10 January 2010

Paranormal Activity(2007): Idea Jujur Yang Tersesat di Tengah Bikinan


Ini adalah antara filem yang amat ditunggu-tunggu pada tahun lepas, selepas mendapat pengiktirafan tinggi daripada, bukan sahaja festival filem-filem seram, Sundance, tetapi juga Steven Speilberg! Premisnya senang: membawa kembali ideal "less is scary" atau penggunaan psikologi untuk menakutkan penonton (dengan tidak perlu memaparkan hantunya) yang mana kita sudah sedia kenal digarap oleh Jacques Ternuer, dan kemudiannya diikuti oleh beberapa pengarah filem Peranchis, termasuk beberapa pengarah Eropah dan Amerika (contoh seperti filem-filem Roman Polanski dengan seram urbannya).


Keduanya, kita jumpa kembali dengan gaya Cannibal Holocaust(1980), yang tidak begitu popular buat massa tetapi yang lebih popular, Blair Witch Project(1999) dengan ideal "lost document footage" (Rec, Cloverfield, Diary of the Dead, The Fourth Kind membawa semangat ini).. Dengan "lost footage", awal-awal lagi kita sudah sedia maklum "siapa yang akan mati", atau "the inevitable doom" watak-watak dalam rakaman (ini hal yang banyak sekali diulang-ulang).. poinnya, apa yang "menarik" atau "mengejutkan" dalam perjalanan "kematian" atau "pengkahiran" filem dokumentari itu, dan bukan siapa yang hidup atau yang mati (Rec[2007] mencapai antara filem yang paling baik dalam hal ini).. Jadi, dengan kekuatan dua premis ini, berjayakah Paranormal Activity?


Secara serius, aku benar-benar ingin menyayangi filem ini, atas sebab satu perkara: aku amat-amat menyokong filem-filem indie. Selalunya, filem-filem indie merupakan hasil karya yang "raw", dan selalunya amat-amat jujur. Antara contoh filem indie yang sangat baik (tapi tidak banyak yang mengenalinya) adalah seperti Next Stop, Wonderland serta Session 9 (kedua-duanya arahan Brad Anderson). Inilah ekspetasi yang aku tanam dalam dada aku bila menonton filem ini, menyatakan, bagaimana pengarah muda ini membawa satu tema yang kita sedia kenal; merakam benda-benda "spooky" yang berlaku di dalam rumah sebagai bukti paranormal. Sinopsisnya melakarkan dengan senang, si balak hendak merakam apa yang tidak kena dengan rumahnya. Lalu dibuka, bahawa aweknya adalah "penyebab" hal-hal paranormal ini berlaku. Kemudian, berlakulah "camera whore", tipikal buat si balak, untuk merakam dengan ekstrem dan lebih ekstrem tentang hal-hal yang "berdentum pada tiap malam".


Di sini plotnya dipersoalkan. Adakah benar seorang balak yang sudah sedia faham bahawa ada benda-benda yang JELAS tidak boleh dipermainkan, lalu terus memilih untuk melakukan yang "ekstrem" dengan mengambil ideal yang lebih ke arah menjurus ke ketahyulan itu daripada mengikut pemikiran pakar? (malah pakar dalam filem ini juga amat memahami paranormal ini dari sudut sains, tidakpun pergi ke arah agama sekali pun). Maaf kata, walaupun mungkin ada jenis manusia sebegini, tetapi secara rasional, mungkin apa yang dilakukan oleh pelakon/pengarah filem ini dipersoalkan, sehinggakan dalam beberapa babak, memaparkan menangkap buku dokumentasi tentang syaitan, hanya sebagai "efek mainan minda" penonton. Ya, ini yang amat-amat dicuba oleh pengarah filem ini, untuk membentuk, dengan (mungkin) berjaga-jaga efek seram (tanpa hantu) untuk menakutkan para penontonnya. Pertama, hanya memaparkan pintu bergerak, kemudian dalam syot dan ruang sama, kain bergerak, dan akhirnya, tapak kaki bedak. Semakin lama kita berkompromi dengan filem ini, semakin kita nampak hal-hal (seram) ini dibuat-buat, dan diulang-ulang sebagai "horror for horror sake", bukan maknanya itu tidak elok, tetapi hanya ia terlalu menjengkelkan (rujuklah Buku dan CD BUKTI ENTITI yang dicipta oleh Lando Zawawi, yang jauh lebih menakutkan bahan-bahan rakamannya daripada yang dilihat dalam filem ini, walaupun mungkin dipersoal kesahihannya).


Bayangkan, apabila sudah separuh entah apa-apa "made up scare" yang diaparkan, si balak masih "insist" bahawa dia tidak mahu memanggil seorang Exorcist, walaupun bila wajah gambarnya sudah dicakar oleh sesuatu yang tidak boleh dibayangkan!!


Malah, dengan satu babak di mana adanya syot si lelaki dengan "camera whore"nya pergi mencari "punca suara" di dalam bilik air, secara SENGAJA membuka tirai pancuran (ingat Psycho?), kita sedar sekali gus, bahawa apa yang kita tonton ini BUKAN BENAR dan hanya satu eksperimen pengarah muda untuk mengambil semangat sebuah filem seram yang beliau kenali (bab ini sudah dimainkan banyak kali, lebih-lebih lagi dalam filem-filem slasher, Friday the 13th, Halloween, Scream, I Know What You Did Last Summer, Nightmare on Elm Street, termasuk Jangan Pandang Belakang, Ju-On dan Congkak!).. Memang, dari bahagian ini sahaja kita sudah faham, sang pengarah jauh hendak membawa kita satu "realiti alternatif" sepertimana yang dipermainkan oleh kita dengan efektif sekali dalam Blair Witch, tetapi CARA wataknya menusuk dan menusuk untuk mengkaji memberi banyak persoalan yang tidak masuk akal (malah aku amat boleh merasionalisasikan kejanggalan watak dalam Cloverfield kerana "ketidaktentuan itu mungkin dokumentari yang ada sebagai bahan bukti sejarah", tetapi hal kecil Paranormal ini bagaimana?).. malah satu hal lagi yang menjengkelkan merupakan, setiap kali satu "sepktra seram" akan berlaku, runut bunyinya seakan tiba-tiba mendengung semacam, memberi kita cue! Maaf, hal ini sebuah "cheap trick" buat aku, yang hanya suka dibikin oleh filem-filem seram Metrowealth.


Akhir sekali, seperti mana yang aku tidak sempat maklumkan dalam Astro Awani Gala TV, tema "kejahilan" yang dipaparkan dalam filem ini menjadi lemah dan lemah apabila semua hal yang dinyatakan di atas berlaku, lebih-lebih lagi dengan ketidaktentuan tujuan para watak untuk mencari jawapan yang "pandai" (bukan seperti Rec yang amat-amat mencabar dan tidak mengutuk intelektual penonton atau watak-wataknya) terhadap ketidaktentuan dan kejanggalan yang mengacau dan mencabar mereka untuk berasioanalisasi. Hal ini mungkin akan membentuk lengkuk yang lain jika dibawah pengarah lain, tetapi filem ini menjadi filem yang amat dipersoalkan atas "true horror" yang diklaim oleh peminat filem seram termasuk Steven Spielberg ke atasnya.


2 comments:

Ajami Hashim said...

youtube gempak! sila klik sini >> Gala TV Plus Astro Awani Rebiu PARANORMAL ACTIVITY

fadz said...

ohh tidaaaaaaaaaaaaaaaaaaaak!