Showing posts with label Joe Wright. Show all posts
Showing posts with label Joe Wright. Show all posts

27 July 2011

Hanna(2011): Simfoni Aksi, Individualisme, dan Keindahan Manusiawi

Filem ini merupakan antara filem terbaik tahun ini. Mungkin belumlah lagi boleh dikatakan "filem terbaik", tetapi sememangnya antara yang amat memuaskan dari segi viskeral dan kuasa sinematik.

Plotnya mudah. Kaitkannya dengan plot balas dendam dan mitos kotak pandora. Pemain utamanya adalah Cate Blanchet (yang hebat), Eric Bana (yang mengkagumkan) dan, Saoirse Ronan sebagai Hanna yang membawa filem ini dengan penuh bergaya dan indah. Aku teringat emosi dan "innocentness" awal-awal kemunculan Natalie Portman dalam Leon. Saoirse telah dilatih oleh "ayah"nya, Eric Bana untuk membalas dendam ke atas kematian ibunya, Johanna, dari tangan "ahli sihir", Cate Blanchet. Hanna, di"bangunkan" sebagai seorang "mesin balas dendam" dengan perangkap usia masih membaca Brother's Grimm Fairy Tale, dan itu sahaja. Tetapi Eric Bana terlupa, bahawa Hanna bukanlah "mesin" seperti mana yang kita akan tahu, atas apa kelahirannya (dan buat perkara-perkara yang mengkagumkan kita) tetapi seorang "manusia" juga seperti kita yang sepatutnya diberi "rasa" dan "pengalaman" hidup, inilah yang mengguluti kita untuk meneruskan perjalanan bersama Hanna, melihatnya merasai "dunia", membesar selepas keluar dari lubang yang selama ini memerangkapnya. Konflik yang tercipta ini sungguh memaut!

Inilah kekuatan imej dan sinema filem ini. Aku teringat akan Stanley Kubrick yang begitu mengambil ketelitian layar keseluruhan (setiap gambar seperti catan seni), ini dibantu dengan tempo sunting yang betul, seakan satu okestra yang tersusun indah. Keadaan latar yang luas inilah yang akan memaut hati kita untuk melihat Hanna "membesar" dalam dunia yang tidak dia ketahui. Berkait pula dengan "fantasi" yang diprogramkan terhadapnya (juga kita), baik yang dia sudah tahu (dia dimaklum dia datang dari mana, siapa kawannya) dan dia tidak tahu (dunia, yang sedikit demi sedikit, dari realisme, menghala ke fantasi, lantas kembali ke buku yang dia baca sejak kecil iaitu taman Brother's Grimm di Jerman).

Kita akan merasai gaya biasa William Friedkin dan terutamanya Fellini apabila mengambil semangat manusia sekitar, dengan kamera tangan mengambil "mata" Hanna mengenali "orang" di Morroco buat pertama kali. Kita teringat seakan Hanna benar-benar memasuki "wonderland". Kanvas yang dilukis, yang selalunya tepat, besar dan seimbang, makin lama, makin lama menjadi kecil, gelap, tidak teratur, dan menuju ke satu titik. Pada waktu ini, kita memahami Hanna sudah tidak sanggup lagi hidup dalam dunia "dongengan" yang diciptakan untuknya.

Jalan cerita filem ini indah. Rasa aksi, sai-fai, pengembaraan, romantik, komedi manusia, ngeri, seram, dan sudah tentunya kemanusiaan. Akhir filem ini, walaupun sepatutnya sempurna, agak janggal dan terasa "huru-hara" buat aku (nampak sangat pengarah nak cepat-cepat habiskan pengakhirannya), tetapi ia tetap tersusun indah.

Keindahan filem ini juga dikuatkan lagi dengan runut bunyi The Chemical Brothers yang begitu benar kepada bentuk "sinema" yang diperlukan terhadap Hanna, penting lagi terhadap dia "menegnali dunia". Daripada bisu dan suara "alam", ia sedikit demi sedikit berkresendo kepada pelbagai bunyi budaya dan sentuhan (rujuk satu babak di mana MUZIK juga menakutkan), melengkapi makna filem ini dalam "mengenali kebenaran manusia" atau seadanya manusia.

Dua perkara yang aku teliti dan aku suka terhadap filem ini. Ada satu babak Hanna mendengar suara orang mengaji Al-Quran, lantas waktu itu Hanna mengingati kata ayahnya tentang muzik (menyentuh jiwa dan perasaan, satu hal lagi filem ini turut menafikan orang Islam sebagai musuh Barat, walaupun menjadi MANGSA mereka). Kedua adalah "in joke" yang mana pelakon Olivia Williams sebagai Rachel mengatakan kepada Hanna bahawa dia tidak suka memakai "solekan" kerana orang bersolek itu nampak "menipu". Walaupun petanda ini jelas bahawa Hanna bersama orang-orang "jujur", kita juga faham kemungkinan bajet solekan hanya tertumpu kepada si penipu jahat Cate Blanchet (haha, adijahat filem ini orang Amerika!).

Ini sebuah filem yang mesti ditonton di pawagam untuk memakan keindahan sinema yang bukan selalu boleh dilihat lagi sebegini.

ps: Dengan memasuki filem ini lagi, kita akan mendapat jawapan pelbagai perkara yang membuatkan motivasi ebebrapa watak filem ini melakukan apa yang mereka lakukan.



28 February 2008

Academy Awards dan Atonement

Sudah, selesai, malam/pagi yang gilang gemilang itu. Buat aku, Academy Award ke-80 antara yang terbaik dari segi pemilihan pemenang. Dan untuk No Country For Old Men memenangi filem terbaik, sudah tiba masanya filem-filem besar yang tak mungkin mengikut penggayaan 'safe zone' Hollywood (dahulu seperti 2001, The Conversation, The Graduate, Chinatown, Blue Velvet, Raging Bull, Taxi Driver, Dog Day Afternoon, Apocolypse Now, dll.) mempunyai peluang yang lebih besar untuk memenangi filem terbaik. Di dalam sejarah Academy Awards, sangat jarang untuk kita ketemu filem yang mempunyai suara akhir yang fatalis dan pesimis. Hanya beberapa seperti The French Connection, Platoon dan Midnight Cowboy yang diberi peluang. Itu pun pendirian humanis dan protoganisnya masih mempunyai 'upper hand' terhadap alam hitam yang ditentang. Adakah filem segelap Donnie Darko juga mungkin akan diberi peluang memenangi filem terbaik Academy Awards nanti?


Atonement(2007)

Antara kesemua filem (kecuali There Will Be Blood) yang aku sudah tonton untuk filem terbaik Oskar, aku terpaksa mengaku, filem ini menjadi filem kegemaran aku.

Atonement sebenarnya sebuah filem senang, dan kadang kala mengambil masa pada awal 30 minitnya. Filemnya bercerita tentang seorang budak perempuan bernama Briony Tallis yang 'cemburu', dan kerana kecemburuannya, mengakibatkan dosa yang paling halus dalam sejarah manusia tetapi setua dunia: memisahkan dua insan yang hangat bercinta.


Kuasa Atonement dibuka dengan runut bunyi yang mengasyikkan. Campuran ketukan mesin taip dan lagu membawa emosi filem terhadap hati Briony (detik hentakan mesin taip ialah degupan jantung, juga degupan rancangan dalam kepala Briony)- tidak pernah satu inovasi sebegini mempamerkan isi hati kebenaran sebuah watak dengan sekreatif ini. Tempo mesin taip ini juga menggerakkan penonton (kita sedar akan gerakannya berupa hentakan tarian Amerika Selatan, maka kita sedar semangat romantisnya, dan juga semangat terujanya untuk bergerak dan bergerak 'mencari').


Filem ini juga mempunyai gaya POV Rashomon dan paling dekat, The English Patient (ya, antara filem kegemaran aku) terhadap tiga watak, Briony, kakaknya Ceccilia (lakonan memberangsangkan Keira Knightly) dan Robbie Turner (lakonan simpatik dan penuh perasaan James McAvoy). Jika dalam The English Pateint, filem membawa POV watak masing-masing secara mengimbau masa lalu. Di dalam filem ini, ia berlaku sewaktu peristiwa itu berjalan. Tetapi kita sedar, pada akhir filem ini, peristiwa-peristiwa itu juga sebenarnya rakaman Briony di dalam bukunya. Di sini, dan kerana babak ini, filem ini membentuk satu cabaran terhadap penonton. Adakah yang selama ini kita tonton itu 'benar' atau sebenarnya hanya mainan kepala Briony untuk melariskan novelnya? Benarkah kesemua yang kita sudah tonton itu benar-benar berlaku? Dan adakah kerana permainan kelainan POV ini, sekurang-kurangnya Briony 'tidak prejudis' lalu mengkotakan dirinya untuk "menceritakan yang sebenar-benarnya" kerana mengangkat suara kakaknya serta kekasihnya ke dalam 'cerita'nya lalu memberi peluang kepada pembaca/penonton menghukumnya?


Sisi kebenaran ini yang sangat memikat, membawa persoalan, apakah seni dan kebenaran itu satu tujuan mereka-reka produk ilusi buat penulis untuk menangkap kebenaran manusiawi?


Tempo, lukisan dan lakonan. Semuanya berkesan dalam filem ini. Sebuah filem yang perlu dirayakan buat pasangan kekasih. Dirayakan untuk mengenal kepentingan hidup dan pilihan. Sebuah filem buat aku.