
Entri ini buat Spiral.
Reaksi mula-mula selepas selesai sahaja menonton filem ini ialah: aku benci dengan filem ini. Aku bengang dan marah dengan filem ini. Dan ini menyebabkan filem ini menakjubkan. Sepertimana pada mula-mula pengkritik filem 60-an menonton Peeping Tom(1960) dan mengatakan filem itu "filth" dan sepatutnya dihumban ke dalam longkang, sebegitulah perasaan aku bila mula-mula selesai menonton filem ini. Menyedari itu, aku memahami "kemahuan" filem ini. Filem ini sememangnya meminta untuk direaksi, seperti mana Peeping Tom dalam tahap keterbukaan dan kemahuan penonton untuk "menerimanya". Berapa jauh tahap penerimaan kita terhadap sesuatu yang bilazim? Dalam era serba kiamat kini, sepertinya semua bentuk culas dan lucah sudah kita biasa. Jadi apabila filem sebegini datang sejenak seketika, boleh kita menerimanya dengan senang? Aku agak gugup bahawa ada juga "kuasa" yang masih menandingi tahap ketahanan aku. Tetapi aku juga khuatir, jika filem seganas ini boleh menggertak aku menjadi murung, bagaimana dengan tahap peningkatan idea bilazim yang akan dibikin pada tahun-tahun hadapan dengan budaya masyarakat yang akan terus bertukar dan penerimaan mereka terhadap keganasan dan menjalankan keganasan itu. Aku merasakan, aku mahu mati sekarang, kerana dunia depan amat gelap moralnya buat aku.
Filem ini sebenarnya sememangnya satu "alu-aluan" daripada selonggok filem seram yang terbiasa biasa, malah memang tidak selalu menghentak zaman. Filem ini tergolong dalam klasifikasi yang aku panggil "true horror". Apakah ciri-ciri true horror? Senang. Filem seram sebegini membuat aku tidak tidur. Ya, aku jadi rimas dan celaru kepala selepas menonton filem ini, dua jam aku tak dapat tidur.
Sepertimana bila penonton era 40-an menonton Freaks(1932) pada kali pertama dan terganggu dengan babak tranformasi terakhir, atau bagaimana Father Dyer yang tidak keruan selepas melihat Reagen tersenyum dan memeluknya sambil melihat tangga Hitchcock dalam The Exorcist(1973). Atau Rosemary yang terkaku menjerit, "Uhh, the eyes! The eyes!" dalam Rosemary's Baby(1968). Atau pengakhiran The Wicker Man(1973), atau Mark memaparkan kepada penonton apa yang dilihatnya sebagai "jiwa manusia sebenar" dalam Peeping Tom dan bagaimana dalam klimaks Jeff yang dituduh membunuh kawan-kawannya sememangnya sendiri celaru bagaimana dia membunuh mereka dalam fragmen-fragmen yang sendirinya tak tentu dalam Book of Shadows(2000). Eden Lake dapat menandingi perasaan terganggu ini yang pernah aku rasai apabila menonton filem-filem itu, malah terganggu sampai sekarang.
Perkara yang aku benci tentang filem ini ialah ia sememangnya mengikut konvensi dan undang-undang filem seram (bermakna, melakukan kesalahan yang biasa dalam filem seram yang setentunya membuat watak itu tertangkap/terbunuh), khususnya manusia lwn. alam (Deliverence, Lord of Flies). Kesemua klise dan perangkapnya dihantar dan menampil jalan tetapi tidak dipilih oleh protagonis. Logik pemilihan celaru ini berkenaan dengan ruang luas (hutan) yang mengelirukan protagonis (seperti watak-watak dalam Blair With Project). Ini menyebabkan kita merasakan semacam pasangan protagonis dipaksa melalui lubang arnab ala Wonderland yang hitam. Malah beberapa bayangan sudah diberikan pada awal-awal, dan jalan untuk bebas buat protagonis, tetapi ini disengajakan dijahili watak (si perempuan boleh melarikan diri terus pada malam itu). Tetapi oleh sebab umur dan innocentness para watak protagonis yang mewakili penonton, yang berlakon dengan berkesan dan berjiwa, kita memberi mereka peluang, kita mahu mereka berpeluang hidup sampai akhir cerita filem, sehingga kita tersedar kita terlambat.
Ruang adalah kuasa sebenar filem ini. Jika ditonton, ia bermula dengan sebuah ruang yang tertutup (confined), di dalam sebuah kelas. Si protagonis (Kelly Reily) sebagai guru sekolah mempunyai kata kuasa. Semua anak-anak mendengar, semuanya tersusun, teratur. Penanda ketamadunan. Selepas itu kita dicampak ke sebuah hutan-tasik yang liar dan luas (semuanya boleh terjadi, tidak ada sempadan - ketamadunan tidak ada) buat pasangan protagonis. Walaupun luas, protagonis/kita terasa terancam (tipikal filem manusia lwn. alam). Pada pengakhiran, kita diberikan sekali lagi jalan memasuki sebuah ruang tertutup, tetapi kali ini dalam "sempadan" kawasan gelap yang menentang kita. Kelly Reily terperangkap di dalam sebuah rumah keluarga (dia yang memanggil meminta tolong, itu pilihannya). Kita sedar waktu itu bahawa bahang dan bentuk rumah itu tidak ada tamadun, Kelly tidak dapat mengarah seperti mana dia mengarah anak-anak di kelasnya. Rumah itu seperti hutan. Kelly dalam masalah besar.
Apa yang menyebabkan adik-beradik serta geng budak hutan itu marah dan mengancam? Bolehkah dorongan plot itu rasional? Apa yang memandu mereka untuk marah sebegitu rupa? Ada beberapa soalan yang serba mungkin. Dan kita menerima jawapannya dengan reda. Simbol anjing sebagai "sebahagian daripada keluarga" itu sebagai contoh. Sebenarnya secara psikoanalisis, anjing itu tanda pemancu 'id' buat geng budak hutan itu. Kematian anjing itu menyebabkan id setiap geng meluap, menandingi ego dan superego. Malah kematian merupakan pemancu id yang benar, termasuk buat Kelly Reily. Idenya - manusia menjadi tidak keruan bila sesuatu yang dekat padanya lenyap/mati.
Apa yang menyebabkan adik-beradik serta geng budak hutan itu marah dan mengancam? Bolehkah dorongan plot itu rasional? Apa yang memandu mereka untuk marah sebegitu rupa? Ada beberapa soalan yang serba mungkin. Dan kita menerima jawapannya dengan reda. Simbol anjing sebagai "sebahagian daripada keluarga" itu sebagai contoh. Sebenarnya secara psikoanalisis, anjing itu tanda pemancu 'id' buat geng budak hutan itu. Kematian anjing itu menyebabkan id setiap geng meluap, menandingi ego dan superego. Malah kematian merupakan pemancu id yang benar, termasuk buat Kelly Reily. Idenya - manusia menjadi tidak keruan bila sesuatu yang dekat padanya lenyap/mati.
Ada satu babak yang menampilkan pertentangan id dan ego yang cantik. Pada waktu itu, Kelly baru melihat satu kematian ngeri (sangat ngeri buat aku), baru keluar dari tong sampah busuk dan memegang sebilah kepingan kaca yang pecah. Kelly melihat dirinya di cermin. Dia menyoal dirinya di cermin, bolehkah dia menjadi iblis, bolehkah dia membalas dendam? Kita nampak transformasi Kelly di cermin secara diam. Lalu tiba-tiba seorang budak yang kemungkinan ingin mengucapkan maaf di belakang Kelly dikelar. Budak itu mati. Kelly merangkulnya, menyesal, menangis. Babak ini memaparkan semanusia mungkin tentang sebab dan efek peperangan - manusia menjadi tak tentu dalam peperangan, walaupun dalam penyesalan mereka. Dengan ini, seperti Israel, mereka menjustifikasikan pembunuhan dan kemaafan kepada suatu peperangan oleh sebab "ketidaktentuan" itu. Mereka membunuh dahulu, menyesal kemudian.
Ada hal yang sangat mengganggu aku apabila aku sedar bahawa banyak bukti pasangan itu akan ditutup, atau bagaimana geng budka hutan yang "bersimpati" kepada pasangan itu yang akan mati dahulu. Seperti babak "ngeri" di atas yang berkatian dengan pembunuhan seorang minoriti. Pengdominan atau "ketua" dalam perilaku bilazim ini ialah seorang remaja lelaki (lakonan Jack O'Connell). Budak lelaki ini ialah kunci, dia ialah "the full blown id". Kita juga sedar dari mana dia mendapatkan sikapnya (ayah), mengambil pembelajaran kepincangan institusi keluarga dalam pemahaman sains sosial. Adakah anda memberi simpati terhadap budak ini yang "terjadi" kerana pengaruh institusinya, atau anda menolak? Anda patut mencermin diri? Adakah budak itu yang patut dipersalahkan atau keluarganya (ayah)? Buli yang berlaku di sekolah Malaysia boleh dikaji. Bukan pelajar yang membuli itu yang patut kita hukum tetapi orang tuanya. Mungkin bukan menghukum, tetapi menganalisanya.
Oleh sebab itu filem ini sangat mengganggu. Kita diperlihatkan bagaimana manusia boleh berubah (Kelly melihat cermin, si ibu mendapat panggilan kematian) dan bagaimana pula manusia secara sistematik (walaupun dalam pergerakan yang ditampilkan anti peradaban) boleh melunaskan kejahatan (Jack O'Connell bila melihat dirinya di cermin, tersenyum - kita mengambilnya sebagai satu peringatan kita tentang dimensi kompleks psiko Taxi Driver hingga ke Harry: Potrait of a Serial Killer). Ya, bila kita melihat dia yang tidak keruan tetapi merasa "puas" di depan cermin itu kita tahu dia akan ditahan reman untuk soal siasat, keluarga itu akan disoal siasat oleh sebab bukti-buktinya terlalu tampang di merata Eden Lake dan rumah itu. Tetapi pengarahnya tidak memberi peleraian itu kepada penonton, sebaliknya sang pengarah memberi penonton wajah budak itu yang menonton cermin. Budak itu tersengih dengan kaca mata hitam mangsanya sedang ayahnya sibuk menjalankan "undang-undang hutan" dan "penutupan rahsia". Di sini kita menyoal, dengan pedihnya, seperti mana pedihnya Mark menyuruh mangsanya melihat "jiwa manusia sebenar" di mata kameranya dalam Peeping Tom, jiwa seorang budak yang terperangkap dalam realiti alamnya. Realiti yang mana dia sendiri tidak boleh menolak kuasa dan penguasaan kebenarannya. Tidak pernah kejahatan segetir ini.