Showing posts with label Edry Abdul Halim. Show all posts
Showing posts with label Edry Abdul Halim. Show all posts

29 August 2012

29 Februari(2012): Patriotisme Salutan Cinta

Sebelum aku mula meleter berkenaan filem ini, aku mahu menyatakan rasa dukacita dan kecewa aku terhadap segolongan penonton dalam Dewan 2 pada malam gala pratonton filem ini. Kawan aku kata, mereka merupakan sekumpulan wartawan media dan blogger media kita, jika benarlah, aku ingin menyatakan, "Shame on you!" Aku tiada masalah, bila reaksi mereka terhadap beberapa babak, dengan kenyataan lucah mahupun lawak berkenaan filem yang sedang ditayang, ataupun menjerit apabila setiap rendesi muzikal balada dimainkan di layar, itu adalah hak mereka, tetapi apabila mereka BOLEH BERCAKAP-CAKAP TANPA BERHENTI, di sebelah kiri, depan, kanan dan belakang aku tentang SETIAP babak yang dipaparkan, kau bayangkanlah betapa gusarnya jiwa aku. Wei, aku tonton filem bukan nak dengar korang bagi komentar DVD, yang itu, tunggu DVD keluarlah bangak! Lagi satu, ada bahagian (spoiler) filem ini apabila seorang jejaka menunjukkan hasrat cintanya kepada seorang wanita tua di hospital. Serius, beberapa mamat dan minah ni menjerit ketawa dengan tak malu berkata, "Padan muka, kau bercinta lagi dengan orang tua!" Kata-kata diskriminasi begini terluah keluar tanpa perasaan, tanpa sebab dan kesan manusiawi langsung daripada keturunan-keturunan Melayu (yang aku rasa mereka tentu bodoh untuk menangkap filem ini). Serius, TEMA BESAR filem ini, yakni kesatuan, kefahaman dan perhubungan baik pelbagai manusia (tua, berkekurangan, bangsa asing, seksualiti) hancur berkecai dengan kata-kata tanpa akal begini, meyakinkan aku lagi bahawa segolongan Melayu (ya, mereka sahaja yang buat bising, ada beberapa bangsa lain tidak banyak memekik dan bercakap, dan ini bukan kenyataan rasis tetapi fakta malam tu!) memang tidak boleh lagi dibaiki dan elok benarlah mereka diganyang orang Indonesia, dirodok oleh orang Afrika dan ditipu oleh sindiket dadah (sikap kita yang celaka dengan memburukkan pendatang, sepertimana dilakukan segolongan ahli politik dan media juga menyakitkan, memaparkan kecelakaan kita dalam kemanusiaan dan toleransi). Sampai akhirnya, ada seorang yang menyatakan dengan jelas, "So, apa pengajaran filem ni?" yang membuatkan tangan aku ringan je nak tampor. Aku dah hilang keyakinan aku dengan penonton kita, bangsa kita.

OK, dah lepas panas aku.

Filem tulisan Amir Hafizi dengan arahan kedua Edry mempunyai sesuatu. Secara rumusan, suatu filem drama-romantis seorang jejaka yang tidak tua-tua (atas sebab sumpahan, mendekati tetapi tidak sama dengan elemen Forever Young dan lebih mendekati The Legend of 1900) menelusuri sejarah Tanah Melayu-Malaya-Malaysia (tanpa Sabah dan Sarawak, unfortunately) yang dibumbui dengan unsur amat ke"Disney"an dengan saturasi warna-warna garang dan separa tanah (secara tidak langsung, merupakan antara warna-warna Jalur Gemilang).

Filem ini, buat aku, lebih baik daripada Magika dalam merendesi babak lagunya (filem ini separa drama, separa muzikal). Hal berkenaan "muzikal" ini mungkin akan dijanggali para penonton (secara peliknya, aku tidak merasa janggal, mungkin kerana sudah terlalu banyak filem muzikal Barat yang aku dah tonton, filem ini sebenarnya banyak merujuk persembahan Opera barat yang berbentuk TRAGEDI, yang sememangnya jauh daripada budaya kita) kerana lagu balada yang tiba-tiba terkeluar dari mulut pelakon, khusus pada babak mendekati klimaks. Hal ini adalah kerana, institusi filem Melayu era Jalan Ampas tidak pernah menyampaikan gaya sebegini (detik tragedi dengan kumandang lagu ala muzikal) dan mungkin perkara ini agak baru untuk penonton kita, hanya mungkin, babak-babak ini memerlukan pemikiran (dan jiwa) yang lebih terbuka.

Ramai pengulas yang aku jumpa tersilap menyatakan bahawa filem ini "hanya sebuah kisah cinta". Tidak, filem ini yang mengambil semangat alang-alang lurus bendul Budi lakonan Remy Ishak (yang akan mengingatkan kita dengan Forrest Gump) bercinta dengan Lily (lakonan sangat baik Jojo Goh, wanita ini ada sesuatu yang menarik untuk kita lihat) merupakan satu fabel (kau akan teringat akan Giuseppe Tornatore untuk The Legend of 1900) yang bercerita tentang "Apa itu Malaysia". Kau akan bertemu dengan pelbagai isu yang menyelusuri Malaysia dan "daripada apa ianya diperbuat", pertelingkahan kaum (dan keharmonian di antaranya), Melayu subsidi, ketuanan Melayu, Melayu Baru, meritokrasi, harmoni sesama kaum, dan Generasi Y sebagai contohnya (aku malas nak nyatakan, korang carilah sendiri). Aku suka dengan percubaan mata "wide eyed" Remy, sang jejaka "innocent" yang melihat (untuk kita) apa makna tanahairnya dengan mata yang begitu lurus, dengan kata-kata yang begitu tulus dan perbuatan yang begitu terang. Dari matanya, kita menyedari banyak keindahan, juga kecacatan tanahair kita, dilakukan tanpa banyak "kesakitan" tetapi ria, tenang dan menyentuh; dan paling penting - tanpa menghakiminya. "Percintaan"nya dengan Lily hanya merupakan "destini" yang dia harus tuju, dengan "janji"nya yang kukuh (serta lurus bendul), "matlamat"nya (maksudnya, perkahwinannya; disamakan dengan matlamat menuju Wawasan2020 Dr. M, contohnya) yang akan "sampai" atau "tidak" sebenarnya ditentukan oleh penontonnya, yakni Generasi Y (yang diwakili sekumpulan anak-anak pada akhir cerita), lantas, barulah "jam loket" yang selamanya "mati" (ingat Remy yang tidak berusia berkait dengan jam ini!) boleh "bergerak semula" tiba-tiba, menandakan "detik" untuk kita pula "menjalankan kehidupan" di atasnya.

Ya, itulah sebenarnya. Dan unsur-unsur yang digunakan oleh Edry dan Amir mencuitkan, serta menyentuh. Khususnya, kunang-kunang dan istilah rama-rama dan kepompong, menampilkan bagaimana "muda"nya sebenarnya negara kita bertatih, tetapi terus sahaja ia bergerak untuk hidup dan mengukuhkan dirinya. 

Lagu-lagunya amat menyentuh dan gemilang dalam filem ini, antara kekuatan utama filem ini, baik runut bunyi okestra (aku mahukan CD runut bunyi berokestra dan bukan dialog pelbagai seperti yang diberikan pada malam pratonton itu, satu lagi contoh memaparkan para produksi belum yakin penonton kita DAPAT menghargai lagu okestra sebaik ini) serta lagu-lagu muzikalnya. Jika diteliti dengan halus (dan wit), yang mula-mula kita menganggapi bahawa lagu yang dinyanyikan hanyalah "kisah cinta" menjadi lain pada akhir filem dengan korus ala nyanyian patriotik, yeap, sesungguhnya lagu ini berkenaan "kasih sayang terhadap tanahair" yang sengaja dibayangi dengan kisah kecintaan.

Aku suka Izzue Islam dalam filem ini (walaupun mungkin dia tidak dapat menang hadiah), dia melakonkan watak sahabat handai Remy yang amat baik, cukup untuk detik lawak dan masih poignant, babak-babak bersamanya adalah antara keindahan filem ini.

Seni pengarahannya juga sederhana baik dan suatu pencapaian tersendiri, khusus dalam percubaannya "membinan" era demi era dengan susunan kelengkapan dan latar yang menghidupkan alam era itu. Menariknya, pembukaan filem ini dibuka dengan suatu pandang dan air yang luas, bukan sahaja menampilkan "asas" ruangnya, tetapi pemaknan "tanahair" (dan langit yang dijunjung) sebagai perkaitan filem patriotisme yang tidak perlu terlalu didaktik menampilkan suara mengajarnya. Babak percubaan menampilkan Stadium Merdeka seperti suasana 31 Ogos 1957 dan khususnya Pawagam Colliseum memang amat dipuji. Babak perubahan fesyen dan rambut Remy juga amat mencuitkan dan menyampaikan nostalgianya dengan baik. Aku setuju jika filem ini menominasi senarai pendek Anugerah Solekan Terbaik dan Anugerah Pengarahan Seni Terbaik buat FFM akan datang nanti.

Sebenarnya, ada beberapa perkara yang aku persoalkan juga. Ada satu babak, apabila Remy rasa "hilang arah" khusus kerana mendepani realiti "perhubungan"nya, dia "tercari-cari" sesuatu di rumah lama kolonial jagaan ayahnya, lantas kelihatan cahaya putih secara tiba-tiba. Hal ini dipersoalkan, bagaimanakah ia boleh berlaku? Hal kecil ini melemahkan kesinambungan filem ini. Seharusnya Edry mengikatkan dengan teguh lagi perkaitan tahi bintang, jam dan kunang-kunang dengan Remy, untuk mewujudkan semangat yang lebih realisme magis (lantas berkait dengan dirinya yang tidak boleh tua-tua itu), unsur-unsur ini bolehlah dimainkan dan dimainkan lagi (contohnya, kunang-kunang itulah yang membawanya ke bilik di mana tersimpannya geran tanah wasiat ayahnya) untuk meyakinkan kita.

Malah, filem ini mempunyai beberapa masalah suntingan dan syot. Ada satu babak, Budi yang kecil (zaman 1941) berjalan dengan ibunya di tengah pekan yang tiba-tiba dibom jet perang Jepun (tidak ada siren?), lantas tiba-tiba Budi keseorangan dan ibunya hilang! Babak selepas itu, ibunya TIBA-TIBA muncul sebelah-menyebelah ayahnya di depan askar dan kempetai Jepun! Babak itu pula berlaku di rumah agam kolonial yang "dimohon dijaga" oleh seorang pegawai Inggeris, tuan kepada ayah Budi. Hal ini mencelarukan. Khusus dalam susunan latar dan geografi ruang filem dan hal ini tidak disusun baik oleh Edry, penulis skrip dan penyunting. Hal ini, perlulah Edry belajar daripada Syafiq Yusof yang begitu memahami susunan latar ruang dan kesinambungan dalam SAM. Ada satu babak, Remy berjabat tangan dengan Dr. Mahathir pada hari perasmian kereta Proton Saga melalui Jambatan Pulau Pinang. Untuk apa? Untuk apa babak ini dilakukan selain daripada menampilkan teknologi sama seperti Forrest Gump menjabat tangan Kennedy (yang lebih fungsional sikapnya)?

Syot dan penggambaran merupakan kelemahan utama filem ini, kebanyakannya tidak bermaya dan amat mementingkan pewarnaan saturasi yang kadang-kala terlalu "gembira", terlalu kuat untuk dirasa, dan ditakuti menampilkan keplastikan. Babak-babak CGI kemasukan imej lama dengan gambaran filem boleh diperbaiki lagi, dengan rendesi yang agak kasar atas layar putih besar (mungkin tampak elok dalam monitor komputer), khusus pada babak Hari Kemerdekaan yang sepatutnya menampilkan "magikal"nya. Magisnya tidak sampai dukacitanya. Dengan hal-hal ini, aku tidak tahu jika versi 3D (aku menonton 2D) lebih menonjol dan mencemerlangkan layarnya. Suatu lagi, kumpulan penggambar Edry perlulah belajar untuk mengambil syot-syot yang lebih kuat, lebih menampilkan "sinema" sepertimana yang dilakukan dalam filem Syafiq Yusof, Dain Said, Bernard Chauly, Kabir Bhatia dan Effende Mazlan/Fariza Isahak. Penggambaran dalam filem ini masih kelihatan seperti telefilem Cerekarama dan belum mampu menampilkan semangat "epik" yang sepatutnya disampaikan (sepertimana 10 minit awal filem ini yang cantik dilakukan). Kemungkinan ini maslah kamera digital yang harus dicari cara penyelesaiannya (tetapi aku yakin para pembikin yang rajin dan kreatif akan lebih menyampaikan yang lebih baik). Hanya babak pertemuan ayah Lily dengan Budi di kedai gunting rambut menampilkan imejan wayang yang indah, ditelekuni dengan drama yang amat berkesan sekali. 

Filem ini mungkin ada cacat-celanya, tetapi secara keseluruhan dan khusus penceritaan, ia masih berbaloi, malah senang dihadami kerana sikap Disney yang dipakai (yang kalian namakan "komerisal" itu) untuk menyampaikan maksud tersirat yang dalam, dengan keseimbangan drama, melodrama, komedi, muzikal yang baik dan terkawal, jauh meninggalkan filem Melayu yang tidak ada kandungan yang mencabar akhir-akhir ini (kecuali beberapa seperti Songlap, Chow Kit dan Bunohan). Menonton filem ini, memberi sesuatu kepada aku. Satu pengalaman yang cukup manis dan menghiburkan.

Oh ya, suatu lagi, filem ini amat sesuai jika kalian bawa nenek kalian menonton bersama!

Klasifikasi: U, Tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan (walaupun ada satu babak pancung dan aksi mengorat homo dengan lolipop yang kurang manis diikuti), malah sesuai buat seisi keluarga, siap elok sangat bawak datuk nenek tengok sama.

07 October 2010

Magika(2010): Alam Bunian Pascamoden


Aku tak peduli apa orang kata, tapi aku rasa Diana Danielle tu hot dan dia membuat aku gembira, muahahahaha..

Ceritanya senang, mengikut gaya plot Labyrinth tetapi sudah tentu dengan latar, motivasi dan watak tempatan. Kita juga diberi pemahaman bahawa "alam Magika" ini merupakan alam "bunian" dalam tradisi cerita-cerita "tok nenek". Penting untuk difahami dalam filem sebegini (rujuk Alice in the Wonderland, Wizard of Oz, Chronicles of Narnia, dll.), atas kerana latar dan watak yang berhubung dengan protagonis (Diana yang mencari adik lelakinya, Fimie Don) akan secara langsung atau tidak langsung "mengubah" cara si protagonis melihat dunia realitinya. Ini adalah perlu.

Pada awal filem, kita, penonton, diberi "sekilas lihat" watak Maya Karin sebagai "Puteri Bunian", yang bukan satu, tetapi berpuluh memenuhi alam "Magika" di tepi tasik. Babak ini menarik (walaupun tidak ada peranan kuat dalam cerita) dalam beberapa hal. Kita, penonton, merupakan kumpulan "voyeur". Babak ini memberi ekslusifiviti untuk "menghendap" dara-dara bunian ini "mandi". Ini diperjelaskan dengan babak terkemudian yang memaparkan si manusia Fimie (sebagai mewakili kita) yang sampai sahaja di tempat itu "menghendap" bersama dengan Pak Pandir (lakonan Aznil) dan ayamnya (simbol ayam ni kiranya disengajakan). Hal yang puteri bunian ini buat merupakan sesuatu yang peribadi dan eksklusif, seakan-akan macam ritual (nyanyian pun berlaku, bukan sahaja sebagai pembuka kredit), ia juga menerangkan "keajaiban" yang akan ditunggu-tunggu penonton (perubahan warna sephia dalam dunia realiti kepada warna-warni dunia fantasi Magika juga sudah menjadi klu). Persoalan, adakah ritual dan Maya Karin ini dapat menggamit dan mempesona kita (voyeur paling luar) dengan lamanya sepertimana Pak Pandir dan Fimie?

Ada yang menarik dalam dunia Magika ini, tetapi ada juga yang dipersoalankan. Aku amat-amat setuju dan menyokong sebilangan pengkritik dan penonton yang bangga dengan tujuan murni Edry selaku penulis skrip (bersama-sama Amir Hafizi) dan pengarah untuk membawa watak-watak dongeng Melayu ke skrin. Magika semacam sebuah dunia yang bukan sahaja "mengingatkan" kembali generasi muda terhadap watak-watak menarik dan eksentrik klasik Melayu ini, tetapi membawa pemaknaan pascamoden terhadap watak-watak ini mengikut latar sekarang. Hal semacam Nenek Kebayan (Ziana Zain) yang penduduk Magika tidak tahu baik/jahat, Puteri Gunung Ledang (Ning Baizura) yang sudah tua kerepot, Hang Tuah lima beradik (Saiful Apek dan Senario) bertutur Utara, Bawang Putih dan Merah (adik-beradik Armani) yang berkawan dan menjengkelkan merupakan satu intepretasi yang menyegarkan. Maka "dunia" yang dicipta ini bukanlah dunia "bunian" semata-mata tetapi dunia "yang dilupakan" dan mempunyai tujuan "dibangunkan" untuk mengubah pendirian Diana dan Fimie, serta kita.

Malah, ada satu bahagian yang menampakkan keajaiban dan kepelikan lagi dunia "ngeri" (mengikut kata Roger Egbert) apabila manusia "bermimpi" di dalamnya, kita boleh juga bertemu dengan arwah saudara kita yang sudah pulang. Tetapi projektori ini juga sebenarnya "harapan" protagonisnya, Fimie. Kita percaya "fantasi" atau "mimpi" Fimie ini benar kerana Fimie benar-benar berubah menjadi "berani" selepas dia bangun. Ini yang diharapkan juga berlaku terhadap Diana (atau kita).

Jadi bagaimana pula susunan dunia ini untuk membuat kita "berubah"? Di sini merupakan kelemahan Edry dan Amir Hafizi. Aku memahami, kadang-kadang watak yang dibangunkan, juga babak dalam filem ini diadakan, hanya sebagai sandaran hiburan (malah merupakan babak paling melucukan) melebihi peranan cerita (cerita di sini ialah Diana dan Fimie). Rujuk babak Puteri Gunung Ledang yang panjang. Babak itu tidak mempunyai tujuan apa-apa terhadap Fimie dan Diana, malah tidak pernah Diana atau Fimie bertemu dengan Puteri Gunung Ledang. Hal ini menjengkelkan kerana ia melewahkan cerita tanpa apa-apa tujuan membangun.

Tetapi Edry juga perlu dipuji kerana dalam babak awal sewaktu Diana memasuki dunia Magika ini, dirinya jadi kacau-bilau dengan Pak Pandir dan Mahsuri (bertutur Siam). Hal eksposisi dan menyedarkan kita, dan mainan objek seperti duit kertas dan syiling mencuitkan, dan membawa pemahaman kita terhadap dunia ini (dunia ini kacau-bilau dan memelikkan). Sehinggalah Diana terperangkap dengan jerat Mawi, mula dari situ, dunia ini menjadi "goyang".

Aku benar-benar cuba bersimpati dengan semangat Fimie yang kehilangan ibu, dan cara ia berubah diri. Aku cuba juga menyukai Diana dan mengikuti susah-payahnya. Tetapi ruang dan kepanjangan cerita tidak memberi aku harapan ini. Ini adalah kerana, segala yang disusunkan dalam filem ini, babak dan watak demi watak tidak dibina dengan "pembinaan". Mengapa Diana tidak dapat melihat "jambatan" di Tasik Cini masih samar-samar (tidak dibina dengan elok dari awal, mungkin pengarah perlu menyatakan, seperti The Neverending Story II, lebih lama si manusia tinggal dalam alam fantasi itu, dan menyukainya, lebih cepat dia akan hilang ingatan untuk pulang ke tempat asalnya), juga bagaimana dia menaruh hati dengan Badang (Mawi) (aku tidak salahkan kepapanan Mawi yang bergerak macam Errol Flynn, tetapi kita tidak diberi detik dan masa yang ikonik untuk menyedari Mawi dan Diana makin intim). Hal-hal ini hanya berlaku dengan cepat dan lalai hingga kita tidak sedar "mereka bercinta".

Sebenarnya, kekuatan yang dicari ini perlu diisi oleh babak tarinyanyi yang ada dalam filem ini (setiap 10 minit!), tetapi ada yang menjadi, ada yang tak. Babak tarinyanyi Pak Pandir serta tiga pokok merupakan babak yang paling berkesan, walaupun bukan dari segi kareografi. Aku menyukai lagu dalam filem ini, serta liriknya yang dapat membawa maksud. Tetapi dalam bentuk aksi, ianya masih kurang, malah masih berbentuk Hotel Mania yang aku tonton di TV. Ia ada kerana ia ada tanpa benar-benar memberi simbol tertentu. Kekuatan menangkap imej, dengan syot tertentu, dengan penggunaan simbol dan latar tertentu masih kurang. Rujuk sahaja babak "minimalis" Puteri Gunung Ledang yang aku percaya, jika ia jatuh kepada tangan seorang pengarah muzikal, landskap istana akan jadi lebih luas dan tidak hanya bergerak dalam bilik beradu puteri sahaja, potret gambar betul-betul dimainkan, cermin betul-betul dimainkan, tingkap, dan apa-apa objek yang membanding dan menampilkan "tua" dan "muda" tentu dimainkan, dan disertakan dengan tarian (di sini, kita lihat dayang hanya latar dan berdiri dalam bilik serba kecil). Malah, lihat sahaja babak pergaduhan Awang Kenit-Diana/Fimie serta Mawi-Nenek Kebayan. Babak yang menimbulkan rasa "Rocky Horror Picture Show" (kerana lagunya amat-amat memikat!) jadi lesu apabila kita tidak ditunjukkan dengan kehebatan Awang Kenit dalam aksi melawan Diana dan Fimie (di sinilah kita boleh paparkan kenapa Fimie ini "penakut", dan bagaimana Diana, kakaknya yang jengkel dengan adiknya tetap dengan yakin, membela adiknya). Kita hanya dapat babak Nenek melempar beberapa mangkuk dan Mawi mengelak.

Aku tahu, sebenarnya memang susah untuk membuat sebuah filem fantasi, apatah lagi sebuah muzikal kerana permintaan efek khas, logik dalam ikatan dunianya serta pengimbangan cerita, watak dan magisnya. Setakat ini buat aku, Fantasi(1994) arahan Aziz M Osman merupakan filem fantasi yang hampir baik pasca 1980, aku tidak menemui lagi muzikal yang boleh dikatakan muzikal terbaik Malaysia (aku tidak pernah menonton filem-filem Ahmad Fauzee), tetapi Magika ini bolehlah dikatakan mendepani pada abad ke-21. Tetapi, seperti mana-mana filem sebelum ini, Magika menunjukkan kita masih kekurangan kuasa perancangan dalam penggambaran aksi (dalam filem ini, malah, kita tidak dipertontonkan babak Mawi bergaduh dengan anjing, kita susah mahu melihat Mawi benar-benar "Badang"), kita masih kekurangan kareografi dalam penggambaran aksi, dan ini tampak dalam babak tarinyanyi yang juga memerlukan kuasa objek dan aksi yang diimbangkan dengan baik.

ps: Poster tu dekat-dekat macam Enchanted, heheheh