Showing posts with label dokumentari. Show all posts
Showing posts with label dokumentari. Show all posts

23 November 2007

10 Tahun Sebelum Merdeka - Inilah Baru Filem Sejarah!


nota fadz: Sila abaikan komen ini kalau kau nak terus 'get on with the show'. Aku perlu mengaku, aku sangat pro-monarki dan aku anti-republik. Tetapi jangan takut, aku tak ada hati nak memimpin. Untuk menonton filem Fahmi Reza ini, aku membuang semangat yang sebati dalam diri aku itu lalu menonton filem ini dengan hati yang terbuka...

Pertama sekali: Shumi oh Shumi, shame shame on you, shame..! Felem pendek ni berjaya membuak berlapis-lapis makna atas nama 'sejarah' dan 'perjuangan' daripada felem Shumi yang UMNOnized play safe 'eat up your 'merdeka' medicine young-uns'!
Fuh, OK.
Aku tengah asyik mendengar lagu-lagu latar yang mengisi filem pertama Fahmi Reza ini di dalam blognya. Dan itu baru lagu tu!
Secara jujur, filem ni sudah jadi 'cult classic' buat aku. Bayangkan secara senyap-senyap, The Rocky Horror Picture Show(1975) membentuk grup kultusnya setiap tahun lalu bila dibuat road-show festival tayangan filem itu, lalu berduyun-duyun manusia memakai pelbagai bra hitam, gincu merah dan wig gerbang-gerbang ikal, lalu menyanyi dan melontar pelbagai suara di skrin sewaktu tayangan. Dalam masa 10 tahun lagi, filem ini, dalam senyap-senyap, grup-grup kultus akan menontonnya sekali lagi, dengan kopiah, kain pelekat, baju putih, lalu menyanyi lagu Clash, Sex Pistol dan Black, dan bersorak seakan di dalam politic rally setiap kali 5 perwira 'tanpa nama' melonjak kata-kata perjuangan mereka, lalu menyanyi lagu semboyan Putera-AMCJA pada kredit akhir filem dan babak 'apa jadi kat' 5 perwira itu.
Itu tilikan aku lah.
Secara keseluruhan, filem dokumentari ini dibuat dengan semangat yang penuh kejujuran. Suatu perkara yang sangat baik tentang filem ini ialah, ia hanya MENUNJUK, dan bukan MENYUAP (walaupun filem pendek ini hanya mengfokus kepada 5 tokoh parti sayap kiri pada ambang kemerdekaan Malaya) para penontonnya.
Gayanya laju, segar dan bersahaja. Seperti menonton kerja darah orang muda (memang pun), suntingannya cepat- setiap montaj, imej statik dan gambar bergeraknya diselang-seli dengan suara temuramah dan latar lagu yang membuat kepala anda melentuk-lentuk. Ya, filem ini lebih menghiburkan daripada 1957: Hati Malaya. Malah aku gerenti, kalau ditunjukkan kepada murid sekolah rendah, mereka akan pilih filem ini sebagai bahan kajian sejarah.
Sebagai seorang yang baru, Fahmi Reza memang menakutkan. Banyak 'trick' yang tersimpan di dalam kocek Michael Moore (yang pandai bermain dengan kerja siasatan buat sendiri dan memaparkan imej/montaj/babak kreatif untuk 'memberi pengetahun berguna' pada penonton), Rob Epstein(pandai menyusun montaj/sedutan klip lalu seakan membentuk 'cerita' dan hilang idea 'dokumentasi'nya) atau Errol Morris (mengaitkan fakta dan 'pengalaman tentang fakta' dengan sangat efektif) telah dihadaminya dan digunakan dengan baik.
Fahmi juga 'sly'. Punya 'wit' dalam mainan suntingannya. Apa yang membuatkan gambar-gambar foto lama dan baru yang disunting laju serta saling ditindan oleh Fahmi efektif ialah, Fahmi menyusun dan memilih gambar-gambar/suara itu dengan ketelitian yang punya akal mainnya yang tersendiri. Seakan dia mengaku 'aku konduktor dalam ini felem'. Dan simfoni okestranya menjadi. Bila sesebuah montaj bersunting Melayu/Cina atau wajah-wajah tokoh sayap kanan-kiri-Inggeris-Jepun dimainkan, kuasa yang dicernakan ialah subjektiviti. Tetapi dalam subjektiviti Fahmi, Fahmi juga ber'cerita', meluahkan 'sindiran'nya. Ada yang kelakar, ada yang offensive, dan ada yang mencapai suatu tenaga yang sangat mendalam, yang kadangkala mencuit intelektual, dan yang menyentuh perasaan.
Lihat sahaja babak, sewaktu seorang perwira 'Melayu' mengisytiharkan, "Kami akan tentang/berjuang(?) habis-habisan', Fahmi lalu mengfokus tangan tua berkerut lelaki itu, sebuah lagi tangan yang 'menunggu mati' (tetapi wajah perwira itu masih bersinar) milik seorang lagi perwira 'Melayu'. Inilah ke'subtle'lan yang Fahmi berjaya cungkil. Babak ini sendiri memaparkan kuasa Fahmi yang faham 'menjaga' kesatuan imej dan suara. Babak itu sekaligus kuat dan pedih. Malah hati aku tersentak kerana babak itu (merasai seakan perjuangan mereka sudah ke penghujung, sia-sia, menghentak tentang keinginan bernostalgik).
Susunan terjaga Fahmi, dari awal (saspens tinggi, buat orang teruja dan langsung tidak ingat bahawa isu yang dipaparkan ialah politik dan sejarah, isu yang memang berat untuk difikirkan) sehingga akhir, Fahmi menyusun imej dan suaranya seperti menyusun emosi yang dia inginkan keluarkan dari kita. Manipulasi ini menjadi, apabila, selepas hartal diumumkan, Fahmi, memaparkan skrin gelap, kemudian 'kredit filem' disulami dengan 'apa berlaku kepada tokoh selepas itu', merundum dan membawa satu klimaks yang menyentuh. Fahmi, adalah Michael Moore baru kita.
Walaupun mungkin orang akan memperkatakan, kenapa tokoh sayap kiri sahaja yang ditemuramah dan bukan tokoh Parti Perikatan. Secara jelas, filem ini memang mahu memaparkan suatu 'detik sejarah' yang dihitamkan oleh buku teks sejarah. Tetapi, perlu diteliti, filem ini masih membuka pelbagai ruang buat penonton mengisi 'persoalan', 'perbincangan' dan 'legenda' . Ia tidak menjurus kepada 'kamu mesti percaya' ala-ala An Inconvenient Truth(2006) tetapi membuka 'meja kopi' untuk memperbincangkan lagi apa yang sebenarnya berlaku pada hari hartal, isu sensitif keris dan kecenderungan raja Melayu menyokong UMNO, dan isi sebenar konstitusi rakyat. Perkara-perkara pokok ini sengaja tidak dibincangkan secara terperinci kerana Fahmi sendiri mahu penonton 'mencari', menggeladah dan menyoal. Keinginan segar ini sama efektifnya dengan The Big Durian(2003) Amir Muhammad.
Silalah tonton filem ini kerana sebetul-betulnya, filem ini seronok (serius, ada drama you!) dan menghiburkan! Tetapi tontonilah filem ini berulang-ulang kali untuk mencari dan memperkembangkan perjuangan yang sudah pengarah Fahmi mulakan.