11 January 2008

Dr. Rushdi & Noir


Nota fadz: Yeay, malam ni nak tengok filem neo-noir yang juga ada perkataan ‘Kala’ (i wonder what’s Kala got to do with noir), seperti yang dipaksa oleh Gaia dan Intaglio(depa kata best giler). Memang, pelik, bulan ni atau setakat ni, minggu ni adalah minggu noir (tapi mungkin bukan noir tulen). Tapi sebelum tu, biaqlah aku hantar entri kali ini yang aku letak dalam esastera, yang serius, aku ingat, macam takde nyawa je. Dan ya, sangat sopan kan entri aku kali ni? Oh ya, jangan lupa Jarum Halus dan American Gangsters lepas ni..!


Lihat: http://www.filemkita.com/filem/d/dr_rushdi_01.html

Tahun ini, Tayangan Unggul dan Mamat Khalid sibuk mempromosikan Kala Malam Bulan Mengambang(2008) sebagai sebuah filem Melayu noir pertama secara rasmi. Jika anda sudah menonton filem itu, dan jika anda seorang 'kipas mati' noir, anda akan sedar, walaupun filem itu banyak mempertaruhkan ironi (ironi adalah kebiasaan filem noir) dan sinisisme terhadap 'noirish' filem itu, anda akan sedar sebenarnya filem terbaru Mamat Khalid itu lebih bercirikan sebuah filem neo-noir (seperti Chinatown atau L.A. Confidential) atau pendekonstruksian terhadap segala yang 'noirish' dalam filem noir.



Ini sebenarnya kebiasaan dalam mempromosi, lebih-lebih lagi filem yang 'akan muncul' di pawagam. Sehinggakan, Mamat Khalid dan Tayangan Unggul menidakkan filem-filem Melayu lepas yang turut mencirikan unsur noir tetapi jarang diperkatakan oleh orang filem. Yang paling tampak ialah antara filem Allahyarham P. Ramlee yang terakhir, Dr. Rushdi(1970), yang sememangnya dikaitkan oleh P. Ramlee sebagai sebuah filem 'gelap' yang bercirikan genre 'ngeri'(thriller) mengikut pengaruh Alfred Hitchcock. Filem ini selalu disalah tafsir sebagai antara filem terlemah Allahyarham (yang sememangnya betul dalam beberapa perkara) dan yang paling 'terlanjur' daripada kegeniusannya. Memang secara strukturnya filem ini banyak tersasar, malah jalan ceritanya sangat ‘corny’, kita mengingatkan P. Ramlee sudah nyanyuk. Kita tidak sedar, walaupun mungkin belum dibualkan secara rasmi, P. Ramlee telah memperkenalkan unsur 'noirish' di dalam kemelayuan Dr. Rushdi tanpa disedari.



Sebelum kita bergerak ke arah mencari unsur 'kelam' di dalam Dr. Rushdi, baik kita kembali ke zaman 1946, zaman istilah noir diciptakan.



Pada 1946, seorang pengkritik filem Perancis telah menamakan filem-filem keluaran Hollywood pada masa itu sebagai "noir film" atau 'filem hitam'. Ini adalah kerana kebiasaan pembikin filem Hollywood pada zaman itu menggunakan latar malam dan lokasi luar studio merakam sebuah adegan filem. Ini adalah kerana penerbit filem tidak dapat berbelanja tinggi (merakam filem pada waktu malam dan mengambil shot di luar studio lebih murah kerana tidak banyak menggunakan ruang yang luas, dan gambar dirasakan lebih terhimpit, klaustrofobia) kerana tidak cukup bajet, memandangkan kebanyakan pasaran Eropah tidak menerima filem-filem Hollywood pada waktu itu.



Apa yang diperkenalkan oleh pengkritik itu menjadi sebuah gaya yang baru, dan disanjung tinggi selepas itu kerana kedalaman tahap kreativiti yang tercetus di kalangan para pengarah, penulis skrip dan pengarah fotografi secara tidak sengaja.



Selepas itu, macam biasa, seperti mana-mana pengaprisiasian karya seni, berlakulah 'penciptaan' hukum hakam, dan di sini, hukum hakam noir, atau apa yang menyebabkan filem itu dipanggil sebuah filem noir yang tulen. Ramai peminat dan pengkritik akan berbalah tentang perkara ini, tetapi elemen yang pasti, seperti yang disyaratkan di dalam The Rough Guide To Cult Movies, terdapat tujuh konsensus yang 'disukai ramai':



- Unsur 3B: Balam, Bayang, dan Bertentangan. Imej di dalam sesebuah filem noir mesti gelap (balam), penuh dengan figura dan pencahayaan yang berbayang-bayang, dan menggunakan imej yang kontra (bertentangan) antara satu sama lain. Oleh itu, kebiasaan buat filem noir menggunakan warna hitam dan putih yang saling bertentangan.



- Filem noir mempunyai ciri watak yang sinikal dan delusi terhadap persekitarannya (termasuk watak-watak yang mengelilinginya) tetapi selalunya ia kental dan disukai penonton.



- Hero (atau anti-hero) selalunya mengalami dilema moral atau menghadapi bahaya demi bahaya.



- Terdapat seorang "femme fatale" atau 'wanita durja' (wanita yang menyebabkan duka) yang seksi, yang akan dan boleh menyebabkan kejatuhan terhadap heronya.



- Terdapat unsur persekitaran seakan menekan dan memerangkap hero, ini disusuli dengan gaya naratif suara (voice over) hero yang sinikal terhadap persekitaran.



- Banyak bermain dengan adegan imbas kembali (flashbacks).



- Tiada pengakhiran yang baik, atau klimaks yang pesimistik.



Jika dilihat daripada ketujuh-tujuh unsur di atas, kesemuanya terjalin kelam di dalam Dr. Rushdi. Dr. Rushdi menceritakan sebuah filem separa melodrama dan separa ngeri tentang Dr. Rushdi yang tidak dapat melayan nafsu seks isterinya kerana kesibukan kerja (ya, filem ini seksual) di kliniknya. Dr. Rushdi sebenarnya mencari sesuatu yang lebih dari hidupnya yang biasa (mundane), lalu pada suatu hari, kawan baiknya, Alimin (dilakonkan oleh Ed Osmera) yang romantis telah meninggal dunia, lalu Dr. Rushdi, oleh kerana kecewa besar dengan isterinya yang berfoya-foya dengan lelaki lain telah membawa dirinya ke banglo Alimin yang kosong dengan melakonkan sebuah insiden yang menyebabkan orang ramai mengesyaki bahawa Alimin mati kemalangan di sebuah gaung di tepi bukit.



Kalau dilihat daripada sinopsis (separuh siap) di atas, kita sudah mengesyaki, terdapat beberapa unsur 'noir' yang wujud di dalam Dr. Rushdi. Kemestian balam, bayang dan bertentangan memang sudah jelas dalam imej hitam putih filem ini, babak-babak malam di banglo Alimin, mainan bayang-bayang dalam watak dan latar rias, dan paling nyata, mainan hujan, kelam, sepatu dan lokasi hutan pada shot akhir filem ini.



P. Ramlee sebagai Dr. Rushdi sendiri sinikal terhadap isterinya, dan kemaruk delusi terhadapnya (terjawab pada akhir cerita). Ciptaan identitinya yang 'kedua' pada pertengahan cerita adalah hasil delusi yang dicipta oleh Dr. Rushdi pada awal cerita, walaupun unsur ini lebih terarah kepada melodramatik (yang sebenarnya, unsur biasa dalam filem noir yang tulen, oleh kerana pada waktu itu, kebanyakan penonton filem Hollywood di Amerika ialah wanita, para isteri/kekasih yang tinggal di rumah semasa perang). Malah, jika ditonton dengan teliti, P. Ramlee dengan berani mewarnakan Dr. Rushdi sebagai 'mandul' terhadap isterinya dan memerlukan 'identiti lain' atau 'hidup lain' untuk berfungsi secara seksual. Dr. Rushdi di sini mengalami dilema moral, apakah dia patut tinggal dengan isteri cantiknya yang sah yang kini sudah menyebabkan nafsu seksualnya dingin, atau dia patut mengikut 'hatinya' dan tinggal bersekedudukan (walaupun di dalam filem ini secara nyata menafikan) dengan simbol berahinya, si jururawat lakonan Sarimah?



Cetusan pilihan 'salah' yang dilakukan oleh Dr. Rushdi di dalam filem ini bukan saja mengejutkan para penonton pada waktu itu yang 'melampaui batas' tetapi memilih melakukan satu terjunan paradigma daripada kebiasaan 'romantisme' filem Melayu.



Begini. Jika dilihat dengan teliti, P. Ramlee menggambarkan bahawa dalam Dr. Rushdi, semua 'romantisme' sudah mati, atau menjadikan filem Dr. Rushdi sebuah filem pertama Melayu romantis seram. Alimin, kawan Dr. Rushdi adalah simbol nyata romantisme yang dipegang oleh Ghazali dalam Antara Dua Darjat(1960) atau Amran dalam Penarek Becha(1955). Unsur hero yang romantis adalah seorang watak 'wira' yang mengalami satu pengembaraan yang penuh halangan untuk mencapai sesuatu yang murni (selalunya, yang murni itu ialah si wanita yang dicintai yang mesti didapatkan). Si wira itu mesti mendapat ciri murni itu akhirnya setelah segala yang ia lalui (seperti membunuh naga). Tetapi, Alimin yang romantis 'mati' kerana romantis (diceritakan kembali dengan gaya imbas kembali), seorang hero hindustan yang kecundang (pilihannya mencapai sesuatu yang murni dihalang sehingga menyebabkan maut). Kesalahan Dr. Rushdi ialah, memilih untuk meniru identiti Alimin kerana buat Dr. Rushdi, sifat Alimin itu 'murni' dan lari daripada delusinya terhadap isterinya yang sundal.



Sophia Ibrahim yang berlakon sebagai isteri Dr. Rushdi bukan femme fatale yang tunggal dalam filem ini. Terdapat tiga 'wanita durja' di dalam filem ini sebenarnya. Wanita yang dicintai oleh Alimin dan diabadikan dalam sebuah potret adalah 'wanita durja' terhadap Alimin, membawa penyebab kejatuhan Alimin, dan kemudiannya mempengaruhi 'moral' Dr. Rushdi. Sarimah adalah "the fallen women" yang ketiga secara tidak sengaja. Setiap langkah dan pilihan Sarimah secara kebetulan telah menyebabkan bahaya dan perangkap terhadap Dr. Rushdi, walaupun bukan salah Sarimah seratus peratus. Sebenarnya, apabila Sarimah mencintai Dr. Rushdi sudah sendirinya 'salah', dan ini menyebabkan pemilihannya menjatuhkan status Dr. Rushdi. P. Ramlee sengaja mahu memaparkan 'kejatuhan' seorang doktor oleh tiga orang wanita ini kerana mempamerkan seorang individu yang dihormati dalam masyarakat Melayu pada masa itu boleh saja buruk martabatnya oleh kerana mengikut perasaan mereka yang 'murni' atau memilih pasangan yang salah. Walau melodramatik kedengarannya, inilah pesimis sebenar yang mengaburi romantisme garapan P. Ramlee, sekali gus menjadi 'prophecy' P. Ramlee terhadap 'kejatuhan' filem Melayu pada tahun-tahun berikutnya kerana pemilihan pembikin filem waktu itu yang terlalu 'romantis'. Malah menakutkan, pada saat-saat 'duka' hidup P. Ramlee, P. Ramlee telah menggambarkan 'hiba' hatinya terhadap sisa-sisa hidupnya yang berlari mencari tempat berlindung, melarikan dari aib dan bahaya yang mengejarnya dan cuba melingkupkannya, di dalam babak akhir filem ini.



Filem ini agak pelik bila ditonton pada awalnya. Ini adalah kerana, kita tidak jumpa P. Ramlee yang pernah kita kenali sebelum ini (dan kita jumpa sekali lagi pada filem terakhirnya, Laksamana Do Re Mi(1972) ). Latar lagunya tampak sama, melodi yang beralun-alun dengan gaya romantis tetapi dibisukan dengan pengakhiran yang 'kelam' lagi suram. Pencahayaannya lebih gelap, walaupun penggambarannya berani mengambil cahaya kulit wanita terang-terangan. Dialognya tampak baku (dan diikuti oleh pembikin filem sampai sekarang seperti Yusof Haslam) tetapi jelas berani dan tidak berlindung, melawan segala tatasusila kias dalam adab kata orang Melayu (dan diikuti sekarang dalam filem-filem neo-realis pembikin orang muda). Suntingannya mungkin agak lama, tetapi tepat dengan teknik zaman noir yang diperhatikan. Memang, kadang-kadang, filem ini juga membuahkan banyak persoalan, banyak pertanyaan logik akan pilihan watak-wataknya terutamanya Dr. Rushdi. Tetapi persoalan ini kembali membentak penonton untuk lebih banyak bermuhasabah diri, apakah yang sebenarnya murni dalam kehidupan, dan apakah yang real, dan apakah yang kita mahukan sebenarnya dalam hidup real ini untuk mencapai kemurnian? Kerana P. Ramlee sudah lebih awal melontarkan soalan-soalan ini, khususnya tentang unsur kelemahan di dalam jiwa manusia yang akan diterokai oleh Mamat Khalid sekali lagi di dalam filem terbarunya. Maka inilah unsur noir yang sebenar-benarnya di dalam jiwa mana-mana manusia.

11 comments:

Anonymous said...

fadz, teruskan menulis di komuniti Resensi eSastera.com. Komuniti tu memang antara komuniti yang paling sepi dalam banyak2 komuniti di portal eSastera (komuniti Penyair antara yang paling popular, hits mencecah ratusan setiap hari). Mungkin usaha aku sebagai admin komuniti tu masih tak cukup bagus. Aku akan terus promosikan tulisan2 kau.

Edd Vedder said...

Fadz..
Melihat kepada 7 unsur filem noir yang kau tulis dlm entri ini, aku rasakan semuanya boleh dijumpai dalam filem P. Ramlee favourite aku, 'Antara Dua Darjat'.

Salah satu sebab kenapa aku suka dgn ADD adalah kerana aura noir yang aku dapat rasakan seawal opening scene filem tersebut. Ketika P. Ramlee pulang ke rumah dalam hujan, bercerita dalam flashback.. brilliant!.

Cuba kau tonton ADD pada waktu malam di rumah, dalam gelap, semasa waktu hujan di luar. Fuhh.. meremang bulu roma!

Anonymous said...

Bukan setakat filem, majalah harmoni cover bulan ni pun hitam putih. Ada Pak cik berkopiah putih tu kata, "apa ni hitam putih, tak menarik" aku bagi tau pakcik inilah yang menjadi kegilaan orang seni buat masa ni. cih terus dia ambil balik dan cakap "ni semua pompuan-pompuan Melayu ke ni" hehehe geli hati aku.

Mardhiah

fadz said...

amir,

tuan, maaf tuan kerana meminjam artikel dari sana, saya akan sambung menghantar lagi, dont worry:)

edd, ye dan tak:) mungkin ADD neo-noir, atau pasca noir. Kala Malam Bulan Mengambang juga neo noir, seperti mana Dark City ataupun Rocky Horror Picture Show.

Perkara paling utama yang ADD tidak ada: femme fatale. Kedua, pengakhiran yang anti klimaks atau pesimis, walaupun dalam ADD mempunyai satu finale open ended yang kuat. Ya, aku setuju P. Ramlee menggunakan banyak teknik noir dalam ADD tetapi ADD bukan noir tulen. Dan ya, aku suka garapan kuat ADD yang meminjam noir ini. Antara kuasa baik P. Ramlee dalam ADD ialah pembukaan misterius dengan hujan (dalam filem barat, kuasa heningnya ialah asap, P. Ramlee menggunakan hujan... lihat Ibu Mertuaku dan Dr. Rushdi) dan adegan Tengku dalam banglo yang 'rosak' berjuktaposisi dengan banglo yang 'indah'..semua ini garapan noir, malah mungkin aku salah, kerana ia lebih memihak kepada GOTHIC... haaa, tang tu kena bukak buku baru pulak ya:)

mardhiah, huhu, menarik..

kekure said...

saya suka dr rushdi..ada adegan isteri dahagakan kasih sayang..kwang3

kekure said...

saya suka dr rushdi..ada adegan isteri dahagakan kasih sayang..kwang3

Nazim Masnawi said...

"Hero (atau anti-hero) selalunya mengalami dilema moral atau menghadapi bahaya demi bahaya."

Boleh jugak tambah yang si hero selalunya dioutclass dari segi fizikal, sosial dan ekonomi.

fadz said...

kekure, kau mmg wanita dahaga:)

okays nazim.. hey, aku ada projek ni, projek felem, aku nak mintak tlg ko bleh tak?

api_gelap said...

Satu lagi filem noir klasik melayu yang aku rasa patut ditonton adalah 'Di Balik Tabir' lakonan Jins Shamsudin.

Anonymous said...

api gelap, thks bro:)

Anonymous said...

api_gelap..di belakang tabir tu tajuknya. kenapa stesen tv tak penah tayang filem bukan salah ibu mengandung?