Showing posts with label Tok Rimau. Show all posts
Showing posts with label Tok Rimau. Show all posts

18 April 2008

Filem Pendek KIRI

Kiri sebuah filem pendek arahan DeanSham dan tulisan Tok Rimau. Kiri 'murah', amatur dan ganas, mengambil tempat dalam genre 'balas dendam' yang biasa kita tonton dalam filem Hollywood 70-an tapi bukan filem Melayu. Kill Bill mungkin menolong melahirkan Kiri. Tetapi Kiri adalah kiri dan Kill Bill adalah kanan, tak boleh dibandingkan sangat.
Satu babak yang paling aku suka dalam Kiri:

Sewaktu awek berpelir (Ya, Tok Rimau betul tentang ini, dan ya, kirim salam kat dia, dia memang HOT) menghala pistol kepada pembunuh ayahnya lalu menembak, lalu darah menompok di wajahnya, lalu bila awek tu jalan, si lelaki (anak pembunuh ayah awek) yang menunggang lalu melihat dengan 'asyik' terhadap 'kecantikan' awek itu. dalam pendek: puitis. Ironis: Si lelaki yang 'mencari' awek itu kemudian (semacam drama purbakala lama pula) mencari awek itu untuk menyelesaikan 'hutang darah' yang kita seharusnya tangkap, punya 'ikatan asyik' untuk bertemu awek itu sekali lagi (point dia ialah, dia cari fasal nak jumpa awek tu fasal dia sebenarnya syok kat awek tu!). Perkara ini suatu ikatan-kupasan subtle yang cantik berlaku dalam Kiri. Malangnya, para pemegang watak, kebanyakannya dalam filem ini melakonkan watak-watak yang satu sisi sahaja, tidak benar-benar memahami konteks 'dalam' yang dinukilkan oleh Tok Rimau.

Ada banyak lagi babak-babak yang aku suka. Satu yang paling tampak (dan tidak perlu orang pandai untuk menafsirnya) ialah penggunaan idea-imej Kiri dalam dialog sampai aksi. Ideanya sendiri 'samar' terhadap perjuangan samar awek ayah dan kawan yang membunuhnya, samalah seperti 'samar'nya walaupun terfokus tujuan awek membunuh. Kesamaran ini penting kerana Tok Rimau dan DeanSham cuba merombak pemikiran dan norma masyarakat Malaysia terutamanya Melayu terhadap apa itu kebenaran yang sebenar dalam satu keyakikan/kepercayaan, sampai mempersoal: adakah perjuangan menentang kebiasaan, baik individual atau kumpulan itu salah, kalau salah, buat pihak mana?

Persoalan ini berjaya diangkat dalam Kiri. Secara biasa saja, kita dapat tangkap bagaimana rasional dan semangat jiwa (passion) turun terhadap satu-satu manusia bila satu-satu peristiwa memaksa seseorang 'memilih'. Kalau kita sedar, awek itu sejak 'menangkap' adegan tembak serta kemahuan pembunuh itu membunuhnya telah membuat 'pilihan' secara tersirat. Walaupun ia 'duduk diam' di dalam awek itu, kita sedar ia menunggu untuk meledak. Kita lihat pula bagaimana (secara mengejut, aku tak tahu kalau ada orang sedar) awek itu terjatuh sejadah(?) dan kitab agamanya di tanah. Bila dia sudah besar, waktu itu baharu Subuh, dan ibu awek masuk, sedar awek sudah tidak ada, lalu 'jatuh' terduduk atas lantai. Kita sedar, agama dan suara rasional (ibunya) tidak dapat lagi menahan keinginan 'yang satu' awek itu, secara tersirat suara yang digambarkan di sini bersifat 'kiri' sendiri (manusia menentang halal dan haram ketentuan Allah), dan ini membuat aku angkat topi terhadap Tok Rimau.

Beberapa perkara dalam Kiri yang melemahkan Kiri. Pertama yang paling tampak (aku tidak peduli akan suara kerana kebiasaan suara dalam filem ini biasa buat filem bebas buatan amatur) ialah penggunaan 'layar hitam' yang berkelip terlalu banyak, ia menjejaskan tempo perjalanan antisipasi penonton (walaupun kita seakan mahu rasa ia seakan sebuah 'novel' yang dibelek halamannya, teknik yang sama digunakan dalam filem Sphere, yang juga menciptakan kejenggelan. Gaya ini sangat sesuai dalam beberapa filem, seperti The Thing).

Walaupun begitu, Kiri ialah sebuah filem yang segar, jauh menandingi kebiasaan filem-filem bergerak lembap yang aku kira sudah bosan ditonton oleh masyarakat dalam siaran NTV7 hari Ahad. Walaupun cepat, ada 'seni' dalam Kiri, ada puisi yang berjaya dicetuskan walaupun ianya disampaikan secara amatur. Kiri seharusnya tidak berhenti di sini, ia seharusnya diperluaskan latarnya, gerak ruangnya dan masanya, supaya ia boleh dikongsi sebagai sebuah filem perdana yang benar-benar dapat mengubah segala Impak Maksima dan Castello yang ditayangkan di pawagam sekarang.

ps: Aku takde gambar sebab aku tak pandai tangkap gambar dari video ke web. Aku tuli IT, ya, dan Tok Rimau dan DeaSham tak bagi aku press kit.