06 October 2010

Endhiran(2010): Mengapa Rajnikanth Seorang Dewa di India



Semalam, aku menonton filem terbaru "superstar" Tamil ini di Colliseum (untuk mengambil feel), harga tiket berhara RM15 untuk Kelas Khas, dengan leteran awek aku kerana menontonnya dekat maghrib.

Aku perlu katakan sesuatu tentang fenomena Rajnikanth dan filem Tamil. Pertamanya, bahasanya. Ada sesuatu dalam bahasa Tamil, yang kita tidak akan dapat memahaminya. Dalam semasa aku menonton filem ini, ada beberapa dialog yang menyebabkan penonton Hindu tempatan boleh menepuk tangan dan ketawa. Aku tergaman. Dan Rajnikanth, ada beberapa babak, lebih-lebih lagi babak "mengembek"nya telah menyebabkan orang ramai bersorak, tepuk tangan dan ketawa. Aku rasa, aku takkan faham dengan tradisi-fenomena ini (secara diam-diam, aku masih mengkagumi Kamal Hassan yang bagi aku, merupakan seorang seniman yang layak dipromosi oleh India sebagai duta mereka).

Aku juga sedari (walaupun bukan semua teks sains diterjemah, malah dipaparkan dalam filem ini, orang India belajar sains menggunakan bahasa Inggeris!) bagaimana betapa gah dan tanpa malunya orang Tamil membesar-besarkan bahasa mereka. Dalam satu babak awal, semasa "endhiran", "robo" atau robot ciptaan Dr. Rajnikanth dicipta, ia bercakap bahawa "bahasa Tamil merupakan bahasa primer saya" dengan bangga (dan secara pelik, selepas itu dipinta ajar sebutan vokal). Aku tergamam bagaimana bangga dan kuatnya jati diri orang Tamil ini terhadap bahasa mereka, yang aku sedari tidak berlaku dengan dunia hiburan segelintir kita.

Cukup untuk itu aku membebel. Maka berbaloikah filem ini? Ya, mungkin jika anda merupakan penyembah Rajnikanth. Kepada yang skeptik seperti aku, atau penonton "luar", ada beberapa hal yang kami persoalkan, dan kami bukan mempersoalkan "kebesaran" hakiki Rajni, tidak, tetapi filemnya dan apa yang ia bawa.

Sebenarnya Endhiran (robot, mesin dalam terjemahan Tamil?) memberi suatu ruang para pembikinnya untuk membikin sebuah filem fiksyen sains yang menghiburkan, menyatakan dengan telus dan keanak-anakan, apa jadi jika sebuah robot diberikan "hati" lantas boleh bercinta (rujuk Tin Man dalam Wizard of OZ). Persoalan stereotaip tetapi menarik ini telah memberi ruang kepada Hollywood dalam pelbagai bentuk permainan kepintaran buatan, antara yang terbaik merupakan A.I. dan Blade Runner dalam hal ini, tetapi Bicentennial Man, I. Robot dan Heartbeeps bolehlah dijadikan rujukan biasa.

Premis yang digunakan dalam filem ini terpecah kepada dua, iaitu "penemuan" berkenaan robot yang dipanggil Chitty (lakonan mencuit Rajnikanth), yang mana, kita diberikan peranan dan fungsi robot/Rajnikanth yang "adikuasa" melakukan segala hal yang manusia biasa tidak boleh lakukan (ini menimbulkan rasa fantasi dan fairy tale). Kemudian, kita diberikan satu plot yang melangkau masuk ke fasa "ganas", yang mana strata cerita Rama (Rajnikanth)-Sita (Aishawara Rai)-Ravana (Chitty lakonan Rajnikanth) diulang dengan pengkhususan kepada analogi King Kong "the beauty killed the beast". Secara penyusunan, tidak ada unsur yang menyebabkan, sebenarnya filem ini sebuah filem yang boleh melangkau intelektual kita (filem fiksyen sains, perlu melangkau intelektual dan viskeral kita) malah filem ini dipersembahkan dengan mudah dan lewah sekali. Kita tidak temui persoalan manusia dan sains yang "besar", hanya hal dasar tentang sebuah robot yang diberi peluang untuk menjadi "manusia". Pendek kata, separuh skrip filem ini sebenarnya merupakan tipikal buku kanak-kanak sai-fai yang diterbitkan DBP pada 80-an. Malah "kartun" boleh menyamakan kandungan dan perasaan sebenarnya.

Ini dinyatakan kerana sebenar-benarnya filem ini merupakan "mesin jana" pelestarian bintangnya, Rajnikanth. Ini dipaparkan tanpa selindung, dalam satu babak tarinyanyi di mana tanpa segan silu, Rajni (sang robot) dan Aishawara dinyatakan: "Si Tuhan dan Si Ratu Dunia, sama padan sama menawan menggegar dunia". Atau sekurang-kurangnya begitulah liriknya. Bukti satu lagi, sewaktu awal-awal robot itu dicipta, kita ditunjukkan, robot ini di asas programkan dengan "menari" dan "seni pertaruhan", dua esensi utama yang rasa perlu mungkin dalam jati diri orang India (atau si bintang besar Rajnikanth). Ini membawa maksud yang menarik, adakah Rajnikanth mensatirakan dirinya sendiri, menyatakan "sang dewa" dalam dunia hiburaan Kollywood (atau boleh juga Bollywood) merupakan "robot" dan "hamba" kepada massa? Ini menarik jika kita lihat segala "pengorbanan" yang dibuat oleh robot Rajni terhadap "tuannya" Aishawara, secara tidak langsung menghiburkan para penonton (kita). Ini ditambah lagi dalam satu babak, dengan sengaja, Dr. Rajnikanth "mencipta" sebuah robot yang "menyerupainya" (dan tidak boleh robot rupa lain!). Kita faham analogi ini dalam ajaran Kristian, Tuhan mencipta manusia mengikuti "imej"Nya. Malah Dr. itu sendiri menyatakan, Chitty si robot merupakan "avatar"nya (mengikut pemahaman Hindu, suatu makhluk kelahiran semula Vishnu yang menyelamat manusia mengikut zamannya). Di satu babak, Chitty sendiri yang melengkap dan menarik besi dan senjata orang jahat ke badannya, membentuk secara sengaja dirinya sebagai Dewa Hindu(!) lantas orang kampung terus menyembahnya (aku teringat penjelmaan Bodhhistava dalam ajaran Buddha-Sino). Kemudian, kita dinyatakan dalam satu babak secara jelas, si Chitty "mengaku" adanya Tuhan kerana dia DICIPTA oleh Dr. Rajnikanth, seorang manusia!!! Ini memenuhi transformasi pemahaman filem ini, bukan dari segi plot lagi (si Dr. bermain kuasa sebagai Tuhan) tetapi memenuhi ego bintangnya, bahawa dia memang "dewa" yang menghiburkan dan tidak ada tolok bandingnya.

Keadaan penyembahan kendiri dan penampakan ego ini buat aku tipikal jika anda memang Rajnikanth. Aku tidak ada masalah dalam hal itu, malah aku mengingati filem-filem lakonannya yang mana, beliau memang seorang "hero" terhadap golongan marhaen, khusus Tamil. Tetapi kaedah yang dilakukan yang aku persoalkan, persembahannya, turutannya dan cara diselesaikan.

Memang, ia amat memeranjatkan untuk melihat bagaimana orang India suka membesar-besarkan sesuatu. Malah, maaf cakap, aku masih ingat (dan sudah jarang digunakan kerana istilah berlandaskan perkaumannya) bagaimana orang Melayu selalu menyatakan, "cerita keling" terhadap "cerita yang diperbesar-besarkan", begitulah yang aku jumpa berselerak di dalam filem ini! Babak contoh seperti bagaimana Chitty si robot boleh menyusun berpuluh senanapang yang tersusun seperti kipas lantas memicu senapang yang berderet panjang itu. Ini belum lagi apabila Chitty dan klonnya membentuk "naga" (hal ini melengkapi rujukan aku terhadap filem ini dengan King Kong).

Aku tidak ada masalah lagi dengan unsur sebegitu oleh sebab ini memang filem TAMIL dan seharusnya, hal-hal "besar-besaran" itu (oleh sebab itu aku suka filem Kamal Hassan, walaupun ada unsur sebegini, tetapi diberikan motif dan alasan logik serta struktur yang berkesan) perlu wujud dalam filem Rajnikanth yang berhubung dengan "hiburan". Malah beberapa babak seperti si perempuan bogel yang dibawa keluar untuk diselamatkan dari kebakaran, si Dr. yang membentuk robot menyerupainya, pergaduhan stereo sehingga dipecahkan, merupakan hal-hal "besar-besar" yang remeh mungkin dalam budaya hidup orang India, yang penuh semangat dan rasa membuak-buak.

Tetapi aku tidak boleh memaafkan beberapa hal yang amat mencacatkan filem ini, seperti bagaimana Chitty bercakap dengan nyamuk! (plot ini untuk memaparkan betapa romantisnya Chitty, hal yang mana hanya penonton India sahaja yang mampu menelannya) Bagaimana Dr. Rajnikanth membuang si robot di sampah awam tanpa berfikir untuk menyimpannya ataupun menghancurkannya habis-habis atau menyimpan cip otak robotnya (adakah kerana emosional begitu orang India?) sehingga menyebabkan si robot "hidup semula" dan diambil oleh musuh Dr. Rajnikanth untuk dipasang semula, bagaimana darah Rajnikanth yang beberapa minit tidak kering dan bagaimana si dua pembelot yang bekerja dengan Dr. Rajnikanth pada akhir plot, boleh BEKERJA kembali dengan Dr. Rajnikanth di makmalnya??? Inilah hal yang menyebabkan kita persoal filem ini yang dikatakan sebagai blokbuster paling besar, paling agung yang pernah dibikin di India sebagai sebuah filem yang terhebat. Maaf, ada seratus lagi filem agung Tamil yang boleh menandingi filem ini, walaupun lakonan Rajnikanth dan Aishawara Rai dalam filem ini baik, dengan susunan lagu A Rahman yang mendayu (dan amat mencuba untuk berinovasi).

Akhir kata, untuk menambahkan poyo filem ini, dalam satu lirik, si Chitty menyanyi, "Data kau susah mahu dicari walau di Google sekalipun!" Aku tak bohong!

ps: Sekurang-kurangnya, ianya amat menyeronokkan untuk melihat Aishawara kembali ke lidah ibundanya setelah berlakon entah berapa Hindi.

04 October 2010

Esei Kontreversi Aku dalam Orang Macam Kita



Yeap, aku dimohon oleh sang editor projek buku ini untuk menelusuri sesuatu tentang "homoseksualiti" dalam filem-filem Melayu yang aku rasa susah sikit nak "jumpa". Berat sih. Tetapi dengan berkat azam, aku menonton The Celluloid Closet dalam sekali duduk serta mula membuat rujukan dalam filemkita.com, imdb.com serta laman Sinema Malaysia, serta menonton dan "mencari" beberapa VCD dan DVD (tapi memang, tak lah sedalam yang dilakukan Amir untuk 120 Malay Moviesnya), tidak kurang juga beberapa rujukan ilmiah.

Aku amat terkejut dan suka dengan apa yang aku jumpa, seperti:

- Apa kaitannya Pendekar Bujang Lapok dengan homoseksualiti?

- Muzikal Rozana Cinta melangkaui zaman mengalahkan sinema Taiwan/Cina dalam paparan lesbianisme?

- Apakah filem Malaysia pertama yang mengundang adegan seks gay di layar?

- Berapa banyak kalikah mak nyah dilestarikan dalam layar Melayu? Bila? Kenapa mereka merupakan tokoh yang paling "senang" dipaparkan?

- Apakah kaitan Man Laksa dengan homoseksualiti pada peleraian konflik filem itu?

- Apakah kekuatan pembikin filem muda berbanding pembikin lama dalam isu ini?

- Kenapakah filem Waris Jari Hantu penting dalam kredensi filem gay Malaysia?


Dan banyak lagi persoalan yang aku kemukakan dan aku pertaruhkan untuk dipersoal, diperbincang dan dicari jawapannya sama-sama.

Segala yang cantik, yang buruk, yang estetika, yang murahan, yang kultus dipaparkan tanpa prejudis, malah aku menolak "menghukum" secara objektif (aku tidak mencari nilai, tetapi mencari petanda dan simbol yang memberi kod-kod tertentu terhadap keadaan dan tujuan filem itu, malah ya, dalam teori filem gay, setiap filem mempunyai agenda, atau setidak-tidaknya, identifikasi secara tidak sengaja), tetapi, dengan mengambil semangat The Celluloid Closet Russo, aku "menonton" seadanya dan cuba "membawa ke hadapan" manikam-manikam yang sudah lama terselindung.

Adalah sedikit kuasa merah jambu sebagai mengambil semangat bumbu penulisan sebegini.

Kalau korang berminat, boleh beli melalui talian dengan taukehnya di sini.

Buku ini juga boleh didapati di Silverfish.

Ulasan "Inception" Aku dalam Dewan Budaya Oktober 2010


Kali ni, hatrik! Tiga bulan berturut-turut diterima, huhuhu..

30 September 2010

Chufah Din Salai(2010)



Dalam satu babak, sebuah filem pengarah veteran Pandevanop Davakul atau gelaran manjanya, Mom Noi (sepertimana Rahim Razali dan Teguh Karya, beliau bermula dengan teater pada awal 1970-an), Yupadee si wanita yang akan berkahwin dengan jutawan balak berketurunan Burma menyatakan ketidaksanggupannya untuk tinggal di Bangkok, "Revolusi ini membosankan, kenapa mereka tidak boleh duduk aman dan bercinta?"

Sedekat itulah Mom Noi cuba untuk mengaitkan segala ketidakkeruan pasca perhimpunan dan revolusi baju merah di tengah-tengah ledakan politik Thailand sekarang di dalam filem adaptasi daripada novel popular 1941 (yang kini dikatakan sebagai sastera klasik Thai, yang buat aku jauh panggang dari api) yang memintal godaan, adab kekeluargaan dan kedudukan, skandal, romantik dengan tragedi dan moral dalam intipan Buddhisme dan karma ketimuran.

Judul filem ini, Chufah Din Salai bermaksud secara literal sebagai "sehingga ke akhir hayat" tetapi begitulah perasaan kita bila menonton "ke akhir hayat" untuk menunggu segala sebab-akibat dan situasi berepisod yang membelenggu Yupadee dan Sangmong (lakonan Ananda Everingham) yang gatal untuk bersama-sama berzina apabila sudah tahu langit tinggi rendah (Yupadee merupakan "mak cik" baharunya dan Sangmong itu "anak buah"nya yang tercinta).

Sebenarnya, tidak ada salahnya dalam produksi filem ini, malah lakonan mantap Ananda serta Chermal Boonyasak sebagai dua kekasih yang diuji nafsu dan takdir mereka sudah melakukan yang terbaik. Kita mempercayai setiap sentuhan, mata dan lirik mereka untuk menjauhi serta mendekati diri atas nama "martabat" dan "undang-undang". Apa yang dipersoalkan merupakan kisah moral dan karma buku ini apabila menyatakan dengan lapisan sehelai, ilmu orang Barat (di sini, dipersalahkan A Doll House Ibsen(!) dan The Prophet Khalil Gibran(!) menyebabkan dua kekasih yang menyedari cinta terlarang itu sanggup melakukan yang terlarang kerana "mengikut hati masing-masing atas dasar kemahuan"!! Kelakar, dalam dunia Barat, kita ketemu manusia yang berjuang atas dasar kemahuan untuk hal-hal yang besar. Novel dan filem ini hanya berjuang di atas katil untuk seorang anak luar nikah.

Memang tidak ada yang indah selain daripada babak sebelum Yupadee (seperti mesin seks, yang buat aku, tak perlulah dijanakannya sebagai terlalu menggoda, cukup menyerlah sebagai perempuan sudah, sila lihat Sofia Jane dalam Perempuan, Isteri & Jalang atau Kristin Scott Thomas dalam The English Patient, atau mungkin pengarah mahukan wanita menggoda sebaik Mae West atau Zsa Zsa Gabor yang mengikut zaman itu?) dan Sangmong bermain kata-kata, saling bertikam dengan ekstasi dan beradab seperti watak-watak Jane Austen yang tidak dahagakan seks tetapi roman.

Malah, tercuit rasanya apabila mainan "tarik tali" antara geram/suka dan benci cinta Yupadee dan Sangmong berlaku apabila Sangmong dengan marah memanggil Yupadee sebagai "mak cik" apabila Yupadee meminta Sangmong "mengikut takdirnya". Semua ini dipintal indah sekali, sehinggalah kita diberi satu jukstaposisi babak antara anak buah jutawan memerangkap seekor harimau dengan si Yupadee dan Sangmong, pertama kalinya berbogel untuk bersenggama. Erotis tidak pernah selemah ini.

Selepas itu, filem ini bergerak ke unsur tragedi dan mencapai babak SERAM (yeap!) yang buat aku, terlalu tidak perlu walaupun dalam dunia pascamoden ini. Ya, kita sedari bahawa, dalam dunia cantik dan indahnya cinta (terlarang), ianya tidak berkekalan dan akhirnya terikat dengan undang-undang dan kuasa (adakah ini makna sebenar Mom Noi untuk mengaitkan revolusi baju merah dengan cinta Yupadee-Sangmong?). Kita faham itu dengan beberapa imej yang disengajakan, seperti indahnya babak-babak Sangmong-Yupadee yang bogel tanpa seutas benang, berlari-lari dalam hutan tanpa risau seakan Adam dan Eve dalam syurga, lantas babak "indah" ini dimatikan dengan hukuman kuasa "undang-undang" suami Yupadee yang merantai kedua-dua merpati itu dengan zalimnya. Kita faham di sini, penulis novel serta ceritanya akan memenangkan "karma" dan "kuasa", hal-hal yang konsensus terhadap hidup orang Timur (menyatakan ilmu orang Barat hanya menghancurkan - adakah Demokrasi menghancurkan?) terhadap pilihan hidup "kebaratan" Sangmong-Yupadee (imej Adam dan Eve sudah cukup memadai). Tetapi kenapa terlalu "lurus" menghukum dan membawa "tragedi" terhadap kedua-dua watak? Kenapa kedua-dua watak yang begitu "intelektual" tidak terfikir untuk "lari senyap-senyap" atau mencari ruang untuk memotong best rantai yang mengikat mereka? Hal-hal simplisistic inilah yang membuatkan filem yang berimej indah ini ditertawakan.

Lagu filem ini walaupun senang diingati merupakan lagi organ. Mom Noi dikenali sebagai pengarah yang amat menjaga imej sinemanya. Nyata imej filem ini sungguh indah. Tetapi beliau juga dikenali sebagai memberi dialog-dialog yang tidak "real" atau teaterikal. Aku cuba melihat kekuatan filem ini dari segi dialog jika benar-benar pengarahnya dari himpunan teater. Menyedihkan, kebanyakan babak yang lebih senang dibikin dengan hanya imej dilewahkan dengan dialog-dialog yang terlalu menyatakan, seakan 40 minit filem ini datang daripada drama radio. Kuasa dialog terletak kepada drama dalam teks dialognya, ke arah mana yang ia hendak dibawa secara emosi dan intelek seperti yang wujud dalam Abang, 12 Angry Men dan Bug, tetapi filem ini lebih "menjelaskan" daripada benar-benar memberi kita satu kelengkapan emosi yang utuh. Hal ini terlalu "meromantiskan" zaman itu walaupun latarnya sudah "romantis". Ini menghampakan sebenarnya.

Jika seorang pengarah veteran seperti Mom Noi masih boleh melakukan kesalahan, aku tidak khuatir jika Hatta Azad Khan pun, yang sudah berapa tahun tidak mengarah boleh merakam dan menangkap sesuatu yang salah. Seperti halnya, filem-filem eloklah diberikan kepada mereka yang mahu mencari unsur wayang dan bukan melakukan sesuatu kerana keinginan "cantik" sahaja.

Nota fadz: Aku kira aku perlu menonton filem ini: http://thejoshuatapes.com/index.htm

14 September 2010

Menonton Perempuan, Hantu dan Scandal (2010)


Nak je aku paut filpen ni kat blog Rosmah ataupun Najib, tapi aku rasa diorang pun dah mula menyelak dan menemuinya di Internet, mungkin sudahpun menonton filpen ini.

Adakah pengakhiran si penemuramah sama dengan pengarah filem ini?

Jeng jeng jeng.

Aku seronok dan kagum dengan Bin Filem, memang apabila menonton Perempuan, Hantu, dan Scandal untuk masa pertama, kau akan rasa "apa ke hek ni?" dengan pengkahiran sebegitu rupa. Yyeap, akhirnya sedikit samar-samar melainkan kau boleh kaitkan lagu kredit terakhir yang diambil dari filem seram kegemaran aku, The Green Inferno dengan babak akhir filem ini serta wacana keseluruhan filem ini.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana Ridhwan dapat memperhalusi dan mengimbangi semangat humor (pendekatan ini memang diambil dengan jenaka) dengan isu serius ini (hal pembunuhan: baca, only a ghost can see a ghost). Malah dalam 10 minit pertama ia amat mencuitkan, walaupun sikap dan masalah yang dinyatakan menimbulkan keseraman (dan ngeri).

Ini bukan Rashomon walaupun cuba mengambil ramuan sudut pandangan sebegitu dengan gaya kotemporari, sang media memburu cerita. Ini adalah kerana, secara awalnya, kita mengenal watak-watak ini (dalam sureal Melayu Ridhwan yang amat terasa, permainan dengan alam) sebagai "bukan manusia" (ingat si arnab dalam Inland Empire?) Yang penting untuk diperhalusi dan dirasai ialah bagaimana Ridhwan membawa kita mengenal "empat hantu" (bukit - angin - air - tanah) ini dalam "sama-sama" menyaksikan suatu pembunuhan (bukit mungkin sengaja dipilih, untuk mengaitkan simbolisme perempuan). Kita sedari satu hal yang menarik, Penulis filpen ini dengan "sengaja" meninggalkan "api" antara unsur alam dalam Melayu yang ditiadakan (malah babak gelap yang agak mengerikan dengan satu wajah di tanah langsung tidak ada cahaya api). Tetapi rujuk betul-betul, kita akan sedari unsur api "wujud dalam cerita" berkenaan kata-kata "booom" oleh watak. Kita menyedari sesuatu. Suatu "campuran" 5 unsur ini sedang berlaku, secara tidak langsung "penyiapan cerita" filpen ini, juga cerita "pembunuhan hantu galah" dalam cerita ini.

Api merupakan unsur terakhir.

Pembacaan koda-koda itu tentu mengambil masa (melemaskan juga), jadi yang lebih penting ialah durability dan kemahuan kita menonton. Secara terus-terang, filpen ini genius dalam menyusun hal itu. Dalam seawal 1:34 minit lagi kita diberi tarikan yang amat, apabila "hantu bukit" yang mendengar anjing menyalak, menyatakan, "Dengarlah bunyi god.." Kita sedari suatu "keterbalikan" sedang berlaku (filem ini sendiri suatu keterbalikan, atau absurd, manusia menemuramah unsur alam). Keterbalikan ini juga disengajakan kerana "subjek" yang diwawancara "disamarkan" sebagai "jembalang" (persoalan: kenapa jembalang perlu diketahui ceritanya?) Keterbalikan ini semacam perlu untuk "mendapatkan cerita", seperti mana hantu bukit bertanya kepada penemuramah "Kau percaya Tuhan?" Ini satu kenyataan yang paling menyengat, cerita skandal yang diceritakan oleh hantu bukit (serta jembalang yang lain) tampak komikal dan farsa, tetapi inilah yang hendak dinyatakan kefarsa dan keabsurdannya: ia benar-benar berlaku tetapi dipermain-mainkan. Jadi kita menyoal sebenarnya, bagaimana Tuhan (atau hantu) membenarkan semua ini berlaku secara realiti?

Adakah ini benar-benar realiti kita yang disuap Tuhan/Hantu?

Lakonan kesemua pelakon yang amatur nampak mampu dan baik, malah menimbulkan beberapa imej yang menhayatkan, khusus dalam beberapa babak yang kuat, sepertimana hantu bukit menyatakan "hantu yang nampak hantu", atau bagaimana hantu tanah yang tiba-tiba berubah. Ini digerakkan dengan bersahaja (walaupun dipersoalkan bagaimana) oleh si penemuramah.

Filpen ini, walaupun dipaparkan dengan absurd dan humor (dengan sentuhan-sentuhan yang menakutkan, sepertimana wajah hantu air yang menikam matanya kita teringat akan Bela Lugosi walaupun dialognya mencuitkan) sebenar-benarnya menghantar suatu agenda yang menyoal kita menyoal keberadaan sekeliling kita. Aku tak yakin Ridhwan sengaja membikin filem ini hanya kerana kes Altantuya, tetapi kritisnya pergi jauh daripada itu kerana menyoal bagaimana terdesaknya media kita (kita sebenarnya, penonton) untuk suatu cerita walaupun ia melangkau minda logika. Menonton berita tidak akan sesenang ini.

tonton filpen ini di:
http://binfilem.blogspot.com/2010/09/perempuan-hantu-dan-skandal-2010.html

09 September 2010

Filem Raya Tahun Ini

Yeah, inilah penangan Ramadan. Dalam sebulan, aku memang liat sikit nak menulis, bukan sahaja kerana kesibukan kerja serta tidak menonton filem (Ok, aku banyak juga menonton, terutamanya waktu hujung minggu) tetapi Ramadan, entah kau rasa macam ada satu batu besar itu atas bahu juga duduk. Mungkin menulis ulasan filem ni banyak hasutan Syaitan kot. Haha.

Adalah beberapa filem yang menarik dan tak menarik ditonton. Aku sebenarnya ingin menulis tentang 3 buah filem yang aku bayangkan sebagai filem serangkai sempena Hari Kemerdekaan (fat chance jatuh masa Ramadan, usahlah korang nak bising, dah memang jatuh masa Ramadan – can’t even get bothered), iaitu Aftershock, Raajneeti dan Perempuan Berkalong Sorban.

Aku sengaja memilih ketiga-tiga filem ini (filem asing dan takde kena mengena dengan sejarah dan identiti kita, well, identiti tu ada sedikit dan berkait dengan penerapan budaya tiga kaum besar di Malaysia), kerana tampak sangat, setiap strata kaum penonton yang menonton filem pun berkiblatkan kepada ketiga-tiga “filem luar” secara berasingan, dua antaranya, Aftershock dari China mengambil tanda orang Cina Malaysia yang datang (see, aku sengaja tak nak guna istilah “pendatang”) dari tanah besar China (OK, mereka lebih sesuai kepada filem Hong Kong, tetapi dewasa ini mereka juga sudah mengenali pengarah di luar Hong Kong dan Taiwan). Raajneeti pula mengambil tanda kaum India Malaysia yang datang dari India (aku tak tonton apa-apa filem Tamil, OK, my wrong here), dan Perempuan Berkalung Serban mengambil sikap orang Melayu (yang ada sampai sekarang) yang pandang ke Indonesia (khususnya kepada filem, sastera dan kajian kritikal).

Tapi, sebab Ramadan, aku tersungkur untuk menulis sejak rakat terawih aku yang kesepuluh.

Jadi aku buat eceran sahajalah di sini buat pembacaan santai dan main-main:

Step-Up 3(2010)
Arahan Jon Chu. Jew boy meets dance boy (baca: we know his gonna win, at whatever course, even though he looks like a geek and innocent). Jew boy dance dance dance. Camera voyeur. Dance dance dance. Boy and girl meet up. Boy and girl putus. Boy and girl reconcile: kiss kiss kiss (nyum nyum) Aku tak pernah tonton francais Step-Up, ini kali pertama aku tonton (yang ketiga). Ya, ini filem Ebert ada hentam juga (fasal tu aku tak tengok). Adik aku yang gelenyar nak tengok. Sempena dia balik Malaysia, aku gi lah.

Ok lah. Cerita takde apa (semangat kesukanan dan Malaysia boleh a many). Tapi tariannya, fuhh! fuh! fuh! fuh! Aku yang mula sedar (ini filem apa) lantas terus melonjak, menjerit, tepuk tangan setiap kali satu rutin tarian dilakukan, aku akan woo hoo - go go go - yeeeeyy - cayalah! Yang bestnya, orang lain ikut serta sorakan aku. Yar, itu satu propaganda yang manisss.

Tapi ada satu babak tarian yang memang cun gila nak mampus yang bagi aku berbaloi sangatlah aku tonton. Ini adalah rendisi si budak Yahudi (ke Yunani dia ni?) dengan awek dia menari tepi kaki lima New York, dengan cara broadway (rujuk: Singin' In the Rain) tetapi eksperimental dan pop-agressive (is there such a word?), menyampaikan untuk apa filem ini ada dan kenapa mereka menari (watak-watak ini). Babak itu sudah cukup menyatakan, filem genre TARIAN (atau street dance?) merupakan filem "musical broadway" abad ke-21. Yeap, sebab babak itu, dengan cara pemahaman eskapisme muzikal, ia seakan-akan "melempar keluar" daripada realiti (tetapi aksi yang dilakukan tetap realiti, dengan feel yang against the consensus society), ia memaparkan bagaimana "underground"nya aktiviti mereka (orang takkan faham dengan mereka) tetapi atas sebab apa pun, mereka perlu menari (dance is life) untuk menyampaikan makna (ekspresi). Paling "terbaik", mereka menari (bukan sahaja menunjukkan ekspresi) untuk menghiburkan diri. Ini adalah suara terapi generasi muda sekarang.

Serius, ini sebuah filem bertih jagung yang walaupun tidak punya resonans (sebab susunan naratifnya sangat Hollywood), tetapi suara hiburan yang memikat dalam gerakan tariannya. Oh ya, aku juga suka dengan babak perlawanan terakhir serta tarian tangan sewaktu kredit akhir.

Slice(2009)
Arahan Kongkiat Komesiri. Serius selain Korea Selatan, Thailand nampaknya jaguh dalam pembikinan filem-filem pelik (weird), larut lama (midnight movie) dan kultus (cult) dan filem ini (pelik kerana menang filem terbaik buat festival filem nasional Thailand) merupakan antara yang terbaharu. Ini sebuah filem ngeri (nasib baik bukan seram) yang tipikal tetapi menarik, bermain dengan mainan imbas pertentangan dua subjek (yang dimulakan oleh 6isxtynin9), malah banyak merujuk filem 1999 itu.

Paling tampak ialah keinginan pengarah untuk melihat pertentangan kota(neraka) dan kampung(syurga), hetero dan homo, lelaki dan perempuan, terang dan gelap, hodoh dan cantik, cinta dan benci, dendam dan kemaafan, manusia dan setan(monster), baik dan jahat, sekarang dan nostalgia, serta keadilan dan korupsi. Bagi pengarah, inilah inti Thailand sekarang (pasca Thaksin?). Hal yang menarik, pengarah menyatakan dua subjek ini disengajakan tidak diberi pembauran oleh konsesus masyarakat, dan atas kerana ini, menyebabkan kepincangan, kemerosotan dan kemunafikan masyarakat berlaku dengan leluasa (sekarang).

Yeap, ini sebuah filem kritikan masyarakat serta sekali gus cuba menangkap "kebaikan" dalam budaya Siam (khusus yang lama dan sudah tidak ada). Hanya cara (kerana banyak pembunuhan dan babak melodrama)nya sedikit kekok tetapi baik untuk filem kultus. Pengakhirannya sudah diagak (aku gelak dalam pawagam, orang semua pandang aku macam bengang) bila pembunuh dipaparkan. Ada beberapa babak yang sedikit mengelirukan (berkenaan kerja si polis di sebuah bangunan usang). Pembukaan kredit filem ni cantik nak mampus. Kenapalah pembikin filem kita tak boleh sekreatif mereka nak buka kredit filem?

Perempuan Berkalung Sorban(2009)
Indonesia kiranya bolehlah berbangga kerana seorang sutradara mereka yang muda, Hanung Bramantyo merupakan pengarah prolifik yang mengadaptasi novel ke filem. Selepas AAC, filem ini dibikin. OK, secara terus-terang filem ini mendatar, ini mungkin disebabkan cara penulisan novel karya yang diadaptasi. Malah ada beberapa babak dialog dan perbualan panjang kau akan rasakan seperti sebuah drama radio (selalunya, filem Indonesia, seperti filem British, menarik kerana dialognya yang amat witty tapi bukan filem ini) yang boleh buat kau menguap. Malah, dalam pertengahan filem aku sudah mula mempersoal, "Bila nak habis ni?", amat lain dengan cetusan-cetusan dramatik yang menghiburkan dalam AAC. Tetapi Hanung sudah melakukan yang terbaik dengan cuba bermain dengan visual laut dan pantai sebagai "semangat kebebasan" watak wanitanya (untuk mengubah persepsi masyarakat). Api pula bermain dengan semangat egois lelaki untuk menyatakan pendirian mereka dalam masyarakat.

Ini sebenarnya sebuah filem propaganda (filem mana yang tidak?) untuk menyucuk penonton mempersoal dan menanam kebencian terhadap pondok tradisional Nahdatul Ulamak (walaupun filem ini mendasarkan para pesanteren Gontor) dan mungkin, Islam, malah mempunyai suntikan liberalisme yang halus (terbitan novel ini dijana dengan duit Ford Foundation). Ini amat dikesali kerana pondok pesanteren yang aku tahu, kebanyakan pelajarnya lebih "terbuka" malah "liberal" daripada apa yang dipaparkan dalam filem ini (contohnya, di Pondok Lirboyo, para pesantrinya membaca pelbagai buku liberal dan kiri sebagai pemahaman tambahan). Tetapi Hanung "menjaga" hal ini dengan memaparkan "kejadian jumud" dalam pondok benar-benar terjadi (maka itulah filem ini propaganda). Tetapi, memang jelas, produksi dan latar seni filem ini lebih baik daripada AAC, serta watak utama wanitanya agak kuat sebagai protagonis.

Untuk filem "pondok" yang lebih baik buat aku, tonton filem 3 Doa 3 Cinta.

Aftershock(2010)
Arahan Feng Xiaogang. Sebuah filem weepies yang efektif, well, tak mungkin dapat kalahkan Not One Less Zhang Yimau, ataupun Taegukgi (setakat ini, inilah filem yang berjaya menyatukan efek khas dan genre perang dengan melodrama yang amat menghiba jiwa), tetapi filem ini agak sudah dekat dengan filem baik Korea Selatan itu. Bagi aku pengkahirannya sahaja tidak ditutup kemas. Flem ini sepatutnya diakhirkan dengan imej paparan berbaris teratur kubur-kubur mangsa Tangshen, sebagai pelengkap jukstaposisi terhadap awalan imej yang memaparkan rumah roboh selepas gempa yang tidak teratur - mengikat ironi hidup/lepas hidup serta kaitannya dengan manusia yang masih terselamat/yang memerhatikan tragedi ini berlaku. Pengakhiran dipaparkan dengan propaganda, jasa Kerajaan Republik China membina monumen peringatan (yang kosong dan tiada makna bagi aku kecuali mengampu kerajaan).

Tetapi babak di antara, semasa dan selepas setiap gempa bumi dibikin dengan kreativiti yang amat tinggi, ketelitian yang amat tajam dan keikhlasan yang amat terasa nilai wayangnya (cinematic value). Ini merupakan kekuatan filem ini, iaitu penunjukan drama-drama manusianya yang kuat (memikirkannya saja buat aku menangis), yang difokuskan terhadap si ibu yang SETIA (kesetiaan merupakan jati diri orang Cina yang amat kuat) dan si anak perempuan yang TIDAK BOLEH MEMAAFKAN HIDUP (sisi suicidal orang Cina).

Ada satu babak, aku menangis kuat-kuat bila si ibu, selepas gempa, melihat kedua-dua anaknya terperangkap dalam timbusan bangunan, lantas melihat awan dan merintih, "Celaka kau Tuhan!!" Filem ini amat benar dalam pemahaman humanismenya.

Yang lebih penting daripada itu, filem ini juga meraikan hidup dan penerusan hidup (setiap tragedi dan kematian, ada kehidupan), dan ini berkait cantik dengan sifat sejarah China yang bertahun-tahun melalui pelbagai peristiwa buruk (satu lagi propaganda). Sifat meneruskan hidup ini berkait kuat dengan sifat si ibu yang tanpa berhenti "menunggu" kehadiran suami dan anak perempuannya "yang mati".

Menariknya, Feng tidak menipu kita dengan mengatakan ini "memang" filem propaganda. Dalam satu babak, dipaparkan anak-anak mangsa gempa bumi Tiangshen menonton wayang "propaganda" era komunis itu di bawah langit malam. Ikatannya jelas. Aku terkejut betapa jujurnya Feng menyatakan pendiriannya menggemilangkan filem propaganda komunis dengan pembikinan filem ini. Penerimaan sepenuhnya ini menarik jika dibandingkan dengan filem-filem "generasi kelima" seperti Zhang Yimau (yang juga sudah mula membikin filem propaganda China seperti Hero). Penerimaan kini sama kuat dengan melawan doktrin.

Oh ya, ini juga filem adaptasi sebuah novel. See?!!

Raajneeti (2010)
Film's Tagline: Politics ... and beyond!? Buzz Lightyear this is not!

Filem ini juga adaptasi sebuah buku, tetapi lebih "menarik", sebuah kitab lama yang agung, Mahabrata sendiri! Aku betul-betul mahu menonton filem ini, tetapi selepas menontonnya, aku membanting DVDnya dan mengamuk dan mengecam filem ini. Adakah filem ini begitu "hebat" sampai aku berfikiran begitu? Aku tilik kembali dan aku tahu, tidak. Ianya bukan kerana kelicikan Prakash Jha menyampaikan maksud "kekotoran dunia politik" (bagi aku tidak berkesan) tetapi cara Prakash dengan simplisistic, melodrama dan penggunaan tipikal Bollywood dalam hero worship (atau idol worship: star) untuk "memenangkan" realiti kekotoran politik itu. Itu buat aku bukan genius dan licik, tetapi pemalas dan kurang matang.

Filem ini mempunyai pembukaan premis yang amat menjanjikan, malah epikal. Jelas ia mempunyai turutan cerita yang mengikat kita dari awal kredit. Tetapi kondisi Prakash untuk hanya melihat "persaingan" dan "pergaduhan" antara dua kumpulan sebuah parti politik (atau keluarga, baca: dinasti) serta para media dan penyokongnya, tanpa melihat penjuru-penjuru (langsung tidak ada kuasa luar, atau menteri luar yang involve dalam perbalahan mereka yang tampak masalah anak-beranak) lain atau parti-parti lain, menyebabkan filem ini "satu hala". Ini dihodohkan lagi dengan ekspetasi Prakash untuk penonton memberi "simpati" terhadap watak "gelap" Prakash dengan memaksa penonton menelusi babak melodrama filem ini (ini kena-mengena dengan watak muka Al Pacino tu dengan abang dia si Arjun Rampal), lebih janggal lagi, watak-watak ini diberi "full focus" apabila mereka di layar, menyucuk mata penonton dengan menyatakan "mereka ni hero filem ni beb".

Hello?

Bagaimana dengan watak Ajay Devgan? Inilah masalah filem ini. Kita diberi pemahaman dan "pandangan" pada awal lagi, bahawa filem ini berkenaan Ajay (si anak terbuang yang dianggap pariah, tiba-tiba naik dalam dunia politik) dengan babak si ibu melihat Sungai Ganges (ini satu pembukaan yang kuat, air ialah penghidupan). Kita diberi "cerita" tentang "aksi jahat" Ajay. Tetapi aku menyokong Ajay (hasil tipu pengarah) sebab walaupun kerja dan cara Ajay tampak "jahat", beliau sekurang-kurangnya berintegriti. Tetapi itu bukan masalahnya. Masalahnya ialah, banyak hal yang besar, resolusi yang memerlukan kuasa dramatik besar untuk watak Ajay, dilemparkan dengan babak-babak lemah (contohnya cara si ibu mendepani Ajay untuk pertama kali). pengarah secara terang-terangan melakarkan Ajay dan si ibu yang mulanya di"angkat" lantas diperkecilkan dan diperkecilkan (tidak ada signifikan) sampailah wataknya sudah tidak ada makna pada akhir filem (dengan cara ini memanipulasikan penonton untuk menyatakan wataknya boleh dihapuskan, malah babak si ibu langsung sudah tidak ada makna pada pertengahan filem). Ini satu muslihat yang sungguh jelek.

Aku lebih suka jika pengarah memanjangkan intrig dan pergaduhan "lisan" dua kumpulan ini (ini macam kumpulan A dan B dalam UMNO, wa cakap luuu) dengan penyertaan beberapa parti lain, mungkin satu sudah cukup, sebagai satu "keseimbangan" terhadap pergaduhan anak-beranak filem ini yang mula membuat aku geleng kepala (semacam menonton sebuah drama pergaduhan keluarga politik Pinoy pulak).

Filem ini boleh sahaja besar seperti The Godfather (sila lihat bagaimana filem ini bermain dengan pelbagai elemen luar yang mempengaruhi strategi dan gerakan keluarga itu, dan sifat humanis yang betul pada tempatnya, drama yang tidak dibuat-buat, serta bagaimana seimbangnya ia memaparkan pemahaman kuasa dan sumpahannya) tetapi tersasar yang amat. Bagi aku, keluhan Shah Rukh Khan terhadap Kamal Hassan dalam Hey Raam! sewaktu si polis menyanya Shah Rukh Khan yang tenat di atas katil (polis bertanya Shah, siapa sebenarnya pengganas yang bercadang membunuh Gandhi) lantas Shah bercakap nama Kamal serta frasa "dia saudaraku" - babak ini jauh lebih mendalam, lapisan yang pelbagai dan besar daripada keseluruhan keinginan filem ini (yang menunjukkan bagaimana darah daging sendiri boleh membunuh untuk kuasa).

NOTA BENE
Semalam, kawan aku Fareed kata, ada sesuatu yang menarik untuk Syawal kali ini. Prof. Hatta mengarah filem Senario Asam Garam. Yeap, WTF kan? Dia kata, "What the hell engko sebagai seorang Prof. belajar tinggi-tinggi buat filem sebegini?" Like I care. Janji tak layan. Tapi tiba-tiba Fareed nyatakan lagi beberapa polemik, dan aku mula sedar sesuatu, ada dua PROF akan berentap bulan ni, jeng jeng jeng! The Duel of the Two Profs! (unfortunately, both making easy to sell films) Prof. Hatta (lagi besar sebab dia dekan) buat Senario, dan Prof. Razak buat 4 Madu! Aku ketawa terbahak-bahak, aku siap cakap, "Prof. Razak, kau terima je lah, zaman kejatuhan kau dah dekat. Dekan kau nak lipat kau kali ni, main game kau sekarang ..."

Aku sedar satu hal lagi, afasal Metrowealth selalu kamcing dengan tenaga pengajar atau warga UiTM ah? Prof. Hatta UiTM, Prof. Razak UiTM, Ahmad Idham graduan UiTM (bidang lain, bukan filem), Farid Kamil pelajar UiTM, apa hal David Teoh dengan UiTM?? Something is fishy here.. Patutlah aku pernah datang tayangan filpen kat Puncak Perdana UiTM, seorang budak ni mati-matian (selepas tayangan memaparkan filemnya yang tak seberapa) kata dia anak didik Prof. Razak dan mengatakan dia akan dapat kerja "baik punya" lepas ni dan hasilkan filem-filem komersial "pecah panggung" seperti Prof. Razak.. Hmm, adakah aku buta atau peka, adakah anak-anak murid pelajar filem UiTM buat praktikal dengan bikinan filem Metrowealth (budak dapat "expertise", tauke mungkin dapat kurangkan kos sebab amik budak-budak, kot?) .. patutlah hari tu kalau ada pratonton filem kat UiTM, budak2 UiTM ni bagai nak rak ajak aku menonton filem-filem pensyarah deme.. hmmmmmmmmmmmm...

pishy, belly pishy ...

Anw, Fareed maklum pada aku, Mamat Khalid mengarah Senario Lang Buana (filem Senario paling gagal di pasaran). Ini buat aku tertarik nak tengok buah tangan Prof. Hatta, sebab serius, aku pernah tonton 3 Budak Melayu skrip nukilan Prof. Hatta (tetapi alas, bukan arahannya) yang buat aku sebuah spot on satira tentang nasib pembikinan filem Melayu di Malaysia. Jadi aku nak tengok, jika Prof. Hatta true to his words atau dia pun 2 x 5 (baca: munafik) dengan subjek yang beliau kenakan baik-baik punya dalam 3 Budak Melayu. Mari kita tengok, jika dia bikin filem "untuk kahwin", atau bikin filem, untuk filem.

07 September 2010

Rencana "Pengadaptasian Filem Tempatan: Liku dan Harapan" Aku dalam Dewan Budaya September 2010

Yeah, Salam Hari Raya, jemput baca:




Ini tambahan (malah aku baru sedar, banyak rencana yang aku hantar dah kena potong sini sana) daripada bahan rencana ini yang tak dapat dimasukkan:

Retrospektif Filem Adaptasi Karya Tempatan Yang Dilupai Zaman
nota: Filem dibawah sengaja tidak memilih filem-filem zaman 50-60-an yang turut menyumbangkan filem adaptasi, kerana memang, pada masa itu, novel, bangsawan, teater dan karya klasik rancak diadaptasi ke layar. Setelah kejatuhan Filem Melayu dan permulaan Sabah Production dan Perfima, aku mulakan senarai ini:-

Langit Petang(1982) arahan Shahrom Mohd Dom, adaptasi daripada novel A. Samad Said. Selepas merdeka, filem ini merupakan filem pertama pembikin filem cuba mengadaptasi sebuah novel ke layar. Filem ini tidak mendapat sambutan yang baik, serta mendapat kritikan hebat kerana percanggahan tema dan cerita daripada karya asal. Bermula dengan filem ini, “filem adaptasi” dipandang sebagai racun pawagam dan membawa kesusahan dalam proses pembikinan. Filem ini memenangi Pelakon Wanita Terbaik untuk Azean Irdawaty dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk Mahmud June pada Festival Filem Malaysia ke-3 (1982).

Ranjau Sepanjang Jalan(1983) arahan Jamil Sulong, adaptasi daripada novel Shanon Ahmad. Filem ini menang besar pada malam Pestival Filem Malaysia ke-4 (1983) termasuk Filem Terbaik. Filem ini mengalami masalah untuk ditayangkan kerana kebanyakan pawagam takut jika filem ini tidak laku di pasaran yang disaingi dengan filem Hollywood, Indonesia dan Bollywood pada masa itu.

Mira Edora(1990) arahan Zulkeflie M. Osman, adaptasi daripada novel Khadijah Hashim. Percubaan pengarah muda zaman 90-an untuk mengembalikan filem adaptasi ke layar ini mendapat kritikan yang hebat oleh pengkritik filem pada zaman itu. Mira Edora merupakan filem pertama yang mengadaptasi sebuah novel popular tempatan.

Mat Som(1990) arahan Hatta Azad Khan, adaptasi daripada novel grafik Lat. Filem Malaysia pertama mengadaptasi novel grafik, mendapat sokongan pengkritik filem. Filem ini memenangi Filem Komedi Terbaik dan Lakon layar Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-9 (1991).

Black Widow: Wajah Ayu(1994) arahan U-Wei Shaari, adaptasi daripada novel Raja Azmi. Novel picisan Raja Azmi ini mendapat terjemahan visual indah dan teliti daripada sentuhan U-Wei, seakan sebuah karya Dane Wakefield yang berubah menjadi sebuah karya D.H. Lawrence. Pungutan tiket buat filem ini adalah antara yang terburuk pada tahun itu, walaupun pengkritik A. Wahab Hamzah menamakan filem ini sebagai filem terbaik tahun 1994.

Bicara Hati(2004) arahan Rosnani Jamil, adaptasi daripada novel Khadijah Hashim. Sambutan buat filem ini hanya suam-suam kuku di pawagam, tetapi filem ini telah melonjakkan nama Fazura sebagai seorang pelakon yang berbakat sehingga menjadi batu loncatannya dalam lakonan filem.

Komunis Lelaki Terakhir(2006) arahan Amir Muhammad. Lebih berbentuk dokumentari travelog daripada fiksyen, filem ini sebenarmya diinspirasi (atau reaksi) buku memoir Chin Peng, My Side of History. Filem ini diharamkan di Malaysia walaupun mendapat penghormatan di beberapa festival filem antarabangsa dunia.

Jarum Halus(2008) arahan Mark Tan, adaptasi daripada drama William Shakespeare. Drama Othello telah diadaptasi dengan berani oleh Mark Tan dalam rencah dan latar tempatan. Filem berbahasa Inggeris ini mendapat pengiktirafan beberapa pengkritik filem tempatan walaupun tidak begitu mendapat sambutan penonton. Filem ini merangkul Filem Digital Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (2008).

23 August 2010

Umpama Api dalam Sekam, Kehadirannya Memakan Kredibiliti Industri Kecil Ini

Wah, ada bunyi sastera tak? Muahahah, sebenarnya aku nak juga buat tajuk-tajuk yang sensasi seganas tajuk RPK. Tapi tak lah, aku tak ada niat nak capai kepopularitian orang tua tu, takde agenda nak jatuhkan kerajaan BN, cari pembunuh sebenar Altantuya dan melarikan diri ke London macam kucing (tup tup, dah hilang curi ikan). Tetapi apa yang aku nak tulis ni memang aku rasa, dan sudah lama terpendam (atas nama optimis), buat masa sekarang, perlu aku luahkan, sebelum perkara yang sedang berlaku sekarang terus membuak dan membarah, yang dapat menghancurkan industri yang kita (OK, mereka) bina ini secara senyap-senyap tanpa mereka sendiri mengetahuinya.

Hal ini adalah kerana, jika kau orang jenguk, tak perlu pergi jauh, tengok sahaja tajuk-tajuk filem Malaysia yang akan keluar tahun ini. Korang sedarkan, apa ke benda tajuk-tajuknya. Tapi mmg, "we cant judge a book by it's cover", tetapi bila kita baca pun "filem" tu, ya rabbi, buat peribahasa ni, baiklah kita ubah "the cover's true to the book's broth" haha, apa-apa lah.

Aku ari tuh gi seminar fasal Bahasa dalam Filem (sebenarnya fasal dialog dalam filem Melayu), deme pun bantailah filem-filem sekarang yang "rosakkan" bahasa Melayu, dalam selit-selit tu, dimaklum juga, bagaimana "hina"nya pengisian dan tema filem Melayu sekarang (komedi murahan, seram katak, dan kisah cinta anjing-kucing). Bantai ni secara umum, jadi mungkin, ianya kepada kru filem, kepada penulis skrip, kepada pengarah, atau mungkin kepada petugas katerer yang telah bagi ikan mentah kat para pelakon sewaktu shooting. Apa yang mereka tak tahu, sebenarnya dalam pembikinan filem (dan yang aku nak nayatakan ini pun masih umum), adanya sekumpulan manusia yang dipanggil penerbit/produser yang mengeluarkan filem itu, juga pegawai peroleh judul, semacam "gatekeeper" yang menyetujui atau tidak mengesahkan satu-satu filem itu diterbitkan oleh sebuah produksi.

Sebenarnya, dua kumpulan inilah, yang mempunyai kuasa terbesar untuk "terus" atau "tolak" sesebuah judul. Buat ini, aku perlulah menepuk tangan bagi RedCommFilms, Gayatri Tayangan Unggul, serta Pesona Pictures (tapi sekarang dah kureng, pasca-PHSM), kerana sekurang-kurangnya, dua buah produksi ini "cuba" dalam sekumpulan filem yang mereka keluarkan untuk pergi lain daripada lain (dan mendapat kerugian kutipan kerananya). Dan sudah tentu, ini termasuk Grand Brilliance tahun lepas (aku tengok, GB tahun ni slow sikit) yang mengeluarkan beberapa filem baik, termasuk Budak Kelantan yang kontreversial itu.

Merekalah sebenarnya "the movers and shakers" kepada industri ini, kuasa telunjuk, power to be yang memberi pengesahan untuk satu-satu filem itu dibikin. Jika seorang yang di atas itu, bila dalam sebuah persembahan konsep (diorang panggil pitching, yah, diorang ni jahil memperkasakan bahasa Melayu, banyak guna istilah Inggeris) menyukai sebuah filem yang sedang di"persembahkan" untuk disahkan, maka filem itu "sah" dibikin (maka projek kepada produksi pembikin itu akan diberi dana, atau macam Finas, dana hutang melalui bank). Maknanya, kalau plot dan ceritanya cikai, tetapi "orang atas" rasa syok bial dengar fasal filem tu, TING TING TING, filem itu boleh dibuat. Rujuklah filem Misi1511(aku lupa tajuknya), Orang Minyak, Jalang, dan baru-baru ni, Kapoww, Zoo, Andartu Terlampau (judul Pisau Cukur lagi kelas daripada judul filem ni), V3: Samseng, Bohsia, Cuti-cuti Cinta, 4 Madu, dll.

Korang selidik-selidiklah, siapa gatekeepers ini, apa tujuan mereka duduk di kerusi memberi kata punat "ya" dan "tak". OK, aku dengar, ada juga yang berilmu "filem". Tetapi di sini aku mahu kongsi sebuah cerita, bagaimana semangat pembikin muda yang mahu "merubah dunia" dihancurkan. Bayangkan, dalam sebuah pitching, kumpulan A mati-matian persembahkan konsep sebuah filem; tema, isi, plotnya. Bilamana panel penasihat terus menembak-nembak filem tu, fine, ini suatu pengalaman, dan kumpulan A ini tentu "belajar" daripada pandangan "cerdik pandai" panel tersebut (walaupun mereka menjejak sesuatu yang kadang-kadang tidak perlu, seperti, "Di manakah Melayunya filem ni? DUH!) Bila Kumpulan A ni lepak kat luar (selepas konsep filem mereka tak diterima), seorang panel (yang sudah arwah pun) keluar lantas menyatakan terus kepada Kumpulan A itu: "Apalah korang buat filem-filem "besar", buatlah filem-filem simple, macam ni.. sure lepas punya" sambil menunjuk poster filem SELAMAT PAGI CINTA.

Hah!

Jadi korang, pikir-pikir dulu, siapa nak hentam. Selalunya, aku percaya, pembikin filem kita sebenarnya punya semangat yang besar untuk membawa filem-filem yang punya idea-idea besar, tapi aku percaya, semuanya "roboh" dan hancus bila sampai dalam dewan perbincangan tu, lalu korang tahanlah dengan filem-filem dengan judul di atas.

Aku tak suka Evolusi KL Drift, there I said it. Kalau filem itu ditunjukkan kepada penonton luar, hatta penonton Melayu yang tak pernah tonton filem Melayu sekali pun, mereka tentu akan kata, "Citer bingai apa ni yob?" Malah mmg aku dah kena pun bila aku bawka seorang kawan dan dia terus pekik kat aku, "Aku nyesal ikut ko tengok filem bana ni..." (ini adalah antara poin kenapa aku tak ulas filem ni dalam Dewan Budaya, yeap, korang dah dapat tangkap, hanya filem Malaysia yang aku rasa terdetik, walaupun ada cacatnya macam LBS, yang aku tulis, kalau tak, takde modal nak tulis beb). Tetapi percayalah, filem ini dikatakan oleh kumpulan "orang atas angin" ini sebagai filem A++, ya A++!!!! Kalau filem macam Selubung ke, Femina ke (ahhh, aku suka filem ni), Cinta ke, kalau kata A oleh deme, aku percayalah, tapi Evolusi tu???

Satu lagi: Produser.

Korang sedar atau tak (hal ini pernah diperkatakan oleh media perdana), sekarang ni, kita boleh dengar banyak Syed Kecik yang menubuhkan Sabah Production (kalau korang tak paham: kumpulan orang kaya Melayu yang ingat deme ni pandai buat filem lalu terus terjun, walaupun takde ilmu asas filem), malah merekalah yang sibuk-sibuk hendak buat filem (rujuk Kayangan, Lembing Awang Pulang ke Dayang).

U-Wei pernah didekati oleh kumpulan manusia sebegini, kononnya mereka mempunyai "idea besar" untuk filem lalu bercerita kepada U-Wei. Kau tahu apa U-Wei cakap: "Celakalah kamu."

Ya, celakalah kita bila dunia perfileman kita sekarang dipenuhi oleh mamat-mamat sebegini, yang mengikut suka hati bapak deme je nak "ubah" sesebuah konsep filem dan kata, "Oh aku ada konsep" lalu dengan duit mereka (hutang atau profit syarikat), membeli seorang penulis skrip untuk membikin sebuah filem buat mereka, dengan idea-idea yang entah-entah. Inilah yang sedang berlaku. Sedihnya, mereka tak sedar, mereka sedang menghancurkan pembikinan filem kita atas hal-hal remeh mereka ini. Aku pernah memasuki sebuah sesi "perbincangan konsep" yang mana, bos penerbitnya tak habis-habis nak "product placement" di dalam filem itu. Kalau ini diteruskan, jadilah seperti filem LABEL yang gah di kampung sendiri seperti yang berlaku dalam Bilut bagi Felda dan Wayang bagi UiTM. Serius, aku boleh bilang dengan jari, berapa banyak filem keluaran sebegini yang "berjaya", kebanyakannya memang "dilupai", tipikal filem bajet rendah AFP yang ditayangkan di Pandu-Lalu Pacak di Amerika.

Cuba bandingkan filem-filem itu dengan filem zaman P Ramlee. Kornag akan sedar, sekurang-kurangnya, filem P Ramlee yang cikai pun (Jangan Tinggal Daku) ada struktur, ada "bahasa filem" dan ada sesuatu yang menarik untuk diikuti. Filem-filem sekarang?

Satu lagi masalah, dan ini aku sudah dengar sedari Paloh dibikin dan Embun melalui kontreversi. Aku merasakan, pengarah/penerbit kita kadang-kadang ambil enteng dengan SKRIP yang sudah ditulis oleh penulis skrip. Aku sedar ini bila aku bertemu dengan seorang kawan penulis skrip, lantas aku tanya, berapa peratuskah apa yang ditulisnya dipampang dalam filem akhir. Dia menjawab: 30%!! Dia menambah, hal ni (isi skrip dicantas, dibuang, diubah) sudah BIASA dalam perfileman di Malaysia. Aku tergamam, serius! Jika ini benar-benar berlaku, bila lagi kita mahu menonton sebuah filem yang betul-betul jujur, betul-betul memaparkan "pemahaman" asal penulisnya? Ini ditambah pula dengan sikap main-main pengarah seni yang tidak mengikut "penelitian gambaran" yang diberi oleh penulis.

Serius, jika pengarah dan kru lain buat main-main dengan skrip dan penggambaran itu, hasilnya nanti pun nampak main-main. Di sinilah kita boleh teliti filem Jins Shamsuddin. Yeap, filemnya aku tak berapa suka, tetapi lihat kepada "involvement" (tidak semestinya profesional) yang diberikan untuk pembikinan filemnya, khususnya Bukit Kepong. Korang akan sedar, he means business, bukan seperti rata-rata filem yang aku tonton sekarang, sedari filem Sutera Putih yang aku sumpah-sumpah dalam pawagam suatu masa dulu.

Serius, sesuatu perlu dilakukan di sini. Aku dengar, FINAS ada membuat kursus Master Class untuk pembikin filem muda. Sepatutnya, orang atas angin yang dah tua-tua dan kononnya berpengalaman itu, dan produser-produser gatal nak buat filem tu, eloklah masuk dalam kursus tu dan dedahkan diri dengan kaedah, idea dan konsep terbaharu dalam perfileman. Ini, aku lihat, pembikin filem muda mula berilmu (lihat sahaja rujukan dan filem-filem yang mereka tonton) dan produser serta yang lainnya semacam tinggal ke belakang. Suatu kesepakatan profesional (ini belum masuk bab hak cipta lagi ni) perlu wujud antara produser dan kumpulan pembikin, juga satu visi tetap untuk melihat tata cahaya filem berubah. Jika tidak, bukan sahaja industri kita akan jauh ke belakang ditinggalkan oleh Indonesia dan Thailand, tetapi dihancuri sedikit demi sedikit kerana kealpaan terhadap hal-hal yang dibawa enteng sebegini.

ps: Erk, aku baru tersedar, baru-baru ni asyik gambarkan benda yg kelam, jatuh dan celaka tentang filem kita. Mungkin aku bersemangat menunggu filem terbaharu Mamat Khalid, iaitu Apokalips, kot, muehahaha..

09 August 2010

Yang Ditunggu-tunggu: Hanyut(2011)



Pada malam Maskara Shorties, yang sudah mula membuat kami para penonton penat kerana deretan filpen yang panjang (waktu itu aku sudah tidak peduli menunggu filem yang dikatakan Naga buat sesiapa menontonnya tak mau bikin filem lagi, like I care), menonton beberapa sedutan bikinan serta klip yang "segar dari ketuhar", kesemuanya daripada sang pengarah tersohor, Hafsham dengan adaptasi filem Karipap-karipap Cinta (pengarah filem komedi 80-an terbaik), Mamat Khalid dengan mainan spoof (again???) terhadap filem-filem seram Melayu serta sekuel Zombi Kg. Pisang (ada bahagian POV Rashomon yang kiut) iaitu Hantu Kak Limah Balik Rumah (The Ghost of Kak Limah Comes Back Home), dan U-Wei Haji Shaari dengan Hanyut, adaptasi novel pertama Joseph Conrad.

Antara ketiga-tiga itu, Hanyut merupakan sesuatu yang membuat mulut aku ternganga. Ia menggetirkan, dan suasananya, semangatnya lain - paronama. Perasaan dekaden wujud, serta tunggang-langgang dunia Melayu. Baranya terasa. Masing-masing berkomplot (aku rasa, oleh sebab itu U-Wei arah teater Wangi Jadi Saksi, sebagai aras pengkajiannya dalam komplot orang Melayu). Banyaknya cahaya yang dimainkan, banyaknya misterius, seakan-akan "Melayu" itu ditutup, dikelam dan dibusukkan (lihat sahaja imej Khalid Salleh yang separa Melayu-Mat Salleh seakan absurd, memiliki atau menyelami dunia impresionisnya tersendiri, move over Johnny Depp!), dan cahaya memerhati kekuatan dan panas orang Barat di tanah Melayu (filem ini berlatar di Borneo). Dalam satu babak, Si Melayu (aku rasa, Sofea Jane), isteri Almayer, menjadi "mata" orang Melayu melihat si Orang Puteh bertutur asing, dengan anaknya (Diana) di antara ayahnya (Almayer) duduk di meja bersama tentera Inggeris. Aku tak tahu kenapa, sekejap perasaan "jahil", "ganas" dan "kasar" wujud dalam mis-en-scene ini, sekejap (dan aku tahu ini akan digerakkan oleh U-Wei) berubah "suara" tenggelam dan misterius Melayu ini ingin mendabrak keluar, menenggelamkan personifikasi dan perspektif si Orang Puteh. Dan aku rasa, "titik" yang menjadikan penenggelaman ruang dan "suara" ini adalah Diana.

Mungkin ini pemaknaan "hanyut" yang sebenar ingin di bawah U-Wei.

Aku betul-betul terpesona. Dan ini baharu 5-8 minit daripada filem sebenarnya (yang belum disunting sepenuhnya).

Aku merasakan, U-Wei dalam top of his form. Kini, kita akan dapat menonton kembali, rasa kelam, keterasingan, wanita dan kuasanya terhadap lelaki (khusus wanita Melayu), serta simbolisme seksual yang kuat dan perdana dalam wajah filem-filem U-Wei sekali lagi.

Hanyut, secara rasminya menjadi filem yang ditunggu-tunggu untuk tontonfilem.

Aku tak sabar menunggu.

Insya-Allah.

02 August 2010

Oh Fatimah(1989): Ikon Kejatuhan Filem Melayu


Pada tahun 1987-1990 merupakan antara zaman-zaman filem Melayu "jatuh" daripada martabatnya. Aku tidak hafal jika waktu itu juga ekonomi agak meleset, banyak pengangguran berlaku. Tetapi aku pasti pada waktu itu, tidak banyak filem yang keluar, lebih-lebih lagi filem yang baik keluar. Jumlah penonton yang menonton filem Melayu, merundum. Zaman itu merupakan zaman rock, era Kembara Seniman Jalanan.

A.R. Badul atau kita kenali sebagai Badul pada zaman itu merupakan satu-satunya ikon ataupun penggerak nyawa filem Melayu yang mula lumpuh pada waktu itu. Ramai yang mengecamnya (sepertimana ramai yang mengecam David Teo, Prof. Razak dan Ahmad Idham sekarang sebagai pelopor filem komersial, mementingkan pulangan duit tinggi daripada isi dan estetika) sebagai "lawak bodoh", dengan banyak menggunakan dub suara "uhhh", "hehehe", "hmmm", mengambil lagu saduran (filem Oh Fatimah mengambil lagu Beverly Hills Cop), tidak membawa apa-apa pembaharuan ataupun kesegaran dalam filem Melayu. Tetapi filem-filem Badul amat popular dan diikuti oleh golongan rendah dan marhaen waktu itu, malah mempunyai pengikutnya yang tersendiri (aku adalah di antaranya). Maka sebab itu, Badul dan filem-filemnya, baik yang dilakonkan atau diarahkan, merupakan semacam "nafas terakhir" nadi filem Melayu pada waktu itu, walaupun mungkin orang tidak menyetujui kaedah dan ceritanya.

Dalam filem-filem Badul, Badul banyak memperkatakan tentang perhubungan, khususnya lelaki-wanita. Badul merupakan Figaro, juga kasnova filem Melayu, yang alang-alang bodoh, berlagak bodoh dan lurus (atau dianggap licik) untuk menambat hati si wanita dalam filemnya. Keseluruhan filemnya adalah berkenaan bagaimana si lelaki memikat si wanita, baik ia bujang, berkahwin atau duda. Lihat sahaja babak Tuan Badul arahan Jamil Sulong. Filem itu memaparkan megah dna tangkas si Badul sebagai bos, tetapi bila terlihat Noor si orang gaji (Noorkumalasari), si Badul menepuk lantai, mendayu dan membising untuk Noor membuka pintu. Badul sekali gus nafsu rakus dan gedik lemah yang terprojeksi dalam bentuk lurus bendul dan keanak-anakan.

Mungkin begitulah era Malaysia dan anak-anaknya, mengambil semangat carefree tanpa terlalu risau dan mengejar dunia. Patutlah kita kebelakang daripada Singapura yang dinamis dan proaktif, kita terbuai-buai dengan eskapis lelaki-wanita, cara memikat dan menggatal.

Tetapi Badul sendiri pun mencapai (hampir) kesempurnaan dalam memikat dan memahami ikatan perhubungan lelaki-wanita, ini tampak sekali dalam Hantu Siang, yang buat aku merupakan filem Badul yang paling berjaya menyatakan semanagtnya.

Aku terseronok untuk mengenali filem ini kerana antara semua filem Badul yang aku tonton(!), aku tidak pernah kesempatan menonton filem Badul yang ini. Pada waktu itu, di FFM ke-8, filem ini diumumkan dengan mengejut, merangkul pengarah terbaik, pelakon lelaki dan wanita terbaik, dan juga pelakon kanak-kanak terbaik. Filem ini "menang besar", mengalahkan dua filem "baik" tahun itu, Yassin (arahan Kamal Ariffin) dan Anak Sarawak. Malah filem arahan Badul, Pelumba Malam memenangi banyak anugerah pada FFM tahun yang sama (pada tahun itu, tidak ada filem terbaik). Zaman kebangkitan Badul ini diperlihatkan sebagai zaman merosot filem Melayu. Badul, yang juga mewakili Z. Lokman dan beberapa pengarah "cukup makan" pada zaman itu seakan-akan memaparkan the underdog sudah punya suara untuk mencoret dan menghala gerakan industri perfileman, atau sekurang-kurangnya mengiktiraf mereka. Sememangnya selepas itu, ramai penerbit filem memohon Badul mengarah filem mereka. Sedihnya, kebanyakan filem-filem itu tidak cukup kuasa menarik para penonton atau tidak cukup inti dan isi untuk diperkatakan. Kejayaan Badul dihambur dengan alpa oleh masyarakat.

Aku pernah menonton sedutan awal filem ini sewaktu aku dalam pejabat Astro Awani bersama Syazwan Zakariah, sebelum aku ditemu bual olehnya. Dalam gelupur sejuk aku, aku menonton filem ini untuk menenangkan fikiran. Aku tercuit satu perkara pada waktu itu, awal-awal lagi, Badul memang memberi suatu kesegaran yang menarik, bagaimana babak Badul memikat Raja Baizura, lalu kahwin, lantas bercerai. Seperkara lagi, aku nampak nama Osman Abadi (Osman Abadilah yang menulis skrip Ali Setan yang klasik itu), Aimi Jarr (penulis skrip "Esok" Jins Samsuddin serta Dia Ibuku, kebanyakannya merupakan filem "pemenang" FFM dan laris), dan Dr. Anuar Nor Arai(!) sebagai penyemak skrip (dan mungkin penolong baiki skrip) filem ini. Aku teruja!

Memang pada awalnya, ada sesuatu yang menarik dalam filem ini, lebih-lebih lagi cara Badul memikat "Fatimah" (Raja Baizura). Malah kredit filem memaparkan sesuatu yang menarik dengan nama "Tukang" dan "Bintang" (Bintang Kepo, Bintang Terjun). Kita amat-amat memahami wit Badul.

Ceritanya senang, Badul dan Baizura bercerai. Baizura pula berubah untuk memahami kekuatannya, sedangkan Badul perlu berubah agar dia lebih "matang" dan bertanggunjawab terhadap anak dan penjagaan nafkah bekas isterinya. Cerita ini sememangnya satu percubaan untuk melihat "kedewasaan" Badul daripada gatal dan pikat-memikatnya. Aku memahami mengapa Badul diminati, kerana seperti dalam filem ini, Badul digambarkan sebagai "peon", atau pekerja bawahan, kerja kilang (ini zaman mat dan minah kilang menonton filem), maka Badul secara tersirat menjadi "suara" golongan ini. Sakit, cinta dan cerai Badul merupakan masalah "simple" dan "penting" yang berlegar buat anak-anak marhaen ini. Dalam filem ini sahaja, Badul dipaparkan tidak menentu kerja dan hidupnya, serupa dengan zaman serba ekonomi merosot pada waktu itu.

Maka sebab itu, walaupun betapa jengkel dan menyampah kita terhadap perangai ego patriakh dan gatal Badul, kita mahukan dia "berjaya" dapatkan si wanita akhirnya kerana kita mahu (kita sendiri) berjaya dalam mendepani realiti terumbang-ambing serba carefree pada waktu itu (sebenarnya, jentikan Kembara Seniman Jalanan dan kemudiannya Mat Som lebih teliti dan benar dalam hal ini).

Itu merupakan perkara baik yang ingin dibawa oleh Badul dalam filem ini. Tetapi, seperti biasa, pengolahan, pengarahannya amat lemah, aku terkejut beliau dapat "pengarah terbaik" mengalahkan Rahim Razali ataupun Kamal Ariffin! Ya, filem ini pada awalnya sudha terfokus baik, kemudian menjadi cerita mengarut, meroyan, meraban yang entah-entah pada pertengahan, kerana kita tidak dapat meletakkan "logik" terhadap dunianya, sekejap Baizura seorang jurusolek, kemudian jururawat, kemudian pekerja di salun! Semuanya dihampar tanpa makna! Malah Ada satu imej dalam filem ini, yang memaparkan babak slapstik yang paling memualkan, ia menandingi mana-mana slapstik yang pernah aku tonton dalam filem Melayu sebagai yang terburuk. Ini adalah sewaktu Wak Sir (Azman) yang terpaksa menolak kereta terpakai baharunya di mana Baizura di dalam. Wak Sir, entah atas permintaan Badul atau sengaja, menonggek bontotnya ke kamera, tersengih lantas menolak kereta dengan susah sekali. Kamera memerhati bontot tonggek yang beralun Wak Sir dengan minat sekali. Farreli's Brother pun kalah! Jika aku melihat lawak slapstik bodoh yang ada dalam filem-filem Senario, aku akan tunding ke skrin dan menjerit, "bontot Wak Sir!!!" kuat-kuat, begitu pentingnya imej buruk ini!

Maka dengan itu, aku tidak tahu bagaimana Badul menulis skrip, dan bagaimana orang yang berpengalaman, termasuk pengkritik dan pensyarah yang terkemuka boleh terlepas pandang atau tertipu dengan eksekusi Badul. Atau mungkin memang ia "cantik" di skrip tetapi "dibuat-buat" semasa penggambaran, hanya kerana untuk menaikkan tahap komedinya? Oh, tidak. Kita diperlihatkan hal ini berkali-kali, banyak yang tidak logik, tidak berkesinambungan dan tiba-tiba. Babak Baizura yang muncul tiba-tiba setiap kali Badul bertemu kekasih baharunya merupakan antara babak yang terlemah dalam filem ini, tidak ada justifikasi langsung. Malah, kita mahu dan amat benar melihat Badul dan Baizura, walaupun sudah bercerai, masih sayang-menyayang, sekurang-kurangnya pada sudut psikologi filem ini boleh diselami. Tetapi tidak, ianya sengaja dibuat "satu lapis", tanpa motif, tanpa hal yang menarik untuk aku teruskan. Malah ada beberapa hal yang "menarik" pada awalnya, berkenaan perhubungan, kuasa jantan Melayu berdominan walaupun dungu, kelemahan wanita Melayu dan bagaimana hal itu hendak disamarkan dengan kuasa seks dan feminiti mereka, seks dan voyeur, tenggalam dalam mainan antah-berantah Badul. Harap poster kat atas tu je yang cantik, gaya ala-ala catan Zainal Buang Huseein Gila-gila.

Ini sememangnya satu bukti yang nyata tentang kiamatnya filem Melayu pada waktu itu. Aku gelupur untuk merasai, jika FFM kali ini, tahun ini akan berlaku sesuatu yang sama (walaupun filem-filem kita meningkat baik). Aku harap-harap tidak.