerana tercuit dengan fetish seorang "femme fatale" kepada seorang lelaki samseng yang pendek dan gemuk. Uhhh, sungguh menarik, tapi Amer tak berapa dengar (gelabah ke yang?) lalu ingat aku kata wanita tu "karakter" bukan creator.

English aku mesti dah berkarat sejak BM diberi laluan balik untuk sains dan matematik.

Pun begitu, aku suka, sebab, baik kepada pelajar yang beri komen dan juga yang kepada kesungguhan pembikinnya untuk mempertahankan filemnya (reaksi paling baik merupakan Sujud, menunjukkan bagaimana filem itu amat-amat berjaya melahirkan "seni" atas kerana intepretasi/reaksi yang pelbagai, termasuk negatifnya terhadap filem itu; ini yang sepatutnya berlaku atas sesebuah filem, syabas Rahimi! Bandingkan hal ini dengan Mautopia dan penjelasan Ridhwan yang buat semua lelaki dalam dewan tu mengecil anunya atau si wanita sunat klitorisnya, huhu, amat menyeksakan libido semua orang!)

Baik dengan berahi dan ter"hibur", secara rumusan, aku suka suka suka dengan hasil kerja anak-anak muda kita. Hey, sape kate filem kita ketinggalan. Sekarang, kalaulah bajet filem kita ni lebih tinggi sedikit daripada yang dijanakan ...

The 5 Rules (Peng: Faiz Jayramie)
Ajami silap bila mengatakan hide/seek paling komersial, hide/seek paling accesible, bukan komersial. Filem ini paling komersial, malah Rozina menyatakan ianya "the Gerak Khas that got right". Entah, aku tak berapa suka. Semangat, mood dan janaan cerita dah betul, malah lantaklah pengarah mahu ambil gaya "membuka jawapan" yang klise di akhir cerita (itu kan teknik je! duh!) dan topeng ala-ala Saw (aku suka attitude pengarahnya menyatakan dengan fuck it attitude dia - "So?"), tetapi pengolahan beberapa mis-en-scene tu yang aku tolak, seperti waktu protagonis menyedari kematian anaknya, tiba-tiba diberi syot lembap dengan runut bunyi tipikal sedih (paksa penonton sedih!) dan slo mo slo mo. Sayang, tolonglah, kau dah buat yang terbaik tetiba babak nak manipulasi penonton buat menangis tu buatpe? Kalau takde lagu waktu babak tu, mesti lagi strike a chord (lalu tiba-tiba skrin jadi kelam kan?), barulah orang macam, whoooh, aku nak langgan ah long tapi boleh tak aku tak nak ada anak? Er, dan aku tak berapa pasti camne pak topeng tu boleh "selamatkan" anak tu kalaulah protagonis tu mengikut syarat pak topeng, ye aku tak berapa dengar dialognya. Well, yah, anyway..

Hide/seek (Peng: Benz Muaddid)
Perkara pertama: ada ke patut Dr. Zul kata muka aku sama ngan muka pengarah ni? Ada ke toot??? Aku suka filem ni, fun fun fun! Lantaklah sinopsis atau logik deme nak main nyorok-nyorok, yang kita nak tengok ialah bagaimana anak-anak muda ni menggunakan ruang, babak, potongan, gerakan, cahaya dan lenggok bontot/dada para pemainnya dalam bergerak dalam satu "cat and mouse" yang terancang. Ada hal yang amatur (aku siap teringat beberapa filem porno yang boleh disamakan, dan itu satu pengiktirafan ok!) dan ada juga yang genius (pemilihan abang tinggi dengan adik-adik pendek, putih/biru dan gelap/coklat, pandai Benz bermain dengan seks). Separuh daripada intipati filem ni aku suka kerana ada pertengahan seksual (walaupun ada foreplay, walaupun ada dibuat-buat, seks mana yang tak?) yang perlu ada dalam filem-filem genre slasher (yep!) siap membincangkan tentangnya (kaitkan jeritan dengan mainan benar-benar wanita lelaki di ranjang, get it?) dekat klimaks filem (saja je kan? cayalah!) Satu projek yang menyeronokkan!

Sujud (Peng: Muhd. Rahimi)
Whoooohhh. Suka suka suka. Pergi mampos dengan poin Rozina dan Dr. Zul tentang "art direction" (satu hal, ini filem pelajar) yang kononnya dapat meyakinkan subjek filem ini, peeerah, aku dah suka filem ini sebagai ianya. Neo-realism anyone? Syot panjang power. Senang tapi membangkitkan ruang untuk persoalan, malah aku tak peduli pun dengan poin pengarah tu tentang hadis Rasulullah s.a.w., apa yang filem ini berjaya sampaikan, ia berjaya sampaikan dalam pelbagai lapisan (buat aku, ini yang penting dalam filem dan filem ini berjaya meyakinkan aku dalam hal ini) dalam hanya 6 minit! Pertama, ianya dah tentu bermesej, apabila azan dikumandangkan (ingat, kita bukan barat, ini ritual kita, ini bukan The Exorcist tapi filem kita). Kita dari awal tahu ini tentang bebudak bujang nak bangun subuh. Aku suka "reaksi" yang berlaku bila ada pelajar kata "aku rasa panjang" terhadap filem ini kerana INILAH tujuan sebenar filem ini: adakah solat itu mengambil masa anda, dan jika tidak kenapa anda susah sangat nak solat dalam masa 24 jam yang Allah beri? Ini yang berjaya pengarahnya sampaikan, di sebalik ketidaksedaran watak yang kiut itu melakukan sujudnya (yang membawa satu lagi poin yang dijelaskan dengan yakin oleh pengarah, Ajami dan Pak Hassan Muthalib). Secara pendek, sebuah filem dakwah yang sangat kiut, syabas!

Ronamaya (Peng: Amer Zaman)
Suka-suka-suka dengan sensualnya. Antara produksi malam tu, filem ini merupakan filem berseni pengarahan yang paling sempurna. Suka dengan poin alam maya dan realiti, dan apa itu realiti sebenarnya, dan apa itu fantasi. Apabila sang lelaki mengambil gelas air warna biru, masa tu macam, whoooohh. Surreal yang cantik. Sedikit demi sedikit, dunia "realiti" sang lelaki dikupas dan dikupas (Ajami menyatakan seperti The Others, aku melihat ianya lebih kepada Jacob's Ladder yang mana setiap "ilusi" itu makin membenak protagonis) lalu akhirnya, benteng fantasi-realiti itu sepatutnya dilucutkan. Di sini sahaja kelemahan Amer, bagaimana dia mahu meyakinkan kita dengan "kelucutan" benteng fantasi-realiti itu! Ini adalah kerana, kita perlukan satu kekuatan daripada protagonis lelaki itu. Seksualnya sudah cukup (tikaman keris di katil, Kala Malam Bulan Mengambang eh?), sekarang kita tidak faham dengan absurdinya menembak femme fatale tu di ruang tamu dengan pistol. Lelaki tu nampak mandul. Si lelaki itu perlu lebih JANTAN kerana ia tidaklah memaparkan ia "mahu"kan sangat si perempuan itu sampai ia boleh menembus masuk ke alam perempuan itu. Satu imej tertinggal di sini. Pun begitu, antisipasinya memberahikan.

Mautopia (Peng: Ridhwan Saidi)
Satu hal yang paling penting ialah, aku tidak mahu terpengaruh dengan kerakusan Ridhwan menerangkan hal pantun (pembayang-maksud) yang digerakkan untuk "form" terhadap filem ni. Itu lantak dialah. Yang penting ialah visual, jalan dan gerakan yang diolahinya. Ironi adalah jawapan filem ini, dan ironi ini, "menakutkan" tetapi sekali gus mengujakan, sepertimana judul filem ini. Paling menakutkan (naik bulu roma u!) bila selepas menonton, dalam perjalanan balik dalam kereta, Dr. Zul dan Rozina (aku diam je, deme lagi tua) bercakap tentang filem ini, tentang tayangan filem-filem ini, filem, dan akhirnya tentang hantu secara prasedar! Dan aku akhirnya kata, "Err, korang, boleh tak kita cerita hal lain, benda ni dah rasa canggung" - macam reality imitates art! Damn kau Bin Filem! Persoalan filem ini banyak, dan ini digerakkan dengan surrealis (kecohlah tak ikut jejak David Lynch, awal-awal lagi dengan tanpa lagu dan tiba-tiba boom dengan judul, sangat Lynch ok!), menggunakan ideal ruang dan dimensi sama tetapi di waktu lain dengan doopleganger yang tipikal Lynch (terikat baik kerana hal pantun itu), filem ni taklah sesusah Lost Highway (aha!) Lynch untuk diikuti. Malah babak "imbas kembali" dengan dialog "luar tu yang bergerak" memang mencetus satu sentuhan mengharukan (tengok: hantu + masa lepas + kemalangan + kematian!) Aku suka juga Ridhwan menggunakan Fadzleena (ya, pengarah wanita yang hip itu) sebagai watak. Secara tidak sengaja, Ridhwan sedang "cuba" membunuh seorang "pengarah" (membunuh dia, mendekonstruksi dirinya), menyatakan, hal ditengah-tengah sebelum "filem berakhir" dan "filem bermula" adalah tujuan pencarian diri sebenar pengarah (apakah membuat sesuatu filem itu baik/tidka baik?). Inilah "utopia" yang ingin Ridhwan cari, di sebalik tema "menghentikan". Ya, secara tidak sengaja, kau seperti mahukan cerita-cerita yang kau buat (khususnya Ridhwan) atau tonton untuk tidak berakhir (akhirnya, filem itu realiti? Ini satu polemik). Ridhwan berjaya menyentak dan menembus "seni" ini ke dalam realiti kita, dan ini amat-amat menakutkan, sekaligus indah. Buat suntingan dan efek, filem ini merupakan yang paling terjaga (lihat sahaja bahagian awal filem ini) dan mengujakan, walaupun hanya menggunakan teknik-teknik yang biasa. Serius, aku mencari kemungkinan jawapan parodi Ridhwan terhadap hal yang dikatakan oleh pengkritik/pemerhati filem iaitu "Death of Cinema" era ini tetapi yang aku jumpa ialah penerusan dalam kematian. Ini sebuah soalan trivia buat sesiapa yang dah tonton: Pada awal filem, Ridhwan dah bagi klu, filem tu dari satu poin ke satu poin lain, itu filem, macam kereta. Soalan, adakah yang korang tonton ni satu "filem" bila wataknya yang balik dari FACT tu masih tak sampai ke destinasinya? Wo hoah! Ini soalan subjektf sayang, tak ada betul atau salah.

Ini pula ulasan pengkritik terkenal, seksi lagi tersohor, Ajami.

Untuk memperjuangkan intifada penonton berbudaya aku, sila kunjungi FACT Puncak Perdana untuk tayangan filem-filem secara percuma tetapi amat bermutu dan glamor (Oh la la!). Dan ya, aku masih memerlukan seseorang untuk mengangkut aku ke sana sebelum magrib mendatang.


ps: Buat para pembikin malam tadi, sila hubungi saya jika kalian mahu filem-filem kalian ditayangkan di Surabaya, Indonesia, kerana komuniti filem indie di sana, INFIS akan menganjurkan festival filem pendek buat anak-anak muda, kemungkinan bulan Mei tahun ini. Sila-sila, nanti aku akan berikan butirannya.

19 January 2010

Apa Lagi Yang Tak Kena?


Baru-baru ni, ko jangan pulak terkejut; aku masuk TV. Alah, Awani je, tapi kira so"p"istikated jugaklah dengan warna oren, merah dan putih jenama syarikatnya. Bukan, ni bukan rebiu aku tentang Paranormal Activity yang Ajami "sebok" masukkan dalam You Tube (habislah, aku "musti" kena hentam atau kena santau lepas ni), yang ini lagi menyimpul perut aku ke-100 kali simpulan kerana isunya "berat", tentang hala tuju pengisian filem Malaysia yang dikatakan lesu. Aku ditemu ramah oleh seorang pengacara yang faham filem iaitu En. Rizal (tak leh tipu-tipu dia, cheh, siap bagi istilah filem gila gaban, P**** betul! Hoho) dan duduk di sebelah "gergasi" pengulas filem, Pak Wahab Hamzah.

Ya, Pak Wahab Hamzah yang aku mahu sangat temu ramah tapi tak dapat-dapat, dan sekarang, mata sang kancil berdepan dengan raksasa!

Bagaimana temu ramah tu? Aku tak berapa puas (siapa yang tak), lagi-lagi dengan gagap-gagap kancil aku (itulah, dulu aku kutuk pengacaranya merojak bahasa, bila kena tang aku, haa, padan muka aku!), malah banyak perkara yang aku rasa aku geram, aku nak luah, tapi aku tak dapat, sebab di sebelah aku adalah seorang gergasi. Poin yang paling aku mahu meluahkan ialah, seperti mana pengacara, Rizal Zulkapli nyatakan, terdapat pandangan negatif masyarakat tempatan terhadap filem Malaysia (dengan isi dan konsep yang klise dan moral negatif). Yang aku ingin nyatakan sebenarnya, pandangan itu sedikit "on the surface" dan tidak ada penyelidikan yang menyeluruh, oleh sebab, kalau dilihat, baik daripada kuantiti ataupun kualiti, filem-filem kita memang sedang "diperhatikan" dunia (bermula selepas pencerahan Puteri Gunung Ledang), tetapi hal ini aku tak dapat simpulkan dengan baik kerana kepala bengang depan TV, dan aku amat-amat rasa rendah diri depan Wahab Hamzah.

Poin aku: sebenarnya ada suatu "pencerahan" yang sedang berlaku dalam perfileman Malaysia, dan hal ini disedari kuat oleh pemerhati antarabangsa, baik dari Itali (Venice), para pemerhati Asia (Singapura, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Filipina dan Indonesia), juga beberapa negara Islam di Timur Tengah. Fakta paling benar, jika diselidiki laman berbahasa Inggeris Twitch Film, laman Rumah Film. Org (sampaikan, laman penting daripada sekumpulan pengkritik hebat dari Indonesia ini menyatakan kandungan filem di Indonesia sebenarnya lesu berbanding dengan ide-ide segar dan menembusi kebiasaan dalam filem-filem indie Malaysia) dan laman mendiang Alexis Tioseco, pengkritik film progresif dari Filipina.

Ya, kita memang tidak menghampiri kekuatan teknikal filem Indonesia (penerbit dan kru mereka tahu menggunakan sumber dengan masa yang betul mungkin), ataupun Thailand (Amir Muhammad menyatakan, dua buah negara asia tenggara, Thailand dan terutamanya Filipina yang jauh mendepani baik ide ataupun teknik, serta apresiasi) dan sudah tentu Filipina (filem-flem DVD yang masuk ke tanah kita merupakan filem-filem popular, bukan filem-filem besar mereka seperti Jose Rizal, The Blossoming of Maximo Oliveros, Batang West Side), tetapi kandungan filem kita, kini, sekarang mempunyai suatu kesegaran yang terkini dan tersnediri, membentuk "dunia baharu sinema" yang buat aku, boleh menandingi mana-mana kandungan filem negara lain.

Secara rumusan, filem kita terpecah kepada tiga tema, yang berbentuk genre (terutamanya seram dan komedi, tipikal buat seluruh negara dan sememangnya popular dalam mana-mana negara pun), yang berbentuk eksperimen (filem generasi baharu seperti James Lee, Tan Chui Mui, Ho Yuhang, Azharr Rudin, merupakan yang terbaik, termasuk Karaoke, yang dikatakan oleh pengkritik filem Benjamin McKay sebagai filem "landmark" Malaysia tahun lepas [dalam Off The Edge], dan buat aku sendiri, filem pascamoden Malaysia, $ell Out!(2009) merupakan filem terbaik yang aku pernah tonton tahun lepas) dan yang merujuk lalu mengintepretasi hikayat atau genre filem atau filem itu sendiri dalam bentuk dan persembahan lain (parodi, neo-noir, pascamoden, antaranya Anak Halal, Baik Punya Cilok, Jangan Pandang Belakang Congkak, Adnan Rempit, Anaknya Sazali, dan terbaik: Kala Malam Bulan Mengambang).

Tetapi takpe, aku berjaya juga maklumkan, masalah buat aku di Malaysia, ialah, kita tidak ada semangat mengadaptasi novel/komik/hikayat/cerpen/buku bukan fiksyen kita ke filem (hal ini dibincangkan dengan panjang lebar bersama penulis skrip drama fenomena Nur Kasih).

Tetapi entri kali ini bukanlah hal berkenaan itu, tetapi persoalan yang aku sengaja lontarkan kepada A. Wahab Hamzah tentang beberapa filem:

- Wahab Hamzah sendiri mengatakan, tidak ada masalanya jika mana-mana filem ingin menyampaikan mesej. Persoalan mesej bukan masalah, maknanya jika filem itu berbentuk "propaganda" (rujuk Bilut, 1957: Hati Malaya), ianya mesti "menghiburkan". Ya, itu merupakan hal yang paling penting: untuk menghibur. Aku selalunya menyatakan, paling penting dalam pengalaman menonton adalah merasa. Konsep "perasaan" atau tindak balas emosi ini yang menentukan filem apa yang kita akan suka. Seperti aku, aku suka "ditakuti", jadi filem seram merupakan genre kegemaran aku. Hal propaganda dan filem bermesej masih subjektif buat aku. Tetapi buat aku, filem yang mempunyai "cerita" dna lantaklah apa orang mahu katakan tentang "mesej" atau "estetika"nya merupakan sebuah filem yang bagus. Filem Abang oleh Rahim Razali mempunyai kekuatan sebegini. A. Wahab Hamzah sendiri mehu membikin filem berestetika tinggi yang boleh "berhibur" menontonnya (tidak menolak penonton umum). Aku terngiang konsep Slumdog Millionaire.

- Aku kemudian bercakap tentangnya bahawa, seperti mana yang dikatakan (dan aku sokong) oleh Pak Hassan Muthalib, filem tahun 2010 banyak judul-judul filem yang "entah apa-apa" (err, maaf, Adnan Rempit merupakan satu contoh). Pak Wahab terus menyatakan, "tidak adanya masalah dalam judul, kerana kita perlu fahami dengan hal semasa sekarang. Penonton kita [penonton filem Malaysia] kebanyakannya bangsa Melayu dari kampung, jadi mereka perlukan sesuatu yang dekat dengan mereka [kekampungan?], mengikut intelektual mereka. Lama-kelamaan dengan adanya pusat seperti ASWARA, dengan adanya pendedahan filem sedari kecil, dan adanya perkenalan dengan sastera dalam KOMSAS, budka-budak kampung ini tentu berubah seleranya". Begitulah. Aku harap ramalan Pak Wahab ini benar. Buat aku pula, secara subjektif, aku akanmengajar anak-anak aku dogma yang sudah aku turunkan di sini supaya membentuknya sebagai penonton berbudaya.

- Kemudian aku bertanya soalan yang paling sensitif sekarang, tentang dokumentari The Residency Years oleh Mansor Puteh (aku belum menontonnya) dan isu yang sedang berlaku. Beliau dengan jujur menyatakan, bahawa seorang yang pakar dengan bahasa filem (Mansor) perlulah kadang-kadang mengikuti piawaian yang diberi oleh "tukang beri kerja"nya . Malah sebenarnya, hal-hal yang ditegur itu merupakan hal-hal teknikal kecil yang boleh diubah dengan cepat dan tidak perlu kos tinggi. Dan seeloknya, kerana ini sebuah "projek" pemberian orang berkuasa, seeloknya perlu pengarah (Mansor) ada pasukan yang berpakaran dala mdokumentari, dan jangan buat semuanya sendiri dan ikut syok sendiri.

Aku macam, whhoooohhh! Aku nayatakan pula, seperti mana bicara aku dengan Jhebat Bin Filem yang sudah menontonnya, filem terbaharu Mansor itu sungguh "naturalistic", mengambil semangat Werner Herzog. Wahab Hamzah terus menggeleng dan kata, "Mereka boleh kata apa yang mereka nak kata, tetapi ini, kerja ini satu kerja yang sepasukan dengan perjanjian dan permintaan dengan piawaian, memanglah, orang boleh kata apa-apa tentang filem itu."

Persoalan aku: dan bukankah ITU tujuan filem? Untuk melihat PELBAGAI REAKSI orang dalam satu-satu hasil seni (sebagai hasil akhir, tidak mengambil aspek metod pembikinannya). Aku sebenarnya menyalahi FINAS dan menyalahi Mansor Puteh sekali gus. Aku menyalahi FINAS kerana kenapa FINAS, yang mempunyai "permintaan" tertentu untuk dokumentari itu (dengan gaya tipikal Discovery Channel/History Channel) kenapa tidak nyatakan dengan jelas kepada Mansor? Kenapa pilih bersetuju dengan Mansor "in the 1st place" kerana kita sudah sedia faham dengan cara dan falsafah Mansor yang sememangnya seorang "pembikin gerila terulung Malaysia". You kow what you're getting into FINAS. Dan Mansor Puteh pula, jika BENARLAH standard itu sudah diperjelaskan, kenapa terus menjalankan kerja, melanggar "amanah" yang sudah diberi? Tetapi jauh dalam sudut hati aku, aku percaya FINAS tidak menyatakan standard mereka kepada Mansor, kerana tak mungkin Mansor sanggup melakukan hal menggigit tangan sebegitu rupa kepada ia yang memberinya makan?

Penyelesaian buat aku, kerana rata-rata ramai penonton muda yang sudah menontonnya membelakangi Mansor Puteh (tayangan di unibersiti-universiti) dan hasil kerjanya, filem ini biarlah dibawa untuk tayangan filem festival luar negara dan beri keluasan tayangan umum yang lebih luas (mungkin ASTRO boleh ambil peluang). Jika hal ini memerlukan "kad hijau" FINAS atau kementerian, berilah saja kepada Mansor, kerana tak elok menahan semangat pembikin yang mahu menyimpang hal lain (ide seni memang begitu, kan mereka orang-orang yang pelik?)..

Lalu kemudian, aku bertanya tentang Merantau yang sedang ditayangkan, dan beliau terus kata, ia tidak ada makna, lemah dan mengikut gaya Ong-Bak. Waktu tu ajelah aku secara serius berkata dalam diri aku, "hah, ini saja garisan perbezaan aku dengan idola aku rupanya!" Secara serius, Merantau bukan sebuah filem yang perlu diambil secara serius, ataupun secara mengikut genre. Ianya sememangnya filem bertih jagung dilunakkan dengan hal realiti sosial Jakarta. Paparan tanpa potongan filem penuh yang aku tonton di Jogjakarta menampilkan hal ini. Seperti Paul Agusta, Wahab Hamzah tergolong dalma kumpulan yang membenci Merantau.

Ini membawa kepada poin akhirnya kepada pengacara malam itu, Rizal, yang mana dia (baru) sedar, tidak pedulilah filem apa yang kita tonton itu bernilai atau tidak kerana penilaian estetika dan taraf hiburan (guilty pleasure) kita sendiri lain buat setiap individu. Ini sangat-sangat benar. Dan aku tepuk tangan dengan pencerahan baharu pengacara itu (yang baru sedar). Aku punya pandangan aku sendiri tentang Avatar, tetapi itu tidak bermakna engkorang tidak akan terhibur dengannya, begitu juga Man Laksa, ataupun Nana Tanjung. Di sinilah, kita dibawa ke budaya baharu iaitu budaya "cult" dalam menonton. Dan seperti fenomena ini tertulis dalam blog ini (dan masih berkembang) bagaimana pengikut kecil Misteri Rumah Tua sedang memohon untuk menonton filem itu (dikatakan blog yang aku paparkan itu tidak dapat menayangkan filemnya, aduh!!!) Buat aku, Misteri Rumah Tua ialah sebuah filem bajet rendah yang setaraf John Waters tetapi mengambilnya dengan terlalu serius (itu masalahnya). Tetapi, lihat bagaimana "fond of" para pengikutnya untuk mencarinya.

Seperti mana yang berlaku terhadap rerun Ali Setan arahan Jins Shamsuddin itu baru-baru ini. Separuh daripada kami yang menontonnya di TV3 baru-baru ini menjerit dialog-dialog "Tipah tertipu" dan "Ali Setan, anak iblis"nya serta kiutnya pantun-pantun katak yang dipaparkan. Ini adalah momen-momen, dan momen-momen ini bermakna baik secara ritual menonton juga secara prasedar (hal ini berlainan dengan memahami pengalaman menonton filem klasik). Ini yang membuat filem seperti Ali Setan mencapai tahap "cult". Jika korang ada ternampak majalah Aesthethic yang memperkatakan bahawa filem kita tidak ada filem yang berstatus "cult", betapa salahnya penulis itu, kerana penulis itu perlu melihat "cult status" dalam ruang lingkup budaya kita (dengan tahap intelektualnya, serta cara kita menonton, dan budaya ritual kita tersendiri) dan acuannya. Ambil saja contoh filem Ringgit Kassorga. Aku tetap boleh ketawa bila ada seorang pengawal keselamatan baru-baru ini boleh meluah, "siapa yang malu, mereka dan keluarga mereka!" Jadi, siapa kata filem kita tak kena?

15 January 2010

Akan Datang: KAPOWW (2010)


Aduh, iyelah, macam2 hal dalam minggu ni, tak sempat teman nak mengulas, hoho.. sabtu ni lah paling seksa, kononnya teman kena panggil masuk TV, 8.30mlm, Awani... aduh, entahlah, penat, penat! Novel pun tak siap-siap ni! Aduh!

Katanya akan tiba Jun 2010:



Menarik? Tak tahulah. Azizi Chunk aku pernah tersinggung dengan Antoo Fighternya, dan nampaknya filem ni ada campuran Power Rangers, Ultraman dan komedi gila-gila bodoh tipikal Senario, tapi satu hal yang aku bangga dibuat oleh Azizi ialah, dia CUBA untuk mencipta adijaguh (superheroes) tempatan (walaupun bodoh-bodoh alang). OK, soalan: adijaguh apa yang di Malaysia boleh digunakan? Komik mana yang boleh diadaptasi?

Aku ada beberapa cadangan:
Periwira Mat Gila (nukilan arwah Rejabhad, hero hikayat/bangsawan tempatan paling aku suka)
Akob Anak Tulakang (budak kecil genius yang jadi power hungry untuk menakluk dunia, gila! Nan dulu-dulu dah jauh glokal daripada Najib, poyo!)
Syah Mardan (daripada Hikayat Syah Mardan, tak, yang ini belum dikomikkan, tapi buku hikayatnya dah cukup kuat untuk buat filem sehebat Jaka Sembung!)
(... korang, sila isi ...)

Ini buat pembikin filem Malaysia yang nak buat filem adijaguh: kalau korang filemkan sebuah filem adijaguh yang serius, dengan naratif dan latar serius, dengan isu-isu sarwajagat yang serius, aku gerenti, meletup besar-besarnya!

now, this is interesting, hopefully with a good Garuda CGI:
http://www.youtube.com/watch?v=SamAxH4Tbag

10 January 2010

Paranormal Activity(2007): Idea Jujur Yang Tersesat di Tengah Bikinan


Ini adalah antara filem yang amat ditunggu-tunggu pada tahun lepas, selepas mendapat pengiktirafan tinggi daripada, bukan sahaja festival filem-filem seram, Sundance, tetapi juga Steven Speilberg! Premisnya senang: membawa kembali ideal "less is scary" atau penggunaan psikologi untuk menakutkan penonton (dengan tidak perlu memaparkan hantunya) yang mana kita sudah sedia kenal digarap oleh Jacques Ternuer, dan kemudiannya diikuti oleh beberapa pengarah filem Peranchis, termasuk beberapa pengarah Eropah dan Amerika (contoh seperti filem-filem Roman Polanski dengan seram urbannya).


Keduanya, kita jumpa kembali dengan gaya Cannibal Holocaust(1980), yang tidak begitu popular buat massa tetapi yang lebih popular, Blair Witch Project(1999) dengan ideal "lost document footage" (Rec, Cloverfield, Diary of the Dead, The Fourth Kind membawa semangat ini).. Dengan "lost footage", awal-awal lagi kita sudah sedia maklum "siapa yang akan mati", atau "the inevitable doom" watak-watak dalam rakaman (ini hal yang banyak sekali diulang-ulang).. poinnya, apa yang "menarik" atau "mengejutkan" dalam perjalanan "kematian" atau "pengkahiran" filem dokumentari itu, dan bukan siapa yang hidup atau yang mati (Rec[2007] mencapai antara filem yang paling baik dalam hal ini).. Jadi, dengan kekuatan dua premis ini, berjayakah Paranormal Activity?


Secara serius, aku benar-benar ingin menyayangi filem ini, atas sebab satu perkara: aku amat-amat menyokong filem-filem indie. Selalunya, filem-filem indie merupakan hasil karya yang "raw", dan selalunya amat-amat jujur. Antara contoh filem indie yang sangat baik (tapi tidak banyak yang mengenalinya) adalah seperti Next Stop, Wonderland serta Session 9 (kedua-duanya arahan Brad Anderson). Inilah ekspetasi yang aku tanam dalam dada aku bila menonton filem ini, menyatakan, bagaimana pengarah muda ini membawa satu tema yang kita sedia kenal; merakam benda-benda "spooky" yang berlaku di dalam rumah sebagai bukti paranormal. Sinopsisnya melakarkan dengan senang, si balak hendak merakam apa yang tidak kena dengan rumahnya. Lalu dibuka, bahawa aweknya adalah "penyebab" hal-hal paranormal ini berlaku. Kemudian, berlakulah "camera whore", tipikal buat si balak, untuk merakam dengan ekstrem dan lebih ekstrem tentang hal-hal yang "berdentum pada tiap malam".


Di sini plotnya dipersoalkan. Adakah benar seorang balak yang sudah sedia faham bahawa ada benda-benda yang JELAS tidak boleh dipermainkan, lalu terus memilih untuk melakukan yang "ekstrem" dengan mengambil ideal yang lebih ke arah menjurus ke ketahyulan itu daripada mengikut pemikiran pakar? (malah pakar dalam filem ini juga amat memahami paranormal ini dari sudut sains, tidakpun pergi ke arah agama sekali pun). Maaf kata, walaupun mungkin ada jenis manusia sebegini, tetapi secara rasional, mungkin apa yang dilakukan oleh pelakon/pengarah filem ini dipersoalkan, sehinggakan dalam beberapa babak, memaparkan menangkap buku dokumentasi tentang syaitan, hanya sebagai "efek mainan minda" penonton. Ya, ini yang amat-amat dicuba oleh pengarah filem ini, untuk membentuk, dengan (mungkin) berjaga-jaga efek seram (tanpa hantu) untuk menakutkan para penontonnya. Pertama, hanya memaparkan pintu bergerak, kemudian dalam syot dan ruang sama, kain bergerak, dan akhirnya, tapak kaki bedak. Semakin lama kita berkompromi dengan filem ini, semakin kita nampak hal-hal (seram) ini dibuat-buat, dan diulang-ulang sebagai "horror for horror sake", bukan maknanya itu tidak elok, tetapi hanya ia terlalu menjengkelkan (rujuklah Buku dan CD BUKTI ENTITI yang dicipta oleh Lando Zawawi, yang jauh lebih menakutkan bahan-bahan rakamannya daripada yang dilihat dalam filem ini, walaupun mungkin dipersoal kesahihannya).


Bayangkan, apabila sudah separuh entah apa-apa "made up scare" yang diaparkan, si balak masih "insist" bahawa dia tidak mahu memanggil seorang Exorcist, walaupun bila wajah gambarnya sudah dicakar oleh sesuatu yang tidak boleh dibayangkan!!


Malah, dengan satu babak di mana adanya syot si lelaki dengan "camera whore"nya pergi mencari "punca suara" di dalam bilik air, secara SENGAJA membuka tirai pancuran (ingat Psycho?), kita sedar sekali gus, bahawa apa yang kita tonton ini BUKAN BENAR dan hanya satu eksperimen pengarah muda untuk mengambil semangat sebuah filem seram yang beliau kenali (bab ini sudah dimainkan banyak kali, lebih-lebih lagi dalam filem-filem slasher, Friday the 13th, Halloween, Scream, I Know What You Did Last Summer, Nightmare on Elm Street, termasuk Jangan Pandang Belakang, Ju-On dan Congkak!).. Memang, dari bahagian ini sahaja kita sudah faham, sang pengarah jauh hendak membawa kita satu "realiti alternatif" sepertimana yang dipermainkan oleh kita dengan efektif sekali dalam Blair Witch, tetapi CARA wataknya menusuk dan menusuk untuk mengkaji memberi banyak persoalan yang tidak masuk akal (malah aku amat boleh merasionalisasikan kejanggalan watak dalam Cloverfield kerana "ketidaktentuan itu mungkin dokumentari yang ada sebagai bahan bukti sejarah", tetapi hal kecil Paranormal ini bagaimana?).. malah satu hal lagi yang menjengkelkan merupakan, setiap kali satu "sepktra seram" akan berlaku, runut bunyinya seakan tiba-tiba mendengung semacam, memberi kita cue! Maaf, hal ini sebuah "cheap trick" buat aku, yang hanya suka dibikin oleh filem-filem seram Metrowealth.


Akhir sekali, seperti mana yang aku tidak sempat maklumkan dalam Astro Awani Gala TV, tema "kejahilan" yang dipaparkan dalam filem ini menjadi lemah dan lemah apabila semua hal yang dinyatakan di atas berlaku, lebih-lebih lagi dengan ketidaktentuan tujuan para watak untuk mencari jawapan yang "pandai" (bukan seperti Rec yang amat-amat mencabar dan tidak mengutuk intelektual penonton atau watak-wataknya) terhadap ketidaktentuan dan kejanggalan yang mengacau dan mencabar mereka untuk berasioanalisasi. Hal ini mungkin akan membentuk lengkuk yang lain jika dibawah pengarah lain, tetapi filem ini menjadi filem yang amat dipersoalkan atas "true horror" yang diklaim oleh peminat filem seram termasuk Steven Spielberg ke atasnya.


06 January 2010

Haxan: Witchcraft Through The Ages (1922) - Relevan, Saintifik, Fantasmaorgasma, Menakutkan


"I also confess that I went to the Sabbath on Trina's broomstick"
Perempuan tua.

Ini sebuah filem yang wajib ditonton oleh semua peminat filem seram, walaupun kalian tidak suka menonton dokumentari.

Haxan, merupakan satu dokumentari pengkajian tentang dunia yang tidak difahami oleh manusia rasional, syaitan dan ahli sihir - persoalan yang dibawa: adakah syaitan benar-benar wujud, dan jika ia wujud, untuk apa dan siapakah pengikutnya?

Filem ini sebenarnya sebuah esei Christensen, seorang "pengkaji" tentang dunia ahli sihir. Christensen cuba untuk membawa penyelidikan sains, sekurang-kurangnya dunia perubatan dan psikologi dalam memberi "jawapan" atau keputusan terhadap fenomena ahli sihir: kenapa ia tampak "menjadi" walaupun tahyul, kenapa ia ditakuti, sampai dijalankan "witchhunt", dan kenapa manusia mempercayainya.

Pandangan Christensen senang: kerana manusia pada zaman pra sains (sebelum orang Barat menemui rasionalisme dan bergerak ke arah pengkajian saintifik secara kuantitatif) tidak boleh atau tidak dapat membayangi kebesaran alam, lalu daripada situ, "ciptaan-ciptaan" ditemukan untuk mencorakkan satu realiti, bahawa Syaitan wujud untuk menyusahkan manusia.

Ini merupakan poin rasional Christensen. Memang hal ini amat "letih" untuk difikirkan, malah bukan itu yang diberi oleh Christensen pada awal filem ini. Pada awalnya, kita lihat seorang paderi tua sedang menulis satu kertas ceramah(?) Tiba-tiba, dari belakang meja itu, muncul seekor Iblis (lakonan pengarah sendiri) yang menjelir lidahnya, gelap, bogel, bertanduk, cuba menerkam paderi itu. Babak ini mempunyai kuasa sejarahnya yang tersendiri:

1. Untuk pertama kalinya, kita lihat sesuatu yang mencabar minda kita. Sesuatu yang "tak wujud" pada mata kasar "diwujudkan" atas skrin. "Syaitan itu benar". Ini sebenarnya tujuan Christensen untuk menggambarkan "fantasi" para paderi zaman itu. Hal yang saintifik dan pengkajian yang berjela-jela tiba-tiba merubah ke fantasi. Realiti jadi fantasi, atau fantasi yang kita tonton itu "benar" tiba-tiba (maka kita menerima kata-kata yang dituduh ahli sihir, walaupun kita tahu secara harfiah ini satu pembohongan). Bukan, ini bukan sahaja fantasi, tapi fantastikal, juga menjurus ke seram. Kewujudan syaitan ini memaparkan, dalam mana-mana filem Barat, syaitan itu perlu "muncul" melebarkan tujuan kejahatannya.

2. Dalam sejarah, babak ini memaparkan undang-undang mengejutkan penonton; kejutkan penonton dengan nano saat, tanpa diduga, dengan paparkan "hantunya" secara tiba-tiba. Hal ini sekarang, dengan keberkesanan teknologi suara dinaik taraf lagi untuk menakutkan penonton, malah telah diterajui dengan kelas sekali oleh William Friendkin dalam The Exorcist (babak wajah Captain Howdy sewaktu Reagen diexorsist) dengan efek super imposednya yang sampai kini tidak siapa dapat mempakarinya. Pengarah filem Malaysia sekarang perlu belajar daripada Christensen apa yang membuatkan babak kejutannya ini tetap mengejutkan orang, walaupun tanpa suara!

Apabila hal ini berlaku, bermulalah satu pengembaraan yang mistik, dan fantastikal tentang dunia ahli sihir. Filem ini sebenarnya terbahagi kepada empat. Pertama, pembukaan tentang etimologi syaitan, kedua, tentang dunia ahli sihir, ketiga, tentang "witchhunt" dan "sabbath" ahli sihir, dan keempat, resolusi dan hasil penemuan Christensen.

Bahagian keempat, walaupun merupakan resolusi, turut memberi makna yang kuat: kita takutkan perkara yang kita tidak faham. Hal inilah, seperti histeria dikaitkan dalam sains memahami ahli sihir dan penyihiran, malah ianya amat penting, ia sekali gus menjawab persoalan: kenapa kita masih menonton filem seram dari sudut prasedar psikologi kita (kita yang membentuk "takut" kita).

Dalam satu tontonan, anda mungkin akan merasa letih menonton filem ini, tetapi serius, anda perlu sedar bahawa kalau mahu menonton filem ini, tontonilah secara berpecah, kerana setiap perpecahan memberi makna emosi dan kuasa imej yang berlainan (babak kedua babak paling menyeronokkan). Malah bahagian ketiga dan keempat sangat menyakitkan, anda akan merasakan kekerasan paderi kristian sewaktu pembunuhan orang awam beramai-ramai atas tuduhan ahli sihir merupakan tragedi yang lebih menakutkan dan menyeramkan daripada syaitan itu sendiri.

Hal ini berikutan pemakluman sihir dalam fatwa dan perundangan Islam Malaysia baru-baru ini. Aku begitu menyokong hal ini digerakkan (menghapuskan sepenuhnya pengamal sihir, serta mereka yang memohon daripada mereka), tetapi persoalannya, bagaimana hendak menyukat "sihir", dan adakah Malaysia akan melakukan penyiasatan "witchhunt" sekejam zaman pra sains Barat, bagaimana pula jika bomoh itu sendiri menggunakan sihir terhadap hakim untuk menyongsang mereka? Hal-hal inilah yang dipersoalkan dan amat masih samar untuk diaplikasikan, memandangkan, penyihiran (orang yang menggunakannya, sampai mati tidak akan mengaku dia sudah syirik) itu sesuatu yang amat bifizikal, seperti yang dipaparkan dalam filem ini.

Filem ini tetap boleh ditonton atas kuasa imej Christensen dalam membayangkan, daripada buku-buku lama, bagaimana bentuk dan cara pemujaan dilakukan pada zaman dahulu, bagaimana rasa fantastikalnya ahli-ahli sihir atas penyapu mereka, serta bagaimana proses "witchhunt" dengan semberono atas kuasa politik gereja untuk menjaga institusi mereka. Imej-imej ini amat menggegarkan, malah antara yang termoden dari segi penceritaan dalam sebuah filem bisu. Filem ini merupakan filem penting dalam rak filem-filem seram.


Akan Datang: Merantau(2009)


Yeay, MERANTAU akan masuk ke pawagam bermula esok,
7 Januari 2010,
definitely worth watching..
tapi masa aku kat festival filem Yogya, aku sedar ada dua babak yang dipotong
daripada yang diedar secara antarabangsa (yang di sini), berkenaan babak perhubungan Yuda dan budak kecil, dan babak Yuda dalam adegan ala Fight Club. Apa-apapun, filem ini masih menyengat untuk ditonton.
Ulasan aku berkenaan filem ni.

05 January 2010

Ulasan "Pisau Cukur" Aku dalam Dewan Budaya Januari 2010

Pisau Cukur (2009): Sandiwara Kelas Sosial dan Pemerkasaan Wanita dalam Kerdipan Hollywood.

Dewan Budaya dijual di serata 7-Eleven!

04 January 2010

Akan Datang: Heiran(2009)

Filem Iran yang amat menyayat hati, filem sulung arahan pengarah wanita Iran, Shalizeh Arifpour.

During the rule of the Taliban in Afghanistan about 3 million Afghans, who were mostly illegal immigrants, entered Iran; causing numerous problems for the Iranian society to accept them.
This film is the story of a 17 year old rural girl by the name of Mahi, who comes from a war-stricken family in the southern Iran. Mahi falls in love with an Afghan student named Heiran, who has come to their village to work. But Mahi's family being strictly against her marriage to an Afghan, forces Mahi to choose one between her family and an Afghan lad.

7 Januari 2009, GSC Mid Valley