Dalam memaparkan kemanusiaan, apakah yang paling penting untuk dipaparkan? Wajah dan pergerakan. Kerana wajah dan pergerakan tidak pernah menipu.
Ini lebih penting jika kita menangkap lalu ingin memaparkan 'sifat' manusia ini kepada manusia. Lebih-lebih lagi dalam gambar, atau filem.
Kerana itulah, kebanyakan filem Melayu yang aku tonton, tidak memperjelaskan 'kemanusiaannya', atau secara senang, ceritanya dengan benar. Kita menyukai filem-filem Jalan Ampas lama, dan Hollywood lama, walaupun kita dapat rasa, pelakon-pelakon dalam filem itu 'berlakon', 'berbangsawan', dan kadangkala agak 'berbohong'- mereka adalah PELAKON di depan pentas, tetapi, semahu-mahunya, mereka menunjukkan sifat, mereka menunjukkan perasaan, dan kamera tidak malu memaparkannya.
AKu menonton PALOH semalam, sedang aku cuba menulis (menghabiskan projek novel aku), dan aku tersiksa dengan mis-en-scenenya. Celaru. Lihat babak pegawai tinggi Jepun itu hendak merogol Janet Khoo. Segalanya: sunting-gerak kamera- sampai yang paling penting - wajah - MENIPU, runsing dan bercelaru. Pengarah fotografi dan pengarah filem sangat pemalas. Sekurang-kurangnya 'key actors' dalam babak itu perlu kita 'tangkap' wajah mereka (walaupun kita faham, tujuan penggambaran 'hand held camera' adalah memaparkan realisme babak, tetapi maaf, Bicycle Theif yang selalu 'stagnant' lebih 'real' dari PALOH yang tampak 'staged' yang amatur dan dibuat-buat dalam babak ini). Ini tidak, kita tidak tahu menahu apa yang sedang berlaku. Hanya Adlin Aman Ramlee yang MENCUBA sangat-sangat untuk jujur dalam wajahnya (tetapi dia bukan 'key actor'). Filem Melayu atau asia, ia sangat penting untuk dipaparkan wajah pelakon, lebih-lebihlagi kerana pelakon Asia Tenggara, Cina dan Asia Utara, mata mereka sepet. Tetapi dengan pergerakan dan pemaparan yang intimasi dengan pelakon, dan menangkap ekspresi yang sebenar membuat filem itu 'hidup'. Kita boleh ingat wajah Jason yang lurus bendul dan jujur dalam Sepet, dan bagaimana hibanya dia dalam pangkuan ibunya, dengan hanya wajah dan pergerakan (dan dalam tambahan, pergerakan dan reaksi wajah pelakon lain dalam sesebuah babak itu). Kita tampak kuasa 'simpan' dua pelakon tua dalam Tokyo Story kerana tangkapan wajah dan pergerakan yang benar. Bandingkan ini dengan babak Allahyarham M. Amin yang melalut tak tentu fasal tentang pengkhianat dan memberi restu kepada Elli Suriyati bekerja dengan Jepun. Babak yang sangat tampak 'staged', menipu dan tiada konklusi dengan filem yang sudah memang celaru. Sekurang-kurangnya dalam Embun Erma Fatimah, para pelakonnya adalah 'staged', tetapi ekspresi mereka di depan kamera, dan tangkapan kepada ekspresi mereka adalah BENAR.
Tanpa wajah, tanpa pergerakan yang ditangkap betul, filem itu menipu dan tidak tahu apa yang ia mahu paparkan sebenarnya.
No comments:
Post a Comment