Showing posts with label Majid Majidi. Show all posts
Showing posts with label Majid Majidi. Show all posts

11 January 2011

The Song of Sparrows(2010): Majid Majidi Masih Imam Filem Islam


Dahulu, aku amat pesimistik terhadap kecenderungan filem Islam. Aku selalu melemparkan rasa tidak puas hati terhadap pegangan dan pemahaman sekumpulan pembikin filem yang selalu mencanang mereka membikin filem "Islam", ini termasuk dari Iran. Jika diteliti, filem-filem Iran itu, ada yang "melampaui" Islam dan memakai kekuatan pemikiran rasionalis, mengambil aspek dan sikap falsafah, dan kadnag-kadang kenyataan sosial, dan juga politikal.

Tetapi Majid Majidi, daripada filem awalnya yang aku tonton, Pedar (Ayah), aku sudah tahu, ini seorang pengarah yang faham dan menghidupi Islam, maka menghidupkan Islam (atau unsur Syiah, tetapi hal ini tidak apa kerana pemaknaan Islam Majidi lebih menyeluruh dan secara spiritual, boleh diikuti dan dimakan) dalam filemnya atas landasan yang benar, tidak pernah membosankan dan selalunya menyentuh perasaan, dan tidak salah aku kata, menyentuh sanubari rohaniah kita.

Filem terbarunya ini turut berbuat begitu. Aku mengesyorkan (kerana hanya ada 6 penonton yang menonton filem ini malam semalam, dan mengejutkan, ada juga bukan Islam) penonton kita menonton filem kecil tetapi berjiwa besar ini, yang menyatakan sebuah cebisan hidup berkenaan rohaniah yang diuji.

Aku suka hal ini.

Kita seakan-akan memasuki dunia pari-pari ala Islam dalam filem-filem Majidi, yang memaparkan (dengan kecenderungan Majidi menyentuh neorealis, disulam dengan simbol-simbol tertentu yang indah dan puitis) seakan-akan hal-hal "sehari-hari" ini yang sukar berlaku, sudah dan berlaku dalam dunia serba "real". Dongeng ini tampak "benar" kerana "kebenaran" dan sehari-harian yang beredar yang ditangkap secara lalu. Hal ini menguatkan lagi gaya Majidi yang menangkap dunia "orang-orang kecil" mengikut pemahaman golongan Marxist, tetapi sudah tentu dengan agenda yang lebih murni - untuk menyampaikan, seperti mana kisah-kisah Wali Allah zaman dahulu - cerita tentang moral dan fabel Islam berkenaan nilai murni dalam dunia serba moden.

Kali ini pula, Majidi mengambil perumpamaan yang biasa kita tonton dalam filem Melayu, konflik (tetapi hal ini tidak ditekankan secara kasar seperti Berlari ke Langit, KL Menjerit 1, walaupun melodrama) antara kampung (yang disimbolkan seakan kehidupan syurgawi) dan bandar Tehran (simbol "dunia" yang serba laju).

Plotnya sendiri amat senang, menjurus ke arah suatu "pencarian" (pencarian si bapa mencari burung kaswari yang dinampakkan sebagai mencari kesuciannya atau rohnya) yang berkembang kepada pencarian nafkah (materialisme) di bandar (atas sebab dibuang kerja).

Cerita senang ini pula disulam dengan simbolisme-simbolisme yang sungguh indah. Pada satu babak, kita lihat, si bapa membawa balik pintu warna biru dibelakangnya. Sekali gus, babak itu indah (langit putih kebiruan menyatu dengan pintu biru di belakang si bapa), seakan-akan dapat merasakan "Tuhan" cuba memasuki "jiwa" si bapa (mengetuk pintu berkenaan), tetapi si bapa membawa pintu itu dan menganggapnya sebagai beban (dunia), sebagai "harta". Lantas tanah, tiba-tiba menjadi "kontang" diperlihatkan dengan kanta luas (God view). Kita sedar, Tuhan sedang cuba bebricara dengannya (si bapa) tetapi dia tidak mahu mendengar.

Hal ini indah kerana, seperti mana kita memahami (jika kita fahami penggunaan Pantun), dalam sastera dan seni kita, khusus Islam, alam atau simbolisme alam memaparkan ciri rohaniah dan adanya kesatuan manusia dengan Tuhan (melihat keindahan alam membuat kita mengkagumi ciptaan Tuhan). Simbol alamlah yang penting untuk dihubungkait di dalam filem ini sebagai "bahasa" Tuhan atau rohaniah terhadap watak-watak manusianya.

Rujuk sahaja tempat simpanan air yang "kotor". Kita lihat, si bapa, bagaimana dia bersyarah, bagaimana berlumpur dan kotornya simpanan air itu yang "tidak ada apa-apa hidupan boleh hidup!" kerana sudah SUMBAT. Satu takungan yang kotor. Malah, dalam satu babak, ular tiba-tiba muncul. Ular, kita sedia tahu merupakan simbol Iblis (Iblis menggoda Hawa dalam Syurga). Di sini, kita memahami, iblis, lebih-lebih lagi bergelumang di tempat kotor. Jika kita lihat secara teliti, takungan air kotor itu umpama jiwa yang kotor, yang tidak dapat DIBAIKI lagi (susah untuk disucikan). Hal ini, dengan secara metafora yang berkesan, dibandingkan pula dengan bandar Tehran yang besar, yang mana secara sinematiknya, digambarkan terkongkong, sesak, terhimpun, bangunan menghimpit antara satu sama lain, seperti warna coklat perang yang sama warna (walaupun terang) sepertimana takungan yang kotor tadi (bukankah bandar seakan kawasan yang tertumpu yang bertakungan?). Maka kesatuan "simbol" berlaku, dan kita memahami, walaupun ada kawasan yang indah di Tehran (pokok rendang, air pancut, parit bersih yang mengalir di tepi rumah orang kaya), selalunya si "ular" akan berenang menggoda para penduduknya. Dan ini, kita fahami akan berlaku terhadap si bapa bila dia tiba di Tehran dengan janji kekayaannya kepadanya.

Apa yang indah lagi tentang filem ini ialah, bagaimana, simbol-simbol biasa tadi yang dibawa oleh Majidi, diperkembang dan diperkembangkan lagi. Aku hanya mahu ambil dua simbol sahaja yang amat indah dan senang, pertamanya ialah air, dan kedua ialah ikan (malah simbol ini sudah banyak kali dimainkan oleh Majidi dalam filem-filemnya). Air seakan unsur alam yang datang dari Tuhan. Air juga "suci" yang boleh dibuat sebagai wuduk solat (sepertimana bapa gunakan dalam filem ini), tetapi jika kotor tidak dapat dibuat apa-apa (air takungan dalam tempat simpanan air). Pada satu babak, si bapa yang membeli buah, melebihi 2 kilo (menunjukkan kelebihan, rezeki yang melebih-lebih) lantas sewaktu dalam perjalanan, buah-buah itu bergolek-golek jatuh dari beg plastik lalu masuk ke dalam sungai yang berderas lalu. Penonton Islam akan memahami, secara tidak sedar, bahawa berlaku "penyucian" di sini, yang kita boleh kaitkan dengan ZAKAT. Atas sebab, si bapa waktu itu masih naif, masih lagi "bersih" daripada memahami "cara hidup bandar", maka rezekinya "disucikan". Hal ini dimainkan sekali lagi, dengan pemahaman budak-budak, dengan kumpulan ikan di dalam tong air.

Ikan seakan paparan "roh". Hanya roh (yang dicipta Tuhan, yang sesungguhnya bersih) boleh hidup sihat dalam takungan yang "bersih". Bandar Tehran memaparkan, banyak "ikan" yang sudah sakit atau buta dalam air keruhnya. Si bapa akan menyedari ini apabila, air simpanan telah dibersihkan, lantas air di dalamnya jernih, dan imej ini diteruskan dengan pemahaman indah apabila, kanak-kanak itu memasukkan ikan ke dalam takungan air jernih ini.

Lapisan demi lapisan yang sungguh indah!

Aku meyetujui, ya, filem Islam, filem yang berdakwah boleh dilakukan, boleh dibikin, tetapi mereka haruslah berkiblatkan dengan mazhab Majid Majidi, kerana ianya, seseungguhnya suatu pengalaman dan pemahaman Islami yang indah dan tidak pernah menghampakan, dan masih berjaya melangkau kemanusiaan yang sarwajagat.