Kedua: Dario Argento tentu menjadi 'perujuk' dalam babak seorang mangsa (aku tak boleh cerita sangat di sini siapa) di mana kamera bergerak perlahan dalam satu lorong rumah (ditiru pula dalam Alien dan The Shinning) 'mencari' orangnya lalu kita lihat 'mangsa'nya, lalu mangsa ini 'diajak' masuk ke dalam perangkap lalu dibunuh dengan lembaga bersarung tangan hitam dan bilah pisau dengan kejam sekali ala Giallo (rujuk: Suspiria, Deep Red; harap-harap ada Director's Cut buat ini!) yang dicampur dengan simbolisme bulu ayam berterbangan (ya, aku tak tipu!: baca subtle simbol ayam, mangsa yang senang diselsaikan, pelacur @ mak hayam![siapakah itu?], orang yang senang dipergunakan) merayap merata-rata- buat penggemar filem seram, kita dapat baca tiga perkara: vodoo, simbol takde makna tetapi seperti Argento kuasa ekspresionis seram dinaikkan tiga kali ganda dengan paparan ayam terbang (serius, rasa 'demented' fasal kehadiran ayam), dan absurdis serta sedikit 'lawak gajah' (kalau sesiapa dapat tangkap 'tounge in cheek'nya) seperti filem-filem Argento yang terkemudian seperti monyet yang memegang pisau dalam Phenomena atau kera jahat dalam Mother of Tears. Buat homaj ini, Amir Muhammad dan Naeim Ghalili sudah membuat satu penghormatan tinggi kepada Guru Ekspresionis Seram serta Raja Seram Rock & Fairy Tale.
Ada sebuah lagi cengkaman mangsa mengingatkan anda kepada The Godfather, tetapi itu hanya satu babak kecil.
Bermula dengan filem Sepet (aku tetap mengatakan, Sepet bukan filem bebas kerana ia memasuki pawagam perdana dan bukan seperti Flower In The Pocket, Love Conquers All atau Ciplak) memasuki layar sinema Malaysia, datanglah beberapa pengarah muda (daripada satu aliran indi yang aku panggil 'orang berkampung') yang mula melebar luaskan pembikinan filem perdana sejauh mana perfileman Malaysia boleh pergi. Amir Muhammad dikenali sebagai 'godfather' terhadap perubahan baru ini (dan selepas itu, Osman Ali) dengan kamera digital, mencipta filem yang jauh lebih subtle dan penuh lapisan daripada filem perdana waktu itu. Dengan kehadiran Amir dan konco-konconya, tergegarlah filem perdana Malaysia. Lalu apakah resolusi terakhir mereka yang terasa gegaran ini? Sudah tentu mempelawa para pembikin muda ini merasa kek filem perdana dan bukan bermusuh. Beberapa kawan seperti Woo Ming Jin dan M. Subash tersungkur di pecah panggung, tetapi filem-filem mereka diminati dan bertambah peminat dan 'pengikut' sedikit demi sedikit, dan beberapa daripada mereka difitnah oleh produser lama seperti Raja Azmi, tetapi mereka bergerak terus. Dengan kemasukan Susuk, bolehlah kumpulan orang berkampung ini menarik nafas lega kerana berjaya membawa satu perubahan dalam layar filem seram Malaysia.
Aku tidak akan katakan, inilah filem seram terbaik Malaysia untuk 5 tahun ini kerana aku belum lagi dapat menonton Histeria(2007) arahan James Lee, tetapi aku boleh katakan, ini antara filem pasca moden seram yang boleh dicanangkan buat Malaysia sekurang-kurangnya sekarang. Mungkin ya, tahap seramnya tidak mencapai tahap yang benar-benar takut setahap 'masters of horrors' yang aku kenal, tetapi paparan dunia selebriti hedonis disaluti mistik, cita-cita seorang yang biasa mahu menjadi 'dewa' dan penyesalan masa lalu dengan keinginan pengisian romantisme masa lampau (gothic or Joan Crowford anyone?) menjadikan filem ini antara yang seseronok mana-mana filem salutan satira hidup kepura-puraan selebriti seperti Sunset Blvd, dan aku berani mengatakan, Susuk makes Kenneth "Hollywood Babylon" Anger proud.
Pentingnya idealisme ini dicanang kerana paparan tradisi filem 'hidup gelap bawah Hollywood' seperti yang ditunjukkan dengan seram dalam finale Day of the Locust atau seemosional menyeksa seperti Mullholland Drive, tulisan cerita Rajesh Nair ini berjaya memaparkan sendiri bayang-bayang 'kepura-puraan' para performer di balik layar, melakarkannya sepedas mungkin dengan campuran baur glamour 'tipu (we have such hollow extistance, hence we dont mind to get killed! rujuk Opera)', keinginan 'bintang' dan resah hati terajunya untuk 'stay on top' di mana filem seperti Diva Popular Erma Fatima hanya mencapai separuh daripada pathosnya. Kenapa aku rungkaikan Kenneth Anger? Kerana Kenneth Anger tampak hipokrisi 'hidup cantik dan sempurna' para hiburan ini, memaparkan 'kehitamannya' yang tidak pernah dibayangkan sebaik ini kecuali Layar Lara dan Ringgit Kassorga Suhaimi Baba. Tetapi dengan tangkapan lensa Amir dan Naeim, dunianya lebih terasa 'warna-warni kepalsuannya' terhadap dunia selebriti Malaysia yang sememangnya kecil, tetapi terajunya gah dan rakus mendada merekalah manusia yang dipuja (rujuk: Mawi). Lihat sahaja cengkaman 'pedas' Amir akan Idola (Akademi Fantasia), kemudian dibalik bilik VIP para selebriti berjumpa (ala Malaysia, kecil dan seperti satu minum petang membosankan tanpa kekuatan hip Hollywood, tetapi 'kehebatan' itu dibuat-buat oleh para pengunjungnya), si artis yang menumpangkan seorang peminat (perkara ini tidak akan berlaku dalam dunia gah Hollywood, tetapi kerana inginkan publisiti dan manusia gemilang perlu berseka pinggang dengan orang biasa, mereka terpaksa tebal muka!) balik, dunia susuk artis (simbol kepura-puraan, daripada pembedahan plastik, pembedahan 'anu', botoks sehingga seksualiti artis yang ditutup media) sehinggalah mainan para orang besar (mak/bapak ayam?) memasukkan orang baru (ayam) ke dalam arena yang bermula dengan pub kecil seperti yang dilalui Soraya dalam filem ini. Pathos, getir, perit keinginan menjadi sesuatu (transformasi) dan mulut-mulut busuk dunia selebriti membuatkan Susuk cemerlang dalam memaparkan dunia aneh tetapi menjadi kegilaan para muda-mudi dan para penerajunya. Aku tidak sanggup tetapi ketawa melihat 'arang' yang diconteng secara sengaja oleh Amir terhadap para selebriti yang ada pada tayangan perdana semalam. Perih dan pedih itu terasa!
Ada beberapa perkara yang aku tidak suka dalam filem ini. Ini tertusuk dalam bahagian tengah 'meleret panjang' (wajar dalam memaparkan 'perasaan' Ida Nerina untuk mencari silamnya yang hilang) video MTV dan babak-babak Soraya mendapatkan susuk, lalu ibunya tersungkur. Di sini terletak 'Point of no return', pilihan Soraya itu memilih apa yang dia pilih, tetapi apa yang membuatnya betul-betul memilih? Di sini, idea ini dibuat dengan longgar dan tidak ada pengertian konkrit (adakah kerana ibunya sebagai simbol penentu hidup mati? Atau mahu menunjukkan pilihan ini berlaku prasedar dan tanpa sengaja atau suka-suka? Bagi aku tak mungkin), malah lagu-lagu nyanyiannya sumbing dan membingit telinga, langsung tidak boleh dikatakan 'haunting'. Di sini yang membawa kelemahan cerita ini, samada kita boleh bersimpati dengan pilihan Soraya atau tidak. Amir cuba menggunakan pendekatan 'doppleganger' dalam Vertigo atau Mulhollad Drive di mana kita cuba mengaitkan keinginan satu watak dengan penyesalan satu watak lagi atau perkaitan antaranya dan apa yang membuat mereka 'mendetak' secara emosional, tetapi bukan seperti David Lynch atau Alfred Hitchcock, fluid transformasi ini tidak menjadi, malah sedikit gopoh, menyebabkan kita terhenti untuk mencari 'apa yang hilang dalam Soraya' dan menyedihkan, Soraya sendiri tiba-tiba menjadi superfisial. Ada beberapa perkara seperti babak akhir mempunyai kekuatan yang lebih jika dengan tiba-tiba kereta yang dinaiki Ida (dengan apa yang berlaku dalam kereta) tiba-tiba kamera bergerak ke lanskap luas Putrajaya lalu bergerak ke arah pusat bangunan Putrajaya, menjawab lapisan ketiga yang Amir cuba bawa tentang 'pembangunan yang sia-sia' ke jaringan gol yang sepatutnya.