23 March 2009

Wayang(2008) Dalam Bayang-bayang

Entri ini buat Zubin,

Aku mengambil masa untuk menulis tentang Wayang kerana maaf, aku takut, kemungkinan, tidak ada apa-apa yang baik yang ingin aku perkatakan tentang filem "korporat UiTM" ini. Malah sampai sekarang, aku masih dalam keadaan berpinar untuk memahami "kebenaran" teks-subteks yang disampaikan oleh Pak Hassan Muthalib tentang Wayang (boleh dibaca dalam Dewan Sastera Januari 2009), adakah garapan Pak Hassan itu satu kebenaran atau sindiran terhadap bikinan sutradara berijazah doktorat ini? Jadi, kemungkinan, aku cari jalan "tengah".


Sebenarnya ada yang cantik tentang Wayang, dan ini berlaku pada saat akhir filem ini (spoiler:), waktu klimaks sewaktu Awang Lah (lakonan sederhana-senyap Eman Manan) tiba-tiba diserang angin ahmar lalu rebah di tengah panggung, meninggal. Awi (lakonan memberangsangkan Zul Huzaimy) dan Melor meratap, malah kesemua anak buah Awang Lah meratap sedih pemergian Awang Lah. Tetapi layar putih tetap menebarkan Rama dan Sita, penonton masih menunggu untuk cerita disimpulkan, tidak "sedar" pun bahawa kecemasan yang berlaku di balik layar. Yang mereka nampak hanya keterangan superfisial "bayang" (wayang) yang disampaikan (untuk mereka), tidak peduli (atau tidak akan diberi tahu) pun tentang apa yang berlaku dibalik tabir. Hatta memaparkan realiti bukan sahaja tentang orang main wayang kulit, tetapi seni apa-apa pun di tanah Melayu atau dunia ini. Dalam dramaturgi, orang hanya akan menelan emosi pelakon di pentas, dan tidak akan dapat merasai pedih getir persediaan pelakon sebelum pementasan. Ini realitinya.

Dalam perkara dunia "berlapis" ini, kebenaran ini mutlak, dan dipaparkan dalam ruang. Tetapi hal inilah yang tidak dikupas dengan baik oleh Hatta. Jika kita sudah sangat diberi intimasi akan Awang Lah serta perjuangannya, kenapa kita diabaikan dengan lapisan dunia yang mahu dihiburkannya? Lapisan dunia yang kadang-kadang menandai dunia kapitalis, dunia masyarakat biasa (pentas itu semacam memaparkan mereka yang membikin wayang adalah golongan "atas" atau "dewa", melaksanakan satu pergerakan-aksi untuk mengalun atau meminta penonton "di bawah" mengikut aturan emosinya) dan dunia "dungu" kepada kreatif/pandai/dominan/cantik pentas/wayang kulit. Ataupun dunia "kacau" balik tabir pada dunia "harmoni" atau terjaga depan penonton. Kenapa perbandingan ini tidak berlaku atau susah mahu dilihat ditandakan dengan baik? Sila rujuk Moulin Rogue!(2001), Ibu Mertuaku(1962) atau Man Laksa(2006) sebagai paparan penanda "kebenaran" antara balik pentas dan depan pentas yang lebih lunak. Ibu Mertuaku paling senang contohnya, Kassim Selamat merintih menyanyi "Jeritan Batinku" tetapi kita tidak dapat melihat EMOSInya kerana beliau berkaca mata hitam (dimatikan emosi benarnya) tetapi suara dan liriknya saja jadi "bukti" seksa itu. Lagu itu sampai pada penonton. Wajah penonton semuanya SENYUM (mereka tidak menangkap "seksa batin" Kassim). Hanya Sarimah sahaja yang "memahami" kerana Sarimah walaupun di tempat duduk penonton, Sarimah pernah "di belakang tabir" Kassim, malah berkongsi dunia Kassim.

Ruang-ruang inilah yang penting untuk dimainkan oleh Hatta dan aku betul-betul mahu mencarinya dan mendefinisikannya dengan konkrit, tetapi ada saja halangannya dalam erti kata membaca sinema.

Bukannya pembahagian atau permainan masa dan ruang ini tidak ada dalam Wayang, ada. Cerita ini sebenarnya berpecah kepada tiga ruang yang diwakili oleh pembawaan watak. Ruang pertama ialah ruang intimasi-eksposisi Awang Lah. Ini berlingkung dalam persekitaran Awang Lah, tempat beradu bersama isterinya. Sebenarnya, kalau dilihat dengan teliti, Awang Lah tidak pernah diberi masa dan ruang untuk "menyendiri" dalam ruangannya. Ada sahaja yang dipenuhi "watak" atau patung wayang kulit. Awang Lah dipaparkan bukan manusia "seorang" tetapi kepunyaan "semua", Awang Lah ialah tokoh kepunyaan masyarakatnya, "a communal man". Kemudian kita lihat dunia Awi yang sangat sendiri tetapi luas. Malah tempat tidurnya di bengkel buat wayang kulit yang tidak ada dinding. Tetapi ruang lingkupnya luas tidak ada sempadan, tetapi Awi "bebas" untuk sendiri dan menyendiri oleh sebab keistimewaannya. Campuran ruang dunia Awi dan Awang Lah inilah yang bertemu di panggung wayang kulit, tempat berlatih (ketua menurunkan adat kepada anak) dan tempat memaparkan persembahan kepada "penonton".

Malah, permulaan Wayang ialah di panggung ini. Di sini, berlaku "seleksi" penggerak pada dunia belakang tabir/intimasi Awang Lah dengan seleksi "wajah" mereka yang akan menggerak Awang Lah. Kita akan lihat wajah adik Awang Lah yang "cemburu". Kita akan jumpa Awi. Tapi hal inilah yang lemah. Pada awal-awal lagi, kita tidak dapat tangkap "cantik" ratib dan khusyuk Awi menyerap dunia wayang kulit Awang Lah. Hanya sewaktu di rumah anak yatim itu sahaja, kita semacam DIPERKENALKAN Awi sedangkan perhubungan ini sepatutnya dipaparkan secara awal lagi. Hal ini tidak sama dengan Melor yang mana penangkapan "obsesi" dengan ruang wayang kulit Awang Lah lebih tampak, walaupun secara psikologi atau emosi dalam bentuk sinema, kita tidak jumpa tanda itu pada Melor saat aksi itu dibuat.

Bandingkan ini saja dengan ruang yang sudah dibahagikan dengan baik dan tepat dalam Perempuan, Isteri dan ...(1993) U-Wei yang sungguh "eminent". Sofia Jane yang "terperangkap" dalam ruang rumah (tempat dia berintimasi) membara atau menarik manusia lain untuk "mengintai"nya, dan kadang-kala bercakap dengannya "di tepi jendela". Sofia Jane "dominan" atau berapi kuasa, menggerakkan gelombang manusia yang mengelilinginya seperti "fireflies" kepada lampu. Adakah hal ini sama dengan Awi dan Melor terhadap Awang Lah? Ya dan tak. Malah perhubungan ruang yang stereotaip adik Awang Lah, Jusoh (lakonan satu lapisan Wan Kenari) yang sememangnya lebih dapat dilihat obsesi voyeur dan "watak" yang di luar ruang intimasi Awang Lah serta perkembangannya.

Ada beberapa perkara lagi yang "menjatuhkan" filem ini. Runut bunyi filem ini antara yang paling menjelekkan, aku tidak dapat menangkap jika filem ini ingin melantaskan sebuah filem "seni yang berat" atau "komersial" atau kedua-duanya. Sinematografinya juga sangat menjengkelkan. Dan apa yang membuat semua ini "rosak" adalah kerana suntingannya yang tidak terjaga dengan baik. Sebenarnya buat Hatta, untuk filem keduanya, hal ini (sinematografi dan suntingan) memang tampak buruk dalam filemnya. Tetapi filem pertamanya, Mat Som boleh dimaafkan kerana itu filem pertamanya dan ada feel realisme separa di dalam filem itu. Tetapi buat Wayang, ia semacam sebuah cerekarama yang bercita-cita hendak masuk panggung (berlainan dengan produksi ingin ke vcd Haru Biru yang sememangnya sebuah "sinema"). Contoh seperti adegan membebel di tepi titi. Kenapa pilihannya di titi, sebab titi itu cantik? Banyak lokasi dalam filem ini semacam "tangkap muat" dan tidak dilihat dan dimurnikan dengan baik. Ini kelemahan sebenar Wayang.

Wayang akhirnya menunjukkan, jika anda mempunyai sekumpulan pelakon berkaliber pun, jika cerita tidak ke mana, dan terlalu banyak yang hendak diperkemaskan, kerja yang sepatutnya menarik dari segi pemahaman dunia seni, dengan mesej penurunan tradisi kepada generasi muda akan jadi sia-sia jika ia tidak disampaikan dengan pemahaman mis-en scene yang benar pada nilai wayang itu sendiri. Semahu aku mahu menyayangi Wayang, keinginan cinta aku kecundang juga sebagai sebuah filem korporat yang mediocre jika dibandingkan dengan Felda-Bilut beberapa tahun yang lalu.

15 March 2009

Eden Lake(2008) Real Horror Kembali


Entri ini buat Spiral.

Reaksi mula-mula selepas selesai sahaja menonton filem ini ialah: aku benci dengan filem ini. Aku bengang dan marah dengan filem ini. Dan ini menyebabkan filem ini menakjubkan. Sepertimana pada mula-mula pengkritik filem 60-an menonton Peeping Tom(1960) dan mengatakan filem itu "filth" dan sepatutnya dihumban ke dalam longkang, sebegitulah perasaan aku bila mula-mula selesai menonton filem ini. Menyedari itu, aku memahami "kemahuan" filem ini. Filem ini sememangnya meminta untuk direaksi, seperti mana Peeping Tom dalam tahap keterbukaan dan kemahuan penonton untuk "menerimanya". Berapa jauh tahap penerimaan kita terhadap sesuatu yang bilazim? Dalam era serba kiamat kini, sepertinya semua bentuk culas dan lucah sudah kita biasa. Jadi apabila filem sebegini datang sejenak seketika, boleh kita menerimanya dengan senang? Aku agak gugup bahawa ada juga "kuasa" yang masih menandingi tahap ketahanan aku. Tetapi aku juga khuatir, jika filem seganas ini boleh menggertak aku menjadi murung, bagaimana dengan tahap peningkatan idea bilazim yang akan dibikin pada tahun-tahun hadapan dengan budaya masyarakat yang akan terus bertukar dan penerimaan mereka terhadap keganasan dan menjalankan keganasan itu. Aku merasakan, aku mahu mati sekarang, kerana dunia depan amat gelap moralnya buat aku.

Filem ini sebenarnya sememangnya satu "alu-aluan" daripada selonggok filem seram yang terbiasa biasa, malah memang tidak selalu menghentak zaman. Filem ini tergolong dalam klasifikasi yang aku panggil "true horror". Apakah ciri-ciri true horror? Senang. Filem seram sebegini membuat aku tidak tidur. Ya, aku jadi rimas dan celaru kepala selepas menonton filem ini, dua jam aku tak dapat tidur.

Sepertimana bila penonton era 40-an menonton Freaks(1932) pada kali pertama dan terganggu dengan babak tranformasi terakhir, atau bagaimana Father Dyer yang tidak keruan selepas melihat Reagen tersenyum dan memeluknya sambil melihat tangga Hitchcock dalam The Exorcist(1973). Atau Rosemary yang terkaku menjerit, "Uhh, the eyes! The eyes!" dalam Rosemary's Baby(1968). Atau pengakhiran The Wicker Man(1973), atau Mark memaparkan kepada penonton apa yang dilihatnya sebagai "jiwa manusia sebenar" dalam Peeping Tom dan bagaimana dalam klimaks Jeff yang dituduh membunuh kawan-kawannya sememangnya sendiri celaru bagaimana dia membunuh mereka dalam fragmen-fragmen yang sendirinya tak tentu dalam Book of Shadows(2000). Eden Lake dapat menandingi perasaan terganggu ini yang pernah aku rasai apabila menonton filem-filem itu, malah terganggu sampai sekarang.

Perkara yang aku benci tentang filem ini ialah ia sememangnya mengikut konvensi dan undang-undang filem seram (bermakna, melakukan kesalahan yang biasa dalam filem seram yang setentunya membuat watak itu tertangkap/terbunuh), khususnya manusia lwn. alam (Deliverence, Lord of Flies). Kesemua klise dan perangkapnya dihantar dan menampil jalan tetapi tidak dipilih oleh protagonis. Logik pemilihan celaru ini berkenaan dengan ruang luas (hutan) yang mengelirukan protagonis (seperti watak-watak dalam Blair With Project). Ini menyebabkan kita merasakan semacam pasangan protagonis dipaksa melalui lubang arnab ala Wonderland yang hitam. Malah beberapa bayangan sudah diberikan pada awal-awal, dan jalan untuk bebas buat protagonis, tetapi ini disengajakan dijahili watak (si perempuan boleh melarikan diri terus pada malam itu). Tetapi oleh sebab umur dan innocentness para watak protagonis yang mewakili penonton, yang berlakon dengan berkesan dan berjiwa, kita memberi mereka peluang, kita mahu mereka berpeluang hidup sampai akhir cerita filem, sehingga kita tersedar kita terlambat.

Ruang adalah kuasa sebenar filem ini. Jika ditonton, ia bermula dengan sebuah ruang yang tertutup (confined), di dalam sebuah kelas. Si protagonis (Kelly Reily) sebagai guru sekolah mempunyai kata kuasa. Semua anak-anak mendengar, semuanya tersusun, teratur. Penanda ketamadunan. Selepas itu kita dicampak ke sebuah hutan-tasik yang liar dan luas (semuanya boleh terjadi, tidak ada sempadan - ketamadunan tidak ada) buat pasangan protagonis. Walaupun luas, protagonis/kita terasa terancam (tipikal filem manusia lwn. alam). Pada pengakhiran, kita diberikan sekali lagi jalan memasuki sebuah ruang tertutup, tetapi kali ini dalam "sempadan" kawasan gelap yang menentang kita. Kelly Reily terperangkap di dalam sebuah rumah keluarga (dia yang memanggil meminta tolong, itu pilihannya). Kita sedar waktu itu bahawa bahang dan bentuk rumah itu tidak ada tamadun, Kelly tidak dapat mengarah seperti mana dia mengarah anak-anak di kelasnya. Rumah itu seperti hutan. Kelly dalam masalah besar.

Apa yang menyebabkan adik-beradik serta geng budak hutan itu marah dan mengancam? Bolehkah dorongan plot itu rasional? Apa yang memandu mereka untuk marah sebegitu rupa? Ada beberapa soalan yang serba mungkin. Dan kita menerima jawapannya dengan reda. Simbol anjing sebagai "sebahagian daripada keluarga" itu sebagai contoh. Sebenarnya secara psikoanalisis, anjing itu tanda pemancu 'id' buat geng budak hutan itu. Kematian anjing itu menyebabkan id setiap geng meluap, menandingi ego dan superego. Malah kematian merupakan pemancu id yang benar, termasuk buat Kelly Reily. Idenya - manusia menjadi tidak keruan bila sesuatu yang dekat padanya lenyap/mati.

Ada satu babak yang menampilkan pertentangan id dan ego yang cantik. Pada waktu itu, Kelly baru melihat satu kematian ngeri (sangat ngeri buat aku), baru keluar dari tong sampah busuk dan memegang sebilah kepingan kaca yang pecah. Kelly melihat dirinya di cermin. Dia menyoal dirinya di cermin, bolehkah dia menjadi iblis, bolehkah dia membalas dendam? Kita nampak transformasi Kelly di cermin secara diam. Lalu tiba-tiba seorang budak yang kemungkinan ingin mengucapkan maaf di belakang Kelly dikelar. Budak itu mati. Kelly merangkulnya, menyesal, menangis. Babak ini memaparkan semanusia mungkin tentang sebab dan efek peperangan - manusia menjadi tak tentu dalam peperangan, walaupun dalam penyesalan mereka. Dengan ini, seperti Israel, mereka menjustifikasikan pembunuhan dan kemaafan kepada suatu peperangan oleh sebab "ketidaktentuan" itu. Mereka membunuh dahulu, menyesal kemudian.

Ada hal yang sangat mengganggu aku apabila aku sedar bahawa banyak bukti pasangan itu akan ditutup, atau bagaimana geng budka hutan yang "bersimpati" kepada pasangan itu yang akan mati dahulu. Seperti babak "ngeri" di atas yang berkatian dengan pembunuhan seorang minoriti. Pengdominan atau "ketua" dalam perilaku bilazim ini ialah seorang remaja lelaki (lakonan Jack O'Connell). Budak lelaki ini ialah kunci, dia ialah "the full blown id". Kita juga sedar dari mana dia mendapatkan sikapnya (ayah), mengambil pembelajaran kepincangan institusi keluarga dalam pemahaman sains sosial. Adakah anda memberi simpati terhadap budak ini yang "terjadi" kerana pengaruh institusinya, atau anda menolak? Anda patut mencermin diri? Adakah budak itu yang patut dipersalahkan atau keluarganya (ayah)? Buli yang berlaku di sekolah Malaysia boleh dikaji. Bukan pelajar yang membuli itu yang patut kita hukum tetapi orang tuanya. Mungkin bukan menghukum, tetapi menganalisanya.

Oleh sebab itu filem ini sangat mengganggu. Kita diperlihatkan bagaimana manusia boleh berubah (Kelly melihat cermin, si ibu mendapat panggilan kematian) dan bagaimana pula manusia secara sistematik (walaupun dalam pergerakan yang ditampilkan anti peradaban) boleh melunaskan kejahatan (Jack O'Connell bila melihat dirinya di cermin, tersenyum - kita mengambilnya sebagai satu peringatan kita tentang dimensi kompleks psiko Taxi Driver hingga ke Harry: Potrait of a Serial Killer). Ya, bila kita melihat dia yang tidak keruan tetapi merasa "puas" di depan cermin itu kita tahu dia akan ditahan reman untuk soal siasat, keluarga itu akan disoal siasat oleh sebab bukti-buktinya terlalu tampang di merata Eden Lake dan rumah itu. Tetapi pengarahnya tidak memberi peleraian itu kepada penonton, sebaliknya sang pengarah memberi penonton wajah budak itu yang menonton cermin. Budak itu tersengih dengan kaca mata hitam mangsanya sedang ayahnya sibuk menjalankan "undang-undang hutan" dan "penutupan rahsia". Di sini kita menyoal, dengan pedihnya, seperti mana pedihnya Mark menyuruh mangsanya melihat "jiwa manusia sebenar" di mata kameranya dalam Peeping Tom, jiwa seorang budak yang terperangkap dalam realiti alamnya. Realiti yang mana dia sendiri tidak boleh menolak kuasa dan penguasaan kebenarannya. Tidak pernah kejahatan segetir ini.

Geng.. Pengembaraan Bermula(2009) Segar Dalam Kekurangannya


Pada satu babak yang cemas, Upin, Ipin dan Rajoo di atas pelepah kelapa(?) berada di tebing curam yang tinggi, mereka sudah sejengkal mahu terjunam ke bawah. Upin (atau Ipin, aku tak berapa pasti) bersemangat mahu jatuh, Ipin (atau Upin) pula di tengah-tengah sedang Rajoo, arkataip India-Malaysia dalam animasi ini memegang hujung rumput tebing supaya tidak jatuh, sambil memujuk Ipin: "Ingatlah masa depan awak!" Apa yang Ipin lakukan? Upin juga memujuk: "Cepatlah Ipin!" Lalu Ipin pun meloncat ke depan, lalu pepepah kelapa pun menjunam ke bawah!


Itulah semangat yang sememangnya tinggi dalam aspirasi, idea serta hiburan yang telah menyebabkan filem pembukaan Malaysia 2009 ini sebuah filem animasi yang sememangnya "tonton untuk percaya" keajaibannya. Malah, pada hari itu (bulan lepas waktu balik ke KL semata-mata mengejar tontonan filem ini) aku membawa adik dari Indoensia aku yang tidak gemar akan filem Melayu (kerana setakat itu, kesemua filem Melayu gagal buatnya) menontonnya. Beliau yang menyesal "mengikut" aku telah terhibur malah bergembira, menyatakan, "filem Indonesia pun belum boleh buat animasi sebaik ini".


Menolak segala patriotisme aku terhadap filem nasional, Geng ... Pengembaraan Bermula sememangnya berbaloi, baik dalam perwatakan, idea dan inovasi animasi Malaysia. Ceritanya mungkin lurus bendul (pencarian Hantu Durian di kebun durian atuk Badrol, lalu Upin dan Ipin berserta kakaknya bersama Rajoo dan Lim ikut serta dalam keseronokan bertemu makhluk ganjil bernama Opet) tetapi ciri idea dan idealismenya mutiara.


Seperti adegan cemas di atas, kita, para penonton akan terbahagi dua, separuhnya akan mengiyakan "kebenaran" Rajoo (simbolisme selamat dan cermat dalam rakyat Malaysia, atau dibayangkan dalam filem ini sebagai terlalu cermat dan melihat 'ke belakang'), separuhnya pula terhadap kegilaan dan "no holds barred" Upin dan Ipin (simbolisme semuanya serba mungkin dan berani 'melihat ke depan'), dan bila pilihan aksi Upin dan Ipin "berjaya", malah kita "melalui"nya, kita merasakan bukan sahaja seronok tetapi puas. Kita melihat kenakalan Upin dan Ipin sebagai "kecil-kecil cili padi". Kita kagum. Itulah semangat yang kental dibawa oleh filem ini. Kita tolak "tidak logik" dalam kepaka kita. Kita sedar ini sebuah "kartun". Kita memaafkan Upin dan Ipin. Kita meneruskan kecenderungan dua watak ini (kerana Upin dan Ipin yang benar-benar menggerakkan filem ini).


Semangat "menuju pelbagai sempadan" inilah yang rata-rata "tidak berani" dibikin oleh pembikin filem tempatan biasa, malah termasuk beberapa animasi tempatan yang kita tonton (ada, tetapi tidak bersemangat tinggi yang di luar kotak tetapi cukup mencuitkan dan terpelihara dalam jalan cerita seperti filem ini). Ya, ada beberapa idealisme yang aku tidak setuju, seperti muzik TV lagu blues rakyat minang yang meleret panjang, atau dua raksasa yang tidak masuk akal atau penonjolan "Sally" atau Salim sebagai penjenayah. Walaupun ini "licik" atau menggelikan hati, meletakkan sesuatu yang "camp" dalam situasi yang bilazim, tetapi sememangnya penanda ini "degrading" - melempiaskan golongan lembut/mak nyah/homoseksual sebagai "jahat", suatu kebiasaan Hollywood era 60-an (golongan lembut adalah penjijik paling jahat dalam dunia sinema aksi zaman itu).


Tetapi hal-hal kecil itu tidak begitu mengganggu, malah plot filem yang bergerak semacam satu pengembaraan Secret Five berserta Alice in Wonderland tidak menghampakan. Malah penanda dua raksasa berlawan itu pun (walaupun kedengaran Ultraman) menandakan filem ini cuba mengikat subliminasi dunia "luar" yang dekat dengan tanah ini, iaitu dunia fantastik yang sentiasa dibayangkan dalam hikayat-hikayat lama tempatan (Garoda, Jentayu, Duyung, Barongan, Gergasi, Gedembai) yang memberi pengaruh terhadap manusia zaman itu (walaupun kekuatannya terhadap plot lebih bersifat E.T. kembali ke dunianya daripada kaitan dunia Princess Manonoke). Paling mengejutkan, walaupun pada awalnya sedikit celaru, tetapi membawa sekumpulan watak yang banyak (ensemble cast), skrip dan pengarah sekurang-kurangnya mengimbangkan watak dan perwatakan antara semua watak utama, walaupun mereka berkumpulan, masing-masing mempunyai fungsi dan emosinya, dan ini satu pencapaian.


Filem animasi ini sangat baik untuk keluarga. Kemungkinan ada anak-anak yang tidak begitu menggemari beberapa babak seram dalam gua (kita akan teringat akan LOTR: Two Towers, malah ada dua adegan yang dibikin sebagai tribute terhadap LOTR) yang menakutkan (ramai kanak-kanak menangis dalam pawagam, menunjukkan babak-babak ini efektif dalam membina "nightmare" buat kanak-kanak - menarik akan hal ini, filem sebegini akan ditanda PG di barat, tetapi di Malaysia, filem sebegini diberi klasifikasi U), tetapi perkara yang lain, filem ini menyeronokkan.

09 March 2009

Akan Datang: Talentime

Kalian di KL tu, memang wajib tonton filem ni ...


26 Mac 2009


Sedikit Ulasan tentang Talentime